PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Janganlah Menjauhkan Diri daripada Yehuwa
    Menara Pengawal—2013 | 15 Januari
    • Janganlah Menjauhkan Diri daripada Yehuwa

      “Tentukanlah sekarang kepada siapa kamu hendak mengabdi.”​—YOS. 24:15.

      CUBALAH JAWAB

      • Bagaimanakah anda dapat memastikan bahawa kerja sekular tidak menjauhkan anda daripada Yehuwa?

      • Bagaimanakah anda dapat menikmati rekreasi dan hiburan dengan seimbang?

      • Jika anggota keluarga meninggalkan kebenaran, bagaimanakah anda dapat mengatasi perasaan sedih?

      1-3. (a) Mengapakah Yosua merupakan teladan yang baik dalam hal membuat pilihan? (b) Apakah yang harus kita ingat semasa membuat pilihan?

      MEMBUAT pilihan merupakan perbuatan yang sangat penting. Apabila seseorang membuat pilihan, dia sedang membuat keputusan yang dapat mempengaruhi haluan hidupnya. Bayangkan seorang lelaki yang sedang berjalan lalu mendapati jalan itu bercabang dua. Jalan manakah yang harus ditempuhinya? Jika destinasinya jelas di minda, dia akan memilih jalan yang menghala ke sana dan bukannya jalan yang menjauhkannya daripada destinasi.

      2 Bible mengandungi banyak contoh orang yang menghadapi situasi yang sama. Contohnya, Kain perlu memutuskan sama ada untuk melampiaskan atau mengawal kemarahannya. (Kej. 4:6, 7) Yosua perlu memilih sama ada untuk menyembah Tuhan yang benar atau tuhan-tuhan yang palsu. (Yos. 24:15) Matlamat Yosua adalah untuk mendekati Yehuwa, jadi dia memilih haluan yang selaras dengan matlamatnya. Kain pula tidak mempunyai matlamat yang sama, jadi haluan yang dipilihnya menjauhkannya daripada Yehuwa.

      3 Ada kalanya kita juga berdepan dengan pilihan yang penting dalam hidup. Semasa hal itu berlaku, ingatlah destinasi, atau matlamat anda—untuk memuliakan Yehuwa melalui segala perbuatan anda dan mengelakkan haluan yang akan menjauhkan anda daripada-Nya. (Baca Ibrani 3:12.) Dalam rencana ini dan rencana seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat membuat pilihan yang bijak dalam tujuh aspek hidup. Dengan ini, kita tidak akan menjauhkan diri daripada Yehuwa.

      PEKERJAAN DAN KERJAYA

      4. Mengapakah sangat penting untuk mencari nafkah?

      4 Orang Kristian wajib menampung keperluan diri sendiri dan keluarganya. Bible memberitahu kita bahawa seseorang yang tidak ingin menjaga keluarganya adalah lebih jahat daripada orang yang tidak beriman. (2 Tes. 3:10; 1 Tim. 5:8) Jelaslah, pekerjaan merupakan aspek hidup yang penting. Namun, jika kita tidak berhati-hati, pekerjaan dan kerjaya dapat menjauhkan kita daripada Yehuwa. Bagaimana?

      5. Apakah faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan semasa menerima tawaran kerja?

      5 Katakan anda sedang mencari kerja, tetapi tinggal di tempat yang kurang peluang pekerjaan. Anda mungkin tergoda untuk menerima apa-apa sahaja kerja yang ditawarkan. Bagaimana pula jika pekerjaan itu bercanggah dengan prinsip Bible? Atau jika jadual pekerjaan itu menyebabkan anda tiada masa yang secukupnya untuk aktiviti Kristian dan keluarga? Haruskah anda menerima pekerjaan yang tidak sesuai kerana tidak ingin menganggur? Ingatlah, pilihan yang salah akan menjauhkan anda daripada Yehuwa. (Ibr. 2:1) Jadi, bagaimanakah anda dapat membuat keputusan yang bijak semasa mencari atau menukar pekerjaan?

      6, 7. (a) Apakah dua matlamat bagi orang yang bekerja? (b) Matlamat yang manakah dapat mendekatkan anda kepada Yehuwa? Mengapa?

      6 Seperti yang dibincangkan, anda harus ingat destinasi anda. Tanyalah diri, “Apakah tujuan saya bekerja?” Jika matlamat anda bekerja adalah untuk membiayai keperluan keluarga sambil berkhidmat kepada Yehuwa, Dia pasti memberkati usaha anda. (Mat. 6:33) Yehuwa dapat membantu anda semasa anda hilang kerja atau mengalami masalah kewangan. (Yes. 59:1) Dia “tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan.”—2 Ptr. 2:9.

      7 Bagaimana pula jika matlamat anda adalah untuk menjadi kaya? Anda mungkin akan berjaya. Tetapi ingatlah bahawa setiap kejayaan ada harganya, dan pengorbanan yang terlibat tidak berbaloi. (Baca 1 Timotius 6:9, 10.) Anda akan semakin jauh daripada Yehuwa sekiranya terlalu mementingkan kekayaan atau kerjaya.

      8, 9. Apakah soalan-soalan yang harus difikirkan oleh ibu bapa berkenaan pekerjaan dan kerjaya? Mengapa?

      8 Jika anda seorang ibu atau bapa, fikirkanlah bagaimana contoh anda mempengaruhi anak-anak. Apakah yang paling penting bagi anda—kerjaya atau hubungan dengan Yehuwa? Jika anda mengutamakan status, prestij, dan kekayaan, mungkinkah anak-anak akan mengikut haluan yang memudaratkan itu? Atau mungkinkah mereka akan kurang menghormati anda? Seorang saudari muda berkata, “Sejak saya kecil, bapa sangat sibuk bekerja. Pada mulanya, nampaknya dia bekerja kerana ingin menyara kami dengan baik. Namun hal ini telah berubah. Belakangan ini dia asyik bekerja dan berfokus pada kemewahan, bukannya pada keperluan. Akibatnya, kami dikenali sebagai keluarga yang kaya-raya, dan bukannya keluarga yang menggalakkan orang lain untuk mengutamakan hal-hal rohani. Saya lebih suka sokongan rohani bapa daripada wangnya.”

      9 Ibu bapa, jangan terlalu mengejar kerjaya sehingga hal itu menjauhkan anda daripada Yehuwa. Menerusi teladan anda, biarlah anak-anak melihat bahawa kekayaan yang terbaik ialah harta rohani, bukan jasmani.​—Mat. 5:3.

      10. Apakah yang harus difikirkan oleh orang muda semasa memilih kerjaya?

      10 Jika anda orang muda yang sedang memilih kerjaya, bagaimanakah anda dapat membuat pilihan yang bijak? Seperti yang dibincangkan, anda perlu tahu apa tujuan hidup anda. Adakah latihan dan kerjaya yang dipilih membantu anda untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan? Atau adakah kerjaya itu menjauhkan anda daripada Yehuwa? (2 Tim. 4:10) Adakah anda bercita-cita untuk mengejar kebahagiaan dunia yang naik turun mengikut pasaran saham atau simpanan bank? Atau adakah anda akan percaya kepada Yehuwa seperti Daud yang berkata, ‘Kini aku sudah tua dan sudah hidup lama, tetapi aku tidak pernah melihat orang baik ditinggalkan Yehuwa, ataupun anak mereka meminta-minta makanan’? (Mzm. 37:25, ABB) Ingatlah, satu haluan akan menjauhkan anda daripada Yehuwa, manakala satu lagi merupakan jalan hidup yang terbaik. (Baca Amsal 10:22; Maleakhi 3:10.) Haluan manakah yang akan anda pilih?a

      REKREASI DAN HIBURAN

      11. Apakah yang Bible ajarkan mengenai rekreasi dan hiburan? Namun, apakah yang perlu kita ingat?

      11 Bible tidak mengutuk orang yang ingin bergembira, ataupun mendakwa bahawa rekreasi dan hiburan merupakan perkara yang sia-sia. “Latihan jasmani ada faedahnya,” tulis Paulus kepada Timotius. (1 Tim. 4:8) Bible turut menyatakan bahawa ada “waktu untuk tertawa” dan ada “waktu untuk menari.” Bible juga menggalakkan rehat yang secukupnya. (Pkh. 3:4; 4:6) Tetapi, jika anda tidak berhati-hati, rekreasi dan hiburan mungkin menjauhkan anda daripada Yehuwa. Bagaimana? Dua faktor perlu dipertimbangkan, iaitu jenis hiburan dan masa yang diluangkan untuk hiburan.

      Jenis rekreasi yang betul dalam kuantiti yang berpatutan akan menyegarkan kita

      12. Apakah faktor-faktor yang perlu anda pertimbangkan apabila memilih rekreasi dan hiburan?

      12 Pertama, fikirkan tentang jenis hiburan yang dipilih. Jangan khuatir! Anda tentu dapat menemui jenis rekreasi dan hiburan yang sihat. Tetapi, kebanyakan rekreasi dan hiburan hari ini mengagung-agungkan perkara yang dibenci oleh Tuhan seperti keganasan, spiritisme, dan perbuatan seks yang tidak bermoral. Maka, pilihlah hiburan dan rekreasi dengan cermat. Fikirkan soalan-soalan sebegini: Apakah kesannya kepada saya? Adakah rekreasi dan hiburan ini menggalakkan keganasan, sikap suka bersaing, atau semangat nasionalisme? (Ams. 3:31) Adakah rekreasi dan hiburan ini menelan banyak belanja? Adakah rekreasi dan hiburan ini boleh menyebabkan orang lain tersandung? (Rm. 14:21) Dengan siapakah saya bergaul semasa melakukan rekreasi atau hiburan ini? (Ams. 13:20) Adakah hiburan ini membangkitkan nafsu yang berdosa dalam diri saya?—Yak. 1:14, 15.

      13, 14. Mengapakah anda harus mempertimbangkan jumlah masa yang diluangkan untuk aktiviti riadah?

      13 Fikirkan juga masa yang diluangkan untuk rekreasi dan hiburan. Tanyalah diri anda, “Adakah saya meluangkan begitu banyak masa untuk aktiviti riadah sehingga kekurangan masa untuk aktiviti rohani?” Jika anda meluangkan terlalu banyak masa untuk rekreasi dan hiburan, anda mungkin akan berasa lebih letih. Sebenarnya, orang yang bersikap sederhana dalam aktiviti riadah akan berasa lebih seronok. Mengapa? Memandangkan mereka sudah melakukan perkara-perkara yang lebih penting, mereka tidak berasa bersalah semasa berseronok.—Baca Filipi 1:10, 11.

      14 Walaupun menghabiskan banyak masa untuk aktiviti riadah nampaknya sangat menyeronokkan, hal ini dapat menjauhkan anda daripada Yehuwa. Itulah pengalaman seorang saudari bernama Kim yang berumur 20 tahun. “Dulu saya suka menghadiri semua parti,” katanya. “Setiap hujung minggu—Jumaat, Sabtu, dan Ahad, saya berseronok. Namun sekarang, saya sedar ada banyak hal lain yang lebih penting. Sebagai seorang perintis, saya perlu bangun pukul 6 pagi untuk menginjil, jadi saya tidak boleh keluar bersama kawan sampai pukul 1 atau 2 pagi. Saya tahu bukan semua kegiatan sosial salah. Namun hal itu dapat menjadi suatu gangguan. Seperti hal-hal lain, kegiatan sosial perlu ada batasnya.”

      15. Bagaimanakah ibu bapa dapat memilih rekreasi yang sesuai untuk anak-anak mereka?

      15 Ibu bapa bertanggungjawab untuk memenuhi keperluan fizikal, rohani, dan emosi sendiri serta anak-anak. Hal ini termasuk menyediakan aktiviti riadah. Janganlah beranggapan bahawa semua kegiatan riadah memudaratkan. Pada masa yang sama, berwaspadalah terhadap pengaruh yang negatif. (1 Kor. 5:6) Jika anda berusaha untuk memilih rekreasi dan hiburan yang sesuai, anda dapat menikmati masa yang gembira bersama keluarga.b Pilihan sebegini dapat membantu anda dan anak-anak untuk menghampiri Yehuwa.

      HUBUNGAN KELUARGA

      16, 17. Apakah situasi sedih yang dialami oleh ramai ibu bapa? Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa memahami perasaan mereka?

      16 Ikatan antara ibu bapa dan anak adalah sangat kuat sehingga Yehuwa menggunakan hubungan itu untuk menggambarkan kasih-Nya terhadap umat-Nya. (Yes. 49:15) Maka semasa seorang anggota keluarga meninggalkan Yehuwa, secara lazimnya kita akan berasa sangat sedih. “Hati saya hancur berkecai,” kata seorang saudari yang anak perempuannya disingkirkan. “Saya tertanya-tanya, ‘Mengapa dia meninggalkan Yehuwa?’ Saya rasa sangat bersalah.”

      17 Yehuwa memahami kepedihan hati anda. Dia sendiri menjadi “begitu kecewa” semasa pasangan manusia pertama, dan kebanyakan orang yang hidup sebelum Banjir memberontak menentang-Nya. (Kej. 6:5, 6) Orang yang tidak pernah mengalami kehilangan sebegini mungkin susah membayangkannya. Namun, apabila seorang ahli keluarga disingkirkan, janganlah menjauhi Yehuwa kerana perbuatannya. Jadi bagaimanakah anda dapat menghadapi kesedihan yang dialami?

      18. Mengapakah ibu bapa tidak harus menyalahkan diri jika anak mereka meninggalkan Yehuwa?

      18 Janganlah salahkan diri atas apa yang berlaku. Yehuwa memberikan kebebasan untuk memilih kepada setiap orang, dan mereka yang sudah dibaptis “harus memikul tanggungjawab masing-masing.” (Gal. 6:5) Dari pandangan Yehuwa, pendosa itulah yang bertanggungjawab atas perbuatannya, bukannya anda. (Yeh. 18:20) Selain itu, janganlah salahkan orang lain. Hormatilah cara Yehuwa mendisiplinkan umat-Nya. Lawanlah Iblis dan bukannya para gembala yang berusaha melindungi sidang.—1 Ptr. 5:8, 9.

      Tidaklah salah untuk berharap agar orang kesayangan akan kembali kepada Yehuwa

      19, 20. (a) Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa yang sedih atas penyingkiran anak mereka? (b) Apakah harapan bagi ibu bapa yang anaknya disingkirkan?

      19 Sebaliknya, jika anda terus marah kepada Yehuwa, anda sebenarnya menjauhkan diri daripada-Nya. Ingatlah, ahli keluarga anda yang disingkirkan perlu melihat bahawa anda mengutamakan Yehuwa berbanding hal-hal lain, bahkan ikatan keluarga. Jadi untuk mengatasi kesedihan yang dialami, anda perlu menjaga kerohanian anda. Janganlah menyisihkan diri daripada saudara saudari. (Ams. 18:1) Luahkanlah segala perasaan anda kepada Yehuwa melalui doa. (Mzm. 62:8, 9) Jangan mencari alasan untuk bergaul bersama ahli keluarga yang telah disingkirkan, contohnya melalui e-mel atau telefon. (1 Kor. 5:11) Pastikan anda tetap sibuk dalam aktiviti-aktiviti rohani. (1 Kor. 15:58) Saudari yang disebut tadi berkata, “Saya mesti sibuk dalam khidmat Yehuwa dan tetap kuat secara rohani. Dengan demikian, barulah saya dapat menolong anak perempuan saya apabila dia kembali kepada Yehuwa.”

      20 Bible menyatakan bahawa kasih “tidak hilang harapan.” (1 Kor. 13:4, 7) Maka tidaklah salah untuk berharap agar orang kesayangan anda akan kembali kepada Yehuwa. Tahun demi tahun, ramai orang yang telah disingkirkan bertaubat lalu kembali ke organisasi Yehuwa. Yehuwa tidak marah terhadap mereka. Sebaliknya, Dia “suka mengampuni orang.”​—Mzm. 86:5.

      BUATLAH PILIHAN YANG BIJAK

      21, 22. Apakah tekad anda mengenai kebebasan untuk memilih yang telah dikurniakan kepada anda?

      21 Yehuwa telah mengurniai manusia kebebasan untuk memilih. (Baca Ulangan 30:19, 20.) Tetapi kita perlu bertanggungjawab atas pilihan yang dibuat. Setiap Kristian harus bertanya, “Adakah saya memilih haluan yang betul? Adakah saya membenarkan pekerjaan dan kerjaya, rekreasi dan hiburan, atau hubungan keluarga untuk menjauhkan saya daripada Yehuwa?”

      22 Kasih Yehuwa kepada umat-Nya tidak akan pudar. Jadi tiada apa-apa yang dapat menjauhkan kita daripada Tuhan kecuali jika kita membuat pilihan yang salah. (Rm. 8:38, 39) Janganlah biarkan hal itu berlaku! Bertekadlah untuk tidak membenarkan apa-apa menjauhkan kita daripada Yehuwa. Dalam rencana yang seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat membuat pilihan yang bijak dalam empat lagi aspek hidup.

      a Untuk maklumat lanjut semasa memilih kerjaya, sila lihat buku “Pertanyaan Kaum Muda” (Questions Young People Ask—Answers That Work), Jilid 2, bab 38.

      b Sila lihat majalah pembelajaran 15 Oktober 2011, muka 8-12, dan buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan, bab 6.

  • Tetaplah Berada di Sisi Yehuwa
    Menara Pengawal—2013 | 15 Januari
    • Tetaplah Berada di Sisi Yehuwa

      ‘Hampirilah Tuhan, dan Tuhan pun akan menghampiri kamu.’—YAK. 4:8.

      BOLEHKAH ANDA JELASKAN?

      • Bagaimanakah kita dapat mengekalkan pandangan yang seimbang tentang teknologi dan kesihatan?

      • Bagaimanakah kita dapat mengekalkan pandangan yang seimbang tentang wang dan rasa bangga?

      • Bagaimanakah kita dapat tetap berada di sisi Yehuwa?

      1, 2. (a) Apakah rancangan Syaitan? (b) Apakah yang dapat membantu kita menghampiri Tuhan?

      TUHAN YEHUWA telah menciptakan manusia dengan keperluan untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan-Nya. Namun sejak Syaitan berdusta kepada Hawa di Taman Eden, dia mencuba memperdayakan segenap manusia untuk berfikir bahawa kita tidak memerlukan Yehuwa. (Kej. 3:4-6) Malangnya, ramai telah terpedaya olehnya.

      2 Kita tidak perlu memasuki perangkap Syaitan kerana Bible membantu “kita mengetahui rancangannya.” (2 Kor. 2:11) Syaitan mencuba mengasingkan kita daripada Yehuwa dengan menggalakkan kita untuk membuat pilihan yang salah. Namun seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, kita dapat membuat keputusan yang baik dalam aspek kerjaya, hiburan, dan keluarga. Rencana ini pula akan menunjukkan bagaimana kita dapat mempunyai pandangan yang sewajarnya tentang teknologi, kesihatan, wang, dan rasa bangga. Dengan itu kita dibantu untuk ‘menghampiri Tuhan.’—Yak. 4:8.

      TEKNOLOGI

      3. Jelaskan bagaimana teknologi dapat membawa kebaikan dan juga keburukan.

      3 Alatan elektronik terdapat di mana-mana sahaja. Alatan ini memang bermanfaat. Namun, alatan ini juga dapat menjejaskan hubungan kita dengan Bapa di syurga. Mari kita ambil contoh komputer. Majalah ini ditulis dan dicetak dengan bantuan komputer. Komputer juga banyak membantu semasa membuat penyelidikan dan berkomunikasi, serta dapat digunakan sebagai hiburan yang sihat. Namun, ada yang tergila-gilakan teknologi komputer. Pengiklan dengan licik meyakinkan para pengguna bahawa mereka mesti memiliki alat elektronik terbaru. Seorang pemuda begitu menginginkan sejenis komputer tablet sehingga dia menjual salah satu buah pinggangnya. Pengorbanan yang tidak berbaloi sama sekali!

      4. Bagaimanakah seorang saudara mengatasi tabiat buruknya dalam hal penggunaan komputer?

      4 Hubungan kita dengan Yehuwa akan terjejas jika kita meluangkan terlalu banyak masa untuk teknologi atau menyalahgunakannya. “Saya tahu Bible menasihati kita supaya meluangkan masa untuk hal-hal rohani,” kata Jon, seorang saudara Kristian berumur lewat 20-an.a Namun komputer telah memakan banyak masanya. Jon biasanya melayari Internet sampai lewat malam. Dia berkata, “Semakin letih saya, semakin susah bagi saya untuk berhenti bersembang atau menonton video di Internet.” Untuk menghentikan tabiat buruk ini, Jon menetapkan komputernya untuk padam pada waktu dia harus tidur.—Baca Efesus 5:15, 16.

      Ibu bapa, bantulah anak-anak untuk menggunakan teknologi dengan bijak

      5, 6. (a) Apakah tanggungjawab ibu bapa? (b) Bagaimanakah ibu bapa memastikan bahawa anak-anak mempunyai pergaulan yang baik?

      5 Ibu bapa harus mengawal penggunaan komputer anak-anak. Jangan biarkan bahan lucah, permainan yang ganas, spiritisme, dan pergaulan buruk menjadi pengasuh anak-anak, semata-mata untuk mengisi masa lapang mereka atau kerana anda tidak ingin diganggu oleh mereka. Jika anda membiarkan hal itu berlaku, mereka akan berfikir bahawa perkara-perkara itu tidak salah. Tanggungjawab ibu bapa adalah untuk melindungi anak-anak, termasuk remaja, daripada apa-apa yang dapat menjauhkan mereka daripada Yehuwa. Binatang pun melindungi anaknya. Bayangkan apa yang akan dilakukan oleh induk beruang sekiranya ada orang mengancam anaknya!—Bandingkan Hosea 13:8.

      6 Bantulah anak-anak anda untuk bergaul dengan orang Kristian dari pelbagai peringkat umur yang menyediakan teladan yang baik. Ingatlah bahawa anda perlu meluangkan masa dengan anak-anak anda! Jadi luangkanlah masa untuk tertawa, bermain, bekerja, dan menghampiri Yehuwa bersama mereka.b

      KESIHATAN

      7. Mengapakah kita ingin hidup sihat?

      7 “Apa khabar?” Ada kalanya soalan ini mengingatkan kita tentang masalah kesihatan. Kita semua jatuh sakit kerana Adam dan Hawa mengikut nasihat Syaitan dan menjauhkan diri daripada Yehuwa. Syaitan suka apabila kita jatuh sakit kerana kita susah menyembah Yehuwa. Dan jika kita mati, kita langsung tidak dapat menyembah Yehuwa. (Mzm. 115:17) Jadi kita mahu menjaga kesihatan sendiri.c Kita juga patut mengambil berat tentang kesihatan rakan seiman.

      8, 9. (a) Bagaimanakah kita dapat memupuk pandangan seimbang mengenai kesihatan? (b) Apakah kebaikannya jika kita memupuk sukacita?

      8 Namun kesihatan tidak seharusnya menjadi satu-satunya perkara di minda kita. Ada yang lebih ghairah mempromosikan diet, rawatan, atau produk kesihatan daripada menyebarkan berita baik. Mereka mungkin berfikir bahawa mereka sedang menolong orang lain. Tetapi, tidaklah sesuai untuk mempromosikan produk kesihatan atau kecantikan di Dewan Perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Mengapa?

      9 Tujuan kita berkumpul bersama adalah untuk membincangkan hal rohani dan untuk menikmati sukacita, iaitu hasil buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22) Perjumpaan bukanlah tempat untuk berbincang tentang rawatan atau produk kesihatan. Perbuatan sebegitu dapat menjejaskan sukacita orang lain. (Rm. 14:17) Cara menjaga kesihatan terpulang kepada setiap individu. Tambahan lagi, tiada sesiapa yang dapat menyembuhkan segala penyakit. Doktor yang terbaik pun akhirnya menjadi tua dan mati. Lagipun, kalau kita asyik khuatir tentang kesihatan sendiri, umur kita tidak akan bertambah sedikit pun. (Luk. 12:25) Sebaliknya, “hati yang gembira menyihatkan badan.”—Ams. 17:22.

      10. (a) Dari pandangan Yehuwa, apakah yang menjadikan seseorang cantik? (b) Bilakah kita dapat menikmati kesihatan yang sempurna?

      10 Penampilan kita juga penting, tetapi kita tidak perlu bersusah payah untuk kelihatan muda. Bible menyatakan bahawa bagi orang yang adil benar, “ubannya bagaikan mahkota yang mulia.” (Ams. 16:31) Itulah pandangan Yehuwa, dan kita patut memupuk pandangan itu. (Baca 1 Petrus 3:3, 4.) Maka, wajarkah kita menjalani pembedahan atau menggunakan ubat yang berisiko semata-mata untuk kelihatan lebih cantik? ‘Kesukaan yang diberikan oleh Yehuwalah’ yang membawa kecantikan sejati tidak kira usia atau tahap kesihatan kita. (Neh. 8:10) Di dunia baru, kita akan menikmati kesihatan sempurna dan kecantikan seperti orang muda. (Ayb. 33:25; Yes. 33:24) Sementara itu, kita perlu membuat pilihan yang bijak dan beriman pada janji Yehuwa. Dengan ini, kita akan menikmati kehidupan sekarang dan tidak terlalu risau tentang kesihatan.—1 Tim. 4:8.

      WANG

      11. Bagaimanakah wang dapat menjauhkan kita daripada Yehuwa?

      11 Tidak salah untuk memiliki wang atau berniaga. (Pkh. 7:11, 12; Luk. 19:12, 13) Tetapi, “sikap mencintai wang” akan menjauhkan kita daripada Yehuwa. (1 Tim. 6:9, 10) ‘Kekhuatiran hidup’ atau sikap terlalu risau tentang keperluan harian akan membantutkan kerohanian kita. Begitu juga dengan “keinginan untuk hidup mewah,” kepercayaan bahawa kekayaan dapat membawa kegembiraan dan perlindungan. (Mat. 13:22) Yesus dengan jelas mengatakan bahawa “tidak seorang pun” dapat berjaya menjadi hamba Tuhan dan juga hamba kekayaan pada masa yang sama.—Mat. 6:24.

      12. Bagaimanakah orang mencuba mendapatkan wang dengan cepat? Bagaimanakah kita dapat menghindari daripada membuat pilihan yang salah?

      12 Jika kita terlalu mementingkan wang, kita mungkin digoda untuk melakukan perkara yang salah. (Ams. 28:20) Sesetengah orang yang ingin cepat kaya membeli tiket loteri atau melibatkan diri dalam skim piramid. Mereka turut mengajak orang lain dalam sidang untuk menyertai mereka. Yang lain pula terumpan dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan yang luar biasa lumayan. Janganlah membenarkan ketamakan menyebabkan anda tertipu. Jika ada tawaran yang terlalu sukar untuk dipercayai, janganlah segera mempercayainya.

      13. Bagaimanakah pandangan Yehuwa terhadap wang berbeza dengan pandangan orang di dunia?

      13 Jika kita ‘mengutamakan Pemerintahan Tuhan dan melakukan kehendak-Nya,’ Yehuwa akan memberkati usaha kita untuk memperoleh keperluan harian. (Mat. 6:33; Ef. 4:28) Dia tidak mahu kita risau tentang wang atau tertidur di Dewan Perjumpaan kerana bekerja terlalu keras. Namun, banyak orang di dunia percaya bahawa dengan mencari banyak wang, masa depan mereka terjamin dan mereka dapat menikmati kesenangan hidup pada kemudian hari. Mereka turut mendesak anak mereka untuk berbuat demikian. Yesus menunjukkan bahawa pandangan tersebut tidak munasabah. (Baca Lukas 12:15-21.) Kita mungkin diingatkan tentang Gehazi yang berpendapat bahawa dia dapat bersikap tamak sambil mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa.—2 Raj. 5:20-27.

      14, 15. Mengapakah tidak bijak untuk berfikir bahawa wang membawa jaminan? Berikan contoh.

      14 Sesetengah helang dipercayai lemas kerana asyik mencengkam ikan yang terlalu besar. Mungkinkah hal ini berlaku kepada kita? “Saya selalunya berjimat cermat,” jelas seorang penatua yang bernama Alex. “Jika saya tuang terlebih syampu, saya menuangkan semula lebihannya ke dalam botol.” Tetapi, Alex melibatkan diri dengan pasaran saham supaya dapat berhenti kerja dan mula merintis. Dia mempelajari cara jual beli saham. Dia juga menggunakan semua wangnya dan meminjam wang untuk membeli saham. Namun, nilai saham yang dibelinya jatuh mendadak. Alex berkata, “Saya bertekad untuk mendapatkan kembali wang saya. Saya fikir jika saya bersabar, nilai saham pasti akan naik semula.”

      15 Selama berbulan-bulan, Alex hanya memikirkan sahamnya. Dia tidak dapat bertumpu pada perkara rohani ataupun tidur lena. Tetapi, nilai saham tidak naik. Alex kehilangan wang simpanannya dan terpaksa menjual rumahnya. “Saya membawa banyak kesusahan kepada keluarga,” Alex mengaku. Namun, dia mempelajari sesuatu yang penting. “Saya tahu sekarang bahawa sesiapa yang menaruh keyakinan pada sistem Syaitan akan dikecewakan.” (Ams. 11:28) Ya, dengan berharap pada simpanan, pelaburan, atau keupayaan sendiri untuk mendapat wang, kita seperti berharap pada “Iblis yang menguasai dunia ini.” (2 Kor. 4:4; 1 Tim. 6:17) Kini, Alex hidup sederhana supaya dapat meluangkan lebih banyak masa untuk menginjil. Dia dan keluarganya lebih gembira serta tetap berada di sisi Yehuwa.—Baca Markus 10:29, 30.

      RASA BANGGA

      16. Apakah yang harus kita banggakan, namun apakah yang akan terjadi jika kita terlalu memandang tinggi pada diri sendiri?

      16 Kita patut berasa bangga kerana kita Saksi-Saksi Yehuwa. (Yer. 9:24) Maruah diri yang berpatutan akan mendorong kita untuk membuat keputusan yang bijak dan tidak merendahkan taraf moral kita. Namun, jika kita terlalu memandang tinggi pada pendapat atau kedudukan sendiri, kita akan menjauhi Yehuwa.—Mzm. 138:6; Rm. 12:3.

      Nikmatilah kerja penyebaran dan janganlah asyik berfikir tentang kedudukan anda di sidang!

      17, 18. (a) Berikan contoh orang yang rendah hati dan yang sombong dalam Bible. (b) Bagaimanakah seorang saudara tidak membiarkan sikap sombong untuk menjauhkannya daripada Yehuwa?

      17 Bible mengandungi banyak contoh tentang orang yang sombong dan yang rendah hati. Raja Daud mencari bimbingan daripada Yehuwa dengan rendah hati, dan dia diberkati. (Mzm. 131:1-3) Tetapi, Yehuwa menghukum Raja Nebukadnezar dan Belsyazar yang sombong. (Dan. 4:30-37; 5:22-30) Kadangkala, sifat rendah hati kita akan diuji. Ryan, seorang pembantu sidang yang berumur 32 tahun berpindah ke sidang yang baru. Dia berkata, “Saya fikir saya akan dilantik sebagai penatua dalam masa yang singkat. Namun setahun berlalu dan hal itu tidak berlaku.” Adakah Ryan berasa marah kepada para penatua? Adakah rasa bangga menyebabkannya berhenti menghadiri perjumpaan, serta menjauhi Yehuwa dan umat-Nya? Apakah yang akan anda lakukan dalam situasi ini?

      18 “Saya membaca semua maklumat dalam bahan bacaan kita tentang keinginan yang tidak tercapai,” kata Ryan. (Ams. 13:12) “Saya mula sedar bahawa saya perlu belajar bersabar dan rendah hati. Saya perlu membiarkan Yehuwa melatih saya.” Ryan mengalihkan perhatian daripada dirinya dan melayani orang lain di sidang dan dalam kerja penyebaran. Tidak lama kemudian, dia mempunyai beberapa orang pelajar Bible yang membuat kemajuan. Dia berkata, “Semasa saya dilantik setahun setengah kemudian, saya berasa terperanjat. Saya begitu gembira dalam kerja penyebaran sehingga tidak berfikir tentang hal itu.”—Baca Mazmur 37:3, 4.

      TETAPLAH BERADA DI SISI YEHUWA!

      19, 20. (a) Bagaimanakah kita dapat memastikan agar kita tidak menjauhi Yehuwa? (b) Contoh baik siapakah yang dapat kita ikuti?

      19 Kita berasa bangga menjadi hamba Yehuwa. Keluarga bahagia dan kesihatan baik ialah hadiah terbaik daripada Yehuwa. Kerja sekular dan wang penting untuk menjaga keperluan kita. Rekreasi dapat menyegarkan dan teknologi adalah berguna. Tujuh aspek ini tidaklah salah. Tetapi, jika kita mengejar perkara-perkara ini pada masa yang salah dan secara berlebihan, kita akan menjauhkan diri daripada Yehuwa.

      Jangan biarkan apa-apa menjauhkan anda daripada Yehuwa!

      20 Janganlah membiarkan Syaitan menjauhkan anda dan keluarga daripada Yehuwa! (Ams. 22:3) Hampirilah Yehuwa dan tetaplah berada di sisi-Nya seperti yang dilakukan oleh hamba-hamba-Nya pada zaman dahulu. Henokh dan Nuh ‘hidup akrab dengan Tuhan.’ (Kej. 5:22; 6:9,10) ‘Musa tidak berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Tuhan yang tidak kelihatan.’ (Ibr. 11:27) Yesus selalu mendapat sokongan Bapanya kerana dia sentiasa melakukan kehendak-Nya. (Yoh. 8:29) ‘Hendaklah kita sentiasa bersukacita, dan berdoalah sentiasa. Hendaklah kita bersyukur dalam segala keadaan.’ (1 Tes. 5:16-18, ABB) Janganlah membiarkan apa-apa menjauhkan anda daripada Yehuwa!

      a Nama telah diubah.

      b Lihat bab 5 dalam buku Rahsia Kebahagiaan Keluarga.

      c Lihat majalah berita terbitan Mac 2011.

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi