PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w14 15/6 ms. 8-11
  • Bantulah Rakan Seiman yang Sudah Bercerai​—Bagaimana?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Bantulah Rakan Seiman yang Sudah Bercerai​—Bagaimana?
  • Menara Pengawal—2014
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • DILANDA DENGAN PELBAGAI EMOSI
  • BERGELUT UNTUK PULIH SEMULA
  • PERASAAN SUNYI DAN TIDAK DIHARGAI
  • Kesan Perceraian terhadap Anak
    Bantuan untuk Keluarga
  • Bagaimanakah jika Ibu Bapa Saya Mahu Bercerai?
    Kaum Muda Bertanya
Menara Pengawal—2014
w14 15/6 ms. 8-11

Bantulah Rakan Seiman yang Sudah Bercerai​—Bagaimana?

Seorang wanita melegakan hati seorang saudari Kristian yang sudah bercerai

Anda mungkin mengenal orang yang sudah bercerai. Hari ini, perceraian semakin lazim. Contohnya, penyelidik di Poland melaporkan bahawa pasangan yang berada dalam lingkungan umur 30-an dan sudah berkahwin selama tiga hingga enam tahun barangkali akan bercerai. Perceraian bukan terhad kepada golongan ini sahaja.

Sebuah institut di Sepanyol melaporkan bahawa “[di Eropah] separuh daripada mereka yang berkahwin akan bercerai.” Hal ini juga berlaku di negara lain yang sudah maju.

DILANDA DENGAN PELBAGAI EMOSI

Apakah yang menyebabkan hal ini berlaku? Seorang penasihat perkahwinan dari Eropah Timur berkata bahawa perceraian berlaku kerana hubungan suami isteri terputus. Perceraian meninggalkan kesan-kesan emosi yang sukar disembuhkan. Dia menambah, perceraian disusuli “perasaan marah, kesal, kecewa, malu, dan putus harapan.” Kadangkala, ada yang ingin membunuh diri. “Setelah perceraian disahkan di mahkamah, . . . perasaan kesepian dan kekosongan dalam hidup menyelubungi orang itu sehingga dia tertanya-tanya, ‘Sekarang saya sudah bercerai, siapakah saya sebenarnya? Apakah tujuan hidup saya?’”

Mengingat kembali beberapa tahun yang lalu, Ewa berkata, “Saya berasa sangat malu selepas bercerai kerana jiran dan rakan sekerja akan memandang rendah saya. Saya sangat marah. Saya mempunyai dua anak kecil, dan saya harus menjadi ibu dan bapa kepada mereka.”a Adam, seorang saudara yang berkhidmat sebagai penatua selama 12 tahun berkata, “Saya hilang maruah diri sehingga kadangkala saya berasa marah. Saya ingin menjauhkan diri daripada orang lain.”

BERGELUT UNTUK PULIH SEMULA

Sesetengah orang masih bergelut untuk pulih semula walaupun sudah bercerai selama bertahun-tahun. Mereka risau tentang masa depan. Mereka mungkin menyimpulkan bahawa orang lain tidak mempedulikan mereka. Seorang penulis berkata bahawa orang yang sudah bercerai “perlu menukar cara hidup dan belajar untuk mengatasi masalah dengan sendiri.”

Stanisław berkata, “Selepas bercerai, bekas isteri saya tidak membenarkan saya melawat dua anak perempuan saya. Oleh itu, saya berasa bahawa tiada orang yang mengambil berat tentang saya, bahkan Yehuwa pun telah mengabaikan saya. Hidup saya tidak bermakna lagi. Lama-kelamaan, saya sedar bahawa pemikiran saya adalah salah.” Wanda yang sudah bercerai dan khuatir tentang masa depan berkata, “Saya pasti bahawa orang lain termasuk rakan seiman tidak akan memberi perhatian kepada saya dan anak-anak saya selepas beberapa waktu. Namun, saya dapat lihat bahawa rakan seiman selalu mendampingi kami dan membantu saya untuk membesarkan anak-anak untuk terus menyembah Yehuwa.”

Kata-kata yang diluahkan oleh sesetengah orang yang sudah bercerai menunjukkan bahawa mereka diselubungi perasaan negatif. Mereka mungkin kurang harga diri dan berfikir bahawa mereka tidak bernilai atau tidak penting lagi. Mereka bahkan mengkritik orang di sekeliling mereka dan menganggap bahawa orang di sidang bersikap dingin dan tidak bersimpati. Namun, pengalaman Stanisław dan Wanda menunjukkan bahawa rakan seiman sebenarnya sangat mengambil berat terhadap mereka. Rakan seiman biasanya akan memberikan sokongan yang sangat baik, walaupun bantuan itu mungkin tidak dihargai pada mulanya.

PERASAAN SUNYI DAN TIDAK DIHARGAI

Kita mesti ingat bahawa rakan seiman yang sudah bercerai akan dilanda perasaan sunyi dari masa ke masa. Biasanya saudari yang sudah bercerai akan berfikir bahawa tidak ramai orang yang mempedulikan mereka. Alicja mengaku, “Lapan tahun sudah berlalu sejak saya bercerai. Namun, saya masih berasa kurang yakin. Pada saat itulah saya ingin menyisihkan diri dan menangis, serta berasa kasihan pada diri sendiri.”

Orang yang bercerai biasanya ingin menyisihkan diri. Tetapi Bible tidak menggalakkan perbuatan ini. Orang yang menyisihkan diri sedang “membantah segala pendapat yang baik.” (Ams. 18:1) Adalah bijak bagi orang yang berasa sunyi supaya tidak selalu meminta nasihat daripada orang yang berlawanan jantina, agar mereka tidak tergoda untuk menjalin hubungan romantik yang tidak sesuai.

Rakan seiman kita yang sudah bercerai mungkin dilanda dengan pelbagai perasaan yang mencabar. Misalnya, khuatir akan masa depan, berasa kesepian, atau berasa tidak dihargai. Perasaan sebegini memang biasa dialami dan susah diatasi. Oleh itu, kita harus meniru Yehuwa dengan menyokong saudara saudari yang berasa sedemikian. (Mzm. 55:23; 1 Ptr. 5:6, 7) Kita boleh yakin bahawa bantuan yang kita berikan akan dihargai. Sudah pasti, mereka akan mendapatkan bantuan daripada rakan sejati di dalam sidang!—Ams. 17:17; 18:24.

a Nama-nama telah diubah.

Pandangan Betul terhadap Perceraian

Hamba Yehuwa memandang serius terhadap perkahwinan kerana mereka mengikut ajaran Alkitab. Contohnya, di Maleakhi 2:16, Tuhan berkata, “Aku membenci perceraian.” Hanya ada satu alasan untuk bercerai, iaitu jika salah seorang pasangan melakukan perbuatan cabul. Maka, jika seseorang berangan-angan untuk menceraikan teman hidup tanpa alasan yang berdasarkan prinsip Bible, mungkin kerana dia ingin berkahwin dengan orang lain, hal itu adalah kesalahan yang serius.—Kej. 2:22-24; Ul. 5:21; Mat. 19:4-6, 9.

Jika seseorang bercerai kerana pasangannya tidak setia, saudara saudari di sidang akan menyokong orang itu. Mereka berusaha meniru teladan Yehuwa dengan menggalakkan “orang yang tawar hati.”—Mzm. 34:16, 19; Yes. 41:10.

BAGAIMANAKAH ANDA DAPAT MEMBANTU?

Bagaimanakah anda dapat membantu orang yang mempunyai perasaan seperti yang dinyatakan dalam rencana tadi? Fikirkan nasihat Bible, dan bantuan yang pernah diberikan oleh saudara saudari setia yang lain.

Dengar dengan bijak. (Ams. 16:20, 23)

Selepas bercerai, seseorang mungkin tidak ingin bercakap dengan terperinci tentang apa yang telah berlaku. Ada kalanya, meluahkan kekecewaan mengenai perceraian bukanlah cara berkesan untuk mengurangkan kerisauan. (Ams. 12:25; Rm. 12:15) Michał yang telah membantu Adam berkata bahawa kita boleh menunjukkan belas kasihan tanpa mengetahui segala yang berlaku secara terperinci. “Saya beritahu Adam bahawa apabila dia berasa tertekan, dia mungkin akan tercakap sesuatu dan kemudian menyesal.” Michał menjelaskan bahawa tujuannya bukanlah untuk mengetahui butiran terperinci. Namun, dia sudi mendengar sebagai sahabat yang baik. Semasa di sidang, kita boleh menggunakan kata-kata yang menggalakkan dan meyakinkan mereka membawa kita rela membantu.

Tunjukkan keprihatinan. (Flp. 2:4)

Mirosław berkata, “Saya dan isteri telah menjadualkan masa untuk membantu seorang saudari yang telah bercerai. Contohnya, kami telah membantu membaiki kunci pintunya. Kami juga telah membawanya untuk berjumpa doktor.” Perkara ini mungkin remeh, namun sangat berguna baginya. Saudari itu akhirnya pulih. Tambahan lagi, dia mula merintis, dan anak perempuannya yang berumur 11 tahun telah dibaptis.

Sepasang suami isteri menunjukkan keprihatinan terhadap seorang saudari Kristian yang sudah bercerai

Yakinkan orang itu bahawa Yehuwa memahami situasinya.

Jika seseorang kurang keyakinan diri, anda boleh meyakinkan dia bahawa Tuhan menghargai setiap penyembah-Nya. Sudah tentu kita “lebih berharga daripada banyak burung pipit.” (Mat. 10:29-31) Yehuwa menyelidiki hati orang dan memahami perasaan mereka yang sudah bercerai. Dia tidak akan mengabaikan penyembah-Nya yang setia. (Ams. 17:3; Mzm. 145:18; Ibr. 13:5) Untuk menunjukkan bahawa anda mengambil berat, yakinkan orang itu bahawa Yehuwa menghargai segala yang dilakukannya demi kebenaran dan ibadat sejati.—Flp. 2:29.

Menggalakkannya untuk tetap dekat dengan sidang.

Apabila diselubungi pelbagai perasaan negatif, sesetengah orang berasa susah untuk menghadiri perjumpaan. Tetapi perjumpaan Kristian bertujuan untuk menguatkan dan menggalakkan kita. (1 Kor. 14:26; Mzm. 122:1) Adalah penting bagi para penatua untuk mengambil inisiatif dalam hal ini. Wanda mengenang, “Kami tidak melupakan kasih yang mereka tunjukkan.”

Galakkan dia untuk menguatkan hubungan dengan Tuhan melalui doa, pembelajaran peribadi, dan perenungan. (Yak. 4:8)

Meskipun Yehuwa ialah Tuhan yang Maha Kuasa dan menetap di syurga, Dia masih prihatin terhadap ‘orang yang rendah hati dan yang takut dan taat kepada-Nya.’ Yakinkan orang yang bercerai akan hal ini, dan jelaskan bahawa mendekat kepada Tuhan melalui doa dan pembelajaran peribadi dapat membantu setiap orang di antara kita.—Yes. 66:2.

Tawarkan diri untuk menginjil bersama atau mempersiapkan perjumpaan bersama.

Dua saudara Kristian bekerja bersama dalam kerja penyebaran

Cara ini akan meningkatkan keyakinannya untuk menempuh kehidupan seharian. Marta yang membantu seorang saudari yang telah bercerai berkata, “Kami selalu menginjil bersama. Kami bersukacita apabila mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Kami kadangkala membuat persiapan bersama untuk perjumpaan, dan ada kalanya kami masak makanan yang enak bersama.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi