Mengapa Kita Menyambut Perjamuan Malam Tuan
“Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”—1 KOR. 11:24.
1, 2. Apakah yang dilakukan oleh Yesus pada malam 14 Nisan tahun 33 M? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
PADA 14 Nisan tahun 33 M, bulan purnama menyinari kota Yerusalem. Yesus dan para rasul menyambut perayaan Paska untuk memperingati cara Yehuwa membebaskan orang Israel dari Mesir sekitar 1,500 tahun sebelum itu. Kemudian, Yesus mengadakan jamuan yang istimewa bersama 11 orang rasul. Jamuan ini diadakan setiap tahun oleh para pengikutnya untuk mengenang kematiannya.a—Mat. 26:1, 2.
2 Yesus berdoa, memberikan roti yang tidak beragi kepada para rasul, dan berkata, “Ambillah dan makan.” Kemudian dia mengambil secawan wain, berdoa lagi, lalu berkata, “Kamu semua, minumlah daripada cawan ini.” (Mat. 26:26, 27) Roti dan wain mempunyai maksud yang istimewa. Para rasul telah mempelajari banyak perkara yang penting pada malam itu.
3. Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam rencana ini?
3 Yesus ingin agar para pengikutnya mengenang kematiannya setiap tahun. Peristiwa ini kemudian dikenali sebagai “Perjamuan Malam Tuan,” atau Peringatan. (1 Kor. 11:20) Oleh itu, kita mungkin tertanya, “Mengapakah kita harus memperingati kematian Yesus? Apakah maksud roti dan wain? Bagaimanakah kita dapat membuat persiapan untuk Peringatan? Siapakah yang harus makan roti dan minum wain? Bagaimanakah orang Kristian menunjukkan bahawa mereka menghargai harapan mereka?”
MENGAPA KITA MENGENANG KEMATIAN YESUS
4. Apakah harapan yang kita peroleh melalui kematian Yesus?
4 Oleh sebab Adam berdosa, kita mewarisi dosa dan kematian. (Rm. 5:12) Jadi, kita tidak dapat memberikan tebusan kepada Tuhan. (Mzm. 49:7-10) Tetapi Yesus mengorbankan nyawanya yang sempurna untuk kita. Dia mempersembahkan nilai tebusan kepada Tuhan. Melalui tebusan, kita mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya tanpa dosa dan kematian.—Rm. 6:23; 1 Kor. 15:21, 22.
5. (a) Bagaimanakah Tuhan dan Yesus menunjukkan kasih kepada kita? (b) Mengapakah kita harus menghadiri Peringatan?
5 Tuhan telah menunjukkan kasih-Nya kepada manusia dengan menyediakan tebusan. (Yoh. 3:16) Yesus juga menunjukkan kasihnya dengan mengorbankan nyawanya bagi kita. Sebelum datang ke bumi, dia sudah pun mengasihi umat manusia. (Ams. 8:30, 31) Kita amat menghargai apa yang dilakukan oleh Yehuwa dan Yesus untuk kita! Itulah sebabnya kita menghadiri Peringatan. Dengan demikian, kita mentaati perintah Yesus, “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.”—1 Kor. 11:23-25.
APAKAH MAKSUD ROTI DAN WAIN?
6. Apakah yang kita faham mengenai roti dan wain yang digunakan semasa Peringatan?
6 Pada malam terakhir bersama para rasul, Yesus tidak melakukan mukjizat dengan menukarkan roti menjadi tubuhnya atau menukarkan wain menjadi darahnya. Dia berkata, “Roti ini melambangkan tubuhku.” Dia juga berkata, “Wain dalam cawan ini melambangkan ‘darah perjanjian’ aku yang akan dicurahkan untuk banyak orang.” (Mrk. 14:22-24) Maka, jelaslah roti dan wain itu hanya simbol yang melambangkan perkara yang lain.
7. Apakah yang dilambangkan oleh roti tidak beragi?
7 Pada malam itu, Yesus telah menggunakan roti tidak beragi yang disediakan bagi perayaan Paska. (Kel. 12:8) Dalam Bible, ragi kadangkala melambangkan dosa. (Mat. 16:6, 11, 12; Luk. 12:1) Maka roti yang tidak beragi melambangkan tubuh Yesus yang tidak berdosa. (Ibr. 7:26) Itulah sebabnya kita menggunakan roti tidak beragi semasa Peringatan.
8. Apakah yang dilambangkan oleh wain?
8 Wain yang digunakan Yesus melambangkan darahnya, atau nyawanya. Begitu juga dengan wain yang digunakan semasa sambutan Peringatan hari ini. Yesus telah mati di Golgota yang terletak di luar Yerusalem. Dia mati “supaya dosa banyak orang diampunkan.” (Mat. 26:28; 27:33) Jika kita menghargai korban tebusan Yesus, kita akan membuat persiapan untuk Peringatan setiap tahun. Bagaimanakah kita boleh berbuat demikian?
CARA-CARA UNTUK MEMBUAT PERSIAPAN
9. (a) Mengapakah kita harus mengikuti jadual pembacaan Bible sempena Peringatan? (b) Apakah perasaan anda tentang tebusan?
9 Satu cara untuk membuat persiapan bagi Peringatan adalah dengan mengikuti jadual pembacaan Bible sempena Peringatan yang terdapat di buku Mengkaji Ayat-Ayat Suci Setiap Hari. Membaca kisah-kisah Bible dapat membantu kita untuk merenungkan apa yang dilakukan Yesus sebelum dia mati.b Seorang saudari menulis: “Kami selalu menanti-nantikan sambutan Peringatan. Setiap tahun, sambutan ini menjadi lebih bermakna bagi saya. Saya masih ingat . . . semasa melihat bapa saya yang telah meninggal, saya mula menghargai korban tebusan. . . . Memang saya tahu ayat Bible tentang korban tebusan, bahkan cara untuk menjelaskannya! Tetapi apabila saya sendiri merasai kepedihan akibat kematian orang yang tersayang, barulah hati saya tersentuh oleh nilai tebusan yang menawarkan harapan.” Merenungkan manfaat korban Yesus bagi kita secara peribadi ialah langkah penting dalam persiapan untuk Peringatan.
Ikutilah jadual pembacaan Bible sempena Peringatan untuk mempersiapkan hati anda (Lihat perenggan 9)
10. Apakah satu lagi cara untuk membuat persiapan bagi Peringatan?
10 Satu lagi cara untuk membuat persiapan adalah dengan meluangkan lebih banyak masa untuk menginjil dan menjemput orang untuk menghadiri Peringatan. Kita juga boleh menjadi perintis sokongan. Apabila kita memberitahu orang tentang Tuhan, Anak-Nya, dan harapan untuk hidup kekal, kita berpuas hati kerana melakukan kehendak Tuhan.—Mzm. 148:12, 13.
11. Mengapakah Paulus mengatakan bahawa sesetengah orang Kristian di Korintus tidak layak makan roti dan minum wain semasa Peringatan?
11 Apabila membuat persiapan untuk Peringatan, renungkanlah kata-kata Paulus kepada orang Kristian di Korintus. (Baca 1 Korintus 11:27-34.) Dia mengatakan bahawa jika seseorang makan roti dan minum wain walaupun tidak layak berbuat demikian, orang itu “sudah berdosa terhadap tubuh dan darah Tuan kita.” Sekiranya orang terurap berbuat salah dan dia makan roti dan minum wain semasa Peringatan, “orang itu akan membawa hukuman ke atas dirinya sendiri.” Pada zaman Paulus, banyak orang Kristian di Korintus terlibat dalam perbuatan salah. Mereka mungkin makan dan minum berlebihan sebelum atau semasa Peringatan, dan akhirnya mereka berasa mengantuk. Mereka tidak menghormati sambutan Peringatan. Walaupun mereka makan roti dan minum wain, mereka tidak diperkenankan Tuhan.
12. (a) Bagaimanakah Paulus membandingkan Peringatan? Apakah amaran yang diberikan olehnya kepada orang terurap? (b) Jika orang terurap berbuat dosa, apakah yang harus dilakukannya?
12 Paulus membandingkan Peringatan kepada satu jamuan. Maka dia memberikan amaran kepada orang terurap: “Kamu tidak boleh minum daripada cawan Yehuwa dan pada masa yang sama minum daripada cawan roh-roh jahat. Kamu tidak boleh makan di ‘meja Yehuwa’ dan pada masa yang sama makan di meja roh-roh jahat.” (1 Kor. 10:16-21) Jika orang terurap berbuat dosa, dia harus meminta bantuan para penatua. (Baca Yakobus 5:14-16.) Jika dia bertaubat dengan ikhlas, dia menunjukkan bahawa dia tidak meremehkan nilai tebusan Yesus. Maka dia layak makan roti dan minum wain semasa Peringatan.—Luk. 3:8.
13. Mengapakah kita harus berdoa tentang harapan yang diberikan Tuhan kepada kita?
13 Kita juga dapat membuat persiapan dengan berdoa dan merenungkan harapan yang diberi Tuhan kepada kita secara peribadi. Kita tentu ingin menghormati pengorbanan Yesus. Ada orang tidak pasti sama ada dia terurap atau tidak. Jika demikian, dia tidak harus makan roti dan minum wain semasa Peringatan. Jadi, siapakah yang harus makan roti dan minum wain?
SIAPAKAH YANG HARUS MAKAN ROTI DAN MINUM WAIN
14. Memandangkan golongan terurap adalah sebahagian daripada perjanjian baru, apakah yang dilakukan mereka semasa Peringatan?
14 Mereka yang makan roti dan minum wain semasa Peringatan memang yakin bahawa mereka adalah sebahagian daripada perjanjian baru. Yesus berkata mengenai wain, “Cawan ini melambangkan perjanjian baru yang termeterai dengan darahku.” (1 Kor. 11:25) Yehuwa membuat perjanjian Hukum Musa bersama orang Israel, tetapi kemudian Dia menggantikan perjanjian itu dengan perjanjian yang baru. (Baca Yeremia 31:31-34.) Perjanjian baru ini adalah antara Tuhan dengan golongan terurap. (Gal. 6:15, 16) Kematian Yesus telah memeterai perjanjian ini. (Luk. 22:20) Yesus ialah Perantara perjanjian baru ini. Golongan terurap yang terlibat dalam perjanjian baru akan tinggal bersama Yesus di syurga.—Ibr. 8:6; 9:15.
15. Siapakah yang terlibat dalam perjanjian Kerajaan? Apakah harapan jika mereka tetap setia?
15 Golongan terurap juga merupakan sebahagian perjanjian Kerajaan. (Baca Lukas 12:32.) Perjanjian ini adalah antara Yesus dengan pengikut terurap yang juga “menderita sepertinya.” (Flp. 3:10) Golongan terurap hari ini juga merupakan sebahagian daripada perjanjian ini. Mereka akan memerintah bersama Yesus di syurga untuk selama-lamanya. (Why. 22:5) Mereka layak makan roti dan minum wain semasa Peringatan.
16. Terangkan maksud kata-kata di Roma 8:15-17.
16 Orang terurap sangat pasti bahawa mereka ialah anak Tuhan. Oleh itu, makan roti dan minum wain semasa Peringatan. (Baca Roma 8:15-17.) Orang terurap memanggil Yehuwa “Abba, Bapa!” Perkataan “Abba” dalam bahasa Aram merangkumi perasaan kasih dan juga merupakan gelaran hormat. Perkataan ini menggambarkan hubungan baik antara Tuhan dengan ‘anak angkat-Nya.’ Daya aktif Tuhan meyakinkan mereka bahawa mereka benar-benar anak Tuhan. Orang terurap yang setia berasa pasti bahawa selepas mereka mati, mereka memerintah bersama Yesus di syurga. Mereka sedar bahawa Yehuwalah yang mengurapi mereka. Hari ini, hanya segelintir daripada 144,000 orang terurap masih berada di bumi. (1 Yoh. 2:20; Why. 14:1) Mereka mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Tuhan dan berasa selesa untuk memanggil-Nya “Abba, Bapa!”
MENGHARGAI HARAPAN BIBLE
17. Apakah harapan golongan terurap? Mengapakah mereka pasti bahawa mereka terurap?
17 Jika anda orang terurap, anda akan sering menyebut tentang harapan untuk naik ke syurga dalam doa anda. Ayat-ayat Bible akan mempunyai maksud istimewa bagi anda. Contohnya, Bible menceritakan tentang perkahwinan Yesus dengan “pengantin perempuan” di syurga. Sudah pasti anda tahu bahawa hal ini merujuk kepada anda, dan anda menanti-nantikannya. (Yoh. 3:27-29; 2 Kor. 11:2; Why. 21:2, 9-14) Apabila Bible menerangkan kasih Tuhan kepada golongan terurap, anda yakin bahawa Dia sedang bercakap kepada anda. Daya aktif akan mendorong anda untuk mentaati arahan Tuhan kepada golongan terurap seperti yang terkandung dalam Bible. Daya aktif meyakinkan anda bahawa anda akan naik ke syurga.
18. Apakah harapan bagi “biri-biri lain”? Apakah perasaan anda mengenai harapan ini?
18 Jika anda tergolong dalam “kumpulan besar” yang merupakan “biri-biri lain,” anda berpeluang untuk hidup selama-lamanya di bumi Firdaus. (Why. 7:9; Yoh. 10:16) Apakah perasaan anda? Anda pasti teruja apabila merenungkan kata-kata Bible tentang Firdaus. Anda menanti-nantikan masa untuk hidup bersama dengan keluarga dan sahabat di dunia yang aman tanpa kebuluran, kemiskinan, penderitaan, kesakitan, serta kematian. (Mzm. 37:10, 11, 29; 67:7; 72:7, 16; Yes. 33:24) Anda juga ingin berjumpa dengan orang yang dikasihi yang akan dibangkitkan. (Yoh. 5:28, 29) Anda pasti bersyukur kepada Yehuwa atas harapan yang indah ini! Walaupun anda tidak makan roti dan minum wain, anda menghadiri Peringatan kerana menghargai korban tebusan Yesus.
ADAKAH ANDA AKAN HADIR?
19, 20. (a) Bagaimanakah kita dapat hidup selama-lamanya? (b) Mengapakah anda ingin menghadiri Peringatan?
19 Anda dapat hidup selama-lamanya, sama ada di bumi atau di syurga, hanya jika anda beriman kepada Tuhan Yehuwa, Yesus Kristus, dan korban tebusan. Apabila anda menghadiri Peringatan, renungkanlah harapan anda dan kepentingan kematian Yesus. Selepas matahari terbenam pada hari Jumaat, 3 April 2015, berjuta-juta orang akan menghadiri Peringatan di Dewan Perjumpaan atau di lokasi-lokasi lain di serata dunia.
20 Apabila kita mempersiapkan hati untuk menghadiri Peringatan, kita menunjukkan penghargaan yang mendalam kepada korban tebusan Yesus. Dengan memberikan sepenuh perhatian kepada ceramah Peringatan, anda akan tergerak untuk menunjukkan kasih anda. Anda akan memberitahu orang lain tentang kasih dan tujuan Yehuwa bagi manusia. (Mat. 22:34-40) Oleh itu, marilah kita bertekad untuk menghadiri Peringatan.
a Menurut kalendar orang Ibrani, hari baru bermula selepas matahari terbenam dan berakhir pada matahari terbenam yang seterusnya.
b Sila lihat Bahagian 16 dalam buku kecil Panduan Pembelajaran Firman Tuhan.