PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • kr bab 20 ms. 236-247
  • Kerja Membantu Mangsa Bencana Memuliakan Yehuwa

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Kerja Membantu Mangsa Bencana Memuliakan Yehuwa
  • Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Mengapakah Kerja Membantu Mangsa Bencana Merupakan “Khidmat Suci”?
  • Mengapa Kita Membantu Mangsa Bencana
  • Kerja Membantu Mangsa Bencana Membawa Manfaat yang Berkekalan
  • Apakah Peranan Anda?
  • Cara Menghulurkan Bantuan semasa Bencana Alam Berlaku
    Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita—Lembaran Kerja—2023
  • Adakah Saksi-Saksi Yehuwa Membantu Mangsa-Mangsa Bencana?
    Soalan Lazim
  • Membantu Mangsa Bencana pada Tahun 2023—“Kita Dapat Lihat Yehuwa Menunjukkan Kasih-Nya”
    Bagaimana Sumbangan Anda Digunakan
  • Membantu Mangsa Bencana pada Tahun 2021—Saudara dan Saudari Kita Tidak Diabaikan
    Bagaimana Sumbangan Anda Digunakan
Lihat Selanjutnya
Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
kr bab 20 ms. 236-247

BAB 20

Kerja Membantu Mangsa Bencana Memuliakan Yehuwa

FOKUS BAB INI

Memperlihatkan kasih Kristian semasa bencana berlaku

1, 2. (a) Apakah kesusahan yang dihadapi oleh orang Kristian di Yudea? (b) Bagaimanakah orang Kristian di Yudea merasai kasih sejati saudara saudari mereka?

KIRA-KIRA pada tahun 46 M, seluruh Yudea dicengkam kebuluran. Harga makanan melambung tinggi, dan orang Kristian berbangsa Yahudi di situ tidak mampu membeli makanan. Mereka kelaparan, dan nampaknya keadaan akan bertambah buruk. Tetapi mereka bakal menyaksikan kuasa perlindungan Yehuwa dalam cara yang cukup istimewa. Apakah yang bakal berlaku?

2 Setelah orang Kristian yang berbilang bangsa di Antiokhia, Siria, mengetahui kesusahan yang dialami oleh rakan seiman mereka di Yerusalem dan Yudea, mereka didorong untuk menyediakan bantuan kewangan. Kemudian, mereka memilih Barnabas dan Saulus untuk menghantar bantuan itu ke Yerusalem. (Baca Kisah 11:27-30; 12:25.) Bayangkan betapa tersentuhnya saudara saudari di Yudea dengan kasih sejati yang ditunjukkan oleh rakan seiman mereka di Antiokhia!

3. (a) Bagaimanakah umat Tuhan dewasa ini mengikut teladan orang Kristian di Antiokhia? Berikan satu contoh. (Lihat juga kotak “Usaha Besar-besaran yang Pertama.”) (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam bab ini?

3 Peristiwa itu merupakan catatan pertama dalam Bible yang menceritakan bagaimana orang Kristian telah menghulurkan bantuan kepada rakan seiman mereka di tempat yang lain. Dewasa ini, kita mencontohi teladan saudara saudari kita di Antiokhia. Sekiranya kita mendapat berita bahawa saudara saudari kita di tempat lain ditimpa bencana ataupun menghadapi kesusahan, kita bersedia menghulurkan bantuan.a Untuk mengetahui kaitan antara kerja membantu mangsa bencana dengan khidmat suci kita yang lain, marilah kita perhatikan tiga soalan yang berikut: Mengapakah kita memandang kerja membantu mangsa bencana sebagai sebahagian daripada khidmat suci kita? Mengapakah kita membantu mangsa bencana? Bagaimanakah kerja ini membawa manfaat kepada kita?

Mengapakah Kerja Membantu Mangsa Bencana Merupakan “Khidmat Suci”?

4. Apakah yang dikatakan oleh Paulus tentang khidmat suci orang Kristian?

4 Dalam suratnya yang kedua kepada sidang Korintus, Paulus menjelaskan bahawa khidmat orang Kristian merangkumi dua tugas. Meskipun surat Paulus ditujukan kepada kaum terurap, prinsip dalam suratnya juga dapat diterapkan oleh “biri-biri lain.” (Yoh. 10:16) Pertama, khidmat suci kita merangkumi “tugas untuk membantu orang lain berbaik semula” dengan Tuhan. Kita melaksanakan tugas itu melalui kerja menginjil dan mengajar orang. (2 Kor. 5:18-20; 1 Tim. 2:3-6) Kedua, khidmat suci kita merangkumi tugas untuk membantu rakan seiman. Secara khusus, Paulus menyebut tentang tugas “untuk membantu umat suci Tuhan.” (2 Kor. 8:4) Dalam bahasa Yunani asal, Paulus menggunakan satu perkataan Yunani, iaitu di·a·ko·niʹa, untuk merujuk kepada kedua-dua tugas itu. Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal ini?

5. Paulus telah menggunakan perkataan Yunani yang sama untuk merujuk kepada kerja membantu mangsa bencana dan tugas-tugas lain dalam sidang. Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal ini?

5 Memandangkan Paulus menggunakan perkataan Yunani yang sama untuk merujuk kepada kerja membantu mangsa bencana dan tugas-tugas lain dalam sidang, kita dapat tahu bahawa semua kerja itu sama penting. Dia juga berkata, “Ada berbagai-bagai cara untuk berkhidmat kepada orang lain, tetapi semuanya dilakukan untuk Tuan yang sama. Ada berbagai-bagai kegiatan, . . . [tetapi] semua itu dilakukan oleh daya aktif yang sama.” (1 Kor. 12:4-6, 11) Jadi, Paulus sedang menyatakan bahawa semua kerja itu merupakan “khidmat suci.”b (Rm. 12:1, 6-8) Maka Paulus berasa bahawa dia patut meluangkan masa “untuk memberikan bantuan kepada umat suci Tuhan.”​—Rm. 15:25, 26.

6. (a) Seperti yang dijelaskan oleh Paulus, mengapakah usaha membantu mangsa bencana ialah sebahagian daripada ibadat kita? (b) Jelaskan bagaimana kerja membantu mangsa bencana dijalankan di serata dunia. (Lihat kotak “Apabila Bencana Melanda!” pada muka surat 242.)

6 Paulus membantu orang Kristian di Korintus untuk memahami mengapa kerja membantu mangsa bencana ialah sebahagian daripada khidmat suci dan ibadat mereka. Dia menjelaskan bahawa orang Kristian menghulurkan bantuan sedemikian kerana mereka “taat kepada berita baik tentang Kristus.” (2 Kor. 9:13) Maka, orang Kristian membantu rakan seiman kerana mereka ingin menerapkan ajaran Kristus. Paulus menyatakan bahawa kebaikan hati mereka sebenarnya mencerminkan ‘kebaikan hati Tuhan yang sangat unggul.’ (2 Kor. 9:14; 1 Ptr. 4:10) Majalah The Watchtower terbitan 1 Disember 1975 menyatakan bahawa bantuan yang diberikan kepada saudara saudari juga merangkumi bantuan yang diberikan semasa mereka ditimpa bencana. Dalam hal ini, majalah tersebut juga menyatakan, “Kita tidak harus meragui bahawa Tuhan Yehuwa dan Anak-Nya Yesus Kristus menganggap khidmat ini sebagai satu kerja yang amat penting.” Ya, kerja membantu mangsa bencana merupakan salah satu bentuk khidmat suci.​—Rm. 12:1, 7; 2 Kor. 8:7; Ibr. 13:16.

Mengapa Kita Membantu Mangsa Bencana

7, 8. Apakah sebab pertama kita membantu mangsa bencana? Jelaskan.

7 Mengapakah kita membantu mangsa bencana? Paulus menjawab soalan itu dalam suratnya yang kedua kepada sidang di Korintus. (Baca 2 Korintus 9:11-15.) Dalam ayat-ayat itu, Paulus telah menjelaskan tiga sebab kita membantu mangsa bencana. Mari kita bincangkannya satu per satu.

8 Pertama, kerja ini memuliakan Yehuwa. Dalam lima ayat yang dibaca tadi, perhatikan bahawa Paulus sering menghalakan perhatian saudara saudarinya kepada Yehuwa. Dia mengatakan bahawa kerja mereka akan menyebabkan “ucapan syukur” dan “banyak ucapan syukur” diberikan kepada Tuhan. (Ayat 11, 12) Dia juga menyebut tentang bagaimana kerja membantu mangsa bencana mendorong orang Kristian untuk “memuliakan Tuhan” dan bersyukur atas “kebaikan hati-Nya yang sangat unggul.” (Ayat 13, 14) Paulus mengakhiri kata-katanya dengan menyatakan, “Marilah kita bersyukur kepada Tuhan.”—Ayat 15; 1 Ptr. 4:11.

9. Bagaimanakah usaha kita untuk membantu mangsa bencana dapat mempengaruhi fikiran orang? Berikan satu contoh.

9 Seperti Paulus, kita menganggap kerja membantu mangsa bencana sebagai peluang untuk memuliakan Yehuwa dan menghiasi ajaran-Nya. (1 Kor. 10:31; Tit. 2:10) Apabila kita membantu mangsa bencana, hal ini sering kali dapat mengubah pandangan buruk orang terhadap Yehuwa dan Saksi-Saksi-Nya. Perhatikanlah contoh seorang wanita yang tinggal di sebuah kawasan yang dilanda ribut taufan. Dari dahulu lagi, dia telah meletakkan tanda “Saksi-Saksi Yehuwa​—Jangan Datang” di pintunya. Pada suatu hari, dari rumahnya dia nampak ada sebilangan pekerja yang sedang membaiki rumah di seberang jalan. Setelah memerhatikan para pekerja itu selama berhari-hari, akhirnya dia menghampiri mereka untuk mengetahui siapa mereka. Dia sangat kagum apabila mengetahui bahawa mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa. “Saya sudah salah sangka terhadap kamu,” katanya. Apakah yang berlaku kemudian? Wanita tersebut menurunkan tanda itu dari pintunya.

10, 11. (a) Berikan contoh untuk menunjukkan bagaimana kita telah memberikan ‘bantuan secara melimpah’ kepada rakan seiman yang dilanda bencana. (b) Apakah bahan bacaan yang membantu pekerja sukarela yang terlibat dalam kerja membantu mangsa bencana? (Lihat kotak “Sebuah Brosur untuk Menjelaskan Usaha Organisasi Kita.”)

10 Kedua, kita mahu memberikan ‘bantuan secara melimpah’ kepada rakan seiman. (2 Kor. 9:12a) Kita ingin memenuhi keperluan saudara saudari kita dan mengurangkan kesusahan mereka. Mengapa? Kerana sidang Kristian ibarat “satu tubuh,” dan “jika satu anggota menderita, semua anggota lain turut menderita bersamanya.” (1 Kor. 12:20, 26) Oleh itu, sebaik sahaja bantuan diperlukan, kasih persaudaraan dan rasa belas kasihan telah mendorong ramai saudara saudari untuk mengubah jadual masa sendiri dan pergi ke tempat yang dilanda bencana. Mereka mempersiapkan peralatan sendiri dan bertolak ke tempat kejadian untuk membantu rakan seiman. (Yak. 2:15, 16) Contohnya, selepas Jepun dilanda tsunami pada tahun 2011, pejabat cawangan Amerika Syarikat mengirim surat kepada Jawatankuasa Pembinaan Serantau Amerika Syarikat. Mereka ingin menjemput “beberapa orang yang layak” untuk membantu membina semula dewan-dewan perjumpaan di sana. Apakah reaksi saudara saudari kita? Dalam masa beberapa minggu sahaja, hampir 600 orang telah menawarkan diri, dan mereka bersetuju untuk membiayai kos penerbangan sendiri ke Jepun. Pejabat cawangan di Amerika Syarikat menyatakan, “Sambutan saudara saudari kita sungguh mengagumkan.” Semasa seorang saudara di Jepun bertanya kepada salah seorang saudara mengapa dia datang untuk membantu mereka, dia diberitahu, “Saudara saudari kita di Jepun ialah anggota ‘tubuh kita.’ Kami merasai keperitan dan kesusahan mereka.” Oleh sebab para pekerja sukarela mengasihi rakan seiman, ada kalanya mereka telah mempertaruhkan nyawa sendiri untuk membantu saudara saudari mereka.c​—1 Yoh. 3:16.

Seorang Saksi-Saksi Yehuwa di Switzerland menyusun bekalan bantuan untuk rakan-rakan Kristiannya, 1946

Switzerland, 1946

USAHA BESAR-BESARAN YANG PERTAMA

PADA bulan September 1945, iaitu hanya beberapa bulan selepas Perang Dunia Kedua berakhir di Eropah, Saudara Knorr telah mengumumkan bahawa usaha besar-besaran akan dijalankan untuk menghantar “bantuan kepada saudara saudari kita di Eropah tengah.”

Dalam masa beberapa minggu selepas pengumuman itu dibuat, Saksi-Saksi di Amerika Syarikat, Kanada, dan negara-negara lain mula mengasingkan dan membungkus pakaian serta mengumpulkan makanan. Sejak bulan Januari 1946, barang-barang bantuan dihantar kepada saudara saudari kita di Austria, Belanda, Belgium, Bulgaria, China, Czechoslovakia, Denmark, England, Filipina, Finland, Greece, Hungary, Itali, Jerman, Norway, Perancis, Poland, dan Romania.

Bantuan telah dihantar secara berterusan sehingga bulan Ogos 1948. Sepanjang dua tahun setengah itu, kira-kira 85,000 saudara dan saudari telah menghantar lebih daripada 300,000 kg makanan, lebih daripada 450,000 kg pakaian, dan lebih daripada 124,000 pasang kasut kepada saudara saudari kita di negara-negara yang dilanda perang. Majalah The Watchtower tahun 1949 menyatakan, “Usaha ini membuktikan bahawa kita saling mengasihi. Kita tahu bahawa semua saudara saudari kita rela menghulurkan bantuan kerana mereka mahu memuliakan Tuan kita. Mereka sedar bahawa bantuan sebegini akan membolehkan saudara saudari lain untuk terus menyembah Tuhan. Maka mereka menganggap peluang untuk menghulurkan bantuan sebagai suatu penghormatan yang besar.” Usaha ini telah membawa pujian kepada Yehuwa, membawa kelegaan kepada rakan seiman, dan menguatkan perpaduan kita.

11 Orang yang bukan Saksi juga menghargai kerja kita. Contohnya, selepas negeri Arkansas, A.S., dilanda bencana pada tahun 2013, sebuah surat khabar melaporkan, “Organisasi Saksi-Saksi Yehuwa telah mengaturkan pekerja sukarela dengan baik supaya mereka dapat memberikan bantuan dengan cekap dan mahir.” Ya, seperti yang dinyatakan oleh Paulus, kita memberikan ‘bantuan secara melimpah’ kepada saudara saudari yang menghadapi kesusahan.

12-14. (a) Mengapakah kita berusaha membantu mangsa bencana untuk bergiat semula dalam aktiviti rohani? (b) Apakah yang dikatakan oleh saudara saudari kita yang menunjukkan pentingnya untuk bergiat semula dalam aktiviti rohani?

12 Ketiga, kita membantu saudara saudari yang menderita akibat bencana supaya mereka dapat bergiat semula dalam aktiviti rohani. Mengapakah hal ini penting? Paulus menyatakan bahawa mereka yang dibantu akan terdorong untuk mengucapkan ‘banyak syukur kepada Tuhan.’ (2 Kor. 9:12b) Apabila mangsa-mangsa bencana bergiat semula dalam aktiviti rohani, itulah cara yang terbaik bagi mereka untuk mengungkapkan rasa syukur kepada Yehuwa. (Flp. 1:10) Pada tahun 1945, majalah The Watchtower menyatakan, ‘Paulus menyokong kerja mengumpulkan sumbangan yang dapat membantu saudara saudari Kristian yang menghadapi kesusahan. Dengan demikian, mereka dapat menginjil dengan lebih bersemangat.’ Hari ini, kita berbuat demikian untuk tujuan yang sama. Apabila saudara saudari yang menderita akibat bencana dapat bergiat semula dalam kerja penyebaran, mereka bukan sahaja dapat menguatkan jiran tetangga, malah dapat menabahkan diri sendiri.​—Baca 2 Korintus 1:3, 4.

13 Perhatikan beberapa komen daripada saudara-saudari kita yang dibantu untuk bergiat semula dalam aktiviti penyebaran dan yang digalakkan melalui aktiviti itu. Seorang saudara berkata, “Syukurlah kami sekeluarga dapat menyertai kerja penyebaran. Apabila kami mencuba melegakan hati orang lain, kami berasa seperti berehat seketika daripada rasa khuatir tentang masalah diri sendiri.” Seorang saudari berkata, “Dengan bergiat dalam aktiviti-aktiviti rohani, saya dibantu untuk melupakan kemusnahan di sekeliling saya. Saya berasa selamat.” Seorang lagi saudari berkata, “Walaupun banyak perkara berada di luar kawalan kami, aktiviti penyebaran membantu keluarga saya untuk bertumpu pada harapan masa depan kami. Setelah memberitahu orang tentang harapan dunia baru, kami semakin yakin bahawa semuanya akan menjadi baru.”

14 Rakan seiman kita di kawasan yang dilanda bencana juga perlu mula menghadiri perjumpaan dengan secepat yang mungkin. Kegiatan rohani ini sangat penting dan tidak patut diabaikan. Mari kita lihat apa yang berlaku kepada Kiyoko. Kawasannya telah dilanda tsunami semasa dia berumur lewat 50-an. Dia kehilangan segala-galanya kecuali pakaian dan kasut yang dipakainya. Dia berasa bingung dan tidak tahu bagaimana dia akan meneruskan kehidupannya. Kemudian seorang penatua memberitahunya bahawa mereka akan mengadakan perjumpaan di dalam kereta penatua itu. Kiyoko berkata, “Saya bersama penatua dan isterinya serta seorang saudari yang lain duduk di dalam kereta itu. Walaupun perjumpaan itu singkat sahaja, saya dibantu untuk melupakan peristiwa tsunami yang berlaku. Hal itu sungguh menakjubkan! Fikiran saya sangat tenang. Perjumpaan itu telah menunjukkan betapa pentingnya pergaulan Kristian.” Seorang saudari yang menghadiri perjumpaan selepas kawasannya dilanda bencana berkata, “Perjumpaan sedemikian membantu saya untuk bertahan.”​—Rm. 1:11, 12; 12:12.

Kerja Membantu Mangsa Bencana Membawa Manfaat yang Berkekalan

15, 16. (a) Apakah manfaat yang diraih oleh orang Kristian di Korintus dan di tempat lain semasa mereka membantu mangsa bencana? (b) Dewasa ini, apakah manfaat yang kita raih kerana membantu mangsa bencana?

15 Paulus juga menjelaskan kepada orang Korintus tentang manfaat yang akan diraih oleh mereka dan orang Kristian di tempat lain yang membantu mangsa bencana. Dia berkata, “Mereka [orang Kristian berbangsa Yahudi di Yerusalem yang telah dibantu] sangat mengasihi kamu dan mereka berdoa dengan bersungguh-sungguh bagi pihak kamu kerana Tuhan telah menunjukkan kebaikan hati-Nya yang sangat unggul kepada kamu.” (2 Kor. 9:14) Ya, kemurahan hati sidang Korintus telah mendorong orang Kristian berbangsa Yahudi untuk berdoa bagi saudara saudari mereka yang berbilang bangsa di Korintus. Hal ini pasti telah menyebabkan ikatan kasih antara mereka bertambah kukuh.

16 Seperti yang dikatakan oleh Paulus, kita juga memperoleh manfaat apabila kita membantu mangsa bencana. Mengenai hal ini, majalah The Watchtower terbitan 1 Disember 1945 menyatakan, “Apabila umat Tuhan membantu rakan seiman di tempat lain yang menghadapi kesusahan, bayangkanlah betapa kukuhnya perpaduan yang akan terjalin dalam kalangan mereka!” Hal itu tepat menggambarkan perasaan saudara saudari kita dewasa ini yang terlibat dalam kerja membantu mangsa bencana. “Saya berasa semakin rapat dengan saudara saudari kerana melakukan kerja ini,” kata seorang penatua yang terlibat dalam kerja membantu mangsa banjir. Seorang saudari sangat bersyukur kerana menerima bantuan. Dia berkata, “Persaudaraan yang kita miliki sekarang ini paling sesuai menggambarkan keadaan di bumi Firdaus.”​—Baca Amsal 17:17.

17. (a) Apakah kaitan kata-kata di Yesaya 41:13 dengan kerja membantu mangsa bencana? (b) Berikan beberapa contoh untuk menunjukkan bagaimana kerja membantu mangsa bencana memuliakan Yehuwa dan menguatkan ikatan perpaduan kita. (Lihat juga kotak “Pekerja Sukarela Membawa Kelegaan.”)

17 Apabila para pekerja sukarela tiba di tempat yang dilanda bencana, saudara saudari yang tinggal di situ dapat melihat bagaimana Tuhan menunaikan janji-Nya yang berikut: ‘Akulah Yehuwa, Tuhan kamu; Aku menguatkan kamu dan berfirman, “Jangan takut, Aku akan menolong kamu.”’ (Yes. 41:13) Seorang saudari yang terselamat berkata, “Saya hilang harapan setelah melihat kemusnahan yang berlaku, tetapi Yehuwa menghulurkan tangan-Nya. Bantuan yang diberikan oleh saudara saudari tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.” Selepas bencana alam membinasakan sebuah kawasan, dua orang penatua di situ menulis bagi pihak sidang mereka, “Gempa bumi membuat kami menderita, tetapi kami telah merasakan bagaimana Yehuwa menghulurkan bantuan melalui saudara saudari. Kami pernah membaca tentang kerja membantu mangsa bencana, tetapi kali ini, kami dapat melihatnya dengan mata sendiri.”

Peter Johnson bekerja dalam projek pembinaan

HALUAN HIDUPNYA BERUBAH

APAKAH kesan kerja membantu mangsa bencana ke atas kaum muda? Mari kita lihat pengalaman Peter Johnson, yang telah menyertai kerja itu buat kali pertama semasa dia berumur 18 tahun. Dia berkata, “Kesyukuran yang ditunjukkan oleh saudara saudari dan rasa sukacita yang diperoleh kerana membantu orang membuat saya sangat terharu. Tekad saya untuk berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati diperkukuh.” Selepas itu, Peter mula merintis. Dia juga bekerja di Bethel, dan kemudiannya berkhidmat dalam Jawatankuasa Pembinaan Serantau. Peter berkata, “Setelah menyertai kerja membantu mangsa bencana buat kali pertama pada tahun 1974, haluan hidup saya telah berubah.” Adakah anda masih muda? Dapatkah anda meniru teladan Peter? Jika anda berbuat demikian, barangkali kerja membantu mangsa bencana akan mengubah haluan hidup anda dalam khidmat Yehuwa!

Apakah Peranan Anda?

18. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda ingin menyertai kerja membantu mangsa bencana? (Lihat juga kotak “Haluan Hidupnya Berubah.”)

18 Inginkah anda menikmati sukacita yang diraih daripada kerja membantu mangsa bencana? Jika ya, ingatlah bahawa ahli-ahli kumpulan pembinaan Dewan Perjumpaan biasanya akan dipilih untuk menyertai kerja membantu mangsa bencana. Jadi beritahulah penatua bahawa anda ingin menyertai kumpulan pembinaan Dewan Perjumpaan. Seorang penatua yang berpengalaman dalam kerja membantu mangsa bencana memberikan peringatan berikut: “Jangan pergi ke tempat kejadian selagi anda belum menerima jemputan rasmi daripada Jawatankuasa Bantuan Bencana.” Jika kita bekerjasama, kerja membantu mangsa bencana dapat dilakukan dengan teratur.

19. Bagaimanakah saudara saudari kita yang membantu mangsa bencana menunjukkan bahawa mereka ialah pengikut Kristus yang sejati?

19 Salah satu cara kita mematuhi arahan Kristus untuk “saling mengasihi” adalah dengan menyertai kerja membantu mangsa bencana. Dengan berbuat demikian, kita membuktikan bahawa kita ialah pengikut Kristus yang sejati. (Yoh. 13:34, 35) Alangkah gembiranya kita kerana begitu ramai saudara saudari rela membantu para penyokong Kerajaan Tuhan yang ditimpa kesusahan! Usaha dan pengorbanan mereka sesungguhnya memuliakan Yehuwa!

a Bab ini membincangkan usaha untuk membantu saudara saudari kita yang ditimpa bencana. Namun, kerja kita sering kali juga membawa manfaat kepada orang yang bukan Saksi.​—Gal. 6:10.

b Paulus menggunakan perkataan di·aʹko·nos dalam bentuk jamak untuk merujuk kepada “pembantu sidang.”​—1 Tim. 3:12.

c Lihat rencana “Membantu Keluarga Rohani Kita di Bosnia,” dalam majalah The Watchtower terbitan 1 November 1994, muka surat 23-27.

Seberapa Nyatakah Kerajaan Tuhan bagi Anda?

  • Bagaimanakah kita tahu bahawa kerja membantu mangsa bencana ialah sebahagian daripada khidmat suci kita?

  • Apakah tiga sebab utama kita menjalankan kerja membantu mangsa bencana?

  • Bagaimanakah kerja membantu mangsa bencana membawa manfaat yang berkekalan?

  • Bagaimanakah kerja membantu mangsa bencana berkaitan dengan kata-kata Yesus di Yohanes 13:34?

PEKERJA SUKARELA MEMBAWA KELEGAAN

AFRIKA TENGAH DAN AFRIKA BARAT

Pada tahun 1994, pembunuhan kaum telah berlaku di Rwanda, dan kira-kira 800,000 orang (atau lebih) telah dibunuh. Akibatnya, keadaan porak-peranda juga merebak ke negara lain di Afrika Tengah, dan khemah pelarian menjadi sangat sesak dengan orang. Untuk membantu rakan seiman mereka, Saksi-Saksi Yehuwa di Belgium, Perancis, dan Switzerland telah menghantar bantuan melalui kapal terbang. Dalam masa beberapa minggu sahaja, kira-kira 300 tan pakaian, ubat-ubatan, khemah, makanan, dan bekalan lain telah sampai ke tangan saudara saudari kita di Afrika.

Selain itu, sepasukan doktor dan jururawat dari Perancis (10 orang) telah pergi ke Afrika untuk merawat rakan seiman yang sedang menderita akibat perang saudara, kebuluran, dan penyakit. Dalam masa dua tahun sahaja, mereka telah merawat lebih daripada 10,000 orang. Kerja mereka mengharumkan nama Yehuwa dan organisasi-Nya. “Semasa kami tiba,” kata seorang jururawat Saksi, “orang di situ berkata dengan rasa hormat, ‘Mereka ini Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka datang untuk membantu saudara saudari mereka.’” Selepas dibantu oleh seorang jururawat, seorang Saksi berseru, “Terima kasih, saudariku. Terima kasih, Yehuwa!”

Ada kalanya, bantuan kecemasan diperlukan semasa kemalangan yang teruk berlaku. Pada tahun 2012, kemalangan jalan raya di Nigeria telah meragut nyawa 13 orang Saksi (semua dari sebuah sidang yang kecil) dan terdapat 54 orang lagi yang cedera parah. Sebuah jawatankuasa bantuan telah mengaturkan penjagaan 24 jam bagi setiap mangsa. Semasa seorang pesakit di hospital nampak sokongan penuh yang diterima oleh saudara saudari kita, dia telah menelefon paderinya lalu berkata, “Tidak ada seorang pun daripada gereja kita yang datang melawat saya. Datanglah ke hospital untuk melihat kasih yang diperlihatkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.”

Meskipun saudara saudari kita dalam sidang yang kecil itu mengalami penderitaan yang besar, mereka dilegakan oleh kasih yang diperlihatkan oleh rakan seiman. Selain itu, selepas menyaksikan penjagaan penuh kasih yang diperlihatkan oleh saudara saudari, beberapa orang di sidang itu tergerak untuk melipatgandakan usaha dalam kerja penyebaran. Sebelum kemalangan itu, sidang tersebut mempunyai 35 orang penyiar. Dalam masa setahun sahaja, bilangan penyiar telah bertambah kepada 60 orang.

AUSTRALIA

Pada tahun 2013, sesetengah tempat di Queensland dilanda banjir dan 70 orang Saksi kehilangan tempat tinggal. Mark dan Rhonda serta anak perempuan mereka juga terpaksa meninggalkan rumah mereka dan pergi ke pusat pemindahan. Tempat itu sesak dengan orang. Rhonda berkata, “Kami hanya ada tempat untuk berdiri. Bunyi kuat daripada helikopter yang ulang-alik menyebabkan suasana menjadi lebih tegang.” Oleh sebab dia risau, dia bertanya kepada suaminya, “Apa yang harus kita lakukan sekarang?” Mark berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa untuk meminta bantuan-Nya. “Kira-kira 30 minit kemudian,” kata Rhonda, “sebuah kereta tiba, dan tiga orang saudara keluar dari kereta itu. Semasa kami berjumpa dengan mereka, mereka berkata, ‘Ikutlah kami. Kamu akan tinggal di rumah seorang saudara.’” Rhonda berkata lagi, “Kata-kata tidak dapat mengungkapkan perasaan kami pada masa itu. Kami telah merasai kasih dan keprihatinan organisasi Yehuwa.”

Lebih daripada 250 orang pekerja sukarela telah bergegas ke kawasan bencana itu bagi membantu rakan seiman. Seorang saudara yang lanjut usia berkata, “Sekumpulan Saksi tiba-tiba muncul lalu bekerja keras seperti semut. Mereka telah membersihkan rumah saya yang bersepah. Saya dan isteri saya tidak akan lupa bagaimana mereka telah membantu kami.”

BRAZIL

Pada tahun 2008, banjir lumpur di Santa Catarina telah memaksa kira-kira 80,000 orang untuk meninggalkan rumah mereka. Seorang penduduk di situ berkata bahawa banjir lumpur itu bagaikan tsunami yang menyebabkan kawasan itu penuh dengan tanah liat, lumpur, dan pokok. Sesetengah saudara saudari telah berlindung di dalam sebuah Dewan Perhimpunan. Saudara Márcio, penjaga dewan itu, berkata, “Mereka tidak sempat membawa apa-apa, dan pakaian mereka dipenuhi lumpur.” Seorang saudari berkata, “Kami rasa sangat sakit hati semasa rumah kami roboh di depan mata sendiri, tetapi saya tidak akan melupakan bagaimana saudara saudari telah melegakan hati kami. Kami telah merasai kasih mereka. Pengalaman itu mengajar saya pentingnya menghargai hal-hal rohani.”

Saksi-Saksi Yehuwa mengatur dan mengedarkan bekalan bantuan yang disumbangkan di Brazil

Dewan Perhimpunan di Santa Catarina, Brazil, yang dijadikan pusat bantuan kecemasan, 2009

Sebuah kawasan perumahan pada cerun gunung dekat bandar Rio de Janeiro telah dimusnahkan oleh banjir lumpur. Memandangkan kejadian sedemikian sering berlaku, sebuah Jawatankuasa Bantuan Bencana yang kekal telah ditubuhkan. Jika banjir lumpur bakal melanda, saudara tertentu akan serta-merta menghubungi jawatankuasa itu. Dengan segera, para pekerja sukarela akan tiba dalam lori yang bertanda “Saksi-Saksi Yehuwa​—Bantuan Kemanusiaan.” Dari awal lagi, para pekerja sukarela itu telah diberikan tugas masing-masing. Mereka semua memakai baju yang jelas menunjukkan bahawa mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka dan Jawatankuasa Perhubungan Hospital akan berganding bahu untuk membantu saudara saudari yang tercedera. Pekerja sukarela membawa masuk makanan, air, ubat-ubatan, pakaian, dan bahan pencuci. Kerja membersihkan lumpur dari rumah sangat mencabar. Baru-baru ini, selepas berlakunya banjir lumpur, kira-kira 60 pekerja sukarela diperlukan untuk membersihkan lumpur daripada sebuah rumah sahaja, dan lumpur yang dikeluarkan telah memenuhi empat lori!

PERSIAPAN UNTUK BENCANA

Badan Pimpinan telah mengarahkan semua cawangan di serata dunia untuk mengeluarkan garis panduan kepada penatua sidang dan penyelia lawatan. Dengan demikian, mereka dapat mengetahui caranya untuk membuat persiapan dan menangani keadaan semasa bencana melanda. Sebagai contoh, para penatua harus sentiasa memastikan bahawa mereka mempunyai maklumat perhubungan yang terkini bagi setiap anggota sidang.

APABILA BENCANA MELANDA!

  1. Seorang penatua Kristian melawat sebuah keluarga

    Penatua tempatan menghubungi semua penyiar

  2. Penatua melaporkan keadaan semasa kepada koordinator badan penatua

  3. Kitaran yang menunjukkan komunikasi antara koordinator sidang, penyelia lawatan dan saudara terlantik yang lain, serta pejabat cawangan

    Koordinator melaporkan keadaan semasa kepada penyelia lawatan dan saudara-saudara lain yang ditentukan oleh pejabat cawangan

  4. Bekalan makanan dan air

    Makanan, air, tempat berlindung, rawatan perubatan, sokongan emosi, dan sokongan rohani diberikan secepat mungkin

  5. Perbincangan berdasarkan laporan tentang keperluan lain bagi membantu mangsa bencana

    Pejabat cawangan menghantar laporan tentang situasi dan keperluan semasa kepada Jawatankuasa Koordinator Badan Pimpinan

  6. Mengedarkan bekalan bantuan

    Jawatankuasa Bantuan Bencana membuat aturan dan menawarkan bantuan jangka masa panjang kepada saudara saudari

  7. Sebuah kapal terbang di langit

    Jawatankuasa Koordinator menilai apa yang diperlukan. Jika perlu, mereka menghantar pekerja sukarela dari negara lain untuk membantu

SEBUAH BROSUR UNTUK MENJELASKAN USAHA ORGANISASI KITA

Muka depan brosur Jehovah’s Witnesses and Disaster Relief

PADA bulan Jun 2013, brosur Jehovah’s Witnesses and Disaster Relief telah dikeluarkan. Brosur ini disediakan khas untuk pegawai kerajaan di Amerika Syarikat yang memantau usaha-usaha untuk menangani kecemasan. Brosur ini menjelaskan tentang sesetengah usaha yang dijalankan oleh organisasi kita sejak pertengahan tahun 1940-an. Brosur itu juga mengandungi sebuah peta yang menunjukkan usaha kita di serata dunia. Seorang penatua yang terlibat dalam kerja membantu mangsa bencana berkata, “Sebelum bencana melanda, saudara-saudara dalam Jawatankuasa Bantuan Bencana akan pergi ke kawasan yang sering dilanda bencana untuk memberikan brosur ini kepada pegawai-pegawai tertentu. Apabila pegawai-pegawai ini sudah mengetahui kerja kita, permit untuk masuk ke kawasan yang dilanda bencana lebih senang diperoleh.”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi