PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Adakah Hal Itu Benar-Benar Berlaku?
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 1
    • TOPIK UTAMA | MENGAPAKAH YESUS MENDERITA DAN MATI?

      Adakah Hal Itu Benar-Benar Berlaku?

      Pada 33 M, Yesus dari Nasaret, dijatuhkan hukuman mati. Dia didakwa mencetuskan pemberontakan, dipukul dengan teruk, dan dipakukan pada tiang. Dia mati dalam kesakitan yang tidak dapat dibayangkan. Namun, Tuhan membangkitkannya, dan 40 hari kemudian, Yesus naik ke syurga.

      Kisah yang menakjubkan ini terdapat dalam Kitab Yunani Kristian, yang biasanya dipanggil Perjanjian Baru. Adakah hal ini benar-benar berlaku? Soalan ini sangat penting. Jika semua peristiwa ini tidak berlaku, iman orang Kristian sia-sia dan harapan untuk hidup kekal di Firdaus angan-angan belaka. (1 Korintus 15:14) Sebaliknya, jika semua peristiwa ini memang berlaku, manusia berpeluang menikmati masa depan yang cerah. Maka, adakah kisah Yesus fakta atau cerita rekaan?

      APAKAH FAKTANYA?

      Tidak seperti cerita dongeng, tulisan dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes tepat dan terperinci. Contohnya, nama tempat dalam catatan itu benar-benar wujud. Banyak tempat tersebut masih boleh dilawati hari ini. Para sejarawan juga menyokong tentang kewujudan orang yang disebutkan dalam catatan itu.​—Lukas 3:1, 2, 23.

      Penulis sekular pada abad pertama dan kedua pernah menyebut tentang Yesus.a Cara kematian Yesus yang dijelaskan dalam Bible adalah selaras dengan cara orang Roma menjatuhkan hukuman pada masa itu. Selain itu, kisah dalam Bible diceritakan dalam cara yang terus terang dan berdasarkan fakta, bahkan kesilapan para pengikut Yesus pun ditulis. (Matius 26:56; Lukas 22:24-26; Yohanes 18:10, 11) Semua bukti ini menunjukkan bahawa penulis Bible jujur dan menceritakan kisah Yesus dengan tepat.

      BAGAIMANA DENGAN PEMBANGKITAN YESUS

      Ramai orang percaya bahawa Yesus pernah hidup dan kemudian mati. Namun sesetengah orang mempersoalkan pembangkitannya. Para rasul pun tidak percaya laporan bahawa Yesus telah dibangkitkan. (Lukas 24:11) Namun mereka melihat Yesus yang sudah dibangkitkan, maka mereka pun percaya. Pernah sekali, lebih daripada 500 orang telah melihat Yesus yang sudah dibangkitkan.​—1 Korintus 15:6.

      Walaupun pengikut Yesus mempunyai risiko ditahan dan dibunuh, mereka dengan berani mengisytiharkan pembangkitan Yesus kepada semua orang termasuk musuh-musuhnya. (Kisah 4:1-3, 10, 19, 20; 5:27-32) Jika pengikut Yesus tidak yakin bahawa dia dibangkitkan, adakah mereka akan mengisytiharkan hal itu dengan berani? Sebenarnya, pembangkitan Yesus menjadi dorongan di sebalik agama Kristian yang tersebar di seluruh dunia pada zaman lampau dan juga sekarang.

      Catatan Bible mengenai kematian dan pembangkitan Yesus memang merupakan sejarah yang tepat. Dengan membaca catatan ini secara teliti, anda akan yakin bahawa peristiwa itu benar-benar berlaku. Keyakinan anda akan bertambah jika anda memahami mengapa hal itu berlaku. Rencana seterusnya akan menerangkan hal itu.

      a Tacitus yang lahir kira-kira pada 55 M menulis bahawa Kristus menderita hukuman yang berat di tangan seorang gabenor, iaitu Pontius Pilatus, semasa pemerintahan Tiberius. Suetonius (abad pertama); sejarawan Yahudi, Josephus (abad pertama); dan gabenor Bitinia, Pliny yang Muda (awal abad kedua) juga pernah menyebut tentang Yesus.

      Mengapakah Tidak Banyak Sumber Sekular yang Menyokong Hal Ini?

      Memandangkan Yesus mempunyai pengaruh yang besar terhadap dunia ini, mengapakah tidak ramai penulis, selain penulis Bible, yang menceritakan tentangnya? Satu sebab ialah catatan Bible tentang Yesus ditulis sekitar 2,000 tahun dahulu. Maka tidak banyak tulisan sekular pada masa itu yang masih wujud. (1 Petrus 1:24, 25) Selain itu, tidak mungkin musuh Yesus menulis sesuatu yang menyebabkan orang lain beriman kepadanya.

      Rasul Petrus menjelaskan, “Tuhan membangkitkan dia pada hari ketiga supaya orang lain dapat melihatnya. Tetapi bukan semua orang dapat melihatnya. Hanya kami, iaitu saksi-saksi yang telah dilantik terlebih dahulu oleh Tuhan, telah melihatnya. Kamilah yang telah makan dan minum bersamanya setelah dia dibangkitkan daripada kematian.” (Kisah 10:40, 41) Mengapakah bukan semua orang dapat melihatnya? Buku Matius menyatakan bahawa apabila musuh Yesus mendengar tentang pembangkitannya, mereka menghentikan laporan itu daripada tersebar.​—Matius 28:11-15.

      Adakah hal ini bermaksud bahawa Yesus ingin pembangkitannya dirahsiakan? Tidak. Petrus berkata, “Yesus juga mengarahkan kami untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh dan mengkhabarkan kepada bangsa kami bahawa dialah yang dilantik oleh Tuhan untuk menghakimi orang hidup dan orang mati.” Itulah yang dilakukan orang Kristian sejati.​—Kisah 10:42.

  • Mengapakah Yesus Menderita dan Mati?
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 1
    • TOPIK UTAMA

      Mengapakah Yesus Menderita dan Mati?

      “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa membawa kematian.”​—Roma 5:12

      Apakah jawapan anda jika anda ditanya, “Adakah anda ingin hidup selama-lamanya?” Kebanyakan orang mahu kehidupan kekal, tetapi mereka berasa bahawa hal itu mustahil. Hal ini adalah kerana kematian merupakan perkara biasa yang dialami semua hidupan.

      Bagaimana pula jika anda ditanya, “Adakah anda ingin mati?” Biasanya orang akan menjawab, “Tidak.” Apakah ertinya? Manusia mempunyai keinginan untuk terus hidup, walaupun mereka menghadapi cabaran dan dugaan. Tuhan menciptakan manusia dengan keinginan untuk hidup selama-lamanya.

      Namun, hakikatnya ialah manusia tidak hidup selama-lamanya. Apakah yang berlaku? Adakah Tuhan ingin memulihkan situasi ini? Bible memberikan jawapan yang melegakan hati. Hal ini berkait rapat dengan mengapa Yesus menderita dan mati.

      APAKAH YANG BERLAKU?

      Dalam Bible, tiga bab pertama dalam buku Kejadian menyatakan bahawa Tuhan memberi Adam dan Hawa peluang untuk hidup kekal serta memberitahu mereka cara untuk mendapatkannya. Kemudian, catatan itu juga menceritakan bahawa mereka mengingkari Tuhan lalu hilang harapan tersebut. Cerita ini sangat ringkas. Oleh itu, ada orang menganggapnya sebagai suatu legenda. Namun, seperti kisah Yesus, buku Kejadian juga merupakan catatan sejarah yang terbukti benar.a

      Adam gagal mentaati Tuhan. Apakah akibatnya? Bible berkata, “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang [Adam], dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Roma 5:12) Dengan mengingkari Tuhan, Adam berdosa. Maka, dia hilang peluang untuk hidup selama-lamanya dan akhirnya dia mati. Oleh sebab kita keturunan Adam, kita mewarisi dosa daripadanya. Itulah sebabnya kita jatuh sakit, menjadi tua, dan mati. Penjelasan ini adalah selaras dengan apa yang dikatakan para saintis tentang cara anak mewarisi ciri-ciri ibu bapa. Namun, adakah Tuhan cuba memulihkan situasi ini?

      APAKAH YANG DILAKUKAN TUHAN?

      Ya, Tuhan membuat aturan untuk menebus atau membeli kembali apa yang dihilangkan Adam, iaitu peluang bagi umat manusia untuk memperoleh kehidupan kekal.

      Roma 6:23 berkata, “Upah dosa ialah kematian.” Hal ini bermaksud bahawa kematian merupakan akibat dosa. Adam mati kerana dia berdosa. Begitu juga, kita menjadi hamba kepada kematian kerana kita berdosa. Namun, kita lahir dalam keadaan berdosa bukan kerana salah kita. Maka, Tuhan mengutus Anak-Nya, Yesus, untuk menanggung “upah dosa” kita. Bagaimana?

      Satu orang, iaitu Adam yang sempurna, menyebabkan kita berdosa dan mati melalui perbuatannya yang tidak taat. Maka, satu orang yang setia sampai akhir adalah diperlukan untuk menebus dosa kita. Bible menjelaskan, “Disebabkan keingkaran satu orang, banyak orang menjadi pendosa. Begitu juga, disebabkan kepatuhan satu orang, banyak orang mendapat perkenan Tuhan.” (Roma 5:19) Yesus ialah “satu orang” itu. Dia meninggalkan syurga, menjadi manusia sempurnab, dan mati demi kita. Hasilnya, kita dapat memupuk hubungan yang akrab dengan Tuhan dan berpeluang untuk hidup kekal.

      MENGAPA YESUS MENDERITA DAN MATI

      Namun, mengapakah Yesus perlu mati untuk melaksanakan hal ini? Bukankah Tuhan Yang Maha Tinggi dapat memerintahkan agar keturunan Adam memperoleh kehidupan kekal? Dia memang berhak untuk melakukannya. Tetapi, tindakan sebegitu akan menunjukkan bahawa Dia tidak mengendahkan hukum yang ditetapkan-Nya, iaitu upah dosa ialah kematian. Hukum itu bukanlah peraturan yang remeh-temeh dan boleh diubah atau dibatalkan bila-bila masa. Hukum itu menyingkapkan keadilan Tuhan.​—Mazmur 37:28.

      Jika Tuhan tidak menangani hal ini dengan adil, orang mungkin meragui tindakan-Nya dalam hal lain. Contohnya, semasa menentukan siapakah yang layak menerima kehidupan kekal, adakah Dia akan bertindak adil? Adakah janji-janji-Nya boleh dipercayai? Tindakan-Nya yang adil semasa berusaha untuk menyelamatkan kita dapat meyakinkan kita bahawa Tuhan sentiasa melakukan apa yang benar.

      Melalui tebusan Yesus, Tuhan memberikan harapan kehidupan kekal di bumi Firdaus. Yesus berkata di Yohanes 3:16, “Tuhan begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” Maka, kematian Yesus bukan hanya menggambarkan keadilan Tuhan, tetapi juga kasih-Nya terhadap manusia.

      Namun, mengapakah Yesus perlu menderita dan mati dalam cara yang menyakitkan? Iblis menuduh bahawa manusia tidak akan setia kepada Tuhan sewaktu dicubai. Namun, dengan tetap setia walaupun menghadapi ujian yang teruk, Yesus menyangkal tuduhan itu. (Ayub 2:4, 5) Tuduhan Iblis nampaknya benar apabila dia berjaya menyebabkan Adam berdosa. Tetapi Yesus, yang juga sempurna seperti Adam, tetap setia walaupun menghadapi penderitaan yang teruk. (1 Korintus 15:45) Dia membuktikan bahawa Adam boleh memilih untuk setia kepada Tuhan. Dengan bertabah menghadapi cubaan, Yesus memberi kita teladan untuk diikuti. (1 Petrus 2:21) Oleh sebab Yesus taat, Tuhan memberinya nyawa yang tidak dapat mati sebagai ganjaran.

      APAKAH MANFAAT BAGI ANDA?

      Kematian Yesus benar-benar berlaku. Kita berpeluang untuk hidup selama-lamanya. Adakah anda ingin hidup selama-lamanya? Yesus memberitahu kita apa yang harus dilakukan: “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.”​—Yohanes 17:3.

      Kami ingin menjemput anda untuk mempelajari lebih banyak tentang Yehuwa, Tuhan yang benar, dan tentang Anak-Nya, Yesus Kristus. Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan anda gembira untuk membantu anda. Anda juga boleh mendapatkan maklumat tambahan melalui laman web kami, www.pr2711.com/ms.

      a Lihat “Kejadian sebagai Buku Sejarah” dalam buku Pemahaman Alkitab dalam bahasa Indonesia, muka surat 1203, yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.

      b Tuhan memindahkan nyawa Anak-Nya ke dalam rahim Maria. Daya aktif Tuhan telah melindungi Yesus agar tidak mewarisi ketidaksempurnaan Maria.​—Lukas 1:31, 35.

      “Teruslah Melakukan Hal Ini”

      Pada malam sebelum menyerahkan nyawanya, Yesus mengumpulkan para rasul untuk memperkenalkan Peringatan kematiannya. Dia berkata kepada mereka, “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” (Lukas 22:19) Saksi-Saksi Yehuwa mentaati perintah ini dan berkumpul setiap tahun untuk memperingati kematian Yesus. Pada tahun lalu, sebanyak 19,862,783 orang menghadiri acara ini.

      Tahun ini, Peringatan kematian Yesus jatuh pada hari Rabu, 23 Mac, selepas matahari terbenam. Anda, keluarga, serta sahabat anda dijemput untuk hadir dan mendengar ceramah Bible. Ceramah itu menjelaskan mengapa kematian Yesus penting dan cara untuk mendapat manfaat daripadanya. Masuk adalah percuma dan tiada pungutan wang. Sila tanya Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan anda tentang masa dan tempat bagi acara itu. Anda juga boleh melayari laman web, www.pr2711.com/ms.

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi