PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Apabila Orang Tersayang Meninggal
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 3
    • TOPIK UTAMA

      Apabila Orang Tersayang Meninggal

      “Tuhan tahu yang terbaik, sayang. . . . Janganlah . . . menangis.”

      Kata-kata itu dibisikkan kepada seorang wanita yang bernama Bebe. Dia menghadiri upacara pengebumian ayahnya yang telah meninggal akibat kemalangan jalan raya.

      Walaupun sahabat Bebe berniat baik, hati Bebe terluka apabila dia mendengar kata-kata itu. Bebe rapat dengan ayahnya. Dia berasa bahawa kematian ayahnya bukanlah sesuatu yang baik. Bertahun kemudian, Bebe menceritakan kisah ini dalam sebuah buku. Jelaslah, dia masih bersedih.

      Bebe menyedari bahawa masa lama diperlukan untuk mengatasi kesedihan apabila kehilangan orang yang tersayang. Bible menjelaskan bahawa kematian ialah “musuh terakhir.” (1 Korintus 15:26) Ya, kematian boleh menghancurkan kehidupan kita, terutamanya apabila kita tiba-tiba kehilangan orang tersayang. Kita tidak kebal terhadap kesan yang dibawa oleh kematian. Maka tidak hairanlah apabila orang tersayang meninggal, kita memang tidak tahu cara mengatasi kesedihan.

      Mungkin anda pernah tertanya: “Berapa lamakah masa diperlukan untuk mengatasi kesedihan? Bagaimanakah seseorang boleh menangani perasaan sedih? Bagaimanakah saya boleh menghiburkan hati mereka yang kehilangan orang tersayang? Apakah harapan bagi mereka yang sudah meninggal?”

  • Adakah Salah untuk Bersedih?
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 3
    • TOPIK UTAMA | APABILA ORANG TERSAYANG MENINGGAL

      Adakah Salah untuk Bersedih?

      Pernahkah anda jatuh sakit untuk suatu jangka masa? Anda mungkin cepat sembuh dan lupa tentang hal itu. Namun, kesedihan bukanlah seperti itu. Dalam bukunya Healing a Spouse’s Grieving Heart, Doktor Alan Wolfelt menyatakan, “Kita tidak boleh ‘mengatasi’ kesedihan.” Dia menambah, “Dengan peredaran masa dan bantuan daripada orang, kesedihan kita boleh beransur-ansur kurang.”

      Misalnya, fikirkan contoh Abraham. Teks asal Bible berkata bahawa “Abraham mula sedih dan meratapi kematian isterinya.” Ungkapan “mula” dalam bahasa asal membawa maksud bahawa masa yang lama diperlukan oleh Abraham untuk menghadapi kehilangan isterinya.a Satu lagi contoh ialah Yakub. Dia terpedaya dan menyangka bahawa anaknya Yusuf dibunuh oleh binatang buas. Dia meratapi anaknya “berhari-hari lamanya” dan ahli keluarganya pun tidak dapat menghiburkan hatinya. Walaupun bertahun-tahun berlalu, kematian Yusuf masih bermain dalam fikirannya.​—Kejadian 23:2; 37:34, 35; 42:36; 45:28.

      Hari ini, hal yang sama dialami oleh mereka yang kehilangan orang yang tersayang. Perhatikan dua contoh berikut.

      • “Suami saya Robert meninggal pada 9 Julai 2008. Seperti hari biasa, kami bersarapan bersama, kemudian memberikan ciuman, memeluk, dan meluahkan kata-kata cinta sebelum dia pergi kerja. Namun, dia terlibat dalam kemalangan jalan raya pada hari itu. Enam tahun sudah berlalu, tetapi hati saya masih berasa pilu. Saya tidak dapat melupakan Rob.”​—Gail, umur 60 tahun.

      • “Walaupun saya sudah kehilangan isteri lebih daripada 18 tahun, saya sangat merinduinya dan masih berasa sedih. Apabila saya menikmati keindahan alam semula jadi, saya terfikir tentang isteri saya. Saya berasa dia juga akan nikmati apa yang saya nikmati sekarang.”​—Etienne, umur 84 tahun.

      Jelaslah, perasaan yang menyakitkan dan berlarutan ini biasa dialami. Setiap orang meratapi kematian orang tersayang dalam cara tersendiri. Maka adalah tidak wajar untuk menghakimi cara orang lain menghadapi tragedi sebegini. Kita juga tidak harus menyalahkan diri jika reaksi kita nampaknya keterlaluan semasa orang yang kita sayangi meninggal. Jadi, bagaimanakah kita boleh menangani kesedihan ini?

      a Anak Abraham iaitu Ishak juga bersedih buat masa yang lama. Dia masih meratapi kehilangan ibunya, Sara, selama tiga tahun.​—Kejadian 24:67.

  • Menangani Perasaan Sedih
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 3
    • TOPIK UTAMA | APABILA ORANG TERSAYANG MENINGGAL

      Menangani Perasaan Sedih Anda

      Terdapat banyak nasihat mengenai topik ini. Namun, bukan semuanya membantu. Contohnya, sesetengah orang mungkin menasihati anda supaya jangan menangis atau menunjukkan emosi. Yang lain pula mengatakan sebaliknya. Walau bagaimanapun, pandangan Bible adalah seimbang dan penyelidikan terkini setuju dengan pandangan Bible.

      Dalam sesetengah budaya, golongan lelaki dianggap lemah jika menangis di khalayak ramai. Namun, adakah mereka perlu berasa malu untuk menangis? Pakar kesihatan mental mengakui bahawa menitiskan air mata adalah sebahagian daripada kesedihan. Dengan berbuat demikian, anda dibantu untuk terus bertabah walaupun kehilangan orang tersayang. Jika kesedihan tidak diluahkan, hal ini memudaratkan anda. Bible tidak mengatakan bahawa adalah salah bagi lelaki untuk menangis. Fikirkan Yesus yang kehilangan sahabat karibnya, Lazarus. Yesus menangis di depan ramai orang walaupun dia mempunyai kuasa untuk membangkitkan Lazarus!​—Yohanes 11:33-35.

      Ada yang berasa marah, terutamanya apabila mereka kehilangan orang tersayang secara tiba-tiba. Ada juga alasan lain mengapa mereka berasa sedemikian. Contohnya, orang mungkin mengatakan kata-kata yang tidak berperasaan. Mike dari Afrika Selatan berkata, “Saya berumur 14 tahun apabila ayah meninggal. Semasa upacara pengebumian, paderi berkata bahawa Tuhan memerlukan orang yang baik dan mengambil mereka.a Hal ini membuat saya marah kerana kami masih memerlukan ayah. Walaupun 63 tahun sudah berlalu, saya masih berasa sedih.”

      Bagaimana pula dengan perasaan bersalah? Terutamanya apabila kita kehilangan orang tersayang secara tiba-tiba, kita mungkin berfikir berulang kali, “Kematiannya dapat dielakkan jika saya melakukan sesuatu.” Selain itu, mungkin kali terakhir anda berjumpa dengannya, anda telah bertengkar dengannya. Hal ini boleh menyebabkan anda berasa bersalah.

      Jika anda menderita kerana berasa bersalah atau marah, janganlah pendamkan perasaan itu. Sebaliknya, luahkanlah perasaan itu kepada seorang sahabat yang dapat mendengar dan meyakinkan anda bahawa perasaan itu biasa dialami. Bible berkata, “Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.”​—Amsal 17:17.

      Sahabat terbaik bagi orang yang sedih ialah Pencipta kita, Tuhan Yehuwa. Luahkanlah perasaan anda kepada-Nya dalam doa kerana “dia mengambil berat” tentang anda. (1 Petrus 5:7) Tambahan lagi, Dia berjanji untuk menenangkan pemikiran dan perasaan anda melalui “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Filipi 4:6, 7) Selain itu, izinkanlah Tuhan untuk melegakan hati anda melalui Firman-Nya, Bible. Buatlah senarai ayat Bible yang menghiburkan hati. (Lihat kotak.) Anda boleh menghafal ayat-ayat itu. Dengan merenungkannya, hal ini dapat membantu anda apabila anda berasa sunyi dan sukar untuk tidur.​—Yesaya 57:15.

      Jack yang berumur 40 tahun telah kehilangan isteri akibat penyakit barah. Jack berkata bahawa ada kalanya dia sangat sunyi. Namun, doa telah membantunya. “Apabila saya berdoa kepada Yehuwa, saya tidak berasa sunyi,” kata Jack. “Saya sering terbangun pada waktu malam dan tidak dapat tidur. Selepas membaca dan merenungkan ayat-ayat Bible yang melegakan hati dan meluahkan perasaan melalui doa, saya merasakan ketenangan jiwa dan ketenteraman yang mendalam. Hal ini menenangkan minda dan hati saya serta membantu saya untuk tidur.”

      Seorang wanita muda yang bernama Vanessa kehilangan ibunya akibat penyakit. Dia juga mendapat bantuan melalui doa. Dia berkata, “Pada masa yang paling susah, saya akan menyeru nama Tuhan lalu menangis. Yehuwa mendengar doa saya dan memberikan kekuatan kepada saya.”

      Sesetengah penasihat memberitahu mereka yang kehilangan orang tersayang untuk membantu orang lain atau melibatkan diri dalam kerja sukarela. Hal ini dapat membawa sukacita dan mengurangkan kesedihan. (Kisah 20:35) Banyak orang Kristian yang pernah kehilangan orang tersayang mendapati bahawa membantu orang lain dapat membawa kelegaan hati.​—2 Korintus 1:3, 4.

      a Pandangan ini bukan ajaran Bible. Bible mengajar bahawa terdapat tiga punca kematian.​—Pengkhutbah 9:12; Yohanes 8:44; Roma 5:12.

      AYAT BIBLE YANG MELEGAKAN

      • Tuhan dapat merasai kesedihan anda.​—Mazmur 55:23; 1 Petrus 5:7.

      • Tuhan mendengar doa hamba-Nya dengan sabar.​—Mazmur 86:5; 1 Tesalonika 5:17.

      • Tuhan rindu orang yang sudah meninggal.​—Job 14:13-15, NW.

      • Tuhan akan membangkitkan orang mati.​—Yesaya 26:19; Yohanes 5:28, 29.

  • Menghiburkan Mereka yang Bersedih
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 3
    • TOPIK UTAMA | APABILA ORANG TERSAYANG MENINGGAL

      Menghiburkan Mereka yang Bersedih

      Pernahkah anda berasa tidak berdaya apabila berada di samping mereka yang kehilangan orang tersayang? Kita mungkin tidak pasti apa yang harus dikatakan atau dilakukan. Akhirnya kita hanya berdiam diri. Namun, kita boleh menghulurkan bantuan praktikal.

      Biasanya, mereka memerlukan kehadiran anda dan luahan perasaan simpati atas kehilangan yang mereka alami. Dalam banyak budaya, memberikan mereka pelukan atau belaian merupakan cara yang berkesan untuk menunjukkan keprihatinan. Jika orang itu ingin meluahkan isi hatinya, dengarlah dengan simpati. Cara terbaik adalah memberikan bantuan praktikal, seperti memasak, menjaga anak, atau membantu mengaturkan upacara pengebumian jika mereka perlukan. Perbuatan sedemikian mungkin lebih berkesan daripada kata-kata.

      Selepas satu jangka masa, anda boleh mengongsi hal-hal baik tentang orang yang meninggal itu, seperti sifat baiknya atau pengalaman yang menggembirakan bersamanya. Perbualan sedemikian dapat menghiburkan hati keluarga yang kehilangan orang tersayang itu. Contohnya, Pam yang kehilangan suaminya, Ian, enam tahun dahulu berkata, “Ada kalanya, orang lain memberitahu saya perkara baik tentang Ian yang saya tidak ketahui. Hal ini menggembirakan hati saya.”

      Para penyelidik menyatakan bahawa banyak orang yang kehilangan orang tersayang menerima bantuan pada awalnya tetapi kemudiannya dilupakan oleh kawan-kawan yang sibuk. Maka, jika kawan anda kehilangan orang tersayang, cubalah hubunginya secara tetap.a Mereka sangat menghargai bantuan ini kerana mereka dapat meluahkan perasaan sedih mereka.

      Perhatikan contoh Kaori, wanita muda dari Jepun. Hatinya hancur luluh apabila ibunya meninggal. Lima belas bulan kemudian, kakaknya pula meninggal. Pada masa itu, dia sangat menghargai sokongan berterusan yang diberikan kawan-kawannya. Ritsuko yang lebih tua daripada Kaori juga ingin menjadi sahabatnya. Lambat laun Kaori mula menganggap Ritsuko sebagai “Mama.” Kaori berkata, “Sejujurnya, saya tidak begitu gembira. Saya tidak ingin sesiapa pun mengambil alih tempat ibu dan saya rasa bahawa tiada yang berhak melakukannya. Namun, cara layanan Mama Ritsuko membuat saya rapat dengannya. Setiap minggu, kami menginjil dan menghadiri perjumpaan Kristian bersama. Dia juga menjemput saya untuk minum bersama, memasak untuk saya, dan selalu menulis surat serta kad kepada saya. Sikap positif Mama Ritsuko memberikan pengaruh yang baik kepada saya.”

      Dua belas tahun telah berlalu sejak kematian ibu Kaori. Sekarang, dia dan suaminya merupakan penginjil sepenuh masa. Kaori berkata, “Mama Ritsuko masih menunjukkan keprihatinannya. Apabila saya balik ke Jepun, saya selalu menikmati pergaulan yang membina bersamanya.”

      Poli juga mendapat manfaat daripada sokongan yang berterusan. Dia seorang Saksi-Saksi Yehuwa di Cyprus. Suami Poli, iaitu Sozos sangat baik hati. Dia seorang penatua dalam sidang dan selalu menjemput anak yatim serta balu ke rumah untuk bergaul dan makan bersama. (Yakobus 1:27) Namun, Sozos meninggal pada umur 53 tahun disebabkan tumor otak. Poli berkata, “Saya kehilangan seorang suami yang setia bersama saya selama 33 tahun.”

      Selepas upacara pengebumian, Poli berpindah ke Kanada bersama anak bongsunya, Daniel, yang berumur 15 tahun. Di sana, mereka menyertai sidang Saksi-Saksi Yehuwa. Poli berkata, “Saudara saudari dalam sidang baru saya tidak tahu tentang latar belakang kami dan situasi sukar yang kami hadapi. Namun, itu tidak menghalang mereka daripada mendekati kami dan melegakan hati kami dengan kata-kata serta memberikan bantuan praktikal. Kami sangat menghargai bantuan mereka kerana anak saya sangat memerlukan ayahnya pada masa itu! Mereka yang mengambil pimpinan dalam sidang menunjukkan keprihatinan yang mendalam terhadap Daniel. Salah seorang selalu menjemput Daniel untuk bergaul dan bermain bola bersama.” Sekarang, Poli dan Daniel dapat menjalankan kehidupan seperti biasa.

      Terdapat banyak cara kita boleh membantu dan menghiburkan hati mereka yang kehilangan orang tersayang. Bible juga melegakan hati kita dengan menjanjikan harapan yang menakjubkan tentang masa depan.

      a Sesetengah orang menandakan tarikh seseorang meninggal pada kalendar. Sekitar masa itu, mereka menghubungi dan menghiburkan ahli keluarga orang yang meninggal itu.

  • Orang yang Meninggal Akan Hidup Kembali!
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 3
    • TOPIK UTAMA | APABILA ORANG TERSAYANG MENINGGAL

      Orang yang Meninggal Akan Hidup Kembali!

      Anda mungkin ingat tentang Gail yang disebutkan pada awal siri rencana ini. Dia meragui sama ada dia dapat menangani kesedihan akibat kematian suaminya, Rob. Namun, dia kini menantikan masanya apabila dia akan bertemu dengan Rob di dunia baru yang dijanjikan Tuhan. Dia berkata, “Ayat kegemaran saya ialah Wahyu 21:3, 4.” Ayat itu berkata, “Tuhan sendiri akan menyertai mereka. Dia akan menyapu semua air mata mereka, dan kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi. Perkara-perkara yang lama sudah lenyap.”

      Gail berkata, “Inilah harapan yang diperlukan! Saya bersimpati dengan mereka yang kehilangan orang tersayang tetapi tidak mengetahui harapan ini.” Gail melakukan kerja sukarela sebagai penginjil sepenuh masa. Dia mengongsi dengan orang lain tentang janji Tuhan bahawa “kematian tidak akan ada lagi.”

      Adakah hal ini mustahil? Fikirkan seorang lelaki yang bernama Ayub. Dia mengalami kesengsaraan akibat penyakitnya. (Ayub 2:7) Walaupun dia ingin mati, dia masih beriman terhadap kuasa Tuhan untuk membangkitkannya di bumi. Dia berkata dengan yakin, “Alangkah baiknya jika Engkau menyembunyikan aku di dalam Kuburan! . . . Engkau akan memanggil aku, dan aku akan menjawab. Sesungguhnya, Engkau sangat ingin membangkitkan mereka yang sudah mati.” (Ayub 14:13, 15, NW) Ayub yakin bahawa Tuhan akan merinduinya dan ingin membangkitkannya.

      Tidak lama lagi, Tuhan akan melakukan hal ini apabila Dia mengubah bumi menjadi firdaus. (Lukas 23:42, 43) Kisah 24:15 menyatakan, “Tuhan akan membangkitkan orang.” Yesus meyakinkan kita, “Janganlah kamu hairan akan hal ini kerana masanya akan tiba apabila semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suaranya.” (Yohanes 5:28, 29) Ayub akan melihat janji ini menjadi kenyataan. Selain itu, “badannya akan menjadi kuat perkasa, segar seperti orang muda.” (Ayub 33:24, 25) Harapan pembangkitan diberikan kepada semua yang menghargai pemberian Tuhan.

      Jika anda menderita kerana kehilangan orang tersayang, maklumat dalam rencana ini mungkin tidak dapat menyingkirkan kesedihan anda dengan sepenuhnya. Namun, dengan merenungkan janji-janji Tuhan yang terdapat dalam Bible, anda dapat memperoleh harapan dan kekuatan untuk terus bertabah.​—1 Tesalonika 4:13.

      Adakah anda ingin belajar lebih banyak tentang cara menangani kesedihan? Adakah anda mempunyai soalan seperti “Mengapakah Tuhan membenarkan kejahatan dan penderitaan?” Sila layari laman web kami, jw.org/ms, untuk mendapat jawapan Bible yang praktikal dan melegakan.

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi