PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Kita Memerlukan Kelegaan Hati
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 4
    • TOPIK UTAMA | CARA MENDAPAT KELEGAAN HATI

      Kita Memerlukan Kelegaan Hati

      Seorang ibu melegakan hati anak lelakinya

      Anda mungkin pernah terjatuh semasa kecil. Tangan atau lutut anda terluka. Dapatkah anda ingat cara ibu melegakan hati anda? Ibu anda mungkin membersihkan luka itu dan membalutnya. Walaupun anda menangis, kata-kata ibu yang lembut dan pelukannya menenangkan anda. Pada zaman kanak-kanak, kelegaan hati senang diperoleh.

      Namun, kehidupan menjadi semakin rumit apabila kita dewasa. Masalah menjadi semakin besar dan kelegaan hati susah diperoleh. Sedihnya, masalah sebegini tidak dapat diselesaikan dengan balutan dan pelukan ibu. Lihatlah beberapa contoh.

      • Pernahkah anda berasa susah hati kerana kehilangan pekerjaan? Julian berkata bahawa apabila dipecat, dia terkejut dan berasa resah. Dia berfikir, “Bagaimana saya dapat menyara keluarga saya? Selepas bertahun-tahun membanting tulang, mengapa syarikat berasa saya tidak berguna?”

      • Anda mungkin berasa kecewa kerana keruntuhan perkahwinan anda. Raquel berkata, “Apabila suami saya tiba-tiba meninggalkan saya 18 bulan dahulu, saya berasa sangat sedih dan hati saya hancur berkecai. Saya berasa sakit secara fizikal dan emosi. Saya berasa takut.”

      • Anda mungkin mengalami masalah kesihatan serius yang sukar untuk sembuh. Ada kalanya, anda mungkin berasa seperti Ayub yang mengeluh, “Aku bosan hidup; aku ingin mati.” (Ayub 7:16) Anda mungkin memahami perasaan Luis, seorang lelaki berusia 80-an, yang mengaku, “Ada kalanya, saya hanya tunggu maut.”

      • Anda mungkin memerlukan kelegaan hati kerana kehilangan orang tersayang. Robert berkata, “Apabila anak lelaki saya terbunuh dalam nahas kapal terbang yang tragik, saya tidak dapat percaya. Kemudian, saya berasa sakit hati. Bible menggambarkan kesakitan ini seperti ditembusi sebilah pedang yang panjang.”​—Lukas 2:35.

      Robert, Luis, Raquel, dan Julian memperoleh kelegaan hati walaupun dalam keadaan yang merunsingkan. Mereka telah mendapat kelegaan hati daripada Individu yang terbaik, iaitu Tuhan Yang Maha Kuasa. Bagaimanakah Tuhan memberikan kelegaan hati? Adakah Dia akan memberikan kelegaan hati yang anda perlukan?

  • Cara Tuhan Melegakan Hati
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 4
    • Yesus menyentuh pesakit kusta sebelum menyembuhkannya

      TOPIK UTAMA | CARA MENDAPAT KELEGAAN HATI

      Cara Tuhan Melegakan Hati

      Rasul Paulus menjelaskan bahawa Yehuwaa ialah “Tuhan yang melegakan hati kita . . . semasa kita mengalami segala macam cubaan.” (2 Korintus 1:3, 4) Maka, Bible meyakinkan kita bahawa Tuhan dapat membantu dan melegakan hati sesiapa pun tidak kira apa jua tragedi yang berlaku.

      Sudah tentu, kita perlu melakukan sesuatu untuk memperoleh kelegaan daripada Tuhan. Contohnya, bagaimanakah anda boleh mendapatkan bantuan doktor jika anda tidak membuat temu janji untuk berjumpa dengannya? Nabi Amos berkata, “Bolehkah dua orang berangkat bersama-sama tanpa berjanji untuk berjumpa terlebih dahulu?” (Amos 3:3) Alkitab menggalakkan kita: “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.”​—Yakobus 4:8.

      Mengapakah kita boleh pasti bahawa Tuhan akan menghampiri kita? Pertama, kerana Dia berulang kali berkata bahawa Dia ingin membantu kita. (Lihat kotak.) Kedua, kerana terdapat bukti yang meyakinkan daripada orang yang pernah menerima kelegaan hati daripada Tuhan pada masa lampau dan sekarang.

      Ramai orang hari ini meminta pertolongan daripada Tuhan. Dahulu, Raja Daud pun pernah mengalami tragedi. Maka dia merayu kepada Tuhan, “Dengarkanlah aku ketika aku berseru meminta pertolongan.” Adakah Tuhan membantunya? Ya, Daud berkata, “Dia menolong aku dan menggirangkan hatiku.”​—Mazmur 28:2, 7.

      YESUS MELEGAKAN HATI ORANG

      Tuhan ingin Yesus memainkan peranan utama untuk memberikan kelegaan. Antara tugas Yesus yang diberikan Tuhan adalah untuk “memulihkan orang yang hancur hati” dan “menghiburkan orang yang berduka.” (Yesaya 61:1, 2) Seperti yang dinubuat, Yesus mengambil berat terhadap orang yang “lelah kerana memikul beban yang berat.”​—Matius 11:28-30.

      Yesus melegakan hati orang dengan memberikan nasihat yang bijak, melayani orang dengan baik, dan menyembuhkan orang dalam beberapa situasi. Pada suatu hari, seorang pesakit kusta merayu kepada Yesus, “Jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.” Yesus mengasihaninya dan menjawab, “Aku rela. Sembuhlah!” (Markus 1:40, 41) Pesakit kusta itu pun disembuhkan.

      Hari ini, Anak Tuhan tidak lagi berada di bumi untuk melegakan kita. Namun, Bapanya, iaitu “Tuhan yang melegakan hati,” masih memberikan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesusahan. (2 Korintus 1:3) Lihatlah empat cara yang digunakan Tuhan untuk melegakan hati orang.

      • Alkitab. “Segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.”​—Roma 15:4.

      • Daya Aktif Tuhan. Tidak lama selepas kematian Yesus, semua sidang Kristian menikmati kedamaian. Mengapa? “Kerana mereka sentiasa takut akan Yehuwa dan hidup selaras dengan galakan yang diterima menerusi daya aktif Tuhan.” (Kisah 9:31) Daya aktif Tuhan sangat berkuasa. Tuhan akan menggunakannya untuk melegakan hati sesiapa sahaja dalam apa jua situasi.

      • Doa. Bible menasihati kita, “Janganlah khuatir akan apa-apa pun.” Sebaliknya, “nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan. . . . Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”​—Filipi 4:6, 7.

      • Rakan Kristian. Kita juga boleh bergantung pada kawan-kawan sejati untuk melegakan hati kita. Rasul Paulus menggambarkan sahabatnya sebagai “sumber kelegaan hati yang besar” semasa menghadapi “penderitaan dan kesengsaraan.”​—Kolose 4:11; 1 Tesalonika 3:7.

      Dua orang Saksi-Saksi Yehuwa melegakan hati seorang rakan seiman

      Namun, anda mungkin tertanya-tanya sama ada apa yang dikatakan di atas itu benar. Mari kita melihat pengalaman orang yang menghadapi kesusahan seperti yang disebut dalam rencana sebelumnya. Seperti mereka, anda juga boleh merasai kebenaran janji Tuhan yang menyentuh hati ini: ‘Aku akan menghibur kamu, seperti ibu menghibur anaknya.’​—Yesaya 66:13.

      a Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat di dalam Bible.

      Mengapa Kita Tahu bahawa Tuhan Ingin Melegakan Kita

      • “Engkau menghiburkan dan menolong aku.”​—Mazmur 86:17.

      • ‘“Hiburkanlah umat-Ku, hiburkanlah mereka!” firman Tuhan.’​—Yesaya 40:1.

      • ‘Yehuwa berfirman, “Aku akan menghibur kamu, seperti ibu menghibur anaknya.”’​—Yesaya 66:12, 13.

      • “Berbahagialah orang yang berdukacita, kerana hati mereka akan dilegakan.”​—Matius 5:4.

      • “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”​—1 Petrus 5:7.

  • Mendapat Kelegaan Semasa Kesusahan
    Menara Pengawal (Umum)—2016 | No. 4
    • TOPIK UTAMA | CARA MENDAPAT KELEGAAN HATI

      Mendapat Kelegaan Semasa Kesusahan

      Kesusahan boleh datang dalam pelbagai bentuk. Kita tidak dapat membincangkan setiap jenis kesusahan, tetapi mari kita melihat empat contoh yang telah disebut. Perhatikan bagaimana orang mendapat kelegaan daripada Tuhan semasa menghadapi kesusahan.

      SEMASA HILANG PEKERJAAN

      Jonathan membersih tingkap

      “Saya belajar untuk menerima apa sahaja pekerjaan dan mengurangkan perbelanjaan.”​—Jonathan

      Setha berkata, “Saya dan isteri kehilangan pekerjaan pada masa yang sama. Selama dua tahun, kami perlu hidup bergantung pada sumbangan daripada keluarga dan melakukan kerja sampingan. Akibatnya, isteri saya Priscilla, menjadi murung dan saya berasa tidak berguna.”

      “Bagaimana kami menanganinya? Priscilla selalu ingat tentang kata-kata Yesus di Matius 6:34 bahawa kami tidak patut khuatir tentang hari esok, kerana setiap hari mempunyai kekhuatiran sendiri. Doa Priscilla telah menguatkannya. Bagi saya, Mazmur 55:23 sangat menghiburkan. Saya menyerahkan kekhuatiran kepada Yehuwa dan Dia menjaga saya. Walaupun sekarang saya mempunyai pekerjaan, kami tetap hidup sederhana selaras dengan nasihat Yesus di Matius 6:20-22. Yang terpenting, kami mendekati Tuhan dan satu sama lain.”

      Jonathan berkata, “Apabila perniagaan keluarga kami gulung tikar, saya takut tentang masa depan. Oleh sebab krisis ekonomi, usaha saya selama 20 tahun menjadi sia-sia. Saya dan isteri mula bertengkar tentang wang. Kami tidak berani membeli barang dengan kad kredit kerana takut pembayaran ditolak.”

      “Namun Firman Tuhan dan daya aktif-Nya membantu kami membuat keputusan yang bijak. Saya belajar untuk menerima apa sahaja pekerjaan dan mengurangkan perbelanjaan. Sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kami juga mendapat sokongan daripada rakan seiman. Mereka meyakinkan kami dan menghulurkan bantuan pada saat-saat yang sukar.”

      MENGHADAPI KERUNTUHAN PERKAHWINAN

      Raquel berkata, “Apabila suami saya tiba-tiba meninggalkan saya, saya berasa terluka dan marah. Saya diselubungi kesedihan. Namun, saya menghampiri Tuhan dan mendapat kelegaan. Apabila saya berdoa kepada Tuhan setiap hari, kedamaian daripada-Nya menjaga hati saya. Tuhan seolah-olah telah membalut hati saya yang terluka.”

      “Saya berterima kasih kerana Alkitab membantu saya mengatasi perasaan marah dan dendam. Saya mengingati kata-kata Rasul Paulus di Roma 12:21, ‘Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi teruslah kalahkan kejahatan dengan kebaikan.’”

      Raquel mengongsi ayat Bible dengan seorang wanita

      “‘Ada waktu untuk berhenti mencari.’ . . . Sekarang, saya mempunyai matlamat baru dalam hidup saya.”​—Raquel

      “Seorang sahabat karib membantu saya untuk melihat bahawa hidup perlu diteruskan. Dia menunjukkan saya ayat di Pengkhutbah 3:6 (NW) dan menjelaskan kepada saya bahawa ‘ada waktu untuk berhenti mencari.’ Walaupun nasihat itu sukar, tetapi itulah yang saya perlukan. Sekarang, saya mempunyai matlamat baru dalam hidup saya.”

      Elizabeth berkata, “Apabila perkahwinan anda runtuh, anda memerlukan bantuan. Saya mempunyai seorang kawan rapat yang telah membantu saya hari demi hari. Dia menangis bersama saya, melegakan saya, dan membuat saya berasa dikasihi dan bukannya berasa terabai. Saya yakin bahawa Yehuwa menggunakan dia untuk menyembuhkan luka emosi saya.”

      APABILA SAKIT ATAU LANJUT USIA

      Luis berdoa kepada Tuhan meminta kekuatan

      “Selepas berdoa, daya aktif-Nya menguatkan saya.”​—Luis

      Luis, yang disebutkan pada permulaan siri rencana ini, mempunyai masalah jantung dan hampir mati dalam dua situasi. Dia memerlukan bantuan oksigen selama 16 jam sehari. Dia berkata, “Saya sentiasa berdoa kepada Yehuwa. Selepas berdoa, daya aktif-Nya menguatkan saya. Doa membantu saya untuk bertabah kerana saya beriman kepada-Nya dan tahu bahawa Dia mengambil berat tentang saya.”

      Petra yang berusia 80-an berkata, “Saya ingin melakukan banyak perkara, tetapi tidak larat. Bukannya senang untuk melihat tenaga saya semakin berkurangan. Saya cepat letih dan perlu bergantung pada ubat. Saya sering terfikir tentang Yesus yang meminta Bapanya menjauhkan penderitaan daripadanya jika boleh. Walaupun demikian, Yehuwa menguatkan Yesus, Dia juga menguatkan saya. Doa bagaikan terapi bagi saya setiap hari. Saya berasa lebih lega selepas berdoa kepada Tuhan.”​—Matius 26:39.

      Selama 30 tahun, Julian bergelut dengan sklerosis berganda. Dia juga mempunyai perasaan yang sama. Dia mengalami perubahan yang besar dalam kehidupannya. Namun dia berkata, “Hidup saya bernilai kerana saya menggunakannya untuk membantu orang. Semangat memberi boleh mengurangkan penderitaan dan Yehuwa memang menunaikan janji-Nya untuk menguatkan kita apabila kita perlukan. Seperti Rasul Paulus, saya boleh berkata, ‘Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.’”​—Filipi 4:13.

      APABILA KEHILANGAN ORANG TERSAYANG

      Antonio berkata, “Apabila bapa saya meninggal dalam nahas jalan raya, saya sukar mempercayainya. Hal ini sangat tidak adil. Dia hanyalah pejalan kaki yang tidak bersalah. Namun, saya tidak dapat buat apa-apa. Dia telah koma selama lima hari sebelum meninggal. Saya dapat menahan air mata sendiri di depan ibu, tetapi apabila berseorangan, saya tidak dapat menahan rasa pilu di hati. Saya asyik bertanya, ‘Mengapa? Mengapa?’”

      “Sepanjang masa yang sukar itu, saya selalu meminta Yehuwa untuk membantu saya mengawal emosi dan memberi saya kedamaian. Secara beransur-ansur, saya berasa lebih tenang. Saya ingat Bible menjelaskan bahawa sesiapa pun mungkin ‘ditimpa bencana dengan tidak disangka-sangka.’ Memandangkan Tuhan tidak dapat berdusta, saya yakin saya akan berjumpa dengan ayah semasa pembangkitan nanti.”​—Pengkhutbah 9:12; Yohanes 11:25; Titus 1:2.

      Robert dan isterinya melihat album

      “Walaupun anak kami terkorban dalam nahas kapal terbang, kami masih mempunyai banyak kenangan manis bersamanya.”​—Robert

      Robert, yang disebut pada permulaan siri rencana ini, juga mempunyai pandangan yang sama. Dia berkata, “Saya dan isteri saya merasai kedamaian minda yang disebut di Filipi 4:6, 7. Kami memperoleh kedamaian itu melalui doa. Ketenangan itu membolehkan kami untuk memberitahu para wartawan mengenai harapan pembangkitan. Walaupun anak kami terkorban dalam nahas kapal terbang, kami masih mempunyai banyak kenangan manis bersamanya. Kami cuba berfokus kepada kenangan manis itu.”

      “Semasa diberitahu oleh Saksi-Saksi lain bahawa kami kelihatan begitu tenang semasa menjelaskan kepercayaan kami kepada wartawan, kami memberitahu mereka bahawa kami dapat melakukannya kerana ada ramai orang yang berdoa bagi kami. Saya percaya bahawa kata-kata mereka yang melegakan itu merupakan bantuan daripada Yehuwa.”

      Semua pengalaman tadi menunjukkan bahawa Tuhan boleh melegakan hati sesiapa pun, tidak kira apa masalah dan cabaran yang dihadapi mereka. Dia juga boleh melegakan hati anda dan membantu anda menghadapi apa sahaja kesusahan.b Jadi, janganlah teragak-agak untuk memohon bantuan Yehuwa, “Tuhan yang melegakan hati.”​—2 Korintus 1:3.

      a Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.

      b Jika anda perlu bantuan untuk menghampiri Tuhan dan menerima kelegaan daripada-Nya, sila hubungi Saksi-Saksi Yehuwa di kawasan anda atau pejabat cawangan yang terdekat.

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi