Kita Masing-masing Boleh Memberikan Sesuatu kepada Yehuwa
1 Tahukah anda bahawa manusia dapat memberikan sesuatu kepada Tuhan? Habel telah mempersembahkan beberapa ekor binatang ternakan yang tinggi nilainya sebagai korban kepada Yehuwa. Nuh dan Ayub juga mempersembahkan korban binatang. (Kej. 4:4; 8:20; Ayb. 1:5) Sudah tentu, korban-korban tersebut tidak menjadikan Pencipta kita lebih kaya dalam cara apa pun kerana segala-galanya adalah milik-Nya. Namun begitu, korban-korban tersebut telah menunjukkan bahawa lelaki-lelaki yang setia ini mempunyai kasih yang mendalam terhadap Tuhan. Dewasa ini, kita boleh menggunakan masa, tenaga, wang, dan harta benda kita untuk memberikan “puji-pujian sebagai korban” kepada Yehuwa.—Ibr. 13:15.
2 Masa: Mereka yang menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, yakni mengetepikan hal-hal yang kurang penting supaya dapat mengambil bahagian dengan sepenuhnya dalam aktiviti penyebaran memang patut dipuji! (Ef. 5:15, 16) Mungkin kita boleh mengubah jadual kita agar dapat menjadi perintis sokongan satu atau beberapa kali setahun. Selain itu, bolehkah kita menghabiskan lebih banyak masa dalam aktiviti penyebaran? Dengan penambahan masa sebanyak 30 minit setiap minggu, kita dapat meningkatkan aktiviti penyebaran kita sekurang-kurangnya dua jam dalam sebulan!
3 Tenaga: Bagi memastikan bahawa kita mempunyai tenaga yang secukupnya untuk menjalankan aktiviti penyebaran, kita perlu menghindari rekreasi dan pekerjaan yang meletihkan kita sehingga kita tidak dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada Yehuwa. Kita tidak patut berasa terlalu khuatir akan hal-hal yang boleh menyebabkan kita “berdukacita” dan yang memerah tenaga. Sebaliknya, tenaga kita patut digunakan untuk berkhidmat kepada Tuhan. (Ams. 12:25) Meskipun kita mempunyai alasan yang baik untuk berasa khuatir, adalah lebih baik untuk ‘menyerahkan kekhuatiran kita kepada Yehuwa.’—Mzm. 55:23; Flp. 4:6, 7.
4 Wang dan Harta Benda: Kita juga boleh menyumbangkan wang dan harta benda kita untuk menyokong aktiviti penyebaran. Paulus menggalakkan rakan-rakan Kristiannya untuk “menyimpan sedikit wang” secara tetap agar dapat memberikan sesuatu kepada mereka yang memerlukan bantuan. (1 Kor. 16:1, 2) Dengan cara yang serupa, kita mungkin dapat menderma sedikit wang yang telah dijimatkan bagi membiayai keperluan sidang tempatan serta kerja sedunia kita. Yehuwa menghargai apa yang kita berikan secara ikhlas, meskipun pemberian tersebut hanyalah sedikit.—Luk. 21:1-4.
5 Yehuwa telah mengurniakan banyak pemberian yang baik kepada kita. (Yak. 1:17) Kita menunjukkan rasa syukur dengan memberikan masa, tenaga, wang, dan harta benda kita dengan murah hati untuk berkhidmat kepada-Nya. Dengan demikian, kita menggembirakan hati Yehuwa “kerana [Tuhan] mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”—2 Kor. 9:7.