Bolehkah Anda Menyebar Setiap Hari Ahad?
1. Apakah yang boleh kita pelajari daripada perbuatan Paulus dan teman-temannya di kota Filipi?
1 Paulus dan teman-temannya mengunjungi kota Filipi pada hari Sabat. Pada hari itu, kebanyakan orang Yahudi di situ akan berehat. Jika Paulus dan teman-temannya juga berehat, tiada orang akan mengkritik mereka. Namun, mereka tahu bahawa orang Yahudi akan berkumpul di luar bandar untuk berdoa. Jadi, mereka mengambil kesempatan untuk mengkhabarkan berita baik. Paulus dan teman-temannya pasti gembira sekali semasa Lidia dan seisi rumahnya dibaptis! (Kis. 16:13-15) Memandangkan ramai yang berehat pada hari Ahad, bolehkah kita meluangkan sebahagian hari itu untuk menyebarkan berita baik kepada mereka?
2. Apakah cabaran-cabaran yang diatasi oleh umat Yehuwa agar dapat menyebar pada hari Ahad tanpa gangguan?
2 Berjuang untuk Menyebar pada Hari Ahad: Pada tahun 1927, umat Yehuwa digalakkan untuk meluangkan sedikit masa pada hari Ahad untuk menyebar. Hal ini serta-merta mencetuskan tentangan. Di Amerika Syarikat, hari Ahad ditetapkan sebagai hari Sabat. Maka, ramai diberkas kerana melanggar undang-undang Sabat, mengganggu keamanan, dan menjual tanpa lesen. Tetapi umat Yehuwa tidak berhenti. Pada tahun 1930-an, mereka mengadakan “gerakan berkumpulan.” Para penyiar dari sidang di sekeliling akan berkumpul untuk menyebar di sebuah kawasan. Ada masanya terdapat begitu ramai penyiar sehingga pihak berkuasa tidak dapat memberkas semuanya. Saudara saudari kita telah banyak berkorban supaya kita dapat menyebar pada hari Ahad tanpa gangguan. Adakah anda betul-betul menghargainya?
3. Mengapakah hari Ahad ialah hari yang sesuai untuk menyebar?
3 Hari yang Sesuai Sekali untuk Menyebar: Pada hari Ahad, ramai orang berehat di rumah dan biasanya lebih tenang. Sesetengah orang yang ke gereja mungkin lebih sudi berbincang tentang Tuhan pada hari itu. Jika perjumpaan kita diadakan pada hari Ahad, pakaian kita sudah sesuai untuk aktiviti penyebaran. Maka, cubalah menjalankan kerja penyebaran sebelum atau selepas perjumpaan. Jika perlu, bawalah sedikit makanan untuk mengalas perut.
4. Jika kita meluangkan waktu pada hari Ahad untuk menyebar, apakah sukacita yang boleh kita peroleh?
4 Jika kita meluangkan waktu pada hari Ahad untuk aktiviti penyebaran, kita masih ada masa untuk mendapatkan rehat yang kita perlukan. Rehat kita akan diiringi dengan rasa puas hati kerana kita telah menyertai khidmat suci. (Ams. 19:23) Barangkali, kita pun dapat bersukacita kerana menemui seseorang yang sudi mendengar seperti Lidia!