Yehuwa Sedang Melatih Kita untuk Tugas Ini
1. Apabila Yehuwa memberikan tugas kepada manusia, apakah yang juga dilakukan-Nya?
1 Apabila Yehuwa memberikan tugas kepada manusia, Dia juga membantu mereka untuk menyempurnakannya. Misalnya, semasa Yehuwa menyuruh Nuh membina bahtera, Dia juga memberitahu Nuh caranya kerana Nuh tidak berpengalaman. (Kej. 6:14-16) Ketika Musa ditugaskan untuk berjumpa dengan para pemimpin Israel dan Firaun, Yehuwa berjanji kepada gembala yang rendah hati ini, “Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.” (Kel. 4:12) Begitu juga, apabila Yehuwa memberi kita tugas untuk menyebarkan berita baik, Dia juga memberitahu kita cara untuk melakukannya. Kita dilatih menerusi Sekolah Penyebaran Teokratik dan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan latihan ini?
2. Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan Sekolah Penyebaran Teokratik?
2 Sekolah Penyebaran Teokratik: Sebelum setiap perjumpaan, baca dan kajilah bahan-bahan untuk minggu tersebut. Kemudian, perhatikan bagaimana setiap pelajar mengembangkan bahan tersebut dalam tugasan mereka. Dengan ini, anda dapat mengasah kemahiran mengajar sendiri. (Ams. 27:17) Bawalah buku “Sekolah Penyebaran” (Ministry School) anda dan gunakannya sebagai buku kerja. Selepas setiap tugasan, penyelia sekolah akan merujuk kepada buku ini. Pada masa itu, gariskanlah isi-isi penting yang ingin anda terapkan, dan buat catatan pada ruangan kosong di tepi muka surat. Tetapi cara terbaik untuk memperoleh manfaat adalah dengan menyertai sekolah ini. Sudahkah anda berbuat demikian? Apabila anda menerima suatu tugasan, buatlah persiapan rapi dan terapkan nasihat yang diterima. Semasa anda menginjil, gunakanlah apa yang telah dipelajari.
3. Bagaimanakah kita dapat memanfaatkan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran?
3 Perjumpaan Aktiviti Penyebaran: Dengan membaca bahan yang akan dibincangkan dan menyediakan komen terlebih dahulu, kita dapat lebih mengingati cadangan-cadangan yang disampaikan dalam perjumpaan ini. Jika komen kita singkat, lebih ramai orang berpeluang memberikan komen. Tumpukan perhatian pada demonstrasi, dan gunakan cadangan yang dapat membantu anda menjalankan aktiviti penyebaran dengan lebih berkesan. Kerja Teokratik Kita mengandungi rencana yang dapat membantu anda; simpanlah rencana tersebut untuk rujukan.
4. Mengapakah kita patut menerapkan latihan dari Tuhan?
4 Seperti tugas yang diberikan kepada Nuh dan Musa, tugas kita untuk menyebarkan berita baik ke seluruh dunia juga mencabar. (Mat. 24:14) Kita akan berjaya asalkan kita bergantung pada Yehuwa, Pendidik Agung kita, dan menerapkan latihan yang telah disediakan oleh-Nya.—Yes. 30:20.