PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • lv bab 4 ms. 41-56
  • Menghormati Kekuasaan—Mengapa?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Menghormati Kekuasaan—Mengapa?
  • Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • MENGAPAKAH SUKAR UNTUK MENUNJUKKAN HORMAT?
  • MENGHORMATI KEKUASAAN​—MENGAPA?
  • HORMAT DALAM KELUARGA
  • HORMAT DALAM SIDANG
  • HORMAT KEPADA PEMERINTAH MANUSIA
  • Mengapakah Kita Perlu Menghormati Kekuasaan?
    Bernaunglah Di Bawah Kasih Tuhan
  • Hormatilah Orang Lain
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2025
  • Memahami Aturan Kekepalaan dalam Sidang
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Ke Mana Hilangnya Sikap Hormat?
    Sedarlah!—2024
Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan
lv bab 4 ms. 41-56
Seorang bapa mengajar keluarganya

BAB 4

Menghormati Kekuasaan​—Mengapa?

“Hormatilah semua orang.”​—1 PETRUS 2:17.

1, 2. (a) Mengapakah susah bagi kita menghormati kekuasaan? (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan?

PERNAHKAH anda melihat reaksi seorang budak apabila disuruh melakukan sesuatu yang tidak mahu dilakukan olehnya? Air mukanya mungkin menunjukkan konflik di hatinya. Dia mendengar suara ibu bapanya dan tahu bahawa dia patut menghormati kuasa mereka sebagai ibu bapa. Tetapi kali ini, dia tidak mahu mematuhi mereka. Konflik yang dihadapinya mencerminkan hakikat yang kita semua hadapi.

2 Memang tidak senang bagi kita untuk menghormati kekuasaan. Kadangkala, adakah anda juga berasa sedemikian? Jika ya, anda tidak keseorangan dalam menghadapi konflik ini. Pada masa sekarang, hormat terhadap kekuasaan nampaknya berada pada tahap yang paling rendah. Namun, Bible menyatakan bahawa kita perlu menghormati mereka yang diberikan kuasa. (Amsal 24:21) Sebenarnya, kita mesti melakukan hal ini jika kita ingin terus berada di bawah naungan kasih Tuhan. Sehubungan dengan hal ini, timbullah beberapa soalan. Mengapakah begitu sukar bagi kita menghormati kekuasaan? Mengapakah Yehuwa menghendaki kita menghormati kekuasaan, dan apakah yang akan membantu kita melakukan hal ini? Akhirnya, bagaimanakah kita dapat menghormati kekuasaan?

MENGAPAKAH SUKAR UNTUK MENUNJUKKAN HORMAT?

3, 4. Bagaimanakah dosa dan ketidaksempurnaan bermula, dan mengapakah ketidaksempurnaan menyebabkan kita sukar menghormati kekuasaan?

3 Marilah kita bincangkan dua sebab mengapa begitu sukar bagi kita menghormati mereka yang mempunyai kuasa. Pertama, kita tidak sempurna; kedua, mereka yang diberikan kuasa pun tidak sempurna. Dosa dan ketidaksempurnaan bermula lama dahulu di Taman Eden apabila Adam dan Hawa memberontak menentang kekuasaan Tuhan. Jadi, dosa bermula dengan pemberontakan. Sehingga ke hari ini, kita dilahirkan dengan kecenderungan untuk memberontak.​—Kejadian 2:15-17; 3:1-7; Mazmur 51:7; Roma 5:12.

4 Memandangkan kita dilahirkan dengan dosa, kebanyakan daripada kita mudah menjadi sombong dan angkuh. Sebaliknya kerendahan hati jarang dijumpai dan kita perlu berusaha dengan keras untuk memupuk dan terus memperlihatkan sifat ini. Walaupun kita menyembah Tuhan dengan setia selama bertahun-tahun, kita masih boleh menjadi keras kepala dan sombong. Sebagai contoh, fikirlah tentang Korah yang menghadapi banyak kesukaran bersama umat Yehuwa dengan setia. Walaupun begitu, dia mendahagakan lebih banyak kuasa dan berani mengetuai pemberontakan menentang Musa, iaitu manusia yang paling rendah hati pada masa itu. (Bilangan 12:3; 16:1-3) Fikirlah juga tentang Raja Uzia. Kesombongan mendorongnya untuk memasuki Rumah Yehuwa lalu menjalankan tugas suci yang hanya boleh dilakukan oleh penghentar. (2 Tawarikh 26:16-21) Korah dan Uzia telah menerima hukuman yang berat kerana mereka memberontak. Tetapi, teladan buruk mereka menjadi peringatan yang baik bagi kita semua. Kita perlu melawan kesombongan yang menghalang kita daripada menghormati kekuasaan.

5. Bagaimanakah manusia yang tidak sempurna menyalahgunakan kekuasaan mereka?

5 Tambahan lagi, manusia tidak sempurna yang memegang kuasa selalunya kejam, zalim, dan suka menindas. Oleh itu, ramai orang hilang rasa hormat terhadap kekuasaan. Sebenarnya, sebahagian besar sejarah manusia berkisarkan penyalahgunaan kuasa. (Pengkhutbah 8:9) Sebagai contoh, Saul merupakan seorang lelaki yang baik dan rendah hati semasa Yehuwa melantiknya sebagai raja. Tetapi, dia menjadi sombong dan cemburu lalu menganiaya Daud yang setia. (1 Samuel 9:20, 21; 10:20-22; 18:7-11) Daud kemudiannya menjadi salah seorang raja yang terbaik di Israel. Tetapi dia menyalahgunakan kuasanya apabila dia merampas isteri Uria, orang Het, dan menghantar lelaki yang tidak bersalah ini ke barisan hadapan pertempuran supaya dibunuh. (2 Samuel 11:1-17) Ya, ketidaksempurnaan menyebabkan manusia kurang berupaya mengendalikan kuasa. Dan keadaannya bertambah teruk lagi jika mereka yang berkuasa tidak menghormati Yehuwa. Selepas menggambarkan cara sesetengah paus Katolik memulakan penganiayaan secara meluas, seorang negarawan dari Britain telah menulis, “Kuasa cenderung menyeleweng, dan kuasa mutlak menyeleweng sepenuhnya.” Memandangkan sejarah manusia sarat dengan penyalahgunaan kuasa, mengapakah kita patut menghormati kekuasaan?

MENGHORMATI KEKUASAAN​—MENGAPA?

6, 7. (a) Kasih terhadap Yehuwa mendorong kita untuk melakukan apa, dan mengapa? (b) Apakah maksud ketundukan, dan bagaimanakah kita dapat menunjukkan ketundukan?

6 Sebab terbaik yang mendorong kita untuk menghormati kekuasaan ialah kasih​—kasih terhadap Yehuwa, terhadap orang lain, bahkan terhadap diri sendiri. Oleh sebab kita mengasihi Yehuwa lebih daripada segala-galanya, kita ingin menggembirakan hati-Nya. (Amsal 27:11; Markus 12:29, 30) Kita tahu bahawa kedaulatan-Nya, iaitu hak-Nya untuk memerintah alam semesta, telah dicabar di bumi sejak pemberontakan di Taman Eden. Kita juga tahu bahawa kebanyakan manusia telah berpihak kepada Syaitan dan menolak pemerintahan Yehuwa. Tetapi, kita dengan besar hati mengambil pendirian yang berbeza. Kata-kata indah di Penyingkapan 4:11 menyemarakkan semangat di hati kita. Sememangnya Yehuwa merupakan Pemerintah alam semesta yang berdaulat! Kita menyokong kedaulatan Yehuwa dengan menerima pemerintahan-Nya dalam kehidupan harian kita.

7 Rasa hormat sebegini tidak melibatkan kepatuhan sahaja. Kita mematuhi Yehuwa dengan rela hati kerana kita mengasihi-Nya. Tetapi, ada masanya kita berasa sangat berat hati untuk menunjukkan kepatuhan, sama seperti budak dalam perenggan pertama. Pada masa sedemikian, kita perlu belajar ketundukan. Ingatlah, Yesus tunduk kepada kehendak Bapanya walaupun di bawah keadaan yang sangat mencabar. Dia berkata kepada Bapanya, ‘Janganlah turut kehendakku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.’​—Lukas 22:42.

8. (a) Hari ini, ketundukan kepada kekuasaan Yehuwa biasanya melibatkan apa, dan apakah perasaan Yehuwa tentang hal ini? (b) Apakah yang boleh membantu kita mendengarkan nasihat dan menerima disiplin? (Lihat kotak “Dengarlah Nasihat dan Terimalah Disiplin.”)

8 Hari ini, Yehuwa tidak bercakap kepada kita secara peribadi, tetapi Dia menggunakan Firman-Nya dan wakil-wakil-Nya di bumi. Maka, kita biasanya menunjukkan ketundukan kepada kekuasaan Yehuwa dengan menghormati manusia yang dilantik-Nya untuk memimpin kita. Jika kita menentang mereka​—contohnya kita enggan menerima nasihat dan teguran mereka yang berdasarkan Bible​—kita akan menyinggung hati Tuhan. Apabila orang Israel bersungut dan memberontak menentang Musa, Yehuwa menganggap bahawa mereka sebenarnya bersungut dan memberontak terhadap-Nya.​—Bilangan 14:26, 27.

9. Mengapakah kasih terhadap orang lain mendorong kita untuk menghormati kekuasaan? Berikan contoh.

9 Kita juga menghormati kekuasaan kerana kita mengasihi orang lain. Mengapakah kita berkata demikian? Bayangkanlah bahawa anda seorang askar dalam sebuah pasukan tentera. Besar kemungkinan, kejayaan bahkan keselamatan seluruh pasukan bergantung pada kerjasama, kepatuhan, dan hormat yang diperlihatkan oleh setiap askar. Jika anda menjejaskan aturan itu dengan mengingkari arahan pihak atasan, anda mungkin membahayakan nyawa askar-askar yang lain. Bible menyatakan, “Tuhan Yang Maha Kuasa sedang mengatur pasukan perang.” (Yesaya 13:4) Dia merupakan Komander makhluk roh berkuasa yang banyak bilangannya. Adakalanya, Yehuwa mengibaratkan hamba-Nya di bumi sebagai pasukan tentera. (Yehezkiel 37:1-10; 2 Timotius 2:3) Jika kita menentang mereka yang diberikan kuasa oleh Yehuwa untuk memimpin kita, bukankah kita sedang membahayakan saudara saudari lain yang merupakan askar rohani kita? Apabila seorang Kristian menentang para penatua yang dilantik oleh Tuhan, orang lain dalam sidang mungkin menderita juga. (1 Korintus 12:14, 25, 26) Apabila seorang anak menentang ibu bapanya, seluruh keluarga mungkin menderita. Maka, kita menunjukkan kasih kepada orang lain dengan menghormati dan mematuhi kekuasaan.

10, 11. Apakah sebab lain yang mendorong kita untuk menghormati kekuasaan?

10 Kita juga menghormati kekuasaan kerana kita sendiri akan meraih manfaat. Apabila Yehuwa meminta kita menghormati kekuasaan, Dia sering memberitahu kita faedah yang dapat diraih. Sebagai contoh, Dia menyuruh anak-anak mematuhi ibu bapa supaya mereka panjang umur dan hidup sejahtera. (Ulangan 5:16; Efesus 6:2, 3) Dia menyuruh kita menghormati para penatua di sidang supaya kerohanian kita tidak terancam. (Ibrani 13:7, 17) Dia juga menyuruh kita mematuhi pemerintah manusia demi keselamatan sendiri.​—Roma 13:4.

11 Sekarang kita sudah mengetahui mengapa Yehuwa mahu kita menunjukkan kepatuhan. Tidakkah pengetahuan ini mendorong kita untuk menghormati kekuasaan? Maka, mari kita bincangkan tiga aspek kehidupan yang mana kita perlu memperlihatkan hormat terhadap kekuasaan.

HORMAT DALAM KELUARGA

12. Apakah peranan yang ditugaskan oleh Yehuwa kepada seorang suami, dan bagaimanakah seorang lelaki dapat memainkan peranan ini dengan baik?

12 Yehuwa sendiri telah mengasaskan institusi keluarga. Sebagai Tuhan yang suka ketertiban, Dia telah mengaturkan unit keluarga supaya berfungsi dengan baik. (1 Korintus 14:33) Dia memberi suami kekuasaan sebagai kepala keluarga. Suami menunjukkan hormat kepada Kepalanya, iaitu Kristus Yesus, dengan meniru cara Yesus melayani sidang. (Efesus 5:23) Maka, seorang suami tidak patut mengabaikan tanggungjawabnya ataupun bersikap zalim atau kasar. Sebaliknya, dia patut memikul tanggungjawabnya dengan berani, dan menjadi seorang suami dan bapa yang penyayang, munasabah, dan baik hati. Dia sentiasa ingat bahawa kekuasaannya adalah relatif, dan tidak mungkin melebihi kekuasaan Yehuwa.

Sebagai kepala keluarga, seorang bapa Kristian meniru contoh Kristus

13. Bagaimanakah seorang isteri dan ibu memainkan peranannya dalam cara yang menyenangkan hati Yehuwa?

13 Isteri dan ibu merupakan pembantu atau pelengkap bagi suaminya. Dia juga diberikan kekuasaan dalam keluarga kerana Bible menyatakan, “Perhatikanlah kata-kata . . . ibumu.” (Amsal 1:8) Sudah tentu, kekuasaannya adalah kurang daripada suaminya. Seorang isteri Kristian menghormati kekuasaan suami dengan membantunya melaksanakan tanggungjawab sebagai kepala keluarga. Dia tidak mengecil-ngecilkan suaminya, mempengaruhinya untuk faedah sendiri, atau mengambil alih kedudukannya. Sebaliknya, dia menyokong dan bekerjasama dengan suaminya. Apabila isteri tidak setuju dengan keputusan suami, dia boleh meluahkan pendapatnya secara hormat, tetapi dia tetap tunduk kepada suaminya. Jika suaminya bukan seorang Saksi, dia mungkin menghadapi pelbagai situasi yang mencabar, tetapi dia tetap menunjukkan ketundukan melalui kelakuannya. Dengan itu, suaminya mungkin terdorong untuk belajar tentang Yehuwa.​—1 Petrus 3:1.

Seorang bapa dengan penuh kasih mendisiplinkan anaknya yang telah mengotorkan rumah

14. Bagaimanakah anak-anak dapat menggembirakan hati ibu bapa dan Yehuwa?

14 Anak-anak menggembirakan hati Yehuwa apabila mereka mematuhi ibu dan bapa mereka. Mereka juga membanggakan dan menggembirakan ibu bapa mereka dengan berbuat demikian. (Amsal 10:1) Dalam keluarga ibu bapa tunggal, anak-anak juga mengamalkan prinsip kepatuhan, dan sedar bahawa ibu atau bapa mereka mungkin lebih memerlukan sokongan dan kerjasama mereka. Jika setiap ahli keluarga memainkan peranan yang diberikan oleh Tuhan, keluarga tersebut akan menikmati keamanan dan sukacita yang besar. Hal ini akan memuliakan Pengasas semua keluarga, iaitu Tuhan Yehuwa.

HORMAT DALAM SIDANG

15. (a) Dalam sidang, bagaimanakah kita boleh menunjukkan bahawa kita menghormati kekuasaan Yehuwa? (b) Apakah prinsip-prinsip yang dapat membantu kita mematuhi mereka yang mengambil pimpinan? (Lihat kotak “Patuhilah Mereka yang Mengambil Pimpinan.”)

15 Yehuwa telah melantik Anak-Nya sebagai Pemerintah sidang Kristian. (Kolose 1:13) Yesus pula telah menugaskan ‘hamba yang setia dan bijaksana’ untuk menjaga keperluan rohani umat Tuhan di bumi. (Matius 24:45-47) Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa mewakili golongan hamba tersebut. Seperti dalam sidang-sidang Kristian abad pertama, para penatua hari ini menerima arahan dan nasihat daripada Badan Pimpinan, sama ada secara langsung ataupun melalui wakil seperti penyelia lawatan. Apabila kita masing-masing menghormati kekuasaan yang diberikan kepada para penatua, kita sedang mematuhi Yehuwa.​—Ibrani 13:17.

16. Mengapakah kita mengatakan bahawa para penatua dilantik oleh daya aktif Tuhan?

16 Seperti kita, para penatua dan pembantu sidang tidak sempurna dan mempunyai kelemahan. Namun, para penatua merupakan kurnia berupa manusia yang membantu sidang tetap kukuh secara rohani. (Efesus 4:8) Para penatua dilantik oleh daya aktif Tuhan. (Kisah 20:28) Mengapakah kita berkata demikian? Kerana mereka mesti memenuhi kelayakan yang terdapat dalam Firman yang diilhami oleh daya aktif Tuhan. (1 Timotius 3:1-7, 12; Titus 1:5-9) Selain itu, penatua-penatua yang menilai kelayakan seorang saudara berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk bimbingan daya aktif Yehuwa.

17. Mengapakah wanita Kristian kadangkala menudung kepala apabila menjalankan aktiviti sidang?

17 Di dalam sidang, kadangkala tidak ada penatua atau pembantu sidang untuk menjalankan tugas yang biasanya diamanahkan kepada mereka, misalnya untuk mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Apabila hal ini berlaku, saudara terbaptis yang lain boleh melakukan tugas ini. Jika tiada saudara yang lain, saudari Kristian yang layak boleh menjalankan tugas sebegini. Tetapi, apabila seorang wanita menjalankan tugas yang biasanya diamanahkan kepada saudara terbaptis, dia perlu menudung kepalanya.a (1 Korintus 11:3-10) Syarat ini tidak merendahkan martabat wanita, sebaliknya memberi mereka peluang untuk memperlihatkan hormat kepada aturan kekepalaan yang disediakan oleh Yehuwa, baik dalam sidang mahupun dalam keluarga.

HORMAT KEPADA PEMERINTAH MANUSIA

18, 19. (a) Bagaimanakah anda dapat menerangkan prinsip di Roma 13:1-7? (b) Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghormati pemerintah manusia?

18 Orang Kristian sejati memastikan bahawa mereka berpegang teguh pada prinsip-prinsip di Roma 13:1-7. Selagi Yehuwa membenarkan pemerintah manusia untuk wujud, mereka menjalankan fungsi yang penting dalam mengekalkan tatatertib dan menyediakan perkhidmatan yang diperlukan. Kita menunjukkan bahawa kita menghormati pemerintah manusia dengan mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Kita memastikan bahawa kita membayar cukai yang dikenakan, jujur ketika mengisi borang atau dokumen yang dituntut oleh kerajaan, dan mematuhi undang-undang yang melibatkan kita, keluarga kita, perniagaan kita, ataupun harta benda kita. Walaupun begitu, kita tidak akan tunduk kepada pemerintah manusia jika mereka menyuruh kita mengingkari Tuhan. Sebaliknya, kita akan menjawab seperti hawari-hawari pada masa lampau, ‘Kami harus taat kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.’​—Kisah 5:28, 29; lihat kotak “Kekuasaan Siapa yang Patut Saya Patuhi?”

KEKUASAAN SIAPA YANG PATUT SAYA PATUHI?

Prinsip: ‘Yehuwa sendiri akan menjadi raja kita. Dia akan memerintah dan melindungi kita.’​—Yesaya 33:22, 23.

Tanyalah diri

  • Apakah yang akan saya lakukan jika disuruh untuk melanggar piawaian Yehuwa?​—Matius 22:37-39; 26:52; Yohanes 18:36.

  • Apakah yang akan saya lakukan jika diarahkan supaya berhenti menjalankan perintah-perintah Yehuwa?​—Kisah 5:27-29; Ibrani 10:24, 25.

  • Apakah yang dapat membantu saya mempunyai keinginan untuk mematuhi mereka yang diberikan kuasa?​—Roma 13:1-4; 1 Korintus 11:3; Efesus 6:1-3.

19 Kita juga menunjukkan hormat kepada pemerintah manusia melalui perilaku kita. Adakalanya, kita perlu berurusan dengan pegawai kerajaan. Hawari Paulus telah berurusan dengan pemerintah seperti Raja Herodes Agripa dan Gabenor Festus. Walaupun mereka mempunyai kelemahan yang besar, Paulus tetap memperlihatkan hormat terhadap mereka. (Kisah 26:2, 25) Kita patut meniru contoh Paulus. Kita menghormati pegawai kerajaan tidak kira sama ada dia ialah seorang pemerintah yang berkuasa ataupun polis biasa. Orang muda di bangku sekolah juga berusaha menghormati guru, pegawai, dan kakitangan sekolah. Kita memperlihatkan hormat bukan sahaja kepada mereka yang menghormati kepercayaan kita, tetapi juga kepada mereka yang menentang Saksi-Saksi Yehuwa. Sebenarnya, mereka yang bukan Saksi-Saksi Yehuwa sepatutnya dapat melihat sikap hormat yang kita tunjukkan.​—Roma 12:17, 18; 1 Petrus 3:15.

20, 21. Namakan beberapa berkat yang dapat diperoleh kerana menghormati kekuasaan.

20 Janganlah kita keberatan untuk memperlihatkan hormat. Hawari Petrus menulis, “Hormatilah semua orang.” (1 Petrus 2:17) Apabila orang lain sedar bahawa kita benar-benar menghormati mereka, hati mereka mungkin tersentuh. Ingatlah, sifat ini semakin jarang dijumpai. Maka dengan memperlihatkan sifat hormat, kita sedang mengikut perintah Yesus, “Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.”​—Matius 5:16, ABB.

21 Dalam dunia ini yang gelap-gelita, orang yang baik tertarik kepada cahaya rohani. Jadi apabila kita memperlihatkan hormat dalam keluarga, sidang, dan masyarakat, sesetengah orang mungkin didorong untuk menyembah Tuhan bersama kita. Tidakkah hal ini menggembirakan hati kita? Namun biarpun hal ini tidak berlaku, kita boleh yakin bahawa dengan menghormati orang lain, kita menggembirakan hati Tuhan Yehuwa dan tetap berada di bawah naungan kasih-Nya. Sememangnya tiada berkat yang lebih besar daripada ini!

a Lampiran “Menudung Kepala​—Bila dan Mengapa?” menjelaskan beberapa cara praktikal untuk menerapkan prinsip ini.

DENGARLAH NASIHAT DAN TERIMALAH DISIPLIN

Sikap Syaitan yang cenderung memberontak dan bertengkar membanjiri dunia hari ini. Bible memanggil Syaitan “pemerintah yang menguasai udara,” dan kini sikapnya dicerminkan oleh “orang yang ingkar.” (Efesus 2:2, NW) Ramai hari ini tidak mahu berada di bawah kekuasaan orang lain. Malangnya, sesetengah ahli sidang Kristian juga dijangkiti semangat ingin bebas ini. Contohnya, seorang penatua yang baik hati mungkin menawarkan nasihat tentang bahaya hiburan yang berunsur keganasan atau yang tidak bermoral, tetapi ada yang mungkin menolak bahkan membenci nasihat yang diberikan. Kita masing-masing perlu menerapkan nasihat di Amsal 19:20 (ABB): “Orang yang suka mendengar nasihat dan mahu belajar [“menerima disiplin,” NW] akan menjadi bijaksana kelak.”

Bagaimanakah kita dibantu untuk menerapkan nasihat ini? Pertimbangkan tiga alasan yang biasa diberikan oleh mereka yang enggan menerima nasihat atau disiplin, dan kemudian perhatikan pandangan Bible mengenai hal ini.

  • “Saya fikir nasihat yang diberikan tidak bertempat.” Kita mungkin berasa bahawa nasihat yang diberikan kurang sesuai dengan situasi kita, atau orang yang memberikan nasihat itu tidak memahami situasi kita dengan sepenuhnya. Oleh itu, pada mulanya kita mungkin memandang remeh nasihatnya. (Ibrani 12:5) Memandangkan kita tidak sempurna, mungkinkah pandangan kita yang perlu dibetulkan? (Amsal 19:3) Tidakkah nasihat yang diberikan mengandungi sedikit kebenaran? Kalau begitu, kita perlu memberi perhatian pada hal itu. Firman Tuhan menasihati kita, “Berpeganglah pada disiplin, jangan lepaskannya. Jaganya dengan baik kerana inilah kehidupanmu.”​—Amsal 4:13, NW.

  • “Saya tidak suka cara nasihat itu diberikan.” Firman Tuhan memang menyatakan bahawa nasihat patut disampaikan dalam cara yang betul. (Galatia 6:1) Namun, Bible juga menyatakan, ‘Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Tuhan.’ (Roma 3:23) Nasihat sempurna yang disampaikan dalam cara yang betul hanya dapat diberikan oleh manusia yang sempurna. (Yakobus 3:2) Tetapi, Yehuwa menggunakan manusia yang tidak sempurna untuk menasihati kita, maka kita tidak patut berfokus pada cara nasihat itu diberikan. Sebaliknya, beri perhatian pada kandungan nasihat tersebut, kemudian berdoalah dan fikirkan cara untuk menerapkan nasihat itu.

  • “Dia tidak layak menasihati saya!” Jika kita enggan menerima nasihat seseorang kerana kelemahannya, kita perlu memikirkan kedua-dua isi yang telah dibincangkan. Begitu juga, jika kita berfikir bahawa umur, pengalaman, atau tanggungjawab dalam sidang mengecualikan kita daripada menerima nasihat, kita perlu membetulkan cara pemikiran kita. Pada zaman Israel kuno, raja memikul banyak tanggungjawab, tetapi dia masih perlu menerima nasihat daripada penubuat, penghentar, dan orang lain dalam kalangan rakyatnya. (2 Samuel 12:1-13; 2 Tawarikh 26:16-20) Hari ini, saudara yang dilantik oleh organisasi Yehuwa untuk memberi nasihat adalah tidak sempurna, dan orang Kristian yang matang rela menerima dan menerapkan nasihat tersebut. Sebenarnya, jika kita mempunyai lebih banyak tanggungjawab dan pengalaman, kita patut menjadi contoh yang baik dalam menunjukkan sikap munasabah dan rendah hati. Kita berbuat demikian dengan menerima dan menerapkan nasihat.​—1 Timotius 3:2, 3; Titus 3:2.

Sesungguhnya, tiada sesiapa yang terkecuali daripada menerima nasihat. Jadi, marilah kita bertekad untuk menerima nasihat dengan rela hati, menunjukkan kepatuhan dengan menerapkan nasihat tersebut, dan bersyukur kepada Yehuwa atas anugerah ini yang dapat menyelamatkan nyawa. Nasihat yang diberikan sebenarnya menyingkapkan kasih Yehuwa terhadap kita, dan kita berhasrat untuk terus berada di bawah naungan kasih Tuhan.​—Ibrani 12:6-11.

“PATUHILAH MEREKA YANG MENGAMBIL PIMPINAN”

Keperluan mendesak untuk pengorganisasian telah timbul di kalangan orang Israel kuno. Musa seorang diri tidak dapat menjaga jutaan orang yang berjalan di padang gurun yang berbahaya. Jadi, apakah yang dilakukannya? “Musa memilih beberapa orang lelaki yang bijaksana di kalangan umat Israel, lalu melantik mereka sebagai pemimpin yang mengetuai seribu orang, seratus orang, lima puluh orang, dan sepuluh orang.”​—Keluaran 18:25, ABB.

Sidang Kristian hari ini juga memerlukan pengorganisasian. Itulah sebabnya sebuah kumpulan aktiviti penyebaran mempunyai seorang penyelia, sebuah sidang mempunyai para penatua, sekelompok sidang mempunyai penyelia litar, sekelompok litar mempunyai penyelia distrik, dan sebuah negara mempunyai Jawatankuasa Cawangan. Dengan adanya aturan sebegini, setiap gembala dalam sidang dapat memberi perhatian penuh kepada biri-biri Yehuwa di bawah jagaannya. Gembala sebegini bertanggungjawab kepada Yehuwa dan kepada Kristus.​—Kisah 20:28.

Di bawah aturan ini, kita masing-masing perlu memperlihatkan kepatuhan dan ketundukan. Kita tidak mahu meniru sikap Diotrefes yang tidak menghormati mereka yang mengambil pimpinan. (3 Yohanes 9, 10) Sebaliknya, kita ingin mendengarkan kata-kata hawari Paulus yang berikut: “Patuhilah mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu dan tunduklah kepada mereka, kerana mereka bertanggungjawab kepada Tuhan untuk menjaga jiwamu. Biarlah mereka melakukannya dengan sukacita, bukannya dengan keluh-kesah, kerana hal ini akan memudaratkan kamu.” (Ibrani 13:17, NW) Sesetengah orang patuh jika mereka bersetuju dengan arahan yang diberikan oleh saudara yang mengambil pimpinan. Tetapi mereka enggan tunduk jika mereka tidak bersetuju atau tidak memahami sebabnya arahan itu diberikan. Namun ingatlah, ketundukan boleh bermaksud bahawa kita patuh walaupun kita tidak mahu berbuat demikian. Maka, kita masing-masing perlu bertanya, “Adakah saya patuh dan tunduk kepada mereka yang mengambil pimpinan?”

Sudah tentu, Firman Tuhan tidak menyenaraikan setiap aturan atau prosedur yang diperlukan oleh sidang. Namun, Bible menyatakan, “Semuanya harus dilakukan dengan baik dan teratur.” (1 Korintus 14:40, ABB) Badan Pimpinan mematuhi arahan ini dengan menyediakan pelbagai prosedur dan garis panduan bagi memastikan aktiviti sidang berjalan dengan lancar dan teratur. Saudara Kristian yang bertanggungjawab mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan dengan rela hati lalu menjadi teladan dalam memperlihatkan kepatuhan. Mereka juga ‘munasabah dan sedia mematuhi’ saudara yang memimpin mereka. (Yakobus 3:17, NW) Dengan itu, umat Tuhan dalam setiap kumpulan, sidang, litar, distrik, dan negara memiliki perpaduan dan ketertiban yang mengharumkan nama Yehuwa.​—1 Korintus 14:33.

Kata-kata Paulus di Ibrani 13:17 juga menekankan mengapa sikap tidak patuh boleh mendatangkan mudarat. Sikap sedemikian mungkin menyebabkan mereka yang mengambil pimpinan untuk bekerja “dengan keluh-kesah.” Jika seorang saudara terpaksa berdepan dengan kawanan yang suka melawan dan tidak bekerjasama, dia mungkin memandang tanggungjawabnya sebagai beban, dan bukannya sebagai khidmat suci yang istimewa. Akibatnya, hal ini akan memudaratkan “kamu,” iaitu seluruh sidang. Selain itu, seseorang yang enggan tunduk kepada aturan teokratik akan memudaratkan dirinya. Jika dia terlalu sombong dan enggan tunduk, kerohaniannya akan terjejas dan hubungannya dengan Bapanya di syurga akan renggang. (Amsal 3:34) Maka, marilah kita bertekad untuk terus memperlihatkan kepatuhan dan ketundukan.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi