BAB 15
Nikmatilah Hasil Usaha Anda!
“Kita semua harus . . . menikmati hasil usaha kita.”—PENGKHUTBAH 3:13.
1-3. (a) Apakah pandangan ramai orang terhadap pekerjaan mereka? (b) Pandangan apakah yang digalakkan dalam Bible tentang kerja, dan apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan dalam bab ini?
KERJA! Ramai orang mengeluh panjang semasa mendengar perkataan ini. Mengapa? Mereka tidak menyukai kerja mereka dan terpaksa memerah keringat untuk melakukan sesuatu yang tidak digemari. Maka tidak hairanlah jika mereka mempunyai pandangan yang negatif terhadap kerja. Apakah yang dapat mengubah sikap mereka agar mereka dapat memperoleh kepuasan?
2 Dalam Bible, kerja merupakan berkat daripada Tuhan dan kita digalakkan untuk mempunyai pandangan yang positif terhadap kerja. Raja Salomo menulis, ‘Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Tuhan.’ (Pengkhutbah 3:13, ABB) Yehuwa sangat mengasihi kita dan selalu mengambil berat tentang kita; Dia menghendaki kita memperoleh kepuasan kerja dan menikmati hasil usaha kita. Jika kita ingin tetap berada di bawah naungan kasih-Nya, kita perlu mengamalkan prinsip-prinsip-Nya serta mempunyai pandangan yang sama dengan-Nya.—Pengkhutbah 2:24; 5:17.
3 Dalam bab ini, kita akan membincangkan empat soalan: Bagaimanakah kita dapat menikmati hasil usaha kita? Apakah pekerjaan yang tidak sesuai untuk orang Kristian sejati? Bagaimanakah kita dapat mencari keseimbangan antara kerja sekular dengan aktiviti-aktiviti rohani? Dan apakah kerja yang paling penting bagi seorang Kristian? Tetapi sebelum itu, marilah kita teliti teladan Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus.
YEHUWA DAN YESUS—SURI TELADAN KITA
4, 5. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa Yehuwa merupakan pekerja yang tekun?
4 Yehuwa merupakan Pekerja Yang Agung. Nota kaki di Kejadian 1:1 (ABB) menyatakan, ‘Pada mulanya Tuhan menciptakan alam semesta.’ Selepas Yehuwa menciptakan segala sesuatu di bumi, Dia “sangat berpuas hati.” (Kejadian 1:31) Yehuwa merupakan “Tuhan yang gembira,” dan Dia tentu berasa senang hati semasa melihat kerja-Nya membuahkan hasil yang baik!—1 Timotius 1:11, NW.
5 Sampai sekarang pun Bapa kita yang tekun masih sedang bekerja. Lama selepas bumi dan segala sesuatu diciptakan, Yesus berkata, ‘Bapaku sentiasa bekerja.’ (Yohanes 5:17) Jadi semenjak itu, apakah yang dilakukan oleh Yehuwa dari syurga? Dia membimbing dan menjaga keperluan manusia. Dia telah pun mengurapi sekumpulan orang Kristian yang bakal memerintah bersama Yesus di syurga. (2 Korintus 5:17) Yehuwa juga terus bekerja agar tujuan-Nya bagi umat manusia menjadi kenyataan—Dia inginkan mereka yang mengasihi-Nya untuk hidup di dunia baru buat selama-lamanya. (Roma 6:23) Ya, Yehuwa sangat berpuas hati dengan hasil kerja ini kerana berjuta-juta orang telah menerima berita baik Kerajaan Tuhan, mendekati Tuhan, dan membetulkan kehidupan mereka supaya dapat hidup di bawah naungan kasih-Nya.—Yohanes 6:44.
6, 7. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yesus seorang pekerja yang rajin?
6 Dari dahulu lagi, Yesus dikenali sebagai seorang pekerja yang rajin. Sebelum dia turun ke bumi, dia telah bekerja sebagai “jurubina” Yehuwa dan membantu-Nya untuk menciptakan “segala sesuatu di syurga dan di atas bumi.” (Amsal 8:22-31; Kolose 1:15-17) Semasa di bumi pula, dia terus bekerja dengan tekun. Dia mempelajari kemahiran yang diperlukan untuk menjadi seorang tukang kayu.a (Markus 6:3) Apakah yang terlibat dalam pekerjaan ini? Pada masa itu tidak ada kilang papan. Pembekal bahan binaan dan peralatan elektrik pun tidak ada. Jadi bayangkanlah hal ini: Untuk membina sebuah rumah, Yesus mungkin perlu menebang pokok untuk mendapatkan kayu balak. Kemudian dia perlu mengangkut kayu balak itu balik ke tempat kerjanya. Dapatkah anda membayangkan Yesus memasang rangka bumbung serta membuat pintu dan perabot lain? Ya, dia memerlukan pelbagai kemahiran dan terpaksa berjerih lelah. Sudah tentu Yesus telah merasai kepuasan yang mendalam setelah melihat hasil titik peluhnya.
7 Semasa Yesus menjalankan aktiviti penyebaran di bumi, dia juga menunjukkan bahawa dia merupakan seorang pekerja yang rajin. Selama tiga tahun setengah, dia sangat sibuk dalam kerja penting ini. Dia ingin menyebarkan berita baik kepada sebanyak orang yang mungkin, maka dia kerap kali bangun awal dan bekerja sehingga larut malam; dia tidak membazirkan masa. (Lukas 21:37, 38; Yohanes 3:2) Dia telah ‘menjelajah kota dan pekan untuk mengkhabarkan berita baik bahawa Tuhan mula memerintah.’ (Lukas 8:1) Untuk berbuat demikian, Yesus telah berjalan sejauh ratusan kilometer di atas jalan yang berdebu.
8, 9. Bagaimanakah Yesus menikmati hasil usahanya?
8 Adakah Yesus menikmati hasil usahanya dalam aktiviti penyebaran? Ya! Dia telah menaburkan benih kebenaran di merata-rata dan hasilnya ialah “ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai.” Kerja Tuhan memberi Yesus kekuatan dan kepuasan sehinggakan dia sanggup tidak makan agar dapat melaksanakan kerja ini. (Yohanes 4:31-38) Pada akhir aktiviti penyebarannya di bumi, Yesus berasa sangat puas hati. Dia dapat berkata kepada Bapanya, ‘Aku sudah memuliakan Engkau di atas bumi dengan menyelesaikan tugas yang Engkau berikan kepadaku.’—Yohanes 17:4, ABB.
9 Ya, Yehuwa dan Yesus memang merupakan suri teladan yang baik sebagai pekerja yang tekun. Jika kita mengasihi Tuhan Yehuwa, kita akan didorong untuk “berusaha mengikut teladan-Nya.” (Efesus 5:1) Dalam cara yang sama, jika kita mengasihi Yesus, hati kita akan digerakkan untuk ‘mengikut jejaknya.’ (1 Petrus 2:21) Jadi marilah kita lihat bagaimana kita juga dapat menikmati hasil usaha kita.
CARA MENIKMATI HASIL USAHA KITA
Prinsip Bible dapat membantu kita menikmati hasil usaha kita
10, 11. Apakah yang dapat membantu kita untuk mempunyai pandangan yang positif terhadap pekerjaan kita?
10 Sebagai orang Kristian sejati, kita juga mungkin perlu bekerja secara sekular. Kita ingin berasa puas hati dalam kerja yang kita lakukan. Tetapi hal ini mungkin menjadi cabaran jika kita tidak menyukai pekerjaan sekular kita. Jadi, bagaimanakah kita dapat menikmati hasil usaha kita?
11 Pupuklah sikap yang positif. Walaupun kita tidak dapat mengubah keadaan, kita boleh mengubah sikap kita. Maka, jika kita ingin memperoleh pandangan yang positif terhadap pekerjaan sekular, kita perlu mempunyai pandangan yang sama dengan pandangan Tuhan. Sebagai contoh, anda mungkin merupakan seorang kepala keluarga yang mempunyai kerja yang membosankan atau yang dipandang rendah. Namun, Tuhan memberikan kepala keluarga tanggungjawab untuk mencari nafkah bagi menampung keperluan keluarga. Firman Tuhan menyatakan bahawa seseorang yang tidak menjaga keperluan keluarga adalah ‘lebih jahat daripada orang yang tidak berkepercayaan.’ (1 Timotius 5:8) Ya, jika anda memandang pekerjaan anda sebagai sarana yang membolehkan anda untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai kepala keluarga, anda dapat memperoleh kepuasan hati.
12. Apakah yang diraih oleh orang yang tekun dan jujur?
12 Bersikap tekun dan jujur. Jika kita bekerja dengan tekun, kita akan meraih banyak berkat. Dalam dunia perniagaan, pekerja yang tekun dan mahir amat dihargai oleh majikan. (Amsal 12:24; 22:29) Selain itu, orang Kristian sejati juga perlu bersikap jujur semasa bekerja. Kita tidak boleh mencuri tulang mahupun mencuri wang atau benda lain yang bukan milik kita. (Efesus 4:28) Dalam bab yang lepas, kita telah belajar bahawa kejujuran membawa banyak kebaikan. Seorang pekerja yang jujur akan dipercayai oleh majikannya. Tetapi tidak kira sama ada majikan anda menyedari bahawa anda merupakan seorang pekerja yang jujur atau tidak, usaha tekun anda akan menyenangkan hati Tuhan dan membuahkan ‘hati nurani yang murni.’—Ibrani 13:18; Kolose 3:22-24.
13. Apakah hasilnya jika kita menyediakan teladan yang baik di tempat kerja?
13 Menyedari bahawa kelakuan kita dapat memuliakan Tuhan. Apabila kita sebagai seorang Kristian menunjukkan tingkah laku yang baik di tempat kerja, hal ini pasti tidak akan terlepas daripada perhatian orang lain. Apakah hasilnya? Bible menyatakan bahawa perbuatan kita dapat mendorong orang lain untuk ‘memuji ajaran tentang Tuhan.’ (Titus 2:9, 10) Ya, kita dapat mengindahkan ajaran Tuhan melalui tingkah laku kita. Dengan demikian, orang lain mungkin tertarik kepada penyembahan sejati. Cuba bayangkan perasaan anda jika seorang rakan sekerja menunjukkan minat dalam kebenaran Bible hasil daripada teladan baik anda! Yang penting sekali, kelakuan anda yang baik akan mengharumkan nama Yehuwa dan menggembirakan hati-Nya.—Amsal 27:11; 1 Petrus 2:12.
MENGGUNAKAN DAYA PENILAIAN SEWAKTU MEMILIH KERJA
14-16. Sewaktu memilih pekerjaan, apakah dua soalan penting yang perlu dipertimbangkan?
14 Bible tidak memberikan arahan yang terperinci mengenai pekerjaan yang sesuai bagi orang Kristian. Tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa kita boleh memilih pekerjaan dengan sesuka hati. Bible dapat membantu kita memilih pekerjaan yang menyenangkan hati Tuhan dan menghindari pekerjaan yang tidak menyenangkan hati-Nya. (Amsal 2:6) Sewaktu memilih pekerjaan, kita perlu mempertimbangkan dua soalan yang penting.
15 Adakah pekerjaan ini melibatkan perbuatan yang dikutuk dalam Bible? Firman Tuhan dengan jelas mengutuk perbuatan seperti mencuri, menipu, dan membuat patung berhala. (Keluaran 20:4; Kisah 15:29; Efesus 4:28; Penyingkapan 21:8) Jadi, kita akan menolak apa-apa pekerjaan yang melibatkan perbuatan-perbuatan ini. Oleh sebab kita mencintai Yehuwa, kita akan menghindari pekerjaan yang menyebabkan kita melakukan perbuatan yang melanggar perintah Tuhan.—1 Yohanes 5:3.
16 Adakah pekerjaan ini menyebabkan saya bersubahat dalam perbuatan yang salah atau menggalakkan orang untuk berbuat salah? Perhatikan contoh ini: Seorang Kristian mungkin ditawarkan kerja sebagai penyambut tetamu. Pekerjaan ini tidaklah salah. Tetapi, bagaimana pula jika dia ditawarkan kerja sebagai penyambut tetamu di sebuah Pusat Derma Darah? Walaupun dia tidak terlibat dalam proses pengambilan darah, tidakkah dia sedang menyokong perbuatan yang bertentangan dengan hukum Tuhan? (Kisah 15:29) Kita tidak ingin mempunyai apa-apa kaitan pun dengan perbuatan yang melanggar hukum Yehuwa kerana kita benar-benar mengasihi-Nya!
17. (a) Apakah faktor-faktor yang boleh kita pertimbangkan sewaktu memilih pekerjaan? (Lihat kotak “Patutkah Saya Menerima Kerja Ini?”) (b) Bagaimanakah hati nurani dapat membantu kita membuat keputusan yang diperkenankan Tuhan?
17 Jika kita mempertimbangkan jawapan kepada soalan di perenggan 15 dan soalan di perenggan 16, kita boleh mengetahui sama ada sesuatu pekerjaan itu sesuai bagi seorang Kristian atau tidak. Selain itu, terdapat faktor lain yang perlu kita pertimbangkan.b Golongan hamba yang setia dan bijaksana tidak menyediakan garis panduan yang spesifik tentang setiap situasi yang mungkin timbul. Oleh itu, kita perlu menggunakan daya penilaian kita. Seperti yang telah dipelajari dalam Bab 2, kita perlu melatih dan mendidik hati nurani dengan menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan seharian. Apabila daya tanggapan kita “terlatih untuk membezakan yang baik daripada yang jahat,” hati nurani kita dapat membantu kita untuk membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa. Dengan demikian, kita dapat terus hidup di bawah naungan kasih-Nya.—Ibrani 5:14.
PANDANGAN YANG SEIMBANG TERHADAP KERJA
18. Mengapakah susah untuk mengekalkan keseimbangan rohani?
18 Bible menyatakan bahawa “pada hari-hari terakhir” ini, banyak kesusahan akan timbul. (2 Timotius 3:1) Oleh itu, memang susah bagi kita untuk mengekalkan keseimbangan rohani. Sebagai orang Kristian sejati, kita tahu bahawa kita patut bekerja keras untuk menampung keperluan keluarga. Tetapi, peluang pekerjaan sangat tipis dan mereka yang dapat mencari kerja mudah dibuang kerja. Maka jika kita tidak berhati-hati, tekanan di tempat kerja atau sikap mementingkan kebendaan boleh menyebabkan kita hilang keseimbangan rohani. (1 Timotius 6:9, 10) Jadi bagaimanakah kita dapat mencari keseimbangan antara kerja sekular dengan aktiviti-aktiviti rohani, dan memastikan bahawa kita “memilih apa yang terbaik”?—Filipi 1:10.
19. Mengapakah kita patut yakin kepada Yehuwa dengan sepenuhnya, dan apakah faedahnya?
19 Yakin sepenuhnya kepada Yehuwa. (Amsal 3:5, 6) Kita harus yakin sepenuhnya kepada Yehuwa kerana Dia mengambil berat tentang kita. (1 Petrus 5:7) Dia bukan sahaja tahu apa yang kita perlukan, malahan Dia berupaya dan dapat membantu kita pada bila-bila masa. (Mazmur 37:25) Maka kita harus mendengar nasihat Bible yang berikut: ‘Janganlah hidup kamu dikuasai oleh cinta akan wang. Hendaklah kamu puas hati dengan apa yang kamu miliki. Tuhan sudah berfirman, “Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.”’ (Ibrani 13:5, ABB) Kehidupan mereka yang terlibat dalam khidmat sepenuh masa jelas membuktikan bahawa Yehuwa berupaya menjaga keperluan hidup penyembah-Nya. Jika kita benar-benar yakin bahawa Yehuwa akan menjaga kita, kita tidak akan terlalu khuatir tentang keperluan keluarga kita. (Matius 6:25-32) Kita tidak akan mengabaikan aktiviti rohani—seperti menjalankan kerja penyebaran dan menghadiri perjumpaan Kristian—semata-mata untuk menjalankan pekerjaan sekular.—Matius 24:14; Ibrani 10:24, 25.
20. Apakah yang dimaksudkan dengan mata yang terang? Dan apakah yang dapat membantu anda memiliki mata yang terang?
20 Tumpukan perhatian anda pada pelaksanaan kehendak Tuhan. Yesus berkata bahawa mata kita perlu “terang.” (Matius 6:22, 23) Maksudnya kita tidak patut merumitkan kehidupan kita dengan perkara-perkara yang tidak penting sehingga terlupa untuk menumpukan perhatian pada pelaksanaan kehendak Tuhan. Kita tidak akan terlalu sibuk memburu kerjaya yang boleh menjadikan kita kaya. Kita juga tidak akan mendambakan gaya hidup yang lebih mewah. Selain itu, kita tidak akan terpukau oleh dunia pengiklanan yang mendorong kita untuk mendapatkan peralatan yang terbaru dan tercanggih di pasaran. Jadi apakah yang dapat membantu anda untuk menumpukan perhatian pada pelaksanaan kehendak Tuhan? Janganlah melilitkan hutang di sekeliling pinggang. Janganlah mengumpulkan harta benda yang akan membazirkan masa dan perhatian anda. Dengarkanlah gesaan Bible yang berikut: “Cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan.” (1 Timotius 6:8, ABB) Berusahalah sedaya upaya untuk hidup sederhana tanpa menyemakkan kehidupan anda.
21. Mengapakah kita patut menentukan keutamaan hidup kita, dan apakah perkara yang patut diutamakan oleh seorang Kristian?
21 Utamakanlah perkara rohani dan janganlah menyimpang daripadanya. Oleh sebab kita mempunyai masa dan tenaga yang terhad dalam kehidupan, kita perlu menentukan keutamaan hidup. Kalau tidak, perkara yang kurang penting akan menelan masa lalu menyebabkan kita mengetepikan perkara yang lebih penting. Jadi, apakah yang harus kita utamakan? Ramai orang hari ini mengutamakan pendidikan tinggi supaya dapat menikmati kerjaya yang menjanjikan gaji yang lumayan. Walau bagaimanapun, Yesus menyuruh pengikutnya untuk ‘mengutamakan Pemerintahan Tuhan.’ (Matius 6:33) Ya, sebagai orang Kristian sejati, semua aspek kehidupan kita—termasuk pilihan, matlamat, serta aktiviti yang kita jalankan—harus menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan dan kehendak-Nya adalah lebih penting daripada kerjaya sekular dan hal-hal kebendaan.
BERTUNGKUS LUMUS DALAM AKTIVITI PENYEBARAN
Kita menunjukkan bahawa kita mengasihi Yehuwa dengan mengutamakan kerja penyebaran
22, 23. (a) Orang Kristian sejati menumpukan perhatian pada kerja apa? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kerja ini adalah penting? (Lihat kotak “Keputusan Saya Membawa Kehidupan yang Diisi Sukacita dan Kepuasan.”) (b) Apakah tekad anda mengenai pekerjaan sekular?
22 Kita sedang hidup pada penghujung hari-hari terakhir. Jadi kita perlu menumpukan perhatian pada kerja yang paling penting bagi orang Kristian sejati—iaitu kerja penyebaran dan kerja menjadikan orang murid Yesus. (Matius 24:14; 28:19, 20) Yesus merupakan suri teladan yang baik kerana dia menjadikan kerja penyebaran kerja utama dalam kehidupannya. Dia mencurahkan banyak masa dan tenaga dalam kerja ini. Bagaimanakah kita dapat menirunya dan menunjukkan bahawa kerja ini adalah sangat penting dalam kehidupan kita? Ramai penyembah Yehuwa berkhidmat sebagai penyiar dan menjalankan kerja ini dengan sepenuh jiwa raga. Yang lain pula berkhidmat sebagai perintis. Ramai ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka untuk menetapkan matlamat rohani dan memilih khidmat sepenuh masa sebagai kerjaya mereka. Adakah mereka yang menyebarkan berita baik dengan semangat berkobar-kobar menikmati hasil usaha mereka? Sudah tentu! Mereka menikmati kebahagiaan, kepuasan hati, dan berkat yang melimpah kerana berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa.—Amsal 10:22.
23 Ingatlah bahawa Yehuwa mahu kita menikmati hasil usaha kita. Walaupun kebanyakan daripada kita perlu berjerih lelah sepanjang hari di tempat kerja untuk menampung keperluan keluarga, kita masih boleh mengecap kepuasan hati jika kita menyelaraskan sikap dan kelakuan kita dengan prinsip dan pandangan Yehuwa. Kita harus bertekad untuk mengutamakan kerja penyebaran berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Jadi, janganlah benarkan kerja sekular untuk mengalihkan perhatian anda daripada kerja yang paling penting ini. Dengan demikian, anda menunjukkan bahawa anda benar-benar mengasihi Yehuwa, dan mahu berada di bawah naungan kasih-Nya.
a Perkataan Yunani bagi “tukang kayu” merupakan “istilah am yang merujuk kepada orang yang membuat barang-barang daripada kayu, seperti rumah, perabot, atau peralatan lain.”
b Untuk perbincangan lanjut mengenai faktor yang harus dipertimbangkan dalam soal pekerjaan, sila lihat The Watchtower, 15 April 1999, muka surat 28-30, dan 15 Julai 1982, muka surat 26.