BAB TIGA
Dua Kunci kepada Perkahwinan yang Berkekalan
1, 2. (a) Tuhan menghendaki suami isteri hidup bersama untuk berapa lama? (b) Apakah caranya?
SEMASA Tuhan menyatukan Adam dan Hawa dalam perkahwinan, Dia menghendaki lelaki dan wanita pertama ini untuk tinggal bersama seumur hidup. (Kejadian 2:24) Di mata Tuhan, perkahwinan yang mulia ialah perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita. Menurut Bible, mereka hanya boleh bercerai dan berkahwin semula jika salah seorang daripada mereka melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral.—Matius 5:32.
2 Bolehkah dua individu hidup bersama dengan bahagia buat selama-lamanya? Sudah tentu. Bible memberitahu kita dua kunci kepada perkahwinan yang berkekalan. Jika suami isteri menggunakan kunci-kunci ini, mereka dapat mengecap kebahagiaan dan banyak berkat. Apakah kunci-kunci ini?
KUNCI PERTAMA
Kasih dan hormat akan menjayakan perkahwinan
3. Apakah tiga jenis kasih yang patut dipupuk oleh suami isteri?
3 Kunci yang pertama ialah kasih. Yang menariknya, Bible menyebut tentang pelbagai jenis kasih. (1) Kasih sayang dan kemesraan yang wujud antara sahabat karib. (Yohanes 11:3) (2) Kasih yang terjalin antara ahli keluarga. (Roma 12:10) (3) Kasih, atau cinta, terhadap seseorang yang berlawanan jantina. (Amsal 5:15-20) Sudah pasti, suami isteri perlu memupuk ketiga-tiga jenis kasih ini. Tetapi ada satu lagi kasih yang jauh lebih penting.
4. Apakah kasih yang keempat?
4 Dalam bahasa asal Kitab Yunani Kristian, perkataan untuk kasih yang keempat ialah a·gaʹpe. Perkataan ini digunakan di 1 Yohanes 4:8: ‘Tuhan itu kasih.’ Sememangnya, ‘kita mengasihi kerana Tuhan mengasihi kita terlebih dahulu.’ (1 Yohanes 4:19) Orang Kristian memupuk kasih ini terhadap Tuhan Yehuwa dan kemudiannya terhadap orang lain. (Markus 12:29-31) Perkataan a·gaʹpe juga digunakan di Efesus 5:2 yang menyatakan, ‘Hidup kamu harus dijiwai oleh kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita. Dia mengorbankan nyawanya bagi kita.’ Yesus berkata bahawa kasih ini akan menjadi tanda pengenal pengikutnya yang sejati. Katanya, ‘Jika kamu saling mengasihi [a·gaʹpe], semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikutku.’ (Yohanes 13:35, ABB) Perhatikan juga penggunaan a·gaʹpe di 1 Korintus 13:13: “Ada tiga perkara yang harus tetap dilakukan: percaya, berharap, dan mengasihi orang lain. Tetapi yang paling penting daripada ketiga-tiganya adalah mengasihi [a·gaʹpe] orang lain.”
5, 6. (a) Mengapakah kasih lebih penting daripada kepercayaan dan harapan? (b) Jelaskan mengapa kasih dapat mempertahankan ikatan perkahwinan.
5 Mengapakah kasih a·gaʹpe lebih penting daripada kepercayaan dan harapan? Kasih ini ditentukan oleh prinsip-prinsip dalam Firman Tuhan. (Mazmur 119:105) Kasih ini mendorong kita untuk memupuk pandangan Tuhan dan tidak mementingkan diri. Kita akan berusaha berbuat baik kepada semua orang, tidak kira sama ada mereka layak menerimanya atau tidak. Kasih ini membolehkan suami isteri mengikut nasihat Bible, “Hendaklah kamu saling bersabar dan saling mengampuni apabila ada yang menaruh dendam terhadap orang lain. Kamu harus saling mengampuni sebagaimana Tuhan sudah mengampuni kamu.” (Kolose 3:13, ABB) Suami isteri haruslah “saling mengasihi [a·gaʹpe] dengan sepenuh hati” dan “bersedia untuk saling mengampuni.” (1 Petrus 4:8) Perhatikan bahawa kasih membantu kita untuk saling memaafkan, tetapi kasih tidak menghapuskan kesilapan kerana kita semua tidak sempurna dan mudah tersilap langkah.—Mazmur 130:3, 4; Yakobus 3:2.
6 Apabila suami isteri memupuk kasih sebegini untuk Tuhan dan pasangan hidup, perkahwinan mereka akan bahagia dan berkekalan kerana “kasih itu abadi.” (1 Korintus 13:8, NW) Kasih ‘menyatupadukan kita dengan sempurna.’ (Kolose 3:14) Jika anda sudah berkahwin, bagaimanakah anda dan pasangan anda boleh memupuk kasih ini? Baca dan bincangkan Firman Tuhan bersama-sama. Kaji cara Yesus menunjukkan kasih, dan tirulah cara dia berfikir dan bertindak. Hadiri perjumpaan Kristian untuk mempelajari Firman Tuhan. Dan mohonlah bantuan Tuhan untuk memupuk kasih unggul ini, yang merupakan salah satu aspek buah daya aktif Tuhan.—Amsal 3:5, 6; Yohanes 17:3; Galatia 5:22; Ibrani 10:24, 25.
KUNCI KEDUA
7. Apakah maksud hormat? Siapakah yang harus menunjukkan hormat dalam perkahwinan?
7 Suami isteri yang benar-benar mengasihi satu sama lain akan saling menghormati juga. Ya, hormat ialah kunci kedua kepada perkahwinan yang bahagia. Hormat bermaksud “bertimbang rasa terhadap orang lain; memuliakan mereka.” Firman Tuhan menasihati semua orang Kristian, termasuk suami dan isteri, agar “saling mendahului untuk memberikan hormat.” (Roma 12:10) Rasul Petrus menulis, “Kamu, suami-suami harus hidup dengan isteri kamu dengan penuh pengertian, dan sedar bahawa mereka itu kaum yang lebih lemah. Perlakukanlah mereka dengan hormat.” (1 Petrus 3:7) Isteri dinasihati supaya “menghormati suaminya” dari hati. (Efesus 5:33) Jika anda menghormati seseorang, anda akan melayannya dengan baik, menjaga maruahnya, menghargai pandangannya, dan bersedia menunaikan permintaannya yang munasabah.
8-10. Bagaimanakah sikap hormat dapat menyumbang kepada perkahwinan yang bahagia dan kukuh?
8 Mereka yang menginginkan perkahwinan yang bahagia harus menghormati pasangan mereka. Bible menyatakan, “Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri.” (Filipi 2:4, ABB) Jadi, suami isteri tidak mementingkan diri sendiri. Sebaliknya, mereka mengutamakan pasangan hidup dan mempertimbangkan apa yang terbaik baginya.
9 Suami isteri yang saling menghormati akan menerima hakikat bahawa mereka mempunyai pandangan yang berbeza. Adalah mustahil bagi dua orang untuk bersependapat dalam semua perkara. Apa yang penting di mata suami mungkin tidak begitu penting bagi isteri, dan apa yang disukai isteri mungkin tidak disukai suami. Namun begitu, setiap orang harus menghormati pandangan dan pilihan pasangannya, asalkan selaras dengan hukum dan prinsip Yehuwa. (1 Petrus 2:16; bandingkan Filemon 14.) Selanjutnya, setiap orang harus menghormati pasangannya dan tidak mempersendakannya di depan orang lain mahupun semasa bersendirian.
10 Sememangnya, kasih untuk Tuhan dan satu sama lain, serta hormat-menghormati ialah dua kunci penting kepada perkahwinan yang berjaya. Bagaimanakah suami isteri boleh menerapkan dua kunci ini dalam kehidupan?
KEPALA KELUARGA—TIRULAH KRISTUS
11. Menurut Bible, siapakah kepala keluarga?
11 Bible memberitahu kita bahawa lelaki diciptakan dengan sifat-sifat yang membolehkannya menjadi kepala keluarga yang baik. Oleh itu di mata Yehuwa, suamilah yang bertanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan isteri dan anak-anaknya dari segi jasmani dan rohani. Dia perlu membuat keputusan seimbang yang mencerminkan kehendak Yehuwa dan bertindak dalam cara yang diperkenankan-Nya. ‘Hai isteri, taatlah kepada suami seperti kamu taat kepada Tuan, kerana suami ialah ketua kepada isteri, sebagaimana Kristus ialah ketua kepada jemaah.’ (Efesus 5:22, 23, ABB) Namun, Bible menyatakan bahawa suami juga perlu tunduk kepada seorang kepala. Rasul Paulus menulis, “Aku mahu kamu memahami hal ini: Kristus ialah kepala setiap orang lelaki; suami ialah kepala isteri dan [Tuhan] ialah kepala Kristus.” (1 Korintus 11:3, ABB) Suami yang bijak mencontohi kepalanya, iaitu Kristus Yesus, semasa dia memimpin keluarganya.
12. Bagaimanakah Yesus menyediakan teladan baik (a) dalam menunjukkan ketaatan? (b) sebagai seorang kepala?
12 Yesus juga mempunyai seorang kepala, iaitu Yehuwa, dan dia taat kepada-Nya. Yesus berkata, ‘Aku tidak mengikut kehendakku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus aku.’ (Yohanes 5:30) Teladan Yesus sungguh baik! Dia merupakan “Anak sulung yang lebih utama daripada segala sesuatu yang diciptakan.” (Kolose 1:15b) Dia telah menjadi Mesias. Dia juga bakal menjadi Kepala sidang Kristian terurap dan Raja Kerajaan Tuhan. Kedudukannya lebih tinggi daripada semua malaikat. (1 Korintus 15:28; Ibrani 1:4) Biarpun begitu, Yesus tidak berkeras, bersikap kasar, atau suka mendesak. Dia tidak memaksa murid-muridnya untuk mematuhinya. Yesus seorang yang pengasih dan berbelas kasihan, terutamanya kepada mereka yang tertindas. Katanya, ‘Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu. Ikutlah perintahku dan terimalah ajaranku, kerana aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan. Perintah yang aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang aku berikan mudah dipikul.’ (Matius 11:28-30, ABB) Ya, Yesus memang mudah dihampiri.
13, 14. Selaku kepala keluarga, bagaimanakah seorang suami yang penyayang boleh meniru Yesus?
13 Seorang suami yang menginginkan kehidupan keluarga yang bahagia harus mengkaji sifat-sifat Yesus. Suami yang baik tidak bersikap kasar; dia tidak memaksa isteri mengikut semua kemahuannya atau menggunakan kuasanya untuk menggertak isteri. Sebaliknya, dia mengasihi dan menghormatinya. Meskipun Yesus sempurna, dia tetap “rendah hati.” Jadi suami harus berusaha memupuk sifat ini. Mengapa? Kerana dia sering membuat kesilapan dan menginginkan pengampunan daripada isteri. Suami yang rendah hati akan mengakui kesilapannya, meskipun susah untuk berkata, “Kamu yang betul; maafkan abang.” Seorang isteri lebih mudah menghormati suami yang rendah diri berbanding dengan suami yang sombong dan degil. Begitu juga, isteri yang menghormati suami akan memohon maaf apabila dia membuat kesilapan.
14 Tuhan menciptakan wanita dengan sifat-sifat baik yang membantunya menyumbang kepada perkahwinan yang bahagia. Suami yang bijak menyedari hal ini dan tidak akan menghalangnya. Pada amnya, wanita lebih peka dan bertimbang rasa, dan sifat-sifat ini diperlukan untuk menjaga keluarga dan memelihara hubungan yang baik. Kaum wanita juga mahir menjadikan rumah mereka tempat tinggal yang selesa. “Isteri yang cekap” yang dinyatakan di Amsal bab 31 memiliki banyak sifat serta bakat terpuji yang membawa manfaat kepada keluarganya. Ini adalah kerana “suaminya mempunyai keyakinan terhadap dia.”—Amsal 31:10, 11.
15. Bagaimanakah suami boleh meniru Kristus dan mengasihi serta menghormati isterinya?
15 Sesetengah budaya terlalu mementingkan kedudukan suami sebagai kepala sehingga isteri tidak bebas menyuarakan pendapatnya. Suami mungkin melayan isteri seperti seorang hamba. Akibatnya, dia bukan sahaja menjejaskan hubungan dengan isterinya, bahkan dengan Tuhan. (Bandingkan 1 Yohanes 4:20, 21.) Sesetengah suami pula gagal mengambil pimpinan dan membiarkan isteri mengambil alih tanggungjawab sebagai kepala. Seorang suami yang benar-benar taat kepada Kristus tidak menjatuhkan maruah atau memperalat isterinya. Sebaliknya, dia meniru kasih dan semangat pengorbanan Yesus, serta mengikut nasihat Paulus, ‘Hai suami, kasihilah isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah, dan mengorbankan nyawanya untuk jemaah.’ (Efesus 5:25, ABB) Kristus Yesus begitu mengasihi pengikutnya sehingga dia sanggup menggadaikan nyawanya demi mereka. Suami yang baik akan meniru sikap Yesus yang tidak mementingkan diri. Dia akan menjaga kepentingan isteri dan tidak membuat permintaan yang tidak munasabah. Apabila suami taat kepada Kristus, dan mengasihi serta menghormati isterinya, isteri akan didorong untuk mentaatinya.—Efesus 5:28, 29, 33.
ISTERI YANG TAAT
16. Apakah sifat-sifat yang harus diperlihatkan oleh isteri terhadap suami?
16 Beberapa lama setelah Adam diciptakan, Tuhan Yehuwa berfirman, “Tidak baik manusia hidup seorang diri. Aku akan menjadikan seorang teman yang sesuai untuk menolong dia.” (Kejadian 2:18) Tuhan menciptakan Hawa sebagai pelengkap, bukannya pesaing. Perkahwinan bukanlah seperti sebuah kapal yang mempunyai dua orang kapten. Suami harus menjadi kepala yang pengasih, dan isteri perlu memperlihatkan kasih, hormat, serta rela tunduk kepada suami.
17, 18. Nyatakan beberapa cara seorang isteri dapat menolong suaminya.
17 Walau bagaimanapun, isteri yang baik tidak sekadar tunduk kepada suaminya. Dia juga membantu suami dengan menyokong keputusannya. Hal ini mudah jika dia bersetuju dengan keputusan suami. Tetapi jika dia tidak bersetuju, dia masih boleh membantu menjayakan keputusan suami dengan memberikan kerjasama dan sokongan.
18 Seorang isteri boleh membantu suaminya menjadi ketua keluarga yang baik dalam cara lain. Dia boleh meluahkan penghargaan apabila suami berusaha mengambil pimpinan, dan bukannya mengkritik atau membuat suami berasa bahawa dia selalu gagal memenuhi keperluan isteri. Isteri harus ingat bahawa ‘budi pekerti yang lembut dan tenang sangat berharga di sisi Tuhan’ dan suami. (1 Petrus 3:3, 4; Kolose 3:12) Bagaimana pula jika suami tidak seiman? Biarpun begitu, Bible menggalakkan isteri untuk ‘mengasihi suami dan anak-anak, tahu mengawal diri, suci dan menjadi suri rumah yang baik, serta taat kepada suami. Dengan demikian tidak ada orang yang dapat mencela perkhabaran daripada Tuhan.’ (Titus 2:4, 5, ABB) Jika hal yang berkaitan dengan hati nurani timbul, suami yang tidak seiman lebih mudah menghormati pendirian isterinya jika penjelasan diberikan dalam cara yang “lemah lembut dan hormat.” Ada kalanya, isteri “tidak perlu mengatakan apa-apa” kerana ‘kelakuannya yang murni dan penuh hormat’ mungkin “menyebabkan [suami] menjadi percaya.”—1 Petrus 3:1, 2, 15, 16; 1 Korintus 7:13-16.
19. Apakah yang harus dilakukan jika suami menyuruh isteri melanggar hukum Tuhan?
19 Bagaimana pula jika suami menyuruh isteri melakukan sesuatu yang dilarang Tuhan? Pada masa itu, isteri harus ingat bahawa Tuhan ialah Pemerintah yang tertinggi. Dia mencontohi Petrus dan rasul-rasul lain. Semasa mereka disuruh untuk melanggar hukum Tuhan, mereka menjawab, ‘Kami harus taat kepada Tuhan dan bukan kepada manusia.’—Kisah 5:29.
KOMUNIKASI YANG BAIK
20. Apakah satu lagi cara untuk menunjukkan kasih dan hormat dalam perkahwinan?
20 Kasih dan hormat sangat penting dalam satu lagi aspek perkahwinan—semasa suami isteri berkomunikasi. Suami yang penyayang akan bertanya kepada isteri tentang aktiviti dan masalahnya, serta meminta pandangannya mengenai pelbagai perkara. Isteri memerlukan saat-saat sebegini. Suami yang meluangkan masa untuk bercakap dengan isteri dan benar-benar mendengar pandangannya menunjukkan kasih dan hormat. (Yakobus 1:19) Sedihnya, sesetengah isteri mengadu bahawa suami jarang berkomunikasi dengan mereka. Memang, keadaan ekonomi dewasa ini memaksa suami isteri menghabiskan banyak masa untuk bekerja. Tetapi suami isteri perlu meluangkan masa bersama agar hubungan mereka tidak renggang. Selanjutnya, banyak masalah serius akan timbul jika mereka menagih simpati daripada orang lain dan menjalin hubungan romantik di luar perkahwinan.
21. Bagaimanakah kata-kata lembut boleh mengekalkan kebahagiaan keluarga?
21 Cara suami isteri berkomunikasi adalah penting. “Kata-kata yang lembut . . . manis rasanya serta menyihatkan badan.” (Amsal 16:24) Tidak kira pasangan anda seiman atau tidak, nasihat Bible ini perlu diterapkan: “Perkataan-perkataan kamu harus sentiasa sedap didengar.” (Kolose 4:6, Berita Baik Untuk Manusia Moden) Kata-kata yang disulami dengan kasih dan simpati boleh menenangkan pasangan yang berasa tertekan. Amsal 25:11 (ABB) menyatakan, “Kata-kata yang diucapkan tepat pada waktunya bagaikan buah emas di dalam pinggan perak.” Nada suara dan kata-kata yang digunakan sangat penting. Contohnya, seseorang boleh berkata dengan marah, “Tutup pintu!” Tetapi lebih baik jika dia menggunakan nada yang tenang dan berkata dengan lembut, “Sayang, boleh tolong tutup pintu?”
22. Apakah sikap yang diperlukan oleh suami isteri untuk berkomunikasi dengan baik?
22 Komunikasi akan bertambah baik apabila seseorang bertutur dengan ramah mesra, bersopan santun, baik hati, bertimbang rasa, dan lemah lembut. Suami isteri yang berusaha keras untuk berkomunikasi dengan baik tidak akan teragak-agak untuk meluahkan isi hati. Mereka boleh saling membantu dan menggalakkan ketika berasa hampa atau tertekan. Firman Tuhan menggesa kita supaya “menabahkan hati” orang yang murung. (1 Tesalonika 5:14) Ada kalanya suami atau isteri berasa lemah semangat. Pada masa itu, mereka boleh “menabahkan hati” satu sama lain dengan mengucapkan kata-kata yang membina.—Roma 15:2.
23, 24. Bagaimanakah kasih dan hormat dapat membantu menyelesaikan perselisihan faham? Berikan contoh.
23 Suami isteri yang saling mengasihi dan menghormati tidak akan menganggap perselisihan faham sebagai masalah besar yang tidak dapat diselesaikan. Mereka akan berusaha mengawal kemarahan dan tidak “berlaku kasar” terhadap satu sama lain. (Kolose 3:19) Suami isteri harus ingat bahawa “jawapan yang lembut meredakan kemarahan.” (Amsal 15:1) Semasa pasangan mencurahkan isi hati, pastikan anda tidak merendah-rendahkan atau menghinanya. Sebaliknya, gunakan peluang ini untuk menyelami pandangannya. Berikhtiarlah bersama-sama untuk mencari jalan penyelesaian dan mencapai persefahaman.
24 Fikirkan contoh Sara. Apabila timbulnya suatu masalah, Sara telah memberikan cadangan kepada suaminya, Abraham. Abraham tidak bersetuju, tetapi Tuhan memberitahunya, “Buatlah apa yang disuruh oleh Sara.” (Kejadian 21:9-12) Abraham pun mengikut cadangan Sara dan dia diberkati. Begitu juga, jika isteri mencadangkan sesuatu yang berbeza dengan pandangan suaminya, sekurang-kurangnya suami harus mendengar. Pada masa yang sama, isteri tidak patut asyik bercakap; dia juga perlu mendengar pendapat suaminya. (Amsal 25:24) Suami atau isteri yang asyik berkeras mahu mengikut pendiriannya tidak menunjukkan kasih dan hormat.
25. Bagaimanakah komunikasi yang baik membantu suami isteri dalam hubungan intim mereka?
25 Suami isteri juga perlu berkomunikasi dengan baik dalam hal yang berkaitan dengan hubungan seksual mereka. Sikap mementingkan diri dan tidak tahu mengawal diri boleh menghancurkan hubungan yang paling intim ini. Komunikasi terbuka serta kesabaran amatlah penting. Apabila suami isteri mengutamakan kesejahteraan pasangan mereka, seks jarang menjadi masalah serius. Berkenaan seks dan hal lain, ‘janganlah seorang pun melakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi untuk kepentingan orang lain.’—1 Korintus 7:3-5; 10:24.
26. Biarpun perkahwinan ada pasang surutnya, bagaimanakah Firman Tuhan dapat membantu suami isteri menikmati kebahagiaan?
26 Betapa unggulnya nasihat yang terkandung dalam Firman Tuhan! Memang, setiap perkahwinan ada pasang surutnya. Tetapi apabila suami isteri mengikut prinsip Yehuwa dalam Bible, dan saling mengasihi serta menghormati, nescaya perkahwinan mereka akan kekal dan bahagia. Dengan itu, mereka bukan sahaja memuliakan satu sama lain tetapi juga mengharumkan nama Pengasas perkahwinan, iaitu Tuhan Yehuwa.