BAB LAPAN
Lindungi Keluarga Anda daripada Pengaruh Buruk
1-3. (a) Dari manakah datangnya pengaruh buruk yang mengancam keluarga? (b) Bagaimanakah sesetengah ibu bapa melindungi keluarga dengan cara yang tidak seimbang?
ANAK anda hendak pergi ke sekolah, tetapi hujan lebat sedang turun. Apakah yang akan anda lakukan? Adakah anda akan membiarkannya keluar tanpa memakai baju hujan atau membawa payung? Atau adakah anda akan menyuruhnya memakai begitu banyak baju hujan sehingga dia tidak boleh bergerak? Sudah tentu tidak. Anda hanya memberinya apa yang diperlukan agar dia tidak basah.
2 Begitu juga, ibu bapa mesti bersikap seimbang semasa melindungi keluarga daripada pengaruh buruk yang datang dari dunia hiburan, media massa, rakan sebaya, dan bahkan sekolah. Sesetengah ibu bapa kurang atau langsung tidak melindungi keluarga mereka. Yang lain pula memandang buruk semua pengaruh dunia dan terlampau tegas sehinggakan anak-anak berasa terbelenggu. Bolehkah ibu bapa bersikap seimbang?
3 Ya, memang boleh. Sikap keterlaluan bukan sahaja sia-sia malah mengundang masalah. (Pengkhutbah 7:16, 17) Tetapi, bagaimanakah ibu bapa Kristian boleh bersikap seimbang semasa melindungi keluarga? Mari kita bincangkan tiga aspek yang berikut: pendidikan, pergaulan, dan rekreasi.
SIAPA HARUS MENGAJAR ANAK ANDA?
4. Bagaimanakah ibu bapa patut memandang pendidikan?
4 Ibu bapa Kristian menitikberatkan pendidikan. Mereka tahu bahawa anak-anak perlu pergi ke sekolah untuk membaca, menulis, berkomunikasi, dan menyelesaikan masalah. Di sekolah, anak juga diajar cara untuk belajar. Kemahiran yang diperoleh boleh membantunya berjaya meskipun menghadapi cabaran dalam dunia. Tambahan lagi, pendidikan yang baik boleh membantunya bekerja dengan cekap.—Amsal 22:29.
5, 6. Bagaimanakah anak yang bersekolah boleh terdedah kepada maklumat yang salah tentang seks?
5 Namun begitu, di sekolah, anak anda akan bergaul dengan banyak budak lain yang mempunyai pandangan yang salah. Misalnya, perhatikan pandangan mereka tentang seks dan moral. Di sebuah sekolah menengah di Nigeria, seorang pelajar perempuan yang tidak bermoral sering menasihati rakan-rakannya tentang seks. Mereka suka mendengarnya meskipun dia mengarut dan memberikan maklumat yang diambil daripada bahan bacaan lucah. Beberapa pelajar perempuan mengikut nasihatnya. Akibatnya, seorang pelajar hamil luar nikah dan mati kerana dia sendiri mencuba menggugurkan kandungannya.
6 Sedihnya, guru sekolah juga memberikan maklumat yang salah tentang seks. Ramai ibu bapa terkejut kerana anak mereka diajar tentang seks, tetapi tidak diajar tentang nilai moral dan tanggungjawab yang harus dipikul. Seorang ibu kepada gadis yang berumur 12 tahun berkata, “Kami tinggal di kawasan yang mementingkan agama dan adat, tetapi pihak sekolah sedang mengedarkan kondom kepada pelajar-pelajar!” Dia dan suaminya bimbang kerana anak mereka diajak oleh budak lelaki yang sebaya untuk mengadakan hubungan seks. Bagaimanakah ibu bapa boleh melindungi keluarga mereka daripada pengaruh buruk ini?
7. Apakah cara terbaik untuk melindungi anak daripada maklumat yang salah tentang seks?
7 Patutkah ibu bapa merahsiakan topik seks daripada anak-anak? Tidak. Ibu bapa sendiri patut mengajar anak tentang seks. (Amsal 5:1) Memang, ramai ibu bapa di Eropah dan Amerika Utara menghindari topik ini. Begitu juga, di Asia dan sesetengah negara Afrika, ibu bapa jarang membincangkan seks dengan anak mereka. Seorang bapa di Afrika berkata, “Itu bukan budaya kami.” Ada ibu bapa yang berfikir bahawa pengetahuan tentang seks akan mendorong anak mereka untuk melakukan perbuatan yang tidak bermoral! Tetapi apakah pandangan Tuhan?
PANDANGAN TUHAN TENTANG SEKS
8, 9. Apakah maklumat tentang seks yang terkandung dalam Bible?
8 Bible jelas menunjukkan bahawa kita tidak patut berasa malu untuk berbincang tentang seks pada masa yang sesuai. Umat Tuhan di Israel, termasuk “kanak-kanak,” perlu berkumpul bersama untuk mendengar pembacaan Hukum Musa. (Ulangan 31:10-12; Yosua 8:35) Hukum Musa terang-terang menyebut tentang haid, pengeluaran mani, perbuatan cabul, perzinaan, hubungan sejenis, sumbang mahram, dan seks dengan binatang. (Imamat 15:16, 19; 18:6, 22, 23; Ulangan 22:22) Selepas mendengar pembacaan ini, ibu bapa tentu perlu memberikan penjelasan kepada soalan yang diajukan oleh anak-anak mereka.
9 Amsal bab 5 hingga 7 mengandungi nasihat tentang bahaya perbuatan seks yang tidak bermoral. Ayat-ayat ini mengingatkan kita bahawa kadangkala tidak mudah untuk melawan godaan. (Amsal 5:3; 6:24, 25; 7:14-21) Tetapi kita belajar bahawa perbuatan tidak bermoral adalah salah dan membawa padah. Maka, anak muda diajar cara untuk menjauhi perbuatan yang tidak bermoral. (Amsal 5:1-14, 21-23; 6:27-35; 7:22-27) Selanjutnya, buku Amsal menunjukkan perbezaan antara perbuatan yang tidak bermoral dengan kepuasan seks yang dinikmati antara suami isteri. (Amsal 5:15-20) Sememangnya, ibu bapa boleh mencontohi cara Yehuwa mengajar!
10. Adakah anak-anak akan terjerumus ke lembah maksiat jika mereka diajar tentang seks? Jelaskan.
10 Adakah anak-anak akan terjerumus ke lembah maksiat jika mereka diajar tentang seks? Tidak. Sebenarnya Bible mengajarkan bahawa “hikmat menyelamatkan orang baik.” (Amsal 11:9) Tidakkah anda ingin menyelamatkan anak anda daripada pengaruh dunia ini? Seorang bapa berkata, “Sejak anak-anak kecil lagi, kami cuba berterus terang dengan mereka tentang seks. Jadi, mereka tidak akan tertanya-tanya apabila budak lain bercakap tentang seks. Seks bukanlah suatu misteri.”
11. Bagaimanakah ibu bapa dapat beransur-ansur mengajar anak tentang seks?
11 Seperti yang telah dipelajari dalam bab-bab sebelum ini, anak harus dididik tentang seks sejak kecil lagi. Semasa mengajar anak kecil tentang nama-nama anggota badan, jangan berasa malu untuk mengajarnya tentang nama yang betul bagi bahagian kemaluan. Seraya anak membesar, kedua-dua ibu dan bapa patut mengajarnya bahawa bahagian tubuh ini sangat istimewa. Bahagian ini tidak boleh disentuh atau dilihat oleh sebarang orang, dan tidak patut dibincangkan dalam cara yang tidak senonoh. Semasa anak lebih tua, dia patut diajar bagaimana seorang lelaki dan seorang wanita bersatu untuk menghasilkan anak. Apabila anak mencapai akil baligh, dia harus tahu tentang perubahan yang berlaku pada tubuhnya. Seperti yang dibincangkan di Bab 5, pengetahuan ini boleh melindunginya daripada penderaan seks.—Amsal 2:10-14.
KERJA RUMAH UNTUK IBU BAPA
12. Apakah ajaran salah yang sering dipelajari oleh anak di sekolah?
12 Di sekolah, anak-anak mempelajari falsafah duniawi seperti teori evolusi, semangat kebangsaan, atau ajaran agama yang bertentangan dengan kebenaran Bible. Jadi, ibu bapa perlu bersedia memerangi ajaran salah ini. (1 Korintus 3:19; bandingkan Kejadian 1:27; Imamat 26:1; Yohanes 4:24; 17:17.) Banyak guru sekolah yang berniat baik terlalu menitikberatkan pendidikan tinggi. Meskipun pendidikan tambahan ialah pilihan peribadi, sesetengah guru percaya bahawa haluan ini sahaja yang menjanjikan kejayaan.a—Mazmur 146:3-6.
13. Bagaimanakah anak-anak yang bersekolah boleh dilindungi daripada ajaran salah?
13 Jika ibu bapa ingin memerangi ajaran yang salah, mereka perlu tahu apa yang sedang dipelajari oleh anak mereka. Jadi ibu bapa, anda juga mempunyai kerja rumah! Adakah anda berminat dengan apa yang sedang berlaku di sekolah? Selepas anak pulang dari sekolah, berbuallah dengannya. Tanyalah dia apa yang sedang dipelajari, apa yang paling disukai, dan cabaran apa yang dihadapi. Lihat kerja rumah, buku nota, dan keputusan ujiannya. Kenali guru-gurunya. Beritahu guru sekolah bahawa anda menghargai usaha mereka dan ingin membantu dalam apa jua cara.
KAWAN-KAWAN ANAK ANDA
14. Mengapakah anak-anak mesti memilih sahabat yang baik?
14 “Eh, dari mana kamu belajar ni?” Banyak ibu bapa menanyakan soalan ini apabila mereka terperanjat dengan kelakuan atau kata-kata anak mereka. Sering kali jawapannya melibatkan seorang kawan sekolah atau anak jiran yang baru. Ya, sahabat kita meninggalkan kesan yang mendalam ke atas kita. Rasul Paulus memberikan amaran, “Janganlah kamu tertipu! ‘Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.’” (1 Korintus 15:33, ABB; Amsal 13:20) Kaum muda khasnya mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Biasanya, mereka tidak yakin pada diri sendiri dan ingin menyenangkan hati kawan-kawan. Maka, mereka mesti memilih sahabat yang baik!
15. Bagaimanakah ibu bapa dapat membantu anak mereka memilih kawan?
15 Seperti yang diketahui, anak-anak selalu membuat pilihan yang kurang bijak. Mereka memerlukan bimbingan. Hal ini tidak bererti bahawa ibu bapa harus memilih kawan untuk mereka. Sebaliknya, seraya anak membesar, ajarlah dia cara membuat penilaian dan bantunya mencari kawan-kawan yang mempunyai sifat yang terpuji. Yang terpenting, kawannya perlu mengasihi Yehuwa dan suka melakukan kehendak-Nya. (Markus 12:28-30) Ajarnya untuk mengasihi dan menghormati orang yang jujur, baik hati, murah hati, dan rajin. Semasa penyembahan keluarga, bantu anak-anak untuk mengenal pasti watak Bible yang mempunyai sifat-sifat ini. Kemudian minta mereka menamakan ahli sidang yang mempunyai sifat seperti itu. Jadilah teladan dengan memilih kawan anda berpandukan prinsip yang sama.
16. Bagaimanakah ibu bapa boleh mengenali kawan-kawan anak mereka?
16 Adakah anda mengenali kawan-kawan anak anda? Jika tidak, jemputlah mereka ke rumah. Tanya anak anda tentang pandangan budak lain terhadap kawan-kawannya. Adakah kawannya setia atau hidup bermuka dua? Jika dia bermuka dua, bantu anak anda untuk menggunakan daya fikir dan memahami mengapa persahabatan sebegini tidak baik. (Mazmur 26:4, 5, 9-12) Jika anda perhatikan perubahan negatif dalam kelakuan, cara pemakaian, sikap, atau percakapan anak anda, bincanglah dengannya. Anak anda mungkin sedang menghabiskan masa dengan sahabat yang meninggalkan kesan buruk ke atasnya.—Bandingkan Kejadian 34:1, 2.
17, 18. Selain mengajar anak untuk menjauhi pergaulan buruk, apakah bantuan yang boleh diberikan oleh ibu bapa?
17 Namun begitu, sekadar mengajar anak anda untuk menjauhi pergaulan buruk tidak mencukupi. Bantulah dia mencari pergaulan yang baik. Seorang bapa berkata, “Semasa sekolah memanggil anak lelaki kami menyertai pasukan bola sepak, saya dan isteri saya duduk dan berbincang dengannya bahawa tindakan ini kurang bijak kerana pengaruh kawan-kawan baru. Tapi kami kemudiannya berkata bahawa kami sudi membawanya dan beberapa budak lain dalam sidang untuk bermain bola di padang. Masalah pun selesai.”
18 Ibu bapa yang bijak membantu anak-anak mencari kawan yang baik dan menikmati rekreasi yang sihat. Tetapi ramai ibu bapa mendapati bahawa sukar untuk memilih rekreasi yang sesuai.
APAKAH JENIS REKREASI YANG SESUAI?
19. Apakah contoh-contoh Bible yang menunjukkan bahawa tidak salah jika seisi keluarga berseronok?
19 Adakah Bible melarang kita berseronok? Sama sekali tidak! Bible berkata bahawa ada “waktu untuk tertawa . . . dan waktu untuk menari.”b (Pengkhutbah 3:4) Umat Tuhan di Israel kuno menikmati muzik, tarian, permainan, dan teka-teki. Yesus Kristus pernah menghadiri majlis perkahwinan dan juga jamuan besar yang disediakan oleh Matius Lewi untuknya. (Lukas 5:29; Yohanes 2:1, 2) Jelaslah, Yesus tahu menikmati keseronokan. Ibu bapa, janganlah sekali-kali menganggap gelak ketawa dan masa beriang ria sebagai dosa!
Rekreasi yang berfaedah seperti berkhemah, boleh membantu anak belajar dan menjadi matang secara rohani
20. Berkenaan rekreasi, apakah yang harus diingati oleh ibu bapa?
20 Yehuwa ialah Tuhan yang gembira. (Mazmur 104:31) Jadi ibadat kepada Yehuwa patut menggembirakan, dan bukannya membosankan. (Bandingkan Ulangan 16:15.) Secara semula jadi, kanak-kanak sangat cergas dan mereka menghabiskan tenaga dengan bermain dan beriadah. Rekreasi yang sihat bukan sahaja menyeronokkan, malah membantu anak belajar dan menjadi matang. Kepala keluarga bertanggungjawab memenuhi semua keperluan keluarga, termasuk rekreasi. Walau bagaimanapun, keseimbangan diperlukan.
21. Mengapakah kita harus berhati-hati dengan hiburan hari ini?
21 Bible menubuatkan bahawa pada “hari-hari terakhir” yang dipenuhi kesusahan, ramai akan ‘lebih menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Tuhan.’ (2 Timotius 3:1-5) Dunia ini menawarkan pelbagai jenis hiburan sehinggakan ramai orang mengutamakan hiburan dalam kehidupan dan mengetepikan perkara yang lebih penting. Selanjutnya, banyak hiburan moden mengandungi unsur seks yang tidak bermoral, keganasan, penyalahgunaan dadah, dan amalan buruk yang lain. (Amsal 3:31) Bagaimanakah anak muda boleh dilindungi daripada hiburan yang merosakkan akhlak?
22. Bagaimanakah ibu bapa boleh mengajar anak mereka untuk memilih rekreasi dengan bijak?
22 Ibu bapa perlu menetapkan peraturan dan batasan. Tetapi mereka juga perlu mengajar anak cara untuk mengenal pasti hiburan yang tidak sihat dan berapa banyak masa yang harus diluangkan untuknya. Latihan sebegini memakan masa dan tenaga. Perhatikan contoh ini: Seorang bapa yang mempunyai dua orang anak lelaki memerhatikan bahawa anak sulungnya selalu mendengar suatu saluran radio yang baru. Jadi pada suatu hari, semasa dia memandu lorinya ke tempat kerja, dia juga mendengar saluran tersebut. Dari masa ke masa, dia berhenti untuk mencatatkan lirik beberapa lagu yang dimainkan. Kemudian, dia membincangkan lirik-lirik itu bersama dua orang anaknya. Dia menanyakan pandangan mereka lalu mendengar dengan penuh sabar. Dia juga menggunakan Bible untuk membantu mereka berfikir dan membuat kesimpulan yang betul. Mereka bersetuju bahawa mereka tidak akan mendengar saluran itu lagi.
23. Bagaimanakah ibu bapa dapat melindungi anak daripada hiburan yang tidak sihat?
23 Ibu bapa Kristian yang bijak akan memeriksa muzik, rancangan TV, pita video, DVD, buku komik, permainan video, dan filem yang diminati anak. Mereka melihat gambar pada muka depan, seni kata, serta bungkusan, membaca ulasan dalam akhbar, dan menonton petikan filem. Jika anak mendengar lagu bahasa asing, ibu bapa boleh memintanya menjelaskan seni kata yang dinyanyikan. Ramai ibu bapa terkejut dengan “hiburan” yang disajikan kepada anak remaja. Untuk melindungi anak, ibu bapa akan berbincang dengan seisi keluarga tentang bahaya hiburan yang tidak sihat. Mereka menggunakan Bible dan bahan bacaan Bible.c Apabila ibu bapa terus menetapkan peraturan yang jelas dan munasabah, mereka boleh menuai hasil yang baik.—Matius 5:37; Filipi 4:5.
24, 25. Nyatakan beberapa bentuk rekreasi yang baik yang dapat dilakukan oleh seisi keluarga.
24 Sekadar melindungi anak daripada rekreasi yang buruk tidak mencukupi. Ibu bapa perlu mengalahkan pengaruh buruk dengan pengaruh baik. Jika tidak, anak mereka mungkin akan membuat pilihan yang salah. Ramai keluarga Kristian berkongsi kenangan manis semasa seisi keluarga pergi berkelah, mendaki gunung, berkhemah, bermain, bersukan, dan melawat sanak saudara atau sahabat handai. Sesetengah keluarga beristirahat dengan membaca bersama-sama. Yang lain suka mendengar cerita yang menarik atau lucu. Ada pula yang berkongsi hobi yang sama seperti membuat kraf tangan, bermain alat muzik, melukis, dan mengkaji ciptaan Tuhan. Jika anak-anak meminati aktiviti sebegini, mereka dapat menghindari pelbagai rekreasi yang tidak sihat. Mereka juga belajar bahawa beriadah tidak bererti sekadar duduk dan dihiburkan oleh orang lain; sebaliknya, menyertai suatu aktiviti lebih menyeronokkan.
25 Selain itu, jamuan sosial ialah satu bentuk rekreasi yang baik. Jamuan yang diadakan secara kecil-kecilan, diawasi oleh ibu bapa, dan tidak menelan terlalu banyak masa, bukan sekadar menggembirakan hati anak-anak; jamuan seperti ini juga mempererat ikatan kasih antara saudara saudari dalam sidang.—Bandingkan Lukas 14:13, 14; Yudas 12.
KELUARGA ANDA BOLEH MENGALAHKAN DUNIA
26. Apakah sifat terpenting yang diperlukan untuk melindungi keluarga daripada pengaruh buruk?
26 Memang, anda perlu mencurahkan banyak usaha untuk melindungi keluarga daripada pengaruh buruk dunia. Tetapi ada satu lagi sifat penting yang dapat menjayakan usaha anda. Sifat itu ialah kasih! Ya, ikatan kasih yang erat antara ahli keluarga akan menjadikan rumah anda tempat naungan yang selamat, menggalakkan komunikasi, di samping melindungi keluarga daripada pengaruh buruk. Lebih penting lagi, kita perlu memupuk kasih akan Yehuwa. Apabila seisi keluarga mengasihi Yehuwa, anak-anak akan berusaha melawan pengaruh dunia kerana mereka tidak ingin menyakiti hati Tuhan. Dan ibu bapa yang mengasihi Yehuwa dengan sepenuh hati akan berusaha meniru sifat-Nya yang pengasih, munasabah, dan seimbang. (Efesus 5:1; Yakobus 3:17) Dengan itu, anak-anak tidak akan sentiasa mencari alasan untuk meninggalkan ibadat sejati kerana berasa terkongkong atau kerana hidup mereka begitu suram dan membosankan. Sebaliknya, mereka akan memandang ibadat sejati sebagai cara hidup yang paling menggembirakan dan bermakna.
27. Bagaimanakah keluarga anda boleh mengalahkan dunia?
27 Yehuwa pasti bersukacita melihat keluarga yang menyembah-Nya dengan gembira dan bersatu padu. Meskipun dikelilingi pengaruh buruk dalam dunia, mereka berikhtiar untuk “hidup suci dan tidak bercela.” (2 Petrus 3:14; Amsal 27:11) Keluarga sebegini mengikut jejak Yesus Kristus yang telah melawan semua godaan dunia Syaitan. Pada penghujung kehidupannya di bumi, Yesus dapat berkata, “Aku sudah mengalahkan dunia!” (Yohanes 16:33) Semoga keluarga anda juga dapat mengalahkan dunia dan hidup selama-lamanya!
a Untuk perbincangan tentang pendidikan tambahan, lihat brosur “Pendidikan” (Jehovah’s Witnesses and Education), muka surat 4-7 yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.
b Perkataan Ibrani “tertawa” boleh diterjemahkan sebagai “bermain,” “menghiburkan,” “merayakan,” atau bahkan “berseronok.”
c Contohnya, lihat bab 6 dalam buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan, dan bahan bacaan lain yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa.