PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Mengapakah Kami Berpakaian Kemas sewaktu Perjumpaan?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 8

      Mengapakah Kami Berpakaian Kemas sewaktu Perjumpaan?

      Seorang ayah dan anak lelakinya berpakaian kemas untuk menghadiri perjumpaan

      Iceland

      Seorang ibu dan anak perempuannya sedang membuat persiapan untuk menghadiri perjumpaan

      Mexico

      Saksi-Saksi Yehuwa di Guinea-Bissau berpakaian kemas

      Guinea-Bissau

      Sebuah keluarga di Filipina berjalan kaki ke perjumpaan

      Filipina

      Lihatlah gambar-gambar dalam brosur ini. Perhatikan bahawa Saksi-Saksi Yehuwa berpakaian kemas sewaktu menghadiri perjumpaan. Mengapakah kami begitu menitikberatkan pakaian dan dandanan kami?

      Untuk menunjukkan hormat kepada Tuhan kami. Memang, Tuhan tidak menilai orang berdasarkan penampilan. (1 Samuel 16:7) Namun, sewaktu kami berkumpul untuk menyembah-Nya, kami ingin menunjukkan hormat kepada-Nya dan rakan seiman. Jika kita menghadap raja atau perdana menteri, kita berpakaian kemas kerana ingin menunjukkan hormat. Begitu juga, cara pemakaian kami semasa perjumpaan menunjukkan bahawa kami menghormati tempat ibadat kami dan Tuhan Yehuwa, Raja semua bangsa.​—Yeremia 10:7.

      Untuk mencerminkan nilai-nilai moral yang membimbing hidup kami. Bible menggalakkan orang Kristian untuk berpakaian “dengan sederhana, dan dengan fikiran yang sihat.” (1 Timotius 2:9, 10) Ertinya, kita mengelakkan pakaian yang mungkin terlalu mewah, menjolok mata, atau menggoda. Sebaliknya, kita memilih pakaian yang menarik, tetapi tidak selekeh atau keterlaluan. Prinsip-prinsip ini masih memberi kita peluang untuk mengikut cita rasa sendiri. Penampilan yang menarik dan sopan dapat “menghiasi ajaran Tuhan” dan ‘memuliakan-Nya.’ (Titus 2:10; 1 Petrus 2:12) Cara kita berpakaian dapat mempengaruhi pandangan orang lain terhadap ibadat kita kepada Yehuwa.

      Janganlah segan untuk datang ke Dewan Perjumpaan kerana anda tidak memiliki pakaian yang mahal atau formal. Pakaian yang kemas, bersih, dan sederhana sudah memadai.

      • Seberapa pentingkah cara berpakaian sewaktu beribadat kepada Tuhan?

      • Apakah prinsip-prinsip yang membantu kita memilih pakaian dan dandanan?

  • Apakah Cara Terbaik untuk Membuat Persediaan bagi Perjumpaan?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 9

      Apakah Cara Terbaik untuk Membuat Persediaan bagi Perjumpaan?

      Seorang Saksi-Saksi Yehuwa sedang membuat persediaan bagi perjumpaan

      Kemboja

      Seorang Saksi-Saksi Yehuwa sedang membuat persediaan bagi perjumpaan
      Seorang Saksi-Saksi Yehuwa mengambil bahagian dalam perjumpaan

      Ukraine

      Jika anda sedang mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, anda mungkin membuat persediaan sebelum setiap pembelajaran. Anda juga boleh berbuat demikian sebelum menghadiri perjumpaan. Kita akan menuai hasil yang terbaik jika kita memupuk tabiat ini.

      Tentukan waktu dan tempat untuk belajar. Bilakah waktu yang paling sesuai bagi anda untuk menumpukan perhatian? Pada awal pagi sebelum mula bekerja? Atau pada waktu malam selepas anak-anak tidur? Anda mungkin tidak dapat belajar buat masa yang lama. Tetapi jadualkanlah masa belajar dan pastikan tiada apa-apa yang mengganggu masa itu. Carilah tempat yang sunyi dan elakkan gangguan dengan mematikan radio, televisyen, serta telefon bimbit. Berdoalah sebelum belajar. Dengan ini, anda boleh mengurangkan kekhuatiran dan bertumpu kepada Firman Tuhan.​—Filipi 4:6, 7.

      Tandakan jawapan dan siapkan komen. Mula-mula, cuba tinjau keseluruhan bahan yang akan dibincangkan. Fikirkan tajuk rencana atau bab, dan pertimbangkan bagaimana setiap tajuk kecil berkait dengan tajuk utamanya. Kajilah semua gambar dan soalan ulang kaji yang menyoroti isi utama. Kemudian baca setiap perenggan, dan cari jawapan untuk soalan yang tercetak. Cari dan baca ayat rujukan Bible lalu fikirkan bagaimana ayat-ayat itu menyokong isi dalam rencana. (Kisah 17:11) Apabila anda menjumpai jawapannya, gariskan atau tandakan beberapa kata kunci atau ungkapan dalam perenggan agar anda mudah mengingatinya. Semasa perjumpaan, anda boleh mengangkat tangan dan memberikan komen yang ringkas dengan kata-kata sendiri.

      Dengan mengkaji topik-topik yang dibincangkan dalam setiap perjumpaan, anda dapat memperkaya khazanah rohani sendiri.​—Matius 13:51, 52.

      • Bagaimanakah anda boleh memupuk tabiat untuk membuat persediaan bagi perjumpaan?

      • Bagaimanakah anda boleh bersedia untuk memberikan komen semasa perjumpaan?

      MARILAH BELAJAR

      Ikutlah kaedah di atas semasa membuat persediaan bagi Pembelajaran Menara Pengawal atau Pembelajaran Bible Sidang. Dengan bantuan guru Bible anda, sediakan satu komen yang boleh anda berikan pada perjumpaan seterusnya.

  • Apakah Itu Penyembahan Keluarga?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 10

      Apakah Itu Penyembahan Keluarga?

      Sebuah keluarga menikmati penyembahan keluarga

      Korea Selatan

      Suami isteri mempelajari Bible bersama

      Brazil

      Seorang Saksi-Saksi Yehuwa mempelajari Bible

      Australia

      Sebuah keluarga membincangkan satu topik Bible

      Guinea

      Sejak dahulu lagi, Yehuwa ingin setiap keluarga meluangkan masa bersama untuk menguatkan kerohanian dan mengeratkan hubungan kekeluargaan. (Ulangan 6:6, 7) Oleh itu, Saksi-Saksi Yehuwa menetapkan masa setiap minggu untuk penyembahan keluarga. Mereka membincangkan hal-hal rohani yang sesuai dengan keperluan keluarga dalam suasana yang tenang. Biarpun anda tinggal berseorangan, anda boleh menggunakan masa ini untuk lebih mengenali Tuhan dengan mempelajari topik Bible pilihan anda.

      Masa untuk mengeratkan hubungan dengan Yehuwa. “Hampirilah Tuhan dan Dia pun akan menghampiri kamu.” (Yakobus 4:8) Kita boleh lebih mengenali Yehuwa menerusi lembaran Firman-Nya dengan mengkaji butiran keperibadian dan tindakan-Nya. Anda boleh memulakan penyembahan keluarga dengan membaca bersama-sama sebahagian ayat Bible, seperti yang ditetapkan dalam jadual mingguan Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Kemudian, bincanglah apa yang telah dipelajari.

      Masa untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Suami isteri, serta ibu bapa dan anak-anak dapat menguatkan hubungan dengan mempelajari Bible bersama. Suasananya haruslah gembira, damai, dan merupakan masa yang dinanti-nantikan oleh seisi keluarga. Bergantung pada umur anak-anak, ibu bapa boleh memilih topik perbincangan yang praktikal, contohnya daripada majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! atau laman web kami, jw.org. Bincangkan masalah yang dihadapi oleh anak di sekolah dan cara menanganinya. Anda boleh menonton program di Siaran JW (tv.jw.org) dan kemudian bincang bersama-sama. Anda juga boleh berlatih menyanyikan lagu-lagu yang dijadualkan untuk perjumpaan, dan menikmati hidangan ringan selepas penyembahan keluarga.

      Masa yang dikhaskan untuk menyembah Yehuwa setiap minggu akan membantu seisi keluarga mencintai Firman Tuhan. Tuhan pasti akan melimpahkan berkat ke atas usaha anda.​—Mazmur 1:1-3.

      • Mengapakah kami meluangkan masa untuk penyembahan keluarga?

      • Bagaimanakah ibu bapa dapat memastikan seisi keluarga menikmati penyembahan keluarga?

      MARILAH BELAJAR

      Tanyalah saudara saudari di sidang tentang aktiviti yang dilakukan semasa penyembahan keluarga. Selain itu, dapatkan bahan bacaan di Dewan Perjumpaan untuk mengajar anak-anak tentang Yehuwa.

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi