PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Mengapakah Kami Menghadiri Perhimpunan yang Besar?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 11

      Mengapakah Kami Menghadiri Perhimpunan yang Besar?

      Konvensyen serantau Saksi-Saksi Yehuwa di Mexico

      Mexico

      Bahan bacaan dikeluarkan semasa konvensyen serantau di Jerman

      Jerman

      Saksi-Saksi Yehuwa semasa konvensyen serantau di Botswana

      Botswana

      Seorang pemuda dibaptis di Nicaragua

      Nicaragua

      Sebuah pementasan drama Bible semasa konvensyen serantau di Itali

      Itali

      Lihatlah kegembiraan yang terukir di wajah mereka. Mereka sedang menghadiri perhimpunan. Seperti umat Tuhan dahulukala yang disuruh berhimpun bersama tiga kali setahun, kami juga bersukacita menghadiri perhimpunan yang lebih besar. (Ulangan 16:16) Perhimpunan yang dimaksudkan ialah perhimpunan litar satu hari yang diadakan dua kali setahun, dan konvensyen serantau tiga hari. Apakah manfaat yang kami peroleh daripada perhimpunan kami?

      Perhimpunan kami menguatkan persaudaraan Kristian. Seperti orang Israel yang bergembira semasa memuji Yehuwa “dalam perhimpunan yang besar,” kami juga bergembira kerana dapat menyembah-Nya bersama semasa acara istimewa sebegini. (Mazmur 26:12; 111:1) Kami berpeluang untuk bertemu dan bergaul dengan Saksi-Saksi dari sidang atau negara lain. Pada waktu tengah hari, kami makan bersama-sama di tapak perhimpunan. Maka kami juga dapat beramah mesra semasa acara rohani ini. (Kisah 2:42) Pada masa inilah kami dapat merasai kasih yang menyatukan “saudara seiman” di seluas bumi.​—1 Petrus 2:17.

      Perhimpunan kami membantu kami membuat kemajuan rohani. Orang Israel juga memperoleh manfaat kerana mereka “memahami penjelasan” tentang ayat Bible. (Nehemia 8:8, 12) Kami juga menghargai ajaran Bible yang disampaikan semasa perhimpunan. Setiap program perhimpunan bertemakan satu ayat Bible. Kami belajar cara untuk hidup berpandukan kehendak Tuhan menerusi ceramah, simposium, dan lakonan semula yang menarik. Kami digalakkan setelah mendengar pengalaman saudara saudari yang hidup menurut prinsip Bible meskipun menghadapi cabaran pada masa yang susah ini. Semasa konvensyen serantau, terdapat drama yang menghidupkan kisah-kisah Bible dan menyampaikan pengajaran yang praktikal. Pembaptisan juga diadakan di setiap perhimpunan bagi mereka yang ingin melambangkan pembaktian kepada Tuhan.

      • Mengapakah perhimpunan kami membawa sukacita?

      • Apakah manfaat yang anda peroleh dengan menghadiri perhimpunan kami?

      MARILAH BELAJAR

      Jika anda ingin lebih mengenali persaudaraan Kristian kami, datanglah ke perhimpunan yang seterusnya. Guru Bible anda boleh menunjukkan topik-topik yang dibincangkan dalam atur cara perhimpunan. Catatkan tarikh dan lokasi perhimpunan yang seterusnya pada kalendar anda, dan cubalah hadir.

  • Bagaimanakah Kerja Penyebaran Kami Dijalankan?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 12

      Bagaimanakah Kerja Penyebaran Kami Dijalankan?

      Saksi-Saksi Yehuwa menginjil dari rumah ke rumah

      Sepanyol

      Seorang Saksi-Saksi Yehuwa menginjil di sebuah taman

      Belarus

      Seorang Saksi-Saksi Yehuwa menginjil melalui telefon

      Hong Kong

      Saksi-Saksi Yehuwa semasa kerja penyebaran

      Peru

      Sebelum Yesus mati, dia mengumumkan, “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.” (Matius 24:14) Namun, bagaimanakah kerja penyebaran ini dijalankan di seluruh dunia? Dengan meniru teladan Yesus sewaktu dia berada di bumi.​—Lukas 8:1.

      Kami berusaha menghubungi orang di rumah mereka. Yesus melatih murid-muridnya untuk menyebarkan berita baik dari rumah ke rumah. (Matius 10:11-13; Kisah 5:42; 20:20) Mereka ditugaskan untuk menginjil di kawasan tertentu. (Matius 10:5, 6; 2 Korintus 10:13) Dewasa ini, kerja penyebaran kami juga diaturkan dengan baik, dan setiap sidang ditugaskan untuk meliputi kawasan tertentu. Dengan ini, kami dapat menyempurnakan perintah Yesus “untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh.”​—Kisah 10:42.

      Kami berusaha untuk menginjil di mana sahaja orang berada. Yesus juga menetapkan teladan dengan menginjil di tempat umum, seperti di tepi tasik atau tepi perigi. (Markus 4:1; Yohanes 4:5-15) Kami juga membincangkan Bible dengan orang di mana-mana sahaja—di tempat awam, kawasan perniagaan, taman rekreasi, atau melalui telefon. Jika timbulnya kesempatan, kami turut memberikan kesaksian kepada jiran, rakan sekerja, rakan sekelas, dan saudara-mara. Semua usaha ini membolehkan jutaan orang di seluas dunia untuk mendengar ‘berita baik tentang penyelamatan.’​—Mazmur 96:2.

      Bolehkah anda berkongsi berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan masa depan yang cerah ini dengan keluarga atau sahabat anda? Janganlah berlengah. Beritahulah mereka secepat mungkin!

      • Apakah “berita baik” yang harus disebarkan?

      • Bagaimanakah Saksi-Saksi Yehuwa meniru cara Yesus menginjil?

      MARILAH BELAJAR

      Mintalah guru Bible anda untuk menunjukkan bagaimana anda boleh berkongsi ajaran Bible kepada kawan dengan cara yang hormat.

  • Apakah Itu Perintis?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 13

      Apakah Itu Perintis?

      Seorang penginjil sepenuh masa semasa kerja penyebaran.

      Kanada

      Penginjil sepenuh masa semasa menginjil

      Dari rumah ke rumah

      Seorang perintis sedang mengadakan pembelajaran Bible

      Pembelajaran Bible

      Seorang perintis mempelajari Bible

      Pembelajaran peribadi

      Istilah “perintis” selalunya merujuk kepada orang yang mula-mula menjelajahi kawasan baharu dan membuka jalan bagi orang lain. Yesus seperti seorang perintis. Dia diutus ke bumi untuk menginjil dan membuka jalan supaya kita memperoleh penyelamatan. (Matius 20:28) Hari ini, orang Kristian meniru Yesus dengan meluangkan sebanyak masa yang mungkin dalam kerja menjadikan orang pengikutnya. (Matius 28:19, 20) Ada yang bahkan menceburi khidmat perintis.

      Perintis ialah penginjil sepenuh masa. Semua Saksi-Saksi Yehuwa ialah penyiar berita baik. Namun, ada yang telah merancang hidup mereka agar dapat berkhidmat sebagai perintis biasa. Mereka mungkin bekerja secara sambilan supaya dapat meluangkan 70 jam setiap bulan untuk menginjil. Ada yang dipilih untuk berkhidmat sebagai perintis khas di kawasan yang memerlukan lebih banyak penyebar Kerajaan Tuhan. Mereka menghabiskan 130 jam atau lebih setiap bulan untuk menginjil. Para perintis berpuas hati dengan kehidupan sederhana dan yakin bahawa Yehuwa akan memenuhi keperluan mereka. (Matius 6:31-33; 1 Timotius 6:6-8) Mereka yang tidak dapat merintis sepenuh masa boleh menjadi perintis sokongan. Apabila keadaan mengizinkan, mereka menggiatkan usaha dan meluangkan 30 atau 50 jam sebulan untuk menginjil.

      Perintis didorong oleh kasih kepada Tuhan dan manusia. Seperti Yesus, kita sedar bahawa dewasa ini, ramai orang dibelenggu kegelapan rohani. (Markus 6:34) Tetapi kita memiliki pengetahuan yang dapat membantu mereka sekarang dan memberi harapan masa depan yang kukuh. Kasih kepada manusia mendorong seorang perintis untuk mengorbankan masa dan tenaganya bagi membantu orang lain secara rohani. (Matius 22:39; 1 Tesalonika 2:8) Hasilnya, imannya dikuatkan, hubungannya dengan Tuhan lebih erat, dan dia dilimpahi sukacita.​—Kisah 20:35.

      • Apakah itu perintis?

      • Apakah yang mendorong sesetengah orang untuk merintis sepenuh masa?

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi