PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Apakah Sekolah-Sekolah yang Disediakan bagi Perintis?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 14

      Apakah Sekolah-Sekolah yang Disediakan bagi Perintis?

      Perintis sepenuh masa dalam kerja penyebaran

      Amerika Syarikat

      Pelajar-pelajar menghadiri Sekolah Latihan Gilead
      Pelajar-pelajar bersedia untuk berkhidmat di seberang laut

      Sekolah Gilead, Paterson, New York

      Pasangan suami isteri menginjil di Panama

      Panama

      Sejak dahulu lagi, Saksi-Saksi Yehuwa amat mementingkan pendidikan rohani. Beberapa sekolah telah disediakan khasnya untuk penginjil sepenuh masa. Hasilnya, mereka dapat melaksanakan kerja ini “dengan sepenuhnya.”​—2 Timotius 4:5.

      Sekolah Latihan Perintis. Perintis biasa yang telah berkhidmat selama setahun layak menyertai sekolah ini. Sekolah ini berlangsung selama enam hari, dan biasanya diadakan di Dewan Perjumpaan yang berhampiran. Tujuannya adalah untuk membantu perintis mengeratkan hubungannya dengan Yehuwa, menjalankan semua aspek kerja menginjil dengan lebih berkesan, dan meneruskan khidmatnya dengan setia.

      Sekolah Latihan Penginjil. Sekolah ini berlangsung selama dua bulan, dan disediakan untuk melatih para perintis berpengalaman yang sanggup meninggalkan kampung halaman untuk berkhidmat di kawasan yang memerlukan bantuan. Dengan menunjukkan semangat “Inilah aku. Utuslah aku!” mereka meniru Yesus Kristus, Penginjil agung yang pernah berkhidmat di bumi. (Yesaya 6:8; Yohanes 7:29) Mereka berpindah ke tempat yang jauh, menyesuaikan diri dengan taraf hidup yang lebih sederhana, budaya, iklim, dan makanan yang amat berbeza. Mereka mungkin perlu mempelajari bahasa lain. Perintis yang bujang atau telah berkahwin dan berusia antara 23 hingga 65 tahun boleh menyertai sekolah ini. Mereka dibantu untuk memupuk sifat-sifat rohani dan mengasah kemahiran agar dapat meluaskan khidmat dalam organisasi Yehuwa.

      Sekolah Latihan Gilead. Dalam bahasa Ibrani, makna perkataan “Gilead” berkait dengan “Kesaksian.” Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1943. Sejak itu, lebih daripada 8,000 lulusan Gilead berjaya memberikan kesaksian “sampai ke hujung bumi.” (Kisah 13:47) Contohnya, Peru tidak mempunyai sidang semasa mereka tiba. Sekarang ada lebih daripada 1,000 buah sidang. Semasa perintis seberang laut mula berkhidmat di Jepun, terdapat kurang daripada 10 orang Saksi. Kini, angkanya melebihi 200,000 orang. Selama lima bulan, pelajar Gilead akan mempelajari Firman Tuhan dengan menyeluruh. Perintis khas, perintis seberang laut, mereka yang berkhidmat di pejabat cawangan, atau yang menjalankan kerja litar diundang untuk menyertai sekolah ini. Mereka dilatih untuk memantapkan dan memajukan kerja menginjil di seluas bumi.

      • Apakah tujuan Sekolah Latihan Perintis?

      • Sekolah Latihan Penginjil disediakan untuk siapa?

  • Bagaimanakah Para Penatua Membantu Sidang?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 15

      Bagaimanakah Para Penatua Membantu Sidang?

      Seorang penatua bercakap dengan anggota sidang

      Finland

      Seorang penatua mengajar dalam sidang

      Mengajar

      Para penatua menggalakkan anggota sidang

      Menggembala

      Seorang penatua menjalankan kerja penyebaran

      Menginjil

      Organisasi kami tidak mempunyai golongan paderi. Sebaliknya, penyelia yang tidak dibayar gaji dan yang memenuhi syarat akan dilantik untuk “menggembala sidang Tuhan” seperti yang dilakukan semasa sidang Kristian ditubuhkan. (Kisah 20:28) Para penyelia, atau penatua, ialah lelaki yang matang secara rohani. Mereka memimpin dan menggembala sidang ‘dengan rela, dan bukannya secara terpaksa; dengan bersemangat, dan bukannya kerana mencintai keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur.’ (1 Petrus 5:1-3) Bagaimanakah mereka membantu kita?

      Mereka menjaga dan melindungi kita. Para penatua membimbing dan melindungi sidang dari segi rohani. Mereka tidak mengawal umat Tuhan kerana sedar bahawa Tuhan telah mengamanahkan tugas penting ini kepada mereka. Sebaliknya mereka membantu kami hidup bahagia dan sejahtera. (2 Korintus 1:24) Seperti gembala yang rajin menjaga semua biri-birinya, penatua mencuba mengenali setiap ahli sidang secara peribadi.​—Amsal 27:23.

      Mereka mengajar kita cara melakukan kehendak Tuhan. Setiap minggu, para penatua mengendalikan perjumpaan di sidang agar iman kita bertambah kukuh. (Kisah 15:32) Mereka juga berusaha mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran. Mereka menginjil bersama kami dan melatih kami dalam segala aspek kerja penyebaran.

      Mereka menggalakkan kita. Untuk menjaga keperluan rohani kita, penatua mungkin melawat kita di rumah atau di Dewan Perjumpaan. Mereka memberikan bantuan dan kelegaan hati menerusi ayat-ayat Bible.​—Yakobus 5:14, 15.

      Di samping memenuhi tanggungjawab sidang, kebanyakan penatua juga perlu meluangkan masa dan tenaga untuk mencari nafkah dan menjaga keluarga sendiri. Kita patut menghormati para saudara ini yang tekun bekerja.​—1 Tesalonika 5:12, 13.

      • Apakah peranan yang dimainkan oleh penatua sidang?

      • Bagaimanakah para penatua menunjukkan bahawa mereka prihatin terhadap kita secara peribadi?

      MARILAH BELAJAR

      Siapakah yang layak berkhidmat sebagai penatua dan pembantu sidang? Bacalah syarat-syaratnya dalam Bible di 1 Timotius 3:1-10, 12 dan Titus 1:5-9.

  • Apakah Peranan Pembantu Sidang?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
    • PELAJARAN 16

      Apakah Peranan Pembantu Sidang?

      Seorang pembantu sidang mengedarkan bahan bacaan

      Myanmar

      Seorang pembantu sidang memberikan sebuah ceramah yang membina

      Mengendalikan bahagian semasa perjumpaan

      Seorang pembantu sidang sedang mengendalikan sebuah perjumpaan sidang

      Kumpulan menginjil

      Seorang pembantu sidang sedang mengambil bahagian dalam kerja penyelenggaraan Dewan Perjumpaan

      Penyelenggaraan Dewan Perjumpaan

      Menurut Bible, ada dua kumpulan lelaki Kristian yang berkhidmat dalam sidang—“para penyelia dan pembantu sidang.” (Filipi 1:1) Biasanya, beberapa orang saudara memikul tanggungjawab ini dalam setiap sidang. Bagaimanakah pembantu sidang membantu kita?

      Mereka membantu badan penatua. Tidak kira tua atau muda, pembantu sidang ialah saudara yang berfikiran rohani, bertanggungjawab, dan rajin. Mereka menjalankan tugas-tugas praktikal yang penting dalam sidang. Dengan bantuan mereka, para penatua dapat bertumpu kepada kerja mengajar dan menjaga kawanan Tuhan.

      Mereka menjalankan tugas-tugas praktikal. Sesetengah pembantu sidang ditugaskan sebagai penyambut tetamu semasa perjumpaan. Yang lain mungkin mengendalikan sistem bunyi, mengedarkan bahan bacaan, mengurus akaun sidang, dan menugaskan kawasan penyebaran kepada ahli-ahli sidang. Mereka juga membantu menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Barangkali mereka ditugaskan oleh penatua untuk membantu saudara saudari yang lanjut usia. Pembantu sidang rela melaksanakan apa-apa tugas yang diberikan, maka mereka wajar dihormati oleh semua.​—1 Timotius 3:13.

      Mereka memberikan contoh yang baik sebagai saudara Kristian. Pembantu sidang dilantik kerana sifat-sifat Kristian mereka yang terpuji. Apabila mereka mengendalikan tugasan di perjumpaan, mereka menguatkan iman kita. Teladan mereka dalam kerja penyebaran menyemarakkan lagi semangat kita. Oleh sebab mereka bekerjasama dengan badan penatua, kita dapat menikmati sukacita dan perpaduan. (Efesus 4:16) Lama-kelamaan, mereka juga mungkin memenuhi syarat untuk berkhidmat sebagai penatua.

      • Apakah sifat-sifat yang harus dimiliki oleh pembantu sidang?

      • Bagaimanakah mereka membantu sidang untuk berfungsi dengan lancar?

      MARILAH BELAJAR

      Setiap kali anda pergi ke Dewan Perjumpaan, luangkanlah masa untuk mengenali salah seorang penatua atau pembantu sidang, termasuk ahli keluarga mereka, sehingga anda mengenali mereka semua.

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi