PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • kr bab 12 ms. 133-147
  • Aturan untuk Menyembah “Tuhan Kedamaian”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Aturan untuk Menyembah “Tuhan Kedamaian”
  • Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • “Aku akan Melantik Kedamaian sebagai Penyeliamu”
  • Cara Kristus Memimpin Sidang
  • “Jadilah Teladan bagi Kawanan”
  • Bagaimana Para Penatua Menggembala Kawanan Tuhan
  • Aturan Penatua Mengukuhkan Perpaduan Umat Tuhan
  • Penyelia yang Menggembala Kawanan
    Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Penatua, Tirulah Gembala Agung Kita
    Menara Pengawal—2013
  • Bagaimanakah Sidang Kristian Diaturkan?
    Nikmati Hidup Selama-Lamanya!—Kursus Perbincangan Bible
  • Bagaimanakah Para Penatua Membantu Sidang?
    Siapakah yang Sedang Melakukan Kehendak Yehuwa?
Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
kr bab 12 ms. 133-147

BAB 12

Aturan untuk Menyembah “Tuhan Kedamaian”

FOKUS BAB INI

Yehuwa memurnikan aturan-aturan dalam organisasi-Nya

1, 2. Apakah perubahan yang berlaku pada majalah Zion’s Watch Tower terbitan Januari 1895, dan apakah reaksi saudara saudari kita?

APABILA seorang Pelajar Bible yang bernama John A. Bohnet menerima Zion’s Watch Tower terbitan Januari 1895, dia berasa sangat teruja. Majalah itu mempunyai kulit depan yang baru: Gambar sebuah rumah api yang berdiri gagah di atas tebing bukit yang dipukul ombak laut yang bergelora. Sinaran daripada rumah api itu membelah kegelapan langit hitam. Pengumuman dalam majalah itu yang bertajuk “Pakaian Baru Kita,” mengulas rekaan baru majalah tersebut.

2 Saudara Bohnet berasa kagum dengan perubahan itu. Dia menulis kepada Saudara Russell, “Pakaian untuk [majalah] MENARA sangat cantik. Saya berasa gembira melihatnya.” Seorang lagi Pelajar Bible yang bernama John H. Brown menulis, “Kulit majalah itu sangat menarik perhatian. Alangkah kukuhnya asas menara itu yang membolehkannya bertahan meskipun dipukul ombak dan ribut.” Kulit majalah yang baru merupakan perubahan yang pertama bagi tahun itu, tetapi itu bukanlah perubahan yang terakhir bagi saudara saudari kita. Pada bulan November, satu lagi perubahan besar telah berlaku, dan menariknya, perubahan ini juga berkaitan dengan “laut yang bergelora.”

3, 4. Apakah masalah yang dibincangkan dalam Watch Tower 15 November 1895, dan apakah pengumuman yang dibuat?

3 Sebuah rencana dalam Watch Tower terbitan 15 November 1895 telah menyatakan bahawa satu masalah yang bagaikan ombak besar sedang mengganggu keamanan pertubuhan, atau organisasi, Pelajar Bible. Terdapat semakin banyak perbalahan antara saudara saudari tentang siapa yang harus mengambil pimpinan dalam sidang. Memandangkan persaingan sedemikian akan mengakibatkan perpecahan, mereka perlu dibantu mengatasinya. Untuk berbuat demikian, rencana tersebut menyamakan organisasi kita dengan sebuah kapal dan mengakui bahawa mereka yang mengambil pimpinan telah gagal mempersiapkan organisasi kita untuk mengharungi ribut. Apakah yang perlu dilakukan?

4 Rencana itu menyatakan bahawa seorang kapten yang cekap akan memastikan kapalnya mempunyai pelampung keselamatan. Dia juga akan memastikan anak-anak kapal bersedia mencegah kemasukan air semasa ribut melanda. Begitu juga, mereka yang mengambil pimpinan dalam organisasi perlu memastikan agar semua sidang bersedia menghadapi masalah yang mungkin melanda. Untuk mencapai tujuan tersebut, sebuah perubahan yang besar telah diumumkan dalam rencana itu: Dengan serta-merta, “penatua akan dipilih dalam setiap sidang” untuk “‘menggembala’ kawanan.”​—Kis. 20:28.

5. (a) Mengapakah langkah untuk memperkenalkan aturan penatua diambil pada masa yang tepat? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan?

5 Langkah untuk memperkenalkan aturan penatua memang diambil pada masa yang tepat. Dengan adanya struktur sidang yang stabil, saudara saudari kita dibantu mengharungi pergolakan yang melanda semasa Perang Dunia Pertama. Dalam puluhan tahun yang berikutnya, aturan dalam organisasi umat Tuhan telah dimurnikan supaya mereka dilengkapi dengan lebih baik untuk menyembah Yehuwa. Apakah nubuat Bible yang menggambarkan perkembangan ini? Apakah perubahan-perubahan dalam organisasi yang pernah anda saksikan? Bagaimanakah anda telah meraih manfaat daripadanya?

“Aku akan Melantik Kedamaian sebagai Penyeliamu”

6, 7. (a) Apakah erti di sebalik kata-kata Yesaya 60:17? (b) Apakah yang dimaksudkan semasa Yehuwa menyebut tentang “penyelia” dan “pemberi tugas”?

6 Bab 9 telah membincangkan nubuat Yesaya tentang bagaimana Yehuwa memberkati umat-Nya sehingga bilangan mereka semakin meningkat. (Yes. 60:22) Namun, Yehuwa berjanji akan memberikan lebih banyak berkat lagi. Dalam nubuat yang sama, Dia berfirman, “Sebagai ganti tembaga Aku akan membawa emas, dan sebagai ganti besi, Aku akan membawa perak; kayu akan digantikan dengan tembaga, dan batu akan digantikan dengan besi; dan Aku akan melantik kedamaian sebagai penyeliamu dan kebaikan sebagai pemberi tugasmu.” (Yes. 60:17, NW) Apakah maksud nubuat itu? Apakah kaitannya dengan kita hari ini?

Perubahan itu bukanlah daripada apa yang buruk kepada apa yang baik, tetapi daripada apa yang baik kepada apa yang lebih baik

7 Menurut nubuat Yesaya, satu bahan akan digantikan dengan bahan yang lain. Namun, perhatikan bahawa perubahan itu bukanlah daripada apa yang buruk kepada apa yang baik, tetapi daripada apa yang baik kepada apa yang lebih baik. Menggantikan tembaga dengan emas menggambarkan kemajuan, begitu juga dengan bahan-bahan lain yang dinyatakan dalam ayat itu. Dengan gambaran itu, Yehuwa bernubuat bahawa keadaan umat-Nya akan bertambah baik secara bertahap-tahap. Apakah kemajuan yang digambarkan dalam nubuat tersebut? Dengan menyebut tentang ‘penyelia’ dan ‘pemberi tugas,’ Yehuwa menunjukkan bahawa aturan untuk menjaga umat-Nya akan dimurnikan secara beransur-ansur.

8. (a) Seperti yang dinyatakan dalam nubuat Yesaya, siapakah yang membawa kemajuan dalam aturan sidang? (b) Apakah manfaat yang kita raih daripada kemajuan yang dialami? (Lihat juga kotak “Dia Menerima Teguran dengan Rendah Hati.”)

8 Siapakah yang membawa kemajuan sedemikian? Yehuwa berfirman, “Aku akan membawa emas, . . . Aku akan membawa perak; . . . dan Aku akan melantik kedamaian.” Sesungguhnya, kemajuan dalam aturan sidang bukanlah hasil usaha manusia, tetapi datang daripada Yehuwa. Sejak Yesus ditabalkan sebagai Raja, Yehuwa telah menggunakan Anak-Nya untuk membawa semua perubahan itu. Apakah manfaat yang kita raih daripada kemajuan sedemikian? Ayat yang sama menyatakan bahawa kemajuan sedemikian akan menghasilkan “kedamaian” dan “kebaikan.” Apabila kita mengikut bimbingan Tuhan dan membuat perubahan, kita akan menikmati kedamaian. Oleh sebab kita mencintai kebaikan, kita didorong untuk berkhidmat kepada Yehuwa, yang digambarkan oleh Paulus sebagai “Tuhan kedamaian.”​—Flp. 4:9.

9. Apakah dasar bagi ketertiban dan perpaduan dalam sidang, dan mengapa?

9 Paulus juga menulis bahawa Yehuwa “bukanlah Tuhan yang kacau-bilau, tetapi Dia ialah Tuhan kedamaian.” (1 Kor. 14:33) Perhatikan bahawa Paulus tidak membandingkan keadaan yang kacau-bilau dengan keadaan yang teratur. Sebaliknya, dia membandingkannya dengan kedamaian. Mengapa? Keadaan yang teratur tidak semestinya membawa kedamaian. Sebagai contoh, sekumpulan askar akan mara ke barisan hadapan dengan teratur. Walaupun mereka berkawat dengan teratur, matlamat mereka ialah peperangan dan bukannya kedamaian. Oleh itu, semua orang Kristian harus ingat akan hal yang penting ini: Semua aturan yang tidak berasaskan kedamaian lambat-laun akan gagal. Namun, kedamaian yang dikurniakan oleh Tuhan akan menghasilkan ketertiban yang berkekalan. Tidakkah kita bersyukur kerana organisasi kita dibimbing dan dimurnikan oleh “Tuhan yang memberikan kedamaian”? (Rm. 15:33) Kedamaian yang dikurniakan oleh Tuhan merupakan dasar kepada ketertiban dan perpaduan sejati yang kita nikmati dalam sidang-sidang di serata dunia.​—Mzm. 29:11.

10. (a) Apakah perubahan yang berlaku dalam organisasi kita pada masa awal? (Lihat kotak “Kemajuan dalam Aturan Penatua.”) (b) Apakah soalan-soalan yang akan dibincangkan sekarang?

10 Dalam kotak “Kemajuan dalam Aturan Penatua,” kita dapat melihat perubahan yang berlaku dalam organisasi kita pada masa awal. Namun bagaimanakah “tembaga” digantikan dengan “emas” belakangan ini? Apakah perubahan yang dibawa oleh Yehuwa menerusi Raja kita? Bagaimanakah perubahan dalam aturan penatua telah menyumbang kepada keamanan dan perpaduan sidang di serata dunia? Bagaimanakah perubahan sedemikian membantu anda untuk menyembah “Tuhan kedamaian”?

Cara Kristus Memimpin Sidang

11. (a) Setelah mengkaji Bible, apakah yang telah dipelajari tentang cara sidang Kristian abad pertama berfungsi? (b) Apakah tekad saudara-saudara kita yang menganggotai badan pimpinan?

11 Dari tahun 1964 hingga 1971, di bawah pengawasan badan pimpinan, satu projek pembelajaran Bible telah diadakan untuk mengkaji pelbagai topik. Antara topik yang dikaji ialah cara sidang Kristian abad pertama berfungsi.a Hasil kajian menunjukkan bahawa sidang pada abad pertama dijaga oleh sekumpulan penatua, dan bukannya seorang penatua atau penyelia. (Baca Filipi 1:1; 1 Timotius 4:14.) Apabila hal itu menjadi jelas, badan pimpinan sedar bahawa Raja Yesus sedang membimbing mereka untuk mengubah aturan dalam organisasi umat Tuhan supaya menjadi lebih baik. Saudara-saudara yang menganggotai badan pimpinan bertekad untuk mematuhi arahan Raja Mesias. Tanpa membuang masa, mereka membuat perubahan supaya aturan penatua kita lebih selaras dengan apa yang dikatakan dalam Bible. Apakah beberapa perubahan yang dilakukan pada awal tahun 1970-an?

DIA MENERIMA TEGURAN DENGAN RENDAH HATI

MAJALAH The Watch Tower 1 April 1916 dalam bahasa Finland mengandungi sepucuk surat daripada Saudara Russell kepada beberapa orang saudara di Scandinavia, termasuk Saudara Kaarlo Harteva. Saudara Russell menulis, “Saudara-saudara seiman yang dikasihi, kami menggalakkan kamu semua untuk kembali ke haluan benar dan kembali kepada kerja yang harus dilakukan pada zaman ini.” Mengapakah Saudara Russell menulis surat itu?

Kaarlo Harteva

Kaarlo Harteva

Saudara Harteva, yang lahir pada tahun 1882, merupakan antara Pelajar Bible yang pertama di Finland. Dia dibaptis pada bulan April 1910. Pada musim panas tahun 1912, Saudara Russell melantiknya untuk menerbitkan The Watch Tower dalam bahasa Finland. Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah Perang Dunia Pertama tercetus. Saudara Harteva menulis dalam The Watch Tower terbitan 1 Disember 1914, “Disebabkan masalah ekonomi, . . . tahun ini kami tidak dapat menjamin bahawa majalah The Watch Tower akan mempunyai bilangan muka surat yang sama atau akan diterbitkan secara tetap.” Namun untuk mengumpulkan duit, Saudara Harteva dan beberapa orang yang lain mengasaskan sebuah pertubuhan yang dipanggil Ararat pada tahun 1915, dan mereka menerbitkan sebuah majalah dengan nama yang sama.

Memandangkan Saudara Harteva sedang menumpukan perhatiannya pada pertubuhan dan majalah baru itu, seorang lagi saudara mula berkhidmat sebagai penyunting majalah Watch Tower dalam bahasa Finland. Majalah Ararat menerbitkan rencana-rencana Bible, dan juga rencana tentang perubatan semula jadi dan tentang bahasa Esperanto yang baru diciptakan. Dalam masa yang singkat, majalah baru itu menyimpangkan perhatian saudara saudari kita daripada kebenaran Bible yang jelas. Keadaan rohani Saudara Harteva dan rakan-rakannya membimbangkan Saudara Russell, maka pada masa itulah dia merayu kepada mereka untuk “kembali ke haluan benar.”

Apakah reaksi Saudara Harteva terhadap teguran itu? Saudara Harteva meminta maaf atas tindakannya. Dia menerbitkan surat Saudara Russell berserta dengan jawapannya sendiri dalam majalah Ararat. Dia juga berkata, “Saya mahu melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk membetulkan kesilapan saya.” Tidak lama kemudian, dalam terbitan terakhir majalah Ararat, Saudara Harteva meminta maaf sekali lagi atas kekeliruan yang timbul akibat tindakannya. Dia juga berkata, “Saya akan berusaha dengan lebih teliti untuk mengikuti setiap aspek kebenaran yang terkini.” Tidak seperti sesetengah penatua yang sombong pada masa itu, Kaarlo Harteva menerima teguran dengan rendah hati.

Beberapa lama kemudian, Saudara Harteva dilantik lagi untuk menjadi penyunting majalah The Watch Tower dalam bahasa Finland dan dia juga dilantik untuk menjadi penyelia cawangan. Dia memikul semua tanggungjawab itu sehingga tahun 1950. Dia kekal setia kepada Yehuwa dan kebenaran sehingga dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi pada tahun 1957. Memang tidak dapat dinafikan bahawa orang yang menerima teguran daripada Raja Yesus dengan rendah hati akan dimurnikan dan diberkati oleh Yehuwa.

12. (a) Apakah perubahan yang dibuat dalam badan pimpinan? (b) Jelaskan bagaimana Badan Pimpinan diaturkan. (Lihat kotak “Bagaimana Badan Pimpinan Menjaga Kepentingan Kerajaan Tuhan.”)

12 Perubahan yang pertama berkaitan dengan badan pimpinan. Sebelum itu, saudara-saudara terurap yang menganggotai badan pimpinan merupakan tujuh ahli lembaga pengarah Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania. Pada tahun 1971, bilangan anggota badan pimpinan bertambah menjadi 11 orang, dan saudara yang menganggotai badan pimpinan tidak semestinya perlu berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah. Semua ahli badan pimpinan mempunyai kedudukan yang sama, dan setiap tahun, mereka akan bergilir-gilir menjadi pengerusi mengikut susunan abjad nama mereka.

13. (a) Apakah aturan yang sudah berkuat kuasa selama 40 tahun? (b) Apakah yang dilakukan oleh Badan Pimpinan pada tahun 1972?

13 Perubahan yang seterusnya mempengaruhi semua sidang. Dari tahun 1932 hingga 1972, kerja sidang kebanyakannya dilakukan oleh seorang saudara. Sehingga tahun 1936, saudara itu dipanggil pengarah aktiviti penyebaran. Kemudian, nama itu diubah menjadi hamba sidang dan akhirnya diubah menjadi penyelia sidang. Saudara-saudara terlantik itu berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjaga kerohanian kawanan. Biasanya penyelia sidang akan membuat keputusan untuk sidangnya tanpa berbincang dengan pembantu-pembantu yang lain. Namun, pada tahun 1972, Badan Pimpinan telah membuat persiapan untuk satu perubahan yang bersejarah. Apakah perubahan itu?

14. (a) Apakah aturan yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 1972? (b) Bagaimanakah koordinator badan penatua menerapkan nasihat di Filipi 2:3?

14 Mulai 1 Oktober 1972, saudara-saudara lain dalam sidang yang memenuhi syarat-syarat Bible juga dilantik sebagai penatua. Mereka semua akan menganggotai badan penatua yang menjaga sidang tempatan. Di bawah aturan baru ini, setiap sidang tidak akan mempunyai seorang saudara sahaja yang menjadi penyelia sidang. Hari ini, koordinator badan penatua tidak menganggap dirinya lebih penting daripada penatua-penatua lain, tetapi menganggap dirinya sebagai “orang yang berkedudukan rendah.” (Luk. 9:48) Saudara-saudara yang rendah hati ini sesungguhnya merupakan berkat kepada saudara saudari di serata dunia!​—Flp. 2:3.

Jelaslah, Raja kita yang bijaksana telah menyediakan para gembala pada masa yang tepat

15. (a) Apakah kebaikan aturan badan penatua? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa Raja kita bertindak dengan bijaksana?

15 Apabila semua saudara yang menganggotai badan penatua bersama-sama memikul tanggungjawab dalam sidang, terdapat banyak kebaikan yang terhasil. Pertama sekali, aturan ini membantu semua penatua untuk sedar bahawa tidak kira apa pun tugas mereka dalam sidang, Yesus ialah Kepala sidang. (Ef. 5:23) Kedua, seperti yang dinyatakan di Amsal 11:14, sesuatu rancangan akan berjaya jika ada “banyak penasihat.” Apabila para penatua mempertimbangkan cadangan satu sama lain semasa membincangkan perkara yang mempengaruhi kerohanian sidang, mereka dapat membuat keputusan yang selaras dengan prinsip-prinsip Bible. (Ams. 27:17) Yehuwa akan memberkati keputusan sedemikian, dan berkat-Nya membawa kejayaan. Ketiga, apabila lebih ramai saudara yang berkelayakan berkhidmat sebagai penatua, organisasi kita dapat menjaga keperluan sidang yang semakin bertambah, terutamanya dari segi penyeliaan dan penggembalaan. (Yes. 60:3-5) Fikirkan: Jumlah sidang di serata dunia telah bertambah daripada sekitar 27,000 buah sidang pada tahun 1971 kepada lebih daripada 113,000 buah sidang pada tahun 2013! Jelaslah, Raja kita yang bijaksana telah menyediakan para gembala pada masa yang tepat.​—Mi. 5:5.

KEMAJUAN DALAM ATURAN PENATUA

  • 1881​—Agar Saudara Russell dapat menghubungi Pelajar Bible yang mengadakan perjumpaan tiap-tiap minggu di sesebuah kawasan yang sama, dia meminta mereka untuk memaklumkan pejabat Watch Tower tentang tempat mereka berkumpul.

  • 1895​—Semua sidang disuruh untuk memilih saudara-saudara dalam kalangan mereka yang dapat berkhidmat sebagai penatua.

  • 1919​—Dalam setiap sidang, seorang saudara dilantik untuk menjadi pengarah aktiviti penyebaran. Dia dilantik oleh pejabat cawangan berdasarkan syarat Bible. Dia bertanggungjawab mengaturkan kerja penyebaran, menggalakkan semua untuk mengambil bahagian dalam aktiviti penyebaran, dan melakukan tugas-tugas lain. Sesetengah penatua tidak menyokong aturan ini.

  • 1932​—Sidang tidak lagi mengundi setiap tahun untuk memilih penatua. Sebaliknya, sidang mengundi untuk memilih jawatankuasa yang dianggotai saudara-saudara yang giat menjalankan kerja penyebaran dan yang menjunjung nama baru mereka, iaitu Saksi-Saksi Yehuwa. Sidang akan mencalonkan seorang saudara daripada jawatankuasa itu sebagai pengarah aktiviti penyebaran, dan dia akan dilantik oleh Pertubuhan atau pejabat cawangan.

  • 1937​—Saudara-saudara daripada kumpulan besar manusia dapat menganggotai jawatankuasa sidang bersama saudara-saudara terurap.

  • 1938​—Resolusi dibuat agar semua hamba sidang dilantik berdasarkan syarat Bible. Pemilihan penatua berdasarkan undi tidak lagi diamalkan.

Untuk maklumat lanjut tentang perkembangan struktur organisasi kita, lihat buku Jehovah’s Witnesses—Proclaimers of God’s Kingdom, muka surat 204-235.

Pelantikan penatua menerusi undian ahli sidang yang dijalankan pada setiap tahun, 1920-an

“Kami mengundi untuk memilih penatua dengan mengangkat tangan kanan. Kemudian, seorang saudara akan mengira jumlah undi.”​—Saudari Rose Swingle, Chicago, Illinois, A.S.

“Jadilah Teladan bagi Kawanan”

16. (a) Apakah tanggungjawab para penatua? (b) Apakah yang dinyatakan dalam majalah kita tentang nasihat Yesus untuk ‘menggembala kawanan biri-biri Tuhan’?

16 Dari dahulu lagi, para penatua sudah faham bahawa mereka bertanggungjawab membantu rakan seiman agar terus menyembah Tuhan. (Baca Galatia 6:10.) Pada tahun 1908, sebuah rencana dalam majalah Watch Tower telah membincangkan amanah yang diberikan oleh Yesus: “Hendaklah kamu menggembala anak bebiriku.” (Yoh. 21:15-17) Rencana itu mengingatkan para penatua, “Amanah yang diberikan oleh Tuan kita untuk menjaga kawanannya mesti sentiasa diutamakan. Kita diberi penghormatan besar untuk memberikan makanan kepada pengikut-pengikut Tuan kita dan menjaga keperluan mereka.” Pada tahun 1925, The Watch Tower menegaskan sekali lagi bahawa para penatua perlu memainkan peranan sebagai gembala: “[Sidang] itu milik Tuhan, . . . dan semua orang yang diberikan penghormatan untuk berkhidmat kepada saudara saudari mereka mesti bertanggungjawab kepada Tuhan.”

17. Bagaimanakah para penyelia dibantu untuk menjadi gembala yang cekap?

17 Bagaimanakah organisasi Yehuwa membantu mengasah kemahiran para penatua supaya mereka menjadi gembala yang lebih cekap? Menerusi latihan. Pada tahun 1959, Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik telah diadakan buat kali pertama. Satu sesi kelas telah mengupas topik “Tunjukkan Minat Peribadi.” Saudara-saudara yang terlantik digalakkan supaya “mengaturkan jadual untuk pergi ke rumah para penyiar dan melawat mereka.” Mereka juga diajar pelbagai cara untuk memastikan kunjungan sedemikian menguatkan semangat saudara saudari. Selepas kurikulum sekolah itu dikemaskinikan, sesi latihan yang baru telah diadakan bermula tahun 1966. Salah satu sesi sekolah itu membincangkan topik “Pentingnya Kerja Penggembalaan.” Apakah isi utama sesi itu? Saudara-saudara yang mengambil pimpinan “harus menunjukkan kasih dan keprihatinan kepada kawanan Tuhan. Pada masa yang sama, mereka tidak patut lalai dalam tanggungjawab keluarga dan kerja penyebaran.” Akhir-akhir ini, lebih banyak sekolah untuk penatua telah diadakan. Apakah hasilnya? Dengan adanya latihan yang berterusan daripada organisasi Yehuwa, kini beribu-ribu saudara dapat melaksanakan tugas mereka sebagai gembala rohani dengan sebaik-baiknya.

Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di Filipina, 1966

Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik di Filipina, 1966

18. (a) Apakah tugas penting yang diamanahkan kepada para penatua? (b) Mengapakah Yehuwa dan Yesus mengasihi para penatua yang bekerja keras?

18 Aturan penatua disediakan oleh Yehuwa menerusi Raja Yesus untuk satu tugas yang amat penting: Untuk memimpin kawanan Tuhan pada waktu yang paling genting dalam sejarah manusia. (Ef. 4:11, 12; 2 Tim. 3:1) Yehuwa dan Yesus sangat mengasihi penatua yang bekerja keras, kerana saudara-saudara tersebut mematuhi nasihat Bible berikut: “Hendaklah kamu menggembala kawanan Tuhan yang ada di bawah jagaan kamu . . . dengan rela, dan bukannya secara terpaksa . . . jadilah teladan bagi kawanan.” (1 Ptr. 5:2, 3) Mari kita bincangkan dua cara para gembala Kristian menjadi teladan bagi kawanan dan menyumbang kepada keamanan dan sukacita dalam sidang.

“KAMI SANGAT KAGUM”

SEPASANG mubaligh Kristian di Asia ditugaskan ke sebuah sidang yang tidak mengalami peningkatan dalam bilangan penyiar selama bertahun-tahun. Saudara saudari tempatan di sidang itu bersifat pengasih tetapi mereka tidak mengikut aturan teokratik organisasi kita. Mula-mula, pasangan itu menjalin hubungan yang erat dengan penyiar-penyiar dalam sidang itu. Selepas itu, langkah demi langkah saudara mubaligh itu membantu sidang untuk mengikut aturan Yehuwa. Apakah hasilnya? Dalam masa dua tahun, bilangan hadirin di perjumpaan mereka telah berganda, orang baru mula menyertai kerja penyebaran, dan lebih daripada 20 orang telah dibaptis. “Kami sangat kagum,” kata pasangan itu. “Yehuwa memberkati sidang kami dengan melimpah ruah! Seluruh sidang bersukacita selepas melihat hasil baik yang diraih kerana mereka mengikut arahan-arahan organisasi Tuhan.”

Bagaimana Para Penatua Menggembala Kawanan Tuhan

19. Apakah perasaan kita terhadap para penatua yang menyertai kita dalam kerja penyebaran?

19 Pertama, para penatua menginjil bersama ahli-ahli sidang. Lukas menyatakan bahawa “Yesus pergi dari kota ke kota dan dari pekan ke pekan untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Dia pergi bersama 12 orang rasulnya.” (Luk. 8:1) Sebagaimana Yesus menginjil bersama rasul-rasulnya, penatua yang mengikut teladan Yesus juga menginjil bersama rakan-rakan seiman mereka. Mereka sedar bahawa usaha sedemikian menyumbang kepada semangat yang positif dalam sidang. Apakah perasaan ahli-ahli sidang terhadap usaha penatua? Jeannine, seorang saudari yang berusia lewat 80-an, berkata, “Bekerja bersama dengan seorang penatua dalam aktiviti penyebaran memberi saya peluang untuk berbual dengannya dan mengenalinya dengan lebih baik.” Steven, seorang saudara yang berusia pertengahan 30-an, berkata, “Apabila seorang penatua bekerja bersama saya dalam aktiviti penyebaran dari rumah ke rumah, saya dapat merasakan bahawa dia ingin membantu saya. Bantuan sedemikian membuat saya sangat bersukacita.”

Gembala menjumpai seekor bebiri yang sesat pada suatu malam

Sebagaimana gembala mencari bebiri yang sesat, para penatua berusaha mencari mereka yang tidak lagi bergaul dengan sidang

20, 21. Bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan gembala dalam perumpamaan Yesus? Berikan contoh. (Lihat juga kotak “Lawatan Mingguan yang Berhasil.”)

20 Kedua, organisasi Yehuwa telah melatih para penatua untuk mengambil berat terhadap mereka yang tidak lagi bergaul dengan sidang. (Ibr. 12:12) Mengapakah para penatua harus membantu orang yang lemah secara rohani? Bagaimanakah mereka dapat melakukannya? Perhatikan perumpamaan Yesus tentang seorang gembala dan biri-biri yang sesat. (Baca Lukas 15:4-7.) Semasa gembala itu mendapati bahawa seekor bebirinya hilang, dia mencari bebiri itu seolah-olah itulah satu-satunya bebiri yang dimilikinya. Dewasa ini, bagaimanakah para penatua dapat meniru teladan gembala tersebut? Sebagaimana biri-biri yang sesat itu tetap berharga dalam mata gembala, orang yang tidak lagi bergaul dengan sidang juga tetap berharga dalam mata para penatua. Mereka memandang seseorang yang lemah secara rohani sebagai biri-biri yang sesat, bukannya biri-biri yang jahat. Seperti gembala yang ‘pergi mencari bebiri yang hilang sehingga dapat,’ para penatua akan mengambil inisiatif untuk mencari dan membantu mereka yang lemah.

21 Sebaik sahaja gembala itu menemui bebirinya, apakah yang dilakukannya? Dia “memikulnya pada bahu” dan membawanya kembali ke kawanan. Begitu juga apabila seorang penatua menunjukkan keprihatinan dengan ikhlas, mereka yang lemah secara rohani dapat dikuatkan dan dibantu untuk kembali ke sidang. Itulah pengalaman Victor, seorang saudara di Afrika yang tidak lagi bergaul dengan sidang. “Saya tidak aktif selama lapan tahun,” katanya. “Sepanjang masa itu, para penatua sentiasa mencuba membantu saya.” Apakah yang telah menyentuh hati Victor? Dia menjelaskan, “Pada suatu hari, John, seorang penatua yang menghadiri Sekolah Latihan Perintis bersama saya, meluangkan masa untuk mengunjungi saya. Dia menunjukkan beberapa gambar yang diambilnya bersama saya semasa sekolah perintis. Gambar-gambar itu mengingatkan saya tentang kenangan manis dahulu, sehingga saya mendambakan rasa sukacita yang saya nikmati semasa saya menyembah Yehuwa.” Tidak lama setelah Victor dikunjungi John, dia kembali ke sidang. Kini dia berkhidmat sebagai perintis semula. Sesungguhnya, para penatua yang penyayang menyumbang kepada sukacita kita.—2 Kor. 1:24.b

Dua orang saudara melawat seorang saudara lanjut usia yang tidak aktif

LAWATAN MINGGUAN YANG BERHASIL

TERDORONG oleh keinginan untuk membantu biri-biri yang hilang, para penatua dalam sebuah sidang di Amerika Syarikat mempertimbangkan apa yang dapat dilakukan untuk membantu saudara saudari yang tidak lagi bergaul bersama sidang. Mereka tahu bahawa terdapat kira-kira 30 saudara saudari telah berhenti menyembah Yehuwa selama bertahun-tahun. Kebanyakan daripada saudara saudari ini sudah lanjut usia, dan masih tinggal di dalam kawasan sidang itu.

Alfredo, salah seorang penatua, mendapatkan senarai nama mereka dan mula mengunjungi mereka. “Setiap Jumaat pagi, saya mengunjungi seorang saudara atau saudari yang sudah tidak aktif,” kata Alfredo. Semasa pintu rumah dibuka, Alfredo akan mencuba berbual ramah dengannya, dan dia meluahkan rasa prihatinnya secara ikhlas. Dia memberitahu saudara atau saudari itu bahawa sidang tidak pernah melupakan usaha baik mereka demi Kerajaan Yehuwa. Alfredo berkata, “Semasa saya memberitahu seorang saudara yang tidak aktif tentang bilangan jam dan bilangan majalah yang telah dilaporkannya buat kali terakhir pada tahun 1976, air mata saudara yang berumur itu mulai menggenang.” Alfredo juga membaca Lukas 15:4-7, 10 dengan saudara atau saudari yang dikunjunginya. Kemudian dia bertanya kepada mereka, “Apakah yang berlaku apabila seekor biri-biri yang hilang pulang ke pangkuan sidang? Yehuwa, Yesus, dan para malaikat bersukacita​—bayangkanlah hal itu!”

Selama dua tahun ini, Alfredo meneruskan usahanya dengan sabar. Apakah hasil yang diraihnya? Dia berjaya membantu dua orang saudara untuk kembali ke sidang. Mereka kini menghadiri perjumpaan pada tiap-tiap hari Ahad. Dengan senyuman lebar, Alfredo berkata, “Semasa mereka melangkah ke dalam Dewan Perjumpaan, saya pula yang menitiskan air mata kerana berasa gembira.” Dia menambah, “Meskipun mereka sudah mula menghadiri perjumpaan, saya tetap mengunjungi mereka tiap-tiap hari Jumaat. Mereka tidak sabar-sabar menantikan kunjungan saya, dan saya juga tidak sabar-sabar ingin mengunjungi mereka.”

Aturan Penatua Mengukuhkan Perpaduan Umat Tuhan

22. Bagaimanakah kebaikan dan kedamaian mengukuhkan perpaduan sidang Kristian? (Lihat juga kotak “Kami Sangat Kagum.”)

22 Seperti yang telah dinyatakan, Yehuwa telah menubuatkan bahawa kebaikan dan kedamaian dalam kalangan umat-Nya akan terus bertambah. (Yes. 60:17) Dua faktor ini telah mengukuhkan perpaduan antara sidang. Bagaimana? Dari segi kebaikan, Yehuwa ialah satu-satunya Tuhan kita. (Ul. 6:4) Dia hanya ada satu piawaian tentang apa yang baik dan apa yang jahat, dan piawaian ini dipatuhi oleh “semua sidang umat suci Tuhan” di seluruh dunia. (1 Kor. 14:33) Sebuah sidang hanya akan makmur jika prinsip-prinsip Tuhan dituruti. Dari segi kedamaian, Raja kita menghendaki kita untuk “berusaha mewujudkan kedamaian,” dan bukan sekadar menikmati suasana damai dalam sidang. (Mat. 5:9) Oleh itu, kita berikhtiar “melakukan perkara yang membawa perdamaian.” Jika ada perselisihan faham, kita akan mengambil inisiatif untuk menyelesaikannya. (Rm. 14:19) Dengan berbuat demikian, kita menyumbang kepada keamanan dan perpaduan dalam sidang.​—Yes. 60:18.

23. Sebagai hamba Yehuwa, apakah yang sedang kita nikmati hari ini?

23 Semasa aturan penatua diumumkan buat kali pertama pada November 1895 dalam majalah Watch Tower, saudara-saudara yang terlantik juga menyatakan hasrat mereka agar aturan baru ini dapat membantu umat Tuhan “mencapai kesatuan dalam iman dengan secepat yang mungkin.” Ketika kita melihat apa yang berlaku selama ini, jelaslah bahawa Yehuwa telah beransur-ansur memurnikan aturan penatua menerusi Raja kita, dan hal ini sememangnya mengukuhkan perpaduan kita dalam ibadat sejati. (Mzm. 99:4) Hasilnya, umat Yehuwa di serata bumi bersukacita kerana kita “bersatu dalam fikiran,” “berjuang dengan sehati sejiwa,” dan bersama-sama menyembah “Tuhan kedamaian.”​—Baca Filipi 1:27; 2 Kor. 12:18.

a Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam buku rujukan Aid to Bible Understanding.

b Lihat rencana “Para Penatua​—‘Rakan Sekerja bagi Sukacita Kita’” dalam majalah pembelajaran 15 Januari 2013, muka surat 27-31.

Seberapa Nyatakah Kerajaan Tuhan bagi Anda?

  • Di bawah pimpinan Kerajaan Tuhan, apakah perubahan yang telah berlaku dalam aturan organisasi kita?

  • Bagaimanakah perubahan dalam aturan penatua membantu anda menyembah “Tuhan kedamaian”?

  • Bagaimanakah seorang penatua telah menyumbang kepada sukacita anda melalui kata-kata dan perbuatannya?

  • Apakah yang dapat anda lakukan untuk menyumbang kepada kedamaian dan perpaduan sidang?

Ahli jawatankuasa Badan Pimpinan dan pembantu mereka berkumpul bersama

BAGAIMANA BADAN PIMPINAN MENJAGA KEPENTINGAN KERAJAAN TUHAN

BADAN PIMPINAN Saksi-Saksi Yehuwa dianggotai oleh saudara terurap yang menyembah Tuhan Yehuwa. Sebagai satu kelompok, mereka membentuk “hamba yang setia dan bijaksana.” Mereka bertanggungjawab untuk membekalkan makanan rohani dan memberikan arahan serta memimpin kerja penyebaran di seluas dunia.​—Mat. 24:14, 45-47.

Mesyuarat Badan Pimpinan diadakan setiap minggu, biasanya pada hari Rabu. Hal ini membolehkan saudara-saudara ini untuk bekerjasama dengan rukun. (Mzm. 133:1) Anggota Badan Pimpinan juga berkhidmat dalam beberapa jawatankuasa. Setiap jawatankuasa mempunyai tanggungjawab masing-masing. Berikut merupakan rumusan tentang tanggungjawab mereka:

  • Para saudara berusaha menjaga persaudaraan Kristian sedunia kita

    Jawatankuasa Koordinator

    Jawatankuasa ini memantau hal-hal perundangan, menggunakan media (jika perlu) untuk memberikan gambaran yang tepat tentang kepercayaan kita, dan bertindak semasa berlakunya bencana alam, penganiayaan, dan kecemasan lain yang mempengaruhi persaudaraan sedunia kita.

  • Keluarga Bethel melakukan pelbagai jenis tugasan

    Jawatankuasa Kakitangan

    Jawatankuasa ini memantau keperluan fizikal dan rohani anggota keluarga Bethel sedunia. Jawatankuasa ini memilih dan mengundang anggota Bethel yang baru serta menangani pertanyaan mereka tentang khidmat Bethel.

  • Seorang ahli Bethel membantu dalam kerja percetakan dan penghantaran bahan bacaan Bible

    Jawatankuasa Penerbitan

    Saudara-saudara dalam jawatankuasa ini memantau percetakan dan penghantaran bahan bacaan sedunia. Mereka menjaga kilang percetakan dan harta milik pertubuhan Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka juga menjaga kerja pembinaan sedunia, termasuk pembinaan Dewan Perjumpaan, dan menentukan cara yang terbaik untuk menggunakan wang yang disumbangkan.

  • Seorang saudara membuat penyelidikan dan persediaan di mejanya

    Jawatankuasa Penyebaran

    Saudara-saudara dalam jawatankuasa ini memantau segala aspek kerja menginjil dan hal-hal yang berkaitan dengan sidang, penyiar, perintis, penatua, penyelia lawatan, dan mubaligh. Antara hal-hal di bawah jagaan mereka ialah kegiatan Jawatankuasa Perhubungan Hospital.

  • Seorang saudara menyampaikan ceramahnya di atas pentas

    Jawatankuasa Mengajar

    Jawatankuasa ini memantau ajaran yang disampaikan di perhimpunan, konvensyen, dan sidang. Jawatankuasa ini juga menjaga Sekolah Gilead, Sekolah Latihan Penginjil, Latihan Perintis, dan sekolah-sekolah lain. Selain itu, jawatankuasa ini menjaga penghasilan Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita, serta program audio dan video kita.

  • Bahan bacaan dalam pelbagai format, termasuk laman web jw.org

    Jawatankuasa Penulisan

    Jawatankuasa ini menyelia persediaan makanan rohani, baik dalam bentuk bercetak mahupun bentuk elektronik. Jawatankuasa ini menjaga laman Web organisasi kita dan kerja terjemahan yang dilakukan di seluruh dunia, dan menjawab soalan-soalan tentang ayat Bible atau isi yang dibentangkan dalam bahan bacaan kita.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi