Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
1-7 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEREMIA 32-34
Mencari Permata Rohani
(Yeremia 32:9-15) 9-10 Aku membeli tanah itu daripada Hanameel dengan harga tujuh belas keping wang perak. Aku memanggil beberapa orang saksi dan di hadapan mereka, aku menandatangani dan memeteraikan surat pembelian tanah itu, lalu aku menimbang wang pembayarannya. 11 Kemudian aku mengambil surat pembelian itu, yang telah dimeterai dan mengandungi syarat serta ketetapan, dan aku juga mengambil salinan surat yang tidak dimeterai. 12 Aku memberikan kedua-dua helai surat itu kepada Barukh anak Neria, cucu Mahseya. Aku menyerahkannya di hadapan Hanameel serta saksi-saksi yang telah menandatangani surat-surat itu, dan di hadapan semua orang yang sedang duduk di halaman itu. 13 Di hadapan mereka semua, aku berkata kepada Barukh, 14 “Yehuwa Yang Maha Kuasa, Tuhan Israel, memerintahkan engkau mengambil kedua-dua helai surat ini, baik yang dimeterai mahupun yang tidak dimeterai. Masukkan kedua-dua helai surat itu ke dalam sebuah tempayan supaya tahan lama. 15 Yehuwa Yang Maha Kuasa, Tuhan Israel, berfirman bahawa rumah, tanah, dan ladang anggur akan dibeli lagi di negeri ini.”
w07-IN 15/3 11 per. 3
Sorotan daripada Buku Yeremia
32:9-15—Mengapakah dua salinan surat pembelian diperlukan? Surat pembelian yang tidak dimeterai digunakan sebagai rujukan. Surat pembelian yang dimeterai pula akan disimpan dan dirujuk, jika perlu, untuk memastikan ketepatan maklumat pada surat pembelian yang tidak dimeterai. Yeremia menetapkan teladan yang baik dengan mengikut langkah-langkah yang munasabah dan sah dari segi undang-undang. Kita boleh meniru Yeremia semasa berurus niaga dengan orang lain, termasuk ahli keluarga atau rakan seiman.
8-14 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEREMIA 35-38
Mencari Permata Rohani
(Yeremia 35:19) Oleh itu, Aku, Yehuwa Yang Maha Kuasa, Tuhan Israel, berjanji bahawa Yonadab anak Rekhab akan sentiasa mempunyai keturunan lelaki yang mengabdi kepada-Ku.”
it-2-IN 640
Orang Rekhab
Yehuwa berasa senang hati kerana mereka menunjukkan ketaatan. Mereka sangat taat kepada bapa jasmani mereka. Sikap mereka jauh berbeza berbanding sikap orang Yudea yang suka memberontak terhadap Pencipta mereka. (Yer 35:12-16) Tuhan berjanji kepada orang Rekhab, “Yonadab anak Rekhab akan sentiasa mempunyai keturunan lelaki yang mengabdi kepada-Ku.”—Yer 35:19.
15-21 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEREMIA 39-43
Mencari Permata Rohani
(Yeremia 42:1-3) Kemudian semua pemimpin askar, termasuk Yohanan anak Kareah dan Azarya anak Hosaya, datang bersama-sama rakyat daripada semua lapisan masyarakat. 2 Mereka berkata kepadaku, “Tolonglah kabulkan permintaan kami. Berdoalah kepada Yehuwa, Tuhan kita bagi kami. Berdoalah bagi kami semua yang terselamat. Dahulu kami ramai bilangannya, tetapi sekarang lihatlah, bilangan kami tinggal sedikit sahaja. 3 Berdoalah agar Yehuwa, Tuhan kita akan menunjukkan jalan yang harus kami ikut dan apa yang harus kami lakukan.”
(Yeremia 43:2) Kemudian Azarya anak Hosaya dan Yohanan anak Kareah dan semua orang lain yang sombong itu berkata kepadaku, “Kamu berdusta! Yehuwa, Tuhan kita, tidak menyuruh kamu melarang kami untuk pergi tinggal di Mesir.
(Yeremia 43:4) Tiada seorang pun, baik Yohanan atau para pegawai tentera atau rakyat taat kepada perintah Yehuwa untuk tetap tinggal di negeri Yehuda.
w03-IN 1/5 10 per. 10
Adakah Anda Bertanya, “Di Manakah Yehuwa?”
10 Selepas Yerusalem dimusnahkan, tentera Babilon pun membawa tawanan Yahudi dan beredar. Kemudian, Yohanan telah bersiap sedia untuk membawa sekumpulan kecil orang Yahudi dari Yehuda ke Mesir. Selepas rancangan itu dibuat, mereka meminta Yeremia untuk berdoa dan memohon bimbingan Yehuwa. Apabila mereka tidak mendapat jawapan yang diingini, mereka menolak bimbingan Yehuwa dan tetap melakukan apa yang telah dirancang. (Yeremia 41:16–43:7) Melalui kisah ini, kita memperoleh iktibar yang dapat diterapkan jika kita ingin mendapatkan bimbingan Yehuwa. Dengan demikian, kita akan berjaya memperoleh bantuan-Nya.
22-28 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEREMIA 44-48
Mencari Permata Rohani
(Yeremia 48:42) Moab akan musnah dan tidak lagi merupakan satu bangsa, kerana Moab telah menyombongkan diri terhadap Aku.
it-2-IN 147 per. 2
Moab
Sememangnya, nubuat-nubuat mengenai Moab telah menjadi kenyataan. Berabad-abad dahulu, bangsa Moab telah lenyap dan tidak lagi wujud. (Yer 48:42) Hari ini, kota-kota Moab seperti Nebo, Hesybon, Aroer, Bet-Gamul, dan Baal-Meon, merupakan timbunan runtuhan. Terdapat juga tempat lain yang tidak lagi diketahui orang pada zaman ini.
29 MEI–4 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEREMIA 49-50
Mencari Permata Rohani
(Yeremia 49:17, 18) Yehuwa berfirman, “Kemusnahan Edom akan sangat mengerikan sehingga tiap-tiap orang yang lalu di situ akan terkejut dan ketakutan. 18 Sebagaimana Sodom dan Gomora dimusnahkan bersama dengan pekan-pekan di sekitar, begitu juga Edom akan dimusnahkan. Tiada seorang pun akan tinggal di Edom lagi. Aku, Yehuwa, telah berfirman.
jr-IN 162 per. 18
Yehuwa Telah Melakukan Apa yang Diingini-Nya
18 Terdapat satu lagi nubuat yang telah menjadi kenyataan pada abad pertama. Menerusi Yeremia, Yehuwa telah menubuatkan bahawa Edom akan dilanda kesusahan akibat serangan Babilon. (Yer. 25:15-17, 19-26; 27:1-7) Tetapi, firman Yehuwa juga berlaku dalam skala yang lebih besar. Seperti Sodom dan Gomora, Edom akhirnya dilenyapkan. (Yer. 49:7-10, 17, 18) Itulah yang benar-benar terjadi. Fikirkan ini: Dapatkah kita menemui orang Edom atau tempat yang bernama Edom? Adakah Edom terdapat dalam peta zaman moden? Tidak. Kita hanya dapat menemuinya dalam buku mengenai sejarah Bible dan sejarah kuno, atau peta yang menunjukkan kawasan pada zaman dahulu. Flavius Josephus menyatakan bahawa bangsa Edom dipaksa untuk memeluk agama Yahudi pada abad kedua SM. Setelah pembinasaan Yerusalem pada tahun 70 M, orang Edom turut dilenyapkan dan bangsa itu tidak lagi wujud.
ip-2-IN 350 per. 6
Yehuwa Mengukir Nama yang Indah bagi Diri-Nya
6 Mengapakah Yehuwa berperang dengan Edom? Sejak dahulu lagi, bangsa Edom merupakan musuh umat Tuhan. Permusuhan ini telah bermula sejak zaman nenek moyang mereka, iaitu Esau. (Kejadian 25:24-34; Bilangan 20:14-21) Kebencian ini jelas kelihatan apabila Edom memberikan sokongan kepada tentera Babilon yang menyerang dan membinasakan Yerusalem. (Mazmur 137:7) Yehuwa menganggap kebencian mereka itu seolah-olah ditujukan kepada diri-Nya sendiri. Maka, tidak hairanlah bahawa Yehuwa memutuskan untuk menghukum Edom!—Yesaya 34:5-15; Yeremia 49:7-22.