Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
5-11 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEREMIA 51-52
Mencari Permata Rohani
(Yeremia 51:25) Hai Babilonia, engkau bagaikan gunung yang memusnahkan seluruh dunia, tetapi Aku, Yehuwa ialah musuhmu. Aku akan mengacungkan tangan untuk meratakan engkau dan membiarkan engkau terbakar sehingga menjadi abu.
it-1-IN 829 per. 1
Gunung
Melambangkan pemerintahan. Dalam Bible, gunung digunakan untuk melambangkan kerajaan atau pemerintahan. (Da 2:35, 44, 45; bandingkan Yes 41:15; Why 17:9-11, 18.) Bible menggambarkan Babilon sebagai “gunung yang memusnahkan seluruh dunia” kerana tenteranya telah memusnahkan banyak tempat. (Yer 51:24, 25) Sebuah mazmur yang menyebut tentang tindakan Yehuwa terhadap para musuh mengatakan bahawa Yehuwa “bersinar dengan gemilang” dan adalah “lebih agung daripada gunung-ganang yang dipenuhi pemangsa.” (Mz 76:4, NW) “Gunung-ganang yang dipenuhi pemangsa” mungkin melambangkan pemerintahan atau kerajaan yang zalim. (Bandingkan Na 2:11-13.) Daud berkata mengenai Yehuwa, “Engkau menjadikan aku kuat seperti gunung.” Ungkapan ini mungkin bermaksud bahawa Yehuwa telah mengukuhkan kedudukan Daud dan menguatkan kerajaannya. (Mz 30:7, NW; bandingkan 2Sa 5:12.) Jelaslah bahawa perkataan gunung dapat menggambarkan suatu pemerintahan. Hal ini juga membantu kita memahami erti ayat di Wahyu 8:8, yang merujuk kepada “sesuatu yang kelihatan seperti sebuah gunung besar yang bernyala-nyala dengan api.” Kerajaan yang diumpamakan sebagai gunung yang membara dengan api mungkin merujuk kepada pemerintahan yang dapat menyebabkan banyak kemusnahan.
12-18 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | RATAPAN 1-5
Mencari Permata Rohani
(Ratapan 5:7) Nenek moyang kami berdosa, dan kini sudah tiada; tetapi kami mesti menderita, kerana dosa-dosa mereka.
w07-IN 1/6 11 per. 1
Sorotan daripada Buku Ratapan
5:7—Adakah Yehuwa menghukum orang atas kesilapan nenek moyang mereka? Tidak. Yehuwa tidak akan menghukum orang kerana dosa nenek moyang mereka. Bible berkata, “Kita bertanggungjawab kepada Tuhan atas perbuatan kita masing-masing.” (Roma 14:12) Tetapi, dosa yang dilakukan oleh seseorang mungkin membawa kesan yang buruk kepada keturunannya. Misalnya, oleh sebab orang Israel mengamalkan penyembahan berhala, keturunan mereka yang ingin setia kepada Tuhan berasa susah untuk melakukan apa yang benar.—Keluaran 20:5.
19-25 JUN
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEHEZKIEL 1-5
Mencari Permata Rohani
(Yehezkiel 1:20, 21) Makhluk-makhluk itu pergi ke mana sahaja menurut kehendak makhluk-makhluk, dan roda selalu ikut kerana dikuasai oleh makhluk-makhluk itu. 21 Oleh itu setiap kali makhluk-makhluk itu bergerak atau berhenti atau naik ke udara, roda pun ikut sama.
(Yehezkiel 1:26-28) Di atas kubah itu pula ada sesuatu yang kelihatan seperti takhta yang dibuat daripada batu nilam. Sesuatu yang seperti manusia duduk di atas takhta itu. 27 Dari pinggangnya ke atas kelihatan bersinar-sinar seperti gangsa di tengah nyala api, dan dari pinggangnya ke bawah kelihatan seperti api. Sinaran itu terang-benderang 28 dengan warna-warna pelangi. Cahaya berkilauan itu menunjukkan hadirat Yehuwa. Apabila aku melihat semuanya, aku jatuh tertelungkup di atas tanah. Lalu aku mendengar suara yang
w07-IN 1/7 11 per. 6
Sorotan daripada Buku Yehezkiel—I
1:4-28—Apakah yang digambarkan oleh kenderaan Yehuwa di syurga? Kenderaan itu menggambarkan organisasi Yehuwa di syurga yang terdiri daripada makhluk-makhluk roh yang setia. Kenderaan tersebut digerakkan oleh daya aktif-Nya. Yehuwa sedang mengawal kenderaan itu, dan Dia digambarkan dengan penuh mulia. Keadaan-Nya yang tenang digambarkan oleh sebuah pelangi yang indah.
26 JUN–2 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEHEZKIEL 1-5
Mencari Permata Rohani
(Yehezkiel 8:12) Lalu Tuhan bertanya kepadaku, “Hai manusia fana, adakah engkau nampak apa yang sedang dilakukan oleh pemimpin Israel dengan diam-diam? Mereka semua bersembahyang di dalam bilik yang penuh berhala dengan alasan bahawa Aku tidak nampak mereka dan Aku telah meninggalkan negeri ini.”
w11-IN 15/4 26 per. 14
Adakah Anda Membenarkan Daya Aktif Tuhan Membimbing Anda?
14 Jika kita beriman, Yehuwa akan menjadi nyata bagi kita. Jika Tuhan tidak nyata bagi kita, hal ini boleh menyebabkan kita mudah melakukan perbuatan yang salah. Fikirkan masalah yang timbul dalam kalangan umat Tuhan dahulu. Yehuwa memberitahu Nabi Yehezkiel bahawa umat-Nya melakukan perbuatan yang keji secara diam-diam. Tuhan berkata, “Adakah engkau nampak apa yang sedang dilakukan oleh pemimpin Israel dengan diam-diam? Mereka semua bersembahyang di dalam bilik yang penuh berhala dengan alasan bahawa Aku tidak nampak mereka dan Aku telah meninggalkan negeri ini.” (Yeh. 8:12) Apakah yang menyebabkan mereka melakukan hal-hal yang keji? Mereka tidak percaya bahawa Yehuwa sedang memerhatikan semua perbuatan mereka. Yehuwa tidak nyata bagi mereka.