Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
5-11 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 20-21
“Jika Sesiapa antara Kamu Ingin Menjadi Besar, Dia Mesti Melayani Kamu”
(Matius 20:3) Kira-kira pada jam sembilan pagi, dia keluar dan nampak beberapa orang yang menganggur berdiri di tempat awam.
nwtsty media
Tempat Awam
Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, sesetengah pasar (tempat awam) terletak di sepanjang jalan. Para peniaga sering meletakkan banyak barang dagangan di jalan sehingga menyebabkan laluan menjadi sesak. Penduduk tempatan dapat membeli tembikar, barangan kaca yang mahal, dan barang keperluan rumah termasuk sayur, daging, dan buah-buahan yang segar. Oleh sebab tiada peti sejuk pada masa itu, orang perlu mengunjungi pasar setiap hari untuk membeli bekalan makanan. Di situ, mereka berpeluang mendengar berita daripada pedagang atau pelawat lain, kanak-kanak dapat bermain, dan orang yang menganggur boleh mencari kerja. Yesus menyembuhkan orang sakit di tempat awam dan Paulus menyebarkan berita baik di sana. (Kis 17:17) Sebaliknya, jurutulis hukum dan orang Farisi yang sombong suka mendapat perhatian orang dan menerima salam hormat di tempat awam.
(Matius 20:20, 21) Kemudian, ibu kepada anak-anak Zebedeus membawa dua orang anaknya kepada Yesus. Dia sujud kepadanya dan ingin meminta sesuatu daripadanya. 21 Yesus bertanya, “Apakah yang kamu ingin aku lakukan untuk kamu?” Wanita itu menjawab, “Aku memohon supaya kedua-dua orang anak lelakiku diizinkan untuk duduk bersama Tuan dalam Kerajaan Tuan, seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 20:20, 21
ibu kepada anak-anak Zebedeus: Iaitu, ibu kepada Rasul Yakobus dan Rasul Yohanes. Menurut catatan Markus, Rasul Yakobus dan Rasul Yohanes telah berjumpa dengan Yesus. Nampaknya, merekalah yang menginginkan kedudukan istimewa itu, tetapi mereka meminta ibu mereka, Salome (mungkin ibu saudara Yesus), untuk membuat permohonan itu bagi pihak mereka.—Mt 27:55, 56; Mr 15:40, 41; Yoh 19:25.
seorang di sebelah kanan dan seorang di sebelah kiri: Kedua-dua kedudukan ini melambangkan penghormatan dan kekuasaan. Namun kedudukan di sebelah kanan melambangkan penghormatan yang terbesar.—Mz 110:1; Kis 7:55, 56; Rm 8:34.
(Matius 20:25-28) Oleh itu, Yesus memanggil mereka dan berkata, “Kamu tahu bahawa raja dan pembesar bangsa-bangsa lain menguasai dan mengawal rakyat mereka. 26 Hal seperti itu sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan kamu. Sebaliknya, jika sesiapa antara kamu ingin menjadi besar, dia mesti melayani kamu. 27 Jika sesiapa antara kamu ingin menjadi yang pertama, dia mesti menjadi hamba kamu. 28 Hal ini demikian kerana Anak Manusia tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 20:26, 28
melayani: Atau “menjadi hamba.” Bible sering menggunakan kata Yunani di·aʹko·nos untuk merujuk kepada seseorang yang dengan rendah hati melayani orang lain tanpa jemu. Istilah ini digunakan untuk menggambarkan Kristus (Rm 15:8), hamba-hamba Kristus (1Ko 3:5-7; Kol 1:23), para pembantu sidang (Flp 1:1; 1Ti 3:8), hamba-hamba dalam sebuah rumah tangga (Yoh 2:5, 9), dan pegawai kerajaan (Rm 13:4).
Mencari Permata Rohani
(Matius 21:9) Orang ramai yang berjalan di hadapan dan belakangnya berseru-seru, “Moga Tuhan menyelamatkan Anak Daud! Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa! Moga Tuhan yang di syurga menyelamatkannya!”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 21:9
Moga Tuhan menyelamatkan: Harfiah, “Hosanna.” Istilah Yunani ini diambil daripada ungkapan Ibrani yang bererti, “kami mohon, selamatkanlah” atau “tolonglah selamatkan.” Di sini, istilah ini digunakan untuk merayu Tuhan supaya memberikan penyelamatan atau kemenangan. Istilah ini boleh diterjemahkan sebagai “tolonglah, berikan penyelamatan kepada.” Lama-kelamaan, istilah ini digunakan dalam doa dan pujian. Ungkapan Ibrani ini boleh dijumpai di Mz 118:25, dan merupakan sebahagian daripada lagu-lagu di Mazmur 113-118 yang sering dinyanyikan semasa musim Paska. Oleh itu, kata-kata ini akan terlintas di fikiran orang pada masa itu. Salah satu cara Tuhan menjawab doa untuk menyelamatkan Anak Daud adalah dengan membangkitkannya daripada kematian. Di Mt 21:42, Yesus sendiri memetik ayat Mz 118:22, 23 dan menunjukkan bahawa ayat itu terlaksana dalam diri Mesias.
Anak Daud: Ungkapan yang menunjukkan pengiktirafan terhadap garis keturunan Yesus dan peranannya sebagai Mesias yang dijanjikan.
(Matius 21:18, 19) Semasa Yesus kembali ke kota pada awal pagi, dia berasa lapar. 19 Dia nampak sepohon pokok ara di tepi jalan lalu menghampiri pokok itu. Namun dia tidak menjumpai sebiji buah pun. Yang ada cuma daun-daun. Maka dia berkata, “Mulai sekarang, kamu tidak akan berbuah lagi.” Dengan serta-merta, pokok ara itu pun layu.
Pokok Ara dan Pengajaran tentang Iman
Mengapakah Yesus membuat pokok itu layu? Dia berkata, “Jika kamu beriman dan tidak ragu-ragu, kamu juga dapat melakukan apa yang telah aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, jika kamu berkata kepada gunung ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut,’ hal itu pun akan berlaku. Jika kamu beriman, semua perkara yang kamu minta dalam doa akan kamu terima.” (Matius 21:21, 22) Sebelum ini, dia juga pernah berkata bahawa jika mereka beriman, mereka dapat berkata kepada sebuah gunung, “Beralihlah dari sini ke sana,” lalu gunung itu akan beralih.—Matius 17:20.
Dengan membuat pokok itu layu, Yesus mengajar pengikutnya bahawa mereka perlu beriman kepada Tuhan. Dia berkata, “Apa sahaja yang kamu mohon dalam doa, berimanlah bahawa kamu akan menerimanya. Maka kamu pun akan menerimanya.” (Markus 11:24) Pengajaran ini amat penting kerana para rasul akan menghadapi cubaan yang besar tidak lama lagi. Tetapi terdapat satu lagi pengajaran yang dapat kita peroleh daripada pokok yang layu itu.
Bangsa Israel seperti pokok ara itu yang berdaun tetapi tidak menghasilkan buah. Mereka telah berjanji untuk menjadi umat Tuhan dan mematuhi Hukum-Nya, tetapi mereka tidak beriman dan tidak menghasilkan buah yang baik. Mereka bahkan menolak Anak Tuhan! Maka Yesus membuat pokok ara itu layu untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku kepada bangsa yang tidak beriman itu.
12-18 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 22-23
“Patuhilah Dua Hukum yang Penting”
(Matius 22:36-38) “Guru, dalam Hukum Musa, hukum manakah yang paling penting?” 37 Yesus menjawab, “‘Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap akal.’ 38 Inilah hukum pertama dan hukum yang terpenting.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 22:37
hati: Apabila digunakan secara kiasan, istilah ini biasanya merujuk kepada batin seseorang. Namun, apabila digunakan bersama dengan perkataan “jiwa” dan “akal,” istilah ini membawa maksud yang lebih spesifik dan merujuk khasnya kepada emosi, keinginan, dan perasaan seseorang. Maka, ketiga-tiga istilah ini (hati, jiwa, dan akal) saling berkaitan dan menekankan bahawa kita perlu mengasihi Tuhan dengan sepenuhnya.
jiwa: Atau “diri seseorang secara keseluruhan.”
akal: Iaitu, keupayaan intelek. Seseorang mesti menggunakan keupayaan ini untuk mengenali Tuhan dan memupuk kasih terhadap-Nya. (Yoh 17:3, nota kaki; Rm 12:1) Teks Ibrani asal di Ul 6:5 menggunakan tiga istilah, ‘hati, jiwa, dan kekuatan.’ Namun begitu, catatan Matius yang ditulis dalam bahasa Yunani menggunakan istilah “akal” dan bukannya istilah “kekuatan.” Terdapat beberapa sebab untuk perbezaan ini. Pertama, meskipun Ibrani kuno tidak mempunyai kata spesifik untuk perkataan “akal,” maksud untuk perkataan ini juga terangkum dalam kata Ibrani “hati.” Dari segi kiasan, istilah “hati” merujuk kepada batin seseorang, termasuk fikiran, perasaan, sikap, dan dorongannya. (Mz 26:2; 64:6; lihat nota pembelajaran untuk hati dalam ayat ini.) Jadi, apabila teks Ibrani menggunakan perkataan “hati,” Septuagint Yunani sering menggunakan padanan Yunani untuk perkataan “akal.” (Kej 8:21; 17:17; Ams 2:10; Yes 14:13) Terdapat satu lagi sebab Matius menggunakan kata Yunani “akal” dan bukannya “kekuatan” semasa memetik Ul 6:5. Hal ini kerana istilah Ibrani yang diterjemahkan sebagai “kekuatan [atau, “tenaga,” nota kaki]” boleh merangkumi kekuatan fizikal dan mental atau keupayaan intelek. Memandangkan erti bagi istilah-istilah ini dalam bahasa Ibrani dan Yunani saling berkaitan, hal ini membantu kita memahami sebab di sebalik perbezaan istilah yang digunakan oleh penulis Bible semasa memetik ayat daripada Ulangan.
(Matius 22:39) Hukum kedua, yang hampir sama dengannya ialah ‘Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.’
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 22:39
Hukum kedua: Jawapan Yesus yang terus terang kepada orang Farisi tercatat di Mt 22:37. Tetapi Yesus juga menyebut tentang hukum yang kedua (Im 19:18), dan mengajar bahawa kedua-dua hukum ini saling bersangkutan dan bahawa seluruh Hukum dan Ajaran Para Nabi dirumuskan dalam dua hukum ini.—Mt 22:40.
orang lain: Kata Yunani untuk “orang lain” (harfiah, “orang yang dekat”) bukan sahaja merujuk kepada mereka yang tinggal berdekatan. Kata ini juga merangkumi sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan kita.—Lu 10:29-37; Rm 13:8-10.
(Matius 22:40) Seluruh Hukum dan Ajaran Para Nabi didasarkan pada kedua-dua hukum ini.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 22:40
Hukum dan Ajaran Para Nabi: “Hukum” merujuk kepada buku-buku Bible dari Kejadian hingga Ulangan. “Ajaran Para Nabi” merujuk kepada buku-buku Kitab Ibrani yang mengandungi nubuat. Apabila istilah-istilah ini digunakan bersama, ungkapan ini boleh merujuk kepada seluruh Kitab Ibrani.—Mt 7:12; 22:40; Lu 16:16.
didasarkan pada: Erti harfiah bagi kata kerja Yunani ini ialah “bergantung pada.” Maka Yesus menunjukkan bahawa seluruh Kitab Ibrani (bukan sahaja Hukum Musa yang mengandungi Sepuluh Hukum) didasarkan pada kasih.—Rm 13:9.
Mencari Permata Rohani
(Matius 22:21) Mereka menjawab, “Kaisar.” Dia berkata kepada mereka, “Jadi berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 22:21
milik Kaisar kepada Kaisar: Yesus hanya pernah menyebut tentang maharaja Roma di ayat ini, serta di Mr 12:17 dan di Lu 20:25. “Milik Kaisar” merangkumi bayaran untuk perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan sekular serta penghormatan dan ketaatan relatif yang harus ditunjukkan kepada pihak berkuasa.—Rm 13:1-7.
milik Tuhan kepada Tuhan: Hal ini merangkumi ibadat seseorang yang dijalankan dengan sepenuh hati, kasih yang ditunjukkan dengan sepenuh jiwa, dan kesetiaan dan kepatuhan yang tidak berbelah bahagi.—Mt 4:10; 22:37, 38; Kis 5:29; Rm 14:8.
(Matius 23:24) Hai pemimpin buta, agas di dalam minuman kamu tapis, tetapi unta kamu telan!
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 23:24
agas di dalam minuman kamu tapis, tetapi unta kamu telan: Agas ialah salah satu serangga yang sangat kecil manakala unta ialah salah satu binatang terbesar yang diketahui orang Israel. Kedua-duanya dianggap najis oleh mereka. (Im 11:4, 21-24) Dengan menggunakan hiperbola ini, Yesus menunjukkan bahawa perbuatan pemimpin agama sangat munafik. Mereka menapis minuman mereka supaya tidak dinajiskan (menurut upacara agama) oleh agas, serangga yang begitu kecil, tetapi mereka mengabaikan perkara yang lebih penting dalam Hukum. Tindakan mereka umpama menelan seekor unta.
19-25 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 24
“Terus Berjaga-jaga Secara Rohani pada Hari-Hari Terakhir”
(Matius 24:12) Oleh sebab kejahatan semakin bertambah, kasih kebanyakan orang akan mendingin.
it-1-IN 1174 per. 2
Kasih
Kasih Boleh Mendingin. Semasa bercakap tentang masa depan, Yesus memberitahu pengikutnya bahawa kasih (a·gaʹpe) kebanyakan orang yang mengaku mereka percaya kepada Tuhan akan mendingin. (Mt 24:3, 12) Rasul Paulus berkata bahawa pada hari-hari terakhir, manusia akan “mencintai wang.” (2Ti 3:1, 2) Jelaslah bahawa seseorang dapat lupa akan prinsip-prinsip yang benar dan mula mengasihi hal-hal yang salah. Pernyataan ini menekankan pentingnya untuk terus memupuk dan memperlihatkan kasih dengan merenungkan Firman Tuhan serta menyelaraskan kehidupan kita dengan prinsip-prinsip-Nya.—Ef 4:15, 22-24.
(Matius 24:39) Mereka tidak ambil peduli, sehingga Banjir melanda dan melenyapkan mereka semua. Begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia.
w99-IN 15/11 19 per. 5
Adakah Anda Memenuhi Kewajipan Anda kepada Tuhan?
5 Mengenai zaman kita yang genting ini, Yesus Kristus berkata, “Sebagaimana keadaannya pada zaman Nuh, begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia. Sebelum Banjir melanda, orang makan dan minum, lelaki dan wanita berkahwin, sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak ambil peduli, sehingga Banjir melanda dan melenyapkan mereka semua. Begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia.” (Matius 24:37-39) Makan dan minum secara sederhana memang tidak salah, dan perkahwinan merupakan aturan yang berasal daripada Tuhan. (Kejadian 2:20-24) Namun, jika kita sedar bahawa hal-hal ini telah menjadi keutamaan dalam hidup kita, berdoalah untuk memohon bimbingan Yehuwa. Yehuwa dapat membantu kita untuk mengutamakan kepentingan Kerajaan-Nya, melakukan apa yang benar, dan memenuhi kewajipan kita kepada-Nya.—Matius 6:33; Roma 12:12; 2 Korintus 13:7.
(Matius 24:44) Oleh itu, pastikan bahawa kamu bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.
Para Rasul Meminta Tanda
Dia berkata bahawa pengikutnya perlu terus berjaga-jaga dan sentiasa bersedia. Dia menegaskan hal ini dengan perumpamaan berikut: “Jika tuan rumah tahu pada jam berapa pencuri akan datang, dia akan terus berjaga sepanjang malam dan tidak membenarkan pencuri pecah masuk ke dalam rumahnya. Oleh itu, pastikan bahawa kamu bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.”—Matius 24:43, 44.
Mencari Permata Rohani
(Matius 24:8) Semua perkara ini hanyalah permulaan kesusahan, seperti kesakitan yang dialami oleh seorang wanita yang akan bersalin.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 24:8
permulaan kesusahan, seperti kesakitan yang dialami oleh seorang wanita yang akan bersalin: Secara harfiah, kata Yunani untuk ungkapan ini merujuk kepada kesakitan yang dialami semasa melahirkan anak. Meskipun kata-kata dalam ayat ini merujuk kepada penderitaan dan kesakitan secara umum, kata ini boleh membawa maksud berikut: Seperti kesakitan yang dialami oleh seorang wanita yang akan bersalin, kesusahan dan penderitaan akan menjadi semakin kerap dan teruk, dan berlangsung untuk jangka masa yang lebih lama sebelum tiba kesengsaraan besar yang disebut di Mt 24:21.
(Matius 24:20) Teruslah berdoa agar kamu tidak perlu melarikan diri semasa musim sejuk atau pada hari Sabat,
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 24:20
semasa musim sejuk: Hujan lebat, banjir, dan cuaca sejuk pada musim ini membuat perjalanan menjadi sukar dan menyebabkan orang susah mencari makanan dan tempat berteduh.—Ez 10:9, 13.
pada hari Sabat: Di kawasan seperti Yudea, larangan yang berkaitan dengan hukum Sabat menyebabkan seseorang sukar membuat perjalanan yang jauh dan mengangkat barang. Lagipun, pintu gerbang kota ditutup pada hari Sabat.—Lihat Kis 1:12 dan Lampiran B12.
26 MAC–1 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 25
“Teruslah Berjaga-jaga”
(Matius 25:1-6) “Pada masa itu, Kerajaan di syurga adalah seperti 10 orang anak dara yang mengambil pelita mereka dan keluar untuk menyambut pengantin lelaki. 2 Lima orang daripada mereka bodoh, dan lima orang lagi bijaksana. 3 Anak dara yang bodoh membawa pelita tetapi tidak membawa minyak tambahan, 4 manakala anak dara yang bijaksana membawa pelita dan bekas berisi minyak. 5 Memandangkan pengantin lelaki lambat datang, mereka semua mengantuk lalu tertidur. 6 Pada tengah malam, ada orang berseru, ‘Itu dia pengantin lelaki! Pergilah menyambutnya.’
(Matius 25:7-10) Semua anak dara itu bangun dan menyediakan pelita mereka. 8 Anak dara yang bodoh berkata kepada anak dara yang bijaksana, ‘Berilah kami sedikit minyak kerana pelita kami hampir padam.’ 9 Anak dara yang bijaksana menjawab, ‘Mungkin bekalan minyak kami tidak cukup untuk kita semua. Pergilah dan belilah minyak daripada mereka yang menjualnya.’ 10 Semasa mereka bertolak untuk membeli minyak, pengantin lelaki sampai. Anak-anak dara yang sudah bersedia mengikutnya ke dalam rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan, lalu pintu ditutup.
(Matius 25:11, 12) Kemudian, anak dara yang lain tiba lalu berkata, ‘Tuan, Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ 12 Pengantin lelaki menjawab, ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku tidak mengenal kamu.’
Mencari Permata Rohani
(Matius 25:31-33) “Apabila Anak Manusia datang dalam kemuliaannya dengan semua malaikat, dia akan duduk di atas takhtanya yang agung. 32 Semua bangsa akan dikumpulkan di hadapannya, dan dia akan memisahkan orang menjadi dua kumpulan, sepertimana seorang gembala memisahkan biri-biri daripada kambing. 33 Dia akan meletakkan biri-biri di sebelah kanannya tetapi kambing di sebelah kirinya.
Setia Menyokong Saudara Kristus
7 Hari ini kita dapat memahami perumpamaan biri-biri dan kambing dengan jelas. Kita tahu bahawa “Anak manusia” atau “Raja” ialah Yesus. ‘Saudara’ Raja ialah mereka yang diurapi daya aktif Tuhan yang akan memerintah bersama Yesus di syurga. (Rm. 8:16, 17) “Biri-biri” dan “kambing” merujuk kepada orang daripada semua bangsa. Mereka akan dihakimi semasa penghujung kesengsaraan besar. Kita juga tahu bahawa Yesus akan menghakimi orang berdasarkan cara mereka memperlakukan kaum terurap di bumi. Kita tentu sangat bersyukur kerana Yehuwa membantu kita memahami perumpamaan yang terkandung dalam Matius bab 24 dan 25!
(Matius 25:40) Maka Raja akan menjawab, ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu lakukannya untukku.’
w09-IN 15/10 16 per. 16-18
“Kamulah Sahabat-sahabatku”
16 Jika anda berharap untuk hidup di bumi di bawah Kerajaan Tuhan, bagaimanakah anda dapat menunjukkan bahawa anda ialah sahabat saudara-saudara Kristus? Mari kita perhatikan tiga cara. Pertama, kita harus menyertai kerja penyebaran dengan sepenuh hati. Kristus memerintahkan saudara-saudaranya untuk menyebarkan berita baik di seluruh dunia. (Mat. 24:14) Namun, saudara-saudara Kristus di bumi dewasa ini tidak dapat menunaikan tanggungjawab tersebut tanpa bantuan biri-biri lain. Sesungguhnya, setiap kali biri-biri lain menjalankan kerja penyebaran, mereka membantu saudara-saudara Kristus memenuhi amanah suci tersebut. Hamba yang setia dan bijaksana sangat menghargai tanda persahabatan ini, begitu juga dengan Kristus.
17 Cara kedua biri-biri lain membantu saudara-saudara Kristus adalah dengan menyokong kerja penyebaran dari segi kewangan. Yesus menggalakkan para pengikutnya untuk menjalin persahabatan dengan menggunakan “kekayaan daripada dunia jahat ini.” (Luk. 16:9) Hal ini tidak bererti bahawa persahabatan dengan Yesus atau Yehuwa dapat dibeli dengan wang. Namun, dengan menggunakan harta benda kita untuk memajukan kepentingan Kerajaan Tuhan, kita membuktikan persahabatan kita, bukan hanya dengan kata-kata, tetapi dengan kasih tulus yang disertai perbuatan. (1 Yoh. 3:16-18) Kita berpeluang memberikan sokongan kewangan semasa menyertai kerja penyebaran, semasa menyumbangkan wang untuk pembinaan dan penyelenggaraan Dewan Perjumpaan, dan semasa menyumbangkan dana untuk kerja penyebaran sedunia. Tidak soal sumbangan kita banyak atau sedikit, Yehuwa dan Yesus pasti menghargai pemberian kita yang dibuat dengan sukacita.—2 Kor. 9:7.
18 Cara ketiga kita semua membuktikan bahawa kita ialah sahabat Kristus adalah dengan bekerjasama dengan para penatua di sidang. Mereka dilantik oleh kuasa suci di bawah arahan Kristus. (Ef. 5:23) “Patuhilah mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu dan tunduklah kepada mereka,” tulis Rasul Paulus. (Ibr. 13:17) Kadang-kadang, ketidaksempurnaan para penatua mungkin membuat kita berasa susah untuk mentaati arahan mereka yang berdasarkan Bible. Meskipun demikian, Kristus, selaku Kepala sidang, berasa senang hati menggunakan lelaki-lelaki yang tidak sempurna ini. Jadi, kepatuhan kita kepada mereka dapat mempengaruhi persahabatan kita dengan Kristus. Apabila kita mengikut arahan para penatua dengan sukacita dan tidak bertumpu kepada kesalahan mereka, kita membuktikan bahawa kita mengasihi Kristus.