Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
2-8 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 26
“Paska dan Peringatan—Persamaan dan Perbezaan”
(Matius 26:17-20) Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus menghampirinya lalu bertanya, “Di manakah Guru mahu kami membuat persiapan untuk jamuan Paska?” 18 Dia menjawab, “Pergilah berjumpa dengan seorang lelaki di kota. Beritahulah dia, ‘Guru berkata, “Masa yang ditetapkan untuk aku sudah dekat. Aku akan menyambut Perayaan Paska dengan murid-muridku di rumahmu.”’” 19 Murid-murid Yesus melakukan apa yang disuruh oleh Yesus dan membuat persiapan untuk menyambut Perayaan Paska. 20 Pada lewat petang, dia duduk dan makan di meja bersama-sama 12 orang muridnya.
nwtsty media
Jamuan Paska
Makanan utama untuk jamuan Paska ialah bebiri panggang (semua tulang binatang itu tidak boleh dipatahkan) (1); roti tidak beragi (2); dan sayur pahit (3). (Kel 12:5, 8; Bil 9:11) Menurut catatan Mishnah, hidangan sayur pahit mengingatkan orang Israel tentang kenangan pahit semasa mereka diperhamba di Mesir. Yesus menggunakan roti tidak beragi untuk melambangkan tubuh manusianya yang sempurna. (Mt 26:26) Rasul Paulus juga memanggil Yesus “bebiri Paska kita.” (1Ko 5:7) Menjelang abad pertama, wain (4) juga dihidangkan semasa jamuan Paska. Yesus menggunakan wain untuk melambangkan darahnya yang bakal dicurahkan sebagai korban.—Mt 26:27, 28.
(Matius 26:26) Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti lalu mengucapkan syukur. Dia membahagikan roti itu dan memberikannya kepada murid-muridnya sambil berkata, “Ambillah dan makan. Roti ini melambangkan tubuhku.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 26:26
melambangkan: Kata Yunani e·stinʹ (harfiah, “ialah”) yang digunakan di ayat ini membawa erti “menandakan; bermaksud; mewakili.” Para rasul memahami erti kata ini, kerana pada masa itu tubuh Yesus yang sempurna dan roti tidak beragi ada di depan mata mereka. Maka, roti itu bukanlah tubuh harfiah Yesus. Menariknya, kata Yunani yang sama digunakan di Mt 12:7, dan ramai penterjemah Bible menterjemahkannya sebagai “bermaksud.”
(Matius 26:27, 28) Kemudian, dia mengambil sebuah cawan. Selepas mengucapkan syukur, dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Kamu semua, minumlah daripada cawan ini. 28 Wain di dalam cawan ini melambangkan ‘darah perjanjian’ aku yang akan dicurahkan supaya dosa banyak orang diampunkan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 26:28
darah perjanjian: Perjanjian baharu yang dibuat antara Yehuwa dengan orang Kristian terurap berkuat kuasa dengan adanya korban tebusan Yesus. (Ibr 8:10) Di ayat ini, Yesus menggunakan ungkapan yang digunakan oleh Musa semasa Musa menjadi perantara dan memperkenalkan perjanjian Hukum Musa kepada orang Israel di Gunung Sinai. (Kel 24:8; Ibr 9:19-21) Sepertimana darah lembu jantan dan kambing mengesahkan perjanjian Hukum Musa antara Tuhan dengan bangsa Israel, darah Yesus juga mengesahkan perjanjian baharu yang akan dibuat oleh Yehuwa dengan Israel rohani. Perjanjian itu berkuat kuasa pada Pentakosta 33 M.—Ibr 9:14, 15.
Mencari Permata Rohani
(Matius 26:17) Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, murid-murid Yesus menghampirinya lalu bertanya, “Di manakah Guru mahu kami membuat persiapan untuk jamuan Paska?”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 26:17
Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi: Perayaan Roti Tidak Beragi bermula pada 15 Nisan, iaitu sehari selepas Paska (14 Nisan), dan berlangsung selama tujuh hari. (Lihat Lampiran B15.) Namun, pada zaman Yesus, Paska sering dikaitkan dengan perayaan ini dan kadangkala kesemua lapan hari, termasuk 14 Nisan, dipanggil “Perayaan Roti Tidak Beragi.” (Lu 22:1) Mengikut konteks ini, frasa “Pada hari pertama” boleh diterjemahkan sebagai “Pada hari sebelum.” (Bandingkan Yoh 1:15, 30; di ayat ini, kata Yunani untuk “pertama” [proʹtos] diterjemahkan sebagai “sebelum” mengikut struktur ayat yang serupa, iaitu “dia wujud sebelum [proʹtos] aku.”) Maka, berdasarkan bahasa Yunani asal serta budaya orang Yahudi, murid Yesus mungkin menanya dia soalan itu pada 13 Nisan. Pada siang hari 13 Nisan, murid Yesus membuat persiapan untuk Paska yang kemudiannya dirayakan “selepas matahari terbenam,” iaitu pada permulaan 14 Nisan.—Mr 14:16, 17.
(Matius 26:39) Dia pergi jauh sedikit daripada mereka lalu bersujud dan berdoa, “Bapaku, jika boleh, jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, janganlah turut kehendakku, tetapi turutlah kehendak-Mu.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 26:39
jauhkanlah cawan ini: Dalam Bible, “cawan” sering digunakan secara kiasan untuk melambangkan kehendak Tuhan, atau “bahagian yang ditugaskan” kepada seseorang. Yesus tentu berasa sangat risau bahawa kematiannya akan mengaibkan Tuhan kerana dia dituduh memberontak dan menghina Tuhan. Maka dia berdoa supaya “cawan” ini dijauhkan daripadanya.
9-15 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 27-28
“Jadikanlah Orang Pengikut Yesus”
(Matius 28:18) Yesus menghampiri mereka lalu berkata, “Aku sudah diberi kuasa atas segala sesuatu di syurga dan di bumi.
w04-IN 1/7 8 per. 4
‘Pergilah dan Jadikanlah Orang Pengikutku’
4 Yesus berkuasa atas sidangnya, dan sejak tahun 1914, dia berkuasa atas Kerajaan baharu yang ditubuhkan oleh Tuhan. (Kolose 1:13; Wahyu 11:15) Selaku ketua malaikat, dia mempunyai kuasa atas pasukan tentera di syurga yang terdiri daripada ratusan juta malaikat. (1 Tesalonika 4:16; 1 Petrus 3:22; Wahyu 19:14-16) Dia telah diberi kekuasaan oleh Bapanya untuk meniadakan “semua kerajaan dan kuasa” yang menentang prinsip-prinsip yang benar. (1 Korintus 15:24-26; Efesus 1:20-23) Yesus tidak hanya memiliki kekuasaan atas orang yang hidup. Dia juga dilantik oleh Tuhan untuk “menghakimi orang hidup dan orang mati” dan dikurniai kuasa untuk membangkitkan orang yang telah mati. (Kisah 10:42; Yohanes 5:26-28) Sudah pasti, perintah daripada Individu yang dikurniai kekuasaan yang begitu besar harus dianggap mustahak. Oleh itu, dengan penuh hormat, kita rela mematuhi perintah Kristus untuk ‘pergi dan menjadikan orang pengikutnya.’
(Matius 28:19) Maka, pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 28:19
jadikanlah mereka pengikutku: Kata kerja Yunani ma·the·teuʹo boleh diterjemahkan sebagai “mengajar” dengan tujuan menjadikan orang murid atau pengikut. (Bandingkan penggunaan di Mt 13:52; di ayat ini, kata ini diterjemahkan sebagai “sudah belajar.”) Kata kerja “membaptis” dan “mengajar” menunjukkan apa yang terangkum dalam arahan ‘menjadikan orang pengikut.’
semua bangsa: Konteks menunjukkan bahawa istilah ini merujuk kepada individu daripada semua bangsa. Hal ini demikian kerana kata nama Yunani “mereka” dalam ungkapan baptislah mereka merujuk kepada orang dan bukannya “bangsa.” Perintah untuk pergi kepada “semua bangsa” merupakan perintah yang baharu. Sebelum kerja penyebaran Yesus, Ayat-Ayat Suci menunjukkan bahawa orang bukan Yahudi dapat menyertai orang Israel jika mereka datang menyembah Yehuwa. (1Ra 8:41-43) Tetapi, Yesus kini mengamanahkan para muridnya untuk menginjil kepada orang bukan Yahudi. Hal ini menunjukkan bahawa kerja menjadikan orang murid Kristus akan meliputi seluruh dunia.—Mt 10:1, 5-7; Why 7:9.
(Matius 28:20) Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu. Ingatlah, aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga penghujung sistem ini.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 28:20
Ajarlah mereka: Kata Yunani yang diterjemahkan sebagai “mengajar” melibatkan tunjuk ajar, memberikan penjelasan, mengemukakan hujah, dan menyampaikan bukti. (Lihat nota pembelajaran untuk Mt 3:1; 4:23.) Usaha yang berterusan diperlukan untuk mengajar orang mentaati segala yang telah diperintahkan oleh Yesus, termasuk mengajarkan apa yang diajarnya, menerapkan ajarannya, dan mengikut teladannya.—Yoh 13:17; Ef 4:21; 1Pt 2:21.
Mencari Permata Rohani
(Matius 27:51) Ketika itu, tirai di Rumah Tuhan koyak menjadi dua dari atas sampai ke bawah. Bumi bergoncang dan batu-batu terbelah.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 27:51
tirai: Tirai ini mempunyai hiasan cantik dan memisahkan Bilik Maha Suci daripada Bilik Suci di Rumah Tuhan. Menurut tradisi orang Yahudi, tirai berat ini berukuran kira-kira 18 m panjang, 9 m lebar, dan 7.4 cm tebal. Dengan mengoyakkan tirai itu menjadi dua, Yehuwa bukan sahaja menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap para pembunuh Anak-Nya, tetapi hal ini juga menunjukkan bahawa jalan kini terbuka untuk orang pergi ke syurga.—Ibr 10:19, 20; lihat Kamus bagi Istilah Bible.
Rumah Tuhan: Kata Yunani na·osʹ di ayat ini merujuk kepada struktur utama bangunan termasuk Bilik Suci dan Bilik Maha Suci.
(Matius 28:7) Selepas itu, cepatlah pergi dan beritahulah murid-muridnya bahawa dia sudah dibangkitkan daripada kematian. Sekarang dia dalam perjalanan ke Galilea, dan kamu akan menjumpainya di sana. Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 28:7
beritahulah murid-muridnya bahawa dia sudah dibangkitkan: Wanita-wanita ini bukan sahaja orang pertama yang diberitahu tentang pembangkitan Yesus, tetapi mereka juga diarahkan untuk memaklumkan murid-murid lain. (Mt 28:2, 5, 7) Menurut tradisi Yahudi yang tidak berasaskan Bible, seorang wanita tidak boleh memberikan kesaksian di mahkamah. Sebagai perbandingan, malaikat Yehuwa memuliakan kaum wanita dengan memberi mereka tugasan yang menggembirakan.
16-22 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MARKUS 1-2
“Dosamu Sudah Diampunkan”
(Markus 2:6-12) Beberapa orang jurutulis hukum yang duduk di situ berfikir, 7 “Mengapakah dia berkata demikian? Dia sedang menghina Tuhan. Tiada seorang pun yang boleh mengampunkan dosa kecuali Tuhan.” 8 Tetapi dengan serta-merta, Yesus mengetahui apa yang sedang difikirkan oleh mereka. Maka dia berkata, “Mengapakah kamu memikirkan hal-hal sebegini? 9 Manakah yang lebih mudah untuk dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu sudah diampunkan,’ atau, ‘Bangunlah, angkat usunganmu, dan berjalanlah’? 10 Namun, untuk membuktikan kepada kamu bahawa Anak Manusia mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa di bumi—” dia berkata kepada orang lumpuh itu, 11 “Aku berkata kepadamu: Bangunlah! Angkatlah usunganmu dan pulanglah.” 12 Lelaki itu pun bangun. Dengan serta-merta dia mengangkat usungannya dan berjalan keluar di hadapan mereka semua. Orang ramai berasa sangat kagum lalu memuliakan Tuhan. Mereka berkata, “Kami belum pernah melihat hal sebegini.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 2:9
Manakah yang lebih mudah: Seseorang dapat berkata dengan mudah bahawa dia dapat mengampunkan dosa, kerana dakwaannya tidak perlu disokong dengan bukti. Tetapi, dengan mengatakan Bangunlah . . . dan berjalanlah, Yesus membuktikan melalui mukjizatnya bahawa dia mempunyai kuasa untuk mengampunkan dosa. Kisah ini dan ayat di Yes 33:24 menunjukkan bahawa penyakit berkaitan dengan dosa yang kita warisi.
Mencari Permata Rohani
(Markus 1:11) Kemudian, kedengaran suara dari langit yang berkata, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadamu.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 1:11
kedengaran suara dari langit: Dalam buku Matius hingga Yohanes, terdapat tiga peristiwa di mana Yehuwa bercakap kepada manusia tanpa perantara. Inilah peristiwa pertama daripada tiga peristiwa itu.
Engkaulah Anak-Ku: Sebagai makhluk roh, Yesus ialah Anak Tuhan. (Yoh 3:16) Sejak kelahirannya sebagai seorang manusia, Yesus ialah “anak Tuhan” sepertimana Adam ialah anak Tuhan sebelum dia berdosa. (Lu 1:35; 3:38) Namun begitu, kata-kata Tuhan nampaknya tidak sekadar merujuk kepada identiti Yesus. Dengan membuat pengumuman ini dan mencurahkan kuasa suci-Nya, Tuhan menunjukkan bahawa Yesus ialah Anak rohani-Nya, yang “dilahirkan semula” dengan harapan untuk kembali ke syurga dan diurapi dengan kuasa suci Tuhan untuk menjadi Raja dan Imam Agung yang dilantik oleh Tuhan.—Yoh 3:3-6; 6:51; bandingkan Lu 1:31-33; Ibr 2:17; 5:1, 4-10; 7:1-3.
Aku berkenan kepadamu: Atau “Aku sangat senang hati denganmu; Aku amat mengasihimu.” Ungkapan yang sama digunakan di Mt 12:18, yang merupakan petikan daripada Yes 42:1 mengenai Mesias, atau Kristus, yang dijanjikan. Kuasa suci Tuhan yang dicurahkan dan pernyataan Tuhan mengenai Anak-Nya jelas menunjukkan bahawa Yesus ialah Mesias yang dijanjikan.
(Markus 2:27, 28) Maka dia berkata kepada mereka, “Tuhan menetapkan hari Sabat untuk manusia, dan bukannya menjadikan manusia untuk mematuhi hari Sabat. 28 Lagipun Anak Manusia ialah Tuan yang berkuasa atas hari Sabat.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 2:28
Tuan . . . atas hari Sabat: Yesus menggunakan ungkapan ini untuk merujuk kepada dirinya (Mt 12:8; Lu 6:5), dan menunjukkan bahawa dia dibenarkan untuk melaksanakan kerja yang diperintahkan oleh Bapanya pada hari Sabat. (Bandingkan Yoh 5:19; 10:37, 38.) Pada hari Sabat, Yesus melakukan beberapa mukjizat yang amat menakjubkan, termasuk menyembuhkan orang sakit. (Lu 13:10-13; Yoh 5:5-9; 9:1-14) Hal ini menggambarkan kelegaan yang akan dibawa olehnya semasa pemerintahan Kerajaannya, yang diibaratkan sebagai rehat pada hari Sabat.—Ibr 10:1.
23-29 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MARKUS 3-4
“Menyembuhkan Orang pada Hari Sabat”
(Markus 3:5) Yesus marah semasa memandang mereka. Dia berasa sangat sedih kerana hati mereka tidak peka. Kemudian dia berkata kepada lelaki itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Lelaki itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 3:5
marah . . . berasa sangat sedih: Markus sahaja yang mencatatkan reaksi Yesus apabila Yesus memerhatikan pemimpin agama yang mempunyai hati yang tidak peka. (Mt 12:13; Lu 6:10) Markus mungkin mendengar tentang peristiwa ini daripada Petrus. Memandangkan Petrus seorang yang lebih beremosi, dia dapat memberikan gambaran yang jelas tentang perasaan Yesus.—Lihat “Pengenalan kepada Buku Markus.”
Mencari Permata Rohani
(Markus 3:29) Tetapi sesiapa yang menghina kuasa suci Tuhan tidak akan sekali-kali diampuni. Dia akan menanggung dosa yang kekal.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 3:29
menghina kuasa suci Tuhan: Menghina bererti mengucapkan kata-kata yang mengaibkan, memburuk-burukkan, atau mencaci Tuhan atau perkara suci. Oleh sebab kuasa suci Tuhan berasal daripada Yehuwa, seseorang yang sengaja menentang atau menafikan kuasa suci sebenarnya sedang menghina-Nya. Seperti yang dinyatakan di Mt 12:24, 28 dan Mr 3:22, pemimpin agama Yahudi nampak Yesus melakukan mukjizat dengan bantuan kuasa suci Tuhan. Namun, mereka berkata bahawa kuasa itu datang daripada Syaitan Si Iblis.
menanggung dosa yang kekal: Nampaknya merujuk kepada dosa yang sengaja dilakukan dan kesan dosa itu berkekalan; tiada korban yang dapat menutup dosa sebegini.—Lihat nota pembelajaran untuk menghina kuasa suci Tuhan dalam ayat ini.
KEHIDUPAN KRISTIAN KITA
“Hendaklah Orang yang Bertelinga, Mendengar dengan Teliti”
(Markus 4:9) Kemudian dia berkata, “Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 4:9
Hendaklah orang yang bertelinga, mendengar dengan teliti: Sebelum Yesus menceritakan perumpamaan tentang penabur benih, dia berkata, “Dengarlah!” (Mr 4:3) Pada akhir perumpamaan tersebut, dia menggunakan ungkapan ini untuk menegaskan kepada pengikutnya bahawa mereka harus mendengar nasihatnya dengan teliti. Ungkapan serupa juga digunakan di Mt 11:15; 13:9, 43; Mr 4:23; Lu 8:8; 14:35; Why 2:7, 11, 17, 29; 3:6, 13, 22; 13:9.
30 APRIL–6 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MARKUS 5-6
“Yesus Berkuasa untuk Membangkitkan Orang Mati”
(Markus 5:39-41) Selepas dia masuk, dia berkata, “Mengapakah suasana di sini kecoh dan mengapakah kamu semua menangis? Gadis ini tidak mati, dia hanya tidur.” 40 Orang di situ pun mentertawakannya. Setelah Yesus menyuruh mereka semua keluar, dia membawa ibu bapa anak itu serta murid-muridnya ke tempat anak itu berbaring. 41 Dia memegang tangan gadis itu dan berkata kepadanya, “Talita kumi,” yang bererti “Gadis kecil, aku berkata kepada kamu, bangunlah!”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 5:39
tidak mati, dia hanya tidur: Dalam Bible, kematian sering disamakan dengan tidur. (Mz 13:3; Yoh 11:11-14; Kis 7:60; 1Ko 7:39; 15:51; 1Te 4:13) Yesus hendak membangkitkan gadis itu, jadi dia mungkin berkata demikian kerana dia mahu menunjukkan bahawa sebagaimana orang dapat membangunkan seseorang yang sedang tidur lena, begitu juga seseorang yang mati boleh dibangkitkan. Kuasa Yesus untuk membangkitkan gadis itu datang daripada Bapanya, “yang menghidupkan orang mati” dan “yang berfirman tentang perkara-perkara yang belum terjadi seolah-olah perkara-perkara itu sudah terjadi.”—Rm 4:17.
Mencari Permata Rohani
(Markus 5:19, 20) Tetapi Yesus tidak membenarkannya berbuat demikian. Dia berkata kepada lelaki itu, “Pulanglah kepada sanak saudaramu. Beritahulah mereka semua yang telah dilakukan oleh Yehuwa untukmu dan bagaimana Dia menunjukkan belas kasihan terhadapmu.” 20 Lelaki itu pun pergi dan memberitahu penduduk Dekapolis segala-gala yang dilakukan oleh Yesus untuknya, dan semua orang di situ berasa kagum.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 5:19
Beritahulah mereka: Biasanya Yesus akan menyuruh orang supaya jangan menghebohkan mukjizatnya (Mr 1:44; 3:12; 7:36). Tetapi kali ini dia menyuruh lelaki itu supaya memberitahu saudara-maranya apa yang berlaku. Nampaknya hal ini demikian kerana Yesus diminta meninggalkan kawasan itu, maka dia sendiri tidak dapat memberikan kesaksian kepada mereka. Hal ini juga membantu menangani laporan buruk tentang babi-babi yang sudah mati, yang mungkin menjadi buah mulut orang.
(Markus 6:11) Jika orang di suatu kawasan tidak menerima kamu atau tidak mendengar kata-kata kamu, kebaskanlah debu daripada kaki kamu semasa kamu beredar sebagai amaran kepada mereka.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mr 6:11
kebaskanlah debu daripada kaki kamu: Perbuatan ini menunjukkan bahawa murid-murid Yesus tidak bertanggungjawab atas hukuman yang mungkin dijatuhkan oleh Tuhan. Ungkapan yang sama tercatat di Mt 10:14; Lu 9:5. Markus dan Lukas menambahkan ungkapan sebagai amaran kepada [atau, “terhadap”] mereka. Paulus dan Barnabas mengikut perintah ini di Antiokhia yang terletak di Pisidia (Kis 13:51), dan Paulus melakukan perkara yang serupa di Korintus; dia mengebaskan pakaiannya lalu menjelaskan, “Aku tidak bertanggungjawab jika kamu tidak diselamatkan. Kamu sendirilah yang bertanggungjawab.” (Kis 18:6) Perbuatan sebegini mungkin sudah biasa bagi murid-murid Yesus. Orang Yahudi alim yang menjelajahi negeri orang bukan Yahudi menganggap debu dari kawasan sebegitu kotor, dan akan mengebaskannya daripada kasut mereka sebelum kembali ke kawasan orang Yahudi. Namun, itu bukanlah maksud Yesus semasa dia memberikan arahan ini kepada murid-muridnya.