Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
3-9 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 1-2
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 1:1) Pada mulanya, Firman itu wujud. Firman itu bersama Tuhan, dan Firman itu tuhan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 1:1
Firman itu: Atau “Logos.” Yunani, ho loʹgos. Kata ini digunakan sebagai gelaran dalam ayat ini, dan juga digunakan di Yoh 1:14 dan Why 19:13. Yohanes menunjukkan bahawa gelaran ini merujuk kepada Yesus. Yesus boleh digelar “Firman” semasa dia ialah makhluk roh di syurga, semasa dia menjalankan kerja penyebarannya di bumi sebagai manusia yang sempurna, dan selepas dia naik ke syurga. Yesus ialah Firman Tuhan, atau Jurucakap, yang menyampaikan maklumat dan arahan Pencipta kepada makhluk roh lain dan kepada manusia. Maka adalah masuk akal untuk menyimpulkan bahawa sebelum Yesus turun ke bumi, Yehuwa menggunakannya sebagai Firman untuk berkomunikasi dengan manusia.—Kej 16:7-11; 22:11; 31:11; Kel 3:2-5; Hak 2:1-4; 6:11, 12; 13:3.
bersama: Harfiah, “terhadap.” Dalam konteks ini, kata Yunani pros membawa maksud persahabatan dan kedudukan yang rapat. Kata itu juga menunjukkan terdapat dua individu yang berbeza, iaitu Firman dan satu-satunya Tuhan yang benar.
Firman itu tuhan: Atau “Firman itu seperti Tuhan.” Pernyataan Yohanes menggambarkan satu sifat “Firman itu” (Yunani, ho loʹgos; lihat nota pembelajaran untuk Firman itu dalam ayat ini), iaitu, Yesus Kristus. Firman itu digambarkan sebagai “tuhan; seperti Tuhan; bersifat seperti Tuhan” kerana kedudukannya yang tinggi selaku anak sulung Tuhan dan kerana Tuhan menggunakannya untuk menciptakan segala sesuatu. Banyak penterjemah suka menggunakan ungkapan “Firman itu Tuhan,” dan menyamakannya dengan Tuhan Yang Maha Kuasa. Namun, terdapat sebab yang kukuh untuk menyatakan bahawa Yohanes tidak bermaksud bahawa “Firman itu” sama dengan Tuhan Yang Maha Kuasa. Pertama, klausa sebelumnya dan selepasnya jelas menyatakan bahawa “Firman itu bersama Tuhan.” Selain itu, kata Yunani the·osʹ muncul tiga kali di ayat 1 dan 2. Pada kali pertama dan ketiga, the·osʹ didahului dengan kata sandang tentu dalam bahasa Yunani. Tetapi pada kali kedua, tiada kata sandang yang disertakan. Banyak cendekiawan bersetuju bahawa hal ini amat menarik. Semasa kata sandang digunakan dalam konteks ini, the·osʹ merujuk kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Tetapi, apabila kata sandang tentu tidak digunakan dalam ayat itu, the·osʹ mempunyai erti yang menggambarkan sifat “Firman itu.” Maka, sebilangan terjemahan Bible dalam bahasa Inggeris, Jerman, dan Perancis menterjemahkan teks ini dalam cara yang sama dengan Terjemahan Dunia Baharu, dan menyampaikan idea bahawa “Firman itu” ialah “tuhan; seperti Tuhan; bersifat seperti Tuhan.” Bagi menyokong pandangan ini, terjemahan kuno buku Yohanes ke dalam dialek Sahid dan Bohairi (dialek bahasa Qibti yang mungkin dihasilkan pada abad ketiga dan keempat M), menterjemahkan kemunculan pertama the·osʹ di Yoh 1:1 dalam cara yang berbeza dengan kemunculan kedua. Terjemahan-terjemahan ini menonjolkan bahawa “Firman itu,” bersifat seperti Tuhan, tetapi tidak menyamakannya dengan Bapanya, Tuhan yang maha kuasa. Selaras dengan ayat ini, Kol 2:9 menyatakan bahawa Kristus “dipenuhi sifat-sifat Tuhan.” Dan menurut 2Pt 1:4, mereka yang menjadi waris bersama Kristus akan “menerima sifat Tuhan.” Tambahan lagi, dalam terjemahan Septuagint, kata Yunani the·osʹ biasanya digunakan untuk kata Ibrani bagi “Tuhan,” ʼel dan ʼelo·himʹ, yang membawa erti “Individu Perkasa; Individu Kuat.” Kata-kata Ibrani ini digunakan untuk menggambarkan Tuhan yang maha kuasa, tuhan-tuhan lain, dan manusia. Dengan memanggil Firman itu “tuhan,” atau “individu perkasa,” hal ini adalah selaras dengan nubuat di Yes 9:6, yang menyatakan bahawa Mesias akan dipanggil “Tuhan yang Berkuasa” (bukan “Tuhan Yang Maha Kuasa”) dan bahawa dia akan menjadi “Bapa Kekal” kepada semua yang diberi penghormatan untuk menjadi rakyatnya. Bapanya, “Yehuwa, ketua angkatan syurga,” akan melaksanakan hal ini dengan semangat yang membara.—Yes 9:7.
(Yohanes 1:29) Keesokan harinya, semasa Yohanes melihat Yesus datang kepadanya, dia berkata, “Lihat, Anak Bebiri Tuhan yang menghapuskan dosa dunia!
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 1:29
Anak Bebiri Tuhan: Selepas Yesus dibaptis dan setelah Iblis mencuba menggodanya, Yohanes Pembaptis memperkenalkan Yesus sebagai “Anak Bebiri Tuhan.” Ungkapan ini hanya muncul di ayat ini dan di Yoh 1:36. (Lihat Lampiran A7.) Yesus sesuai digambarkan sebagai anak bebiri. Dalam Bible, bebiri dipersembahkan untuk mengakui dosa dan untuk menghadap Tuhan. Hal ini melambangkan korban yang akan dipersembahkan oleh Yesus semasa dia menyerahkan nyawanya yang sempurna demi umat manusia. Ungkapan “Anak Bebiri Tuhan” boleh merujuk kepada sebilangan petikan dalam Ayat-Ayat Suci yang terilham. Memandangkan Yohanes Pembaptis mengenali kandungan Kitab Ibrani, kata-katanya mungkin merujuk kepada salah satu atau beberapa petikan yang berikut: Bebiri jantan yang dipersembahkan oleh Abraham untuk menggantikan anaknya Ishak (Kej 22:13), bebiri Paska yang disembelih di Mesir untuk membebaskan umat Israel yang diperhamba (Kel 12:1-13), atau bebiri jantan yang dipersembahkan di atas mazbah Tuhan di Yerusalem setiap pagi dan petang (Kel 29:38-42). Yohanes juga mungkin memikirkan nubuat Yesaya. Dalam nubuat itu, individu yang dipanggil oleh Yehuwa sebagai “hamba-Ku” adalah “seperti seekor bebiri” yang “dibawa untuk disembelih.” (Yes 52:13; 53:5, 7, 11) Semasa Rasul Paulus menulis suratnya yang pertama kepada orang di Korintus, dia merujuk kepada Yesus sebagai “bebiri Paska kita.” (1Ko 5:7) Rasul Petrus menulis bahawa darah Kristus adalah “seperti darah anak bebiri yang tidak bercacat cela dan yang murni.” (1Pt 1:19) Dan dalam buku Wahyu, Yesus yang dimuliakan dipanggil “Anak Bebiri” lebih daripada 25 kali.—Contohnya: Why 5:8; 6:1; 7:9; 12:11; 13:8; 14:1; 15:3; 17:14; 19:7; 21:9; 22:1.
10-16 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 3-4
“Yesus Menginjil kepada Seorang Wanita Samaria”
(Yohanes 4:6, 7) Sebenarnya, perigi Yakub ada di sana. Yesus penat kerana perjalanannya, maka dia duduk di tepi perigi itu. Pada masa itu, waktunya kira-kira jam 12 tengah hari. 7 Seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, “Berilah aku minum.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 4:6
penat: Dalam Bible, ayat ini sahaja yang menyatakan bahawa Yesus “penat.” Waktu itu kira-kira jam 12 tengah hari, dan pada pagi itu Yesus mungkin membuat perjalanan dari Lembah Yordan di Yudea ke Sikhar di Samaria. Jalan yang perlu didaki itu curam dan tingginya 900 m atau lebih.—Yoh 4:3-5; lihat Lampiran A7.
cf 77-79 per. 3
“Untuk Tugas Itulah Aku Diutus”
3 Yesus memulakan perbualan dengan menyebut perumpamaan yang berkaitan dengan kehidupan seharian wanita itu. Wanita Samaria itu sedang menimba air, jadi Yesus menyebut tentang air kehidupan yang dapat membantu wanita itu yang mendahagakan hal rohani. Semasa berbual, wanita itu telah beberapa kali mengungkit perkara-perkara yang agak sensitif. Namun, Yesus tidak membiarkan hal itu menyimpangnya daripada menyampaikan mesejnya. Dia bertumpu kepada hal-hal rohani, iaitu tentang ibadat sejati dan Tuhan Yehuwa. Kata-kata Yesus telah meninggalkan kesan yang mendalam. Wanita itu kembali ke kota dan memberitahu orang lain tentang apa yang dipelajarinya, dan orang di sana juga terdorong untuk mendengar kata-kata Yesus.—Yohanes 4:3-42.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 3:29) Pengantin perempuan ialah milik pengantin lelaki. Namun begitu, sahabat pengantin lelaki sangat bersukacita apabila dia berdiri dan mendengar suara pengantin lelaki. Oleh itu, sukacitaku sudah sempurna.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 3:29
sahabat pengantin lelaki: Pada zaman Bible, seorang sahabat rapat pengantin lelaki menjadi wakilnya yang sah dan memainkan peranan penting dalam membuat aturan perkahwinan. Dia dianggap sebagai orang yang menyatukan pengantin perempuan dengan pengantin lelaki. Pada hari perkahwinan, rombongan pengantin akan tiba di rumah pengantin lelaki atau rumah bapanya, di mana jamuan perkahwinan diadakan. Semasa jamuan itu, sahabat pengantin lelaki itu akan bersukacita semasa dia mendengar suara pengantin lelaki bercakap dengan bakal isterinya. Hal ini demikian kerana sahabat itu tahu bahawa dia berjaya melaksanakan tanggungjawabnya. Yohanes Pembaptis menyamakan dirinya dengan “sahabat pengantin lelaki.” Dalam konteks ini, Yesus ialah pengantin lelaki dan murid-muridnya (sebagai satu golongan) merupakan pengantin perempuan secara kiasan. Yohanes Pembaptis menyediakan jalan untuk Mesias dengan memperkenalkan anggota pertama yang membentuk golongan “pengantin perempuan” kepada Yesus Kristus. (Yoh 1:29, 35; 2Ko 11:2; Ef 5:22-27; Why 21:2, 9) Setelah “sahabat pengantin lelaki” mencapai matlamatnya dengan memperkenalkan pengantin perempuan kepada pengantin lelaki, dia tidak lagi memainkan peranan yang penting. Begitu juga, Yohanes berkata, “Bilangan murid-murid Kristus akan terus meningkat, tetapi bilangan murid-muridku akan terus berkurang.”—Yoh 3:30.
(Yohanes 4:10) Yesus menjawab, “Jika kamu tahu tentang kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma dan siapa yang berkata kepadamu, ‘Berilah aku minum,’ sudah pasti kamu akan meminta air daripadanya, dan dia akan memberikan air kehidupan kepadamu.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 4:10
air kehidupan: Ungkapan Yunani ini digunakan secara harfiah untuk merujuk kepada air yang mengalir, mata air, atau air segar dari perigi yang berpunca dari mata air. Hal ini berbeza dengan air yang bertakung. Di Im 14:5, ungkapan Ibrani untuk “air bersih” ialah “air hidup” secara harfiah. Di Yer 2:13 dan 17:13, Yehuwa digambarkan sebagai “sumber air [atau, “mata air”] yang hidup,” iaitu, air kiasan yang memberikan kehidupan. Semasa bercakap dengan wanita Samaria, Yesus menggunakan istilah “air kehidupan” secara kiasan, tetapi nampaknya wanita itu pada mulanya berfikir bahawa Yesus memaksudkan air secara harfiah.—Yoh 4:11.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
(Yohanes 4:23) Walau bagaimanapun, masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila penyembah sejati akan menyembah Bapa dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran. Sebenarnya, Bapa sedang mencari orang sedemikian untuk menyembah-Nya.
wp16.2-IN 9 per. 2-5
Patutkah Orang Kristian Beribadat di Tempat Suci?
Yesus berkata lagi, “Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila penyembah sejati akan menyembah Bapa dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran. Sebenarnya, Bapa sedang mencari orang sedemikian untuk menyembah-Nya.” (Yohanes 4:23) Selama berabad-abad, orang Yahudi memandang Rumah Tuhan yang megah di Yerusalem sebagai pusat ibadat mereka. Mereka membuat perjalanan ke sana tiga kali setahun untuk memberikan persembahan kepada Tuhan mereka, Yehuwa. (Keluaran 23:14-17) Tetapi Yesus berkata bahawa semuanya akan berubah dan “penyembah sejati” akan beribadat ‘dengan bimbingan kuasa suci dan kebenaran.’
Rumah Tuhan orang Yahudi merupakan bangunan yang boleh dilihat dan terletak di lokasi yang spesifik. Tetapi, kuasa suci Tuhan dan kebenaran tidak boleh dilihat dan tidak terbatas kepada sebuah tempat yang fizikal. Jadi, Yesus menjelaskan bahawa ibadat orang Kristian sejati tidak akan berpusat atau bergantung pada bangunan atau lokasi tertentu, sama ada di Gunung Gerizim, Rumah Tuhan di Yerusalem, atau tempat suci lain.
Semasa Yesus bercakap dengan wanita Samaria itu, dia juga menyebut bahawa “masanya akan tiba” apabila ibadat kepada Tuhan akan mengalami perubahan ini. Bilakah hal itu berlaku? Masanya tiba apabila kematian Yesus mengakhiri sistem ibadat orang Yahudi yang didasarkan pada Hukum Musa. (Roma 10:4) Tetapi Yesus juga berkata, “Masanya . . . sudah tiba.” Mengapa? Sebagai Mesias, dia sudah mula mengumpulkan murid-muridnya yang mentaati perintah ini: “Tuhan ialah Roh, dan semua penyembah-Nya mesti menyembah-Nya dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran.” (Yohanes 4:24) Namun, apakah ertinya menyembah dengan kuasa suci dan kebenaran?
Sewaktu Yesus menyebut tentang menyembah dengan kuasa suci Tuhan, dia memaksudkan ibadat dengan bimbingan kuasa suci Tuhan, yang dapat membantu kita memahami Firman Tuhan, Bible. (1 Korintus 2:9-12) Dan kebenaran yang dimaksudkan Yesus ialah pengetahuan tepat tentang ajaran Bible. Jadi, kita akan menyenangkan Tuhan jika ibadat kita dijalankan selaras dengan ajaran Bible dan dibimbing oleh kuasa suci Tuhan, dan bukannya kerana dilakukan di tempat yang khas.
17-23 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 5-6
“Ikutlah Yesus dengan Motif yang Betul”
(Yohanes 6:9-11) “Ada seorang budak lelaki di sini yang mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan kecil, tetapi mana mungkin cukup untuk begitu banyak orang?” 10 Yesus berkata, “Suruhlah mereka duduk.” Tempat itu ada banyak rumput, maka orang ramai pun duduk. Ada kira-kira 5,000 orang lelaki di situ. 11 Kemudian Yesus mengambil roti itu, mengucapkan syukur, lalu membahagikannya kepada mereka yang duduk di situ. Dia juga membahagikan ikan kecil itu, lalu mereka makan dengan sepuas-puasnya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 6:10
Ada kira-kira 5,000 orang lelaki di situ: Semasa mencatatkan mukjizat ini, hanya kisah Matius yang menyebut “tidak termasuk wanita dan kanak-kanak.” (Mt 14:21) Mereka yang diberi makanan secara mukjizat mungkin berjumlah lebih daripada 15,000 orang.
(Yohanes 6:14) Ketika orang ramai melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka berkata, “Sememangnya dialah Nabi yang dinubuatkan akan datang ke dunia.”
(Yohanes 6:24) Memandangkan orang ramai tidak nampak Yesus ataupun murid-muridnya di situ, mereka menaiki perahu-perahu tersebut dan pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 6:14
Nabi: Ramai orang Yahudi pada abad pertama M berfikir bahawa seorang nabi, seperti Nabi Musa yang disebut di Ul 18:15, 18, akan menjadi Mesias. Dalam konteks ini, ungkapan datang ke dunia nampaknya merujuk kepada kemunculan Mesias yang dinantikan. Hanya Yohanes yang mencatatkan peristiwa yang disebut dalam ayat ini.
(Yohanes 6:25-27) Apabila mereka menjumpainya di seberang tasik, mereka bertanya kepadanya, “Rabbi, bilakah Rabbi sampai di sini?” 26 Yesus menjawab, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Kamu sedang mencari aku bukan kerana kamu sudah melihat mukjizat, tetapi kerana kamu kenyang selepas makan roti. 27 Janganlah kamu bekerja untuk makanan yang akan basi, tetapi bekerjalah untuk mendapat makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal. Anak Manusia akan memberi kamu makanan ini, kerana dia sudah mendapat perkenan Tuhan Bapa.”
(Yohanes 6:54) Sesiapa yang makan dagingku dan minum darahku akan menerima kehidupan kekal. Aku akan membangkitkannya pada hari terakhir,
(Yohanes 6:60) Setelah mendengar kata-kata Yesus, ramai muridnya berkata, “Kata-katanya sungguh mengejutkan. Siapakah yang sanggup menerimanya?”
(Yohanes 6:66-69) Disebabkan hal itu, ramai muridnya kembali kepada hal-hal yang sudah ditinggalkan mereka dan tidak mengikutnya lagi. 67 Maka Yesus berkata kepada 12 orang rasulnya, “Adakah kamu akan pergi juga?” 68 Simon Petrus menjawab, “Tuan, kepada siapa lagi harus kami pergi? Kata-kata Tuan membawa kehidupan kekal. 69 Kami sudah percaya dan tahu bahawa Tuan ialah Hamba Suci Tuhan.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 6:27, 54
makanan yang akan basi . . . makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal: Yesus faham bahawa sesetengah orang bergaul dengan dia dan murid-muridnya hanya untuk memenuhi keperluan fizikal mereka. Meskipun makanan jasmani menguatkan orang setiap hari, “makanan” daripada Firman Tuhan membolehkan manusia hidup selama-lamanya. Yesus menggesa orang ramai supaya bekerja . . . untuk “makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal.” Hal ini bererti mereka harus mengerahkan usaha untuk memuaskan keperluan rohani dan beriman kepada apa yang dipelajari.—Mt 4:4; 5:3; Yoh 6:28-39.
makan dagingku dan minum darahku: Konteks menunjukkan bahawa mereka yang makan dan minum melakukannya secara kiasan, iaitu dengan beriman kepada Yesus Kristus. (Yoh 6:35, 40) Yesus membuat pernyataan ini pada 32 M, maka dia bukannya membincangkan Perjamuan Malam Tuan yang akan diasaskannya setahun kemudian. Dia membuat pernyataan ini sebelum “Perayaan Paska orang Yahudi” (Yoh 6:4), maka pendengarnya besar kemungkinan diingatkan tentang perayaan itu dan pentingnya darah anak bebiri yang dapat menyelamatkan nyawa pada malam orang Israel meninggalkan Mesir (Kel 12:24-27). Yesus menekankan bahawa darahnya juga akan memainkan peranan penting dan membolehkan murid-muridnya memperoleh kehidupan kekal.
w05 1/9 21 per. 13-14
Kita Akan Menyandang Nama Yehuwa, Tuhan Kita
13 Meskipun demikian, orang ramai terus mengikuti Yesus dan menjumpainya “di seberang tasik,” seperti yang dinyatakan oleh Yohanes. Mengapakah mereka mengikuti Yesus selepas dia menolak usaha mereka untuk menjadikannya raja? Ramai tidak memiliki sudut pandangan rohani; mereka terang-terang menyebut tentang makanan yang Yehuwa sediakan di padang belantara pada zaman Musa. Mereka berharap agar Yesus terus menyediakan makanan bagi mereka. Yesus tahu bahawa niat mereka salah, maka dia mula mengajar mereka kebenaran rohani yang dapat membetulkan fikiran mereka. (Yohanes 6:17, 24, 25, 30, 31, 35-40) Hasilnya, ada yang bersungut-sungut terhadapnya, terutama sewaktu dia memberikan perumpamaan ini: “Ketahuilah: Jika kamu tidak makan daging Anak Manusia dan minum darahnya, kamu tidak memiliki nyawa dalam diri kamu. Sesiapa yang makan dagingku dan minum darahku akan menerima kehidupan kekal. Aku akan membangkitkannya pada hari terakhir.”—Yohanes 6:53, 54.
14 Perumpamaan Yesus sering menyingkapkan niat hati seseorang, sama ada mereka benar-benar ingin mengikut Tuhan atau tidak. Begitu juga dengan perumpamaan ini yang menimbulkan reaksi yang ketara. Kita membaca, “Ramai muridnya berkata, ‘Kata-katanya sungguh mengejutkan. Siapakah yang sanggup menerimanya?’” Yesus kemudian menjelaskan bahawa mereka perlu memahami makna rohani di sebalik kata-katanya. Dia berkata, “Kuasa suci Tuhanlah yang memberikan hidup; usaha manusia tidak berguna sama sekali. Apa yang aku katakan kepada kamu berasal daripada kuasa suci Tuhan dan memberikan hidup.” Namun, ramai orang tidak mahu mendengar, dan kisah itu menyatakan, “Disebabkan hal itu, ramai muridnya kembali kepada hal-hal yang sudah ditinggalkan mereka dan tidak mengikutnya lagi.”—Yohanes 6:60, 63, 66.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 6:44) Tiada seorang pun dapat datang kepadaku kecuali Bapa yang mengutus aku memimpinnya kepadaku, dan aku akan membangkitkannya pada hari yang terakhir.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 6:44
memimpinnya kepadaku: Kata kerja Yunani untuk perkataan “memimpin” merujuk kepada perbuatan menarik pukat yang penuh dengan ikan (Yoh 21:6, 11). Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa Tuhan mengheret orang secara paksa. Sebenarnya, kata kerja ini juga boleh bermaksud “menarik hati,” dan pernyataan Yesus boleh merujuk kepada Yer 31:3 apabila Yehuwa memberitahu umat-Nya, “Kerana kasih ini, Aku memimpin engkau kepada-Ku.” (Septuagint menggunakan kata kerja Yunani yang sama di ayat ini.) Yoh 12:32 menunjukkan bahawa Yesus juga memimpin segala macam orang kepadanya dalam cara yang sama. Bible menunjukkan bahawa Yehuwa telah memberi manusia kebebasan untuk memilih. Setiap orang mempunyai pilihan sama ada mahu menyembah-Nya atau tidak. (Ul 30:19, 20) Tuhan memimpin orang yang berhati jujur kepada-Nya dengan lemah lembut. (Mz 11:5; Ams 21:2; Kis 13:48) Yehuwa berbuat demikian menerusi mesej dalam Bible dan melalui kuasa suci-Nya. Nubuat di Yes 54:13, yang disebut di Yoh 6:45, merujuk kepada mereka yang dipimpin oleh Bapa.—Bandingkan Yoh 6:65.
(Yohanes 6:64) Namun, ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.” Dari mula lagi, Yesus sudah tahu siapa yang tidak percaya dan siapa yang akan mengkhianatinya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 6:64
Yesus sudah tahu . . . siapa yang akan mengkhianatinya: Yesus sedang merujuk kepada Yudas Iskariot. Yesus berdoa kepada Bapanya sepanjang malam sebelum memilih 12 orang rasul. (Lu 6:12-16) Jadi pada mulanya, Yudas setia kepada Tuhan. Namun, Yesus mengetahui nubuat dalam Kitab Ibrani yang menyatakan bahawa dia akan dikhianati oleh salah seorang sahabatnya. (Mz 41:9; 109:8; Yoh 13:18, 19) Semasa Yudas mula menjadi jahat, Yesus sedar akan perubahan itu kerana dia mengetahui isi hati dan fikiran orang. (Mt 9:4) Dengan menggunakan pengetahuan-Nya tentang masa depan, Tuhan tahu bahawa seorang sahabat yang dipercayai Yesus akan mengkhianatinya. Namun kita tahu bahawa Dia tidak memilih atau mentakdirkan Yudas sebagai pengkhianat itu, kerana perbuatan ini bercanggahan dengan sifat Tuhan dan cara Dia bertindak.
Dari mula lagi: Ungkapan ini tidak merujuk kepada kelahiran Yudas atau pemilihannya sebagai rasul, yang berlaku selepas Yesus berdoa sepanjang malam. (Lu 6:12-16) Sebaliknya, ungkapan ini merujuk kepada saat Yudas mula menjadi tidak setia, dan Yesus dapat melihat perubahan ini dengan serta-merta. (Yoh 2:24, 25; Why 1:1; 2:23) Hal ini juga menunjukkan bahawa Yudas telah merancang perbuatannya dan bukannya berubah secara tiba-tiba. Maksud istilah “mula” (Yunani, ar·kheʹ) dalam Kitab Yunani Kristian bergantung pada konteks. Sebagai contoh, di 2Pt 3:4, “permulaan” merujuk kepada permulaan ciptaan. Namun istilah ini sering kali digunakan dalam cara yang lebih spesifik. Misalnya, Petrus berkata bahawa kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas orang bukan Yahudi “sama seperti yang telah berlaku kepada kita pada mulanya.” (Kis 11:15) Petrus tidak merujuk kepada masa kelahirannya atau waktu dia dipilih menjadi rasul. Sebaliknya, dia sedang merujuk kepada hari Pentakosta 33 M, iaitu, semasa kuasa suci Tuhan ‘mula’ dicurahkan untuk tujuan tertentu. (Kis 2:1-4) Contoh lain yang menunjukkan bagaimana maksud istilah “mula” dipengaruhi oleh konteks terdapat di Lu 1:2; Yoh 15:27; dan 1Yo 2:7.
24-30 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 7-8
“Yesus Memuliakan Bapanya”
(Yohanes 7:15-18) Orang Yahudi berasa hairan dan berkata, “Bagaimanakah lelaki ini mempunyai begitu banyak pengetahuan tentang Ayat-Ayat Suci sedangkan dia tidak pernah belajar di sekolah agama?” 16 Lalu Yesus menjawab, “Apa yang aku ajarkan bukanlah ajaranku, tetapi ajaran Dia yang mengutus aku. 17 Sesiapa yang berhasrat untuk melakukan kehendak-Nya akan tahu sama ada ajaranku datang daripada Tuhan atau daripada diriku sendiri. 18 Sesiapa yang bercakap mengikut pandangan sendiri mahu memuliakan diri sendiri. Tetapi sesiapa yang mahu memuliakan dia yang mengutusnya, dia jujur dan bebas daripada kepalsuan.
cf 100-101 per. 5-6
“Ada Tertulis”
5 Yesus ingin orang mengetahui sumber mesej yang disampaikannya. Dia berkata, “Apa yang aku ajarkan bukanlah ajaranku, tetapi ajaran Dia yang mengutus aku.” (Yohanes 7:16) Pada kesempatan lain, dia berkata, “Aku tidak melakukan apa-apa mengikut kehendakku sendiri. Sebaliknya, apa yang aku katakan semuanya diajar oleh Bapa.” (Yohanes 8:28) Selain itu, dia berkata, “Apa yang aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada diriku sendiri. Tetapi Bapa yang sentiasa bersatu dengan aku melakukan kerja-Nya menerusi aku.” (Yohanes 14:10) Untuk membuktikan kebenaran kata-katanya, Yesus berulang kali mengutip kata-kata daripada Firman Tuhan.
6 Kajian tentang kata-kata Yesus dalam Bible menunjukkan bahawa dia memetik secara langsung atau tidak langsung dari lebih daripada separuh buku-buku dalam Kitab Ibrani. Mula-mula, hal itu mungkin kedengaran biasa sahaja. Anda mungkin tertanya mengapa dalam jangka masa tiga tahun setengah, Yesus tidak merujuk kepada semua buku terilham yang ada semasa menjalankan kerja penyebaran dan mengajar di hadapan umum. Sebenarnya, ada kemungkinan dia telah melakukannya. Ingatlah, hanya sebahagian kecil kata-kata dan tindakan Yesus dicatatkan. (Yohanes 21:25) Anda mungkin dapat membaca semua kata-kata Yesus yang dicatatkan itu dalam beberapa jam saja. Sekarang, bayangkan diri anda bercakap tentang Tuhan dan Kerajaan-Nya selama beberapa jam, dan anda berjaya merujuk kepada lebih daripada separuh buku-buku dalam Kitab Ibrani! Selain itu, Yesus sering kali tidak memiliki gulungan Ayat-Ayat Suci. Sewaktu dia menyampaikan Ceramah Di Atas Gunung, dia berulang kali memetik ayat-ayat daripada Kitab Ibrani secara langsung dan tidak langsung, dan semuanya dari ingatannya!
(Yohanes 7:28, 29) Pada masa itu, Yesus sedang mengajar di Rumah Tuhan. Dia berseru, “Kamu mengenal aku dan mengetahui asal usulku. Aku tidak datang menurut kehendakku. Dia yang mengutus aku benar-benar wujud, tetapi kamu tidak mengenal Dia. 29 Aku mengenal Dia kerana aku ialah wakil-Nya, dan Dialah yang mengutus aku.”
(Yohanes 8:29) Dia yang mengutus aku menyertai aku. Dia tidak membiarkan aku sendirian, kerana aku selalu melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.”
Terima Kuasa Suci Tuhan, Bukannya Kecenderungan Mental Dunia
19 Taatilah Yehuwa dengan sepenuh hati. Yesus selalu melakukan hal-hal yang menyenangkan Bapanya. Yesus pernah menghadapi situasi di mana apa yang diingininya berbeza dengan apa yang diingini Bapanya. Namun, dia memberitahu Bapanya dengan yakin, “Biarlah kehendak-Mu yang berlaku dan bukannya kehendakku.” (Luk. 22:42) Tanyalah diri: “Adakah saya mentaati Tuhan biarpun sukar?” Ketaatan kepada Tuhan penting dalam kehidupan. Kita patut mentaati-Nya dengan sepenuh hati kerana Dia ialah Pencipta kita, Sumber dan Penunjang kehidupan kita. (Mzm. 95:6, 7) Ketaatan tidak dapat digantikan dengan apa pun. Adalah mustahil untuk mendapat perkenan Tuhan jika kita tidak taat kepada-Nya.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 7:8-10) Kamu pergilah ke perayaan itu. Aku tidak akan pergi sekarang kerana saatku belum tiba.” 9 Selepas dia memberitahu mereka perkara-perkara ini, dia terus tinggal di Galilea. 10 Namun setelah adik-adik Yesus pergi ke perayaan itu, dia juga pergi tetapi secara diam-diam.
w07 1/2 6 per. 4
Mengapakah Penting untuk Bercakap Benar?
Apakah teladan Yesus dalam hal ini? Pernah sekali, Yesus sedang bercakap dengan beberapa orang yang tidak beriman tetapi yang berminat untuk mengetahui rancangan perjalanannya. “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea,” kata mereka kepadanya. Apakah jawapan Yesus? “Kamu pergilah ke perayaan itu [di Yerusalem]. Aku tidak akan pergi sekarang kerana saatku belum tiba.” Tetapi tidak lama kemudian, Yesus pun pergi ke Yerusalem untuk menghadiri perayaan itu. Mengapakah dia menjawab dengan cara demikian? Mereka tidak berhak mengetahui butiran tentang kegiatan Yesus. Yesus tidak mengatakan sesuatu yang tidak benar, sebaliknya dia memberi mereka jawapan yang tidak lengkap untuk menghalang mereka yang mungkin ingin mencederakannya atau para pengikutnya. Jadi, ini bukanlah dusta, kerana Rasul Petrus menulis tentang Kristus: “Dia tidak melakukan dosa, dan mulutnya tidak mengucapkan kata-kata dusta.”—Yohanes 7:1-13; 1 Petrus 2:22.
(Yohanes 8:12) Kemudian Yesus berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia. Sesiapa yang mengikut aku tidak akan berjalan dalam kegelapan sama sekali, tetapi akan mendapat cahaya yang memberikan kehidupan.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 8:12
cahaya dunia: Metafora yang digunakan oleh Yesus untuk menggambarkan dirinya mungkin mengingatkan pendengarnya tentang empat buah kaki pelita yang besar yang terletak di Halaman Kaum Wanita. Semasa Perayaan Pondok Daun, pelita-pelita itu akan dinyalakan. (Yoh 7:2; lihat Lampiran B11.) Cahaya daripada pelita itu menerangi seluruh kawasan itu dan dapat dilihat dari jauh. Tambahan pula, ungkapan “cahaya dunia” ini serupa dengan catatan Yesaya yang menyatakan bahawa “cahaya yang gemilang” akan dilihat oleh “orang yang tinggal di negeri yang gelap-gelita,” dan bahawa seorang individu yang digelar “hamba” Yehuwa akan menjadi “cahaya bagi bangsa-bangsa.” (Yes 9:1, 2; 42:1, 6; 49:6) Semasa menyampaikan Ceramah Di Atas Gunung, Yesus menggunakan metafora yang sama apabila menyebut tentang para pengikutnya. Dia berkata, “Kamu ialah cahaya dunia.” (Mt 5:14) Istilah “cahaya dunia” (perkataan Yunani koʹsmos, yang merujuk kepada semua manusia di bumi) berkait rapat dengan kata-kata Yesaya yang menyingkapkan bahawa Mesias ialah “cahaya kepada bangsa-bangsa.” Di Kis 13:46, 47, Paulus dan Barnabas menjelaskan bahawa nubuat di Yes 49:6 merupakan suatu perintah bagi semua pengikut Kristus. Mereka harus menjadi seperti cahaya kepada semua bangsa. Kerja penyebaran yang dilakukan Yesus dan para pengikutnya sememangnya menerangi kehidupan orang secara rohani dan membebaskan mereka daripada belenggu ajaran palsu.
w09 15/7 5-6 per. 12
Mencari Harta Karun yang “Tersembunyi dengan Cermat” dalam Kristus
12 “Akulah cahaya dunia.” (Baca Yohanes 8:12; 9:5.) Lama sebelum Yesus diutus ke bumi, Nabi Yesaya menyampaikan nubuat ini: “Orang yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang gemilang. Orang yang tinggal di negeri yang gelap-gelita telah disinari cahaya.” (Yes. 9:2) Rasul Matius menerangkan bahawa Yesus telah memenuhi nubuat itu sewaktu Yesus menyebarkan mesej ini kepada orang: “Bertaubatlah, kerana Kerajaan di syurga sudah dekat.” (Mat. 4:16, 17) Kerja penyebaran yang dilakukan Yesus menerangi kehidupan orang secara rohani dan membebaskan mereka daripada belenggu ajaran palsu. Yesus berkata, “Aku datang sebagai cahaya ke dunia ini supaya setiap orang yang beriman kepadaku tidak tinggal dalam kegelapan.”—Yoh. 1:3-5; 12:46.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
Kasih Tuhan Kekal Selama-lamanya
10 Adakah kita mematuhi Yehuwa hanya kerana takut dihukum atau tidak mahu ditimpa akibat buruk? (Galatia 6:7) Tidak. Kita mematuhi Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya. Sebagaimana seorang anak ingin menggembirakan hati bapanya, kita juga ingin menggembirakan hati Yehuwa dan mendapat perkenan-Nya.—Mazmur 5:12; Amsal 12:2; lihat Penjelasan 2.
11 Tidak kira senang atau susah, kita mahu mematuhi semua hukum Yehuwa. (Ulangan 12:32) Kita ingin meniru teladan penulis mazmur yang berkata, “Aku menggemari perintah-Mu; sesungguhnya, aku mencintai perintah-Mu.” (Mazmur 119:47; Roma 6:17) Kita juga ingin meniru teladan Nuh, yang telah menunjukkan kasihnya kepada Yehuwa dengan ‘melakukan segala sesuatu yang diperintahkan oleh-Nya.’—Kejadian 6:22.
10, 11. Mengapakah kita mematuhi Yehuwa?