Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
1-7 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 9-10
“Yesus Menjaga Bebirinya”
(Yohanes 10:1-3) “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang tidak memasuki kandang biri-biri melalui pintu, tetapi memanjat masuk melalui tempat lain, dia seorang pencuri dan perompak. 2 Tetapi orang yang masuk melalui pintu ialah gembala kawanan biri-biri. 3 Penjaga kandang membuka pintu baginya, dan kawanan biri-biri mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap biri-birinya dan memimpin kawanan biri-biri itu keluar.
(Yohanes 10:11) Aku ialah gembala yang baik. Gembala yang baik menyerahkan nyawanya demi kawanan biri-birinya.
(Yohanes 10:14) Akulah gembala yang baik. Aku mengenal biri-biriku dan biri-biriku mengenal aku,
nwtsty media
Kandang Biri-Biri
Kandang biri-biri ialah kawasan berpagar yang bertujuan untuk melindungi biri-biri daripada pencuri dan binatang pemangsa. Pada waktu malam, para gembala membawa kawanan masuk ke dalam kandang. Pada zaman Bible, kandang biri-biri tidak berbumbung, mempunyai saiz dan bentuk yang berbeza-beza, dan biasanya mempunyai tembok batu dan hanya satu pintu masuk. (Bil 32:16; 1Sa 24:3; Zef 2:6) Yohanes menulis bahawa seseorang perlu memasuki kandang biri-biri “melalui pintu,” yang dikawal oleh “penjaga kandang.” (Yoh 10:1, 3) Terdapat kandang biri-biri yang disediakan untuk kegunaan umum, dan lebih daripada satu kawanan mungkin bermalam di situ, sementara penjaga kandang berkawal untuk menjaga keselamatan biri-biri. Pada waktu pagi, penjaga kandang akan membuka pintu untuk para gembala. Setiap gembala akan mengumpulkan kawanannya dengan memanggil bebirinya, dan bebiri akan mengenal suara gembala masing-masing lalu mengikutnya. (Yoh 10:3-5) Yesus merujuk kepada amalan ini untuk menggambarkan cara dia menjaga murid-muridnya.—Yoh 10:7-14.
Keluarga Kristian—“Tetap Berjaga-jaga”
5 Secara kiasan, hubungan antara seorang gembala dengan bebirinya adalah berdasarkan pengetahuan dan kepercayaan. Gembala tahu semua hal tentang biri-birinya. Biri-biri pula mengenal, mempercayai, dan mengikut cakap gembala. Yesus berkata, “Aku mengenal biri-biriku dan biri-biriku mengenal aku.” Dia tidak sekadar mengetahui keadaan sidangnya secara umum. Kata Yunani “mengenal” bermaksud “mengenal secara intim dan peribadi.” Ya, Gembala yang Baik mengenal setiap biri-biri secara peribadi. Dia tahu keperluan, kelemahan, dan kekuatan setiap bebiri. Semua perkara tentang bebirinya tidak terlepas daripada perhatiannya. Biri-biri pula sangat mengenali gembala dan mempercayainya selaku pemimpin mereka.
(Yohanes 10:4, 5) Setelah dia membawa semua biri-birinya keluar, dia berjalan di hadapan dan kawanan biri-birinya mengikutnya kerana mengenal suaranya. 5 Kawanan biri-biri itu pasti tidak akan mengikut orang yang tidak dikenali, tetapi akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.”
cf 124-125 per. 17
“Dia Tidak Akan Bercakap kepada Mereka Tanpa Menggunakan Perumpamaan”
17 Berdasarkan pemerhatiannya, George A. Smith menulis dalam bukunya, The Historical Geography of the Holy Land, “Kadangkala, kami menikmati istirahat tengah hari bersebelahan sebuah perigi di Yudea. Tiga atau empat orang gembala akan datang ke situ bersama kawanan bebiri mereka. Kawanan-kawanan itu saling bercampur, dan kami tertanya-tanya bagaimana setiap gembala akan mengumpulkan semula kawanannya. Namun, setelah biri-biri selesai minum dan bermain, setiap gembala pergi ke arah yang berlainan di lembah itu, dan masing-masing melaungkan seruan tersendiri; dan setiap bebiri pergi kepada gembala masing-masing, lalu pulang dengan teratur sepertimana mereka datang.” Perumpamaan Yesus ini jelas menyerlahkan isi yang ingin disampaikannya. Jika kita mengenali dan mentaati ajaran Yesus serta mengikut pimpinannya, kita juga dapat bernaung di bawah jagaan “gembala yang baik.”
(Yohanes 10:16) “Aku memiliki biri-biri lain yang bukan dari kandang ini. Aku mesti memimpin kawanan itu juga. Mereka semua akan mendengar suaraku dan menjadi satu kawanan di bawah satu gembala.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 10:16
memimpin: Atau “membawa masuk.” Kata kerja Yunani aʹgo yang digunakan di ayat ini boleh bermaksud “membawa (masuk)” atau “memimpin,” bergantung pada konteks. Sebuah manuskrip Yunani yang bertarikh kira-kira 200 M menggunakan kata Yunani yang berkaitan (sy·naʹgo) yang sering diterjemahkan sebagai “mengumpulkan.” Selaku Gembala yang Baik, Yesus mengumpulkan, memimpin, melindungi, dan memberikan makanan kepada bebiri daripada kandang ini (juga dikenali sebagai “kawanan kecil” di Lu 12:32) dan kepada biri-biri lain. Kedua-dua kumpulan ini menjadi satu kawanan di bawah satu gembala. Gambaran ini menunjukkan perpaduan yang akan dinikmati oleh pengikut Yesus.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 9:38) Maka lelaki itu berkata, “Ya Tuan. Aku beriman.” Kemudian, lelaki itu sujud kepadanya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 9:38
sujud kepadanya: Atau “tunduk di hadapannya; memberikan penghormatan kepadanya.” Kata kerja Yunani pro·sky·neʹo diterjemahkan sebagai “menyembah” jika merujuk kepada penyembahan tuhan atau dewa. (Mt 4:10; Lu 4:8) Namun, dalam konteks ini, lelaki buta yang telah disembuhkan sedar bahawa Yesus ialah wakil Tuhan lalu bersujud kepadanya. Dia tidak menganggapnya sebagai Tuhan atau dewa, tetapi sebagai “Anak Manusia” yang dinubuatkan, iaitu Mesias yang mendapat kekuasaan daripada Tuhan. (Yoh 9:35) Nampaknya, lelaki itu sujud kepada Yesus sepertimana orang pada Israel kuno bersujud semasa berjumpa dengan nabi, raja, atau wakil Tuhan yang lain. (1Sa 25:23, 24; 2Sa 14:4-7; 1Ra 1:16; 2Ra 4:36, 37) Banyak kali, orang bersujud kepada Yesus kerana dia mendapat perkenan Tuhan atau untuk menunjukkan penghargaan atas perkhabaran yang disingkapkan oleh Tuhan mengenai identiti Yesus.
(Yohanes 10:22) Pada masa itu, Perayaan Pentahbisan sedang berlangsung di Yerusalem. Masa itu ialah musim sejuk,
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 10:22
Perayaan Pentahbisan: Nama Ibrani untuk perayaan ini ialah Hanukkah (chanuk·kahʹ), yang bermaksud “Pentahbisan.” Perayaan ini diadakan selama lapan hari dan bermula pada 25 Kislew, iaitu pada penghujung bulan Disember (lihat Lampiran B15), untuk memperingati pentahbisan semula Rumah Tuhan di Yerusalem pada tahun 165 SM. Raja Siria yang bernama Antiokhus IV Epifanes telah menghina Yehuwa, Tuhan orang Yahudi, dengan mencemarkan Rumah-Nya. Misalnya, dia membina sebuah mazbah di atas mazbah Tuhan, yang dahulunya digunakan untuk mempersembahkan korban bakar harian. Pada 25 Kislew 168 SM, Antiokhus ingin mencemarkan Rumah Yehuwa dengan sepenuhnya. Dia mempersembahkan babi di atas mazbah dan merenjiskan air rebusan daging babi di sekeliling Rumah Tuhan. Dia membakar pintu gerbang Rumah Tuhan, merobohkan bilik-bilik para imam, dan merampas mazbah emas, meja untuk roti yang dipersembahkan, serta kaki pelita emas. Kemudian dia mempersembahkan Rumah Yehuwa kepada dewa kafir Zeus dari Olympus. Dua tahun kemudian, Yudas Makabe menawan kembali kota itu dan Rumah Tuhan. Selepas Rumah Tuhan dibersihkan, pentahbisan semula diadakan pada 25 Kislew 165 SM, tepat tiga tahun selepas Antiokhus mempersembahkan korban yang menjijikkan di atas mazbah kepada Zeus. Selepas itu, korban bakar harian kepada Yehuwa dipersembahkan seperti dahulu. Ayat-Ayat Suci yang terilham tidak menyatakan secara langsung bahawa Yehuwa memberi Yudas Makabe kemenangan dan mengarahkannya untuk memulihkan Rumah Tuhan. Namun, Yehuwa pernah menggunakan orang bangsa asing, seperti Kores dari Persia, untuk melaksanakan tujuan-Nya. (Yes 45:1) Maka kita boleh menyimpulkan bahawa Yehuwa mungkin menggunakan salah seorang umat-Nya untuk melaksanakan kehendak-Nya. Bible menunjukkan bahawa Rumah Tuhan haruslah wujud dan berfungsi supaya nubuat tentang Mesias, kerja penyebarannya, dan korbannya dilaksanakan. Selain itu, para imam keturunan Lewi perlu terus mempersembahkan korban di Rumah Tuhan sehingga Mesias mempersembahkan korban yang lebih agung, iaitu nyawanya demi umat manusia. (Da 9:27; Yoh 2:17; Ibr 9:11-14) Pengikut Kristus tidak disuruh merayakan Perayaan Pentahbisan. (Kol 2:16, 17) Walau bagaimanapun, tiada catatan yang menyatakan bahawa Yesus atau murid-muridnya mengutuk sambutan perayaan itu.
8-14 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 11-12
“Tirulah Belas Kasihan Yesus”
(Yohanes 11:23-26) Yesus berkata kepadanya, “Adik kamu akan hidup semula.” 24 Marta berkata, “Aku tahu bahawa dia akan hidup semula semasa pembangkitan pada hari terakhir.” 25 Yesus berkata kepadanya, “Akulah pembangkitan dan kehidupan. Seseorang yang beriman kepada aku akan hidup semula meskipun dia mati. 26 Setiap orang yang hidup dan beriman kepada aku tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 11:24, 25
Aku tahu bahawa dia akan hidup semula: Marta berfikir bahawa Yesus sedang bercakap tentang pembangkitan masa depan, pada hari terakhir. Imannya terhadap ajaran itu sungguh menakjubkan. Sesetengah pemimpin agama pada zaman itu, yang dipanggil orang Saduki, menolak ajaran pembangkitan meskipun ajaran ini jelas dinyatakan dalam Ayat-Ayat Suci yang terilham. (Da 12:13; Mr 12:18) Selain itu, orang Farisi percaya kepada ajaran tentang jiwa yang tidak dapat mati. Tetapi Marta tahu bahawa Yesus mengajarkan harapan pembangkitan dan bahkan pernah membangkitkan orang, meskipun Yesus belum pernah membangkitkan orang yang sudah mati berhari-hari lamanya, seperti Lazarus.
Akulah pembangkitan dan kehidupan: Kematian dan pembangkitan Yesus membuka jalan kepada orang yang sudah mati untuk hidup kembali. Selepas Yesus dibangkitkan, Yehuwa memberinya kuasa bukan sahaja untuk membangkitkan orang mati, tetapi juga untuk memberikan kehidupan kekal. (Yoh 5:26) Di Why 1:18, Yesus memanggil dirinya “dia yang hidup,” yang mempunyai “kunci maut dan kunci Kuburan.” Maka, Yesus ialah harapan bagi orang hidup dan orang mati. Dia berjanji untuk membangkitkan orang mati. Mereka akan memerintah di syurga bersamanya, ataupun hidup di bumi baharu yang diperintah oleh Kerajaannya di syurga.—Yoh 5:28, 29; 2Pt 3:13.
(Yohanes 11:33-35) Apabila Yesus melihat Maria menangis dan orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, dia berasa sangat susah hati dan pilu. 34 Dia bertanya, “Di manakah kamu meletakkan mayatnya?” Mereka menjawab, “Tuan, marilah lihat.” 35 Yesus mula menangis.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 11:33-35
menangis: Kata Yunani untuk “menangis” sering merujuk kepada tangisan yang boleh didengari. Kata kerja yang sama digunakan untuk menggambarkan Yesus semasa dia menubuatkan kemusnahan Yerusalem.—Lu 19:41.
sangat susah hati dan pilu: Gabungan kedua-dua kata ini dalam bahasa asal menggambarkan betapa peritnya perasaan Yesus pada waktu itu. Secara am, kata kerja Yunani yang diterjemahkan “pilu” (em·bri·maʹo·mai) menggambarkan suatu perasaan yang kuat. Namun dalam konteks ini, kata itu menunjukkan bahawa Yesus begitu sedih sehingga dia mengerang. Secara harfiah, kata Yunani untuk “sangat susah hati” (ta·rasʹso) bererti pergolakan. Menurut seorang cendekiawan, dalam konteks ini kata itu bererti “menyebabkan pergolakan emosi; menyebabkan kepedihan atau dukacita yang mendalam.” Kata kerja yang sama digunakan di Yoh 13:21 untuk menggambarkan reaksi Yesus terhadap pengkhianatan oleh Yudas.—Lihat nota pembelajaran untuk Yoh 11:35.
mula menangis: Kata kerja yang digunakan di sini (da·kryʹo) diambil daripada kata nama Yunani untuk “air mata” atau “tangisan” yang digunakan dalam ayat-ayat seperti Lu 7:38; Kis 20:19, 31; Ibr 5:7; Why 7:17; 21:4. Nampaknya ayat ini berfokus kepada air mata yang dititiskan dan bukannya tangisan yang kedengaran. Dalam Kitab Yunani Kristian, kata kerja Yunani ini hanya digunakan di ayat ini, dan berbeza daripada kata yang digunakan di Yoh 11:33 (lihat nota pembelajaran) untuk menggambarkan tangisan Maria dan orang Yahudi. Yesus tahu bahawa dia bakal membangkitkan Lazarus, tetapi dia sangat sedih melihat kawan-kawan kesayangannya diselubungi kepiluan. Kasih yang mendalam dan belas kasihan terhadap mereka menyebabkannya menitiskan air mata di depan umum. Kisah ini jelas menunjukkan bahawa Yesus bersimpati terhadap mereka yang kehilangan orang yang tersayang akibat dosa Adam.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 11:49) Seorang daripada mereka yang bernama Kayafas, iaitu imam agung pada tahun itu, berkata, “Kamu tidak tahu apa-apa.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 11:49
imam agung: Semasa bangsa Israel tidak dijajah oleh bangsa lain, imam agung memegang jawatannya seumur hidup. (Bil 35:25) Namun, semasa Roma menguasai Israel, para pemerintah yang ditugaskan oleh orang Roma mempunyai kuasa untuk melantik dan memecat imam agung. (Lihat Kamus bagi Istilah Bible, “Imam agung.”) Kayafas, yang dilantik oleh orang Roma, berwibawa dan memegang jawatannya lebih lama daripada orang lain sebelumnya. Dia dilantik sekitar 18 M dan terus memegang jawatan itu sehingga kira-kira 36 M. Dengan menyatakan bahawa Kayafas ialah imam agung pada tahun itu, iaitu tahun 33 M, Yohanes nampaknya bermaksud bahawa Kayafas berkhidmat sebagai imam agung pada tahun yang bersejarah itu, iaitu apabila Yesus dibunuh.—Lihat Lampiran B12 untuk lokasi rumah Kayafas.
(Yohanes 12:42) Meskipun demikian, ramai penguasa beriman kepadanya. Tetapi disebabkan orang Farisi, mereka tidak mengakuinya secara terang-terangan. Mereka tidak mahu dihalau keluar dari rumah ibadat,
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 12:42
penguasa: Kata Yunani untuk “penguasa” di ayat ini nampaknya merujuk kepada ahli mahkamah tinggi orang Yahudi, iaitu Majlis Orang Yahudi. Istilah ini digunakan di Yoh 3:1 untuk merujuk kepada Nikodemus, seorang ahli majlis itu.
dihalau keluar dari rumah ibadat: Atau “disingkirkan; dilarang memasuki rumah ibadat.” Kata adjektif Yunani a·po·sy·naʹgo·gos hanya digunakan di ayat Yoh 9:22; 12:42; dan 16:2. Seseorang yang dihalau keluar akan disisihkan dan dihina oleh masyarakat. Oleh sebab orang sedemikian dipulaukan daripada orang Yahudi lain, keluarganya akan menderita dari segi ekonomi. Rumah ibadat, yang biasanya digunakan untuk pendidikan, ada kalanya digunakan oleh mahkamah tempatan yang berkuasa untuk menjatuhkan hukuman mencambuk dan penyingkiran.
15-21 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 13-14
“Aku Sudah Menetapkan Teladan untuk Kamu”
(Yohanes 13:5) Dia menuangkan air ke dalam sebuah besen dan mula membasuh kaki murid-muridnya. Selepas itu dia mengeringkan kaki mereka dengan tuala yang terikat pada pinggangnya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 13:5
membasuh kaki murid-muridnya: Pada zaman Israel kuno, orang biasanya memakai sandal, iaitu sejenis kasut yang bertapak nipis dan diikat pada kaki atau pergelangan kaki. Kaki seseorang akan menjadi kotor kerana terdedah kepada habuk atau lumpur dari ladang dan jalan. Maka, orang biasanya akan menanggalkan sandal sewaktu memasuki rumah, dan tuan rumah yang ramah akan memastikan kaki tetamunya dibasuh. Bible menyebut tentang amalan ini beberapa kali. (Kej 18:4, 5; 24:32; 1Sa 25:41; Lu 7:37, 38, 44) Semasa Yesus membasuh kaki murid-muridnya, dia menggunakan amalan ini untuk mengajar mereka supaya bersikap rendah hati dan melayani satu sama lain.
(Yohanes 13:12-14) Setelah dia membasuh kaki mereka, dia mengenakan jubah luarnya lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, “Adakah kamu memahami apa yang sudah aku lakukan untuk kamu? 13 Kamu memanggil aku ‘Guru’ dan ‘Tuan.’ Kata-kata kamu itu benar kerana aku memang Guru dan Tuan kamu. 14 Jika aku sebagai Tuan dan Guru kamu sudah membasuh kaki kamu, kamu juga harus membasuh kaki satu sama lain.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 13:12-14
harus: Atau “wajib.” Kata kerja Yunani yang digunakan di sini sering digunakan dari aspek kewangan, dan pada dasarnya bermaksud “berhutang kepada seseorang.” (Mt 18:28, 30, 34; Lu 16:5, 7) Di ayat ini dan dalam konteks lain, kata ini digunakan secara lebih umum dan bererti seseorang wajib melakukan sesuatu.—1Yo 3:16; 4:11; 3Yo 8.
(Yohanes 13:15) Oleh sebab aku sudah menetapkan teladan untuk kamu, kamu juga harus melakukan apa yang sudah aku lakukan untuk kamu.
w99 1/3 31 per. 1
Manusia Terunggul Melakukan Kerja yang Dianggap Rendah
Dengan mencuci kaki murid-muridnya, Yesus memberikan pengajaran penting tentang kerendahan hati. Sememangnya, orang Kristian tidak patut menganggap diri begitu penting sehingga orang lain harus selalu melayani mereka. Mereka juga tidak patut mengejar kemasyhuran dan kedudukan yang tinggi. Sebaliknya, mereka patut mengikut teladan Yesus, yang “tidak datang untuk dilayani, tetapi untuk melayani dan menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.” (Matius 20:28) Ya, pengikut Yesus harus rela melakukan kerja yang dianggap rendah demi orang lain.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 14:6) Yesus berkata, “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan. Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 14:6
Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan: Yesus ialah jalan kerana kita hanya dapat berdoa kepada Tuhan melaluinya. Selain itu, kita hanya dapat berbaik semula dengan Tuhan melalui Yesus. (Yoh 16:23; Rm 5:8) Yesus ialah kebenaran kerana kata-kata dan cara hidupnya mencerminkan kebenaran. Banyak nubuat juga menjadi kenyataan melaluinya, dan hal ini menunjukkan bahawa dia memainkan peranan utama dalam pelaksanaan tujuan Tuhan. (Yoh 1:14; Why 19:10) Nubuat-nubuat ini “menjadi ‘ya’ [atau dilaksanakan] melalui Yesus.” (2Ko 1:20) Yesus ialah kehidupan kerana melalui korban tebusan, dia memberi manusia peluang untuk menikmati “kehidupan kekal,” iaitu “kehidupan yang sejati.” (1Ti 6:12, 19; Ef 1:7; 1Yo 1:7) Dia juga akan memberikan kehidupan kepada jutaan orang yang akan dibangkitkan dengan harapan untuk hidup selama-lamanya di Firdaus.—Yoh 5:28, 29.
(Yohanes 14:12) Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang beriman kepada aku akan melakukan kerja yang aku lakukan. Sebenarnya, dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi, kerana aku akan pergi kepada Bapa.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 14:12
hal-hal yang lebih besar lagi: Yesus tidak bermaksud bahawa murid-muridnya akan melakukan mukjizat yang lebih hebat daripada mukjizat yang dilakukannya. Sebaliknya, dia mengakui dengan rendah hati bahawa murid-muridnya akan menginjil dan mengajar pada skala yang lebih besar. Para pengikutnya akan meliputi lebih banyak kawasan, mencapai lebih ramai orang, dan menginjil untuk jangka masa yang lebih lama daripadanya. Kata-kata Yesus jelas menunjukkan bahawa dia mahu pengikutnya meneruskan kerja yang dilakukannya.
22-28 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 15-17
“Kamu Bukan Sebahagian daripada Dunia”
(Yohanes 15:19) Jika kamu sebahagian daripada dunia, dunia akan mengasihi kamu kerana kamu miliknya. Tetapi aku sudah memilih kamu dan kamu bukan sebahagian daripada dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 15:19
dunia: Dalam konteks ini, kata Yunani koʹsmos merujuk kepada masyarakat manusia yang jahat dan terasing daripada Tuhan. Istilah ini tidak merangkumi penyembah Tuhan. Hanya Yohanes yang menulis tentang kata-kata Yesus bahawa para pengikutnya bukan sebahagian daripada dunia atau bukan milik dunia. Ungkapan yang serupa dinyatakan dua kali lagi dalam doa Yesus yang terakhir bersama rasul-rasulnya yang setia.—Yoh 17:14, 16.
(Yohanes 15:21) Mereka akan melakukan semua ini terhadap kamu kerana namaku, dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus aku.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 15:21
kerana namaku: Dalam Bible, istilah “nama” kadangkala merujuk kepada orang yang memiliki nama itu, reputasinya, dan seluruh keperibadiannya. Nama Yesus juga melambangkan kekuasaan dan kedudukan yang diberikan oleh Bapa kepadanya. (Mt 28:18; Flp 2:9, 10; Ibr 1:3, 4) Di ayat ini, Yesus menjelaskan mengapa dunia ini melakukan perkara yang jahat terhadap pengikutnya: Kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus Yesus. Jika mereka mengenal Tuhan, mereka akan memahami dan mengakui apa yang dilambangkan oleh nama Yesus. (Kis 4:12) Hal ini termasuk kedudukan Yesus sebagai Pemerintah yang dilantik oleh Tuhan, iaitu Raja atas segala raja. Semua orang harus tunduk kepadanya untuk memperoleh kehidupan.—Yoh 17:3; Why 19:11-16; bandingkan Mz 2:7-12.
(Yohanes 16:33) Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu menerima kedamaian melalui aku. Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu! Aku sudah menakluki dunia.”
it-2
Keberanian
Orang Kristian memerlukan keberanian agar tidak dicemari oleh sikap dan kelakuan dunia jahat ini yang bermusuhan dengan Tuhan Yehuwa. Keberanian juga membantu mereka untuk tetap setia kepada-Nya meskipun dibenci oleh dunia. Yesus Kristus memberitahu para muridnya, “Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu! Aku sudah menakluki dunia.” (Yoh 16:33) Anak Tuhan tidak pernah menyerah kepada pengaruh dunia ini atau membiarkan diri dicemarinya. Dengan itu, Yesus Kristus menakluki dunia dan meraih hasil yang baik kerana hidup tanpa cela. Teladannya dapat membantu seseorang memupuk keberanian yang diperlukan untuk tetap terasing daripada dunia dan tidak dicemari oleh pengaruh buruk dunia.—Yoh 17:16.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 17:21-23) Dengan demikian, mereka semua menjadi satu. Bapa, sepertimana Engkau bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Engkau, mereka juga bersatu dengan kita, supaya dunia akan percaya bahawa Engkaulah yang mengutus aku. 22 Aku telah memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepadaku, supaya mereka menjadi satu sepertimana kita juga satu. 23 Aku bersatu dengan mereka dan Engkau bersatu dengan aku, supaya mereka benar-benar menjadi satu. Dengan ini, dunia akan tahu bahawa Engkaulah yang mengutus aku dan Engkau mengasihi mereka sepertimana Engkau mengasihi aku.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 17:21-23
satu: Atau “bersatu padu.” Yesus berdoa agar pengikutnya yang sejati menjadi “satu” sepertimana dia dan Bapanya juga “satu.” Ertinya, Yesus mahu pengikutnya bersatu padu dan bekerja untuk tujuan yang sama, sepertimana dia dan Bapanya bekerjasama dan seia sekata dari segi pemikiran. (Yoh 17:22) Di 1Ko 3:6-9, Paulus menggambarkan perpaduan sebegini dalam kalangan orang Kristian seraya mereka bekerja dengan satu sama lain dan dengan Tuhan.—Lihat 1Ko 3:8.
benar-benar menjadi satu: Atau “benar-benar bersatu padu.” Dalam ayat ini, Yesus menunjukkan pentingnya untuk mengekalkan perpaduan sejati agar mendapat perkenan dan kasih Bapanya. Hal ini adalah selaras dengan Kol 3:14 yang menyatakan, “Kasih ialah ikatan yang menyatupadukan orang dengan sempurna.” Perpaduan yang sempurna ini bersifat relatif. Perpaduan ini tidak bererti bahawa setiap orang akan memiliki keperibadian yang sama, contohnya dari segi kebolehan, tabiat, atau hati nurani. Namun, pengikut Yesus akan bersatu padu dari segi perbuatan, kepercayaan, dan ajaran.—Rm 15:5, 6; 1Ko 1:10; Ef 4:3; Flp 1:27.
(Yohanes 17:24) Ya Bapa, aku mahu agar orang yang Engkau berikan kepadaku bersama aku di tempat aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaanku yang telah Engkau berikan kepadaku, kerana Engkau mengasihi aku sebelum dunia diasaskan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 17:24
dunia diasaskan: Kata Yunani untuk “diasaskan” diterjemahkan sebagai “mengandungkan (anak)” di Ibr 11:11. Dalam ayat ini, kata ini digunakan dalam ungkapan “dunia diasaskan,” dan nampaknya merujuk kepada kelahiran anak-anak Adam dan Hawa. Yesus mengaitkan ungkapan “dunia diasaskan” dengan Habel, iaitu manusia pertama yang layak ditebus kembali dan yang namanya “tertulis dalam kitab kehidupan semenjak dunia diasaskan.” (Lu 11:50, 51; Why 17:8) Kata-kata Yesus dalam doanya ini juga mengesahkan bahawa lama sebelum anak-anak Adam dan Hawa dilahirkan, Tuhan telah mengasihi Anak tunggal-Nya.
29 OKTOBER–4 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOHANES 18-19
“Yesus Memberikan Kesaksian tentang Kebenaran”
(Yohanes 18:37) Maka, Pilatus bertanya, “Jadi, adakah kamu seorang raja?” Yesus menjawab, “Kamu sendiri yang mengatakan bahawa aku ialah seorang raja. Aku harus memberikan kesaksian tentang kebenaran, kerana untuk tujuan inilah aku dilahirkan dan datang ke dunia. Setiap orang yang berpihak pada kebenaran mendengarkan suaraku.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 18:37
memberikan kesaksian tentang: Seperti yang digunakan dalam Kitab Yunani Kristian, kata-kata Yunani yang diterjemahkan sebagai “memberikan kesaksian” (mar·ty·reʹo), “kesaksian” (mar·ty·riʹa), dan “saksi” (marʹtys) mempunyai maksud yang meluas. Pada dasarnya, istilah-istilah tersebut bererti memberikan keterangan berdasarkan apa yang diketahui seseorang atau pengetahuan yang diperoleh daripada sumber lain. Istilah-istilah ini juga boleh merangkumi maksud “menyebarkan; mengesahkan; bercakap baik tentang.” Yesus bukan sahaja memberikan keterangan dan mengumumkan kebenaran yang dipercayainya, tetapi kehidupannya juga menunjukkan bahawa dia menjunjung kebenaran janji-janji dan nubuat yang difirmankan Bapanya. (2Ko 1:20) Tujuan Tuhan sehubungan dengan Kerajaan dan Raja Mesias telah dinubuatkan dengan terperinci. Seluruh kehidupan Yesus di bumi dan kematiannya, menunjukkan bahawa semua nubuat tentang dirinya menjadi kenyataan, termasuk “bayangan” yang terkandung dalam Hukum Musa. (Kol 2:16, 17; Ibr 10:1) Jadi Yesus telah “memberikan kesaksian tentang kebenaran” melalui kata-kata dan perbuatan.
kebenaran: Yesus tidak memaksudkan kebenaran secara umum, tetapi merujuk kepada kebenaran tentang tujuan Tuhan. Tujuan Tuhan merangkumi aspek penting ini: Yesus “daripada keturunan Daud” berkhidmat sebagai Imam Agung dan Pemerintah Kerajaan Tuhan. (Mt 1:1) Yesus menjelaskan bahawa salah satu sebab utama dia datang ke dunia, hidup di bumi, dan menjalankan kerja penyebaran adalah untuk menyebarkan kebenaran tentang Kerajaan itu. Para malaikat mengumumkan mesej yang serupa sebelum dan semasa Yesus dilahirkan di Betlehem yang terletak di Yudea, iaitu kota di mana Daud dilahirkan.—Lu 1:32, 33; 2:10-14.
(Yohanes 18:38a) Pilatus berkata kepadanya, “Apakah itu kebenaran?”
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 18:38a
Apakah itu kebenaran?: Nampaknya soalan Pilatus merujuk kepada kebenaran secara umum, bukannya kepada “kebenaran” yang baru disebutkan oleh Yesus. (Yoh 18:37) Yesus pasti menjawab soalan itu jika Pilatus bertanya dengan ikhlas. Tetapi kemungkinan besar Pilatus menanyakan soalan itu dengan penuh keraguan dan nada yang menyindir. Dia seolah-olah menyatakan, “Kebenaran? Apa itu? Mana ada perkara sebegitu!” Pilatus langsung tidak berminat untuk mengetahui jawapannya. Sebaliknya, dia terus keluar untuk menghadap orang Yahudi.
Mencari Permata Rohani
(Yohanes 19:30) Selepas merasai wain masam itu, Yesus berkata, “Sudah selesai!” Setelah itu dia menundukkan kepala lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 19:30
dia . . . menghembuskan nafasnya yang terakhir: Atau “dia mati; dia berhenti bernafas.” Ada yang berpendapat bahawa istilah Yunani di ayat ini bermaksud bahawa Yesus menyerahkan nyawanya dengan rela dan tidak lagi berjuang untuk hidup, memandangkan semua perkara sudah selesai. Dia rela “mencurahkan jiwanya sehingga mati.”—Yes 53:12, nota kaki; Yoh 10:11.
(Yohanes 19:31) Hari itu ialah hari Persiapan, dan orang Yahudi tidak mahu mayat orang mati masih berada pada tiang seksaan pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu ialah hari Sabat yang istimewa). Jadi orang Yahudi memohon kepada Pilatus supaya kaki semua orang yang digantungkan itu dipatahkan dan mayat mereka diturunkan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Yoh 19:31
hari Sabat itu ialah hari Sabat yang istimewa: Biasanya, orang Yahudi menyambut hari Sabat setiap minggu pada hari ketujuh (yang bermula ketika matahari terbenam pada hari Jumaat hingga matahari terbenam pada hari Sabtu). Tetapi, hari Sabat juga disambut pada tanggal 15 Nisan, iaitu sehari selepas Paska, tidak kira apa harinya. (Im 23:5-7) Jika hari Sabat sebegini jatuh pada hari Sabat yang biasa, hari itu dianggap sebagai “Sabat yang istimewa.” Yesus mati pada hari Jumaat kerana pada keesokan harinya, Sabat yang istimewa telah disambut. Dalam tempoh 29 hingga 35 M, tanggal 14 Nisan jatuh sekali sahaja pada hari Jumaat, iaitu pada tahun 33 M. Jadi bukti ini menyokong kesimpulan bahawa Yesus telah mati pada 14 Nisan 33 M.