Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
2-8 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IBRANI 7-8
“Seorang Imam seperti Melkisedek untuk Selama-lamanya”
(Ibrani 7:1, 2) Melkisedek ialah raja Salem, dan dia ialah imam Tuhan Yang Maha Tinggi. Dia bertemu dengan Abraham dan memberkatinya ketika Abraham kembali setelah menewaskan raja-raja. 2 Kemudian Abraham memberinya satu persepuluh daripada segala harta rampasan perang. Nama Melkisedek diterjemahkan sebagai “Raja yang Berbuat Benar.” Dia ialah raja Salem, dan raja Salem bermaksud “Raja Kedamaian.”
it-2 67
Melkisedek
Melkisedek ialah raja Salem kuno dan “imam Tuhan Yang Maha Tinggi.” (Kej 14:18, 22) Dia ialah imam pertama yang disebutkan dalam Bible. Dia menjadi imam sekitar tahun 1933 SM. Melkisedek ialah raja Salem dan Salem bermaksud “Kedamaian.” Rasul Paulus memanggilnya sebagai “Raja Kedamaian” dan “Raja yang Berbuat Benar.” (Ibr 7:1, 2) Kota Yerusalem berkembang daripada kota Salem kuno, dan nama Salem digabungkan ke dalam nama Yerusalem. Itulah sebabnya Yerusalem juga dipanggil “Salem.”—Mz 76:2.
Setelah Abram (Abraham) mengalahkan Kedorlaomer dan sekutu-sekutunya, dia sampai di Lembah Shaveh yang juga dikenali sebagai “Lembah Raja.” Di sana, Melkisedek “membawa roti dan wain” dan memberkati Abraham dengan mengatakan, “Semoga Tuhan Yang Maha Tinggi, Pencipta langit dan bumi, memberkati Abram. Terpujilah Tuhan Yang Maha Tinggi, yang telah menyerahkan musuhmu ke dalam tanganmu!” Kemudian, Abraham memberi Raja Melkisedek, yang juga merupakan imam, “satu persepuluh daripada harta rampasan perang yang terbaik,” yang diperolehnya selepas mengalahkan semua raja itu.—Kej 14:17-20; Ibr 7:4.
(Ibrani 7:3) Tidak ada catatan tentang ibu bapanya ataupun salasilah nenek moyangnya, dan tidak ada catatan tentang kelahiran dan kematiannya. Dia dijadikan seperti Anak Tuhan dan merupakan imam untuk selama-lamanya.
it-2 68 per. 1
Melkisedek
Apakah maksudnya semasa Bible menyatakan bahawa “tidak ada catatan tentang kelahiran dan kematian [Melkisedek]”?
Paulus menonjolkan suatu fakta yang luar biasa sehubungan dengan Melkisedek. Dia berkata, “Tidak ada catatan tentang ibu bapanya ataupun salasilah nenek moyangnya, dan tidak ada catatan tentang kelahiran dan kematiannya. Dia dijadikan seperti Anak Tuhan dan merupakan imam untuk selama-lamanya.” (Ibr 7:3) Melkisedek memang mempunyai ibu bapa dan dia memang telah mati. Tetapi kita tidak tahu nama ibu bapanya, nenek moyang dan keturunannya, ataupun maklumat lain tentang kehidupannya. Itulah sebabnya Melkisedek digunakan untuk menggambarkan Yesus Kristus, yang menjadi seorang imam untuk selama-lamanya. Kedudukan Melkisedek sebagai raja dan imam adalah unik kerana Bible tidak menyebut tentang orang lain yang mempunyai kedudukan sebagai raja dan imam sebelum Melkisedek lahir dan selepas dia mati. Demikian juga, Kristus mempunyai kedudukan yang unik sebagai imam agung kerana Bible tidak menyatakan bahawa orang lain akan menggantikan kedudukannya. Selain itu, meskipun Yesus berasal daripada suku Yehuda dan merupakan jurai keturunan Daud, dia tidak dilantik sebagai imam dan raja kerana salasilah jasmaninya. Sebaliknya dia dilantik menjadi imam dan raja kerana sumpah Yehuwa kepadanya.
(Ibrani 7:17) Mengenainya, salah satu ayat menyatakan, “Engkau ialah seorang imam seperti Melkisedek, dan engkau akan menjadi imam untuk selama-lamanya.”
it-2 67
Melkisedek
Gambaran Kristus sebagai Imam. Di Mazmur 110 ayat 1, orang yang dipanggil tuan kepada Daud merujuk kepada Mesias. Dalam nubuat yang penting itu, Yehuwa telah bersumpah kepada Mesias, “Engkau ialah seorang imam seperti Melkisedek, dan engkau akan menjadi imam untuk selama-lamanya!” (Mz 110:1, 4) Berdasarkan mazmur ini, orang Ibrani dapat membuat kesimpulan bahawa Mesias yang dijanjikan akan menjadi raja dan imam. Dalam surat kepada orang Ibrani, Rasul Paulus menyingkirkan keraguan tentang identiti orang yang disebut dalam nubuat itu. Dia berkata, “Orang yang dimaksudkan itu ialah Yesus yang telah menjadi imam agung seperti Melkisedek untuk selama-lamanya.”—Ibr 6:20; 5:10; lihat PERJANJIAN.
it-1 1037 per. 7-8
Imam Agung
Kedudukan Yesus Kristus sebagai Imam Agung. Menurut buku Ibrani, Yesus Kristus ialah “imam agung seperti Melkisedek untuk selama-lamanya” sejak dia dibangkitkan ke syurga. (Ibr 6:20; 7:17, 21) Mengapakah Kristus lebih agung sebagai imam berbanding imam-imam keturunan Harun? Penulis Bible menjelaskan bahawa Melkisedek menjadi raja dan imam kerana dia dilantik oleh Tuhan Yang Maha Tinggi, dan bukannya melalui warisan. Yesus Kristus merupakan keturunan Daud dan berasal daripada suku Yehuda dan bukannya suku Lewi. Oleh itu, memandangkan Yesus bukan keturunan Harun, dia menjadi imam kerana dilantik oleh Tuhan, seperti Melkisedek. (Ibr 5:10) Selain itu, terdapat janji di Mazmur 110:4 yang menyatakan, “Yehuwa telah bersumpah, dan Dia tidak akan mengubah fikiran-Nya. Dia berfirman, ‘Engkau ialah seorang imam seperti Melkisedek, dan engkau akan menjadi imam untuk selama-lamanya!’” Janji ini membuktikan bahawa Yesus dilantik untuk menjadi Raja dan imam. Bukan itu sahaja, dia juga mempunyai hak yang sah untuk memerintah kerana dia merupakan keturunan Daud. Maka, Yesus ialah pewaris yang disebutkan dalam perjanjian Daud. (2Sa 7:11-16) Seperti Melkisedek, Yesus memiliki kedudukan sebagai raja dan imam.
Terdapat satu lagi sebab kedudukan Yesus sebagai imam agung adalah jauh lebih unggul. Sewaktu Abraham mempersembahkan persepuluhan kepada raja Salem, iaitu Melkisedek yang juga merupakan imam, ini menggambarkan bahawa Lewi (yang bakal dilahirkan sebagai keturunan Abraham dan merupakan nenek moyang kepada semua imam Yahudi), telah memberikan persepuluhan kepada Melkisedek. Maka, Lewi juga seolah-olah diberkati oleh Melkisedek, dan ini selaras dengan prinsip yang mengatakan bahawa orang yang berkedudukan rendah diberkati oleh orang yang berkedudukan tinggi. (Ibr 7:4-10) Rasul Paulus juga menyatakan bahawa tiada catatan tentang ibu bapa Melkisedek “ataupun salasilah nenek moyangnya, dan tidak ada catatan tentang kelahiran dan kematiannya.” Maka, dia melambangkan Yesus Kristus yang menjadi imam untuk selama-lamanya, yang telah dibangkitkan dan diberikan “kehidupan yang tidak dapat musnah.”—Ibr 7:3, 15-17.
Mencari Permata Rohani
(Ibrani 8:3) Setiap imam agung dilantik untuk mempersembahkan pemberian dan korban. Maka, imam agung ini juga perlu mempunyai sesuatu untuk dipersembahkan.
w00 15/8 14 per. 11
Korban-Korban yang Menyenangkan Hati Tuhan
11 “Setiap imam agung dilantik untuk mempersembahkan pemberian dan korban,” kata Rasul Paulus. (Ibrani 8:3) Perhatikanlah bahawa Paulus menyentuh dua kategori, iaitu “pemberian” dan “korban,” atau “korban demi dosa.” (Ibrani 5:1) Selalunya, manusia memberi orang lain hadiah sebagai ungkapan kasih dan penghargaan, untuk memupuk persahabatan, atau agar diterima. (Kejadian 32:20; Amsal 18:16) Begitu juga, banyak persembahan yang ditetapkan oleh Hukum dapat dipandang sebagai “pemberian” kepada Tuhan agar kita diterima dan diperkenankan-Nya. Jika seseorang melanggar Hukum, dia harus membayar pampasan dengan mempersembahkan “korban demi dosa.” Dalam Pentateuch, khususnya buku Keluaran, Imamat, dan Bilangan, terdapat maklumat terperinci tentang pelbagai jenis korban dan persembahan. Meskipun susah bagi kita untuk memahami dan mengingat semua perinciannya, terdapat beberapa isi penting yang patut kita perhatikan.
(Ibrani 8:13) Oleh sebab Tuhan berfirman tentang “perjanjian yang baharu,” Dia menjadikan perjanjian yang sebelumnya itu usang. Maka perjanjian yang usang dan lama itu akan segera lenyap.
it-2 479 per. 5
Perjanjian
Bagaimanakah perjanjian Hukum Musa menjadi “usang”?
Namun, perjanjian Hukum Musa menjadi “usang” semasa Tuhan mengumumkan melalui Nabi Yeremia bahawa suatu perjanjian yang baharu akan diwujudkan. (Yer 31:31-34; Ibr 8:13) Pada tahun 33 M, perjanjian Hukum Musa dibatalkan atas dasar kematian Kristus pada tiang seksaan (Kol 2:14) dan digantikan dengan perjanjian baharu.—Ibr 7:12; 9:15; Kis 2:1-4.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
it-2 480 per. 4–481 per. 2
Perjanjian
Perjanjian Baharu. Yehuwa menubuatkan perjanjian baharu melalui Nabi Yeremia pada abad ketujuh SM. Dia berfirman bahawa perjanjian baharu itu bukan seperti perjanjian Hukum Musa, yang telah dilanggar oleh orang Israel. (Yer 31:31-34) Pada malam sebelum kematian Yesus, iaitu pada 14 Nisan 33 M, ketika Yesus mengasaskan Perjamuan Malam Tuan, dia mengumumkan perjanjian baharu yang akan disahkan atas dasar korbannya. (Lu 22:20) Pada hari ke-50 selepas pembangkitannya dan 10 hari selepas dia naik ke syurga, dia mencurahkan kuasa suci Tuhan ke atas murid-muridnya yang berkumpul di dalam sebuah bilik di Yerusalem.—Kis 2:1-4, 17, 33; 2Ko 3:6, 8, 9; Ibr 2:3, 4.
Pihak-pihak dalam perjanjian baharu ialah Yehuwa dan “Israel milik Tuhan.” “Israel milik Tuhan” merujuk kepada kaum terurap yang bersatu dengan Kristus untuk membentuk sidang atau tubuhnya. (Ibr 8:10; 12:22-24; Ga 6:15, 16; 3:26-28; Rm 2:28, 29) Perjanjian baharu disahkan oleh darah Yesus Kristus yang dicurahkan, yang nilainya dipersembahkan kepada Yehuwa setelah dia naik ke syurga. (Mt 26:28) Ketika seseorang dipilih oleh Tuhan untuk hidup di syurga (Ibr 3:1), Tuhan menerima orang itu sebagai salah satu pihak dalam perjanjian-Nya melalui korban Kristus. (Mz 50:5; Ibr 9:14, 15, 26) Yesus Kristus ialah perantara perjanjian baharu (Ibr 8:6; 9:15) dan keturunan Abraham yang utama. (Ga 3:16) Sebagai perantara perjanjian baharu, Yesus membantu orang dalam perjanjian tersebut untuk menjadi sebahagian daripada keturunan Abraham yang sejati. (Ibr 2:16; Ga 3:29) Melalui pengampunan dosa mereka, mereka mendapat perkenan Tuhan.—Rm 5:1, 2; 8:33; Ibr 10:16, 17.
Saudara-saudara Kristus yang diurapi kuasa suci Tuhan menjadi imam-imam di bawah Imam Agung. Mereka ialah “imam-imam yang berkhidmat sebagai raja.” (1Pt 2:9; Why 5:9, 10; 20:6) Mereka melakukan “khidmat suci” (Flp 2:17), dan dipanggil “hamba kepada perjanjian yang baharu.” (2Ko 3:6) Mereka harus mengikut jejak Kristus dengan teliti dan setia sehingga mereka mati. Kemudian Yehuwa akan menjadikan mereka imam-imam yang berkhidmat sebagai raja. Mereka akan menjadi makhluk roh dan mempunyai tubuh yang tidak dapat mati dan menerima warisan yang tidak dapat musnah. Mereka akan memerintah bersama Kristus di syurga. (1Pt 2:21; Rm 6:3, 4; 1Ko 15:53; 1Pt 1:4; 2Pt 1:4) Tujuan perjanjian ini adalah untuk memilih umat yang akan menyandang nama Yehuwa daripada kalangan bangsa-bangsa lain untuk menjadi sebahagian daripada keturunan Abraham. (Kis 15:14) Mereka menjadi “pengantin perempuan” Kristus, dan terlibat dalam perjanjian untuk Kerajaan yang dibuat oleh Yesus dengan mereka agar mereka dapat memerintah bersamanya di syurga. (Yoh 3:29; 2Ko 11:2; Why 21:9; Lu 22:29; Why 1:4-6; 5:9, 10; 20:6) Perjanjian baharu ini berkuat kuasa sehingga semua “Israel milik Tuhan” dibangkitkan ke syurga. Manfaat yang dibawa oleh perjanjian ini akan kekal buat selama-selamanya. Itulah sebabnya perjanjian ini juga dapat dipanggil sebagai “perjanjian yang kekal.”—Ibr 13:20.
9-15 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IBRANI 9-10
“Bayangan kepada Perkara-Perkara Baik yang Akan Datang”
(Ibrani 9:12-14) Kristus masuk ke dalam Bilik Maha Suci bukan dengan membawa darah kambing atau darah lembu jantan muda, tetapi dengan membawa darahnya sendiri. Dia masuk sekali untuk selama-lamanya dan memperoleh pembebasan yang kekal untuk kita. 13 Jika darah kambing dan darah lembu jantan serta percikan abu daripada korban anak lembu ke atas orang yang najis dapat menjadikan orang itu bersih di mata Tuhan, 14 apatah lagi darah Kristus! Memandangkan dia sudah menurut bimbingan kuasa suci Tuhan yang abadi dan mempersembahkan dirinya yang tidak bercacat cela kepada Tuhan, sudah tentu darahnya dapat memurnikan hati nurani kita daripada perbuatan yang sia-sia agar kita dapat menjalankan khidmat suci kepada Tuhan yang hidup.
it-1 115
Ampun, Pengampunan
Menurut hukum Tuhan yang diberikan kepada bangsa Israel, dosa seseorang dapat diampunkan hanya jika dua syarat dipenuhi. Satu, dia harus mengambil langkah-langkah untuk membetulkan kesalahannya seperti yang telah ditetapkan oleh Hukum. Dua, dia harus mempersembahkan korban binatang kepada Yehuwa, dan darah binatang itu harus dicurahkan. (Im 5:5–6:7) Itulah sebabnya Paulus berkata, “Ya, menurut Hukum, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Jika darah tidak dicurahkan, dosa pun tidak dapat diampunkan.” (Ibr 9:22) Tetapi sebenarnya, darah korban binatang tidak dapat menyingkirkan dosa dan memberikan hati nurani yang bersih sepenuhnya. (Ibr 10:1-4; 9:9, 13, 14) Sebaliknya, melalui perjanjian baharu yang dinubuatkan, pengampunan yang sejati dapat diberikan atas dasar korban tebusan Yesus Kristus. (Yer 31:33, 34; Mt 26:28; 1Ko 11:25; Ef 1:7) Bahkan ketika Yesus berada di bumi, dia memperlihatkan bahawa dia mempunyai kuasa dan hak untuk mengampunkan dosa semasa menyembuhkan seorang lelaki yang lumpuh.—Mt 9:2-7.
(Ibrani 9:24-26) Kristus tidak masuk ke dalam Bilik Maha Suci yang dibuat dengan tangan manusia, yang hanyalah tiruan daripada Bilik Maha Suci yang sebenar. Tetapi dia masuk ke syurga; sekarang di sana, dia menghadap Tuhan bagi pihak kita. 25 Dia berbuat demikian, bukan untuk mempersembahkan dirinya berulang kali, seperti yang dilakukan oleh imam agung yang masuk ke dalam Bilik Maha Suci tiap-tiap tahun dengan membawa darah yang bukan darahnya sendiri. 26 Jika tidak, dia perlu menderita berulang kali sejak dunia diasaskan. Tetapi sekarang, pada penghujung sistem-sistem ini, dia sudah menunjukkan dirinya sekali sahaja untuk selama-lamanya, dan dia telah mengorbankan dirinya untuk menyingkirkan dosa.
cf 183 per. 4
“Teruslah Mengikut Aku”
4 Bible memang tidak menceritakan apa yang berlaku sebaik sahaja Yesus kembali ke syurga, dan kita tidak tahu bagaimana ketibaan Yesus disambut atau suasananya di situ pada waktu itu. Namun, dari dahulu lagi, Bible menyingkapkan apa yang akan berlaku tidak lama selepas Yesus kembali ke syurga. Selama lebih daripada 15 abad, orang Yahudi telah menyambut Hari Pengampunan Dosa setiap tahun. Satu hari setiap tahun, imam agung masuk ke dalam Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan untuk memercikkan darah korban Hari Pengampunan Dosa di hadapan tabut perjanjian. Pada hari itu, imam agung menggambarkan Mesias. Setelah Yesus kembali ke syurga, “dia masuk sekali untuk selama-lamanya dan memperoleh pembebasan yang kekal untuk kita.” Ya, dia menghadap Yehuwa di syurga, iaitu tempat yang paling suci di seluruh alam semesta, dan dia telah mempersembahkan nilai korban tebusannya kepada Bapanya. (Ibrani 9:11, 12, 24) Adakah Yehuwa menerima nilai korban tebusannya?
(Ibrani 10:1-4) Hukum hanyalah bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang, dan bukannya perkara-perkara itu sendiri. Itulah sebabnya hukum itu tidak mungkin dapat menjadikan orang yang menyembah Tuhan sempurna melalui korban-korban yang sama yang terus dipersembahkan dari tahun ke tahun. 2 Andai kata korban-korban itu dapat menyempurnakan orang yang menyembah Tuhan, korban pun tidak lagi perlu dipersembahkan kerana setelah mereka dibersihkan, mereka tidak lagi berasa bersalah. 3 Tetapi melalui korban-korban ini, mereka diingatkan tentang dosa-dosa mereka tahun demi tahun. 4 Hal ini demikian kerana darah lembu jantan dan darah kambing tidak mungkin dapat menghapuskan dosa.
it-2 765 per. 3
Sempurna, Kesempurnaan
Kesempurnaan Hukum Musa. Di bawah Hukum yang diberikan kepada Israel melalui Musa, terdapat aturan imam dan aturan untuk mempersembahkan pelbagai korban binatang. Hukum itu berasal daripada Tuhan dan adalah sempurna. Namun Hukum Musa, aturan imam, ataupun korban-korban, tidak dapat membawa kesempurnaan bagi manusia. (Ibr 7:11, 19; 10:1) Hukum tidak membebaskan kita daripada dosa dan kematian, sebaliknya membuat dosa menjadi lebih nyata. (Rm 3:20; 7:7-13) Meskipun begitu, semua aturan ini memenuhi tujuan Tuhan. Hukum berperanan sebagai “pembimbing” yang memimpin kita kepada Kristus dan merupakan “bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang.” (Ga 3:19-25, nota kaki; Ibr 10:1) Maka, semasa Paulus bercakap tentang “perkara yang tidak dapat dilakukan oleh Hukum, kerana ketidaksempurnaan manusia” (Rm 8:3), nampaknya dia sedang merujuk kepada ketidakmampuan imam agung Yahudi (yang dilantik oleh Hukum untuk bertanggungjawab atas semua korban dan yang memasuki Bilik Maha Suci pada Hari Pengampunan Dosa dengan membawa darah korban) untuk menyelamatkan orang Israel, seperti yang dijelaskan di Ibrani 7:11, 18-28. Meskipun korban yang dipersembahkan oleh para imam membolehkan bangsa Israel mendapat perkenan Tuhan, hal itu tidak membebaskan mereka daripada dosa secara sepenuhnya atau secara sempurna. Rasul Paulus menyentuh tentang hal itu semasa dia menyatakan bahawa korban pengampunan dosa “tidak mungkin dapat menjadikan orang yang menyembah Tuhan sempurna,” dan “tidak dapat menyempurnakan hati nurani orang yang menjalankan khidmat suci.” (Ibr 10:1-4; bandingkan Ibr 9:9.) Imam agung tidak mampu menyediakan nilai yang diperlukan untuk menebus dosa manusia secara sepenuhnya. Hanya korban Kristus yang dipersembahkan sekali buat selama-lamanya dapat melaksanakan hal tersebut dengan sepenuhnya.—Ibr 9:14; 10:12-22.
Mencari Permata Rohani
(Ibrani 9:16,1 7) Semasa membuat perjanjian, orang yang membuat perjanjian itu perlu mati. 17 Selagi orang itu masih hidup, perjanjian itu tidak sah, kerana suatu perjanjian hanya akan menjadi sah dengan adanya kematian.
w92 1/3 31 per. 4-6
Pertanyaan Pembaca
Paulus menyatakan bahawa kematian diperlukan untuk mengesahkan perjanjian-perjanjian antara Tuhan dengan manusia. Mari kita ambil Perjanjian Hukum Musa sebagai contoh. Musa ialah perantara hukum itu, iaitu orang yang mengadakan perjanjian antara Tuhan dengan Israel jasmani. Maka Musa memainkan peranan yang sangat penting dan dialah manusia yang berurusan dengan bangsa Israel sewaktu mereka terlibat dalam perjanjian tersebut. Itulah sebabnya kita dapat mengatakan bahawa Musa ialah orang yang membuat perjanjian itu. Tetapi Musa tidak perlu mencurahkan darahnya atau mengorbankan nyawanya agar perjanjian itu mula berkuat kuasa. Sebaliknya darah binatang-binatang dipersembahkan untuk menggantikan darah Musa.—Ibrani 9:18-22.
Bagaimana pula dengan perjanjian baharu antara Yehuwa dengan bangsa Israel rohani? Kristus Yesus mempunyai peranan sebagai perantara antara Yehuwa dengan bangsa Israel rohani. Walaupun Yehuwa yang membuat perjanjian ini, Kristus Yesus memainkan peranan yang utama. Selain menjadi perantara perjanjian ini, Yesus berada di bumi dan telah berurusan secara langsung dengan sebilangan daripada orang pertama yang terlibat dalam perjanjian ini. (Lukas 22:20, 28, 29) Selain itu, dia memenuhi syarat untuk menyediakan korban yang diperlukan untuk mengesahkan perjanjian tersebut. Korban yang dimaksudkan bukanlah korban binatang tetapi korban kehidupannya yang sempurna. Itulah sebabnya Paulus memanggil Kristus sebagai “orang yang membuat perjanjian itu.” Setelah ‘Kristus masuk ke syurga dan menghadap Tuhan bagi pihak kita,’ perjanjian baharu ini menjadi sah.—Ibrani 9:12-14, 24.
Biarpun Paulus memanggil Musa dan Yesus sebagai orang yang membuat perjanjian, yang sebenarnya membuat kedua-dua perjanjian itu ialah Tuhan. Mereka berdua memainkan peranan yang utama dalam perjanjian itu dan merupakan perantara antara manusia dengan Tuhan. Dalam setiap perjanjian, kematian diperlukan—binatang-binatang menggantikan Musa, dan Yesus mempersembahkan nyawanya bagi mereka yang terlibat dalam perjanjian baharu.
(Ibrani 10:5-7) Itulah sebabnya semasa Kristus datang ke dunia, dia berkata, “‘Engkau tidak menginginkan korban dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagiku. 6 Engkau tidak berkenan kepada korban bakar dan korban dosa.’ 7 Lalu aku berkata, ‘Ya Tuhan, aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis dalam gulungan kitab tentang diriku.’”
it-1 309
Baptis, Pembaptisan
Lukas menyatakan bahawa Yesus berdoa semasa dia dibaptis. (Lu 3:21) Dalam surat kepada orang Ibrani, Paulus berkata bahawa semasa Yesus Kristus datang “ke dunia” (bukan pada waktu dia lahir dan belum dapat membaca atau menyampaikan kata-kata ini, tetapi pada waktu dia mempersembahkan dirinya untuk dibaptis dan mula berkhidmat kepada Tuhan) dia memetik ayat di Mazmur 40:6-8 dan berkata, ‘Engkau tidak menginginkan korban ataupun persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagiku. Ya Tuhan, aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis dalam gulungan kitab tentang diriku.’ (Ibr 10:5-9) Yesus dilahirkan sebagai salah seorang anggota bangsa Yahudi. Maka dia juga terlibat dalam perjanjian Hukum Musa, iaitu perjanjian yang dibuat oleh Tuhan dengan bangsa Israel. (Kel 19:5-8; Ga 4:4) Oleh itu, semasa Yesus pergi kepada Yohanes untuk dibaptis, dia sedang melakukan lebih daripada apa yang dituntut oleh Hukum Musa. Dia sedang menyatakan kerelaannya untuk melakukan kehendak Bapanya dengan ‘mempersembahkan tubuhnya’ sebagai korban untuk menggantikan korban-korban binatang yang dituntut oleh Hukum Musa. Rasul Paulus menyatakan, “Melalui ‘kehendak’ itu, kita telah disucikan menerusi tubuh Yesus Kristus yang dipersembahkan sekali untuk selama-lamanya.” (Ibr 10:10) Kehendak Bapanya juga merangkumi segala sesuatu yang berkaitan dengan Kerajaan Tuhan, dan Yesus telah mempersembahkan dirinya untuk melaksanakan semua hal itu. (Lu 4:43; 17:20, 21) Yehuwa menerima persembahan Anak-Nya itu dengan mengurapi dia dengan kuasa suci-Nya dan berfirman, “Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadamu.”—Mr 1:9-11; Lu 3:21-23; Mt 3:13-17.
16-22 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IBRANI 11
“Mengapakah Iman Penting?”
(Ibrani 11:6) Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan, kerana sesiapa yang menghadap Tuhan mesti percaya bahawa Dia wujud dan bahawa Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.
“Dia Memberikan Ganjaran kepada Orang yang Mencari-Nya dengan Bersungguh-sungguh”
Apakah yang harus kita miliki agar dapat menyenangkan hati Yehuwa? “Tanpa iman, tidak ada seorang pun dapat menyenangkan hati Tuhan,” kata Paulus. Perhatikan bahawa Paulus tidak mengatakan bahawa kita susah menyenangkan hati Tuhan tanpa iman. Sebaliknya, dia mengatakan bahawa kita tidak dapat melakukannya. Jadi, memiliki iman adalah syarat untuk menyenangkan hati Tuhan.
Untuk menyenangkan hati Tuhan, iman kita kepada Tuhan harus merangkumi dua hal. Pertama, kita harus “percaya bahawa Dia wujud.” Kita tidak dapat menyenangkan hati Tuhan jika kita tidak yakin sama ada Dia wujud atau tidak. Namun, sekadar mempercayai bahawa Tuhan wujud tidak bermaksud kita mempunyai iman sejati kerana roh-roh jahat pun percaya bahawa Yehuwa wujud. (Yakobus 2:19) Iman yang sejati perlu dibuktikan melalui perbuatan. Kita harus berusaha sedaya upaya untuk hidup selaras dengan piawaian Tuhan dan menyenangkan hati-Nya.—Yakobus 2:20, 26.
Kedua, kita mesti percaya bahawa “Dia memberikan ganjaran kepada orang.” Seseorang yang mempunyai iman sejati benar-benar yakin bahawa usahanya untuk menyenangkan hati Tuhan tidak akan sia-sia. (1 Korintus 15:58) Kita tidak dapat menyenangkan hati Yehuwa jika kita meragui kemampuan dan keinginan-Nya untuk memberikan ganjaran kepada kita. (Yakobus 1:17; 1 Petrus 5:7) Jika seseorang berasa bahawa Tuhan tidak prihatin, tidak murah hati, dan tidak menghargai usahanya, dia tidak mengenal Tuhan yang benar.
Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada siapa? Paulus berkata, “Orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.” Menurut sebuah buku rujukan Bible, kata Yunani yang diterjemahkan sebagai “mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh” tidak bererti mencari Tuhan secara harfiah, tetapi bererti mendekati Tuhan melalui ibadat. Buku rujukan yang lain menjelaskan bahawa kata kerja Yunani itu juga menunjukkan bahawa kegigihan dan usaha yang besar diperlukan. Ya, Yehuwa akan memberikan ganjaran kepada orang yang menyembah-Nya dengan sepenuh hati, iman yang kuat, kasih yang tulus, dan semangat yang membara.—Matius 22:37.
Mencari Permata Rohani
(Ibrani 11:4) Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban kepada Tuhan, dan korbannya lebih bernilai daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain. Dengan imannya itu, Habel menerima kesaksian bahawa dia diperkenankan Tuhan, kerana Tuhan berkenan dengan pemberiannya. Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata meskipun dia sudah mati.
it-1 1045 per. 1
Iman
Teladan Iman Zaman Dahulu. Iman setiap orang yang tersenarai di Ibrani 12:1 adalah berdasarkan bukti yang kukuh. Misalnya, Habel pasti tahu tentang janji Tuhan sehubungan dengan ‘keturunan’ yang akan meremukkan kepala “ular.” Dia juga pasti melihat bukti-bukti nyata yang menunjukkan bahawa hukuman yang dikenakan oleh Yehuwa ke atas ibu bapanya di Taman Eden memang menjadi kenyataan. Di luar Taman Eden, Adam dan keluarganya perlu “berpeluh-peluh untuk mencari makanan” kerana tanah sudah dikutuk Tuhan dan menghasilkan semak berduri dan lalang. Habel mungkin melihat bahawa Hawa memiliki keinginan yang kuat terhadap suaminya dan bahawa Adam telah menguasai isterinya. Barangkali, ibunya telah memberitahunya tentang kesakitan yang dialaminya semasa bersalin. Selain itu, jalan masuk ke dalam Taman Eden dijaga oleh kerub-kerub dan sebilah pedang berapi yang berpusing-pusing. (Kej 3:14-19, 24) Semua hal itu menjadi “bukti yang kukuh,” yang memberi Habel jaminan bahawa keturunan yang dijanjikan akan membawa penyelamatan kepada umat manusia. Oleh itu, “kerana beriman, Habel mempersembahkan korban kepada Tuhan, dan korbannya lebih bernilai daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain.”—Ibr 11:1, 4.
23-29 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IBRANI 12-13
“Disiplin—Bukti akan Kasih Yehuwa”
(Ibrani 12:6, 7) kerana Aku, Yehuwa, mendisiplinkan orang yang Aku kasihi. Sebenarnya, Aku menghukum setiap orang yang Aku terima sebagai anak.” 7 Kamu perlu bertabah kerana hal itu merupakan sebahagian daripada disiplin kamu. Tuhan memperlakukan kamu sebagai anak-anak-Nya, dan anak manakah yang tidak didisiplinkan oleh bapanya?
“Semasa Kamu Berdoa, Katalah, ‘Bapa’”
Seorang bapa yang pengasih mendisiplinkan anak-anaknya kerana dia ingin anak-anaknya menjadi orang yang baik. (Efesus 6:4) Bapa seperti itu mungkin tegas, tetapi tidak pernah kasar semasa menegur anak-anaknya. Begitu juga, Bapa kita yang di syurga kadangkala perlu mendisiplinkan kita. Namun, Tuhan selalu mendisiplinkan kita dengan kasih dan tidak pernah berbuat demikian dengan kasar. Seperti Bapanya, Yesus tidak pernah bertindak dengan kasar, bahkan semasa murid-muridnya lambat menerima tegurannya.—Matius 20:20-28; Lukas 22:24-30.
it-1 585
Disiplin
Apa pun cabaran atau penganiayaan yang diizinkan Yehuwa boleh menjadi sebagai disiplin atau latihan kepada umat-Nya. Setelah melalui semua itu, kita akan menuai buah kedamaian dan kehidupan yang diperkenankan Tuhan. (Ibr 12:4-11) Bahkan Anak Tuhan dilengkapi untuk menjadi imam agung yang lebih bersimpati dan berbelas kasihan setelah melalui penderitaan yang diizinkan oleh Bapanya.—Ibr 4:15.
Mencari Permata Rohani
(Ibrani 13:9) Janganlah disesatkan oleh pelbagai ajaran yang ganjil. Adalah lebih baik jika hati kita diteguhkan oleh kebaikan hati yang unggul daripada diteguhkan oleh makanan, kerana orang yang terlalu bertumpu kepada makanan tidak akan meraih manfaat daripadanya.
w89 15/12 22 per. 10
Persembahkan Korban yang Menyenangkan Hati Yehuwa
10 Oleh itu, orang Ibrani perlu berwaspada agar tidak “disesatkan oleh pelbagai ajaran yang ganjil” yang disebarkan oleh para pemeluk agama Yahudi. (Galatia 5:1-6) Ajaran sedemikian tidak dapat membantu orang untuk tetap berada dalam kebenaran. Sebaliknya, Bible menyatakan bahawa ‘hati kita diteguhkan oleh kebaikan hati Tuhan yang unggul.’ Ada orang yang menimbulkan perselisihan kerana makanan dan korban tetapi Paulus berkata bahawa “orang yang terlalu bertumpu kepada makanan tidak akan meraih manfaat daripadanya.” Kita dapat meraih manfaat rohani jika kita menyembah Tuhan dengan sepenuh hati dan menghargai korban tebusan Yesus, dan bukannya dengan menetapkan peraturan tentang makanan tertentu atau hari-hari tertentu. (Roma 14:5-9) Selain itu, selepas Kristus mengorbankan nyawanya, korban yang dipersembahkan oleh imam-imam Lewi tidak lagi bernilai.—Ibrani 9:9-14; 10:5-10.
30 SEPTEMBER–6 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YAKOBUS 1-2
“Haluan yang Menuju Dosa dan Kematian”
(Yakobus 1:14) Sebaliknya, setiap orang dicubai semasa dia digoda dan diumpan oleh keinginannya sendiri.
g17.4 14
Godaan
Jika anda tertarik kepada sesuatu, terutamanya jika hal itu sesuatu yang salah, hal itu bermaksud anda sudah tergoda. Misalnya, semasa membeli-belah, anda nampak barang yang sangat anda sukai. Anda melihat di sekeliling anda dan tahu bahawa anda dapat mencuri barang itu tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Tetapi hati nurani anda melarang anda untuk berbuat demikian. Maka anda menolak fikiran yang salah itu. Pada waktu itu, anda berjaya untuk mengatasi godaan itu.
NASIHAT BIBLE
Jika anda tergoda, hal itu tidak bermaksud bahawa anda orang yang jahat. Bible memberitahu kita bahawa kita semua pernah tergoda. (1 Korintus 10:13) Tetapi apa yang kita lakukan semasa kita digoda akan menentukan sama ada kita akan berdosa atau tidak. Ada orang yang terus berfikir tentang keinginan yang salah dan melakukan dosa. Yang lain pula menyingkirkan keinginan yang salah dengan serta-merta.
“Setiap orang dicubai semasa dia digoda dan diumpan oleh keinginannya sendiri.”—Yakobus 1:14.
(Yakobus 1:15) Apabila keinginan itu menjadi subur, maka lahirlah dosa, dan perbuatan dosa akhirnya akan menyebabkan kematian.
g17.4 14
Godaan
Bible menjelaskan apa yang menyebabkan seseorang berbuat salah. Yakobus 1:15 menyatakan, “Apabila keinginan [yang salah] itu menjadi subur, maka lahirlah dosa.” Sepertimana wanita yang hamil pasti akan melahirkan anak, kita pasti akan berbuat salah jika kita terus memikirkan keinginan yang salah. Tetapi, kita dapat mengatasi keinginan yang salah dan tidak diperhamba olehnya.
Mencari Permata Rohani
(Yakobus 1:17) Setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna berasal dari syurga dan diturunkan oleh Bapa, Sumber segala cahaya. Dia tidak berubah-ubah seperti bayang-bayang.
it-1 488 per. 1
Cahaya; Terang
Yehuwa ialah “Sumber segala cahaya.” (Yak 1:17) Dia bukan sahaja ‘membuat matahari untuk menerangi siang dan memberikan perintah kepada bulan dan bintang untuk menerangi malam,’ (Yer 31:35) Dia bahkan juga merupakan sumber cahaya rohani. (2Ko 4:6) Hukum Tuhan, segala perintah-Nya, dan firman-Nya adalah cahaya bagi orang yang membiarkan diri dibimbing oleh-Nya. (Mz 43:3; 119:105; Ams 6:23; Yes 51:4) Sang pemazmur berseru, “Kerana cahaya-Mu, kami dapat melihat cahaya.” (Mz 36:9; bandingkan Mz 27:1; 43:3.) Cahaya matahari terus bertambah terang dari waktu fajar “sehingga sinarannya terang-benderang.” Begitu juga, jalan hidup orang yang melakukan apa yang benar “kian lama kian cerah” kerana mereka dibimbing oleh kebijaksanaan daripada Tuhan. (Ams 4:18) Jika kita mengikut jalan hidup yang ditetapkan oleh Yehuwa, kita sedang berjalan dalam cahaya Yehuwa. (Yes 2:3-5) Sebaliknya, jika seseorang memandang segala sesuatu dalam cara yang negatif atau dengan rancangan yang jahat, dia berada dalam keadaan yang sangat gelap secara rohani. Seperti yang dikatakan oleh Yesus, “Jika matamu jahat, seluruh tubuhmu akan menjadi gelap. Jika cahaya dalam dirimu itu sebenarnya ialah kegelapan, alangkah pekatnya kegelapan itu!”—Mt 6:23; bandingkan Ul 15:9; 28:54-57; Ams 28:22; 2Pt 2:14.
(Yakobus 2:8) Ayat suci menyatakan, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” Jika kamu mengamalkan hukum agung ini, kamu sedang melakukan apa yang baik.
it-1 987 per. 5
Hukum
“Hukum Diraja.” Seorang raja mempunyai kedudukan yang tertinggi di negaranya. Maka, “hukum diraja” adalah hukum yang utama dan hukum yang paling penting antara hukum-hukum yang membimbing hubungan sesama manusia. (Yak 2:8, nota kaki) Perjanjian Hukum Musa adalah berdasarkan kasih. Yesus menyatakan bahawa “seluruh Hukum dan Ajaran Para Nabi didasarkan pada” dua hukum. Hukum kedua, yang juga dipanggil hukum diraja, berbunyi, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” (Mt 22:37-40) Walaupun kita tidak berada di bawah perjanjian Hukum Musa dan tidak tertakluk kepadanya, kita tunduk kepada hukum Raja Yehuwa dan Anak-Nya, Raja Yesus Kristus, sehubungan dengan perjanjian baharu.
KEHIDUPAN KRISTIAN KITA
g 11/13 4-5
BANTUAN UNTUK KELUARGA | IBU BAPA
Cara untuk Membincangkan Topik Sexting dengan Anak Anda
CABARANNYA
Anda mungkin pernah dengar tentang gejala sexting yang popular dalam kalangan orang muda. Anda mungkin tertanya, “Adakah anak saya juga akan buat begitu?”
Anda ingin membincangkan hal ini dengan anak anda. Tetapi apakah caranya? Mula-mula, anda perlu tahu sebabnya ramai orang muda terlibat dalam gejala sexting dan mengapa anda tidak patut meremehkan hal ini.a
MENGAPA HAL INI BERLAKU
• Sesetengah remaja menghantar mesej yang tidak senonoh kerana mahu mengusik atau bermain cinta dengan orang yang disukai.
• Terdapat juga gadis yang menghantar gambarnya yang tidak senonoh kerana dia didesak oleh pemuda yang lain.
• Ada kalanya, seorang pemuda mungkin menghantar gambar lucah gadis lain untuk menghibur kawan-kawannya atau untuk membalas dendam selepas putus cinta.
Tidak kira apa sebabnya, para remaja yang memiliki telefon bimbit dapat menyebabkan dirinya terjerumus dalam masalah. “Hidup seseorang dapat diubah hanya dengan satu klik,” kata buku CyberSafe.
Ramai yang tidak sedar bahawa gambar yang dihantar secara elektronik bukan lagi milik si penghantar. Dia tidak lagi dapat mengawal bagaimana gambarnya itu akan digunakan. Dalam satu kes, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat melaporkan bahawa seorang gadis yang berumur 18 tahun telah “membunuh diri setelah gambar bogelnya yang dihantar kepada teman lelakinya telah dikongsi dengan ratusan remaja lain dalam sekolahnya. Akibatnya, dia juga telah diganggu oleh rakan sekolah lain yang terus mengongsi gambar itu.”
Dalam sesetengah situasi, perbuatan sexting juga merupakan kesalahan di sisi undang-undang. Contohnya, di sesetengah tempat, remaja yang di bawah umur yang menghantar gambar lucah kepada rakan sebaya yang juga di bawah umur didakwa dengan kesalahan yang berkaitan dengan pornografi kanak-kanak. Mereka juga akan mempunyai rekod kesalahan sebagai pesalah laku seksual. Sebagai ibu bapa, anda juga akan dipertanggungjawabkan sekiranya nombor telefon bimbit didaftar atas nama anda, atau jika anda gagal mengambil tindakan untuk menghalang anak anda daripada gejala sexting.
APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN
Tetapkan peraturan. Walaupun anda tidak dapat mengawal penggunaan telefon bimbit anak anda dengan sepenuhnya, anda boleh tetapkan peraturan dan menyatakan akibatnya jika anak anda gagal mematuhi peraturan anda. Ingatlah, sebagai ibu bapa, anda mempunyai hak untuk mengawasi cara anak anda menggunakan telefonnya.—Prinsip Bible: Efesus 6:1.
Bantulah anak anda untuk memahami mengapa sexting adalah salah. Anda boleh berkata, “Banyak orang mempunyai pandangan yang berbeza tentang apa itu sexting. Bagi kamu, apa itu sexting?” “Bagi kamu, gambar seperti apa yang dianggap tidak senonoh?” “Di sesetengah tempat, undang-undang negara menyatakan bahawa remaja di bawah umur yang menghantar gambar bogel adalah suatu jenayah. Adakah kamu rasa perbuatan menghantar gambar sebegitu sesuatu yang serius dan salah?” “Mengapakah sexting perbuatan yang tidak bermoral?” Dengarlah dengan teliti pandangan anak anda, dan bantu dia untuk berfikir sebelum bertindak.—Prinsip Bible: Ibrani 5:14.
Gunakan contoh situasi yang mungkin berlaku. Anda boleh berkata kepada anak perempuan anda, “Katakan seorang perempuan dipaksa oleh seorang budak lelaki untuk menghantar mesej yang tidak senonoh kepadanya. Apakah perempuan itu patut buat? Buat saja kerana takut kehilangan kawan? Menolak permintaannya tetapi terus bermain cinta dengannya? Memutuskan hubungan dengan orang itu? Memberitahu orang dewasa tentang perkara itu?” Bantulah anak anda untuk berfikir tentang hal itu. Anda juga boleh guna cara yang serupa semasa berbincang dengan anak lelaki anda.—Prinsip Bible: Galatia 6:7.
Bantu anak anda untuk membuat pertimbangan berdasarkan hati nuraninya. Tanyalah soalan seperti: Adakah penting bagi kamu untuk memiliki reputasi yang baik? Kamu mahu dikenali sebagai orang yang mempunyai sifat-sifat apa? Apakah pandangan kamu terhadap diri kamu jika kamu telah memalukan seseorang dengan mengongsi gambarnya yang tidak senonoh? Apakah perasaan kamu jika kamu berusaha melakukan apa yang betul? Bantulah anak anda memiliki hati nurani yang “sentiasa bersih.”—1 Petrus 3:16.
Jadilah teladan yang baik. Menurut Bible, kebijaksanaan daripada Tuhan haruslah murni dan tidak bermuka dua. (Yakobus 3:17) Adakah anda berusaha hidup mengikut prinsip itu? “Kita harus menjadi teladan yang baik dan tidak mengunjungi laman web atau melihat gambar-gambar yang tidak senonoh atau yang diharamkan,” kata buku CyberSafe.
AYAT-AYAT KUNCI
“Hai anak-anak, selaras dengan kehendak Tuan, patuhilah ibu bapa.”—Efesus 6:1.
‘Orang matang menggunakan daya penilaian yang sudah terlatih untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.’—Ibrani 5:14.
“Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya.”—Galatia 6:7.
CADANGAN
Jika anda berasa kekok untuk berbincang tentang topik sexting dengan anak anda, cubalah cara ini:
Pertama, tanyalah anak anda apa yang sering dilakukan oleh remaja lain. Selepas itu, katalah, “Saya selalu dengar orang cakap tentang sexting. Adakah ini sesuatu yang biasa?”
Kemudian, tanya pandangannya tentang perbuatan mereka itu. Anda boleh tanya, “Kamu rasa, adakah mereka sedar apa akibat perbuatan sexting?”
Akhirnya, bincanglah dengan anak anda tentang apa yang harus dilakukan. Anda boleh kata, “Mari bincang tentang apa yang boleh kamu buat jika seseorang menghantar mesej yang tidak senonoh.”
Tip: Anda boleh menyebut tentang suatu berita untuk memulakan perbualan. Contohnya, anda boleh berkata, “Saya terbaca berita tentang seorang remaja perempuan. Gambar bogelnya disebarkan kepada semua orang di sekolah. Adakah perkara seperti ini betul-betul berlaku?”
[Nota Kaki]
a “Sexting” merujuk kepada perbuatan menghantar mesej, gambar, atau video lucah melalui telefon bimbit. Untuk maklumat lanjut, sila layari jw.org/ms dan baca rencana dalam talian yang bertajuk, “Kaum Muda Bertanya—Apakah yang Perlu Saya Tahu tentang Sexting?”—Lihat bahagian AJARAN BIBLE > REMAJA.