PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr20 Januari ms. 1-9
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2020
  • Tajuk Kecil
  • 6-12 JANUARI
  • Mencari Permata Rohani
  • 13-19 JANUARI
  • Mencari Permata Rohani
  • 20-26 JANUARI
  • Mencari Permata Rohani
  • 27 JANUARI–2 FEBRUARI
  • Mencari Permata Rohani
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2020
mwbr20 Januari ms. 1-9

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

6-12 JANUARI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 1-2

“Yehuwa Menciptakan Kehidupan di Bumi”

(Kejadian 1:3, 4) Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada cahaya.” Maka cahaya pun ada. 4 Tuhan berpuas hati melihat hal itu, dan Dia telah memisahkan cahaya daripada kegelapan.

(Kejadian 1:6) Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada ruang untuk membahagikan air, dan biarlah air dipisahkan menjadi dua.”

(Kejadian 1:9) Lalu Tuhan berfirman, “Hendaklah air yang ada di bawah langit dikumpulkan ke satu tempat supaya tanah yang kering kelihatan.” Itulah yang terjadi.

(Kejadian 1:11) Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah tanah mengeluarkan rumput dan tumbuhan yang menghasilkan biji benih. Hendaklah tanah mengeluarkan pokok yang berbuah mengikut jenisnya, dan hendaklah buah itu mengandungi biji.” Itulah yang terjadi.

it-1 506

Ciptaan; Penciptaan

Pada Hari Penciptaan yang Pertama, Tuhan berfirman, “Hendaklah ada cahaya.” Pada masa itu, cahaya daripada matahari sudah menembusi lapisan awan, tetapi belum jelas kelihatan dari bumi. Nampaknya, proses ini berlaku secara beransur-ansur seperti yang dinyatakan oleh seorang penterjemah, J.W. Watts: “Dan cahaya wujud secara beransur-ansur.” (Kej 1:3, A Distinctive Translation of Genesis) Tuhan “memisahkan cahaya daripada kegelapan” dan memanggil cahaya itu “Siang” dan kegelapan itu “Malam.” Hal ini menunjukkan bahawa bumi berputar pada paksinya sambil mengelilingi matahari. Dengan itu, hemisfera barat dan timur akan mengalami perubahan siang dan malam.​—Kej 1:3, 4.

Pada Hari Penciptaan yang Kedua, Tuhan menghasilkan ruang dengan “membahagikan air” menjadi dua bahagian. Sebahagian air ada di bumi, tetapi kebanyakannya berada jauh di atas permukaan bumi. Dengan itu, wujudlah ruang di antara dua bahagian air tersebut. Tuhan memanggil ruang itu “Langit,” dan ruang ini tidak meliputi bintang-bintang atau ciptaan lain di angkasa lepas.​—Kej 1:6-8.

Pada Hari Penciptaan yang Ketiga, Tuhan menggunakan kuasa-Nya untuk mengumpulkan air di bumi dan menyebabkan tanah timbul, lalu memanggilnya “Darat.” Daripada atom-atom, Tuhan juga menciptakan tiga jenis benda hidup, iaitu rumput, tumbuh-tumbuhan, dan pokok buah. Ketiga-tiga jenis hidupan ini mampu membiak “menurut jenisnya.” (Kej 1:9-13) Hal ini menunjukkan hidupan tidak wujud secara evolusi atau kebetulan.

(Kejadian 1:14) Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah ada benda-benda terang di langit untuk memisahkan siang daripada malam, dan untuk menandakan musim, hari, dan tahun.

(Kejadian 1:20) Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah air dipenuhi dengan makhluk hidup, dan hendaklah makhluk terbang berterbangan di atas bumi melintasi langit.”

(Kejadian 1:24) Kemudian Tuhan berfirman, “Hendaklah bumi mengeluarkan makhluk hidup menurut jenisnya: Binatang jinak, binatang menjalar, dan binatang liar menurut jenisnya.” Itulah yang terjadi.

(Kejadian 1:27) Maka Tuhan menciptakan manusia menurut gambaran-Nya. Demikianlah lelaki dan perempuan diciptakan menurut gambaran Tuhan.

it-1 506-507

Ciptaan; Penciptaan

Di Kejadian 1:16, perkataan Ibrani ba·raʼʹ, yang bermaksud “cipta,” tidak digunakan. Sebaliknya, perkataan Ibrani ʽa·sahʹ, yang bermaksud “buat,” digunakan. Sebenarnya, Kejadian 1:1 menyatakan bahawa Tuhan menciptakan “langit,” dan ini termasuk matahari, bulan, dan bintang. Maka pada Hari Penciptaan yang Keempat, Tuhan bukannya menciptakan matahari, bulan, dan bintang, tetapi “membuat” jasad-jasad cakerawala ini kelihatan dari muka bumi. Bible berkata, “Tuhan menempatkan benda-benda terang itu di langit untuk menerangi bumi” dan “untuk menandakan musim, hari, dan tahun.” Ciptaan ini telah membantu manusia dalam pelbagai cara.​—Kej 1:14.

Pada Hari Penciptaan yang Kelima, banyak hidupan diciptakan di bumi tetapi ini tidak termasuk manusia. Tuhan tidak menciptakan satu jenis hidupan yang akan berubah atau berevolusi menjadi hidupan lain. Sebaliknya, Dia menggunakan kuasa-Nya untuk memenuhi bumi dengan hidupan. Bible menyatakan, “Tuhan menciptakan makhluk laut yang besar dan semua makhluk yang hidup di dalam air menurut jenisnya, dan setiap makhluk terbang menurut jenisnya.” Tuhan sangat gembira dengan ciptaan-Nya lalu memberkati binatang-binatang itu supaya semuanya dapat membiak “menurut jenisnya” dan ‘menjadi banyak.’​—Kej 1:20-23.

Pada Hari Penciptaan yang Keenam, “Tuhan menciptakan binatang liar di bumi menurut jenisnya, binatang jinak menurut jenisnya, dan semua binatang menjalar menurut jenisnya.” Tuhan menganggap semua itu baik sama seperti ciptaan-Nya yang sebelumnya.​—Kej 1:24, 25.

Pada akhir Hari Penciptaan yang Keenam, Tuhan menciptakan suatu makhluk yang lebih berkuasa daripada binatang tetapi lebih rendah daripada malaikat. Makhluk ini ialah manusia, yang diciptakan menurut gambaran Tuhan. Mengenai manusia, Kejadian 1:27 menyatakan secara ringkas bahawa Tuhan menciptakan “lelaki dan perempuan,” manakala Kejadian 2:7-9 menjelaskan bagaimana Tuhan Yehuwa membentuk lelaki daripada tanah, menghembuskan nafas kehidupan ke dalam lubang hidungnya, lalu lelaki itu menjadi makhluk yang hidup. Tuhan menempatkan lelaki itu di sebuah taman yang indah yang penuh dengan makanan. Kemudian, Yehuwa menciptakan perempuan daripada salah satu tulang rusuk Adam, lelaki itu. (Kej 2:18-25) Maka, penciptaan manusia lengkap dengan adanya lelaki dan perempuan.​—Kej 5:1, 2.

Mencari Permata Rohani

(Kejadian 1:1) Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.

w15 1/6 5

Bagaimana Sains Mempengaruhi Hidup Anda

Usia bumi dan alam semesta

Ahli sains menganggarkan bahawa bumi sudah wujud selama 4 bilion tahun dan alam semesta pula sudah wujud sejak 13 hingga 14 bilion tahun yang lalu. Bible tidak sebut bila alam semesta diciptakan, dan tiada catatan yang mengatakan bahawa bumi hanya wujud selama beberapa ribu tahun. Ayat pertama dalam Bible berbunyi, “Pada mulanya, Tuhan menciptakan langit dan bumi.” (Kejadian 1:1) Berdasarkan pernyataan ini, ahli sains dapat mengkaji berdasarkan prinsip sains untuk menentukan berapa lama bumi sudah wujud.

(Kejadian 1:26) Kemudian Tuhan berfirman, “Marilah kita menciptakan manusia seperti kita, menurut gambaran kita. Hendaklah mereka menguasai ikan di laut, makhluk yang berterbangan di langit, binatang jinak, dan semua binatang yang menjalar di bumi. Hendaklah mereka menguasai seluruh bumi.”

it-2 1246

Yesus Kristus

Bukan Pencipta. Anak Tuhan membantu dalam kerja penciptaan. Namun, hal ini tidak menjadikannya Pencipta. Kuasa mencipta berasal daripada Tuhan melalui kuasa suci-Nya. (Kej 1:2; Mz 33:6) Yehuwa ialah Sumber segala kehidupan, maka nyawa semua ciptaan, yang dapat dilihat ataupun yang tidak kelihatan, datang daripada-Nya. (Mz 36:9) Yehuwa menggunakan Anak-Nya untuk membantu-Nya dalam kerja penciptaan, tetapi Yehuwalah Pencipta segala sesuatu. Yesus sendiri menyatakan bahawa Tuhanlah yang menciptakan segala-segalanya. Bible juga bersetuju dengan hal ini.​—Mt 19:4-6; lihat CIPTAAN; PENCIPTAAN.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w08 1/2 5

Kita Berasal dari Mana?

Bagaimana Jawapan Bible Memberi Ketenangan Minda

Bible kata, “Setiap keluarga, . . . di bumi, menerima nama masing-masing daripada-Nya.” (Efesus 3:15) Maka hal ini mempengaruhi pandangan kita terhadap orang lain, terhadap cara kita memandang diri, dan terhadap cabaran yang kita hadapi. Pandangan Bible juga mempengaruhi pandangan kita semasa menghadapi situasi berikut.

Semasa membuat keputusan yang penting, kita tidak akan terlalu risau tentang pandangan orang lain. Sebaliknya, kita akan bergantung pada nasihat Bible. Mengapa? Kerana “segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna untuk mengajar, menegur, membetulkan segala sesuatu, dan mendidik orang untuk melakukan apa yang benar, agar hamba Tuhan menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.”​—2 Timotius 3:16, 17.

Tetapi kita harus ada usaha dan disiplin diri agar dapat mengikut nasihat Bible. Untuk mengikut nasihat Bible, kita mungkin perlu melakukan sesuatu yang bertentangan dengan keinginan dan kebiasaan kita. (Kejadian 8:21) Namun, kita akan lebih mudah mematuhi nasihat Bapa kita di syurga, jika kita sedar bahawa Dialah Pencipta kita yang pengasih. Dia memang tahu haluan yang terbaik bagi kita. (Yesaya 55:9) Bible memberitahu kita, “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu, dan janganlah bergantung pada pengertianmu sendiri. Ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.” (Amsal 3:5, 6) Kalau kita ikut nasihat ini, kita tidak akan rasa begitu tertekan semasa menghadapi cabaran dan membuat keputusan yang susah.

Apabila orang prasangka terhadap kita, kita tidak akan asyik memandang rendah terhadap diri sendiri, dan fikir bahawa kita tidak bernilai berbanding orang bangsa lain. Sebaliknya, kita akan memupuk pandangan yang sewajarnya terhadap diri sendiri. Mengapa? Kerana Bapa kita, Tuhan Yehuwa “tidak berat sebelah. Orang daripada bangsa apa pun yang takut kepada-Nya dan berbuat benar diperkenankan-Nya.”​—Kisah 10:34, 35.

Pandangan ini juga membantu kita supaya tidak membiarkan sikap prasangka mempengaruhi pandangan kita terhadap orang lain. Kita sedar bahawa kita tidak mempunyai sebab untuk memandang diri lebih baik, kerana “daripada seorang manusia, [Tuhan] menjadikan semua bangsa supaya mereka menduduki seluruh muka bumi.”​—Kisah 17:26.

Sesungguhnya, apabila kita sedar bahawa kita diciptakan oleh Tuhan dan bahawa Dia mengasihi kita, kita akan mendapat ketenangan minda. Tetapi untuk terus menikmati ketenangan minda, ada hal lain yang diperlukan.

13-19 JANUARI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 3-5

“Akibat Parah daripada Dusta Pertama”

(Kejadian 3:6) Lalu wanita itu nampak bahawa pokok itu cantik dan buahnya baik untuk dimakan. Ya, pokok itu memang indah di matanya. Jadi dia mengambil buah itu dan mula memakannya. Apabila dia bersama-sama suaminya, dia juga memberikan buah itu kepadanya, dan suaminya pun memakannya.

w00 15/11 25-26

Apa yang Boleh Kita Pelajari daripada Pasangan Manusia yang Pertama

Dapatkah Hawa mengelak daripada dosa itu? Sudah pasti! Bayangkan anda ialah Hawa. Ular itu memutarbelitkan apa yang Tuhan dan Adam katakan. Apakah perasaan anda jika seseorang yang tidak dikenali menuduh orang yang anda kasihi dan percayai ialah pembohong? Pasti anda berasa marah dan bahkan tidak mahu mendengar kata-katanya. Itulah sepatutnya reaksi Hawa. Lagipun, ular itu sebenarnya tiada hak untuk mempersoalkan standard Tuhan dan kata-kata suaminya. Hawa sepatutnya mematuhi prinsip kekepalaan dan meminta nasihat sebelum membuat apa-apa keputusan. Sama juga, kita harus berbuat demikian jika kita disuruh melakukan sesuatu yang bercanggahan dengan arahan Tuhan. Hawa mempercayai Si Penggoda itu dan ingin menentukan sendiri apa yang baik dan jahat. Keinginan itu mungkin telah bermain lama dalam fikirannya sehingga dia tertarik dengannya. Dia telah melakukan kesilapan yang besar kerana membiarkan keinginan yang salah terus bertumbuh. Dia sepatutnya menyingkirkan fikiran itu daripada mindanya atau meminta nasihat suaminya!​—1 Korintus 11:3; Yakobus 1:14, 15.

Adam Mendengar Kata-Kata Isterinya

Mengapakah Adam begitu mudah terikut dengan kata-kata isterinya? (Kejadian 3:6, 17) Pada masa itu, kesetiaan Adam diuji. Adakah dia mentaati Penciptanya yang telah memberinya segala-galanya termasuk isterinya yang tersayang? Adakah Adam akan meminta bimbingan daripada Tuhan sebelum bertindak? Atau adakah dia akan ikut saja permintaan isterinya? Adam memang tahu bahawa apa yang Hawa inginkan daripada buah yang dilarang itu hanyalah janji kosong belaka. Rasul Paulus telah menulis, “Adam tidak tertipu, tetapi wanita itulah yang tertipu lalu melanggar perintah Tuhan.” (1 Timotius 2:14) Adam tidak ingin berpisah daripada isterinya sehingga dia sanggup menentang Yehuwa. Dia juga tidak percaya bahawa Yehuwa dapat menyelesaikan masalah yang timbul.

(Kejadian 3:15-19) Aku akan membuat engkau dan wanita itu bermusuhan, dan Aku akan membuat keturunanmu dan keturunannya bermusuhan. Dia akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan mencederakan tumitnya.” 16 Tuhan berfirman kepada wanita itu, “Engkau akan mengalami kesakitan yang besar semasa hamil, dan engkau akan mengalami kesakitan semasa bersalin. Engkau akan sangat menginginkan suamimu, dan dia akan menguasaimu.” 17 Tuhan berfirman kepada Adam, “Walaupun Aku telah memberikan perintah ini: ‘Engkau dilarang makan buah itu,’ engkau telah mendengar kata-kata isterimu, lalu makan buah yang Aku larang engkau makan. Maka terkutuklah tanah akibat perbuatanmu itu. Dengan bersusah payah, engkau harus mengusahakan tanah ini seumur hidupmu dan memakan hasilnya. 18 Tanah akan menghasilkan semak berduri dan lalang, dan engkau mesti makan tumbuh-tumbuhan yang ada di tanah. 19 Engkau akan berpeluh-peluh untuk mencari makanan sehinggalah engkau kembali ke tanah, kerana engkau dibentuk daripada tanah. Engkau ini tanah, dan engkau akan kembali ke tanah.”

w12 1/9 4 per. 2

Adakah Tuhan Mengambil Berat terhadap Wanita?

Adakah wanita telah dikutuk oleh Tuhan?

Tidak. Sebaliknya, Tuhan telah mengutuk “ular tua yang dipanggil Iblis.” (Wahyu 12:9; Kejadian 3:14) Apabila Tuhan mengatakan bahawa Adam akan ‘menguasai’ isterinya, itu tidak bermaksud Tuhan membenarkan lelaki menindas wanita. (Kejadian 3:16) Dia sebenarnya menubuatkan akibat buruk daripada dosa pasangan manusia pertama itu.

w04 1/1 29 per. 2

Sorotan daripada Buku Kejadian​—I

3:17​—Apakah maksudnya tanah dikutuk, dan untuk berapa lama? Hal ini bermaksud bahawa manusia perlu bersusah payah untuk mengusahakan tanah. Tanah yang dikutuk itu menumbuhkan semak berduri dan lalang. Lamekh, iaitu bapa Nuh yang merupakan keturunan Adam, telah berkata, “Tangan kita sudah sakit kerana mengusahakan tanah yang dikutuk oleh Yehuwa.” (Kejadian 5:29) Selepas Banjir, Yehuwa memberkati Nuh dan anak-anaknya lalu memberitahu mereka untuk beranak cucu dan memenuhi bumi. (Kejadian 9:1) Nampaknya, kutukan itu telah dihapuskan.​—Kejadian 13:10.

it-2 700

Sakit Bersalin

Kesakitan yang dialami semasa melahirkan anak. Selepas Hawa berdosa, Tuhan memberitahu kesan yang akan dialaminya semasa bersalin. Jika Hawa taat, Tuhan sudah pasti akan memberkatinya dan proses melahirkan anak akan menjadi suatu peristiwa yang penuh sukacita! Hal ini selaras dengan apa yang dikatakan bahawa “berkat Yehuwalah yang menjadikan seseorang kaya, dan berkatnya tidak disertai kesakitan.” (Ams 10:22, nota kaki) Hari ini, kesakitan yang dialami semasa bersalin adalah akibat daripada ketidaksempurnaan. Tuhan berfirman (biasanya perkara yang diizinkan-Nya berlaku dikatakan seolah-olah Dia yang melakukannya), “Engkau akan mengalami kesakitan yang besar semasa hamil, dan engkau akan mengalami kesakitan semasa bersalin.”​—Kej 3:16.

Mencari Permata Rohani

(Kejadian 4:23, 24) Lamekh menggubah puisi berikut untuk Adah dan Zilah, iaitu isteri-isterinya: “Dengarlah suaraku, hai isteri-isteriku; Dengarlah kata-kataku: Seorang lelaki telah kubunuh kerana dia melukai aku, Ya, seorang pemuda telah kubunuh kerana dia memukul aku. 24 Jika orang yang membunuh Kain harus ditimpa balasan sebanyak 7 kali, Orang yang membunuhku harus ditimpa balasan sebanyak 77 kali.”

it-1 1386

Lamekh

Puisi yang digubah oleh Lamekh untuk isteri-isterinya (Kej 4:23, 24) menunjukkan betapa ganasnya orang pada zaman itu. Puisi Lamekh berbunyi, “Dengarlah suaraku, hai isteri-isteriku; Dengarlah kata-kataku: Seorang lelaki telah kubunuh kerana dia melukai aku, ya, seorang pemuda telah kubunuh kerana dia memukul aku. Jika orang yang membunuh Kain harus ditimpa balasan sebanyak 7 kali, orang yang membunuhku harus ditimpa balasan sebanyak 77 kali.” Nampaknya Lamekh sedang membela dirinya dan mengatakan bahawa dia tidak membunuh orang dengan sengaja, seperti yang dilakukan Kain. Dia menjelaskan bahawa dia membunuh lelaki itu kerana lelaki itu memukul dan mencederakannya, dan perbuatannya adalah untuk mempertahankan dirinya. Maka, puisinya ialah permohonannya untuk mendapatkan perlindungan sekiranya terdapat orang daripada pihak si mati yang ingin membalas dendam terhadapnya.

(Kejadian 4:26) Set pun mendapat seorang anak lelaki dan menamakannya Enos. Pada waktu itulah orang mula menyeru nama Yehuwa.

it-1 971

Hina; Menghina

Lama sebelum banjir zaman Nuh, Habel sudah menggunakan nama Tuhan dalam cara yang benar. Jadi, ungkapan bahawa orang pada zaman Enos “mula menyeru nama Yehuwa” sudah tentu menunjukkan bahawa cara mereka menggunakan nama Tuhan adalah salah. (Kej 4:26; Ibr 11:4) Sesetengah cendekiawan berpendapat bahawa mereka menyalahgunakan nama Tuhan dan menggunakannya untuk menggelar manusia atau barang-barang berhala. Jika inilah yang dilakukan oleh mereka, mereka sememangnya menghina Tuhan.

20-26 JANUARI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 6-8

“Dia Melakukan Segala yang Diperintahkan”

(Kejadian 6:14-16) Buatlah sebuah bahtera daripada kayu keras. Buatlah bilik-bilik di dalamnya dan lapisilah bahagian dalam dan luar bahtera itu dengan tar. 15 Binalah bahtera itu mengikut ukuran berikut: 134 meter panjang, 22 meter lebar, dan 13 meter tinggi. 16 Buatlah tingkap setinggi kira-kira 44 sentimeter pada bahagian atas bahtera, untuk membenarkan cahaya masuk. Engkau harus memasang pintu pada sisi bahtera itu dan bahtera itu harus mempunyai tiga tingkat, iaitu tingkat bawah, tengah, dan atas.

w13 1/4 14 per. 1

“Nuh Hidup Akrab dengan Tuhan yang Benar”

Nuh dan keluarganya mengambil masa kira-kira 40 hingga 50 tahun untuk membina bahtera itu. Mereka perlu menebang pokok, mengangkut balak-balak ke tapak pembinaan, dan kemudian membelah balak-balak itu dan membentuknya. Bahtera itu harus mempunyai tiga tingkat, bilik-bilik, dan pintu masuk. Bahtera itu juga harus mempunyai tingkap pada bahagian atasnya, dan bumbungnya perlu mencondong agar air hujan dapat mengalir ke bawah.​—Kejadian 6:14-16.

Mencari Permata Rohani

(Kejadian 7:2) Engkau mesti membawa tujuh ekor daripada setiap jenis binatang yang halal; bawalah yang jantan dan yang betina. Tetapi engkau harus membawa hanya dua ekor daripada setiap jenis binatang yang haram, seekor jantan dan seekor betina.

w04 1/1 29 per. 7

Sorotan daripada Buku Kejadian​—I

7:2​—Apakah yang menentukan sama ada suatu binatang itu dianggap halal atau haram? Nampaknya suatu binatang itu dianggap haram sekiranya binatang itu tidak boleh dikorbankan kepada Tuhan, dan bukan sama ada binatang itu boleh dimakan atau tidak. Sebelum banjir pada zaman Nuh, manusia tidak makan daging binatang. Hanya selepas Hukum Musa diberikan, barulah istilah “haram” (najis) atau “halal” (tidak najis) digunakan untuk makanan. Tetapi hal ini berakhir selepas Hukum Musa dimansuhkan. (Kisah 10:9-16; Efesus 2:15) Nampaknya Nuh tahu binatang apa yang boleh dikorbankan kepada Yehuwa. Jadi selepas keluar dari bahtera, Nuh “mendirikan sebuah mazbah untuk Yehuwa. Dia mengambil beberapa ekor binatang yang halal dan beberapa ekor makhluk terbang yang halal, lalu mempersembahkan semuanya di atas mazbah sebagai korban bakar.”​—Kejadian 8:20.

(Kejadian 7:11) Semasa Nuh berumur 600 tahun, pada hari ke-17, bulan kedua, semua pintu di langit terbuka dan semua air di langit turun.

w04 1/1 30 per. 1

Sorotan daripada Buku Kejadian​—I

7:11​—Dari manakah datangnya air yang menyebabkan banjir pada zaman Nuh? Pada Hari Penciptaan yang Kedua, suatu “ruang” atmosfera bumi telah dibentuk. Terdapat air “di bawah ruang itu” dan “di atas ruang itu.” (Kejadian 1:6, 7) Air yang berada “di bawah ruang itu” merujuk kepada air yang terdapat di muka bumi. Air yang berada di atas ruang itu pula merujuk kepada wap air yang banyak sekali dan yang berada jauh dari permukaan bumi. Inilah “air di langit” yang melimpah ke atas bumi pada zaman Nuh.

27 JANUARI–2 FEBRUARI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 9-11

“Penduduk di Seluruh Bumi Hanya Mempunyai Satu Bahasa”

(Kejadian 11:1-4) Pada masa itu, penduduk di seluruh bumi hanya mempunyai satu bahasa dan mereka menggunakan kosa kata yang sama. 2 Semasa mereka mengadakan perjalanan ke arah timur, mereka menemui dataran di Shinar dan mula menetap di situ. 3 Kemudian mereka berkata kepada satu sama lain, “Marilah kita buat batu bata lalu membakarnya di dalam api.” Maka mereka menggunakan batu bata sebagai ganti batu, dan tar sebagai ganti simen. 4 Mereka berkata, “Marilah kita membina sebuah kota dan menara yang puncaknya mencapai langit supaya kita menjadi terkenal, dan supaya kita tidak tercerai-berai ke seluruh bumi.”

it-1 250

Babilon Besar

Ciri-Ciri Babilon Kuno. Kisah mengenai permulaan kota Babilon di Dataran Shinar dan pembinaan Menara Babel terjadi pada masa yang sama. (Kej 11:2-9) Tujuan menara dan kota itu diasaskan bukanlah untuk memuliakan nama Tuhan, tetapi untuk memuliakan penduduk kota itu. Mereka ingin “menjadi terkenal.” Menara-menara atau zigurat yang ditemui di Babilon kuno serta kawasan di sekitar Mesopotamia membuktikan bahawa tujuan bangunan itu adalah untuk hal keagamaan. Maka tindakan yang diambil oleh Tuhan Yehuwa untuk menghentikan pembinaan menara itu menunjukkan bahawa bangunan itu adalah untuk ibadat palsu. Dalam bahasa Ibrani, nama yang diberikan kepada kota itu iaitu Babel, bermaksud “Kekeliruan.” Tetapi dalam bahasa Sumer dan Akkadia, nama yang diberikan ialah Ka-dingir-ra dan Bab-ilu. Kedua-dua perkataan itu bermaksud “Pintu Gerbang Tuhan.” Walaupun penduduk di sana cuba menggantikan nama asalnya dengan nama baharu, nama baharu itu masih mengaitkan kota itu dengan hal keagamaan.

it-1 257 per. 5

Bahasa

Buku Kejadian menceritakan peristiwa selepas banjir pada zaman Nuh. Manusia pada zaman itu cuba melakukan apa yang bercanggahan dengan kehendak Tuhan bagi Nuh dan keluarganya. (Kej 9:1) Mereka tidak mahu memenuhi bumi. Sebaliknya mereka mahu masyarakat manusia kekal di suatu tempat yang kemudiannya dikenali sebagai Dataran Shinar di Mesopotamia. Nampaknya mereka ingin menjadikan tempat ini pusat ibadat serta membina menara khas untuk tujuan agama.​—Kej 11:2-4.

(Kejadian 11:6-8) Kemudian Yehuwa berfirman, “Bangsa ini bersatu kerana mereka mempunyai satu bahasa. Jika sekarang pun mereka sudah melakukan hal sebegini, pada kemudian hari mereka dapat melakukan apa sahaja yang difikirkan mereka. 7 Marilah kita turun dan mengelirukan bahasa mereka supaya mereka tidak memahami satu sama lain.” 8 Maka Yehuwa mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi, dan mereka berhenti membina kota itu.

it-1 257 per. 6

Bahasa

Tuhan telah menghalang projek mereka dengan mengelirukan bahasa mereka. Maka mereka tidak dapat bekerjasama lalu mereka meninggalkan tempat itu dan mula mengembara ke seluruh pelosok bumi. Dengan mengelirukan bahasa mereka, manusia menjadi terbatas dan memerlukan lebih banyak usaha jika mereka mahu berganding bahu untuk mencapai tujuan mereka yang tidak selaras dengan kehendak Tuhan. Untuk menggabungkan ilmu pengetahuan, kajian, dan pengalaman yang mereka miliki, manusia perlu mengatasi suatu halangan iaitu bahasa yang berbeza. (Bandingkan Pkh 7:29; Ul 32:5.) Walaupun tindakan Tuhan untuk mengelirukan bahasa manusia menyebabkan mereka berpecah belah, hal ini sebenarnya melindungi mereka kerana melambatkan usaha mereka untuk mencapai cita-cita mereka yang akan membahayakan masyarakat manusia. (Kej 11:5-9; bandingkan Yes 8:9, 10.) Apabila kita lihat bagaimana manusia yang bijak pandai hari ini menyalahgunakan ilmu pengetahuan, kita dapat bayangkan akibat buruk yang berlaku jika Tuhan tidak menghalang usaha manusia sewaktu di Babel.

(Kejadian 11:9) Itulah sebabnya kota itu dinamakan Babel, kerana di situlah Yehuwa mengelirukan bahasa yang digunakan di seluruh bumi, dan dari situlah Yehuwa mencerai-beraikan mereka ke seluruh bumi.

it-1 301

Bangsa

Setelah manusia mula menuturkan bahasa yang berbeza, setiap kumpulan bahasa mula memiliki budaya, adat, seni, agama, sifat, dan sikap tersendiri. (Im 18:3) Memandangkan mereka terasing daripada Tuhan, bangsa-bangsa ini mula membuat berhala dan dewa dewi sendiri.​—Ul 12:30; 2Ra 17:29, 33.

Mencari Permata Rohani

(Kejadian 9:20-22) Nuh mula mengusahakan tanah dan dia menanam anggur. 21 Pernah sekali, dia minum wain lalu menjadi mabuk, dan dia berbaring telanjang di dalam khemahnya. 22 Ham, bapa Kanaan, melihat bapanya telanjang dan dia keluar lalu memberitahu Sem dan Yafet.

(Kejadian 9:24, 25) Apabila Nuh sedar daripada mabuk dan mengetahui perbuatan anak bongsunya, 25 dia berkata, “Terkutuklah Kanaan! Biarlah dia menjadi hamba yang paling hina bagi saudara-saudaranya.”

it-1 854

Ham

Barangkali Kanaan terlibat dalam kejadian ini dan bapanya Ham tidak menegurnya. Ataupun Nuh sedang bernubuat mengenai keturunan Kanaan. Mungkin dia melihat kecenderungan salah yang ada dalam Ham dan anaknya Kanaan, dan bahawa keturunan Kanaan juga akan mencerminkan sikap yang sama. Kutukan ini telah menjadi kenyataan semasa orang Israel daripada keturunan Sem menguasai Kanaan. Mereka yang tidak dibinasakan (contohnya orang Gibeon [Yos 9]) telah menjadi hamba orang Israel. Kutukan ini juga menjadi kenyataan ratusan tahun kemudian semasa keturunan Kanaan (anak Ham) ditakluki oleh kuasa dunia Media dan Persia, Yunani, dan Roma (ketiga-tiganya berasal daripada kelompok bahasa keturunan Yafet).

(Kejadian 10:9, 10) Dia ialah seorang pemburu perkasa yang menentang Yehuwa. Itulah sebabnya kadangkala sesetengah orang digambarkan dengan ungkapan berikut: “Dia seperti Nimrod, pemburu perkasa yang menentang Yehuwa.” 10 Pada mulanya, kerajaan Nimrod meliputi Babel, Erekh, Akad, dan Kalneh, yang terletak di Shinar.

it-2 230

Nimrod

Pada mulanya kerajaan Nimrod terdiri daripada kota Babel, Erekh, Akad, dan Kalneh, yang terletak di Shinar. (Kej 10:10) Oleh itu, Nimrodlah yang mungkin menyelia pembinaan kota Babel dan menaranya. Kesimpulan ini juga disetujui oleh pandangan orang Yahudi pada masa dulu. Josephus menulis, “[Nimrod] beransur-ansur mengambil alih untuk menguasai manusia. Dia percaya bahawa jika manusia semakin bergantung kepadanya, lama-kelamaan mereka tidak lagi takut akan Tuhan. Dia mengancam akan membalas dendam terhadap Tuhan jika Tuhan membanjiri bumi lagi. Itulah sebabnya dia ingin membina menara yang tidak dapat ditenggelami oleh air dan membalas dendam demi nenek moyangnya yang telah dibinasakan. Orang pada masa itu bersetuju dengan nasihat [Nimrod], kerana mereka merasakan bahawa ketundukan kepada Tuhan adalah seperti perhambaan. Maka mereka berganding bahu untuk membina menara . . . dan projek itu berjalan dengan lancar sekali.”​—Jewish Antiquities, I, 114, 115 (iv, 2, 3).

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi