PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr20 Mac ms. 1-10
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2020
  • Tajuk Kecil
  • 2-8 MAC
  • 9-15 MAC
  • Mencari Permata Rohani
  • Kehidupan Kristian Kita
  • 16-22 MAC
  • Mencari Permata Rohani
  • 23-29 MAC
  • Mencari Permata Rohani
  • 30 MAC–5 APRIL
  • Mencari Permata Rohani
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2020
mwbr20 Mac ms. 1-10

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

2-8 MAC

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 22-23

“Tuhan Menguji Abraham”

(Kejadian 22:1, 2) Selepas itu, Tuhan yang benar menguji Abraham. Tuhan memanggilnya, “Abraham!” Lalu Abraham menjawab, “Ya Tuhan, aku mendengar.” 2 Tuhan berfirman, “Bawalah Ishak, satu-satunya anak yang sangat engkau kasihi, dan pergilah ke Moria. Persembahkanlah anakmu sebagai korban bakar di sebuah gunung yang akan Aku tunjukkan kepadamu.”

w12 1/1 23 per. 4-6

Mengapakah Tuhan Meminta Abraham untuk Mengorbankan Anaknya?

Yehuwa berfirman kepada Abraham, “Bawalah Ishak, satu-satunya anak yang sangat engkau kasihi. . . . Persembahkanlah anakmu sebagai korban bakar.” (Kejadian 22:2) Perhatikan bahawa Yehuwa menyebut Ishak sebagai “anak yang sangat engkau kasihi.” Yehuwa tahu bahawa Ishak sangat berharga di mata Abraham. Dia juga berasa sedemikian terhadap Anak-Nya, Yesus. Yehuwa sangat mengasihi Yesus, dan sebanyak dua kali Dia memanggil Yesus sebagai “Anak-Ku yang Aku kasihi.”​—Markus 1:11; 9:7.

Selain itu, semasa Yehuwa meminta Abraham untuk mengorbankan Ishak, Dia menggunakan perkataan Ibrani yang menunjukkan bahawa Dia meminta dengan hormat. Seorang cendekiawan Bible menyatakan bahawa Tuhan sedar apa yang diminta-Nya itu adalah sesuatu yang sangat bernilai. Sudah pasti permintaan itu membuat Abraham sangat sedih. Maka kita juga boleh menyimpulkan bahawa Yehuwa berasa sangat sedih semasa melihat Anak-Nya yang tersayang menderita dan mati. Sememangnya itulah saat yang paling susah bagi Yehuwa.

Walaupun kita mungkin hairan tentang permintaan Yehuwa kepada Abraham, kita harus ingat bahawa Yehuwa menghalang Abraham daripada mengorbankan Ishak. Dia tidak ingin Abraham kehilangan anak yang dikasihinya, dan dia membiarkan Ishak terus hidup. Namun, Yehuwa “tidak menghalang Anak-Nya daripada mengalami penderitaan, tetapi menyerahkannya untuk kita semua.” (Roma 8:32) Mengapakah Yehuwa sanggup mengalami penderitaan sedemikian? Dia melakukannya supaya “kita memperoleh kehidupan.” (1 Yohanes 4:9) Hal ini menunjukkan bahawa Yehuwa sangat mengasihi kita. Bukankah kita tergerak untuk membalas kasih-Nya?

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

it-1 43 per. 1

Mendapat Perkenan Tuhan

Mengapakah Abraham boleh dianggap sebagai orang yang mendapat perkenan Tuhan walaupun Yesus belum mengorbankan dirinya sebagai tebusan?

Memandangkan Abraham beriman dan membuktikannya menerusi perbuatan, “dia mendapat perkenan Tuhan.” (Rm 4:20-22) Namun, hal ini tidak bermaksud bahawa dia dan hamba Tuhan yang hidup sebelum zaman Yesus adalah sempurna atau bebas daripada dosa. Tetapi memandangkan mereka beriman kepada janji Tuhan mengenai ‘keturunan’ dan berusaha mematuhi perintah-Nya, mereka dianggap sebagai orang yang mendapat perkenan Tuhan. (Kej 3:15; Mz 119:2, 3) Dengan pengasih, Yehuwa menganggap mereka sebagai orang yang tidak bersalah, kerana mereka jauh lebih baik daripada orang di dunia yang terasing daripada Tuhan. (Mz 32:1, 2; Ef 2:12) Walaupun mereka tidak sempurna, Tuhan dapat berurusan dengan mereka dan memberkati mereka kerana mereka menunjukkan iman. Sudah pasti, Tuhan tidak melanggar standard-Nya yang adil apabila Dia berbuat demikian. (Mz 36:10) Walaupun begitu, mereka sedar bahawa dosa mereka perlu ditebus, dan mereka menantikan masanya Tuhan berbuat demikian.​—Mz 49:7-9; Ibr 9:26.

9-15 MAC

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 24

“Seorang Isteri untuk Ishak”

(Kejadian 24:2-4) Pada suatu hari, Abraham berkata kepada hamba yang paling tua dalam rumah tangganya, iaitu hamba yang mengurus segala hartanya, “Letakkanlah tanganmu di bawah pahaku 3 dan bersumpahlah di hadapan Yehuwa, Tuhan yang berkuasa atas syurga dan bumi, bahawa kamu tidak akan mencari seorang gadis dari negeri yang aku tinggal ini, iaitu gadis Kanaan, untuk dijadikan isteri kepada anakku. 4 Sebaliknya, pergilah ke negeri asalku dan carilah seorang isteri untuk anakku Ishak dalam kalangan saudara-maraku.”

wp16.3-IN 14 per. 3

“Ya, Aku Sudi”

Abraham telah menyuruh Eliezer untuk bersumpah bahawa dia tidak akan memilih seorang isteri daripada bangsa Kanaan untuk Ishak. Mengapa? Kerana orang Kanaan tidak menghormati dan menyembah Tuhan Yehuwa. Abraham tahu bahawa Yehuwa akan menghukum mereka kerana perbuatan mereka yang jahat. Abraham tidak mahu anaknya yang dikasihi, Ishak, untuk bergaul dengan mereka dan terpengaruh untuk melakukan perbuatan tidak bermoral. Abraham juga tahu bahawa anaknya mempunyai peranan yang penting dalam pelaksanaan janji Tuhan.​—Kejadian 15:16; 17:19; 24:2-4.

(Kejadian 24:11-15) Setelah dia tiba di sebuah perigi yang terletak di luar kota itu, dia berhenti agar unta-untanya dapat berehat. Hari sudah petang dan itulah waktunya kaum wanita keluar untuk menimba air. 12 Dia berdoa, “Yehuwa, Tuhan kepada tuanku Abraham, tolonglah aku supaya aku berjaya hari ini. Tunjukkanlah kasih setia-Mu kepada tuanku Abraham. 13 Aku sedang berdiri dekat sebuah perigi, dan gadis-gadis dari kota akan datang untuk menimba air. 14 Aku akan berkata kepada seorang gadis muda, ‘Tolong turunkan tembikar airmu agar aku dapat minum.’ Jika dia menjawab, ‘Minumlah, dan aku juga akan memberi unta-unta tuan minum,’ maka dialah orang yang Engkau pilih untuk hamba-Mu Ishak. Dengan demikian, aku akan tahu bahawa Engkau telah menunjukkan kasih setia-Mu kepada tuanku.” 15 Sebelum hamba itu selesai berdoa, Ribka keluar dari kota sambil membawa tembikar air di atas bahunya. Dialah anak perempuan Betuel. (Betuel ialah anak kepada Nahor dan Milkah. Nahor pula ialah abang Abraham.)

wp16.3-IN 14 per. 4

“Ya, Aku Sudi”

Eliezer memberitahu tuan rumahnya bahawa apabila dia tiba di perigi dekat Haran, dia berdoa kepada Tuhan Yehuwa. Dia meminta Yehuwa agar membantunya memilih gadis yang sesuai untuk dijadikan isteri Ishak. Bagaimana? Eliezer memberitahu Tuhan bahawa gadis yang dipilih-Nya haruslah datang ke perigi itu. Apabila dia meminta air, gadis itu bukan sahaja memberinya air, tetapi memberikan air kepada unta-untanya juga. (Kejadian 24:12-14) Siapakah yang datang ke perigi itu dan melakukan semua itu? Ribka! Bayangkan perasaan Ribka jika dia terdengar Eliezer menceritakan hal itu kepada ahli keluarganya!

(Kejadian 24:58) Mereka memanggil Ribka dan bertanya, “Sudikah kamu pergi bersama lelaki ini?” Dia menjawab, “Ya, aku sudi.”

(Kejadian 24:67) Kemudian, Ishak membawa Ribka masuk ke dalam khemah ibunya Sara. Dengan demikian Ribka menjadi isteri Ishak, dan Ishak jatuh cinta dengannya. Sejak ibunya meninggal, Ishak bersedih, tetapi sekarang hatinya terhibur.

wp16.3-IN 14 per. 6-7

“Ya, Aku Sudi”

Beberapa minggu sebelumnya, Eliezer bertanya kepada Abraham, “Bagaimana pula jika gadis itu enggan mengikutku?” Abraham menjawab, “Kamu akan bebas daripada sumpahmu.” (Kejadian 24:39, 41) Keluarga Betuel juga mengambil kira pilihan gadis itu. Eliezer begitu teruja dengan tugasannya. Pada keesokan pagi, dia bertanya jika dia boleh membawa Ribka kembali ke Kanaan dengan segera. Namun, keluarga gadis itu mahu dia tinggal bersama mereka untuk sekurang-kurangnya selama 10 hari lagi. Akhirnya mereka berkata, “Mari kita panggil Ribka dan menanyakan pendapatnya.”​—Kejadian 24:57.

Pada saat itu Ribka perlu membuat keputusan yang besar. Apakah yang akan dilakukannya? Adakah dia akan merayu kepada bapanya dan abangnya supaya dia tidak perlu pergi ke suatu tempat yang asing? Atau adakah dia memandang hal itu sebagai suatu peluang untuk mengikut bimbingan Yehuwa? Jawapannya menunjukkan perasaannya terhadap perubahan yang bakal berlaku dalam hidupnya. Ribka berkata, “Ya, aku sudi.”​—Kejadian 24:58.

Mencari Permata Rohani

(Kejadian 24:19, 20) Selepas hamba itu minum, gadis itu berkata, “Aku akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sampai puas.” 20 Gadis itu cepat-cepat menuang air daripada tembikarnya ke dalam tempat minum unta. Kemudian, dia berlari ulang-alik ke perigi untuk mengambil air bagi semua unta itu.

wp16.3-IN 12-13

“Ya, Aku Sudi”

Pada suatu petang, seorang lelaki yang tua menghampiri Ribka sebaik sahaja dia memenuhi tembikarnya. Lelaki itu berkata, “Tolong beri aku sedikit air daripada tembikarmu.” Lelaki itu meminta dengan sopan dan ramah. Ribka tahu bahawa lelaki itu sudah mengadakan perjalanan yang sangat jauh. Maka dia segera menurunkan tembikar airnya dari bahu, dan memberi lelaki itu minum sampai puas. Ribka juga dapat perhatikan bahawa lelaki itu mempunyai 10 ekor unta yang berdekatan, dan tempat minum unta-unta itu masih kosong. Jadi Ribka mahu menunjukkan kemurahan hati kepada lelaki itu. Dia berkata, “Aku akan menimba air untuk unta-unta tuan juga, supaya semua binatang itu dapat minum sampai puas.”​—Kejadian 24:17-19.

Ribka tidak hanya menawarkan untuk memberi 10 ekor unta itu minum, tetapi dia juga ingin memastikan agar unta-unta itu minum sampai puas. Seekor unta yang sangat dahaga memerlukan 95 liter air! Jika 10 ekor unta itu benar-benar dahaga, Ribka perlu bekerja keras selama berjam-jam. Nampaknya, unta-unta itu tidaklah begitu dahaga. Adakah Ribka tahu tentang hal itu semasa dia menawarkan untuk memberi unta itu minum? Tidak. Dia rela untuk bekerja keras kerana ingin menunjukkan kemurahan hati kepada lelaki yang tua itu. Lelaki itu menerima bantuan Ribka dan dia memerhatikan Ribka ketika dia berlari ulang-alik ke perigi untuk mengambil air bagi semua unta itu.​—Kejadian 24:20, 21.

wp16.3-IN 13, nota kaki

“Ya, Aku Sudi”

Waktu itu sudah petang. Ayat Bible tidak menyatakan bahawa Ribka berada di perigi itu untuk berjam-jam lamanya. Bible juga tidak menyatakan bahawa keluarganya sudah tidur ketika Ribka selesai bekerja, atau sesiapa datang mencarinya untuk melihat mengapa dia mengambil terlalu banyak masa.

(Kejadian 24:65) Dia bertanya kepada hamba Abraham, “Siapakah lelaki di padang yang sedang berjalan ke arah kita?” Hamba itu berkata, “Dialah tuan aku.” Maka Ribka mengambil selendangnya dan menudung kepalanya.

wp16.3-IN 15 per. 3

“Ya, Aku Sudi”

Akhirnya, tibalah detik yang disebutkan pada permulaan rencana ini. Waktu itu matahari terbenam dan mereka sedang merentasi kawasan Negeb. Kemudian, Ribka nampak seorang lelaki yang sedang berjalan di padang. Lelaki itu kelihatannya sedang berfikir dengan mendalam. Bible berkata bahawa Ribka “cepat-cepat turun dari untanya.” Dia mungkin tidak menunggu unta itu untuk berhenti dan berlutut. Dia menanya Eliezer, “Siapakah lelaki di padang yang sedang berjalan ke arah kita?” Apabila dia mengetahui bahawa lelaki itu ialah Ishak, dia mengambil selendangnya dan menudung kepalanya. (Kejadian 24:62-65) Mengapa? Perbuatan itu menunjukkan bahawa dia menghormati bakal suaminya. Perbuatan itu mungkin dianggap ketinggalan zaman pada hari ini. Namun kita semua boleh mempelajari sikap Ribka yang rendah hati!

Kehidupan Kristian Kita

yb08 11-12 per. 3; 14 per. 1

Jacquelin yang berusia 16 tahun telah memberi cikgunya surat jemputan Peringatan dan menjelaskan pentingnya menghadiri program itu. Dia terkejut apabila cikgunya datang. Memandangkan program itu diadakan di Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa, Jacquelin membawa cikgunya melawat dewan itu selepas program tamat. Cikgunya kagum kerana dewan kita begitu bersih dan teratur. Apabila cikgunya mengetahui bahawa dewan itu dibina dan dijaga oleh pekerja sukarela, dia berasa lebih kagum. Dia amat menyukai ceramah Peringatan, maka dia menanya Jacquelin, “Penceramah itu kata ada kursus pembelajaran Bible. Bagaimana saya dapat ikut kursus itu?” Dengan gembira, Jacquelin menjawab, “Saya boleh bantu cikgu!” Jacquelin mula belajar Bible dengan cikgunya pada setiap hari Isnin selepas sesi sekolah tamat.

Australia

Seorang pemuda, yang bekerja di sebuah gim, belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia mula memberitahu orang lain di tempat kerjanya tentang pembelajaran Biblenya. Dia juga menjemput salah seorang wanita untuk menghadiri sambutan Peringatan, dan wanita itu menerima jemputannya. Semasa zaman remajanya, wanita itu pernah terdengar suara nyanyian dari sebuah Dewan Perjumpaan. Dia meminta izin daripada ibu bapanya untuk menghadiri perjumpaan di situ, tetapi mereka tidak membenarkannya untuk bergaul dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Biarpun begitu, dia telah menghadiri beberapa perjumpaan. Namun, oleh sebab dia dan keluarganya berpindah, dia tidak lagi berjumpa dengan Saksi. Semasa menghadiri Peringatan, dia berkenalan dengan seorang saudari dan mula belajar Bible dengan saudari itu. Dia juga mula menghadiri perjumpaan, dan suaminya pun berminat untuk belajar Bible. Pemuda yang bekerja di gim itu pula telah menjadi penyiar yang belum dibaptis dan berusaha untuk membuat kemajuan agar dapat dibaptis.

16-22 MAC

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 25-26

“Esau Menjual Haknya sebagai Anak Sulung”

(Kejadian 25:27, 28) Anak-anak itu semakin membesar. Esau menjadi seorang pemburu yang mahir, dan dia suka keluar memburu. Yakub pula seorang yang tidak bercela, dan dia suka tinggal di dalam khemah. 28 Ishak sayang akan Esau, kerana dia suka makan daging binatang buruan, manakala Ribka sayang akan Yakub.

it-2 1159

Yakub

Esau sangat berbeza daripada Yakub. Esau merupakan anak kegemaran bapanya, suka kebebasan, aktif, dan suka memburu. Yakub pula merupakan gembala, boleh dipercayai untuk mengurus rumah tangga, dan disayangi oleh ibunya. Bible menggambarkan Yakub sebagai “seorang yang tidak bercela [Ibr., tam], dan dia suka tinggal di dalam khemah.” (Kej 25:27, 28) Perkataan Ibrani tam juga digunakan dalam ayat Bible yang lain untuk menggambarkan orang yang mendapat perkenan Tuhan. Contohnya, “pembunuh membenci orang yang tidak bersalah [Ibr., tam],” tetapi Yehuwa berjanji bahawa “orang [yang tidak bercela] akan menikmati kedamaian.” (Ams 29:10; Mz 37:37) Bible menggambarkan Ayub sebagai seorang yang “setia [Ibr., tam]” atau tidak bercela.​—Ayb 1:1, 8; 2:3.

(Kejadian 25:31-34) Yakub berkata, “Juallah dahulu hakmu sebagai anak sulung kepadaku.” 32 Esau berkata, “Aku sudah hampir mati! Apa gunanya hak itu bagiku?” 33 Yakub berkata, “Bersumpahlah dahulu kepadaku!” Maka Esau bersumpah dan menjual haknya sebagai anak sulung kepada Yakub. 34 Lalu Yakub memberikan roti dan bubur kacang kepada Esau. Selepas makan dan minum, Esau pun beredar. Demikianlah Esau memandang remeh haknya sebagai anak sulung.

it-1 127

Anak Sulung

Sejak zaman dahulu, anak lelaki yang sulung diberikan kedudukan yang istimewa dalam keluarga dan dialah yang akan mewarisi kedudukan sebagai ketua keluarga. Dia juga akan menerima bahagian harta bapanya sebanyak dua kali ganda lebih daripada adik-beradik yang lain. (Ul 21:17) Sebagai anak sulung, Ruben diberikan tempat duduk yang khas oleh Yusuf semasa makan. (Kej 43:33) Tetapi, Bible tidak selalu menyenaraikan nama anak-anak lelaki menurut urutan kelahiran. Nama pertama dalam senarai itu biasanya diberikan kepada anak lelaki yang lebih penting atau setia.​—Kej 6:10; 1Ta 1:28; bandingkan Kej 11:26, 32; 12:4.

Mencari Permata Rohani

(Kejadian 26:7) Apabila orang di situ bertanya tentang isterinya, Ishak akan berkata, “Dia ialah adikku.” Oleh sebab Ribka seorang wanita yang cantik, Ishak takut untuk berkata, “Dia ialah isteriku,” kerana dia berfikir, “Mungkin mereka akan membunuh aku kerana Ribka.”

it-1 617 per. 5

Penipuan

Walaupun Bible terang-terang mengutuk perbuatan menipu, hal ini tidak bermaksud bahawa seseorang harus mendedahkan kebenaran kepada orang yang tidak berhak mengetahuinya. Yesus Kristus memberikan nasihat ini: “Jangan berikan apa yang suci kepada anjing dan jangan berikan mutiara kamu kepada babi, kerana babi hanya akan memijak-mijak mutiara itu lalu menyerang kamu.” (Mt 7:6) Itulah sebabnya Yesus ada kalanya tidak memberikan maklumat yang sepenuhnya atau menjawab sesetengah soalan kerana dia tahu hal itu boleh mendatangkan bahaya. (Mt 15:1-6; 21:23-27; Yoh 7:3-10) Nampaknya Abraham, Ishak, Rahab, dan Elisa juga tidak memberikan maklumat yang sepenuhnya kepada orang yang tidak menyembah Yehuwa.—Kej 12:10-19; bab 20; 26:1-10; Yos 2:1-6; Yak 2:25; 2Ra 6:11-23.

23-29 MAC

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 27-28

“Yakub Mendapatkan Berkatnya”

(Kejadian 27:6-10) Ribka berkata kepada Yakub, “Aku baru sahaja mendengar bapamu bercakap dengan abangmu Esau. Bapamu berkata, 7 ‘Bawalah binatang buruan dan masaklah makanan yang lazat untukku. Aku akan memakannya dan memberkatimu di hadapan Yehuwa sebelum aku meninggal.’ 8 Sekarang, hai anakku, dengarlah dan buatlah apa yang mak katakan kepadamu. 9 Pergilah ke kawanan ternakan dan bawalah dua ekor anak kambing yang terbaik kepadaku, supaya mak dapat menyediakan makanan lazat yang disukai bapamu. 10 Kemudian, bawalah makanan itu kepada bapamu, supaya dia dapat memakannya dan memberkatimu sebelum dia meninggal.”

w04 15/4 11 per. 3-4

Ribka​—Seorang Wanita yang Takut akan Tuhan

Bible tidak menyatakan Ishak tahu bahawa Esau harus melayani Yakub. Namun, Ribka dan Yakub tahu bahawa berkat anak sulung harus diberikan kepada Yakub. Maka Ribka segera bertindak apabila dia mendengar bahawa Ishak berhasrat untuk memberkati Esau setelah memakan hasil buruannya. Kita tahu Ribka memang seorang yang tegas dengan keputusannya sejak muda lagi. Dia menyuruh Yakub untuk membawa dua ekor anak kambing kepadanya supaya dia dapat menyediakan makanan kegemaran suaminya. Kemudian Yakub harus menyamar sebagai Esau untuk mendapatkan berkat bapanya. Tetapi Yakub enggan melakukannya kerana bapanya pasti akan mengutuknya sekiranya dia mengetahui hal itu. Namun Ribka berkeras dan berkata, “Biarlah mak yang menanggung kutukan itu.” Kemudian Ribka menyediakan makanan itu, membantu Yakub menyamar, dan menghantar Yakub kepada suaminya.​—Kejadian 27:1-17.

Bible tidak menyatakan sebab Ribka bertindak sedemikian. Walaupun ramai yang tidak menyetujui perbuatannya, Bible tidak mengutuk Ribka. Setelah mengetahui bahawa Yakub yang menerima berkat itu, Ishak tidak mengutuknya. Sebaliknya dia memberkati Yakub lagi. (Kejadian 27:29; 28:3, 4) Ribka tahu tentang nubuat Yehuwa mengenai anak-anaknya, jadi dia bertindak supaya Yakub mendapat berkat yang berhak diterimanya. Hal ini selaras dengan kehendak Yehuwa.​—Roma 9:6-13.

(Kejadian 27:18, 19) Yakub pun pergi kepada bapanya dan berkata, “Ayah!” Ishak menjawab, “Ya, siapakah kamu, Esau atau Yakub?” 19 Yakub berkata kepada bapanya, “Saya Esau, anak sulung ayah. Saya sudah melakukan apa yang ayah suruh. Duduklah dan makanlah daging binatang buruan yang saya bawa ini, supaya ayah dapat memberkati saya.”

w07 1/10 31 per. 2-3

Pertanyaan Pembaca

Bible tidak memberikan semua butiran tentang tindakan Ribka dan Yakub. Namun, Bible menyatakan bahawa peristiwa itu berlaku tanpa dirancang. Kita juga harus sedar bahawa Firman Tuhan tidak menyokong ataupun mengutuk perbuatan Ribka dan Yakub. Jadi kita tidak boleh menjadikan kisah mereka sebagai alasan untuk berbohong. Namun Bible memberikan beberapa maklumat mengenai situasi tersebut.

Mula-mula, kisah itu jelas menyatakan bahawa Yakublah, dan bukannya Esau, yang layak diberkati bapanya. Sebelum itu, Yakub telah membeli hak anak sulung daripada Esau secara sah. Esau yang “memandang remeh haknya sebagai anak sulung” telah menjualnya demi mendapatkan makanan. (Kejadian 25:29-34) Maka, semasa Yakub pergi kepada bapanya, dia sebenarnya berhak menerima berkat itu.

(Kejadian 27:27-29) Semasa Yakub menghampiri bapanya dan menciumnya, Ishak menghidu pakaian anaknya, lalu memberkati Yakub dengan berkata, “Bau anakku seharum padang yang diberkati Yehuwa. 28 Semoga Tuhan yang benar mengurniai engkau embun dari langit dan tanah yang subur di bumi. Semoga engkau dikurniai biji-bijian dan wain baharu yang berlimpah-limpah. 29 Semoga orang melayanimu, dan hendaklah bangsa-bangsa bersujud kepadamu. Semoga kamu menjadi tuan kepada saudara-saudaramu, dan hendaklah keturunan ibumu bersujud kepadamu. Terkutuklah setiap orang yang mengutukmu, dan diberkatilah setiap orang yang memberkatimu.”

it-1 404 per. 4

Berkat

Pada zaman dahulu, seorang bapa biasanya akan memberkati anak-anak lelakinya sebelum meninggal. Hal ini sangat penting. Ishak memberkati Yakub kerana dia sangka bahawa Yakub ialah Esau, anak sulungnya. Ishak memperkenankan Yakub dan memberi Yakub lebih banyak berkat daripada Esau. Sudah pasti Ishak memohon Yehuwa memberkati Yakub kerana dia sudah tua dan buta. (Kej 27:1-4, 23-29; 28:1, 6; Ibr 11:20; 12:16, 17) Pada kemudian hari, apabila Ishak sedar tentang hal itu, dia menggandakan berkat Yakub. (Kej 28:1-4) Sebelum meninggal, Yakub memberkati kedua-dua anak lelaki Yusuf, lalu memberkati anak-anak lelakinya sendiri. (Kej 48:9, 20; 49:1-28; Ibr 11:21) Musa juga telah memberkati orang Israel sebelum dia meninggal. (Ul 33:1) Dalam setiap peristiwa tersebut, mereka bernubuat semasa memberikan berkat. Selain itu, sesetengah orang meletakkan tangan mereka di atas kepala orang yang diberkati mereka.​—Kej 48:13, 14.

Mencari Permata Rohani

(Kejadian 27:46–28:2) Selepas itu, Ribka selalu berkata kepada Ishak, “Aku sudah muak dengan hidupku kerana gadis-gadis Het. Jika Yakub mengahwini gadis di tempat ini yang seperti gadis-gadis Het, lebih baik aku mati sahaja!”

28 Ishak memanggil Yakub, memberkatinya, lalu berkata, “Jangan berkahwin dengan gadis Kanaan. 2 Pergilah ke Padan-aram, iaitu ke rumah datukmu Betuel. Di situ, berkahwinlah dengan salah seorang anak perempuan Laban, abang ibumu.

w06 15/4 6 per. 3-4

Cara Berkomunikasi dengan Pasangan Anda

Adakah Ishak dan Ribka mempunyai komunikasi yang baik? Selepas anak mereka Esau berkahwin dengan dua orang gadis berbangsa Het, suatu masalah yang besar timbul dalam keluarga mereka. Ribka “selalu berkata” kepada Ishak, “Aku sudah muak dengan hidupku kerana gadis-gadis Het. Jika Yakub [anak lelaki mereka yang lebih muda] mengahwini gadis di tempat ini yang seperti gadis-gadis Het, lebih baik aku mati sahaja!” (Kejadian 26:34; 27:46) Jelaslah, Ribka memberitahu perasaannya kepada Ishak secara terus terang.

Ishak menyuruh Yakub, iaitu kembar Esau, supaya tidak berkahwin dengan gadis Kanaan. (Kejadian 28:1, 2) Jelaslah, Yakub telah mendengar dan memahami pandangan Ribka dengan jelas. Pasangan ini telah berjaya berkomunikasi tentang masalah yang sensitif, dan kita dapat belajar daripada teladan mereka. Tetapi, bagaimana pula jika pasangan suami isteri tidak dapat mencapai persetujuan? Apakah yang harus dilakukan?

(Kejadian 28:12, 13) Kemudian dia bermimpi, dan dalam mimpinya, dia nampak sebuah tangga di bumi yang hujungnya sampai ke syurga. Malaikat-malaikat Tuhan sedang naik turun tangga itu. 13 Dia nampak Yehuwa di atas tangga itu. Tuhan berfirman, “Akulah Yehuwa, Tuhan kepada datukmu Abraham, dan Tuhan kepada Ishak. Tanah tempat engkau berbaring ini akan Aku berikan kepadamu dan keturunanmu.

w04 15/1 28 per. 5

Sorotan daripada Buku Kejadian—II

28:12, 13​—Apakah maksud mimpi Yakub mengenai “sebuah tangga”? “Tangga” ini, yang mungkin kelihatan seperti tangga batu yang menuju ke langit, menunjukkan bahawa ada komunikasi antara bumi dan syurga. Malaikat Tuhan yang turun naik tangga ini menunjukkan bahawa mereka memainkan peranan yang penting dalam hubungan antara Yehuwa dengan manusia.​—Yohanes 1:51.

30 MAC–5 APRIL

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KEJADIAN 29-30

“Yakub Berkahwin”

(Kejadian 29:18-20) Yakub telah jatuh cinta dengan Rahel, maka dia berkata, “Demi Rahel anak bongsumu, saya sudi bekerja selama tujuh tahun untuk pak cik.” 19 Laban menjawab, “Lebih baik dia menjadi isterimu daripada menjadi isteri orang lain. Tinggallah bersamaku.” 20 Yakub bekerja selama tujuh tahun demi Rahel, tetapi baginya tujuh tahun itu seperti beberapa hari sahaja kerana dia mencintai Rahel.

w03 15/10 29 per. 6

Yakub Menghargai Hal-Hal Rohani

Semasa majlis pertunangan, wang hantaran akan diberikan kepada keluarga pengantin perempuan. Hukum Musa juga menyatakan bahawa seorang lelaki yang telah mencabuli seorang anak dara harus membayar 50 keping wang perak kepada bapa gadis itu. (Ulangan 22:28, 29) Gordon Wenham, seorang cendekiawan, percaya bahawa jumlah itu ialah harga wang hantaran yang tertinggi, tetapi biasanya harga yang lebih rendah akan diminta. Yakub tidak mampu untuk menyediakan wang hantaran. Maka dia sudi untuk bekerja bagi Laban selama tujuh tahun. Wenham berkata, “Pada zaman Babilon kuno, seorang pekerja biasanya akan mendapat gaji antara setengah syekel hingga satu syekel setiap bulan” (iaitu antara 42 hingga 84 syekel dalam masa tujuh tahun). Wenham menyambung, “Jadi Yakub sebenarnya menawarkan Laban wang hantaran yang sangat tinggi nilainya untuk mengahwini Rahel.” Jadi, Laban pun menerimanya.​—Kejadian 29:19.

(Kejadian 29:21-26) Kemudian Yakub berkata kepada Laban, “Tempoh masa saya bekerja sudah tamat. Biarlah saya mengahwini Rahel dan menjadikannya isteri saya.” 22 Laban pun membuat kenduri dan menjemput semua orang tempatan. 23 Tetapi pada waktu malam, Lea pula yang dihantar oleh Laban kepada Yakub, maka Yakub bersetubuh dengan Lea. 24 Laban juga memberikan hamba perempuannya Zilpa kepada Lea untuk menjadi hambanya. 25 Pada waktu pagi, barulah Yakub sedar bahawa orang yang dikahwininya itu ialah Lea! Maka dia berkata kepada Laban, “Apakah yang sudah pak cik lakukan terhadap saya? Saya sudah bekerja untuk pak cik demi Rahel. Mengapakah pak cik menipu saya?” 26 Laban menjawab, “Menurut adat di sini, adik tidak boleh berkahwin sebelum kakaknya berkahwin.

w07 1/10 8-9

Wanita Tertekan yang Melahirkan Bangsa Israel

Adakah Lea bersepakat untuk menipu Yakub? Atau adakah dia hanya ingin mematuhi bapanya? Di manakah Rahel? Adakah dia tahu apa yang sedang berlaku? Jika ya, apakah perasaannya tentang hal itu? Dapatkah dia melawan keputusan bapanya? Bible tidak memberikan jawapan kepada soalan-soalan ini. Tidak kira apa pun yang difikirkan Rahel dan Lea mengenai hal itu, Yakub marah setelah mengetahuinya. Lagipun, Yakub berbalah dengan Laban, dan bukannya dengan anak perempuannya. Yakub berkata, “Saya sudah bekerja untuk pak cik demi Rahel. Mengapakah pak cik menipu saya?” Laban menjawab, “Menurut adat di sini, adik tidak boleh berkahwin sebelum kakaknya berkahwin. Nikmatilah masa bersama isterimu sepanjang minggu ini. Kemudian Rahel akan diberikan kepadamu jika kamu sudi bekerja untukku tujuh tahun lagi.” (Kejadian 29:25-27) Demikianlah Yakub telah diperdaya dan harus terlibat dalam perkahwinan poligami yang mencetuskan kecemburuan.

it-1 1182 per. 4

Perkahwinan

Sambutan. Walaupun perkahwinan di Israel kuno tidak mempunyai acara yang rasmi, perkahwinan mereka biasanya disambut dengan meriah. Pada hari perkahwinan, pengantin perempuan akan melakukan banyak persiapan di rumahnya sendiri. Mula-mula dia akan mandi dan menyapu dirinya dengan minyak wangi. (Bandingkan Rut 3:3; Yeh 23:40.) Ada kalanya, pengantin perempuan akan dibantu untuk memakai ikat pinggang, jubah putih, dan perhiasan yang mahal mengikut keadaan kewangannya. (Yer 2:32; Why 19:7, 8; Mz 45:13, 14) Dia juga akan menghiasi dirinya dengan barang kemas jika dia mampu. (Yes 49:18; 61:10; Why 21:2) Selain itu, dia akan memakai selubung tipis, yang panjangnya dari kepala sampai kaki. (Yes 3:19, 23) Hal ini menjelaskan bagaimana Laban dapat memperdaya Yakub sehingga Yakub tidak sedar bahawa Laban telah memberinya Lea, dan bukannya Rahel. (Kej 29:23, 25) Ribka juga telah menudung kepalanya semasa dia menghampiri Ishak. (Kej 24:65) Perbuatan ini menunjukkan ketundukan pengantin perempuan kepada bakal suaminya.​—1Ko 11:5, 10.

Mencari Permata Rohani

(Kejadian 30:3) Maka Rahel berkata, “Ini Bilha hamba perempuanku. Tidurlah dengannya supaya dia melahirkan anak bagiku, dan aku boleh mendapat anak melalui dia.”

it-1 145

Anak Angkat

Rahel dan Lea menganggap anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan mereka sebagai anak mereka sendiri. (Kej 30:3-8, 12, 13, 24) Sememangnya, anak-anak yang dilahirkan oleh hamba perempuan itu ialah anak kandung kepada Yakub. Jadi anak-anak ini dan anak-anak yang dilahirkan oleh isteri Yakub yang sah akan mendapat warisan daripada Yakub. Memandangkan hamba perempuan itu adalah milik Rahel dan Lea, anak-anak kepada hamba perempuan itu juga adalah milik Rahel dan Lea.

(Kejadian 30:14, 15) Pada musim menuai gandum, Ruben berjalan-jalan di ladang dan menjumpai sejenis buah di sana. Dia membawa buah itu kepada ibunya Lea. Kemudian Rahel berkata kepada Lea, “Berilah aku beberapa biji buah yang dijumpai oleh anakmu.” 15 Lea berkata, “Belum cukupkah kamu mengambil suamiku? Buah yang dijumpai oleh anakku pun kamu hendak ambil?” Rahel menjawab, “Jika kamu memberiku buah yang dijumpai oleh anakmu, kamu boleh tidur dengan Yakub malam ini.”

w04 15/1 28 per. 6

Sorotan daripada Buku Kejadian​—II

30:14, 15​—Mengapakah Rahel sudi melepaskan peluang untuk mengandung demi mendapatkan sejenis buah? Pada zaman dahulu, buah dudaim yang dijumpai Ruben biasanya digunakan dalam perubatan dan untuk mengurangkan kekejangan otot. Buah ini juga dikatakan dapat membangkitkan nafsu seks dan meningkatkan peluang untuk hamil. (Kidung Agung 7:13) Meskipun Bible tidak memberitahu kita mengapa Rahel sangat menginginkan buah itu, dia mungkin berfikir bahawa buah itu dapat membantunya menjadi hamil dan mengakhiri keadaannya yang hina. Namun, Yehuwa hanya “membolehkannya menjadi hamil” selepas beberapa tahun.​—Kejadian 30:22-24.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi