PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Yesus Dipakukan pada Tiang Seksaan
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus berjanji kepada seorang perompak, “Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus”

      BAB 131

      Yesus Dipakukan pada Tiang Seksaan

      MATIUS 27:33-44 MARKUS 15:22-32 LUKAS 23:32-43 YOHANES 19:17-24

      • YESUS DIPAKUKAN PADA TIANG SEKSAAN

      • YESUS DICEMUH

      • YESUS MENJANJIKAN HARAPAN FIRDAUS DI BUMI

      Yesus dibawa ke luar kota, iaitu ke Golgota, atau Tempat Tengkorak. Tempat itu dapat dilihat “dari jauh,” dan dua orang perompak akan dihukum mati di situ bersama Yesus.​—Markus 15:40.

      Pakaian Yesus dan dua orang perompak itu ditanggalkan, lalu mereka diberi wain yang bercampur mur dan bahan pahit untuk diminum. Nampaknya wain itu disediakan sebagai ubat pelali untuk mengurangkan rasa sakit orang yang dihukum mati. Tetapi selepas merasa minuman itu, Yesus enggan meminumnya, kerana dia ingin berfikiran jelas dan berada dalam keadaan sedar sepenuhnya semasa mengharungi cabaran terakhir ini.

      Tubuh Yesus direntangkan pada sebatang tiang. (Markus 15:25) Kemudian para askar memakukan tangan dan kakinya pada tiang itu. Paku-paku itu menembusi kulit dan ligamen Yesus. Dia pasti berasa sangat sakit. Apabila tiang itu ditegakkan, kesakitan yang dirasainya bertambah teruk kerana berat tubuhnya akan menyebabkan luka-luka itu menjadi lebih besar. Tetapi Yesus tidak memarahi askar-askar itu. Sebaliknya dia berkata, “Ya Bapa, ampunilah mereka kerana mereka tidak tahu apa yang dilakukan oleh mereka.”​—Lukas 23:34.

      Pilatus membenci orang Yahudi kerana mereka memperalatkannya untuk membunuh Yesus. Maka dia menulis pada sebuah papan, “Yesus, orang Nasaret, Raja orang Yahudi” dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani, lalu meletakkannya di bahagian atas kepala Yesus supaya semua orang dapat membacanya. Setelah melihat tulisan pada papan itu, para ketua imam berasa marah dan berkata, “Janganlah tulis, ‘Raja orang Yahudi,’ tetapi tulislah, ‘Orang ini berkata: Aku Raja orang Yahudi.’” Tetapi Pilatus tidak mahu diperalatkan oleh mereka lagi. Dia berkata, “Apa yang sudah aku tulis muktamad.”​—Yohanes 19:19-22.

      Mereka marah dan menyebut semula tuduhan palsu yang dibuat oleh mereka semasa perbicaraan Majlis Orang Yahudi. Maka tidak hairanlah orang mula mencemuh Yesus dengan berkata, “Cis, kamu berkata bahawa kamu dapat merobohkan Rumah Tuhan dan membinanya semula dalam masa tiga hari! Selamatkanlah dirimu sendiri dan turunlah dari tiang seksaan itu!” Para ketua imam dan jurutulis hukum juga mentertawakannya dan berkata sesama sendiri, “Biarlah Kristus, Raja orang Israel, turun dari tiang seksaan sekarang supaya kita melihat dan percaya kepadanya.” (Markus 15:29-32) Bahkan perompak-perompak yang dihukum pada tiang bersama Yesus juga menghinanya.

      Terdapat empat orang askar Roma yang juga mengejek Yesus. Mereka mungkin telah meminum wain masam, jadi mereka memegang wain itu di hadapan Yesus sambil berkata, “Jika kamu Raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri.” (Lukas 23:36, 37) Betapa kasihannya Yesus! Dia ialah jalan, kebenaran, dan kehidupan, tetapi kini dia dicemuh dan diseksa. Namun dia mengharungi semua ini tanpa menghina orang Yahudi di situ, askar Roma yang mencemuhnya, atau dua orang penjenayah yang dihukum bersamanya.

      Askar-askar membuang untuk jubah dalam Yesus

      Askar-askar Roma itu telah mengambil jubah luar Yesus lalu membahagikannya menjadi empat bahagian. Kemudian mereka membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. Mereka juga mengambil jubah dalamnya. Tetapi jubah dalamnya bermutu tinggi dan “diperbuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan.” Maka mereka berkata, “Janganlah kita mengoyakkan jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan siapa yang patut memilikinya.” Dengan demikian, apa yang tertulis menjadi kenyataan: “Mereka membahagi-bahagikan jubah luarku dan membuang undi untuk jubah dalamku.”​—Yohanes 19:23, 24; Mazmur 22:18.

      Salah seorang perompak sedar bahawa Yesus memang seorang raja, maka dia berkata kepada perompak yang seorang lagi, “Adakah kamu tidak takut sama sekali kepada Tuhan? Kamu pun menerima hukuman yang sama dengannya. Hukuman yang kita terima adil dan setimpal dengan semua perbuatan kita, tetapi lelaki ini tidak membuat apa-apa yang salah.” Kemudian dia merayu Yesus, “Ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.”​—Lukas 23:40-42.

      Yesus menjawabnya, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini: Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.” Perhatikan bahawa Yesus menyebut tentang Firdaus, dan bukan Kerajaannya. (Lukas 23:43) Janji ini berbeza dengan apa yang dijanjikannya kepada para rasul, iaitu mereka akan duduk di atas takhta bersamanya dalam Kerajaannya. (Matius 19:28; Lukas 22:29, 30) Perompak itu mungkin pernah mendengar tentang Firdaus yang diberikan Yehuwa kepada Adam, Hawa, dan keturunan mereka. Jadi sekarang meskipun dia akan mati, dia boleh menantikan harapan ini.

      • Mengapakah Yesus enggan minum wain yang diberikan?

      • Apakah yang tertulis pada papan di atas kepala Yesus? Apakah reaksi orang Yahudi setelah mereka melihatnya?

      • Bagaimanakah nubuat tentang jubah Yesus menjadi kenyataan?

      • Apakah harapan yang dijanjikan oleh Yesus kepada seorang perompak?

  • “Lelaki Ini Sememangnya Anak Tuhan”
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Selepas Yesus mati atas tiang seksaan, seorang pegawai tentera berkata, “Lelaki ini sememangnya Anak Tuhan”

      BAB 132

      “Lelaki Ini Sememangnya Anak Tuhan”

      MATIUS 27:45-56 MARKUS 15:33-41 LUKAS 23:44-49 YOHANES 19:25-30

      • YESUS MATI PADA TIANG SEKSAAN

      • KEJADIAN LUAR BIASA SEMASA YESUS MATI

      Sekarang ialah “jam 12 tengah hari,” dan seluruh bumi menjadi gelap “sehingga jam 3 petang.” (Markus 15:33) Kejadian ini tidak disebabkan oleh gerhana matahari. Gerhana matahari berlaku semasa anak bulan muncul, tetapi sekarang ialah musim Paska, waktu bulan purnama. Selain itu, gerhana matahari berlaku selama beberapa minit, tetapi bumi menjadi gelap selama beberapa jam. Maka jelaslah bahawa Tuhan telah menyebabkan hal ini terjadi!

      Kejadian ini semestinya mengejutkan orang yang sedang mencemuh Yesus. Pada waktu itu, empat orang wanita mendekati tiang seksaan Yesus. Mereka ialah ibu Yesus, Salome, Maria Magdalena, dan Maria, iaitu ibu kepada Yakobus Kecil.

      Yohanes dan ibu Yesus “berdiri dekat tiang seksaan.” Maria nampak anak yang dilahirkannya itu menderita di atas tiang. Hatinya seolah-olah “ditembusi sebilah pedang yang panjang.” (Yohanes 19:25; Lukas 2:35) Meskipun Yesus sangat menderita, dia masih berfikir tentang ibunya. Dia melihat ke arah Yohanes sambil berkata kepada ibunya, “Ibu, lihatlah! Mulai sekarang dialah anakmu!” Kemudian, sambil melihat ke arah Maria, dia berkata kepada Yohanes, “Lihatlah! Mulai sekarang dialah ibumu!”​—Yohanes 19:26, 27.

      Yesus menyuruh rasulnya yang tersayang untuk menjaga ibunya. Ibunya ialah seorang balu, dan adik-beradik Yesus yang lain belum beriman kepadanya, maka dia memastikan bahawa keperluan fizikal dan rohani ibunya dijaga.

      Sekitar jam 3 petang, Yesus berkata, “Aku dahaga.” Dengan demikian, apa yang tertulis menjadi kenyataan. (Yohanes 19:28; Mazmur 22:15) Yesus dapat merasakan bahawa Bapanya tidak akan melakukan apa-apa untuk melindunginya, dan kesetiaannya akan diuji sepenuhnya. Oleh itu, dia berseru dalam bahasa Aram, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bermaksud, “Tuhanku, Tuhanku, mengapakah Engkau meninggalkan aku?” Orang di situ salah faham dan berkata, “Lihat! Dia sedang memanggil Elia.” Ada orang berlari untuk merendamkan span ke dalam wain masam, lalu menggunakan sebatang kayu untuk menghulurkan span itu ke mulut Yesus supaya dia dapat minum. Tetapi ada orang berkata, “Biarkan dia! Mari kita lihat sama ada Elia akan datang untuk menyelamatkannya atau tidak.”​—Markus 15:34-36.

      Kemudian Yesus berseru, “Sudah selesai!” (Yohanes 19:30) Ya, dia telah menyempurnakan segala tugas yang diamanahkan oleh Bapanya. Akhirnya dia berkata, “Ya Bapa, aku menyerahkan nyawaku ke dalam tangan-Mu.” (Lukas 23:46) Yesus yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa akan membangkitkannya. Maka setelah dia berkata demikian, dia menundukkan kepala lalu mati.

      Ketika itu, bumi bergoncang dan batu-batu terbelah. Gempa bumi itu begitu kuat sehingga kubur-kubur di luar Yerusalem terbuka dan mayat-mayat tercampak keluar. Ada orang nampak mayat-mayat itu dan masuk ke dalam “kota suci” untuk melaporkan apa yang terjadi.​—Matius 12:11; 27:51-53.

      Semasa Yesus mati, tirai di antara Bilik Suci dengan Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan terkoyak menjadi dua. Hal ini menandakan bahawa Tuhan murka terhadap orang yang telah membunuh Anak-Nya. Hal ini juga menandakan bahawa “jalan” yang menuju ke Bilik Maha Suci, iaitu ke syurga, telah dibuka.​—Ibrani 9:2, 3; 10:19, 20.

      Semua orang menjadi sangat takut. Pegawai tentera yang berdiri di depan Yesus berkata, “Lelaki ini sememangnya Anak Tuhan.” (Markus 15:39) Pegawai itu mungkin hadir sewaktu Yesus dibawa kepada Pilatus untuk menentukan sama ada dia ialah Anak Tuhan atau tidak. Sekarang pegawai itu yakin bahawa Yesus memang Anak Tuhan.

      Orang ramai yang melihat apa yang berlaku di situ pulang ke rumah sambil “memukul dada kerana sedih.” (Lukas 23:48) Tetapi ada orang yang tetap berdiri di situ dan melihat kejadian ini dari jauh. Antara mereka ialah wanita-wanita yang mengikut Yesus. Mereka juga berasa sangat sedih.

      “BUNUHLAH DIA PADA TIANG”

      Musuh Yesus menjerit, “Bunuhlah dia pada tiang!” (Yohanes 19:15) Dalam Bible, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “tiang” ialah stau·rosʹ. Sebuah buku menyatakan, “Stauros bererti ‘sebatang kayu yang tegak,’ seperti tiang yang digunakan oleh para petani untuk membuat pagar.”​—History of the Cross.

      • Mengapakah seluruh bumi menjadi gelap selama tiga jam?

      • Apakah teladan baik yang diberikan Yesus berkenaan hal menjaga ibu bapa yang uzur?

      • Apakah yang berlaku selepas bumi bergoncang? Tirai di Rumah Tuhan terkoyak menjadi dua. Hal ini melambangkan apa?

      • Apakah reaksi orang ramai yang melihat kematian Yesus dan kejadian yang berlaku selepas itu?

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi