Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
4-10 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IMAMAT 18-19
Permata Rohani
w06 15/6 22 per. 11
“Aku Sangat Mencintai Hukum-Mu!”
11 Hukum Musa mencerminkan keprihatinan Tuhan terhadap umat-Nya. Hal ini jelas kelihatan melalui aturan untuk memungut sisa tuaian. Yehuwa memberitahu petani di Israel bahawa apabila mereka menuai hasil di ladang, mereka harus membenarkan orang miskin untuk mengumpulkan hasil tuaian yang tertinggal. Para petani tidak boleh menuai semua hasil tanaman di tepi ladang mereka, atau kembali untuk mengumpulkan sisa tuaian dari ladang anggur atau zaitun. Mereka juga tidak boleh kembali untuk mengambil berkas bijirin yang tertinggal di ladang. Aturan ini mencerminkan kasih Yehuwa terhadap orang yang miskin, orang asing, anak yatim, dan balu. Walaupun kerja memungut sisa tuaian tidak mudah, aturan ini membolehkan mereka menyara hidup tanpa meminta sedekah.—Imamat 19:9, 10; Ulangan 24:19-22; Mazmur 37:25.
w02 1/2 29
Pertanyaan Pembaca
Bagaimanakah orang Kristian dapat menerapkan prinsip di sebalik larangan Hukum Musa tentang berkahwin dengan saudara-mara?
Hukum Musa tidak mempunyai banyak peraturan tentang upacara perkahwinan, tetapi hukum itu mempunyai larangan yang tertentu. Contohnya, senarai di Imamat 18:6-20 menyatakan bahawa orang Israel tidak boleh mengahwini saudara-mara terdekat mereka. Senarai itu menyatakan dengan terperinci bahawa hubungan seks dilarang jika mereka mempunyai pertalian keluarga tertentu. Orang Kristian hari ini tidak perlu mengikut Hukum Musa. (Efesus 2:15; Kolose 2:14) Tetapi hal ini tidak bermaksud kita tidak perlu mempertimbangkan prinsip di sebalik Hukum Musa semasa memilih pasangan hidup. Mengapa? Mari kita lihat beberapa sebab.
Pertama ialah undang-undang tempatan. Di setiap negara, terdapat undang-undang tentang perkahwinan antara saudara-mara, dan orang Kristian harus mematuhi undang-undang tempatan. (Matius 22:21; Roma 13:1) Kebanyakan undang-undang ini dibuat berdasarkan kajian genetik. Kajian menunjukkan bahawa mereka yang mengahwini saudara-mara yang terdekat, biasanya akan melahirkan anak yang mempunyai penyakit atau kecacatan yang disebabkan oleh masalah genetik. Kerana hal ini dan kerana kita ingin “taat kepada pihak berkuasa,” kita akan mematuhi undang-undang tempatan mengenai perkahwinan.
Kita juga perlu mengambil kira pandangan masyarakat setempat. Hampir setiap budaya mempunyai larangan tentang saudara-mara yang berkahwin. Jika saudara-mara terdekat berkahwin, hal itu akan dipandang sebagai sesuatu yang haram. Setiap budaya mempunyai larangan yang berbeza-beza, tetapi menurut The Encyclopædia Britannica, “biasanya semakin dekat pertalian darah orang yang berkahwin, semakin besar kesalahan mereka di pandangan masyarakat tempatan.” Biarpun orang Kristian tidak mengahwini saudara-mara terdekat, mereka ingin mengambil kira pandangan masyarakat tempatan supaya perkahwinan mereka tidak membawa celaan kepada nama Yehuwa dan sidang Kristian.—2 Korintus 6:3.
Selain itu, kita harus fikir tentang hati nurani yang dikurniakan oleh Tuhan. Setiap orang diciptakan dengan kebolehan untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah. (Roma 2:15) Hati nurani kita boleh membantu kita mengetahui perkara yang boleh diterima dan perkara yang tidak boleh diterima. Tetapi jika hati nurani kita tidak peka atau tidak berfungsi dengan baik, kita akan dipengaruhi untuk melakukan perbuatan yang salah. Hal ini ditekankan oleh Yehuwa semasa memberikan hukum kepada orang Israel mengenai perkahwinan antara saudara-mara. Dia berfirman, “Jangan ikut perbuatan orang di Mesir, tempat kamu tinggal dahulu. Jangan ikut perbuatan orang di Kanaan, tempat Aku sedang membawa kamu. Jangan ikut amalan-amalan mereka.” (Imamat 18:3) Maka orang Kristian harus menjaga hati nurani mereka yang dilatih oleh Bible, dan memastikan hati nurani mereka tidak dipengaruhi oleh pandangan dunia yang sesat.—Efesus 4:17-19.
Jadi apakah kesimpulannya? Walaupun orang Kristian tidak perlu mengikut Hukum Musa, hati nurani mereka akan memberitahu mereka bahawa perkahwinan antara saudara-mara yang terdekat adalah salah. Contohnya, perkahwinan antara bapa dengan anak perempuan, ibu dengan anak lelaki, atau antara adik-beradik, tidak diterima oleh orang Kristian. Mengenai perkahwinan antara saudara-mara yang lain, orang Kristian sedar bahawa mereka mesti mengikut undang-undang kerajaan dan mengambil kira pandangan masyarakat setempat. Mereka harus mempertimbangkan hal-hal ini supaya dapat mengikut nasihat Bible yang berikut: “Hendaklah perkahwinan dihormati oleh semua orang.”—Ibrani 13:4.
11-17 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IMAMAT 20-21
“Yehuwa Menyucikan Umat-Nya”
w04 15/10 11 per. 12
Harapan Firdaus untuk Anda?
12 Kita perlu ingat satu perkara yang penting. Melalui Musa, Tuhan memberitahu orang Israel, “Kamu mesti mematuhi segala perintah yang aku sampaikan kepada kamu hari ini. Dengan demikian, kamu akan menjadi bangsa yang kuat dan kamu dapat menyeberangi sungai untuk menakluki tanah itu.” (Ulangan 11:8) Tentang tanah itu, Imamat 20:22, 24 menyatakan, “Patuhilah semua perintah-Ku dan turutilah semua ketetapan-Ku. Dengan demikian, Aku tidak akan mengusir kamu dari tanah itu, tempat Aku sedang membawa kamu. Aku telah berfirman kepada kamu, ‘Aku akan memberikan tanah mereka kepada kamu. Tanah yang melimpah dengan susu dan madu itu akan menjadi milik kamu. Akulah Yehuwa, Tuhan kamu, yang telah memisahkan kamu daripada bangsa-bangsa lain.’” Ya, bangsa Israel boleh memiliki Tanah yang Dijanjikan jika mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Tuhan Yehuwa. Oleh sebab bangsa Israel tidak taat, Tuhan membenarkan orang Babilon menakluki mereka dan mengusir mereka dari Tanah yang Dijanjikan.
it-2 1141
Warisan
Warisan ialah harta peninggalan atau sesuatu yang diwarisi daripada seorang ahli keluarga ataupun daripada orang lain. Perkataan warisan biasanya diterjemahkan daripada kata kerja Ibrani na·chalʹ (kata nama, na·chalahʹ) yang bermaksud memberi atau menerima harta warisan. (Bil 26:55; Yeh 46:18) Kata kerja ya·rashʹ pula ada kalanya diterjemahkan sebagai menjadi pewaris. Tetapi sering kali diterjemahkan sebagai mengambil sesuatu untuk dijadikan milik. (Kej 15:3; Im 20:24) Perkataan ini juga boleh diterjemahkan sebagai “mengusir” mungkin dengan menggunakan kuasa tentera. (Ul 2:12; 31:3) Perkataan Yunani bagi warisan berkait dengan kleʹros, yang pada asalnya bermaksud “undi,” tetapi kemudian bermaksud “bahagian,” dan akhirnya “warisan.”—Mt 27:35; Kis 1:17; 26:18.
it-1 475-476
Burung
Selepas Banjir Besar, Nuh mengambil beberapa ekor binatang dan “beberapa ekor makhluk terbang yang halal” lalu mempersembahkan semuanya sebagai korban. (Kej 8:18-20) Sejak itu, Tuhan membenarkan manusia untuk memakan daging burung, asalkan darahnya tidak dimakan. (Kej 9:1-4; bandingkan Im 7:26; 17:13.) Nampaknya seekor burung dikatakan “halal” kerana burung itu boleh dipersembahkan sebagai korban. Tetapi setelah Hukum Musa diberikan, sesetengah burung dianggap “haram” kerana tidak boleh dimakan. (Im 11:13-19, 46, 47; 20:25; Ul 14:11-20) Bible tidak menyatakan dengan jelas mengapa sesetengah burung dianggap haram. Tetapi kebanyakan burung yang dianggap haram ialah burung pemangsa dan burung yang makan bangkai. Larangan ini telah dibatalkan setelah perjanjian baharu berkuat kuasa, seperti yang dinyatakan oleh Tuhan kepada Petrus dalam satu penglihatan.—Kis 10:9-15.
Permata Rohani
it-2 1069
Melukai Diri
Hukum Tuhan melarang orang Israel melukai tubuh mereka semasa berkabung untuk orang mati. (Im 19:28; 21:5; Ul 14:1) Hal ini kerana orang Israel ialah umat Yehuwa yang istimewa dan dianggap suci oleh-Nya. (Ul 14:2) Maka, umat Israel harus menghindari semua adat yang berkait dengan penyembahan berhala. Tambahan lagi, mereka tidak patut melukai diri mereka semasa berkabung kerana mereka tahu keadaan sebenar orang mati dan harapan pembangkitan. (Da 12:13; Ibr 11:19) Selain itu, larangan ini mengingatkan orang Israel untuk menghormati ciptaan Yehuwa, iaitu tubuh manusia.
18-24 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IMAMAT 22-23
“Pengajaran daripada Perayaan Orang Israel Kuno”
it-2 455-456
Perayaan Roti Tidak Beragi
Hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi ialah hari Sabat, dan orang Israel harus mengadakan perhimpunan yang suci. Pada hari kedua perayaan itu, 16 Nisan, orang Israel akan membawa hasil tanaman mereka yang pertama, iaitu seberkas barli kepada imam. (Barli ialah tanaman pertama yang masak di Palestin.) Imam akan mempersembahkan berkas barli yang pertama itu dengan mengayunkannya ke depan dan belakang sebagai korban kepada Yehuwa. Selain itu, imam akan mempersembahkan seekor bebiri jantan yang berumur satu tahun dan tidak ada kecacatan sebagai korban bakar. Imam juga akan mempersembahkan korban wain dan tepung terbaik yang bercampur minyak sebagai korban bijirin. (Im 23:6-14) Sebelum perayaan ini, orang Israel tidak boleh memakan roti, biji-bijian yang sudah dipanggang, atau biji-bijian daripada hasil tuaian yang baharu. Yehuwa tidak memberikan perintah untuk membakar tepung atau bijirin itu di mazbah, seperti yang dilakukan oleh imam pada kemudian hari. Semasa perayaan ini, aturan juga disediakan untuk setiap individu dan keluarga yang mempunyai tanah warisan untuk mempersembahkan korban pendamaian sebagai tanda kesyukuran.—Kel 23:19; Ul 26:1, 2.
Pengajaran. Orang Israel memakan roti tidak beragi semasa perayaan ini selaras dengan arahan Yehuwa kepada Musa di Keluaran 12:14-20. Ayat 19 menyatakan, “Selama tujuh hari, ragi tidak boleh disimpan di dalam rumah kamu.” Menurut Ulangan 16:3, roti tidak beragi mengingatkan orang Israel tentang masa mereka “keluar dari Mesir dengan tergesa-gesa” (pada masa itu, mereka hanya membawa adunan tepung yang tidak beragi [Kel 12:34]). Orang Israel memakan roti tidak beragi untuk mengenang bagaimana Yehuwa membebaskan mereka daripada “kesusahan dan penderitaan” yang mereka alami di Mesir. Yehuwa menyuruh orang Israel untuk mengenang hal ini ‘seumur hidup mereka.’ Perayaan Roti Tidak Beragi, yang merupakan perayaan pertama antara tiga perayaan tahunan orang Israel, membantu orang Israel sedar bahawa pembebasan mereka datang daripada Yehuwa.—Ul 16:16.
it-2 419-420
Pentakosta
Pada hari Pentakosta, hasil tanaman gandum yang pertama akan dipersembahkan kepada Yehuwa. Tetapi cara gandum dipersembahkan berbeza daripada cara barli dipersembahkan. Dua persepuluh efa (4.4 L) tepung gandum yang terbaik akan dicampurkan dengan ragi dan dibakar menjadi dua buku roti. Orang Israel akan membuat roti ini di rumah mereka. Maksudnya, roti ini ialah roti yang biasa dimakan oleh mereka di rumah dan bukannya roti suci. (Im 23:17) Bersama-sama dengan roti ini, orang Israel akan mempersembahkan korban bakar dan korban dosa. Selain itu, mereka akan mempersembahkan dua ekor anak bebiri jantan sebagai korban pendamaian. Imam akan mengambil roti berserta daging anak bebiri itu lalu mengayunkannya ke depan dan belakang sebagai korban untuk Yehuwa. Selepas itu, roti dan daging itu menjadi milik imam, dan akan dimakan olehnya sebagai korban pendamaian.—Im 23:18-20.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w07 15/7 26
Pertanyaan Pembaca
Memandangkan musim menuai bermula semasa semua lelaki Israel sedang menghadiri Perayaan Roti Tidak Beragi, siapakah yang menuai hasil tanaman barli yang pertama untuk dibawa ke Rumah Tuhan?
Hukum Musa menyuruh orang Israel, “Tiga kali setahun, iaitu pada Perayaan Roti Tidak Beragi, Perayaan Menuai, dan Perayaan Pondok Daun, semua lelaki dalam kalangan kamu harus datang menghadap Yehuwa, Tuhan kamu, di tempat yang dipilih-Nya.” (Ulangan 16:16) Sejak zaman Raja Salomo, tempat yang dipilih Tuhan ialah Rumah Tuhan di Yerusalem.
Perayaan pertama, iaitu Perayaan Roti Tidak Beragi, disambut pada awal musim bunga. Hari Paska diadakan pada 14 Nisan. Selepas itu, Perayaan Roti Tidak Beragi disambut selama tujuh hari, iaitu dari 15 Nisan hingga 21 Nisan. Hari kedua perayaan itu, iaitu 16 Nisan, ialah permulaan musim menuai dalam kalendar orang Yahudi. Pada hari itu, imam agung akan mengambil berkas barli yang pertama dan mengayunkan barli itu ke depan dan belakang sebagai korban untuk Yehuwa di Rumah Tuhan. (Imamat 23:5-12) Memandangkan semua lelaki Israel sedang menghadiri Perayaan Roti Tidak Beragi, siapakah yang akan menuai berkas barli yang pertama itu?
Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, seluruh bangsa Israel telah disuruh untuk mempersembahkan hasil tuaian yang pertama kepada Yehuwa. Tetapi setiap orang tidak perlu membawa hasil tuaian pertama masing-masing ke Rumah Tuhan. Sebaliknya, bangsa Israel boleh menghantar sekumpulan orang sebagai wakil ke ladang barli yang berdekatan. Menurut Encyclopaedia Judaica, “tiga orang lelaki akan membawa sabit dan bakul masing-masing dan pergi ke kawasan berdekatan Yerusalem untuk mendapatkan barli yang masak. Jika barli di sana belum masak, mereka boleh mendapatkannya dari tempat yang lain di Israel.” Kemudian seberkas barli akan dibawa kepada imam agung yang akan mempersembahkannya kepada Yehuwa.
Perintah untuk mempersembahkan hasil tuaian yang pertama telah memberi orang Israel peluang untuk mengucap syukur kepada Yehuwa, yang telah memberkati tanah dan hasil tuaian mereka. (Ulangan 8:6-10) Sebenarnya, upacara ini merupakan “bayangan kepada perkara-perkara baik yang akan datang.” (Ibrani 10:1) Yesus Kristus telah dibangkitkan pada 16 Nisan 33 M, iaitu hari yang sama dengan hari hasil tuaian yang pertama dipersembahkan kepada Yehuwa. Mengenai Yesus, Rasul Paulus menulis, “Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Dalam kalangan mereka yang sudah tidur dalam kematian, dialah hasil pertama yang dibangkitkan. . . . Namun, setiap orang dihidupkan menurut giliran masing-masing: Kristus ialah hasil yang pertama, kemudian mereka yang menjadi milik Kristus akan dibangkitkan semasa kehadirannya.” (1 Korintus 15:20-23, nota kaki) Jadi hasil tuaian yang pertama yang diayunkan oleh imam agung di hadapan Yehuwa menggambarkan Yesus Kristus yang telah dibangkitkan. Yesus ialah orang pertama yang dibangkitkan dan diberikan kehidupan kekal. Maka dia telah membuka jalan supaya umat manusia dibebaskan daripada dosa dan kematian.
25-31 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IMAMAT 24-25
“Pengajaran daripada Tahun Pembebasan”
it-2 84
Kebebasan
Tuhan Kebebasan. Yehuwa ialah Tuhan yang memberikan kebebasan. Dia membebaskan orang Israel daripada perhambaan di Mesir. Yehuwa berfirman bahawa jika mereka mematuhi hukum-Nya, Dia akan membebaskan mereka daripada kemiskinan dan memenuhi keperluan mereka. (Ul 15:4, 5) Namun Hukum Musa menyatakan bahawa jika seseorang jatuh miskin, dia boleh menjual dirinya sebagai hamba supaya dia dapat menyara keluarganya. Hukum itu juga menyatakan bahawa hamba itu harus dibebaskan daripada perhambaannya pada tahun ketujuh. (Kel 21:2) Pada Tahun Pembebasan (yang berlaku pada setiap tahun ke-50), pembebasan akan diisytiharkan di seluruh negara. Pada waktu itu, semua hamba Ibrani akan dibebaskan dan semua tanah yang dijual akan dikembalikan kepada pemiliknya.—Im 25:10-19.
it-2 1142 per. 2
Warisan
Memandangkan tanah diwariskan secara turun-temurun, tanah hanya boleh dijual untuk sementara. Sekiranya tanah itu dijual, nilainya ditentukan oleh hasil tuaiannya dan tempoh masa tanah itu dapat digunakan sehingga Tahun Pembebasan. Pada Tahun Pembebasan, semua tanah akan dikembalikan kepada pemilik asal, sekiranya tanah itu belum ditebus oleh pemiliknya. (Im 25:13, 15, 23, 24) Hal ini termasuk rumah yang terletak di kawasan yang tidak bertembok. Tetapi berkenaan rumah yang terletak di dalam kota yang bertembok, pemilik asalnya berhak untuk menebus rumahnya dalam jangka masa setahun. Jika tidak, rumah itu akan menjadi milik tetap pemilik baharunya. Bagi rumah yang terletak di dalam kota orang Lewi, orang Lewi berhak untuk menebus rumah itu pada bila-bila masa kerana mereka tiada tanah warisan.—Im 25:29-34.
it-2 1278
Tahun Pembebasan
Jika orang Israel mematuhi hukum Tahun Pembebasan, keadaan ekonomi di negara mereka tidak akan seperti keadaan banyak negara hari ini; mereka tidak akan ada golongan yang terlalu kaya atau terlalu miskin. Selain itu, seluruh bangsa akan dikuatkan kerana tiada orang yang akan ditindas atau mempunyai masalah ekonomi. Mereka semua dapat menyumbangkan kebolehan dan bakat mereka untuk memajukan negara. Jika mereka terus taat kepada Yehuwa, Yehuwa akan memberkati mereka dengan hasil tuaian yang banyak dan pendidikan yang bagus. Dengan itu, mereka akan menikmati kemakmuran di bawah pemerintahan kerajaan yang sempurna.—Yes 33:22.
Permata Rohani
w09 1/9 22 per. 4
Apabila Anda Tersinggung
Apabila seorang Israel menyerang lalu membutakan rakan sebangsanya, Hukum Musa menyatakan bahawa pesalah itu boleh mendapat hukuman yang setimpal. Tetapi hal ini tidak bermaksud mangsa boleh membalas dendam terhadap pesalah atau keluarga pesalah. Menurut hukum, mangsa harus membawa kes ini kepada pihak berkuasa, iaitu hakim-hakim yang telah dilantik, untuk diadili. Hukum ini menghalang orang Israel daripada melakukan jenayah atau mencederakan orang lain kerana mereka tahu bahawa pesalah boleh dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatannya.
1-7 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | IMAMAT 26-27
“Cara Menerima Berkat Yehuwa”
w08 15/4 4 per. 8
Menolak “Perkara yang Sia-Sia”
8 Bagaimanakah “Kekayaan” boleh menjadi seperti Tuhan? Contohnya, di Israel kuno sebuah batu boleh digunakan untuk membina rumah atau tembok. Tetapi jika batu itu dijadikan “tugu-tugu suci” atau “batu berukir,” batu itu boleh membuat umat Yehuwa tersandung. (Im. 26:1) Begitu juga dengan duit. Kita memerlukan duit untuk terus hidup dan kita boleh menggunakannya dalam khidmat Yehuwa. (Pkh. 7:12; Luk. 16:9) Tetapi jika kita lebih mengutamakan duit daripada khidmat Kristian kita, duit seolah-olah menjadi tuhan kita. (Baca 1 Timotius 6:9, 10.) Dunia hari ini amat mementingkan duit. Jadi kita perlu memastikan bahawa kita mempunyai pandangan yang seimbang dalam hal ini.—1 Tim. 6:17-19.
it-1 966 per. 1
Takjub
Yehuwa akrab dengan Musa dan menggunakannya untuk melakukan perkara-perkara yang menakjubkan (Ibrani, moh·raʼʹ) di hadapan umat Israel. (Ul 34:10, 12; Kel 19:9) Maka, umat yang beriman akan menghormati Musa, dan sedar bahawa Yehuwa berfirman melaluinya. Orang Israel juga perlu berasa takjub atau menghormati tempat suci Yehuwa. (Im 19:30; 26:2) Hal ini bererti mereka akan menyembah Yehuwa dalam cara yang diperkenankan-Nya dan akan mematuhi semua perintah-Nya.
w91 1/3 17 per. 10
Biarlah “Kesejahteraan daripada Tuhan” Melindungi Hati Anda
10 Yehuwa berfirman kepada bangsa Israel, “Jika kamu mematuhi hukum-Ku dan hidup menurut perintah-Ku, Aku akan menurunkan hujan pada waktunya supaya tanah dapat mengeluarkan hasilnya dan pokok-pokok di ladang akan berbuah. Aku akan mendatangkan keamanan di negeri kamu sehingga kamu dapat tidur tanpa berasa takut terhadap sesiapa pun. Aku akan melenyapkan binatang buas di negeri kamu, dan tiada sesiapa pun yang akan menyerang kamu. Aku akan menyertai kamu. Aku akan menjadi Tuhan kamu dan kamu akan menjadi umat-Ku.” (Imamat 26:3, 4, 6, 12) Orang Israel akan menikmati keamanan kerana mereka dilindungi daripada serangan musuh, tidak perlu risau tentang keperluan hidup, dan memiliki hubungan yang rapat dengan Yehuwa. Untuk menikmati semua berkat ini, mereka haruslah mematuhi Hukum Yehuwa.—Mazmur 119:165.
Permata Rohani
it-2 718
Wabak
Akibat Mengingkari Hukum Tuhan. Yehuwa memberikan amaran kepada bangsa Israel bahawa jika mereka tidak menepati perjanjian dengan-Nya, Dia akan ‘mendatangkan wabak penyakit kepada mereka.’ (Im 26:14-16, 23-25; Ul 28:15, 21, 22) Dalam Bible, kesihatan yang baik secara fizikal dan rohani dikaitkan dengan berkat Tuhan (Ul 7:12, 15; Mz 103:1-3; Ams 3:1, 2, 7, 8; 4:21, 22; Why 21:1-4), manakala penyakit dikaitkan dengan dosa dan ketidaksempurnaan. (Kel 15:26; Ul 28:58-61; Yes 53:4, 5; Mt 9:2-6, 12; Yoh 5:14) Kadangkala, Yehuwa mendatangkan penyakit kepada seseorang. Contohnya, Yehuwa menyebabkan Miryam, Uzia, dan Gehazi dijangkiti penyakit kusta. (Bil 12:10; 2Ta 26:16-21; 2Ra 5:25-27) Tetapi biasanya, seseorang atau sesebuah negara dijangkiti wabak atau penyakit kerana haluan mereka yang berdosa. Mereka menuai apa yang ditanam oleh mereka, dan mereka dijangkiti penyakit akibat daripada perbuatan mereka yang salah. (Ga 6:7, 8) Berkenaan orang yang melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral dan menjijikkan, Rasul Paulus berkata, “Tuhan membiarkan mereka untuk melakukan perbuatan yang najis supaya mereka memalukan tubuh sendiri . . . akibatnya mereka menerima balasan yang setimpal dengan kesalahan mereka.”—Rm 1:24-27.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w09 1/8 30
Pembaca Bertanya
Berapa Banyakkah yang Harus Saya Sumbangkan?
“Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.” (2 Korintus 9:7) Ramai orang di serata dunia tahu kata-kata ini. Tetapi ramai ahli gereja mungkin berasa dipaksa untuk memberikan sumbangan yang melebihi kemampuan mereka. Sebenarnya, banyak agama menghendaki ahli mereka menyumbangkan suatu jumlah yang tetap. Amalan ini dipanggil memberikan persepuluhan, iaitu 10 peratus daripada pendapatan mereka harus diberikan kepada gereja.
Adakah Bible menyuruh kita memberikan jumlah sumbangan yang tetap? Berapa banyakkah yang harus saya sumbangkan?
Sumbangan pada Masa Kuno
Bible menyatakan bahawa Yehuwa memberitahu orang Israel untuk menyumbangkan suatu jumlah yang tetap. (Imamat 27:30-32; Bilangan 18:21, 24; Ulangan 12:4-7, 11, 17, 18; 14:22-27) Tuntutan ini bukanlah di luar kemampuan mereka. Yehuwa berjanji bahawa jika mereka patuh kepada hukum-Nya, ‘Dia akan mencurahkan berkat yang berlimpah-limpah ke atas mereka.’—Ulangan 28:1, 2, 11, 12.
Walaupun begitu, orang Israel boleh memberikan sumbangan sukarela. Contohnya, semasa Raja Daud merancang untuk membina Rumah Tuhan, rakyatnya telah menyumbangkan sebanyak “171 tan emas.” (1 Tawarikh 29:7) Sebaliknya, semasa Yesus di bumi, dia nampak “seorang balu miskin memasukkan dua keping mata wang yang kecil, yang sangat rendah nilainya” ke dalam peti sumbangan. Apakah nilai sumbangan balu itu? Hanya 1/64 daripada upah sehari seorang pekerja. Yesus berkata bahawa walaupun sumbangan balu itu sedikit, sumbangannya amat dihargai.—Lukas 21:1-4.
Adakah Tuhan Menghendaki Orang Kristian untuk Memberikan Jumlah Sumbangan yang Tetap?
Orang Kristian tidak perlu mengikut hukum yang diberikan kepada orang Israel kuno. Jadi, mereka tidak perlu memberikan jumlah sumbangan yang tetap. Tetapi, orang Kristian yang sejati meraih sukacita semasa memberi. Yesus sendiri berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.”—Kisah 20:35.
Saksi-Saksi Yehuwa menyokong kerja penyebaran sedunia menerusi sumbangan sukarela. Sumbangan ini digunakan untuk mencetak bahan bacaan, dan membina serta menyelenggarakan Dewan Perjumpaan. Sumbangan ini tidak digunakan untuk membayar gaji. Sesetengah Saksi-Saksi Yehuwa yang berkhidmat sepenuh masa dalam kerja penyebaran menerima bantuan kewangan untuk kos pengangkutan dan perbelanjaan peribadi yang lain. Tetapi mereka tidak menuntut bantuan itu. Seperti Paulus yang bekerja sebagai pembuat khemah, kebanyakan Saksi-Saksi Yehuwa membuat kerja sekular untuk menyara diri dan menyokong kerja penyebaran.—2 Korintus 11:9; 1 Tesalonika 2:9.
Jika seseorang ingin memberikan sumbangan kepada kerja Saksi-Saksi Yehuwa, berapakah jumlah yang harus dia berikan? Rasul Paulus berkata, “Hendaklah setiap orang melakukan apa yang telah diputuskan dalam hati masing-masing. Janganlah melakukannya dengan berat hati atau secara terpaksa, kerana Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan senang hati.”—2 Korintus 8:12; 9:7.
8-14 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 1-2
“Yehuwa Mengatur Umat-Nya”
w94 1/12 9 per. 4
Utamakan Ibadat kepada Yehuwa dalam Hidup Kita
4 Jika anda melihat perkhemahan orang Israel kuno dari langit, apakah yang akan anda lihat? Anda akan nampak perkhemahan bagi kira-kira tiga juta orang yang diaturkan kepada empat kelompok, yang terletak di utara, selatan, timur, dan barat. Setiap kelompok terdiri daripada tiga buah suku. Di bahagian tengah perkhemahan itu, terdapat empat kelompok kecil yang terdiri daripada keluarga-keluarga orang Lewi. Di pusat perkhemahan itu, terdapat sebuah kawasan yang dikelilingi kain tirai. Di sebalik tirai itu, terdapat “khemah suci” atau khemah pertemuan yang dibina oleh orang Israel “yang mahir” mengikut perintah Yehuwa.—Bilangan 1:52, 53; 2:3, 10, 17, 18, 25; Keluaran 35:10.
it-2 491 per. 3
Perkhemahan
Saiz perkhemahan orang Israel sangat besar. Jumlah orang di perkhemahan itu kira-kira tiga juta orang. Ini termasuk 603,550 orang lelaki yang didaftarkan untuk menjadi askar berserta wanita dan kanak-kanak, orang tua dan orang yang kurang upaya, 22,000 orang Lewi, dan “sekumpulan besar orang daripada bangsa-bangsa lain.” (Kel 12:38, 44; Bil 3:21-34, 39) Keluasan tapak perkhemahan mereka tidak dapat dipastikan. Namun, apabila orang Israel mendirikan khemah mereka dekat padang gurun Moab, berhadapan dengan Yerikho, perkhemahan mereka dikatakan meliputi kawasan “dari Bet-yesimot sampai ke Abel-sitim.”—Bil 33:49.
Permata Rohani
it-2 367
Pendaftaran
Pendaftaran biasanya dilakukan dengan mencatatkan nama dan keturunan menurut suku dan keluarga. Tujuannya bukan hanya untuk membuat pembancian atau mengira jumlah penduduk. Dalam Bible, pendaftaran dilakukan untuk beberapa tujuan, seperti memungut cukai, mengerahkan tentera, atau melantik orang (termasuk orang Lewi) untuk menjalankan khidmat suci.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w08 1/7 21
Tahukah Anda?
Meskipun Israel mempunyai 13 suku, mengapakah Bible biasanya hanya menyebut tentang 12 suku?
Suku-suku Israel ialah keturunan daripada anak-anak lelaki Yakub (nama Yakub telah ditukar kepada Israel). Yakub mempunyai 12 orang anak lelaki, iaitu Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Dan, Naftali, Gad, Asyer, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin. (Kejadian 29:32–30:24; 35:16-18) Sebelas suku Israel mendapat nama mereka daripada 11 orang anak lelaki Yakub. Tetapi tiada suku yang dinamakan sempena Yusuf. Sebaliknya, dua suku dinamakan sempena dua orang anak lelaki Yusuf, iaitu Efraim dan Manasye. Jadi, memandangkan Israel mempunyai 13 suku, mengapa Bible biasanya menyebut tentang 12 suku sahaja?
Lelaki daripada suku Lewi dikhaskan oleh Yehuwa untuk berkhidmat di khemah suci dan kemudiannya di Rumah Tuhan. Maka, mereka dikecualikan daripada khidmat tentera. Yehuwa memberitahu Musa, “Semasa membuat pembancian, jangan menghitung dan mendaftarkan orang Lewi bersama orang Israel yang lain. Lantiklah orang Lewi untuk menguruskan dan membawa khemah suci serta segala peralatannya.”—Bilangan 1:49, 50.
Suku Lewi juga tidak mendapat sebarang tanah sebagai warisan di Tanah yang Dijanjikan. Sebaliknya, mereka diberikan 48 buah kota yang terletak di dalam kawasan milik orang Israel.—Bilangan 18:20-24; Yosua 21:41.
Berdasarkan dua sebab ini, suku Lewi biasanya tidak disebut bersama suku-suku yang lain. Itulah sebabnya bangsa Israel hanya mempunyai 12 suku.—Bilangan 1:1-15.
15-21 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 3-4
“Tugas Orang Lewi”
it-1 1026-1027
Imam
Di Bawah Aturan Perjanjian Hukum Musa. Ketika Yehuwa mendatangkan tulah yang ke-10 dan membunuh semua anak sulung orang Mesir, Dia telah mengekhaskan setiap anak lelaki sulung orang Israel sebagai sesuatu yang suci bagi-Nya. (Kel 12:29; Bil 3:13) Maka semua anak sulung lelaki itu menjadi milik Yehuwa dan dikhaskan untuk khidmat suci. Tuhan boleh memilih semua anak lelaki sulung orang Israel untuk berkhidmat sebagai imam dan penjaga di khemah suci. Tetapi selaras dengan kehendak-Nya, Dia memilih anak-anak lelaki daripada suku Lewi untuk melakukan khidmat ini. Oleh itu, Dia membenarkan lelaki daripada suku Lewi menggantikan anak lelaki sulung daripada 12 suku yang lain (keturunan anak-anak lelaki Yusuf, iaitu Efraim dan Manasye, dikira sebagai dua suku). Semasa pendaftaran, bilangan anak lelaki sulung yang bukan daripada suku Lewi, yang berumur satu bulan dan ke atas, adalah lebih daripada bilangan lelaki orang Lewi. Perbezaannya adalah sebanyak 273 orang. Maka Tuhan mengarahkan agar lima syekel perak harus dibayar bagi setiap orang itu. Wang yang dikumpulkan itu akan diserahkan kepada Harun dan anak-anak lelakinya. (Bil 3:11-16, 40-51) Sebelum ini, Yehuwa telah mengekhaskan anak-anak lelaki keluarga Harun daripada suku Lewi untuk menjadi imam-imam orang Israel.—Bil 1:1; 3:6-10.
it-1 1419
Orang Lewi
Tugasan. Suku Lewi terdiri daripada tiga puak, iaitu Gerson (Gersom), Kehat, dan Merari. (Kej 46:11; 1Ta 6:1, 16) Semasa di padang belantara, setiap keluarga diberi kawasan perkhemahan berdekatan dengan khemah suci. Keluarga Harun daripada puak Kehat berkhemah di sebelah timur khemah suci. Keluarga lain daripada puak Kehat di sebelah selatan, puak Gerson di sebelah barat, dan puak Merari di sebelah utara. (Bil 3:23, 29, 35, 38) Orang Lewi ditugaskan untuk memindahkan, mengangkat, dan memasangkan semula khemah suci. Apabila tiba masanya untuk berpindah, Harun dan anak-anak lelakinya akan menurunkan tirai pemisah antara Bilik Suci dengan Bilik Maha Suci, dan menutupi tabut perjanjian, mazbah-mazbah, dan benda-benda suci serta peralatan yang lain. Kemudiannya, puak Kehat akan membawa semua benda ini. Puak Gerson ditugaskan untuk membawa kain khemah, kain penutup, tabir, tirai, dan tali-tali (nampaknya merujuk kepada tali-tali di khemah suci). Puak Merari pula ditugaskan untuk membawa rangka khemah, tiang-tiang, alas tiang, pasak, dan tali-tali (nampaknya merujuk kepada tali-tali di halaman khemah suci).—Bil 1:50, 51; 3:25, 26, 30, 31, 36, 37; 4:4-33; 7:5-9.
it-1 1419
Orang Lewi
Pada zaman Musa, seorang Lewi haruslah berusia 30 tahun sebelum dia dapat menjalankan tugasnya dengan sepenuhnya, seperti mengangkat khemah suci serta peralatannya apabila khemah suci dipindahkan. (Bil 4:46-49) Apabila seorang Lewi berumur 25 tahun, dia boleh menjalankan sesetengah tugas, tetapi bukan tugas yang berat, seperti mengangkat khemah suci. (Bil 8:24) Namun pada zaman Raja Daud, orang Lewi boleh mula berkhidmat pada usia 20 tahun. Raja Daud memberikan perintah ini kerana khemah suci bakal digantikan dengan Rumah Tuhan, dan orang Lewi tidak perlu mengangkatnya lagi. Apabila seorang Lewi berumur 50 tahun, dia tidak lagi wajib untuk bertugas. (Bil 8:25, 26; 1Ta 23:24-26) Orang Lewi perlu memahami Hukum Musa dengan baik kerana mereka selalu diminta untuk membaca dan mengajarkannya kepada rakyat.—1Ta 15:27; 2Ta 5:12; 17:7-9; Ne 8:7-9.
Permata Rohani
w06 1/8 23-24 per. 13
Jadilah Bijak dan Takutlah kepada Tuhan!
13 Apabila Daud menghadapi masalah, dia telah mendapat bantuan Yehuwa. Hal ini telah menguatkan keyakinannya terhadap Yehuwa dan membuatnya lebih takut dan hormat kepada Tuhan. (Mazmur 31:22-24) Tetapi Daud pernah gagal menunjukkan rasa takut dan hormat kepada Tuhan sebanyak tiga kali. Perbuatannya telah mendatangkan akibat yang sangat buruk. Kali pertama adalah apabila Daud tidak mematuhi Hukum Tuhan berkenaan cara memindahkan tabut perjanjian. Daud mengarahkan agar tabut perjanjian itu dibawa ke Yerusalem dengan menggunakan kereta lembu, dan bukannya diangkat oleh orang Lewi. Uzah ditugaskan untuk mengiringi kereta lembu itu. Apabila Uzah nampak tabut Tuhan hampir terjatuh, dia menghulurkan tangannya dan memegang tabut itu. Dia serta-merta mati kerana “tindakannya melanggar hukum Tuhan.” Ya, Uzah melakukan dosa yang serius. Tetapi jika Daud menunjukkan rasa takut dan hormat kepada Hukum Tuhan, tragedi ini tidak akan berlaku. Apakah pengajarannya? Kita menunjukkan rasa hormat dan takut kepada Tuhan dengan mengikuti aturan-Nya.—2 Samuel 6:2-9; Bilangan 4:15; 7:9.
22-28 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 5-6
“Bagaimanakah Anda Dapat Meniru Teladan Orang Nazir?”
it-2 207-208
Orang Nazir
Orang yang berikrar untuk menjadi orang Nazir harus mematuhi tiga larangan utama: (1) Mereka tidak boleh minum wain atau minuman beralkohol yang lain; tidak boleh makan buah anggur sama ada yang belum masak, masih segar, atau yang sudah dikeringkan. Mereka juga tidak boleh minum minuman yang dibuat daripada buah anggur, sama ada jus yang segar, sudah ditapai, atau yang dijadikan sebagai cuka. (2) Mereka tidak boleh memotong rambut mereka. (3) Mereka tidak boleh menyentuh mayat, meskipun mayat itu ialah saudara dekat mereka, seperti bapa, ibu, abang, kakak atau adik.—Bil 6:1-7.
Ikrar Khas. Seseorang yang berikrar sebagai orang Nazir ‘mengekhaskan dirinya kepada Yehuwa,’ dan bukan untuk menunjukkan kepada orang lain bahawa dia alim. Maka, Yehuwa akan “menganggap dia suci selama dia menjadi orang Nazir.”—Bil 6:2, 8; bandingkan Kej 49:26.
Oleh itu, larangan yang dikenakan ke atas orang Nazir mempunyai kaitan yang istimewa dengan khidmat kepada Yehuwa. Seperti imam agung yang menjalankan khidmat suci, orang Nazir tidak boleh menyentuh mayat, bahkan mayat saudara dekatnya. Selain itu, imam agung dan imam-imam yang lain dilarang untuk minum wain atau minuman beralkohol yang lain semasa mereka menjalankan tugas suci di hadapan Yehuwa.—Im 10:8-11; 21:10, 11.
Tambahan lagi, orang Nazir (Ibrani, na·zirʹ) “harus tetap suci dan membiarkan rambutnya tumbuh panjang” supaya orang dapat mengenalinya dengan mudah sebagai orang Nazir. (Bil 6:5) Perkataan Ibrani na·zirʹ juga digunakan semasa merujuk kepada pokok anggur yang tidak dipangkas pada Tahun Sabat dan Tahun Pembebasan. (Im 25:5, 11) Yang menariknya, kepingan emas yang diikat pada serban imam agung yang diukir dengan perkataan “Kesucian milik Yehuwa” juga dipanggil “tanda pembaktian suci [Ibrani, neʹzer, daripada kata dasar yang sama untuk na·zirʹ].” (Kel 39:30, 31) Tambahan lagi, mahkota yang dipakai oleh raja Israel yang diurapi juga dipanggil neʹzer. (2Sa 1:10; 2Ra 11:12) Rasul Paulus memberitahu sidang Kristian bahawa wanita dikurniai rambut panjang sebagai tudung. Hal ini mengingatkan dia bahawa kedudukannya berbeza dengan lelaki. Dia harus tunduk kepada aturan Tuhan. Maka larangan-larangan kepada orang Nazir, seperti tidak memotong rambut (yang tidak biasa dilakukan oleh golongan lelaki), tidak minum wain, dan sentiasa bersih dan suci, mengingatkan mereka tentang pentingnya membuat pengorbanan dan tunduk sepenuhnya kepada kehendak Yehuwa.—1Ko 11:2-16.
Permata Rohani
w05 15/1 30 per. 2
Pertanyaan Pembaca
Biasanya orang Nazir harus membaharui ikrar mereka sekiranya mereka telah mencemarkan diri dengan menyentuh mayat. Tetapi larangan ini tidak sesuai bagi Simson kerana Simson sedikit berbeza daripada orang Nazir yang lain. Sebelum Simson dilahirkan, Yehuwa berfirman kepada ibunya, “Kamu akan mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki. Rambutnya tidak boleh dipotong sama sekali, kerana anak itu akan dibaktikan kepada Tuhan sebagai orang Nazir sejak hari kelahirannya. Dia akan mula menyelamatkan orang Israel daripada tangan orang Filistin.” (Hakim-Hakim 13:5) Ya, Simson tidak membuat ikrar untuk menjadi orang Nazir. Dia dilantik oleh Yehuwa. Maka, Simson ialah orang Nazir untuk seumur hidupnya dan dia tidak perlu membaharui ikrarnya.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w06 15/1 32
“Gulungan Paling Tua yang Mengandungi Petikan daripada Bible”
DUA PULUH LIMA tahun lalu, ahli arkeologi Israel menemui sesuatu yang menakjubkan di dalam sebuah gua di cerun Lembah Hinom di Yerusalem. Mereka menjumpai dua buah gulungan perak yang mengandungi petikan daripada Bible. Mereka mempercayai bahawa gulungan-gulungan itu dihasilkan sebelum Yerusalem dibinasakan oleh orang Babilon pada tahun 607 SM. Gulungan-gulungan itu mengandungi petikan daripada kata-kata di Bilangan 6:24-26, yang mengisahkan berkat daripada Yehuwa. Nama peribadi Tuhan, Yehuwa, muncul beberapa kali di dalam kedua-dua gulungan itu. Gulungan-gulungan itu dipanggil sebagai “artifak paling tua yang mengandungi petikan daripada Kitab Ibrani.”
Tetapi ada cendekiawan yang tidak bersetuju. Mereka berpendapat bahawa dua gulungan perak itu dihasilkan pada abad kedua SM. Hal ini kerana gambar gulungan-gulungan itu tidak cukup jelas bagi mereka untuk memeriksa butiran pada gulungan-gulungan kecil itu. Untuk mendapatkan jawapan yang tepat, sekumpulan cendekiawan melakukan kajian yang baharu. Mereka menggunakan teknologi yang terkini untuk mengambil gambar gulungan-gulungan itu. Dengan berbuat demikian, mereka dapat menghasilkan gambar beresolusi tinggi yang membantu mereka untuk membuat kajian yang lebih terperinci. Apakah hasil kajian mereka?
Pertama, bukti arkeologi menunjukkan bahawa gulungan-gulungan itu dihasilkan sebelum orang Israel dibawa ke Babilon. Kedua, kajian mereka menunjukkan bahawa bentuk tulisan pada gulungan itu padan dengan tulisan yang dihasilkan pada akhir abad ketujuh SM. Ketiga, sistem ejaan yang digunakan pada gulungan-gulungan itu “menyokong kesimpulan yang mereka peroleh daripada bukti arkeologi dan bentuk tulisan.”
Mengenai kajian tentang gulungan-gulungan perak itu, yang juga dikenali sebagai tulisan Ketef Hinnom, majalah Bulletin of the American Schools of Oriental Research menyatakan, “Kami percaya bahawa kesimpulan yang dibuat oleh sebahagian besar cendekiawan itu adalah betul. Kedua-dua gulungan itu ialah gulungan paling tua yang mengandungi petikan daripada Bible.”