Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
1-7 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 7-8
“Pengajaran daripada Perkhemahan Orang Israel”
it-1 1094-1095
Sidang
Pada zaman Israel, lelaki yang dilantik akan mewakili bangsa Israel. (Ez 10:14) Maka, para “ketua suku” mempersembahkan korban bagi pihak seluruh bangsa Israel selepas khemah suci siap dibina. (Bil 7:1-11) Selain itu, pada zaman Nehemia, para imam, orang Lewi, dan “para pemimpin” orang Israel, mewakili bangsa Israel untuk “membuat satu perjanjian bertulis dan mengesahkannya dengan meterai” mereka. (Ne 9:38–10:27) Semasa bangsa Israel berada di padang belantara, “250 orang pemimpin umat Israel, yang semuanya merupakan orang terpilih dan orang kenamaan,” telah menyertai Korah, Datan, Abiram, dan On untuk menentang Musa dan Harun. (Bil 16:1-3) Apabila Musa tidak dapat memikul tanggungjawab sebagai pemimpin umat Israel seorang diri, Yehuwa telah mengarahkan Musa agar melantik 70 orang pemimpin umat Israel untuk membantunya. (Bil 11:16, 17, 24, 25) Imamat 4:15 juga menyebut tentang “para pemimpin umat Israel.” Nampaknya mereka terdiri daripada lelaki yang lebih tua, ketua, hakim, dan pegawai daripada bangsa Israel.—Bil 1:4, 16; Yos 23:2; 24:1.
it-2 676
Ruben
Perkhemahan suku Ruben terletak di antara perkhemahan suku Simeon dengan Gad. Ketiga-tiga suku ini membentuk satu kelompok perkhemahan, yang diketuai oleh suku Ruben. Mereka berkhemah di bahagian selatan khemah suci. Apabila bangsa Israel mula berangkat, kelompok suku Yehuda, Isakhar, dan Zebulon akan berangkat dahulu. Kemudian kelompok perkhemahan yang diketuai oleh suku Ruben akan mengikut mereka. (Bil 2:10-16; 10:14-20) Apabila khemah suci ditahbiskan, suku-suku Israel mengikut urutan yang sama semasa mempersembahkan korban kepada Yehuwa.—Bil 7:1, 2, 10-47.
w04 1/8 25 per. 1
Sorotan daripada Buku Bilangan
8:25, 26. Semasa tugas diberikan kepada orang Lewi, umur mereka akan dipertimbangkan. Orang Lewi yang lebih tua harus bersara dan tidak lagi mempunyai tugas tetap di khemah suci. Tetapi mereka masih boleh membantu orang Lewi lain secara sukarela. Kita boleh belajar sesuatu yang penting daripada hukum ini. Hari ini, tiada had umur untuk berkhidmat sebagai seorang penyiar berita baik. Maka jika seorang Kristian mempunyai keterbatasan kerana dia sudah lanjut usia, dia masih boleh berkhidmat kepada Yehuwa mengikut kemampuannya.
Permata Rohani
it-1 127
Anak Sulung
Menerusi perjanjian-Nya dengan Abraham, Yehuwa menganggap seluruh bangsa Israel sebagai ‘anak sulung-Nya.’ Anak lelaki sulung dalam kalangan mereka akan menjadi ketua keluarga dan akan mewakili seluruh bangsa Israel. (Kel 4:22) Memandangkan Yehuwa telah menyelamatkan umat Israel, Dia berfirman, “Setiap anak lelaki sulung orang Israel, dan setiap anak jantan sulung ternakan mereka merupakan milik-Ku.” (Kel 13:2) Maksudnya, semua anak sulung dikhaskan untuk Tuhan.
8-14 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 9-10
“Cara Yehuwa Memimpin Umat-Nya”
it-2 492
Perkhemahan
Perkhemahan orang Israel yang begitu besar perlu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. (Dalam Bilangan bab 33, Musa mencatatkan bahawa mereka telah berpindah kira-kira 40 kali.) Mereka perlu berbuat demikian dalam cara yang teratur. Selagi awan Tuhan tidak naik dari khemah suci, mereka tidak akan berpindah ke tempat lain. Apabila awan itu bergerak, perkhemahan mereka juga harus bergerak. “Dengan perintah Yehuwa, umat Israel akan memasang khemah, dan dengan perintah Yehuwa juga, mereka akan memindahkan perkhemahan.” (Bil 9:15-23) Dua buah trompet daripada perak tempaan digunakan untuk menyampaikan perintah Yehuwa kepada perkhemahan orang Israel. (Bil 10:2, 5, 6) Apabila mereka mendengar isyarat daripada tiupan trompet, mereka harus berangkat. Kali pertama hal ini berlaku adalah “pada hari ke-20, bulan kedua, tahun kedua selepas orang Israel keluar dari Mesir,” iaitu 1512 SM. Tabut perjanjian akan berangkat terlebih dahulu. Kemudian kelompok perkhemahan yang pertama akan berangkat, bermula dengan suku Yehuda, dan diikuti oleh suku Isakhar dan Zebulon. Mereka diikuti oleh puak Gerson dan puak Merari yang membawa bahagian-bahagian khemah suci. Seterusnya, kelompok perkhemahan yang kedua akan berangkat, bermula dengan suku Ruben, dan diikuti dengan suku Simeon dan Gad. Kemudian puak Kehat yang membawa peralatan dalam khemah suci akan berangkat. Selepas itu, kelompok perkhemahan yang ketiga akan berangkat, bermula dengan suku Efraim, dan diikuti suku Manasye dan Benyamin. Kelompok perkhemahan terakhir yang berangkat ialah kelompok yang diketuai oleh suku Dan, dan disertai suku Asyer dan Naftali. Mereka akan menjadi pengawal barisan belakang bagi seluruh perkhemahan orang Israel. Dengan demikian, dua kelompok perkhemahan yang paling besar dan paling kuat menjaga bahagian depan dan belakang perkhemahan orang Israel.—Bil 10:11-28.
Dapatkah Anda Melihat Bimbingan Tuhan?
Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai bimbingan Tuhan? Rasul Paulus berkata, “Patuhilah mereka yang mengambil pimpinan dalam kalangan kamu dan tunduklah kepada mereka.” (Ibr. 13:17) Hal ini tidak selalunya mudah. Bayangkan, anda ialah orang Israel pada zaman Musa. Selepas berjalan untuk waktu yang lama, anda melihat awan berhenti bergerak. Berapa lamakah awan itu akan kekal di sana? Sehari? Seminggu? Beberapa bulan? Anda mungkin berfikir, “Berbaloikah saya mengeluarkan semua barang saya?” Mula-mula, anda mungkin hanya mengeluarkan apa yang diperlukan. Selepas beberapa hari, anda mula mengeluarkan semua barang anda. Tetapi apabila anda habis mengeluarkan semua barang itu, anda melihat awan naik dari khemah suci. Ini menandakan bahawa anda harus mengemas semula semua barang anda dan bersedia untuk berangkat. Hal ini memang tidak senang! Namun bangsa Israel harus “memindahkan perkhemahan mereka dengan segera.”—Bil. 9:17-22.
Bagaimanakah dengan kita? Adakah kita mengikut arahan teokratik dengan segera? Atau adakah kita berlengah-lengah dan terus melakukan hal-hal yang biasa kita lakukan sebelum ini? Adakah kita tahu arahan yang terkini, seperti cara mengadakan pembelajaran Bible, menginjil kepada orang berbahasa asing, mengadakan penyembahan keluarga secara tetap, memberikan sokongan kepada Jawatankuasa Perhubungan Hospital, dan menjaga kelakuan kita semasa konvensyen? Dengan menerapkan nasihat Tuhan, kita menunjukkan bahawa kita menghargai nasihat itu. Semasa membuat keputusan yang penting, kita tidak akan bergantung pada kebijaksanaan sendiri. Sebaliknya kita akan bergantung pada bimbingan daripada Yehuwa dan organisasi-Nya. Sebagaimana seorang anak kecil yang takut akan berlari kepada ibu bapanya semasa ribut melanda, kita juga akan mencari perlindungan dalam organisasi Yehuwa apabila kita dilanda masalah.
Permata Rohani
it-2 515-516
Perhimpunan
Pentingnya Berhimpun. Kita harus berusaha meraih manfaat daripada aturan Yehuwa dengan berhimpun secara tetap. Hal ini ditegaskan melalui aturan bagi Perayaan Paska. Seorang lelaki yang tidak najis atau yang tidak berada dalam perjalanan jauh mesti merayakan Paska. Jika tidak, lelaki itu mesti dihukum mati. (Bil 9:9-14) Semasa menjemput penduduk Yehuda dan Israel untuk menyambut Perayaan Paska di Yerusalem, Raja Hizkia berkata, “Wahai orang Israel, kembalilah kepada Yehuwa. . . . Janganlah berdegil seperti nenek moyang kamu. Tunduklah kepada Yehuwa dan datanglah ke Rumah Tuhan, yang telah disucikan-Nya untuk selama-lamanya. Sembahlah Tuhan Yehuwa agar Dia tidak lagi murka terhadap kamu. . . . Yehuwa, Tuhan kamu, ialah Tuhan yang berbelas kasihan dan suka mengampuni. Dia akan menyambut kamu jika kamu kembali kepada-Nya.” (2Ta 30:6-9) Seseorang yang sengaja tidak menyertai perayaan itu menunjukkan bahawa dia sedang menjauhi Tuhan. Walaupun orang Kristian hari ini tidak lagi menyambut Perayaan Paska, Paulus menegaskan bahawa orang Kristian harus berhimpun secara tetap. Dia berkata, “Marilah kita memperhatikan satu sama lain supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik. Janganlah abaikan perjumpaan kita seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah orang. Sebaliknya hendaklah kita menggalakkan satu sama lain, lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat.”—Ibr 10:24, 25.
15-21 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 11-12
“Mengapakah Kita Harus Menghindari Sikap Bersungut-Sungut?”
w01 15/6 17 per. 20
Jangan Jadi Pendengar yang Cepat Lupa
20 Kebanyakan orang Kristian hari ini tidak tergoda untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Tetapi jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin memupuk tabiat bersungut-sungut, dan hal ini tidak disenangi oleh Yehuwa. Paulus menasihati kita, “Janganlah kita menguji Yehuwa seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan [orang Israel], sehingga mereka mati dipatuk ular. Janganlah bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka, sehingga mereka dibunuh oleh malaikat Tuhan.” (1 Korintus 10:9, 10) Orang Israel telah bersungut-sungut terhadap Musa, Harun, dan bahkan terhadap Tuhan, kerana mereka tidak puas hati dengan manna yang diberikan-Nya. (Bilangan 16:41; 21:5) Di mata Tuhan, adakah perbuatan merungut tidak seburuk perbuatan seks yang tidak bermoral? Bible menunjukkan bahawa ramai orang yang bersungut-sungut telah mati kerana dipatuk ular. (Bilangan 21:6) Sebelum itu, lebih daripada 14,700 orang yang bersungut-sungut telah mati kerana wabak. (Bilangan 16:49) Jadi kita tidak mahu menguji kesabaran Yehuwa. Sebaliknya, kita mahu menghargai semua pemberian-Nya.
w06 15/7 15 per. 7
‘Janganlah Bersungut-Sungut’
7 Sikap umat Israel sudah berubah! Pada mulanya, mereka telah menyanyikan lagu untuk memuji Yehuwa kerana mereka dibebaskan dari Mesir dan diselamatkan di Laut Merah. (Keluaran 15:1-21) Tetapi sekarang mereka mula berasa tidak puas hati kerana menghadapi cabaran di padang belantara dan diancam oleh orang Kanaan. Mereka tidak lagi bersyukur kepada Yehuwa atas kebebasan mereka. Sebaliknya, mereka menyalahkan-Nya. Meskipun Yehuwa memenuhi segala keperluan mereka, mereka bersungut-sungut dan tidak tahu bersyukur. Itulah sebabnya Yehuwa berfirman, “Sampai bilakah umat yang jahat ini akan terus bersungut-sungut terhadap Aku?”—Bilangan 14:27; 21:5.
it-2 762
Bertengkar
Bersungut-Sungut. Orang yang bersungut-sungut melemahkan semangat orang lain. Tidak lama selepas orang Israel dibebaskan dari Mesir, mereka bersungut-sungut terhadap Tuhan. Mereka mencari kesalahan pemimpin yang dilantik oleh Tuhan, iaitu Musa dan Harun. (Kel 16:2, 7) Pada kemudian hari, sungutan mereka membuat Musa begitu tawar hati sehingga dia mahu mati. (Bil 11:13-15) Selain itu, perbuatan merungut membawa padah. Di mata Yehuwa, mereka yang merungut terhadap Musa, sebenarnya sedang merungut terhadap-Nya dan melawan pemerintahan-Nya. (Bil 14:26-30) Ramai yang kehilangan nyawa kerana mereka bersungut-sungut dan suka mencari kesalahan.
Permata Rohani
it-2 11
Manna
Rupa Bentuk. Manna “seperti biji-biji ketumbar yang berwarna putih” dan “kelihatan” seperti damar putih. Damar putih ialah getah pokok yang kelihatan lutsinar dan berbentuk seperti mutiara. Rasa manna seperti “kuih nipis yang bercampur madu” atau “roti manis yang dicampuri minyak.” Manna boleh digiling dengan batu kisaran atau ditumbuk dengan lesung sehingga menjadi tepung. Kemudian manna boleh direbus atau dijadikan roti.—Kel 16:23, 31, nota kaki; Bil 11:7, 8.
22-28 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 13-14
“Bagaimana Iman Memberi Kita Keberanian”
w06 1/10 17 per. 5-6
Berani Kerana Iman dan Takut kepada Tuhan
5 Tetapi dua orang pengintip itu, iaitu Yosua dan Kaleb, tidak sabar-sabar ingin memasuki Tanah yang Dijanjikan. Mereka berkata, “Kita pasti berjaya menawan [orang Kanaan] dengan mudah, kerana mereka tidak mempunyai sesiapa pun untuk melindungi mereka, sedangkan kita mempunyai Yehuwa. Maka janganlah takut terhadap mereka.” (Bilangan 14:9) Adakah keyakinan Yosua dan Kaleb tidak berasas? Sudah pasti tidak! Bersama umat Israel, mereka telah menyaksikan bagaimana Yehuwa mendatangkan Sepuluh Tulah untuk menghina Mesir dan dewa dewinya. Mereka juga telah melihat Yehuwa menenggelamkan Firaun dan tenteranya di dalam Laut Merah. (Mazmur 136:15) Jelaslah sepuluh pengintip itu dan orang yang dipengaruhi oleh mereka tidak mempunyai alasan untuk berasa takut. Dengan kecewa, Yehuwa berfirman, “Sampai bilakah mereka enggan beriman kepada-Ku meskipun Aku sudah melakukan banyak mukjizat dalam kalangan mereka?”—Bilangan 14:11.
6 Yehuwa tahu bahawa umat Israel berasa takut kerana mereka kurang beriman. Ya, iman dan keberanian berkait rapat. Mengenai sidang Kristian dan pertempuran rohani kita, Rasul Yohanes menulis, “Kita telah mengalahkan dunia dengan iman kita.” (1 Yohanes 5:4) Hari ini, lebih daripada enam juta Saksi-Saksi Yehuwa menunjukkan iman, seperti Yosua dan Kaleb. Tidak kira tua atau muda, kuat atau lemah, mereka menyebarkan berita baik di serata dunia dengan berani. Tiada musuh yang dapat menghentikan kerja mereka.—Roma 8:31.
Permata Rohani
it-1 740
Tanah yang Diberikan oleh Tuhan kepada Umat Israel
TANAH yang diberikan oleh Tuhan kepada umat Israel sememangnya tanah yang subur. Musa telah menghantar para pengintip untuk menjelajah Tanah yang Dijanjikan dan membawa balik hasil tanamannya. Apabila mereka kembali, mereka membawa buah delima, buah ara, dan segugus buah anggur yang begitu berat sehingga harus dipikul dengan sebatang kayu oleh dua orang! Walaupun para pengintip itu takut kerana kurangnya iman, mereka masih melaporkan bahawa tanah itu “memang melimpah dengan susu dan madu.”—Bil 13:23, 27.
29 MAC–4 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 15-16
Permata Rohani
w98 1/9 20 per. 1-2
Utamakan Perkara-Perkara yang Lebih Penting!
Yehuwa memandang kejadian itu dengan lebih serius. Bible menyatakan, “Yehuwa berfirman kepada Musa, ‘Lelaki itu mesti dihukum mati.’” (Bilangan 15:35) Mengapakah Yehuwa begitu marah dengan perbuatan lelaki itu?
Ada enam hari bagi orang Israel untuk mengumpulkan kayu dan untuk menguruskan keperluan mereka seperti makanan, pakaian, dan tempat tinggal. Hari ketujuh sepatutnya dikhaskan untuk hal-hal rohani. Memang tidak salah untuk mengumpulkan kayu, tetapi lelaki itu tidak patut melakukan hal itu pada waktu yang dikhaskan untuk ibadat Yehuwa. Orang Kristian tidak perlu mengikut Hukum Musa, tetapi peristiwa ini memberi kita satu pengajaran yang penting tentang cara untuk menetapkan keutamaan kita.—Filipi 1:10.
5-11 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 17-19
Permata Rohani
g02 8/6 14 per. 2
Garam—Sangat Bernilai
Garam melambangkan sesuatu yang stabil dan kekal. Maka, dalam Bible, apabila dua pihak membuat perjanjian yang kekal, perjanjian itu dipanggil “perjanjian garam.” Mereka akan makan bersama-sama hidangan yang ditambah garam untuk mengesahkan perjanjian mereka. (Bilangan 18:19, nota kaki) Menurut Hukum Musa, garam dicampurkan bersama korban yang dibakar di mazbah kerana garam melambangkan sesuatu yang tidak rosak atau reput.
12-18 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 20-21
“Tetap Rendah Hati biarpun Tertekan”
w09 1/9 19 per. 5
Hakim yang Adil
Pertama, Tuhan tidak menyuruh Musa untuk bercakap kepada umat-Nya ataupun menghakimi mereka sebagai pemberontak. Kedua, Musa dan Harun gagal memuliakan Tuhan. Tuhan berfirman, “Kamu tidak memuliakan Aku.” (Ayat 12) Kata-kata Musa “kami mengeluarkan air daripada bukit batu ini” seolah-olah menunjukkan bahawa dia dan Harun, bukannya Tuhan, yang akan memberikan air itu secara mukjizat. Ketiga, hukuman yang diberikan oleh Tuhan kepada Musa dan Harun adalah sama dengan hukuman yang diberikan kepada umat Israel lain yang memberontak terhadap-Nya, iaitu mereka tidak boleh memasuki Tanah yang Dijanjikan. (Bilangan 14:22, 23) Keempat, Musa dan Harun ialah pemimpin orang Israel. Di mata Tuhan, mereka perlu lebih bertanggungjawab.—Lukas 12:48.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
g 1/15 9
APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN
Tetapkan matlamat. Daripada sekadar berkata, “Saya memang begini,” cubalah untuk buat perubahan dalam satu jangka waktu, mungkin dalam masa enam bulan. Sepanjang masa itu, catatkan kemajuan anda. Setiap kali anda naik marah, catatkan (1) apa yang berlaku, (2) reaksi anda, dan (3) apa reaksi yang lebih baik dan mengapa. Lain kali, cubalah gunakan reaksi yang lebih baik itu. Tip: Catatkan juga kejayaan anda! Tuliskan perasaan gembira anda apabila anda dapat menunjukkan kawalan diri.—Prinsip Bible: Kolose 3:8.
Tunggu sebelum bertindak. Jika seseorang atau sesuatu membuat anda marah, jangan terus katakan perkara pertama yang terlintas dalam fikiran anda. Tunggulah sebentar. Jika perlu, tariklah nafas yang panjang. Erik, yang berumur 15 tahun, berkata, “Apabila saya menarik nafas, saya ada masa untuk berfikir sebelum saya katakan atau lakukan sesuatu yang saya akan kesali kemudian.”—Prinsip Bible: Amsal 21:23.
Pertimbangkan sudut pandangan orang lain. Kadangkala anda mungkin marah kerana anda hanya melihat satu aspek masalah itu, iaitu aspek yang melibatkan anda. Jadi cubalah pertimbangkan sudut pandangan orang lain. Seorang wanita muda bernama Jessica berkata, “Walaupun orang bersikap biadab terhadap saya, saya cuba memahami sebab mereka berbuat begitu.”—Prinsip Bible: Amsal 19:11.
Jika perlu, beredarlah. Bible menyatakan, “Beredarlah sebelum perkelahian meletus.” (Amsal 17:14) Seperti yang dikatakan di ayat itu, kadangkala tindakan yang paling bijak adalah untuk beredar daripada situasi yang tegang. Daripada terus memikirkan masalah itu sehingga anda menjadi lebih marah, adalah lebih baik untuk melakukan aktiviti fizikal. “Saya mendapati bahawa bersenam mengurangkan tekanan dan membantu saya tidak cepat naik marah,” kata seorang wanita muda yang bernama Danielle.
Janganlah menaruh dendam. Bible menyatakan, “Jika kamu marah, janganlah berdosa. . . . Ucapkanlah hal itu dalam hatimu sambil berdiam diri.” (Mazmur 4:4) Perhatikan bahawa tidak salah untuk berasa marah. Tetapi apakah yang akan berlaku jika anda terus berasa marah? Seorang lelaki muda yang bernama Richard berkata, “Jika kamu membenarkan orang lain membuat kamu marah, kamu sedang membenarkan mereka mengawal emosi kamu. Jadi bertindaklah dengan matang dan jangan membiarkan hal itu mengganggu kamu.” Jika anda berbuat demikian, anda sedang mengawal kemarahan anda dan tidak membenarkan kemarahan mengawal anda.
[Kotak pada muka surat 9]
DANIEL
“Makan makanan yang berkhasiat dan minum banyak air. Saya telah perhatikan bahawa apa yang saya makan mempengaruhi emosi saya.”
NATALIE
“Belajar untuk mengawal emosi adalah sebahagian daripada proses menjadi orang dewasa. Kanak-kanak suka bertengkar, tetapi orang dewasa yang matang tahu cara untuk berbincang dengan tenang.”
19-25 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 22-24
“Yehuwa Menukar Kutukan Menjadi Berkat”
bt 53-55 per. 5
Menyebarkan “Berita Baik tentang Yesus”
5 Seperti pada abad pertama, penganiayaan terhadap umat Tuhan hari ini tidak dapat menghentikan kerja penyebaran mereka. Berulang kali, orang Kristian yang dipaksa untuk berpindah ke tempat lain, sama ada ke penjara atau negara lain, telah menyebarkan berita baik kepada orang di tempat baharu itu. Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua, Saksi-Saksi Yehuwa telah memberikan kesaksian yang baik di kem konsentrasi Nazi. Seorang lelaki Yahudi yang telah bertemu dengan para Saksi di kem itu berkata, “Ketabahan Saksi-Saksi Yehuwa di kem meyakinkan saya bahawa iman mereka berdasarkan Bible. Pada kemudian hari, saya sendiri menjadi seorang Saksi.”
it-1 810
Kegilaan
Gila kerana Menentang Yehuwa. Nabi Bileam, dengan bodoh, ingin mengutuk umat Israel supaya dia dapat menerima ganjaran daripada Raja Balak dari Moab. Tetapi Yehuwa telah menggagalkan rancangannya. Berkenaan Bileam, Rasul Petrus menulis bahawa “seekor keldai yang tidak dapat bercakap telah bercakap dengan suara manusia dan menghalang perbuatan gila nabi itu.” Petrus menggunakan perkataan Yunani pa·ra·phro·niʹa untuk menggambarkan perbuatan gila Bileam. Perkataan ini membawa maksud “tidak waras.”—2Pt 2:15, 16; Bil 22:26-31.
Permata Rohani
w04 1/8 27 per. 2
Sorotan daripada Buku Bilangan
22:20-22—Mengapakah Yehuwa murka terhadap Bileam? Yehuwa telah memberitahu Nabi Bileam bahawa dia tidak patut mengutuk orang Israel. (Bilangan 22:12) Tetapi nabi itu masih pergi bersama utusan Raja Balak dengan niat untuk mengutuk orang Israel. Bileam hendak menyenangkan hati raja Moab itu dan menerima ganjaran daripadanya. (2 Petrus 2:15, 16; Yudas 11) Walaupun rancangan Bileam gagal, dia masih cuba menyenangkan hati Raja Balak dengan mencadangkan agar wanita yang menyembah Baal dihantar untuk menggoda lelaki Israel. (Bilangan 31:15, 16) Maka Yehuwa murka dengan Bileam kerana dia seorang nabi yang tidak berhati perut dan tamak.
26 APRIL–2 MEI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | BILANGAN 25-26
Permata Rohani
it-1 341
Sempadan
Nampaknya pembahagian tanah warisan kepada suku-suku Israel ditentukan oleh dua faktor: (1) Keputusan undi dan (2) saiz suku tersebut. Keputusan undi hanya memberikan anggaran lokasi tanah warisan setiap suku. Contohnya, di bahagian utara atau selatan, timur atau barat, di kawasan dataran atau pergunungan. Yehuwalah yang menentukan keputusan undi yang dibuang. Dengan ini, suku-suku Israel tidak akan cemburu atau bertengkar sesama sendiri. (Ams 16:33) Selain itu, Yehuwa mengawal keputusan undi supaya tanah yang diterima oleh setiap suku adalah selaras dengan nubuat yang diucapkan oleh Yakub di Kejadian 49:1-33.
Selepas undi menentukan lokasi tanah warisan setiap suku, mereka harus menentukan keluasan tanah setiap suku menurut saiz suku itu. Bible menyatakan, “Kamu mesti membahagikan tanah itu kepada setiap suku dengan membuang undi. Suku yang lebih besar harus diberi bahagian tanah yang lebih besar, tetapi suku yang lebih kecil harus diberi bahagian tanah yang lebih kecil. Setiap orang akan mendapat tanah warisan berdasarkan undi yang dibuat.” (Bil 33:54) Lokasi tanah warisan yang ditentukan oleh undi tidak akan berubah, tetapi keluasan tanah itu akan diubah mengikut keperluan. Contohnya, apabila bahagian tanah suku Yehuda terlalu besar untuk mereka, sebahagian tanah itu telah diberikan kepada suku Simeon.—Yos 19:9.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w04 1/4 29
Pertanyaan Pembaca
Mengapakah 1 Korintus 10:8 menyatakan bahawa 23,000 orang Israel mati dalam sehari kerana mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral, sedangkan Bilangan 25:9 menyatakan bahawa jumlahnya ialah 24,000 orang?
Ada beberapa faktor yang boleh menjelaskan perbezaan jumlah yang terdapat dalam kedua-dua ayat itu. Penjelasan yang paling ringkas adalah bahawa jumlah sebenarnya ialah antara 23,000 dengan 24,000, dan angka itu boleh dibundarkan kepada mana-mana jumlah yang terdekat.
Perhatikan kemungkinan lain. Rasul Paulus mengutip kisah tentang orang Israel di Sitim sebagai contoh bagi orang Kristian di Korintus kuno, sebuah kota yang terkenal dengan gaya hidupnya yang tidak bermoral. Dia menulis, “Janganlah kita mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam kalangan mereka, sehingga 23,000 orang daripada mereka telah mati dalam sehari.” Semasa menyebut tentang orang yang dihukum mati kerana melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, Paulus berkata bahawa jumlahnya ialah 23,000.—1 Korintus 10:8.
Namun, Bilangan bab 25 memberitahu kita bahawa orang Israel “ikut menyembah Dewa Baal di Peor; maka Yehuwa menjadi sangat murka terhadap mereka.” Kemudian, Yehuwa memerintahkan Musa untuk membunuh “semua pemimpin yang telah berdosa.” Selanjutnya Musa memerintahkan para hakim untuk melaksanakan perintah itu. Akhirnya, sewaktu Pinehas membunuh lelaki Israel yang membawa wanita Midian ke dalam perkhemahan, “wabak yang sedang membinasakan orang Israel pun berhenti.” Kisah itu diakhiri dengan pernyataan: “Orang yang telah mati kerana wabak itu sudah pun berjumlah 24,000 orang.”—Bilangan 25:1-9.
Jumlah yang diberikan dalam buku Bilangan nampaknya mencakup “semua pemimpin” yang dibunuh oleh para hakim dan mereka yang dihukum bunuh oleh Yehuwa. Kemungkinan ada seribu orang pemimpin yang mati di tangan para hakim, sehingga jumlahnya menjadi 24,000 orang. Para pemimpin ini mungkin melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral, menyertai pesta liar, atau membenarkan orang untuk melakukannya. Sememangnya, mereka bersalah kerana “ikut menyembah Dewa Baal di Peor.”
Mengenai ungkapan “ikut menyembah,” sebuah karya rujukan Alkitab menjelaskan bahawa hal itu boleh bererti “mengikatkan diri kepada seseorang.” Bangsa Israel ialah umat milik Yehuwa, tetapi sewaktu mereka “ikut menyembah Dewa Baal di Peor,” mereka merosakkan hubungan istimewa mereka dengan Tuhan. Kira-kira 700 tahun kemudian, Yehuwa memberitahu orang Israel melalui Nabi Hosea, “Mereka telah pergi kepada Baal di Peor; mereka membaktikan diri kepada perkara yang memalukan, sehingga mereka juga menjijikkan seperti tuhan-tuhan yang dicintai oleh mereka itu.” (Hosea 9:10) Semua orang yang melakukan hal itu wajar dihukum oleh Tuhan. Oleh itu, Musa mengingatkan orang Israel, “Kamu sendiri telah melihat apa yang dilakukan oleh Yehuwa terhadap mereka yang menyembah Baal di Peor. Setiap orang yang menyembah Baal di Peor telah dibinasakan oleh Yehuwa, Tuhan kamu.”—Ulangan 4:3.