PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr21 Julai ms. 1-10
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2021
  • Tajuk Kecil
  • 5-11 JULAI
  • Permata Rohani
  • 12-18 JULAI
  • Permata Rohani
  • 19-25 JULAI
  • Permata Rohani
  • 26 JULAI–1 OGOS
  • Permata Rohani
  • 2-8 OGOS
  • Permata Rohani
  • 9-15 OGOS
  • 16-22 OGOS
  • Permata Rohani
  • 23-29 OGOS
  • Permata Rohani
  • 30 OGOS–5 SEPTEMBER
  • Permata Rohani
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2021
mwbr21 Julai ms. 1-10

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

5-11 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 11-12

“Bagaimanakah Yehuwa Mahu Kita Menyembah-Nya?”

it-1 1105

Jiwa

Mengabdikan Diri dengan Segenap Jiwa. Jiwa merujuk kepada seluruh individu. Namun sesetengah ayat menggesa kita untuk mencari, mengasihi, dan mengabdikan diri kepada Tuhan “dengan sepenuh hati dan segenap jiwa.” (Ul 4:29; 11:13, 18) Ulangan 6:5 pula menyatakan, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap kekuatan kamu.” Tambahan lagi, Yesus berkata bahawa selain mengabdikan diri kepada Yehuwa dengan segenap jiwa dan kekuatan, kita juga harus mengabdikan diri kepada-Nya “dengan segenap akal.” (Mr 12:30; Lu 10:27) Memandangkan jiwa sudah merangkumi hati, akal, dan kekuatan, mengapakah aspek-aspek ini disebut bersama dengan jiwa? Untuk mengetahui jawapannya, sila lihat contoh berikut: Seseorang mungkin menjual dirinya (jiwanya) untuk menjadi hamba. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa dia akan bekerja untuk tuannya dengan sepenuh hati, seluruh akal fikiran, dan semua kekuatannya. (Bandingkan Ef 6:5; Kol 3:22.) Maka semua aspek ini disebut supaya kita ingat bahawa kita perlu mengabdikan diri kepada Yehuwa “dengan sepenuhnya” untuk melaksanakan kehendak-Nya.—Bandingkan Mt 5:28-30; Lu 21:34-36; Ef 6:6-9; Flp 3:19; Kol 3:23, 24.

it-2 117

Mazbah

Orang Israel diarahkan untuk memusnahkan semua mazbah, tugu suci, dan tiang suci yang digunakan untuk ibadat palsu. (Kel 34:13; Ul 7:5, 6; 12:1-3) Mereka tidak harus terikut-ikut dengan perbuatan bangsa asing atau meniru perbuatan orang Kanaan yang membakar anak sebagai korban. (Ul 12:30, 31; 16:21) Orang Israel juga tidak boleh mendirikan banyak mazbah. Mereka hanya boleh menggunakan satu mazbah untuk menyembah Tuhan yang benar, dan mazbah itu harus didirikan di tempat yang dipilih oleh Tuhan. (Ul 12:2-6, 13, 14, 27; hal ini sangat berbeza dengan Babilon yang mempunyai 180 buah mazbah hanya untuk Dewi Ishtar.) Tuhan mengarahkan orang Israel untuk membina sebuah mazbah yang dibuat daripada batu-batu yang tidak dipahat. (Ul 27:4-8) Maka selepas menyeberangi Sungai Yordan, Yosua telah membina sebuah mazbah untuk Tuhan di Gunung Ebal. (Yos 8:30-32) Selepas tanah dibahagikan kepada orang Israel, suku Ruben, suku Gad, dan setengah daripada suku Manasye membina sebuah mazbah yang besar berdekatan Sungai Yordan. Perbuatan mereka membuat suku-suku lain salah faham. Suku-suku lain menyangka bahawa mazbah itu ialah tanda pemberontakan. Tetapi sebenarnya, mazbah itu didirikan sebagai tanda kesetiaan kepada Yehuwa, Tuhan yang benar.—Yos 22:10-34.

Permata Rohani

it-1 797

Gunung Gerizim

Selepas menakluki kota Ai, Yosua mematuhi arahan Musa dan mengumpulkan suku-suku Israel di Gunung Gerizim dan Gunung Ebal. Di sana, mereka mendengar tentang berkat yang akan diterima oleh mereka jika mereka mentaati Tuhan, dan kutukan yang akan menimpa mereka jika mereka memberontak. Suku Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Yusuf, dan Benyamin berdiri di hadapan Gunung Gerizim. Enam suku yang lain pula berdiri di hadapan Gunung Ebal, manakala orang Lewi dan tabut perjanjian berada di lembah di antara dua gunung itu. (Ul 11:29, 30; 27:11-13; Yos 8:28-35) Nampaknya suku-suku yang berdiri di hadapan Gunung Gerizim menyetujui berkat yang dibacakan ke arah mereka, manakala suku-suku lain menyetujui kutukan yang dibacakan ke arah Gunung Ebal. Ada yang mengatakan bahawa berkat dibacakan ke arah Gunung Gerizim kerana gunung itu indah dan subur, manakala kutukan dibacakan ke arah Gunung Ebal kerana gunung itu berbatu-batu dan tandus. Tetapi Bible tidak memberikan penjelasan tentang hal ini. Hukum dibacakan “dengan suara yang lantang di hadapan seluruh umat Israel, termasuk wanita, kanak-kanak, dan orang asing yang tinggal dalam kalangan mereka.” (Yos 8:35) Tidak kira mereka berdiri di hadapan Gunung Gerizim atau Gunung Ebal, semua orang dapat mendengar apa yang dibacakan kerana akustik yang bagus di tempat itu.

12-18 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 13-15

“Bagaimanakah Hukum Musa Menunjukkan Keprihatinan Yehuwa terhadap Orang Miskin?”

it-2 782

Persepuluhan

Nampaknya terdapat satu lagi jenis persepuluhan. Persepuluhan yang dikumpulkan setiap tahun ini tidak dikhaskan untuk orang Lewi sahaja. Biasanya, persepuluhan ini digunakan oleh keluarga Israel yang berkumpul di Yerusalem untuk menyambut perayaan suci. Jika orang Israel tinggal jauh dari Yerusalem, persepuluhan itu boleh ditukar ke dalam bentuk wang. Wang ini digunakan untuk membiayai keperluan keluarga semasa mereka menyambut perayaan suci di Yerusalem. (Ul 12:4-7, 11, 17, 18; 14:22-27) Tetapi pada penghujung tahun ketiga dan keenam dalam kitaran tahun Sabat, persepuluhan ini tidak akan digunakan untuk perayaan orang Israel. Sebaliknya, persepuluhan ini akan diberikan kepada orang Lewi, orang asing, balu, dan anak yatim yang tinggal di kota tempatan.—Ul 14:28, 29; 26:12.

it-2 693

Tahun Sabat

Pada tahun Sabat, orang Israel tidak boleh bercucuk tanam dan mengusahakan ladang mereka. (Kel 23:11) Pada tahun itu juga bayaran hutang dibatalkan atau ditangguhkan. Perbuatan ini adalah “untuk memuliakan Yehuwa.” Tetapi sesetengah orang mempunyai pandangan yang berbeza dan percaya bahawa hutang itu tidak perlu dihapuskan. Sebaliknya, mereka percaya bahawa pemiutang tidak akan memaksa rakan sebangsanya untuk membayar hutang kerana petani tidak mengusahakan tanah pada tahun itu. Tetapi mereka masih boleh menagih hutang daripada orang asing. (Ul 15:1-3) Sesetengah guru agama percaya bahawa hutang yang diberikan kepada orang yang miskin akan dihapuskan, tetapi pinjaman yang dibuat kerana hal urus niaga tidak dihapuskan. Pada abad pertama Masihi, seorang pemimpin agama Yahudi yang bernama Hilel membuat aturan yang membolehkan pemiutang pergi ke mahkamah untuk membuat pengisytiharan agar hutangnya tidak dibatalkan.—The Pentateuch and Haftorahs, disunting oleh J. Hertz, London, 1972, ms. 811, 812.

it-1 458

Hamba

Hukum mengenai hubungan antara hamba dengan tuannya. Status seorang hamba yang berbangsa Ibrani adalah berbeza daripada hamba yang bukan berbangsa Ibrani. Hamba yang bukan berbangsa Ibrani akan tetap menjadi milik tuannya (Im 25:44-46), manakala seorang hamba Ibrani akan dibebaskan pada tahun ketujuh atau pada Tahun Pembebasan. Seorang hamba Ibrani haruslah dilayan seperti pekerja upahan. (Kel 21:2; Im 25:10; Ul 15:12) Seorang Ibrani yang menjual diri sebagai hamba kepada orang asing atau penduduk sementara boleh ditebus oleh dirinya sendiri atau ahli keluarganya pada bila-bila masa. Harga tebusannya dikira berdasarkan jumlah baki tahun yang tinggal sehingga Tahun Pembebasan atau tahun ketujuh dia berkhidmat sebagai hamba. (Im 25:47-52; Ul 15:12) Apabila seorang hamba Ibrani dibebaskan, tuannya akan menyediakan pemberian baginya supaya dia dapat memulakan kehidupan baharu. (Ul 15:13-15) Jika dia sudah berkahwin ketika dia menjadi hamba, dia harus pergi bersama dengan isterinya. Jika tuannya sudah memberikan seorang isteri yang berbangsa asing kepadanya, isteri dan anak-anak itu menjadi milik tuannya. Jika hamba itu ingin terus tinggal bersama tuannya, telinganya akan ditindik untuk menunjukkan bahawa dia menjadi hamba seumur hidup.—Kel 21:2-6; Ul 15:16, 17.

Permata Rohani

w06 1/4 31

Pertanyaan Pembaca

Apakah yang dapat kita belajar daripada larangan yang dinyatakan di Keluaran 23:19: “Jangan memasak anak kambing di dalam air susu induknya”?

Hukum ini yang muncul sebanyak tiga kali dalam Bible membantu kita memahami kasih, belas kasihan, dan perbuatan yang diterima atau tidak diterima oleh Yehuwa. Hukum ini juga menunjukkan bahawa Yehuwa membenci agama palsu.—Keluaran 34:26; Ulangan 14:21.

Perbuatan memasak anak kambing atau binatang lain di dalam air susu induknya bertentangan dengan hukum alam semula jadi yang ditetapkan oleh Yehuwa. Tuhan menyediakan air susu induk supaya anak binatang itu dapat membesar. Menurut seorang cendekiawan, “jika seseorang memasak anak kambing di dalam air susu induknya, dia tidak menghormati hubungan antara induk dengan anaknya yang ditetapkan oleh Tuhan dan kesucian hubungan itu.”

Selain itu, perbuatan memasak anak kambing di dalam air susu induknya mungkin merupakan upacara agama palsu untuk meminta hujan. Jika begitu, larangan ini membantu orang Israel untuk tidak mengikut amalan yang tidak masuk akal dan kejam. Ya, Hukum Musa melarang orang Israel daripada terikut-ikut dengan amalan bangsa asing di sekeliling mereka.—Imamat 20:23.

Seterusnya, hukum ini menunjukkan belas kasihan Yehuwa. Hukum Musa mempunyai larangan lain mengenai perbuatan kejam terhadap binatang dan perbuatan yang bertentangan dengan hukum alam semula jadi. Contohnya, Hukum Musa menyatakan bahawa anak binatang yang baru lahir mesti dibiarkan bersama induknya selama tujuh hari sebelum dipersembahkan sebagai korban. Hukum Musa juga melarang seseorang menyembelih induk bersama anaknya pada hari yang sama, atau mengambil induk burung bersama anak-anak atau telurnya.—Imamat 22:27, 28; Ulangan 22:6, 7.

Jelaslah, Hukum Musa bukan sekadar senarai peraturan dan larangan yang rumit. Hukum ini mengandungi prinsip yang membantu kita memupuk taraf moral yang tinggi dan mencerminkan sifat-sifat Yehuwa yang mulia.—Mazmur 19:7-11.

19-25 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 16-18

“Prinsip untuk Menghakimi dengan Saksama”

it-1 484-485

Buta

Bible menggambarkan hakim yang berat sebelah sebagai orang yang buta. Bible juga mengandungi banyak perintah yang melarang orang untuk memberikan rasuah, hadiah, atau bersikap prasangka. Hal ini kerana perbuatan sedemikian dapat membutakan mata hakim dan memesongkan keadilan. Bible menyatakan, “Rasuah membutakan mata hakim terhadap apa yang benar.” (Kel 23:8) “Rasuah membutakan mata orang yang bijaksana terhadap apa yang benar.” (Ul 16:19) Biarpun seorang hakim sangat bijaksana dan adil, dia mungkin terpengaruh, secara sengaja atau tidak sengaja, dengan hadiah yang diterimanya daripada pihak yang terlibat dalam suatu kes. Selain itu, Hukum Tuhan menyatakan bahayanya membuat keputusan mengikut perasaan: “Jangan berat sebelah, sama ada terhadap orang miskin ataupun orang kaya. Kamu mesti menghakimi orang lain dengan adil.” (Im 19:15) Maka seorang hakim tidak patut membuat keputusan berdasarkan perasaan sendiri atau pendapat orang ramai, dan sengaja menjatuhkan hukuman kepada pihak yang tidak bersalah hanya kerana dia kaya.—Kel 23:2, 3.

it-1 141

Angka; Nombor

Dua. Nombor dua sering kali digunakan dalam konteks perundangan. Sesuatu perkara dapat disahkan dengan adanya keterangan dua orang saksi. Dua atau tiga orang saksi diperlukan untuk menyokong suatu tuduhan yang dibuat di hadapan seorang hakim. Prinsip ini juga diterapkan dalam sidang Kristian. (Ul 17:6; 19:15; Mt 18:16; 2Ko 13:1; 1Ti 5:19; Ibr 10:28) Tuhan mengikut prinsip ini semasa membuktikan identiti Anak-Nya sebagai Penyelamat manusia. Yesus berkata, “Lagipun ada tertulis dalam Hukum kamu, ‘Jika dua orang memberikan kesaksian, kesaksian itu benar.’ Aku memberikan kesaksian tentang diriku, dan Bapa yang mengutus aku juga memberikan kesaksian tentang diriku.”—Yoh 8:17, 18.

it-1 1029

Imam

Imam bertanggungjawab untuk menjelaskan hukum Tuhan kepada rakyat. Mereka juga memainkan peranan penting dalam sistem kehakiman orang Israel. Para imam yang bertugas di suatu kota akan membantu hakim untuk mengadili kes-kes yang sukar yang tidak dapat diadili oleh mahkamah tempatan. (Ul 17:8, 9) Jika pembunuhan berlaku dan pembunuhnya tidak diketahui, para imam akan bekerjasama dengan pemimpin kota untuk menentukan tindakan yang harus diambil supaya kota itu tidak bertanggungjawab atas penumpahan darah yang berlaku. (Ul 21:1, 2, 5) Jika seorang suami cemburu dan menuduh isterinya berlaku curang, dia harus membawa isterinya ke Rumah Tuhan. Para imam di situ akan melakukan upacara untuk memohon Yehuwa menentukan sama ada wanita itu bersalah atau tidak. (Bil 5:11-31) Rakyat harus menghormati semua keputusan yang dibuat oleh imam atau hakim. Sesiapa yang sengaja tidak menghormati atau membantah keputusan itu harus dihukum mati.—Bil 15:30; Ul 17:10-13.

Permata Rohani

it-2 356

Penyingkiran

Menurut Hukum Musa, hukuman mati hanya boleh dijatuhkan jika adanya keterangan daripada sekurang-kurangnya dua orang saksi. (Ul 19:15) Saksi-saksi ini harus menjadi orang pertama yang merejam pesalah. (Ul 17:7) Dengan berbuat demikian, mereka menunjukkan bahawa mereka menjunjung hukum Tuhan dan menjaga kesucian sidang Israel. Perbuatan ini juga mencegah orang daripada memberikan keterangan palsu, tidak tepat, atau secara terburu-buru.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

it-2 389

Pengadilan

Sidang Kristian. Para penatua di sidang bukanlah hakim di mahkamah. Tetapi mereka boleh memberikan disiplin rohani, dan bahkan menyingkirkan ahli sidang yang berbuat salah. Maka Rasul Paulus memberitahu para saudara yang mengambil pimpinan dalam sidang bahawa mereka bertanggungjawab untuk menghakimi orang dalam sidang. (1Ko 5:12, 13) Semasa menulis surat kepada sidang Kristian, Paulus dan Petrus menyuruh para penatua untuk memerhatikan keadaan rohani sidang. Para penatua juga harus bersedia untuk membantu dan menasihati sesiapa yang mengambil langkah yang salah. (2Ti 4:2; 1Pt 5:1, 2; bandingkan Ga 6:1.) Jika seorang ahli sidang menimbulkan perpecahan dalam sidang atau menyebarkan ajaran palsu, para penatua akan menegurnya sebanyak dua kali sebelum mereka mengambil tindakan. (Tit 3:10, 11) Tetapi orang yang sengaja melakukan dosa biarpun telah ditegur akan disingkirkan daripada sidang. Hal ini menunjukkan bahawa pesalah akan dikenakan tindakan disiplin dan sidang tidak akan menerima perbuatan yang salah. (1Ti 1:20) Paulus berkata bahawa para penatua di sidang haruslah berkumpul untuk mengadili kes-kes sedemikian. (1Ko 5:1-5; 6:1-5) Mereka hanya akan mempercayai tuduhan yang disokong oleh keterangan daripada dua atau tiga orang saksi, dan mereka akan membuat keputusan tanpa prasangka atau sikap berat sebelah.—1Ti 5:19, 21.

26 JULAI–1 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 19-21

“Nyawa Berharga di Mata Yehuwa”

it-1 548

Darah

Setiap manusia berhak untuk menikmati kehidupan yang dikurniakan oleh Tuhan kepadanya. Sesiapa yang merampas nyawa orang lain harus bertanggungjawab di hadapan Tuhan. Contohnya, selepas Kain membunuh adiknya, Tuhan berfirman kepada Kain, “Darah adikmu berseru kepada-Ku dari tanah seperti suara yang berseru meminta keadilan.” (Kej 4:10) Setiap orang yang membenci orang lain merupakan pembunuh kerana dia mungkin ingin orang itu mati dan melakukan sesuatu untuk membahayakan nyawa orang itu, seperti memfitnahnya atau memberikan kesaksian palsu.—Im 19:16; Ul 19:18-21; 1Yo 3:15.

Permata Rohani

it-2 387

Pengadilan

Mahkamah sesebuah kota terletak di pintu gerbang kota itu. (Ul 16:18; 21:19; 22:15, 24; 25:7; Rut 4:1) “Pintu gerbang” merujuk kepada sebuah kawasan lapang yang terletak di dalam kota, berdekatan dengan pintu gerbang. Di situlah rakyat berkumpul untuk mendengar pembacaan Hukum Musa dan peraturan daripada Tuhan. (Ne 8:1-3) Pada waktu siang, ada banyak orang keluar masuk dari pintu gerbang kota. Jadi senang untuk mencari saksi bagi urusan mahkamah, seperti jual beli harta milik, dan sebagainya. Selain itu, para hakim yang mengadili sesebuah kes di pintu gerbang kota akan membuat keputusan yang saksama kerana perbicaraan kes itu disaksikan oleh orang ramai. Nampaknya tempat duduk disediakan di pintu gerbang kota supaya hakim dapat duduk di sana dan mengadili sesuatu kes. (Ayb 29:7) Samuel mengunjungi kota Bethel, Gilgal, dan Mizpa “untuk menghakimi orang Israel di situ.” Dia juga menjadi hakim di kota Rama, iaitu tempat tinggalnya.—1Sa 7:16, 17.

2-8 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 22-23

“Bagaimanakah Hukum Musa Menunjukkan Keprihatinan Yehuwa terhadap Binatang?”

it-1 349

Beban

Binatang digunakan untuk membawa beban pada zaman kuno. Jika orang Israel nampak keldai musuh terjatuh kerana muatan yang berat, mereka mesti membantu “mengalihkan muatan itu.” (Kel 23:5) Muatan yang dibawa oleh binatang boleh digunakan sebagai unit ukuran. Contohnya, Naaman meminta tanah “yang dapat dibawa oleh dua ekor baghal.”—2Ra 5:17.

it-2 1107

Ulangan

Buku Ulangan menunjukkan bahawa haiwan patut dilayan dengan baik. Orang Israel tidak patut mengambil seekor induk burung dari sarangnya walaupun burung itu senang ditangkap kerana sedang melindungi anaknya. Tetapi orang Israel boleh mengambil anak-anak burung itu. Induk burung harus dilepaskan supaya burung itu boleh mempunyai anak-anak lain. (Ul 22:6, 7) Seorang petani dilarang memasangkan seekor lembu dengan seekor keldai pada satu bajak supaya binatang yang lebih lemah tidak cedera. (22:10) Berangus tidak patut dipasangkan pada mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian supaya lembu itu tidak terseksa kerana kelaparan semasa membuat kerja keras itu.—25:4.

w03 15/10 32 per. 1-2

“Janganlah Memikul Kuk Bersama Orang yang Tidak Percaya”

SEPERTI yang tertera di gambar, unta dan lembu yang sedang membajak bersama nampaknya tidak selesa. Kuk seharusnya dipasangkan pada dua ekor binatang yang mempunyai saiz dan kekuatan yang sama. Maka kuk di antara unta dengan lembu membuat kedua-dua binatang itu menderita. Yehuwa prihatin terhadap binatang yang membawa beban, jadi Dia memberitahu orang Israel, “Kamu tidak boleh pasangkan seekor lembu dengan seekor keldai pada satu bajak.” (Ulangan 22:10) Prinsip yang sama juga berkait dengan seekor lembu dan unta.

Biasanya petani tidak akan sengaja membuat ternakannya menderita. Tetapi jika dia tidak mempunyai dua ekor lembu, dia mungkin akan memasang kuk pada dua binatang miliknya yang berbeza jenis. Nampaknya inilah yang berlaku dalam gambar yang menunjukkan seorang petani pada abad ke-19. Oleh sebab dua binatang itu mempunyai saiz dan berat yang berbeza, binatang yang lebih lemah perlu mencurahkan lebih banyak tenaga, manakala binatang yang lebih kuat akan memikul lebih banyak beban.

Permata Rohani

it-2 1123

Hutang, Penghutang

Hutang bermaksud seseorang mengambil pinjaman dan dia wajib membayarnya balik. Pada zaman Israel kuno, seseorang akan berhutang kerana dia ditimpa musibah dan menghadapi masalah kewangan. Oleh itu, dia akan menjadi hamba kepada orang yang memberikan pinjaman. (Ams 22:7) Umat Tuhan diarahkan untuk menunjukkan kemurahan hati apabila memberikan pinjaman kepada orang Israel lain yang memerlukan bantuan. Mereka tidak harus mengambil kesempatan dan menuntut faedah. (Kel 22:25; Ul 15:7, 8; Mz 37:26; 112:5) Tetapi orang asing boleh dikenakan faedah. (Ul 23:20) Beberapa pakar menyimpulkan bahawa faedah dikenakan bagi pinjaman perniagaan, bukannya pinjaman kepada orang yang memerlukan bantuan. Orang asing yang berada di Israel biasanya merupakan para pedagang yang melawat di sana untuk tempoh masa yang pendek. Jadi mereka boleh diminta untuk membayar faedah kerana mereka juga meminta faedah semasa memberikan pinjaman.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

g 4/15 13

PANDANGAN BIBLE

Adakah salah untuk membunuh binatang?

APA YANG DIKATAKAN ORANG Sesetengah orang memburu binatang dan memancing ikan dengan sesuka hati hanya kerana ingin berseronok. Ada orang pula bersetuju dengan Leo Tolstoy, seorang penulis Rusia yang mengatakan bahawa membunuh dan memakan binatang ialah “perbuatan yang tidak bermoral.”

APA YANG DIKATAKAN BIBLE Tuhan membenarkan manusia membunuh binatang untuk melindungi nyawa manusia atau untuk mendapatkan pakaian. (Keluaran 21:28; Markus 1:6) Bible juga menyatakan bahawa binatang boleh dibunuh untuk dijadikan makanan. Di Kejadian 9:3, Tuhan berfirman, “Kamu boleh makan setiap binatang yang hidup.” Yesus juga telah membantu murid-muridnya menangkap ikan untuk dimakan.—Yohanes 21:4-13.

Biarpun begitu, Bible menyatakan bahawa Tuhan “membenci orang yang suka akan keganasan.” (Mazmur 11:5) Jadi kita tahu Tuhan tidak mahu kita mencederakan atau membunuh binatang dengan sesuka hati atau sekadar untuk berseronok.

Bible menyatakan bahawa nyawa binatang berharga di mata Tuhan.

• Mengenai penciptaan, Bible menyatakan, “Tuhan menciptakan binatang liar di bumi menurut jenisnya, binatang jinak menurut jenisnya, dan semua binatang menjalar menurut jenisnya. Tuhan berpuas hati melihat hal itu.”—Kejadian 1:25.

• Bible menyatakan bahawa Yehuwa “memberikan makanan kepada binatang.” (Mazmur 147:9) Tuhan menciptakan ekosistem yang menyediakan makanan dan tempat tinggal bagi binatang.

• Raja Daud berdoa kepada Tuhan, “Ya Yehuwa, Engkau memelihara manusia dan binatang.” (Mazmur 36:6) Contohnya, semasa memusnahkan orang jahat sewaktu Banjir Besar, Yehuwa menyelamatkan lapan orang dan pelbagai jenis binatang.—Kejadian 6:19.

Jelaslah, Yehuwa senang hati dengan binatang yang telah diciptakan-Nya dan Dia ingin manusia melayan binatang dengan baik.

“Orang baik menjaga binatang peliharaannya.”—Amsal 12:10.

9-15 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 24-26

“Bagaimanakah Hukum Musa Menunjukkan Keprihatinan Yehuwa terhadap Wanita?”

it-2 1136

Wanita

Hukum Musa menjaga kepentingan suami dan isteri. Lelaki yang baru berkahwin dikecualikan daripada khidmat tentera selama setahun. Hal ini memberikan peluang kepada mereka untuk melahirkan anak. Jadi apabila suami itu pergi berperang atau terbunuh dalam peperangan, anak itu akan menjadi sumber kelegaan hati ibunya.—Ul 20:7; 24:5.

it-2 590

Memungut Sisa Tuaian

Aturan untuk memungut sisa tuaian membantu orang yang miskin dan menggalakkan orang untuk menunjukkan sikap murah hati, tidak mementingkan diri, dan bergantung pada berkat Yehuwa. Tetapi aturan ini tidak menggalakkan sifat malas. Aturan ini membantu kita memahami kata-kata Daud: “Aku tidak pernah melihat orang yang berbuat benar ditinggalkan Tuhan, ataupun anak-anak mereka meminta-minta makanan.” (Mz 37:25) Jadi orang miskin yang memanfaatkan aturan ini dan bekerja keras tidak akan kelaparan. Dia dan anak-anaknya tidak perlu meminta-minta makanan.

w11 1/3 23

Tahukah Anda?

Pada zaman Israel kuno, jika seseorang meninggal tanpa anak lelaki, saudara lelakinya bertanggungjawab untuk mengahwini balunya dan melahirkan anak baginya. (Kejadian 38:8) Pada kemudian hari, aturan untuk berkahwin dengan balu seorang saudara lelaki telah dimasukkan ke dalam Hukum Musa. (Ulangan 25:5, 6) Jika si mati tidak mempunyai adik-beradik lelaki yang boleh mengahwini balunya, kewajipan ini harus dilaksanakan oleh saudara lelaki yang terdekat. Inilah yang dilakukan oleh Boaz dalam buku Rut.—Rut 1:3, 4; 2:19, 20; 4:1-6.

Aturan ini masih diamalkan pada zaman Yesus kerana orang Saduki telah menyebut tentang aturan ini di Markus 12:20-22. Ahli sejarawan Yahudi pada abad pertama yang bernama Flavius Josephus berkata bahawa aturan ini bukan sahaja menjaga nama keluarga, tetapi juga memastikan agar harta warisan keluarga dan keperluan hidup balu itu dijaga. Pada masa itu, seorang isteri tidak berhak untuk mewarisi harta suaminya. Tetapi jika dia dapat melahirkan anak melalui aturan ini, anak itu dapat mewarisi harta mendiang suaminya.

16-22 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 27-28

“Semua Berkat Ini Akan Berlimpah-Limpah Ke Atas Kamu”

w10 15/12 19-20 per. 18

Meraih Berkat melalui Raja yang Dibimbing oleh Kuasa Suci Tuhan!

18 Kita menunjukkan ketaatan dengan memberikan sepenuh perhatian kepada Firman Tuhan dan makanan rohani yang disediakan oleh-Nya. (Mat. 24:45) Kita juga akan mentaati Tuhan dan Anak-Nya Yesus. Yesus berkata, “Bukan semua orang yang berkata kepadaku, ‘Tuan, Tuan,’ akan masuk dalam Kerajaan di syurga. Hanya mereka yang melakukan kehendak Bapaku yang di syurga akan memasukinya.” (Mat. 7:21) Taat kepada Tuhan juga bererti tunduk kepada aturan yang ditetapkan-Nya dalam sidang, iaitu para penatua yang merupakan “kurnia berupa manusia.”—Ef. 4:8.

w01 15/9 10 per. 2

Adakah Anda Akan Dilimpahi Berkat Yehuwa?

2 Kata kerja Ibrani yang diterjemahkan “mentaati” di Ulangan 28:2 merujuk kepada perbuatan yang berterusan. Umat Yehuwa tidak sekadar mentaati-Nya sekali-sekala, tetapi pada setiap masa. Dengan demikian, Yehuwa akan mencurahkan berkat yang berlimpah-limpah ke atas mereka. Ungkapan “berlimpah-limpah” berasal daripada kata Ibrani “mengejar sehingga mencapai sasaran.” Ungkapan ini biasanya digunakan semasa aktiviti memburu.

w10 15/9 8 per. 4

Carilah Berkat Yehuwa dengan Bersungguh-Sungguh

4 Apakah sikap yang harus ditunjukkan orang Israel semasa mentaati Yehuwa? Hukum Tuhan menyatakan bahawa mereka tidak akan menerima perkenan Tuhan jika mereka tidak menyembah-Nya “dengan gembira dan senang hati.” (Baca Ulangan 28:45-47.) Yehuwa tidak mahu kita mentaati-Nya kerana terpaksa, bahkan roh-roh jahat atau binatang pun boleh taat kerana terpaksa. (Mrk. 1:27; Yak. 3:3) Sebaliknya, Tuhan mahu kita mentaati-Nya kerana kita mengasihi-Nya. Kita mentaati-Nya dengan gembira kerana kita percaya bahawa perintah-Nya tidak membebankan dan “Dia memberikan ganjaran kepada orang yang mencari-Nya dengan bersungguh-sungguh.”—Ibr. 11:6; 1 Yoh. 5:3.

Permata Rohani

it-2 972

Penanda Sempadan Tanah

Hukum Yehuwa melarang orang Israel mengalihkan penanda sempadan tanah yang telah ditentukan. (Ul 19:14; lihat juga Ams 22:28.) Hukum itu menyatakan, “Terkutuklah orang yang mengalihkan penanda sempadan tanah orang lain.” (Ul 27:17) Pemilik tanah selalunya bergantung pada hasil daripada tanah mereka. Maka mengalihkan penanda sempadan tanah menjejaskan sumber pendapatan orang lain. Pada zaman dahulu, perbuatan ini disamakan dengan mencuri. (Ayb 24:2) Namun ada juga orang keji yang melakukan perbuatan sedemikian. Pada zaman Hosea, para pemimpin Yehuda digambarkan seperti “orang yang mengalihkan penanda sempadan tanah orang lain.”—Ho 5:10.

23-29 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 29-30

“Tidak Susah untuk Menyembah Yehuwa”

w09 1/11 31 per. 4

Yehuwa Memberi Kita Kebebasan untuk Memilih

Adakah Yehuwa memerhatikan haluan yang kita pilih? Sudah tentu! Musa yang diilhami oleh Tuhan berkata, “Kamu harus memilih kehidupan.” (Ayat 19) Bagaimanakah kita dapat memilih kehidupan? Musa menjelaskan, “Kamu harus mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu dan mematuhi firman-Nya serta berpaut pada-Nya.” (Ayat 20) Jika kita mengasihi Yehuwa, kita ingin mematuhi-Nya dan berpaut pada-Nya tidak kira apa yang berlaku. Dengan itu, kita memilih kehidupan yang terbaik sekarang dan memiliki harapan kehidupan kekal di dunia baharu Tuhan.—2 Petrus 3:11-13; 1 Yohanes 5:3.

Permata Rohani

it-2 1006-1007

Telinga

Menerusi hamba-Nya, Yehuwa berfirman bahawa umat Israel yang tidak mematuhi-Nya mempunyai ‘telinga yang tertutup.’ (Yer 6:10; Kis 7:51) Yehuwa membiarkan pendengaran rohani mereka menjadi tumpul dan tidak memberi mereka keupayaan untuk memahami hal-hal rohani. Tetapi Yehuwa memberikan pemahaman rohani kepada orang yang berusaha untuk mencari-Nya. (Ul 29:4; Rm 11:8) Paulus menubuatkan bahawa sesetengah orang yang mendakwa diri sebagai orang Kristian akan meninggalkan ibadat sejati dan enggan mendengar kebenaran daripada Firman Tuhan. Sebaliknya, mereka ingin mendengar guru-guru palsu yang akan “menggeletek telinga mereka” dengan memberitahu mereka perkara-perkara yang mahu didengar oleh mereka.—2Ti 4:3, 4; 1Ti 4:1.

30 OGOS–5 SEPTEMBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ULANGAN 31-32

“Belajar daripada Perumpamaan dalam Sebuah Lagu”

w09 1/5 14 per. 4

Adakah Anda Memahami Perumpamaan dalam Bible?

Bible juga menggambarkan Yehuwa sebagai benda-benda yang tidak hidup. Yehuwa pernah digambarkan sebagai “Gunung Batu orang Israel,” ‘batu perlindungan,’ dan ‘kubu.’ (2 Samuel 23:3; Mazmur 18:2; Ulangan 32:4) Apakah persamaan antara tiga gambaran ini dengan Yehuwa? Sebagaimana sebuah batu yang besar teguh dan tidak mudah tergoyah, Yehuwa juga ialah Sumber perlindungan yang kukuh bagi anda.

w01 1/10 9 per. 7

Teladanilah Yehuwa semasa Mengajar Anak Anda

7 Perhatikan kasih Yehuwa semasa Dia berurusan dengan bangsa Israel. Musa menggunakan perumpamaan yang indah untuk menggambarkan kasih Yehuwa kepada orang Israel. Dia menulis, “Seperti burung helang yang mengepak-ngepak di udara untuk mengajar anaknya terbang, dan seperti burung helang yang mengembangkan sayapnya untuk membawa anaknya di atas kepaknya, Yehuwa sendiri yang memimpin umat-Nya.” (Ulangan 32:9, 11, 12) Seekor ibu helang akan ‘mengepak-ngepakkan sayapnya di udara’ supaya anaknya dapat belajar cara untuk terbang. Apabila anak burung itu akhirnya meninggalkan sarang mereka yang terletak di sebuah cerun batu yang tinggi, ibu helang akan terbang di sekeliling anaknya itu. Apabila anak burung nampaknya akan terjatuh ke tanah, ibu helang akan terbang ke arah anaknya lalu ‘mengembangkan sayapnya untuk membawa anak itu di atas kepaknya.’ Seperti ibu helang yang menjaga anaknya, Yehuwa juga menjaga bangsa Israel dengan pengasih. Dia memberi mereka Hukum Musa. (Mazmur 78:5-7) Kemudian Yehuwa terus memerhatikan mereka dan bersedia untuk menyelamatkan mereka apabila mereka berada dalam kesusahan.

Permata Rohani

w04 15/9 27 per. 12

Sorotan daripada Buku Ulangan

31:12. Kanak-kanak harus duduk bersama orang dewasa semasa perjumpaan dan berusaha untuk mendengar dan belajar.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w07 15/5 15-16

Bagaimanakah Saya Dapat Membantu Anak Saya Mendapat Pendidikan Sejati?

Anak-Anak Anda Sedang Memerhatikan Anda!

Bagaimanakah kita dapat membantu anak-anak kita untuk mengasihi dan menghormati Yehuwa? Jawapannya terkandung dalam Hukum Musa yang diberikan oleh Yehuwa kepada orang Israel. Dalam Hukum itu, ibu bapa Israel diberikan arahan berikut: “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhan kamu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dan dengan segenap kekuatan kamu. Semua yang aku sampaikan kepada kamu hari ini mesti kamu simpan dalam hati kamu. Ajarkanlah semua itu kepada anak-anak kamu secara berulang-ulang. Percakapkanlah semua itu semasa kamu di rumah, semasa kamu berjalan, semasa kamu berbaring, dan semasa kamu bangun.”​—Ulangan 6:5-7.

Hukum ini mengajar ibu bapa satu isi yang penting, iaitu selaku ibu atau bapa, anda sendiri harus menetapkan teladan yang baik. Untuk mengajar anak-anak anda mengasihi Yehuwa, anda sendiri haruslah mengasihi Tuhan dan menyimpan Firman-Nya dalam hati anda. Mengapakah hal ini begitu penting? Hal ini penting kerana ibu bapa ialah pendidik utama anak-anak mereka, dan teladan ibu bapa meninggalkan kesan yang paling besar terhadap anak-anak.

Daripada kata-kata dan tindakan anda, anak dapat melihat impian, cita-cita, nilai moral, dan minat anda. (Roma 2:21, 22) Sejak bayi lagi, anak-anak belajar dengan memerhatikan setiap gerak-geri ibu bapa mereka. Anak-anak akan memerhatikan apa yang penting bagi ibu bapa dan mereka juga akan mementingkan hal yang sama. Anak-anak dapat melihat sama ada anda benar-benar mengasihi Yehuwa. Contohnya, apabila mereka melihat anda selalu membaca dan mempelajari Bible, mereka akan sedar bahawa anda mengutamakan Kerajaan Tuhan. (Matius 6:33) Apabila anda selalu menghadiri perjumpaan dan menyertai kerja penyebaran, mereka akan sedar bahawa anda mengutamakan khidmat suci kepada Yehuwa.​—Matius 28:19, 20; Ibrani 10:24, 25.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi