Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
1-7 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 18-19
“Yehuwa Membahagikan Tanah dalam Cara yang Bijaksana”
it-1 341
Sempadan
Nampaknya pembahagian tanah warisan kepada suku-suku Israel ditentukan oleh dua faktor: (1) Keputusan undi dan (2) saiz suku tersebut. Keputusan undi hanya memberikan anggaran lokasi tanah warisan setiap suku. Contohnya, di bahagian utara atau selatan, timur atau barat, di kawasan dataran atau pergunungan. Yehuwalah yang menentukan keputusan undi yang dibuang. Dengan ini, suku-suku Israel tidak akan cemburu atau bertengkar sesama sendiri. (Ams 16:33) Selain itu, Yehuwa mengawal keputusan undi supaya tanah yang diterima oleh setiap suku adalah selaras dengan nubuat yang diucapkan oleh Yakub di Kejadian 49:1-33.
it-2 1142
Warisan
Tanah warisan. Tanah warisan orang Israel diberikan kepada mereka oleh Yehuwa, dan Yehuwa telah memberitahu Musa sempadan-sempadan tanah itu. (Bil 34:1-12; Yos 1:4) Musa telah memberikan tanah warisan kepada suku Gad, suku Ruben, dan separuh suku Manasye. (Bil 32:33; Yos 14:3) Melalui keputusan undi, Yosua dan Eleazar telah memberikan tanah warisan kepada suku-suku yang lain. (Yos 14:1, 2) Selaras dengan nubuat Yakub di Kejadian 49:5, 7, suku Simeon dan Lewi tidak diberikan tanah warisan masing-masing. Suku Simeon menerima tanah dan kota yang terletak di dalam wilayah suku Yehuda (Yos 19:1-9), manakala suku Lewi menerima 48 buah kota yang terletak di seluruh kawasan orang Israel. Memandangkan suku Lewi menerima tugasan istimewa di khemah suci, Yehuwa sendirilah yang akan menjadi warisan mereka. Suku Lewi menerima persepuluhan daripada suku-suku yang lain sebagai ganjaran untuk khidmat mereka. (Bil 18:20, 21; 35:6, 7) Setiap keluarga menerima tanah warisan dalam kawasan yang telah dibahagikan kepada suku mereka. Seraya bilangan sesebuah keluarga bertambah, anak-anak lelaki mereka akan menerima tanah warisan yang semakin kecil.
it-1 341
Sempadan
Selepas undi menentukan lokasi tanah warisan setiap suku, mereka harus menentukan keluasan tanah setiap suku menurut saiz suku itu. Bible menyatakan, “Kamu mesti membahagikan tanah itu kepada setiap suku dengan membuang undi. Suku yang lebih besar harus diberi bahagian tanah yang lebih besar, tetapi suku yang lebih kecil harus diberi bahagian tanah yang lebih kecil. Setiap orang akan mendapat tanah warisan berdasarkan undi yang dibuat.” (Bil 33:54) Lokasi tanah warisan yang ditentukan oleh undi tidak akan berubah, tetapi keluasan tanah itu akan diubah mengikut keperluan. Contohnya, apabila bahagian tanah suku Yehuda terlalu besar untuk mereka, sebahagian tanah itu telah diberikan kepada suku Simeon.—Yos 19:9.
Permata Rohani
it-1 341-342
Sempadan
Berkenaan pembahagian tanah di sebelah barat Sungai Yordan, Bible menyatakan bahawa suku Yehuda (Yos 15:1-63), keturunan Yusuf (iaitu, suku Efraim) (Yos 16:1-10), dan juga setengah suku Manasye yang menetap di bahagian barat Sungai Yordan (Yos 17:1-13) telah menerima tanah warisan dan kota-kotanya setelah mereka membuang undi. Selepas itu, orang Israel nampaknya menghentikan kerja membahagikan tanah. Hal ini kerana mereka memindahkan perkhemahan Israel dari Gilgal ke Silo. (Yos 14:6; 18:1) Bible tidak menyatakan berapa lama mereka menghentikan kerja pembahagian tanah. Tetapi pada kemudian hari, Yosua telah menegur tujuh suku Israel yang lain kerana mereka berlengah-lengah dan masih belum mengambil tanah yang diberikan oleh Yehuwa kepada mereka. (Yos 18:2, 3) Sesetengah cendekiawan cuba menjelaskan mengapa orang Israel bersikap berlengah-lengah. Salah satu sebabnya mungkin kerana memandangkan orang Israel telah mendapat banyak barang jarahan dan orang Kanaan tidak akan menyerang mereka pada masa itu, tujuh suku yang lain itu berasa bahawa mereka tidak perlu menakluki tanah warisan mereka dengan segera. Mereka juga mungkin berlambat-lambat kerana takut berlawan dengan pihak musuh yang kuat. (Yos 13:1-7) Selain itu, pengetahuan mereka tentang kawasan tersebut mungkin sangat terbatas berbanding dengan kawasan-kawasan yang sudah dibahagikan.
8-14 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 20-22
“Pengajaran daripada Suatu Salah Faham”
w06 15/4 5 per. 3
Rahsia Berkomunikasi dengan Pasangan Anda
Komunikasi yang terbuka boleh mengelakkan salah faham. Selepas orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, suku Ruben, Gad, dan setengah daripada suku Manasye yang tinggal di sebelah timur Sungai Yordan, telah membina “sebuah mazbah yang besar” berdekatan sungai itu. Perbuatan mereka membuat suku-suku lain salah faham. Suku-suku lain menyangka bahawa suku-suku di timur Sungai Yordan menjadi murtad dan memberontak. Maka suku-suku lain berkumpul untuk menyerang mereka. Tetapi sebelum berperang, suku-suku lain telah menghantar wakil kepada suku-suku di timur Sungai Yordan. Betapa bijaknya tindakan mereka! Mereka mendapati mazbah itu tidak didirikan untuk mempersembahkan korban-korban haram. Sebenarnya suku-suku di bahagian timur risau bahawa suku-suku lain akan berkata kepada mereka, “Kamu tiada kena-mengena dengan Yehuwa.” Jadi mazbah itu didirikan untuk menjadi saksi bahawa mereka juga menyembah Yehuwa. (Yosua 22:10-29) Mazbah itu diberi nama Saksi kerana mazbah itu menjadi saksi bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang benar.—Yosua 22:34, nota kaki.
w08 15/11 18 per. 5
“Berusaha Melakukan Perkara yang Membawa Kedamaian”
Sesetengah orang Israel percaya sudah ada bukti yang kukuh bahawa suku-suku itu berbuat dosa. Jadi mereka ingin melancarkan serangan hendap supaya tidak ramai orang terkorban. Namun mereka tidak bertindak secara terburu-buru. Mereka telah menghantar wakil untuk berbincang dengan suku-suku di timur Sungai Yordan dan bertanya, “Mengapakah kamu bertindak dengan tidak setia kepada Tuhan orang Israel?” Sebenarnya suku-suku yang membina mazbah itu bukannya tidak setia. Jadi apakah reaksi mereka terhadap tuduhan ini? Adakah mereka akan berasa marah atau enggan berbincang dengan saudara mereka? Mereka menjawab dengan tenang dan menjelaskan bahawa tindakan mereka didorong oleh keinginan untuk menyembah Yehuwa. Reaksi mereka telah memelihara hubungan mereka dengan Yehuwa dan mengelakkan pertumpahan darah. Ya, mereka dapat menjernihkan suasana dan mengekalkan kedamaian kerana berbincang dengan tenang.—Yos. 22:13-34.
Permata Rohani
it-1 1143
Kanaan
Meskipun tidak semua orang Kanaan dibunuh atau diusir, kita masih boleh mengatakan Yehuwa memberi mereka semua tanah ‘yang telah dijanjikan-Nya kepada nenek moyang mereka. Yehuwa juga memberi mereka kedamaian. Tiada satu pun janji-Nya yang gagal ditunaikan; semuanya menjadi kenyataan.’ (Yos 21:43-45) Semua musuh orang Israel tidak lagi berani mengancam mereka. Yehuwa pernah berfirman bahawa Dia akan mengusir orang Kanaan “sedikit demi sedikit” supaya tanah itu tidak terbiar dan supaya binatang buas tidak bertambah banyak sehingga membahayakan nyawa orang Israel. (Kel 23:29, 30; Ul 7:22) Pada kemudian hari, orang Israel tidak dapat menakluki sesetengah kawasan. Hal ini bukan kerana senjata perang orang Kanaan adalah lebih baik, dan juga bukan kerana Yehuwa tidak mampu mengotakan janji-Nya. (Yos 17:16-18; Hak 4:13) Menurut catatan Bible, orang Israel kalah kerana mereka tidak setia kepada Tuhan.—Bil 14:44, 45; Yos 7:1-12.
15-21 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YOSUA 23-24
“Pesanan Terakhir Yosua kepada Bangsa Israel”
it-2 498
Pakatan
Keadaan berubah setelah bangsa Israel memasuki Kanaan, iaitu Tanah yang Dijanjikan. Tuhan yang Berdaulat telah memberi bangsa Israel hak untuk menduduki tanah itu, selaras dengan janji-Nya kepada nenek moyang mereka. Maka mereka tidak memasuki tanah itu sebagai penduduk asing, dan Yehuwa melarang mereka membuat perjanjian dengan bangsa-bangsa kafir di situ. (Kel 23:31-33; 34:11-16) Mereka harus patuh kepada hukum Tuhan sahaja, bukan kepada bangsa-bangsa yang akan diusir itu. (Im 18:3, 4; 20:22-24) Mereka dilarang membuat ikatan perkahwinan dengan bangsa-bangsa itu. Jika mereka berbuat demikian, mereka akan bergaul rapat dengan saudara-mara yang tidak menyembah Yehuwa dan terpengaruh dengan ajaran dan adat agama palsu. Hal ini akan menjerat mereka dan menyebabkan mereka menjadi murtad.—Ul 7:2-4; Kel 34:16; Yos 23:12, 13.
w07 1/11 26 per. 19-20
Tiada Satu pun Janji Yehuwa yang Gagal Ditunaikan
19 Berdasarkan apa yang kita lihat, kita dapat berkata dengan yakin bahawa ‘tiada satu pun antara semua perkara baik yang dijanjikan oleh Yehuwa, Tuhan kita, kepada kita telah gagal ditunaikan. Semuanya menjadi kenyataan bagi kita. Tiada satu janji pun yang dimungkiri-Nya.’ (Yosua 23:14) Yehuwa menyelamatkan, melindungi, dan menjaga umat-Nya. Adakah mana-mana janji Tuhan yang gagal ditunaikan pada masa yang ditetapkan-Nya? Sudah pasti tiada. Maka kita yakin bahawa Firman Tuhan boleh dipercayai.
20 Bagaimana pula dengan masa depan? Yehuwa berjanji bahawa kebanyakan daripada kita dapat hidup di bumi, yang akan menjadi Firdaus yang indah. Sesetengah orang pula mempunyai harapan untuk menjadi raja bersama Kristus di syurga. Tidak kira kita dapat tinggal di bumi Firdaus atau naik ke syurga, kita mempunyai sebab yang kukuh untuk tetap setia seperti Yosua. Harapan kita pasti akan menjadi kenyataan. Pada masa itu, kita dapat berkata, ‘Semua janji Tuhan menjadi kenyataan bagi kita.’
Permata Rohani
w04 1/12 12 per. 1
Sorotan daripada Buku Yosua
24:2—Adakah Terah, bapa Abraham, menyembah berhala? Pada mulanya, Terah tidak menyembah Yehuwa. Barangkali, dia menyembah dewa bulan yang bernama Sin, iaitu dewa yang popular di Ur. Menurut tradisi Yahudi, Terah mungkin seorang pembuat patung berhala. Namun apabila Abraham meninggalkan Ur atas perintah Tuhan, Terah mengikutnya ke Haran.—Kejadian 11:31.
22-28 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | HAKIM-HAKIM 1-3
“Kisah Seorang Lelaki yang Berani dan Rancangan Rahsianya”
w04 15/3 31 per. 3
Ehud Menyelamatkan Orang Israel daripada Pemerintahan Kuku Besi
Rancangan Ehud berjaya bukan kerana dia bijak, atau kerana musuhnya cuai. Manusia tidak dapat mengubah kehendak Tuhan, dan kehendak Tuhan adalah untuk membebaskan umat-Nya. Jadi memandangkan Ehud bertindak selaras dengan kehendak Yehuwa, Yehuwa telah menyokongnya. ‘Setiap kali Yehuwa memberi umat-Nya hakim, Yehuwa akan menyertai hakim itu,’ dan Ehud ialah hakim yang diutus oleh-Nya.—Hakim-Hakim 2:18; 3:15.
w04 15/3 30 per. 1-3
Ehud Menyelamatkan Orang Israel daripada Pemerintahan Kuku Besi
Langkah pertama Ehud adalah untuk membuat “sebilah pedang bermata dua” yang dapat disembunyikan di dalam pakaiannya. Dia berbuat demikian mungkin kerana dia tahu bahawa pengawal istana akan memeriksanya. Orang yang biasanya menggunakan tangan kanan akan menyimpan pedang mereka di sebelah kiri supaya mereka dapat menghunuskan pedang dengan cepat. Tetapi memandangkan Ehud seorang yang kidal, dia telah menyembunyikan pedangnya “pada paha kanannya, di bawah pakaiannya.” Dengan ini, pedangnya tidak akan dijumpai oleh pengawal istana dengan mudah. Maka dia dapat memasuki istana dan “memberikan ufti kepada Raja Eglon dari Moab” tanpa sebarang halangan.—Hakim-Hakim 3:16, 17.
Bible tidak menyatakan dengan terperinci apa yang berlaku pada kali pertama Ehud pergi menghadap Raja Eglon di istananya. Bible hanya menyatakan, “Selepas Ehud menyerahkan ufti, dia dan semua orang yang membawa ufti itu berangkat pulang.” (Hakim-Hakim 3:18) Selepas Ehud menyerahkan ufti, dia dan semua orang yang membawa ufti itu telah meninggalkan istana Eglon dan pergi ke sebuah tempat yang selamat. Apabila mereka tiba di Gilgal, dia menyuruh rombongannya pulang manakala dia sendiri pula telah berpatah balik ke istana. Mengapakah dia menyuruh mereka pulang? Mereka mungkin telah menemani Ehud untuk melindunginya, untuk membawa ufti, atau kerana mengikut tatacara istana. Ehud juga mungkin risau tentang keselamatan mereka. Tidak kira apa sebabnya, Ehud telah menunjukkan keberanian dan kembali ke istana seorang diri.
Kemudian Ehud berkata kepada Eglon, “Tuanku, ada rahsia yang hendak hamba sampaikan kepada tuanku.” Bible tidak menyatakan bagaimana Ehud dapat memasuki istana sekali lagi. Barangkali para pengawal istana tidak mengesyaki tindakannya kerana mereka menyangka bahawa seorang lelaki Israel tidak dapat mengancam raja mereka. Mereka juga mungkin menyangka bahawa Ehud telah kembali seorang diri untuk mengkhianati rakan sebangsanya. Tidak kira apa pun yang berlaku, Ehud berjaya menghadap raja seorang diri.—Hakim-Hakim 3:19.
Permata Rohani
w05 15/1 24 per. 7
Sorotan daripada Buku Hakim-Hakim
2:10-12. Kita harus mempunyai jadual pembelajaran Bible yang tetap supaya kita ‘tidak lupa akan segala-gala yang dilakukan oleh Yehuwa.’ (Mazmur 103:2) Ibu bapa perlu menyimpan Firman Tuhan dalam hati anak-anak mereka.—Ulangan 6:6-9.
29 NOVEMBER–5 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | HAKIM-HAKIM 4-5
“Yehuwa Menggunakan Dua Orang Wanita untuk Menyelamatkan Umat-Nya”
Debora seperti “Ibu Umat Israel”
Sisera! Nama ini membuat orang Israel menggeletar ketakutan. Agama dan budaya orang Kanaan sangat kejam dan menjijikkan. Mereka mempersembahkan anak sebagai korban dan mempunyai pelacur di kuil. Bagaimanakah keadaan di Israel apabila seorang ketua tentera Kanaan dan angkatan tenteranya menguasai tanah itu? Dalam lagunya, Debora menggambarkan jalan-jalan di Israel yang tiada orang dan kampung yang sunyi sepi. (Hakim-Hakim 5:6, 7) Bayangkan semua orang bersembunyi di hutan dan mereka tidak berani untuk tinggal di kampung yang tidak bertembok. Jika mereka berada di jalan-jalan besar, mereka mungkin diserang, anak mereka diculik, dan wanita dirogol.
Debora seperti “Ibu Umat Israel”
Selama 20 tahun, orang Israel hidup dalam ketakutan. Kemudian Yehuwa nampak bahawa bangsa yang degil ini rela berubah. Maka Dia telah mengutus Debora kepada mereka. Dalam lagu yang dinyanyikan oleh Debora dan Barak, Debora menggambarkan dirinya “sebagai ibu umat Israel.” Kita tahu bahawa Debora ialah isteri Lapidot, tetapi kita tidak tahu sama ada dia mempunyai anak atau tidak. Namun Debora digambarkan sebagai ibu kerana Yehuwa melantiknya untuk melindungi orang Israel, sepertimana seorang ibu melindungi anaknya. Melalui Debora, Yehuwa mengarahkan Barak, seorang hakim yang beriman, untuk menentang Sisera.—Hakim-Hakim 4:3, 6, 7; 5:7.
Debora seperti “Ibu Umat Israel”
Yael berfikir dengan cepat. Dia menjemput Sisera untuk berehat di dalam khemahnya. Sisera menyuruhnya supaya jangan memberitahu orang lain bahawa dia berada di sana. Kemudian Yael telah memberi Sisera susu untuk diminum lalu menutupinya dengan selimut. Tidak lama kemudian, Sisera tidur dengan nyenyak. Pada masa itu, Yael mengambil sebatang pasak dan sebuah tukul, yang biasanya dijumpai dalam khemah. Dia mendekati Sisera secara senyap-senyap dan terus memakukan pasak itu pada pelipis Sisera. Biarpun Yael perlu melakukan sesuatu yang sangat susah, dia tidak teragak-agak untuk bertindak demi Yehuwa. Adakah Yael berfikir tentang bagaimana Sisera berlaku kejam terhadap umat Tuhan selama bertahun-tahun? Atau adakah dia berasa bangga untuk melakukan sesuatu demi Tuhan? Bible tidak memberitahu kita, tetapi kita pasti Yael telah membunuh Sisera!—Hakim-Hakim 4:18-21; 5:24-27.
Permata Rohani
w05 15/1 25 per. 4
Sorotan daripada Buku Hakim-Hakim
5:20—Bagaimanakah bintang-bintang berjuang dari angkasa bagi pihak Barak? Bible tidak menjelaskan ayat ini. Tetapi ada beberapa kemungkinan: (1) Bantuan para malaikat, (2) hujan meteor yang ditafsirkan sebagai petanda buruk oleh para penasihat Sisera, atau (3) ramalan astrologi bagi Sisera yang tidak tepat. Tidak kira apa penjelasannya, kita boleh yakin bahawa Yehuwa telah campur tangan dalam hal ini.
6-12 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | HAKIM-HAKIM 6-7
Permata Rohani
w05 15/1 26 per. 5
Sorotan daripada Buku Hakim-Hakim
6:25-27. Gideon bertindak dengan bijak supaya penentangnya tidak naik marah. Apabila kita menyebarkan berita baik, kita harus berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan orang lain melalui kata-kata kita.
13-19 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | HAKIM-HAKIM 8-9
“Kerendahan Hati Lebih Baik daripada Keangkuhan”
w08 15/2 9 per. 9
Kita Harus Hidup Menurut Kehendak Yehuwa
9 Untuk menjadi sahabat Tuhan, kita perlu “bersikap rendah hati.” (1 Ptr. 3:8; Mzm. 138:6) Hakim-Hakim bab 9 menunjukkan pentingnya bersikap rendah hati. Yotam, anak lelaki Gideon, berkata, “Pada suatu masa, pokok-pokok ingin melantik salah satu daripada mereka sebagai raja.” Kemudian dia menyebut tentang pokok zaitun, pokok ara, dan pokok anggur. Ketiga-tiga pokok ini melambangkan orang baik yang menolak tawaran untuk menjadi raja bangsa Israel. Tetapi pokok berduri yang hanya dapat dijadikan bahan api melambangkan Raja Abimelekh yang angkuh. Dia bahkan membunuh orang agar dapat menjadi raja. Tetapi dia hanya dapat “memerintah bangsa Israel” selama tiga tahun sahaja kerana dia telah dibunuh. (Hak. 9:8-15, 22, 50-54) Bukankah lebih baik untuk “bersikap rendah hati”?
Permata Rohani
it-1 635
Efod, I
Meskipun Gideon telah membuat efod dengan niat baik untuk memuliakan Tuhan dan memperingati kemenangan yang diberikan oleh Yehuwa kepada orang Israel, efod itu telah “menjadi jerat bagi Gideon dan keluarganya.” Hal ini kerana segenap umat Israel telah melakukan pelacuran rohani dengan menyembah efod itu. (Hak 8:27) Tetapi Bible tidak menyatakan bahawa Gideon telah menyembah efod itu. Sebaliknya, apabila Rasul Paulus menulis tentang banyak saksi Yehuwa yang setia, dia telah menyebut nama Gideon.—Ibr 11:32; 12:1.
20-26 DISEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | HAKIM-HAKIM 10-12
“Yefta—Seorang Lelaki yang Berfikiran Rohani”
it-2 1171
Yefta
Yefta bertindak dengan segera setelah dia dilantik sebagai pemimpin. Dia mengutus orang kepada raja Ammon untuk bertanya mengapa mereka menyerang negeri Israel. Raja Ammon menjawab bahawa orang Israel yang mengambil tanah itu daripada orang Ammon. (Hak 11:12, 13) Namun Yefta membuktikan bahawa dia bukanlah seorang pahlawan yang tidak berpengetahuan. Dia telah mempelajari sejarah, terutamanya cara Tuhan memperlakukan umat-Nya. Dia telah menangkis dakwaan raja Ammon dengan berkata bahawa (1) orang Israel tidak menindas Ammon, Moab, atau Edom (Hak 11:14-18; Ul 2:9, 19, 37; 2Ta 20:10, 11); (2) tanah itu di bawah kawalan orang Amori, bukan orang Ammon, semasa orang Israel menaklukinya, dan Tuhan telah menyerahkan raja Amori, iaitu Sihon, dan tanah mereka ke dalam tangan orang Israel; (3) selama 300 tahun, orang Israel telah menduduki tanah itu tanpa sebarang bantahan daripada orang Ammon; jadi mengapakah orang Ammon tiba-tiba ingin menuntut tanah itu sekarang?—Hak 11:19-27.
it-2 1171-1172
Yefta
Yefta menjelaskan bahawa isu yang sebenar adalah tentang ibadat mereka. Dia berkata bahawa Tuhan Yehuwa telah memberikan tanah itu kepada orang Israel, maka mereka tidak boleh memberikan tanah itu kepada penyembah tuhan-tuhan palsu. Yefta juga menyebut bahawa Kamos ialah tuhan orang Ammon. Sesetengah orang berasa hal ini ialah satu kesilapan kerana Milkom ialah tuhan orang Ammon, manakala Kamos ialah tuhan orang Moab. Tetapi biarpun bangsa-bangsa ini mempunyai tuhan sendiri, mereka masih menyembah dewa dewi yang lain. Bahkan Salomo juga membina tempat-tempat pemujaan untuk Dewa Kamos di Israel kerana dipengaruhi oleh isteri-isterinya yang berbangsa asing. (Hak 11:24; 1Ki 11:1, 7, 8, 33; 2Ki 23:13) Selain itu, menurut sesetengah cendekiawan, “Kamos” mungkin bermaksud “Penakluk.” (Lihat Gesenius’s Hebrew and Chaldee Lexicon, diterjemahkan oleh S. Tregelles, 1901, ms. 401.) Yefta mungkin menyebut tentang Dewa Kamos kerana orang Ammon berfikir bahawa dewa itu telah membantu mereka “menakluki” bangsa-bangsa lain dan tanah jajahan mereka.
Permata Rohani
it-2 1170
Yefta
Yefta ialah Anak yang Sah. Ibu Yefta ialah “seorang pelacur.” Tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa Yefta ialah anak luar nikah. Ibunya ialah seorang pelacur sebelum menjadi isteri kedua kepada bapanya Gilead, sepertimana Rahab juga ialah seorang pelacur sebelum mengahwini Salmon. (Hak 11:1; Yos 2:1; Mt 1:5) Yefta bukan anak luar nikah kerana adik-beradik tirinya (yang dilahirkan oleh isteri pertama Gilead) telah mengusirnya supaya dia tidak mendapat warisan bapanya. (Hak 11:2) Selain itu, pada kemudian hari, para pemimpin Gilead (termasuk adik-beradik tirinya) menerima Yefta sebagai ketua mereka. (Hak 11:11) Tambahan lagi, Yefta dibenarkan untuk mempersembahkan korban kepada Tuhan di khemah suci. (Hak 11:30, 31) Yefta tidak dapat melakukan semua ini jika dia anak luar nikah kerana Hukum Tuhan menyatakan, “Orang yang lahir luar nikah tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang Yehuwa. Semua keturunannya, bahkan sampai generasi yang ke-10, tidak boleh menjadi sebahagian daripada sidang Yehuwa.”—Ul 23:2.
27 DISEMBER–2 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | HAKIM-HAKIM 13-14
“Ibu Bapa Boleh Belajar daripada Teladan Manoah dan Isterinya”
w05 15/3 25-26 per. 5
Simson Berjaya kerana Kekuatan daripada Yehuwa!
Seraya Simson membesar, ‘Yehuwa terus memberkatinya.’ (Hakim-Hakim 13:24) Pada suatu hari, dia pulang dan memberitahu ibu bapanya, “Saya tertarik kepada seorang gadis Filistin di Timna. Pinanglah dia untuk saya supaya saya dapat mengahwininya.” (Hakim-Hakim 14:2) Bayangkan betapa terkejutnya mereka! Simson sepatutnya membebaskan orang Israel daripada penindasan orang Filistin, tetapi dia mahu berkahwin dengan salah seorang gadis Filistin. Hukum Tuhan melarang bangsa Israel untuk berkahwin dengan orang yang menyembah tuhan-tuhan palsu. (Keluaran 34:11-16) Maka ibu bapanya membantah dan berkata, “Tidak adakah seorang wanita dalam kalangan saudara-maramu atau bangsa kita? Mengapakah kamu harus mencari seorang isteri dalam kalangan orang Filistin, bangsa yang tidak bersunat itu?” Namun Simson berdegil dan menjawab, “Gadis itulah yang sesuai untuk saya. Pinanglah dia untuk saya.”—Hakim-Hakim 14:3.
Permata Rohani
w05 15/3 26 per. 1
Simson Berjaya kerana Kekuatan daripada Yehuwa!
Mengapakah gadis Filistin itu ‘sesuai untuk Simson’? Menurut McClintock and Strong’s Cyclopedia, gadis Filistin itu sesuai bukan kerana dia “cantik atau menawan, tetapi kerana dia dapat membantu Simson mencapai matlamat tertentu.” Apakah matlamat itu? Hakim-Hakim 14:4 menjelaskan bahawa Simson “sedang mencari peluang untuk menentang orang Filistin.” Inilah sebabnya Simson berminat kepada gadis itu. Seraya Simson menjadi dewasa, “kuasa suci Yehuwa mula mendorongnya untuk bertindak.” (Hakim-Hakim 13:25) Maka kuasa suci Yehuwa membimbing Simson untuk mengahwini gadis itu. Kuasa suci Tuhan juga membimbing Simson sepanjang masa dia berkhidmat sebagai hakim bangsa Israel. Adakah Simson mendapat peluang yang dicarinya? Sebelum itu, mari kita lihat bagaimana Yehuwa berjanji untuk menyokongnya.