PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr22 Mei ms. 1-11
  • Rujukan untuk “Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk “Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian”
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2022
  • Tajuk Kecil
  • 2-8 MEI
  • 9-15 MEI
  • 16-22 MEI
  • 23-29 MEI
  • 30 MEI–5 JUN
  • 6-12 JUN
  • 13-19 JUN
  • 20-26 JUN
  • 27 JUN–3 JULAI
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2022
mwbr22 Mei ms. 1-11

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

2-8 MEI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 SAMUEL 27-29

“Strategi Peperangan Daud”

it-1 79

Akhis

Semasa Daud melarikan diri daripada Saul, dia bernaung di kawasan raja Akhis sebanyak dua kali. Pada kali pertama, apabila disyaki sebagai musuh, Daud berpura-pura menjadi gila. Oleh itu, Akhis membenarkan dia pergi kerana Akhis menyangka Daud ialah orang gila yang tidak berbahaya. (1Sa 21:10-15; Mz 34, penerangan; 56, penerangan) Pada kali kedua, Daud disertai 600 orang pahlawan dan keluarga mereka. Oleh itu, Akhis membenarkan mereka menetap di Ziklag. Sepanjang 1 tahun 4 bulan mereka berada di sana, Akhis percaya bahawa Daud dan pahlawannya sedang menjarah kota-kota Yehuda, tetapi sebenarnya Daud sedang menyerang orang Gesur, orang Girzi, dan orang Amalek. (1Sa 27:1-12) Daud berjaya memperdaya Akhis sehingga Akhis menjadikan Daud pengawal peribadinya sewaktu orang Filistin merancang untuk menyerang raja Saul. Hanya pada saat terakhir, apabila dipaksa oleh “para pemimpin orang Filistin” yang lain, barulah Akhis menyuruh Daud dan anak buahnya untuk pulang ke Ziklag. (1Sa 28:2; 29:1-11) Apabila Daud menjadi raja dan menyerang kota Gat, Akhis nampaknya tidak dibunuh. Dia hidup hingga ke zaman Salomo.​—1Ra 2:39-41.

it-1 617

Penipuan

Walaupun Bible terang-terang mengutuk perbuatan menipu, hal ini tidak bermaksud bahawa seseorang harus mendedahkan kebenaran kepada orang yang tidak berhak mengetahuinya. Yesus Kristus memberikan nasihat ini: “Jangan berikan apa yang suci kepada anjing dan jangan berikan mutiara kamu kepada babi, kerana babi hanya akan memijak-mijak mutiara itu lalu menyerang kamu.” (Mt 7:6) Itulah sebabnya Yesus ada kalanya tidak memberikan maklumat yang sepenuhnya atau menjawab sesetengah soalan kerana dia tahu hal itu boleh mendatangkan bahaya. (Mt 15:1-6; 21:23-27; Yoh 7:3-10) Nampaknya Abraham, Ishak, Rahab, dan Elisa juga tidak memberikan maklumat yang sepenuhnya kepada orang yang tidak menyembah Yehuwa.​—Kej 12:10-19; bab 20; 26:1-10; Yos 2:1-6; Yak 2:25; 2Ra 6:11-23.

Permata Rohani

w10 1/1 20 ¶5-6

Bolehkah Orang yang Mati Membantu Orang yang Hidup?

Fikirkan hal ini. Bible menyatakan bahawa apabila manusia mati, ‘mereka kembali ke tanah dan segala fikiran mereka lenyap.’ (Mazmur 146:4) Saul dan Samuel tahu bahawa Tuhan mengutuk perbuatan mencari bomoh. Sebelum ini, Saul sendiri telah mengambil pimpinan untuk menyingkirkan amalan spiritisme daripada bangsa Israel!​—Imamat 19:31.

Renungkan juga hal berikut. Jika Samuel yang setia masih hidup sebagai roh, adakah dia akan melanggar hukum Tuhan dan menggunakan seorang bomoh untuk berhubung dengan Saul? Sebelum ini Yehuwa tidak mahu bercakap dengan Saul. Bolehkah bomoh ini memaksa Tuhan Yang Maha Kuasa untuk berkomunikasi dengan Saul menerusi Samuel yang sudah mati? Memang tidak. Jelaslah “Samuel” ini bukanlah nabi Tuhan yang setia. Sebenarnya, roh yang jahat sedang menyamar sebagai Samuel yang sudah mati.

9-15 MEI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 SAMUEL 30-31

“Mendapat Kekuatan daripada Tuhan Kita, Yehuwa”

w06 1/8 28 ¶12

Berbahagialah Orang yang Takut akan Yehuwa!

12 Rasa takut Daud akan Yehuwa bukan hanya menghalangnya daripada berbuat dosa, rasa takut itu juga menguatkannya untuk bertindak dengan cepat dan bijaksana semasa menghadapi keadaan yang susah. Untuk bersembunyi daripada Saul, Daud dan anak buahnya telah tinggal di kota Ziklag, di kawasan desa orang Filistin selama setahun dan empat bulan. (1 Samuel 27:5-7) Pernah sekali apabila mereka tidak berada di kota Ziklag, orang Amalek telah membakar kota itu dan menawan semua wanita, kanak-kanak dan ternakan mereka. Apabila Daud dan anak buahnya kembali ke kota itu dan melihat apa yang berlaku, mereka mula menangis. Anak buah Daud begitu sedih dan marah sehingga mereka hendak merejam Daud dengan batu. Meskipun Daud berasa susah hati, dia tidak berputus asa. (Amsal 24:10) Oleh sebab dia takut kepada Tuhan, dia bergantung pada Yehuwa dan ‘mendapat kekuatan daripada-Nya.’ Dengan bantuan Tuhan, Daud dan anak buahnya mengejar orang Amalek dan mendapat kembali segala sesuatu yang telah dirampas.​—1 Samuel 30:1-20.

Permata Rohani

w05 15/3 24 ¶8

Sorotan daripada Buku Satu Samuel

30:23, 24. Daud telah membuat keputusan ini berdasarkan Bilangan 31:27. Keputusan ini menunjukkan bahawa Yehuwa menghargai ahli-ahli sidang yang melakukan tugas sokongan. Tidak kira apa sahaja yang kita lakukan, marilah kita “lakukannya dengan sepenuh jiwa, seolah-olah kita melakukannya untuk Yehuwa dan bukannya untuk manusia.”​—Kolose 3:23.

16-22 MEI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 SAMUEL 1-3

“Apakah yang Kita Belajar daripada Lagu yang Bertajuk ‘Busur’?”

w00 15/6 13 ¶9

Menghormati Mereka yang Mengambil Pimpinan

9 Adakah Daud berasa susah hati apabila dia dilayan dengan buruk? Ya, dia memberitahu Yehuwa, “Orang yang zalim mencuba meragut nyawaku.” (Mazmur 54:3) Dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa, “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku daripada musuhku . . . Meskipun aku tidak berdosa atau memberontak, orang yang sangat kuat melawan aku. Aku tidak berbuat salah tetapi mereka bersiap-siap untuk menyerang aku. Dengarkanlah seruanku dan bangkitlah untuk menolong aku.” (Mazmur 59:1-4) Pernahkah anda berasa seperti Daud? Pernahkah anda berasa bahawa anda tidak melakukan apa-apa yang salah, tetapi orang yang mengambil pimpinan terus melayan anda dengan buruk? Daud terus menunjukkan hormat kepada Saul. Apabila Saul meninggal, Daud tidak bersukacita. Sebaliknya dia menggubah lagu ratapan berikut: “Saul dan Yonatan, orang yang dikasihi dan disayangi sepanjang hayat mereka . . . Mereka lebih pantas daripada burung helang, dan lebih gagah daripada singa. Wahai gadis-gadis Israel, ratapilah Saul.” (2 Samuel 1:23, 24) Daud menetapkan teladan yang baik kerana terus menunjukkan hormat kepada orang yang diurapi oleh Yehuwa, biarpun Daud dilayan dengan buruk oleh Saul!

Permata Rohani

it-2 736

Saudara

“Saudara” merujuk kepada orang yang bersatu padu kerana mempunyai haluan, tujuan dan matlamat yang sama. Contohnya, Raja Hiram dari Tirus memanggil Raja Salomo “saudaraku”. Hal ini bukan hanya kerana mereka mempunyai pangkat dan kedudukan yang sama, tetapi juga kerana mereka mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk membekalkan kayu dan barang-barang lain untuk Rumah Tuhan. (1Ra 9:13; 5:1-12) Daud menulis, “Lihatlah! Alangkah baiknya dan indahnya apabila semua saudara hidup bersatu padu.” Hal ini menunjukkan bahawa kedamaian dan perpaduan antara adik-beradik kandung tidak hanya wujud kerana pertalian darah. (Mz 133:1) Sebenarnya, Daud memanggil Yonatan saudaranya bukan kerana mereka mempunyai pertalian darah, tetapi kerana mereka mengasihi satu sama lain dan mempunyai tujuan yang sama. (2Sa 1:26) Sahabat-sahabat yang mempunyai sifat atau perwatakan yang sama biarpun buruk, boleh digelar sebagai saudara.​—Ams 18:9; nota kaki.

23-29 MEI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 SAMUEL 4-6

“Pupuklah Rasa Hormat dan Takut akan Yehuwa”

w05 15/5 17 ¶7

Sorotan daripada Buku Dua Samuel

6:1-7. Walaupun Daud berniat baik, usahanya untuk memindahkan Tabut Perjanjian dengan kereta lembu telah melanggar hukum Tuhan dan usahanya gagal. (Keluaran 25:13, 14; Bilangan 4:15, 19; 7:7-9) Selain itu, tindakan Uzah memegang Tabut Perjanjian menunjukkan bahawa bahkan seseorang yang berniat baik perlu bertindak selaras dengan apa yang dikehendaki oleh Tuhan.

w05 1/2 27 ¶20

Yehuwa Selalu Melakukan Apa yang Benar

20 Ingatlah bahawa Uzah tahu perbuatannya salah. Tabut Tuhan dikaitkan dengan kehadiran Yehuwa. Hukum Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa bukan semua orang boleh menyentuh tabut itu. Jika seseorang melanggar perintah ini, dia akan dihukum mati. (Bilangan 4:18-20; 7:89) Maka, pemindahan tabut itu bukanlah hal yang remeh. Walaupun bukan seorang imam, Uzah ialah seorang Lewi dan tahu Hukum Tuhan. Selain itu, bertahun-tahun sebelumnya, tabut itu telah dipindahkan ke rumah bapanya. (1 Samuel 6:20–7:1) Selama kira-kira 70 tahun, tabut itu disimpan di sana sehingga Daud memindahkannya. Jadi sejak kecil, Uzah pasti tahu hukum berkaitan dengan tabut Tuhan.

w05 1/2 27 ¶21

Yehuwa Selalu Melakukan Apa yang Benar

21 Seperti yang disebut tadi, Yehuwa dapat membaca hati. Firman-Nya menyatakan bahawa ‘tindakan Uzah melanggar hukum Tuhan.’ Maka Yehuwa mungkin telah melihat motif Uzah yang mementingkan diri sendiri yang tidak disebut dalam kisah ini. Mungkin Uzah ialah seorang lelaki yang angkuh dan cenderung bertindak melampaui batasnya. (Amsal 11:2) Mungkin dia membanggakan-banggakan diri kerana dapat mengiringi tabut perjanjian yang dijaga oleh keluarganya. (Amsal 8:13) Mungkin Uzah tidak percaya bahawa Yehuwa dapat memastikan tabut yang melambangkan kehadiran-Nya itu tidak akan terjatuh. Tidak kira apa sebabnya, kita boleh yakin bahawa Yehuwa melakukan apa yang benar. Dia nampak sesuatu dalam hati Uzah yang membuat-Nya mengambil tindakan dengan segera.​—Amsal 21:2.

Permata Rohani

w96 1/4 29 ¶1

Selalu Serahkan Beban Anda kepada Yehuwa

Sebagai raja, Daud perlu bertanggungjawab terhadap peristiwa ini. Reaksinya menunjukkan bahawa bahkan orang yang mempunyai hubungan yang baik dengan Yehuwa, kadangkala bertindak dengan buruk semasa menghadapi cubaan. Mula-mula Daud menjadi marah. Kemudian dia menjadi takut. (2 Samuel 6:8, 9) Hubungannya dengan Yehuwa sedang diuji. Pada masa itu, nampaknya dia gagal menyerahkan bebannya kepada Yehuwa kerana dia tidak mengikut arahan-Nya. Mungkinkah kita juga mengalami situasi sebegitu? Adakah kita menyalahkan Yehuwa atas masalah yang menimpa kita kerana kita mengingkari arahan-Nya?​—Amsal 19:3.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

“Takutlah kepada Tuhan dan Muliakanlah Dia”

w05 1/10 23-24 ¶14-15

“Teruslah Berjaga-jaga”—Masa Penghakiman Sudah Tiba!

14 Seraya kita terus berjaga-jaga, apakah yang kita jangkakan? Buku Wahyu menyatakan bagaimana kehendak Tuhan menjadi kenyataan secara bertahap-tahap. Apabila kita bertindak selaras dengan apa yang dinyatakan dalam buku Wahyu, kita membuktikan bahawa kita bersedia. Nubuat itu menjelaskan peristiwa dunia yang akan berlaku semasa “hari Tuan” yang bermula apabila Kristus menjadi raja di syurga pada tahun 1914. (Wahyu 1:10) Menurut buku Wahyu, satu malaikat telah ditugaskan untuk mengisytiharkan “berita baik yang kekal.” Malaikat itu berkata dengan suara yang lantang, “Takutlah kepada Tuhan dan muliakanlah Dia kerana masa penghakiman-Nya sudah tiba.” (Wahyu 14:6, 7) ‘Masa penghakiman’ itu ialah satu jangka masa yang singkat. Masa penghakiman merangkumi masa penghakiman itu diisytiharkan dan dilaksanakan seperti yang digambarkan dalam nubuat itu. Kita sedang hidup pada masa penghakiman itu.

15 Sebelum masa penghakiman itu berakhir, kita digalakkan untuk ‘takut kepada Tuhan dan muliakan Dia.’ Hal ini merangkumi apa? Rasa takut yang seimbang kepada Tuhan akan mendorong kita untuk menghindari perbuatan yang jahat. (Amsal 8:13) Jika kita memuliakan Tuhan, kita akan mendengar kata-kata-Nya dengan penuh hormat. Kita akan meluangkan masa untuk membaca Firman-Nya, Bible, secara tetap. Kita akan mementingkan nasihat-Nya untuk menghadiri perjumpaan Kristian. (Ibrani 10:24, 25) Kita akan menghargai peluang untuk mengisytiharkan berita baik tentang Kerajaan Mesias dan melakukannya dengan bersemangat. Kita akan percaya kepada Yehuwa pada setiap masa dan dengan segenap hati. (Mazmur 62:8) Kita akan menerima Yehuwa sebagai Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat dan memuliakan-Nya dengan mematuhi-Nya sebagai Pemerintah dalam hidup kita. Adakah anda benar-benar takut kepada Tuhan dan memuliakan-Nya?

KEHIDUPAN KRISTIAN KITA

Adakah Anda Bersedia untuk Menghadapi Pergolakan Sosial?

jr 125-126 ¶23-24

Adakah Anda Bertanya Setiap Hari, “Di Manakah Yehuwa?”

23 Selain daripada berdoa dengan tulus untuk meminta bimbingan Yehuwa, kita harus terus mengadakan pembelajaran peribadi. Pembelajaran peribadi ialah salah satu kunci untuk mengetahui kehendak Yehuwa. Dalam hal ini, kita ada kelebihan berbanding Yeremia. Kita memiliki Bible yang lengkap. Anda boleh mencontohi Yeremia yang telah membuat kajian secara mendalam untuk mengumpulkan catatan sejarah yang terilham. Semasa mengkaji Firman Tuhan, cuba dapatkan bimbingan Tuhan dengan bertanya, “Di manakah Yehuwa?” Apabila anda berusaha untuk mempelajari kehendak-Nya, anda menunjukkan bahawa anda percaya kepada-Nya. Hasilnya, anda akan menjadi “seperti sebatang pokok yang ditanam di tepi air, yang akarnya bertumbuh ke arah sungai.”​—Baca Yeremia 17:5-8.

24 Semasa anda membaca dan merenungkan Ayat-Ayat Suci, cuba kenal pasti kehendak Tuhan bagi anda dalam pelbagai situasi. Carilah prinsip Bible yang ingin anda ingat dan terapkan dalam hidup. Semasa membaca kisah bersejarah, hukum-hukum, prinsip-prinsip, atau kata-kata hikmat dalam Firman Tuhan, fikirkan bagaimana catatan itu dapat membantu anda membuat keputusan dalam kehidupan seharian. Apabila anda bertanya, “Di manakah Yehuwa?” Dia akan menjawab anda melalui Firman-Nya dan menunjukkan cara menangani situasi genting yang anda hadapi. Sememangnya, dengan mengkaji Bible, anda mungkin dapat memahami ‘perkara-perkara yang tidak anda ketahui dan susah difahami’ atau melihatnya dari sudut pandangan yang baharu!​—Yer. 33:3.

g17.5 3-7

Apabila Bencana Melanda—Langkah-Langkah yang Dapat Menyelamatkan Nyawa

“Letupan yang kuat hampir menyebabkan saya terjatuh di lantai. Asap keluar daripada corong udara dan bangunan pejabat kami yang tinggi dijilat api.”—Joshua.

Gempa bumi . . . ribut taufan . . . serangan pengganas . . . kejadian tembak menembak di sekolah. Peristiwa-peristiwa ini sering muncul di tajuk utama akhbar. Membaca tentang kejadian sebegini adalah berbeza daripada mengalaminya. Apakah yang dapat anda lakukan sebelum, semasa, dan selepas bencana melanda untuk menyelamatkan diri?

SEBELUM—BUAT PERSEDIAAN! BENCANA boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Persediaan adalah sangat penting jika kita ingin selamat. Bagaimanakah kita boleh membuat persediaan?

• Buat persediaan mental. Sedarlah bahawa bencana boleh berlaku, dan anda berserta keluarga anda akan menghadapi bahaya. Sudah terlambat untuk membuat persediaan selepas bencana berlaku.

• Ketahuilah apa bencana yang mungkin berlaku di kawasan anda, dan lokasi tempat perlindungan. Pastikan bahawa struktur rumah anda berada dalam keadaan yang baik, dan rumah anda berada di lokasi yang selamat. Singkirkan apa sahaja bahan yang mudah terbakar. Pasang alat pengesan asap, dan tukar baterinya sekurang-kurangnya sekali setahun.

• Sediakan bekalan kecemasan. Bekalan elektrik dan air, perkhidmatan telefon, dan pengangkutan awam mungkin dihentikan. Jika anda ada kereta, pastikan tangki minyak kereta anda sekurang-kurangnya separuh penuh. Pastikan juga bahawa anda sentiasa mempunyai makanan, air, dan kit kecemasan di rumah anda.—Lihat kotak “Apakah yang Perlu Anda Sediakan?”

• Sediakan senarai nombor telefon kawan-kawan anda yang tinggal di kawasan dekat dan jauh.

• Buatlah pelan kecemasan dan adakan latihan. Kenal pasti pintu keluar yang terdekat dalam bangunan anda, dan ajarlah anak-anak tentang apa yang harus dilakukan jika bencana berlaku sewaktu mereka di sekolah. Tetapkan tempat berkumpul untuk keluarga anda, seperti sekolah atau perpustakaan; satu di tempat yang dekat, dan satu lagi di tempat yang jauh. Pihak berkuasa mencadangkan agar anda dan keluarga mengadakan latihan dengan berjalan kaki ke tempat-tempat itu

• Buatlah rancangan untuk membantu orang lain, termasuk orang yang tua atau sakit.

SEMASA—BERTINDAK SEGERA! “Semasa kebakaran tercetus, banyak orang tidak panik. Mereka hanya berlambat-lambat,” kata Joshua yang disebutkan tadi. “Ada orang yang mematikan komputer atau mengisi botol air mereka. Seorang lelaki berkata, ‘Mungkin kita patut tunggu saja.’” Biarpun orang lain teragak-agak untuk bertindak, Joshua menjerit, “Kita perlu keluar dari sini sekarang!” Setelah mendengar apa yang dikatakan oleh Joshua, barulah rakan sekerjanya mula bertindak dan mengikutnya turun tangga. Joshua terus menjerit, “Jika ada orang terjatuh, bantulah dia. Jangan berhenti bergerak. Kita semua pasti akan keluar dari sini!”

• Kebakaran. Asap menyukarkan penglihatan dan banyak orang mati dalam kebakaran kerana menghidu terlampau banyak asap. Oleh itu, cuba sedaya upaya untuk membongkokkan badan dan berjalan ke pintu keluar yang terdekat dengan cepat. Tinggalkan barang peribadi anda. Anda mungkin hanya ada beberapa saat untuk menyelamatkan diri.

• Gempa bumi. Semasa gempa bumi berlaku, bersembunyilah di bawah perabot rumah yang teguh atau di sebelah sebuah dinding yang berada di bahagian tengah rumah. Jangan lupa bahawa akan ada gegaran susulan. Jadi pergilah ke luar dan jauhi mana-mana bangunan secepat mungkin. Kumpulan penyelamat yang terlatih mungkin mengambil masa beberapa jam untuk sampai. Jadi cubalah selamatkan orang lain jika boleh.

• Tsunami. Jika air laut tiba-tiba surut dari pantai, segera lari ke kawasan yang tinggi selepas ombak besar yang pertama, mungkin akan ada lagi ombak-ombak lain yang lebih besar.

• Ribut taufan. Segera pergi ke tempat perlindungan ribut.

• Banjir. Jangan masuk ke bangunan yang dibanjiri air. Jangan berjalan mengharungi air banjir atau memandu melaluinya. Air banjir mungkin mengandungi bahan kumbahan dan bahaya-bahaya yang tidak kelihatan seperti bendasing, lubang parit, atau kabel elektrik.

• Tahukah anda? Air bergerak yang setinggi 0.6 meter boleh menghanyutkan sebuah kereta. Kebanyakan orang mati semasa banjir kerana mereka cuba memandu melalui air yang bergerak.

• Pemindahan kecemasan. Jika pihak berkuasa mengarahkan anda untuk berpindah, teruslah berbuat demikian. Beritahulah kawan-kawan anda di mana anda berada. Jika tidak, mereka mungkin membahayakan nyawa sendiri untuk mencari anda.

• Tahukah anda? Talian telefon mungkin tidak stabil. Jadi menghantar mesej adalah lebih baik daripada membuat panggilan.

• Berlindung di rumah. Jika pihak berkuasa mengarahkan penduduk untuk berlindung di rumah dan jangan pergi ke mana-mana, ikutlah arahan mereka. Jika berlakunya serangan atau kemalangan kimia, biologi, atau nuklear di luar rumah, jangan keluar dari rumah, matikan sistem peredaran udara, dan kedapkan semua pintu dan tingkap. Jika berlakunya letupan nuklear, bersembunyilah di bahagian paling bawah bangunan anda untuk mengurangkan pendedahan kepada sinaran radioaktif yang berbahaya. Dengarlah berita terkini melalui siaran TV tempatan atau radio. Duduklah di dalam rumah sehingga pihak berkuasa mengumumkan bahawa ancaman itu telah berlalu.

SELEPAS—TERUS BERHATI-HATI! Untuk mencegah penyakit dan mengelakkan bahaya, pertimbangkan cadangan-cadangan berikut:

• Tinggal di rumah kawan. Jika boleh, jangan terus tinggal di pusat pemindahan

• Jaga kebersihan. Pastikan bahawa tempat penginapan anda tetap bersih.

• Gunakan alat pelindung diri semasa membersihkan kawasan bencana. Jika boleh, pakai sarung tangan, kasut yang tebal, topi keselamatan, dan topeng habuk. Berhati-hati dengan wayar elektrik dan bara api yang tersembunyi.

• Kekalkan rutin harian yang baik. Cuba sedaya upaya untuk kembali ke rutin hidup yang normal. Anak-anak perlu melihat bahawa anda bertenang dan tidak putus asa. Temani anak-anak semasa mereka membuat kerja rumah atau bermain. Lakukan aktiviti rohani sebagai sebuah keluarga. Jangan asyik memikirkan laporan berita tentang bencana, dan jangan lepaskan perasaan resah atau geram anda kepada ahli keluarga yang lain. Terimalah bantuan dan bantulah orang lain.

• Terima hakikat. Bencana pasti menyebabkan kerugian. Kerajaan dan organisasi lain yang melakukan kerja bantuan bencana berfokus kepada membantu orang untuk meneruskan hidup dan bukannya memberikan ganti rugi. Untuk terus hidup, kita memerlukan air yang bersih, makanan, pakaian, dan tempat tinggal yang selamat.​—1 Timotius 6:7, 8.

• Sedarlah bahawa bencana dapat meninggalkan kesan buruk atas emosi anda. Hal ini mungkin terjadi selepas perasaan terkejut anda hilang. Tanda-tandanya termasuk kekhuatiran, kemurungan, dan gangguan emosi. Anda juga mungkin tidak dapat berfikir, bekerja, dan tidur. Luahkan perasaan anda kepada kawan-kawan yang prihatin.

Meskipun Joshua terselamat, banyak rakan sekerjanya terkorban dalam kebakaran itu. Dia menerima bantuan daripada penatua Kristian dan pakar kesihatan mental. Joshua berkata, “Mereka memberitahu saya bahawa perasaan sedih ialah sebahagian daripada proses pemulihan dan perasaan ini akan hilang. Selepas enam bulan, saya tidak lagi selalu mengalami mimpi buruk, tetapi gejala-gejala lain masih berlanjutan buat masa yang lebih lama.”

Kita selalu berasa tidak adil apabila melihat orang yang tidak bersalah menderita akibat bencana. Oleh itu, ada orang yang menyalahkan Tuhan atas bencana yang berlaku. Selain itu, banyak orang yang terselamat mempunyai perasaan bersalah seperti Joshua. Joshua berkata, “Saya masih tertanya-tanya sama ada saya dapat menyelamatkan lebih banyak orang. Tetapi saya mendapat kelegaan hati kerana percaya bahawa tidak lama lagi, Tuhan akan mengakhiri semua ketidakadilan di bumi. Sekarang saya menghargai hidup saya dan berusaha untuk hidup dengan baik setiap hari.”​—Wahyu 21:4, 5.a

APAKAH YANG PERLU ANDA SEDIAKAN? Organisasi pengurusan bencana menggalakkan orang untuk menyimpan bekalan kecemasan dan memeriksanya setiap tahun. Bekalan yang diperlukan bergantung pada lokasi dan keadaan anda. Maka, tanyalah organisasi pengurusan bencana di kawasan anda untuk menentukan bekalan yang perlu disediakan.

Biasanya anda disarankan untuk menyimpan sekurang-kurangnya 11 liter air minum bagi setiap orang dan makanan yang secukupnya untuk tiga hari. Makanan itu haruslah tidak mudah rosak dan sedia dimakan.

Sesetengah keluarga juga menyediakan beg kecemasan dengan barangan berikut:b

■ Selimut, satu set pakaian, dan kasut yang tahan lasak

■ Lampu suluh, radio (yang menggunakan bateri atau windup), dan bateri tambahan

■ Kit kecemasan dan wisel untuk meminta bantuan

■ Sudu, garpu, pembuka tin, pisau lipat serba guna, dan mancis kalis air

■ Topeng habuk, pita kalis air, dan helaian plastik untuk membina khemah

■ Berus gigi, sabun, tuala, dan tisu

■ Barang penjagaan anak, orang tua, atau orang kurang upaya

■ Bekas kalis air yang mengandungi ubat-ubatan, salinan preskripsi ubat, dan dokumen-dokumen penting yang lain

■ Senarai nombor telefon yang boleh dihubungi semasa kecemasan, senarai tempat berkumpul, dan peta tempatan

■ Kad kredit dan wang tunai

■ Set tambahan kunci rumah dan kunci kereta

■ Kertas, pensel, buku, dan alat permainan untuk kanak-kanak

■ Bible

30 MEI–5 JUN

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 SAMUEL 7-8

“Yehuwa Membuat Perjanjian dengan Daud”

w10 1/4 20 ¶3

“Kerajaanmu Akan Kekal Buat Selama-Lamanya”

Daud ingin membina rumah untuk Yehuwa. Yehuwa amat tersentuh lalu membuat perjanjian dengan Daud. Dia berjanji bahawa salah seorang keturunan Daud akan memerintah buat selama-lamanya. Perjanjian ini adalah selaras dengan nubuat yang telah dibuat oleh Tuhan. Natan telah menyampaikan janji Tuhan ini kepada Daud dengan berkata, “Keturunanmu akan tetap memerintah dan kerajaanmu akan kekal buat selama-lamanya. Ya, takhtamu akan kukuh buat selama-lamanya.” (Ayat 16) Siapakah keturunan Daud yang akan memerintah buat selama-lamanya?​—Mazmur 89:20, 29, 34-36.

w10 1/4 20 ¶4

“Kerajaanmu Akan Kekal Buat Selama-Lamanya”

Yesus dari kota Nasaret ialah keturunan Daud. Semasa mengumumkan kelahiran Yesus, satu malaikat berkata, “Tuhan Yehuwa akan memberinya takhta Daud, nenek moyangnya. Dia akan memerintah sebagai Raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya, dan Kerajaannya tidak akan berkesudahan.” (Lukas 1:32, 33) Jadi, perjanjian dengan Daud telah menjadi kenyataan melalui Yesus Kristus. Maka Yesus bukanlah raja yang dipilih oleh manusia. Sebaliknya dia ialah raja yang telah dijanjikan oleh Tuhan dan dia berhak untuk memerintah buat selama-lamanya. Ingatlah bahawa janji Tuhan selalu menjadi kenyataan.​—Yesaya 55:10, 11.

Permata Rohani

it-1 876

Hari-Hari Terakhir

Nubuat Bileam. Sebelum orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Nabi Bileam telah berkata kepada Raja Balak dari Moab, “Biarlah hamba memberitahu tuanku apa yang akan dilakukan oleh bangsa Israel terhadap bangsa tuanku pada masa hadapan. . . . Sebutir bintang akan datang daripada Yakub, dan sebatang tongkat kerajaan akan muncul daripada Israel. Orang itu akan meremukkan kepala Moab, dan menghancurkan tengkorak semua orang yang suka berperang.” (Bil 24:14-17) Semasa nubuat ini menjadi kenyataan buat kali pertama, “bintang” itu merujuk kepada Raja Daud yang telah mengalahkan orang Moab. (2Sa 8:2) “Masa hadapan” yang disebutkan dalam nubuat ini telah bermula apabila Daud menjadi raja. Memandangkan Daud ialah bayangan kepada Yesus sebagai Raja Mesias, nubuat ini juga akan menjadi kenyataan melalui Yesus apabila dia mengalahkan musuh-musuhnya.​—Yes 9:7; Mz 2:8, 9.

6-12 JUN

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 SAMUEL 9-10

“Daud Menunjukkan Kasih Setia”

w06 15/6 14 ¶6

Ya, Anda Boleh Mendapat Kebahagiaan

Daud menulis, “Berbahagialah orang yang mengambil berat terhadap orang yang lemah. Yehuwa akan menyelamatkannya pada masa kesusahan. Orang itu akan dinyatakan sebagai orang yang berbahagia. Yehuwa akan menjaganya dan memelihara nyawanya.” (Mazmur 41:1, 2) Daud telah menunjukkan kebaikan hati kepada Mefiboset yang tempang. Mefiboset ialah anak kepada Yonatan, iaitu sahabat baik Daud. Perbuatan Daud ialah contoh yang baik tentang cara menunjukkan kebaikan hati kepada orang yang lemah.​—2 Samuel 9:1-13.

w05 15/5 17 ¶11

Sorotan daripada Buku Dua Samuel

9:1, 6, 7. Daud menunaikan janjinya. Kita juga harus berusaha untuk menunaikan janji kita.

w02 15/2 14 ¶10

Mereka Tabah Menghadapi Duri dalam Daging

10 Beberapa tahun kemudian, Raja Daud menunjukkan belas kasihan kepada Mefiboset kerana Daud sangat mengasihi Yonatan. Daud telah memberikan segala milik Saul kepada Mefiboset dan dia menugaskan Ziba, iaitu hamba Saul, untuk menjaga tanah itu. Daud juga memberitahu Mefiboset, “Kamu akan sentiasa makan di meja beta.” (2 Samuel 9:6-10) Sudah pasti kebaikan hati yang ditunjukkan oleh Daud kepada Mefiboset telah membantu meringankan penderitaan yang dirasai Mefiboset kerana kecacatannya. Teladan Daud sangat baik. Kita juga harus menunjukkan kebaikan hati kepada mereka yang sedang menghadapi duri dalam daging.

Permata Rohani

it-1 1085

Janggut

Dalam kalangan orang kuno di bahagian Timur, termasuk orang Israel, janggut melambangkan maruah seorang lelaki. Hukum Tuhan melarang orang Israel mencukur jambang, iaitu rambut di antara mata dengan telinga, dan menggunting bahagian hujung janggut mereka. (Im 19:27; 21:5) Hal ini kerana perbuatan itu berkait dengan amalan agama palsu.

13-19 JUN

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 SAMUEL 11-12

Permata Rohani

it-1 561

Daud

Yehuwa sedang memerhatikan segala sesuatu dan mendedahkan perbuatan Daud dan Bat-syeba. Jika Yehuwa mengizinkan hakim manusia untuk mengendalikan kes mereka, menurut hukum Musa, kedua-dua pesalah itu akan dihukum mati. Anak hasil daripada perzinaan itu juga akan mati bersama ibunya. (Ul 5:18; 22:22) Namun Yehuwa sendiri telah mengendalikan kes ini dan menunjukkan belas kasihan kepada Daud kerana perjanjian Kerajaan (2Sa 7:11-16), kerana Daud sendiri menunjukkan belas kasihan kepada orang lain (1Sa 24:4-7; bandingkan Yak 2:13), dan kerana Tuhan memperhatikan bahawa mereka telah bertaubat. (Mz 51:1-4) Tetapi mereka tidak dapat mengelakkan diri daripada hukuman. Melalui Natan, Yehuwa menyatakan, “Aku akan menimpa engkau dengan malapetaka yang disebabkan oleh keluargamu sendiri.”​—2Sa 12:1-12.

20-26 JUN

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 SAMUEL 13-14

“Sikap Mementingkan Diri Amnon Mengakibatkan Tragedi”

it-1 30

Absalom

Membunuh Amnon. Oleh sebab adik perempuan Absalom, iaitu Tamar, cantik, abang tirinya Amnon jatuh cinta kepadanya. Amnon berpura-pura sakit agar Tamar datang ke biliknya dan memasak untuknya. Di situ, dia telah merogol Tamar. Selepas itu, nafsu Amnon bertukar menjadi rasa benci terhadap Tamar. Maka dia telah mengusir Tamar. Tamar telah menaburkan abu di atas kepalanya dan mengoyakkan jubah cantik yang dipakainya. Jubah itu ialah jubah khas yang dipakai oleh anak-anak perempuan diraja yang masih dara. Absalom nampak apa yang berlaku kepada Tamar dan dia segera menanya Tamar sama ada Amnon telah merogolnya. Hal ini menunjukkan bahawa sebelum ini, Absalom sudah mengesyaki bahawa abang tirinya itu mempunyai perasaan berahi terhadap Tamar. Absalom menyuruh Tamar agar merahsiakan hal ini dan membawa Tamar untuk tinggal di rumahnya.​—2Sa 13:1-20.

it-1 30

Absalom

Dua tahun kemudian semasa musim menggunting bulu biri-biri tiba, Absalom mengadakan sebuah jamuan di Baal-hazor yang terletak kira-kira 22 kilometer dari utara timur laut Yerusalem. Dia telah mengundang semua anak raja dan ayahandanya sendiri, Daud. Apabila Daud tidak mahu pergi, Absalom asyik memujuk Daud untuk menghantar anak sulungnya, Amnon, sebagai ganti. (Ams 10:18) Semasa jamuan itu, Amnon “minum wain sehingga dia berasa sangat gembira.” Pada waktu itulah Absalom menyuruh para pelayannya untuk membunuh Amnon. Selepas hal itu terjadi, semua anak raja yang lain melarikan diri ke Yerusalem, dan Absalom pula melarikan diri kepada datuknya yang berbangsa Syria. Datuknya ialah raja kerajaan Gesur yang terletak di sebelah timur laut Galilea. (2Sa 13:23-38) Demikianlah nubuat Nabi Nathan bahawa keluarga Daud “akan sentiasa dilanda malapetaka” telah menjadi kenyataan.​—2Sa 12:10.

27 JUN–3 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 SAMUEL 15-17

“Absalom Memberontak kerana Dia Angkuh”

it-2 338

Orang yang Berlari di Hadapan Kereta Kuda

Menurut adat orang Timur, ada orang yang akan berlari di hadapan kereta kuda raja untuk mengumumkan kedatangannya dan memberikan bantuan kepadanya. (1Sa 8:11) Absalom dan Adonia mendapatkan 50 orang lelaki untuk berlari di hadapan kereta kuda mereka. Hal ini menunjukkan bahawa mereka mahu dihormati seperti seorang raja. Mereka juga mungkin ingin agar pemberontakan mereka terhadap raja nampaknya diakui.​—2Sa 15:1; 1Ra 1:5.

it-1 897

Hebron

Beberapa tahun kemudian, Absalom anak Daud, kembali ke Hebron dan berusaha untuk merampas takhta bapanya, tetapi dia tidak berjaya. (2Sa 15:7-10) Absalom memilih kota Hebron kerana kota bersejarah itu merupakan bekas ibu kota Yehuda dan juga kerana Hebron merupakan kota asalnya. Oleh itu, Absalom memulakan kempennya untuk merebut takhta bapanya di kota itu. Pada kemudian hari, cucu Daud, iaitu Raja Rehabeam, membina semula kota Hebron. (2Ta 11:5-10) Kemudian orang Babylon memusnahkan Yehuda. Selepas itu, beberapa orang Yahudi yang kembali daripada pembuangan menetap di Hebron (Kiryat-arba).​—Ne 11:25.

[Nota kaki]

a Untuk mengetahui lebih banyak tentang janji-janji Tuhan bagi masa depan dan mengapa Dia membenarkan penderitaan berlaku, sila lihat buku Apakah Sebenarnya Ajaran Bible? Buku ini boleh dimuat turun di www.pr2711.com/ms. [Kotak pada muka surat 6]

b Bukan semua barang dalam senarai ini sesuai dengan lokasi dan kawasan anda. Anda mungkin perlu menyediakan barang-barang lain.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi