Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
25-31 JULAI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 SAMUEL 23-24
“Adakah Pemberian Anda Suatu Pengorbanan?”
it-1 179
Arauna
Arauna menawarkan tempat tersebut, lembu-lembu jantan, dan peralatan kayu kepada Daud tanpa meminta bayaran. Tetapi Daud berkeras untuk membayarnya. Catatan di 2 Samuel 24:24 menunjukkan bahawa Daud membeli tempat mengirik tuaian dan lembu-lembu jantan itu dengan harga 50 syekel perak (atau 110 dolar). Namun catatan di 1 Tawarikh 21:25 mengatakan bahawa Daud membayar 600 syekel emas (atau kira-kira 77,000 dolar) untuk tempat itu. Penulis Dua Samuel hanya menulis tentang pembelian tempat mazbah dan bahan-bahan untuk korban yang dipersembahkan pada masa itu. Jadi harga pembelian yang disebutkan nampaknya hanya untuk perkara-perkara ini. Sebaliknya, penulis Satu Tawarikh menyebut tentang hal-hal yang berkaitan dengan Rumah Tuhan yang akan dibina di tempat itu dan mengaitkan pembelian tersebut dengan pembinaan Rumah Tuhan. (1Ta 22:1-6; 2Ta 3:1) Memandangkan Rumah Tuhan meliputi kawasan yang sangat luas, nampaknya jumlah 600 syekel emas digunakan untuk membeli kawasan yang luas itu dan bukannya sebahagian kecil yang diperlukan untuk mazbah yang didirikan oleh Daud pada mulanya.
1-7 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 RAJA-RAJA 1-2
“Adakah Anda Belajar daripada Kesilapan Anda?”
it-2 706
Salomo
Semasa mendengar bunyi muzik di Gihon dan seruan orang ramai, “Daulat Tuanku Raja Salomo,” Adonia dan mereka yang bersubahat dengannya melarikan diri dalam ketakutan. Salomo ingin memulakan pemerintahannya dalam keadaan yang damai. Maka, dia tidak membalas dendam terhadap Adonia kerana tidak ingin melakukan sesuatu yang buruk semasa pelantikannya sebagai raja. Andai kata Adonia yang menjadi raja, Salomo tentu akan kehilangan nyawanya. Kemudian, Adonia melarikan diri ke khemah suci untuk mencari perlindungan. Jadi Salomo mengutus orang untuk membawa Adonia menghadapnya. Salomo memberitahu Adonia bahawa dia akan terus hidup jika dia tidak berbuat jahat lalu menyuruhnya pulang ke rumah.—1Ra 1:41-53.
w05 1/7 29 ¶1
Sorotan daripada Buku Satu Raja-Raja
1:49-53; 2:13-25—Mengapakah Salomo menghukum mati Adonia setelah memberinya pengampunan? Meskipun Bat-syeba tidak sedar mengapa Adonia mahu meminta Abisag untuk dijadikan isterinya, Salomo tahu akan niat jahat Adonia. Adonia mungkin fikir bahawa jika dia mengambil Abisag sebagai isteri, dia dapat merebut takhta semula. Hal ini kerana menurut adat pada masa itu, Abisag dianggap sebagai gundik Daud walaupun Daud tidak bersetubuh dengannya, dan dia hanya akan menjadi milik pewaris sah Daud. Oleh sebab Salomo sedar bahawa permintaan Adonia itu adalah untuk merebut takhta, dia membatalkan pengampunannya.
Permata Rohani
w05 1/7 30 ¶1
Sorotan daripada Buku Satu Raja-Raja
2:37, 41-46. Betapa bahayanya jika seseorang berfikir bahawa dia boleh melanggar perintah Tuhan dan terlepas daripada hukuman. Orang yang sengaja menyimpang daripada ‘jalan yang menuju kehidupan’ akan menanggung akibat buruk kerana membuat keputusan yang tidak bijak itu.—Matius 7:14.
8-14 OGOS
Permata Rohani
w98 1/2 11 ¶15
Yehuwa—Tuhan yang Membuat Perjanjian
15 Selaras dengan janji-Nya, Yehuwa telah memberkati keturunan Abraham dengan menjadikan mereka sebuah bangsa dan memberi mereka Hukum Musa. Pada tahun 1473 SM, Yosua menggantikan Musa sebagai pemimpin dan membawa bangsa Israel memasuki tanah Kanaan. Janji Yehuwa untuk memberikan tanah Kanaan kepada keturunan Abraham menjadi kenyataan semasa tanah itu dibahagikan antara suku-suku Israel. Apabila orang Israel setia, Yehuwa menepati janji-Nya untuk memberi mereka kemenangan atas musuh-musuh mereka. Itulah yang berlaku, terutamanya semasa pemerintahan Raja Daud. Semasa pemerintahan anak Daud, iaitu Salomo, aspek ketiga perjanjian Tuhan dengan Abraham menjadi kenyataan. Bible kata, “Penduduk Yehuda dan Israel sangat ramai seperti butir-butir pasir di laut. Mereka semua makan, minum, dan bergembira.” Jelaslah, Yehuwa sekali lagi menunaikan janji-Nya kepada Abraham.—1 Raja-Raja 4:20.
15-21 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 RAJA-RAJA 5-6
“Bekerja dengan Sepenuh Hati dan Jiwa”
Tahukah Anda?
Kayu sedar dari Lebanon terkenal kerana tahan lasak, cantik, wangi, dan tidak mudah diserang serangga. Jadi Salomo menggunakan bahan yang bermutu tinggi untuk membina Rumah Tuhan. Dulu, kawasan pergunungan Lebanon penuh dengan pokok sedar. Namun kini, sedikit saja yang tinggal.
it-1 178
Kayu Sedar
Ribuan orang pekerja diperlukan untuk mendapatkan kayu sedar dalam jumlah yang banyak. Mereka perlu menebang pokok, menghantarnya ke Tirus atau Sidon di persisiran Mediterranean, mengikatnya menjadi rakit, lalu menghanyutkannya di laut mungkin sehingga Yope. Selepas itu, kayu itu diangkut dan dibawa ke Yerusalem. Aturan ini merupakan perjanjian antara Salomo dengan Hiram. (1Ra 5:6-18; 2Ta 2:3-10) Memandangkan bekalan kayu sedar berterusan semasa pemerintahan Salomo, Bible mengatakan bahawa jumlah “kayu sedar sama banyak seperti pokok ara.”—1Ra 10:27; bandingkan Yes 9:9, 10.
it-1 268
Rumah Tuhan
Raja Salomo telah mengerahkan 30,000 orang lelaki dari seluruh Israel untuk melakukan kerja di Lebanon. Setiap bulan, 10,000 orang daripada mereka dihantar ke sana mengikut giliran. Mereka menghabiskan masa sebulan di Lebanon, dan balik ke rumah masing-masing untuk dua bulan. (1Ra 5:13, 14) Selain itu, dia memilih 70,000 orang pekerja daripada bangsa lain untuk mengangkat barang yang berat, dan 80,000 orang untuk memotong batu. (1Ra 5:15; 9:20, 21; 2Ta 2:2) Tambahan lagi, Salomo melantik 550 orang sebagai mandur, dan barangkali 3,300 orang sebagai pembantu. (1Ra 5:16; 9:22, 23) Daripada jumlah itu, nampaknya 250 orang merupakan orang Israel, dan 3,600 orang ialah “penduduk asing” di Israel.—2Ta 2:17, 18.
Permata Rohani
g 5/12 17, kotak
Bible—Mencatatkan Nubuat dengan Tepat, Bahagian 1
TEPAT DARI SEGI CATATAN MASA
Satu contoh yang menunjukkan bahawa catatan masa dalam Bible adalah tepat terdapat di 1 Raja-Raja 6:1. Berkenaan masa Raja Salomo memulakan kerja pembinaan di Yerusalem, Bible kata, “Salomo mula membina Rumah Yehuwa pada bulan Ziv (iaitu, bulan yang kedua), pada tahun keempat dia menjadi raja Israel, iaitu pada tahun ke-480 [genap 479 tahun] selepas orang Israel meninggalkan Mesir.”
Menurut catatan Bible, tahun keempat pemerintahan Salomo adalah pada 1034 SM. Maka, 479 tahun sebelum itu ialah 1513 SM. Pada tahun itulah orang Israel dibebaskan dari Mesir.
22-28 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 RAJA-RAJA 7
“Pengajaran daripada Dua Batang Tiang”
“Melombong Tembaga dari Bukit-Bukit”
Raja Salomo telah menggunakan banyak tembaga dalam kerja pembinaan Rumah Tuhan di Yerusalem. Kebanyakan bahan ini diperoleh semasa bapanya Daud mengalahkan tentera Siria. (1 Tawarikh 18:6-8) “Tangki air yang besar, yang dipanggil Laut Tembaga” telah dibina untuk para imam membersihkan diri. Tangki itu dapat menampung sebanyak 66,000 liter air dan beratnya kira-kira 30 tan. (1 Raja-Raja 7:23-26, 44-46) Selain itu, terdapat dua batang tiang tembaga yang diletakkan di hadapan anjung Rumah Tuhan. Setiap tiang berukuran 8 m tinggi dan kepala tiang berukuran 2.2 m tinggi. Diameter tiang itu 1.7 m, ketebalannya 7.5 cm, dan bahagian tengahnya itu kosong. (1 Raja-Raja 7:15, 16; 2 Tawarikh 4:17) Memang mengagumkan untuk melihat jumlah tembaga yang digunakan dalam pembinaan Rumah Tuhan.
it-1 451
Boaz, II
Terdapat dua batang tiang tembaga yang diletakkan di hadapan anjung Rumah Tuhan. Tiang di sebelah utara dinamakan Boaz, yang mungkin bermaksud “Dengan Kekuatan.” Tiang yang berada di sebelah selatan pula dinamakan Yakhin, yang bermaksud “Semoga Dia [iaitu, Yehuwa] Menetapkan.” Jadi jika seseorang berdiri menghadap ke timur dan membaca nama-nama tiang dari kanan ke kiri, ungkapan yang terhasil ialah, “Semoga [Yehuwa] menetapkan [Rumah-Nya] dengan kekuatan.”—1Ra 7:15-21.
Permata Rohani
it-1 338
Basuh; Mandi
Yehuwa suci dan murni. Maka, orang yang ingin menyembah-Nya haruslah bersih secara fizikal. Hal ini ditonjolkan melalui aturan khemah suci dan kemudiannya aturan Rumah Tuhan. Semasa pelantikan Imam Agung Harun dan anak-anaknya, mereka membasuh diri sebelum mengenakan pakaian rasmi mereka. (Kel 29:4-9; 40:12-15; Im 8:6, 7) Semasa di khemah suci, para imam menggunakan air dari besen tembaga untuk membasuh tangan dan kaki mereka. Selepas Rumah Tuhan dibina oleh Salomo, para imam membersihkan diri dengan menggunakan tangki air yang besar, yang dipanggil Laut Tembaga. (Kel 30:18-21; 40:30-32; 2Ta 4:2-6) Pada Hari Pengampunan Dosa, imam agung harus mandi sebanyak dua kali. (Im 16:4, 23, 24) Orang yang membawa kambing yang menanggung dosa umat Tuhan, sisa korban binatang, dan lembu merah ke luar perkhemahan harus mandi dan mencuci pakaian mereka sebelum kembali ke kawasan perkhemahan.—Im 16:26-28; Bil 19:2-10.
29 OGOS–4 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 RAJA-RAJA 8
“Doa Salomo yang Tulus”
w09 15/11 9 ¶9-10
Tingkatkan Mutu Doa melalui Pembelajaran Bible
9 Yehuwa hanya mendengar doa yang ikhlas dari hati. Satu Raja-Raja bab 8 mencatatkan doa tulus Salomo yang diucapkan di hadapan umum semasa pentahbisan Rumah Tuhan pada 1026 SM. Salomo memuji Yehuwa dengan sepenuh hati selepas tabut perjanjian diletakkan di Bilik Maha Suci, dan awan serta kemuliaan Yehuwa memenuhi Rumah-Nya.
10 Semasa mengkaji doa Salomo, anda akan perhatikan bahawa dia berulang kali menyebut tentang hati manusia. Salomo mengakui bahawa hanya Yehuwa yang mengetahui isi hati seseorang. (1 Raj. 8:38, 39) Dalam doa itu juga, dia berkata bahawa seorang pendosa boleh ‘kembali kepada Tuhan dengan sepenuh hati.’ Apabila umat Tuhan ditawan oleh musuh, doa mereka akan didengari jika mereka menyembah-Nya dengan hati yang tidak berbelah bahagi. (1 Raj. 8:48, 58, 61) Jadi, doa kita mestilah tulus dari hati.
w99 15/1 17 ¶7-8
Berdoa dengan Sepenuh Hati
7 Tidak kira semasa berdoa di hadapan umum atau semasa mengucapkan doa peribadi, kita mesti tunjukkan kerendahan hati. (2 Tawarikh 7:13, 14) Raja Salomo menunjukkan sifat ini semasa berdoa untuk pentahbisan Rumah Tuhan di Yerusalem. Walaupun dia baru sahaja menyiapkan satu projek pembinaan yang sangat luar biasa, dia berdoa dengan rendah hati, “Adakah Tuhan akan betul-betul tinggal di bumi? Bahkan langit, ya seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi rumah yang telah aku bina ini!”—1 Raja-Raja 8:27.
8 Seperti Salomo, kita pun harus berdoa dengan rendah hati jika kita berpeluang mengucapkan doa di hadapan orang. Kita tidak mahu menarik perhatian dengan mengucapkan doa yang terlalu dramatik atau yang melebih-lebih. Sebaliknya, kita mahu menghalakan perhatian kepada Tuhan dan menunjukkan hormat melalui nada suara dan sikap kita. (Matius 6:5) Apa yang kita doakan juga menunjukkan sama ada kita rendah hati atau tidak. Kita tidak mahu seolah-olah menuntut Tuhan untuk bertindak mengikut keinginan kita. Sebaliknya, kita mahu memohon agar Yehuwa melaksanakan segalanya menurut kehendak-Nya. Itulah sikap yang ditunjukkan oleh pemazmur yang merayu dengan rendah hati, “Ya Yehuwa, kami memohon, selamatkanlah kami! Ya Yehuwa, kami merayu, berikanlah kemenangan kepada kami!”—Mazmur 118:25; Lukas 18:9-14.
Permata Rohani
w09 15/6 7 ¶4
Semangat yang Berkobar-Kobar untuk Rumah Yehuwa!
4 Pada zaman Israel, Rumah Tuhan terletak di Yerusalem. Tetapi sudah pasti Yehuwa tidak tinggal di sana. Dia sendiri berfirman, “Syurga ialah takhta-Ku dan bumi ialah alas kaki-Ku. Jadi, di manakah rumah yang akan kamu dirikan bagi-Ku? Di manakah tempat istirahat-Ku?” (Yes. 66:1) Sebenarnya, Rumah Tuhan pada zaman Salomo merupakan pusat ibadat kepada Yehuwa, dan di situlah doa disampaikan kepada-Nya.—1 Raj. 8:27-30.