Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2022 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
6-12 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 TAWARIKH 23-26
“Ibadat di Rumah Tuhan Sangat Teratur”
it-1 1419
Orang Lewi
Tugas-tugas orang Lewi diaturkan dengan baik oleh Daud. Dia melantik para penyelia, pegawai, hakim, penjaga gerbang, dan bendahara. Selain itu, sejumlah besar orang Lewi membantu para imam di Rumah Tuhan, halaman-halamannya, dan bilik makan sehubungan dengan persembahan korban, penyucian, tugas-tugas pengawal, dan kerja menimbang serta mengukur. Para pemuzik daripada suku Lewi diaturkan dalam 24 kumpulan, sama seperti kumpulan-kumpulan imam. Tugas mereka ditentukan melalui undi dan mereka akan berkhidmat secara bergilir-gilir. Bagi para penjaga gerbang, tugas mereka juga ditentukan dengan cara yang sama.—1Ta 23, 25, 26; 2Ta 35:3-5, 10.
it-1 1030
Imam
Para imam yang bertugas di Rumah Tuhan diaturkan untuk berkhidmat di bawah pegawai yang berbeza. Tugas mereka ditentukan melalui undi. Terdapat 24 kumpulan, dan setiap kumpulan akan berkhidmat dua kali setahun untuk tempoh satu minggu. Nampaknya semua imam bertugas semasa musim perayaan kerana terdapat beribu-ribu korban yang dipersembahkan, contohnya semasa upacara perasmian Rumah Tuhan. (1Ta 24:1-18, 31; 2Ta 5:11; bandingkan 2Ta 29:31-35; 30:23-25; 35:10-19.) Seorang imam boleh berkhidmat pada masa lain asalkan dia tidak mengganggu kerja yang sudah ditugaskan kepada para imam tertentu. Menurut tradisi guru agama Yahudi, terdapat begitu banyak sekali imam ketika Yesus hidup di bumi. Maka, setiap kumpulan harus dibahagikan mengikut keluarga masing-masing, dan setiap keluarga akan berkhidmat selama satu atau lebih hari berdasarkan jumlah mereka.
it-2 174
Muzik
Semasa membuat persiapan untuk Rumah Tuhan, Daud telah memilih 4,000 orang Lewi dan menugaskan mereka sebagai pemuzik. (1Ta 23:4, 5) Daripada jumlah itu, 288 orang ‘telah dilatih untuk bernyanyi bagi Yehuwa, dan mereka semua mahir dalam tugas mereka.’ (1Ta 25:7) Aturan ini telah diselia oleh tiga orang pemuzik yang mahir, iaitu Asaf, Heman, dan Yedutun (yang nampaknya juga dipanggil Etan). Ketiga-tiga lelaki itu merupakan keturunan daripada tiga orang anak Lewi, iaitu Gersom, Kehat, dan Merari. Maka, terdapat wakil daripada ketiga-tiga keluarga itu dalam bahagian muzik di Rumah Tuhan. (1Ta 6:16, 31-33, 39-44; 25:1-6) Asaf, Heman, dan Yedutun mempunyai sejumlah 24 orang anak lelaki, dan mereka juga antara 288 orang pemuzik yang mahir itu. Setiap anak dilantik melalui undi untuk menjadi pemimpin salah satu kumpulan pemuzik. Di bawah penyeliaannya terdapat 11 pemuzik lagi yang “mahir dalam tugas mereka.” Ada yang merupakan anak lelaki mereka sendiri ataupun orang Lewi yang lain. Seperti para imam, 288 pemuzik yang mahir itu ([1 + 11] × 24 = 288) juga dibahagikan kepada 24 kumpulan. Selain 288 pemuzik yang mahir, terdapat 3,712 orang “yang baru belajar” dan mempunyai tahap kemahiran yang berbeza-beza. Jika mereka turut dibahagikan kepada 24 kumpulan, setiap kumpulan akan mempunyai kira-kira 155 orang. Maksudnya, nisbah pemuzik yang mahir kepada pemuzik yang baru belajar ialah 1 kepada kira-kira 13 orang. (1Ta 25:1-31) Selain daripada kumpulan pemuzik orang Lewi, terdapat juga sekumpulan imam yang merupakan pemain trompet.—2Ta 5:12; bandingkan Bil 10:8.
it-2 417
Penjaga Pintu Gerbang
Di Rumah Tuhan. Tidak lama sebelum kematiannya, Raja Daud telah mengaturkan orang Lewi dan pekhidmat lain di Rumah Tuhan. Sejumlah 4,000 orang diberikan tugas sebagai penjaga pintu. Mereka akan bertugas dalam kumpulan masing-masing selama tujuh hari. Mereka ditugaskan untuk mengawal Rumah Tuhan dan memastikan pintunya dibuka dan ditutup pada masa yang ditetapkan. (1Ta 9:23-27; 23:1-6) Selain bertugas sebagai pengawal, ada juga yang harus mengendalikan sumbangan bagi Rumah Tuhan yang diberikan oleh rakyat. (2Ra 12:9; 22:4) Ketika Imam Agung Yehoyada mengurapi Yehoas sebagai raja, pengawal-pengawal khas telah ditugaskan untuk menjaga pintu gerbang Rumah Tuhan untuk melindungi Yehoas daripada Permaisuri Atalya. (2Ra 11:4-8) Semasa Raja Yosia ingin melenyapkan ibadat palsu, para penjaga pintu di Rumah Tuhan telah membantunya mengeluarkan perkakas yang digunakan untuk penyembahan Baal. Kemudian, semuanya dibakar di luar kota Yerusalem.—2Ra 23:4.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
Adakah Tuhan Mempunyai Sebuah Organisasi?
▪ Orang Kristian sejati diaturkan untuk melakukan kerja yang khusus. (Matius 24:14; 1 Timotius 2:3, 4) Yesus menyuruh pengikutnya untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan kepada semua bangsa. Kerja ini mustahil dilakukan tanpa penyeliaan sebuah organisasi antarabangsa. Fikirkan contoh ini. Anda sendiri dapat menyediakan makanan untuk satu orang dengan mudah. Tetapi bayangkan jika anda harus menyediakan makanan bukan sahaja untuk ribuan orang, tetapi jutaan orang. Untuk berbuat demikian, anda harus mengatur sekumpulan orang untuk melakukan kerja-kerja yang diperlukan. Begitu juga, untuk melaksanakan amanah Yesus, pengikutnya harus “berganding bahu” atau “bersatu padu” untuk berkhidmat kepada Tuhan. (Zefanya 3:9, nota kaki) Dapatkah kerja yang melibatkan pelbagai bangsa, suku, dan bahasa dilakukan tanpa sebuah organisasi yang bersatu padu? Jawapannya jelas, bukan?
▪ Orang Kristian sejati diaturkan untuk menyokong dan menggalakkan satu sama lain. Pendaki gunung yang mengembara seorang diri boleh membuat keputusan ke mana dia ingin pergi dan tidak perlu menjaga pendaki lain yang kurang berpengalaman. Tetapi jika dia tercedera atau menghadapi masalah lain, dia akan berada dalam bahaya kerana tiada orang yang dapat membantunya. Maka, adalah tidak bijak untuk mengasingkan diri. (Amsal 18:1) Demikian juga, untuk melaksanakan perintah Yesus, orang Kristian harus membantu dan menyokong satu sama lain. (Matius 28:19, 20) Arahan, latihan, dan galakan berdasarkan Bible diberikan melalui sidang Kristian. Ini membantu saudara saudari untuk terus giat dan tidak berputus asa dalam khidmat mereka. Sekiranya tiada aturan perjumpaan Kristian, dari manakah seseorang dapat menerima ajaran dan bimbingan rohani?—Ibrani 10:24, 25.
▪ Orang Kristian sejati diaturkan untuk menyembah Tuhan dengan bersatu padu. Apabila biri-biri Yesus mendengar suaranya, mereka menjadi “satu kawanan” di bawah pimpinannya. (Yohanes 10:16) Mereka tidak tercerai-berai lalu membentuk kumpulan dan gereja sendiri, atau mempunyai ajaran yang berbeza. Sebaliknya, mereka “seia sekata dalam percakapan” dan bersatu padu. (1 Korintus 1:10) Untuk tetap bersatu, pengikut Yesus haruslah diaturkan. Maka, sebuah organisasi yang teratur diperlukan supaya persaudaraan Kristian dapat menikmati perpaduan dan diberkati Tuhan.—Mazmur 133:1, 3.
Oleh kerana kasih terhadap Tuhan dan kebenaran Bible, jutaan orang telah menyertai organisasi yang memenuhi tiga syarat tersebut dan syarat lain dalam Bible. Sebagai sebuah kumpulan yang teratur dan bersatu padu, Saksi-Saksi Yehuwa berusaha melakukan kehendak Tuhan. Mereka yakin akan janji Tuhan ini: “Aku akan tinggal bersama mereka dan menyertai mereka. Aku akan menjadi Tuhan mereka dan mereka akan menjadi umat-Ku.” (2 Korintus 6:16) Anda juga dapat menikmati berkat yang menakjubkan ini jika anda menyembah Tuhan Yehuwa bersama organisasi-Nya.
13-19 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 1 TAWARIKH 27-29
“Nasihat yang Pengasih daripada Seorang Bapa”
w05 15/2 19 ¶9
Melindungi Identiti Kristian Anda
9 Membuktikan kepada diri sendiri bahawa Bible mengandungi kebenaran. Dengan memiliki pengetahuan yang tepat tentang Bible, kita dapat memelihara identiti Kristian kita. (Filipi 1:9, 10) Kita semua, tidak kira tua atau muda, harus membuktikan kepada diri sendiri bahawa ajaran Bible yang kita percayai ialah kebenaran. Paulus menggesa orang Kristian, “Periksalah semua perkara, dan berpautlah pada apa yang baik.” (1 Tesalonika 5:21) Ibu bapa Kristian berusaha membesarkan anak-anak dalam kebenaran. Namun, anak-anak perlu sedar bahawa mereka harus membina iman sendiri dan tidak hanya bergantung pada ibu bapa mereka. Daud menasihati anaknya Salomo, “Hendaklah kamu mengenali Tuhan ayahandamu. Sembahlah Dia dengan sepenuh hati.” (1 Tawarikh 28:9) Salomo tidak dapat membina iman sendiri hanya dengan melihat iman bapanya. Dia sendiri harus berusaha untuk mengenali Yehuwa, dan itulah yang dilakukannya. Dia memohon kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, “Berikanlah kebijaksanaan dan pengetahuan kepadaku agar aku dapat memimpin umat-Mu.”—2 Tawarikh 1:10.
20-26 MAC
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 1-4
“Raja Salomo Membuat Keputusan yang Salah”
it-1 281
Askar
Pemerintahan Salomo merupakan lembaran baharu bagi sejarah askar Israel. Walaupun mereka menikmati kedamaian, Salomo telah melipatgandakan jumlah kuda dan kereta kuda. Kebanyakan kuda itu telah dibeli dari Mesir. Kemudian, banyak kota harus dibangunkan di seluruh kawasan pemerintahannya untuk menempatkan pasukan-pasukan pertempuran ini. (1Ra 4:26; 9:19; 10:26, 29; 2Ta 1:14-17) Namun, Yehuwa tidak pernah mencurahkan berkat-Nya ke atas perbuatan Salomo ini. Selepas Salomo mangkat, kerajaan Israel terbahagi menjadi dua dan kemegahan askar Israel turut merosot. Seperti yang ditulis oleh Yesaya, “Malanglah mereka yang pergi ke Mesir untuk meminta bantuan! Mereka bergantung pada kuda, berharap kepada kuda perang yang kuat, dan menaruh keyakinan kepada kereta kuda yang banyak. Mereka tidak bersandar pada Tuhan Israel Yang Suci; mereka tidak mencari Yehuwa.”—Yes 31:1.
it-1 1249
Kereta Kuda
Sebelum pemerintahan Salomo, bangsa Israel tidak pernah mempunyai pasukan kereta kuda yang besar. Hal ini kerana Yehuwa telah memerintahkan raja supaya tidak melipatgandakan jumlah kuda, seolah-olah keselamatan bangsa itu bergantung padanya. Maka, hal ini juga mengehadkan penggunaan kereta kuda kerana kenderaan ini memerlukan kuda untuk menariknya. (Ul 17:16) Apabila Samuel memberikan amaran tentang beban yang akan diletakkan oleh raja ke atas rakyat, dia berkata, “Raja itu akan mengambil anak-anak lelakimu untuk dijadikan anggota pasukan kereta kuda.” (1Sa 8:11) Absalom dan Adonia berhasrat untuk merampas takhta, dan mereka telah membuat kereta kuda untuk diri sendiri serta menyuruh 50 orang untuk berlari di hadapannya. (2Sa 15:1; 1Ra 1:5) Semasa Daud mengalahkan raja Zoba, dia tidak membunuh 100 ekor kuda yang digunakan untuk menarik kereta kuda.—2Sa 8:3, 4; 10:18.
Raja Salomo pula menambah kereta kudanya untuk menguatkan pasukan tenteranya. Bible kata bahawa dia mempunyai 1,400 buah kereta kuda. (1Ra 10:26, 29; 2Ta 1:14, 17) Selain Yerusalem, terdapat kota lain yang digunakan untuk menyimpan kereta kuda dan bekalan perang.—1Ra 9:19, 22; 2Ta 8:6, 9; 9:25.
Permata Rohani
w05 1/12 19 ¶6
Sorotan daripada Buku Dua Tawarikh
1:11, 12. Doa Salomo kepada Yehuwa menunjukkan bahawa dia sangat mementingkan hikmat dan pengetahuan. Doa kita juga menunjukkan isi hati kita dan apa yang paling penting bagi kita. Maka, kita patut berfikir secara mendalam tentang apa yang kita doakan.
27 MAC–2 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 5-7
“Hati-Ku Akan Selalu Di Sana”
w02 15/11 5 ¶1
Janganlah Abaikan Perjumpaan Kita
Semasa Daud memerintah sebagai raja di Yerusalem, dia meluahkan bahawa dia ingin sekali membina sebuah rumah untuk memuliakan Yehuwa. Tetapi oleh sebab Daud telah banyak kali berperang dan menumpahkan darah, Yehuwa memberitahunya, “Engkau tidak akan membina sebuah rumah untuk memuliakan nama-Ku.” Sebaliknya, anaknya Salomo yang akan membina Rumah Tuhan. (1 Tawarikh 22:6-10) Kerja pembinaan Rumah Tuhan telah mengambil masa tujuh tahun setengah untuk diselesaikan. Kemudian pada 1026 SM, Salomo pun mentahbiskan Rumah Tuhan. Yehuwa memberikan perkenan-Nya atas projek itu, lalu Dia berfirman, “Aku telah menyucikan rumah yang engkau bina dengan meletakkan nama-Ku secara kekal di situ. Aku akan sentiasa menjaga dan melindunginya.” (1 Raja-Raja 9:3) Selagi orang Israel tetap setia kepada Yehuwa, Dia akan terus menunjukkan perkenan-Nya. Tetapi, jika mereka menyimpang daripada haluan Yehuwa yang benar, Dia tidak akan berkenan kepada tempat itu dan ‘Rumah-Nya akan menjadi timbunan batu.’—1 Raja-Raja 9:4-9; 2 Tawarikh 7:16, 19, 20.
it-1 269
Rumah Tuhan
Sejarah. Rumah Tuhan ini wujud sehingga 607 SM, iaitu semasa askar-askar Raja Nebukadnezar dari Babilon memusnahkannya. (2Ra 25:9; 2Ta 36:19; Yer 52:13) Oleh sebab bangsa Israel telah menjadi murtad, Tuhan mengizinkan bangsa-bangsa lain untuk menyerang Yehuda dan Yerusalem. Ada kalanya, para musuh telah mengambil harta dari Rumah Tuhan. Selain itu, orang Israel telah mengabaikan tempat itu buat suatu tempoh waktu. Kira-kira 33 tahun selepas Rumah Tuhan ditahbiskan, iaitu semasa pemerintahan Rehabeam, Raja Sisak dari Mesir telah merampas harta dari Rumah Yehuwa (993 SM). (1Ra 14:25, 26; 2Ta 12:9) Raja Asa (977-937 SM) amat mementingkan Rumah Tuhan. Tetapi untuk melindungi Yerusalem, dia telah membuat keputusan yang salah dengan mengambil perak dan emas dari Rumah Tuhan, lalu memberinya kepada Ben-hadad I, iaitu raja Siria. Dia berharap agar raja Siria membatalkan perjanjiannya dengan Raja Baesa dari Israel.—1Ra 15:18, 19; 2Ta 15:17, 18; 16:2, 3.
Permata Rohani
w10 1/12 11 ¶7
Tuhan “Benar-Benar Tahu Isi Hati Manusia”
Doa Salomo amat melegakan hati kita. Orang lain tidak dapat membaca hati kita atau memahami dengan sepenuhnya “penderitaan dan keperitan” kita. (Amsal 14:10) Tetapi Yehuwa tahu segala isi hati kita, dan Dia sangat prihatin terhadap kita. Dengan membuka hati kita kepada-Nya dalam doa, kita dikuatkan dan beban kita seolah-olah menjadi lebih ringan. Bible kata, “Lemparkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Tuhan, kerana Dia mengambil berat tentang kamu.”—1 Petrus 5:7.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
w93 1/2 31
Pertanyaan Pembaca
Jika seorang Kristian jatuh sakit atau dalam perjalanan sehingga tidak dapat hadir sambutan Peringatan kematian Kristus, haruskah dia menyambutnya satu bulan kemudian?
Di Israel kuno, Perayaan Paska disambut setiap tahun pada hari ke-14 bulan pertama, iaitu bulan Nisan (atau, Abib). Tetapi, terdapat aturan khusus ini yang dinyatakan di Bilangan 9:10, 11: “Beritahulah umat Israel, ‘Jika seseorang dalam kalangan kamu atau keturunan kamu menjadi najis kerana tersentuh mayat, atau berada dalam perjalanan jauh, orang itu masih perlu menyambut Perayaan Paska untuk menghormati Aku, Yehuwa. Orang itu harus merayakan Paska pada hari ke-14, bulan kedua [iaitu bulan Iyyar, atau Ziv], pada waktu senja. Dia harus memakan daging korban Paska bersama sayur pahit dan roti tidak beragi.’”
Perhatikan bahawa hal ini tidak bermaksud dua tarikh telah ditetapkan untuk merayakan Paska (14 Nisan atau 14 Ziv). Sebaliknya, terdapat syarat tertentu yang mengizinkan seseorang memanfaatkan aturan ini. Maka, orang Israel tidak boleh memilih tarikh sesuka hati. Aturan untuk menyambut Paska pada bulan Ziv hanyalah untuk orang Israel yang dalam keadaan najis ketika upacara Paska pada 14 Nisan, ataupun dia berada sangat jauh dari tempat perayaan biasanya diadakan.
Satu-satunya contoh yang tercatat mengenai penggunaan aturan ini adalah ketika pemerintahan Raja Hizkia. Dia ingin menggalakkan umat Tuhan untuk menyambut semula Perayaan Roti Tidak Beragi. Tapi, memandangkan tidak cukup masa untuk mempersiapkannya pada bulan pertama (para imam belum bersedia dan rakyat belum berkumpul), perayaan itu akhirnya diadakan pada hari ke-14 bulan kedua.—2 Tawarikh 29:17; 30:1-5.
Selain situasi luar biasa yang disebut tadi, orang Yahudi selalunya menyambut Paska pada tarikh asal yang ditetapkan Tuhan. (Keluaran 12:17-20, 41, 42; Imamat 23:5) Yesus dan pengikutnya juga menyambut Paska pada tarikh itu, selaras dengan Hukum Musa. Mereka tidak meremehkan aturan ini. Lukas menulis, “Pada Perayaan Roti Tidak Beragi, semasa binatang untuk Perayaan Paska dikorbankan, Yesus berkata kepada Petrus dan Yohanes, ‘Pergilah dan sediakanlah jamuan Paska untuk kita.’”—Lukas 22:7, 8.
Pada hari tersebut, Yesus telah mengasaskan sambutan tahunan yang dikenali sebagai Perjamuan Malam Tuan. Sambutan ini tidak boleh diremehkan oleh orang Kristian, dan merupakan acara tahunan yang terpenting bagi Saksi-Saksi Yehuwa. Mengapa? Hal ini kerana Yesus sendiri telah memberikan arahan ini: “Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” (Lukas 22:19) Maka, berbulan-bulan sebelum sambutan ini, Saksi-Saksi Yehuwa akan membuat rancangan untuk memastikan mereka dapat menghadirinya. Perjamuan Malam Tuan pada tahun ini akan disambut pada hari Selasa, 6 April 1993, selepas matahari terbenam.
Namun, ada kalanya mungkin berlaku keadaan yang luar biasa sehingga menyebabkan seorang Kristian tidak dapat hadir Peringatan. Misalnya, dia mungkin jatuh sakit atau mengalami situasi yang tidak terduga semasa membuat perjalanan. Bagaimanakah situasi itu harus ditangani?
Biasanya, semasa sambutan Peringatan, mereka yang diurapi kuasa suci Tuhan untuk hidup di syurga akan makan roti tidak beragi dan minum wain. (Matius 26:26-29; Lukas 22:28-30) Jika seseorang yang biasanya mengambil bahagian setiap tahun tidak dapat hadir pada tahun ini kerana dia sakit sehingga tidak dapat meninggalkan rumahnya atau hospital, penatua dari sidang tempatan akan mengatur agar salah seorang penatua membawa roti dan wain kepadanya, membahas ayat-ayat Bible yang sesuai bagi acara tersebut, dan mengedarkan lambang-lambang itu. Jika seorang Kristian terurap berada jauh dari sidang asalnya, dia harus mengatur untuk menghadiri sambutan Peringatan di sidang berdekatannya.
Maka, hanya dalam situasi yang benar-benar luar biasa, barulah seorang Kristian terurap akan menyambut Perjamuan Malam Tuan 30 hari selepas tarikh asal (atau satu bulan mengikut kalender lunar). Hal ini selaras dengan perintah di Bilangan 9:10, 11 dan contoh di 2 Tawarikh 30:1-3, 15.
Bagi “biri-biri lain” pula, harapan masa depan mereka ialah kehidupan kekal di bumi. Maka, mereka tidak perlu makan roti atau minum wain. (Yohanes 10:16) Namun demikian, mereka masih menganggap sambutan Peringatan sebagai sesuatu yang amat penting dan akan berusaha menghadirinya. Sekiranya seseorang jatuh sakit atau sedang membuat perjalanan dan tidak dapat menyambut acara itu bersama sidang, dia boleh membaca ayat-ayat Bible yang berkaitan dengan acara itu (termasuk peristiwa Yesus mengasaskan sambutan tersebut), dan berdoa agar Yehuwa memberkati acara itu yang diadakan di seluruh dunia. Tetapi, tiada aturan untuk perjumpaan khas atau perbincangan ayat Bible yang perlu dibuat sebulan kemudian.
10-16 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 8-9
“Ratu dari Syeba Menghargai Kebijaksanaan”
w99 1/11 20 ¶4
Memberi dengan Murah Hati
Sudah pasti, ratu dari Syeba telah membuat banyak pengorbanan supaya dapat mengunjungi Salomo. Nampaknya Syeba terletak di kawasan Republik Yemen hari ini. Jika begitu, ratu tersebut dan rombongan untanya telah mengembara lebih daripada 1,600 km untuk sampai di Yerusalem. Menurut Yesus, ratu dari Syeba telah “datang dari hujung bumi.” Mengapakah dia sanggup membuat perjalanan yang jauh dan susah itu? “Untuk mendengar kata-kata Salomo yang bijaksana.”—Lukas 11:31.
w99 1/7 30 ¶4-5
Lawatan yang Diberkati dengan Melimpah
Ratu dari Syeba “datang ke Yerusalem bersama rombongan yang sangat besar dan unta-unta yang membawa minyak balsam, batu-batu berharga, dan emas yang sangat banyak.” (1 Raja-Raja 10:2a) Ada yang mengatakan bahawa “rombongan” itu turut merangkumi pengawal yang bersenjata. Hal ini tidak menghairankan kerana ratu itu merupakan orang yang termasyhur. Lebih-lebih lagi, dia sedang membawa harta yang berjumlah jutaan dolar pada hari ini.
Apakah tujuan lawatannya? Ratu dari Syeba telah mendengar tentang kemasyhuran Salomo “yang berkait rapat dengan nama Yehuwa.” Maka, ini bukanlah lawatan untuk tujuan perdagangan. Sebaliknya, dia ingin mendengar kata-kata hikmat daripada Salomo, dan barangkali juga untuk belajar tentang Tuhan Yehuwa. Selain itu, besar kemungkinan ratu dari Syeba merupakan keturunan Sem atau Ham, iaitu anak-anak Nuh yang menyembah Yehuwa. Jadi, dia mungkin ingin tahu lebih banyak lagi tentang kepercayaan nenek moyangnya.
w99 1/7 30-31
Lawatan yang Diberkati dengan Melimpah
Ratu Syeba “berasa sangat kagum” dan terpukau dengan kebijaksanaan Salomo serta kemakmuran kerajaannya. (1 Raja-Raja 10:4, 5) Sesetengah orang berpendapat bahawa ungkapan “sangat kagum” boleh bermaksud “menahan nafas.” Seorang cendekiawan bahkan berkata bahawa ratu Syeba telah pengsan. Tidak kira apa pun yang berlaku, kita tahu bahawa ratu Syeba begitu kagum dengan apa yang dia lihat dan dengar. Dia mengatakan bahawa para pegawai Salomo memang berbahagia kerana berpeluang mendengar kebijaksanaan Salomo. Dia juga memuji Yehuwa kerana melantik Salomo sebagai raja. Kemudian, dia memberikan banyak hadiah yang mahal kepada Salomo. Emas yang diberikannya berjumlah kira-kira 40,000,000 dolar menurut nilai wang hari ini. Salomo juga telah “memberi ratu itu segala yang diminta dan diingini olehnya.”—1 Raja-Raja 10:6-13.
it-2 710
Salomo
Selepas melihat keindahan Rumah Tuhan dan istana Salomo, cara kerja dan pakaian para pelayannya, serta korban bakar yang sering dipersembahkannya, “ratu itu berasa sangat kagum.” Dia kata, “Apa yang beta dengar itu tidak separuh pun daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuanku jauh lebih banyak daripada apa yang telah beta dengar.” Kemudian dia mengatakan bahawa para pegawai Salomo memang berbahagia kerana mempunyai seorang raja yang sentiasa menegakkan keadilan dan melakukan apa yang benar. Dia juga memuji Yehuwa kerana menunjukkan kasih kepada umat Israel dengan melantik Salomo sebagai raja.—1Ra 10:4-9; 2Ta 9:3-8.
Permata Rohani
it-2 940
Takhta
Satu-satunya takhta yang digambarkan dengan terperinci ialah takhta Salomo. (1Ra 10:18-20; 2Ta 9:17-19) Nampaknya takhta ini diletakkan di “Dewan Takhta,” salah sebuah bangunan yang berada di Gunung Moria di Yerusalem. (1Ra 7:7) Salomo membuat ‘sebuah takhta yang besar daripada gading dan melapisinya dengan emas murni. Bahagian atas takhta itu berbentuk bulat. Takhta itu mempunyai tempat letak tangan pada kedua-dua sisinya.’ Gading mungkin digunakan sebagai bahan asas takhta ini. Tetapi teknik pembinaan yang digunakan di Rumah Tuhan menunjukkan bahawa besar kemungkinan, takhta ini diperbuat daripada kayu, dan diliputi emas dan kepingan gading. Maka, takhta itu kelihatan seolah-olah diperbuat sepenuhnya daripada gading dan emas. Setelah menyebut tentang enam anak tangga yang menuju ke takhta, Bible menyatakan, “Terdapat sebuah patung singa yang berdiri pada kedua-dua sisi itu. Pada hujung kiri dan kanan tiap-tiap anak tangga itu, ada sebuah patung singa; kesemuanya ada 12 buah patung singa.” (2Ta 9:17-19) Penggunaan singa memang sesuai untuk melambangkan kekuasaan dan hak untuk memerintah. (Kej 49:9, 10; Why 5:5) Barangkali 12 buah patung singa itu melambangkan 12 suku Israel, dan menggambarkan ketundukan dan sokongan mereka kepada raja. Selain itu, terdapat sebuah bangku kaki emas yang disambungkan pada takhta itu. Gambaran takhta Salomo sememangnya amat mengagumkan. Tidak pernah ada penemuan arkeologi, catatan kuno, mahupun karya seni pada zaman itu yang menandingi takhta itu. Oleh itu, penulis Bible dengan tepat mengatakan, “Tidak ada kerajaan lain yang mempunyai takhta seperti itu.”—2Ta 9:19.
17-23 APRIL
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | 2 TAWARIKH 10-12
“Meraih Manfaat daripada Nasihat yang Bijak”
it-2 638
Rehabeam
Sikap Rehabeam yang angkuh telah menyebabkan kebanyakan rakyat rasa tersisih dan tidak lagi menyokongnya. Akhirnya, hanya suku Yehuda, suku Benyamin, semua imam dan orang Lewi, dan segelintir orang daripada 10 suku Israel, yang masih berpihak kepada Rehabeam.—1Ra 12:16, 17; 2Ta 10:16, 17; 11:13, 14, 16.
Permata Rohani
it-1 864
Roh Jahat yang Berupa Kambing
Kata-kata di Yosua 24:14 menunjukkan bahawa orang Israel telah dipengaruhi oleh penyembahan palsu semasa di Mesir. Buku Yehezkiel pula menyingkapkan bahawa orang Israel masih terikat kepada amalan kafir itu walaupun mereka sudah lama meninggalkan Mesir. (Yeh 23:8, 21) Menurut sesetengah cendekiawan, arahan Tuhan kepada orang Israel di padang belantara untuk tidak “mempersembahkan korban kepada roh-roh jahat yang berupa kambing” (Im 17:1-7), dan kisah tentang Yerobeam yang telah melantik imam di “tempat-tempat tinggi untuk memuja roh-roh jahat yang berupa kambing dan patung lembu” (2Ta 11:15) menunjukkan bahawa penyembahan kambing yang sering diamalkan di Mesir, terutamanya di Mesir Hilir, turut diamalkan oleh orang Israel. Menurut Herodotus (II, 46), kepercayaan orang Yunani kepada Dewa Pan dan juga kepada para satir (dewa-dewa hutan yang ada nafsu seks yang kuat) berasal daripada ibadat orang Mesir. Makhluk-makhluk ini kemudiannya digambarkan dengan tanduk, ekor kambing, dan kaki kambing. Sesetengah orang berpendapat bahawa gambaran dewa kafir yang berbadan separuh binatang ini telah mempengaruhi cara Syaitan digambarkan, iaitu sebagai makhluk yang bertanduk, berekor, dan berkuku belah. Gambaran Syaitan ini turut diterima secara meluas dalam kalangan orang Kristian pada Zaman Gelap (sekitar abad ke-6 hingga abad ke-11 Masihi).
Namun, maksud sebenar “makhluk berbulu” (seʽi·rimʹ) tidak dinyatakan dalam Bible. Walaupun ada yang berpendapat bahawa itu merujuk kepada kambing harfiah atau patung yang berupa kambing, tiada ayat Bible yang secara langsung menyokong pendapat itu. Istilah ini mungkin digunakan untuk menunjukkan bahawa dalam pandangan penyembahnya, tuhan-tuhan palsu itu mungkin dianggap berbulu atau berupa seperti kambing. Ataupun, istilah “kambing” juga mungkin merujuk kepada perasaan benci dan muak terhadap berhala, sepertimana istilah “tahi” digunakan untuk ungkapan ‘berhala yang menjijikkan.’ Tetapi hal ini tidak bermaksud bahawa berhala itu betul-betul diperbuat daripada tahi.—Im 26:30; Ul 29:17.
JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR
be 69 ¶4-5
Ketahui Cara untuk Menjawab Setiap Orang
Apabila seorang pelajar Bible atau rakan seiman menanya anda tentang apa yang harus dibuat dalam situasi tertentu, apakah yang akan anda jawab? Mungkin anda tahu apa keputusan anda. Tetapi, setiap orang harus memikul tanggungjawab untuk membuat keputusan sendiri dalam hidup. (Gal. 6:5) Rasul Paulus berusaha menggalakkan orang untuk “beriman dan patuh kepada [Tuhan].” (Rm. 16:26) Kita juga boleh mencontohi teladan baiknya semasa memberikan nasihat. Jika seseorang membuat keputusan semata-mata untuk menyenangkan hati guru Biblenya atau orang lain, dia sebenarnya tidak menunjukkan iman dalam hidupnya. (Gal. 1:10) Oleh itu, adalah tidak bijak bagi kita untuk terus memberitahu mereka apa yang patut dibuat.
Sebaliknya, kita boleh menghalakan perhatian mereka kepada prinsip Bible yang sesuai dan kisah Bible yang berkaitan dengan situasinya. Kita juga boleh menunjukkan cara untuk mencari maklumat tersebut supaya dia dapat buat penyelidikan sendiri. Satu lagi cara adalah dengan membincangkan prinsip Bible tertentu dan pengajaran daripada kisah Bible tanpa menyebut secara spesifik tentang situasinya. Tanyalah dia sama ada terdapat pengajaran yang dapat membantunya untuk membuat keputusan yang bijak. Galakkannya untuk fikirkan prinsip dan contoh Bible, serta renungkan keputusan mana yang akan menyenangkan Yehuwa. Dengan itu, kita sedang membantunya melatih ‘daya penilaiannya untuk membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.’—Ibr. 5:14.