PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr23 Julai ms. 1-8
  • Rujukan untuk “Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk “Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian”
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2023
  • Tajuk Kecil
  • 3-9 JULAI
  • 10-16 JULAI
  • 17-23 JULAI
  • 24-30 JULAI
  • 31 JULAI–6 OGOS
  • 7-13 OGOS
  • 14-20 OGOS
  • 21-27 OGOS
  • 28 OGOS–3 SEPTEMBER
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2023
mwbr23 Julai ms. 1-8

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

© 2023 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania

3-9 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | EZRA 4-6

Permata Rohani

w06 15/1 19 ¶2

Sorotan daripada Buku Ezra

4:1-3. Orang Yahudi yang setia telah menolak tawaran yang akan menyebabkan mereka membentuk ikatan dengan orang yang menyembah tuhan palsu. (Keluaran 20:5; 34:12) Para penyembah Yehuwa hari ini juga tidak ikut serta dalam kegiatan yang melibatkan amalan agama-agama lain.

10-16 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | EZRA 7-8

“Kelakuan Ezra Memuliakan Yehuwa”

w00 1/10 14 ¶8

Pembelajaran Sangat Menyeronokkan dan Membawa Manfaat

8 Ya, kita harus memupuk kasih yang mendalam terhadap Firman Yehuwa. Kita seharusnya berasa gembira untuk merenungkan ayat-ayat Bible, serta menyelami dan menumpukan perhatian yang sepenuhnya kepada ajaran Yehuwa. Untuk melakukan hal ini, kita perlu berdoa dan mengekhaskan waktu untuk membuat perenungan. Mengenai Ezra, Bible kata, “[Dia] telah mempersiapkan hatinya untuk mempelajari Hukum Yehuwa. Dia melakukan apa yang terkandung dalam Hukum itu, dan mengajarkan peraturan dan perintah dalamnya kepada orang Israel.” (Ezra 7:10) Ya, terdapat tiga sebab Ezra mempersiapkan hatinya: Untuk belajar, menerapkan ajaran Yehuwa, dan mengajarnya kepada orang lain. Kita juga harus mencontohi teladan Ezra.

si 75 ¶5

Buku Bible Nombor 13​—1 Tawarikh

5 Sememangnya, Ezra ialah orang yang paling layak dan sesuai untuk mengumpulkan maklumat sejarah dengan tepat. Bible kata, “Ezra telah mempersiapkan hatinya untuk mempelajari Hukum Yehuwa. Dia melakukan apa yang terkandung dalam Hukum itu, dan mengajarkan peraturan dan perintah dalamnya kepada orang Israel.” (Ezra 7:10) Yehuwa telah memberikan kuasa suci-Nya untuk membantu Ezra. Selain itu, raja Persia turut mengakui bahawa Ezra mempunyai kebijaksanaan daripada Tuhan lalu memberinya kuasa atas kawasan Yehuda. (Ezra 7:12-26) Dengan adanya sokongan Yehuwa dan raja Persia, Ezra dapat mengumpulkan maklumat yang diperlukannya untuk menghasilkan catatan yang tepat.

it-2 641

Rendah Hati

Memberikan Bimbingan yang Baik. Seseorang yang rendah hati akan mendapat bimbingan Tuhan. Contohnya, Ezra mempunyai tanggungjawab yang besar untuk membawa lebih daripada 1,500 lelaki, serta para imam, orang Netinim, para wanita, dan anak-anak, dari Babilon ke Yerusalem. Selain itu, mereka perlu mengangkut banyak emas dan perak untuk menghias Rumah Tuhan di Yerusalem. Walaupun mereka memerlukan perlindungan sepanjang perjalanan itu, Ezra tidak ingin bergantung pada kekuatan manusia dengan meminta bantuan raja Persia. Ezra sendiri pernah berkata kepada raja, “Tuhan menyertai sesiapa sahaja yang mencari-Nya.” Maka, dia mengumumkan kepada rakyat agar berpuasa dan merendahkan diri di hadapan Yehuwa. Mereka memohon bantuan Yehuwa, dan Dia mendengarkan mereka serta melindungi mereka daripada serangan musuh. Akhirnya, mereka dapat sampai ke destinasi mereka dengan selamat. (Ez 8:1-14, 21-32) Seorang lagi hamba Tuhan yang rendah hati ialah Nabi Daniel. Semasa Daniel ditawan di Babilon, Tuhan telah mengutus malaikat kepadanya dan memberinya satu penglihatan kerana dia merendahkan diri di hadapan Tuhan dan memohon bimbingan-Nya.​—Da 10:12.

Permata Rohani

w06 15/1 19 ¶9

Sorotan daripada Buku Ezra

7:28–8:20​—Mengapakah ramai orang Yahudi di Babilon tidak mahu pergi ke Yerusalem bersama Ezra? Walaupun lebih daripada 60 tahun telah berlalu sejak kumpulan yang pertama kembali ke Yerusalem, masih terdapat ramai orang Yahudi yang memutuskan untuk tetap tinggal di Babilon. Barangkali ada antara mereka yang mempunyai kehidupan yang selesa di Babilon. Jadi, adalah susah bagi mereka untuk meninggalkan tempat itu dan memulakan kehidupan baharu di Yerusalem. Selain itu, perjalanan pulang ke Yerusalem amat berbahaya. Sememangnya, mereka yang memilih untuk pulang memerlukan keberanian, iman yang kuat, dan semangat yang berkobar-kobar untuk ibadat sejati. Bahkan Ezra sendiri memerlukan kekuatan daripada Yehuwa untuk kembali. Galakan Ezra telah menggerakkan 1,500 buah keluarga (mungkin kira-kira 6,000 orang) untuk berpindah. Kemudiannya, 38 orang Lewi dan 220 orang Netinim juga membuat keputusan untuk ikut serta.

17-23 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | EZRA 9-10

“Akibat Buruk kerana Tidak Patuh”

w06 15/1 20 ¶1

Sorotan daripada Buku Ezra

9:1, 2​—Mengapakah perkahwinan dengan orang kafir merupakan masalah yang amat serius? Bangsa Israel harus melindungi ibadat Yehuwa sehingga kedatangan Mesias. Perkahwinan dengan bangsa lain akan mengancam ibadat sejati. Jika orang Israel membentuk ikatan perkahwinan dengan para penyembah berhala, lama-kelamaan seluruh bangsa itu akan bercampur aduk dengan bangsa kafir. Akibatnya, ibadat sejati akan lenyap dari muka bumi. Jika begitu, Mesias tidak dapat datang daripada keturunan Israel. Itulah sebabnya Ezra begitu terkejut apabila melihat apa yang sedang terjadi.

w09 1/10 10 ¶6

Apakah yang Dikehendaki oleh Yehuwa daripada Kita?

Kita akan menerima banyak berkat jika kita mentaati Yehuwa dengan rela hati. Musa berkata, ‘Patuhilah segala hukum yang telah aku sampaikan kepada kamu demi kebaikan kamu sendiri.’ (Ayat 13) Ya, setiap perintah Yehuwa adalah untuk kebaikan kita. Mengapa? Bible menyatakan bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Maka segala hukum dan perintah daripada Yehuwa pasti membawa manfaat yang berkekalan bagi kita. (Yesaya 48:17) Jika kita mematuhi semua perintah Yehuwa, kita dapat mengelakkan banyak masalah sekarang dan diberkati selama-lamanya di bawah pemerintahan Kerajaan-Nya kelak.

Permata Rohani

w06 15/1 20 ¶2

Sorotan daripada Buku Ezra

10:3, 44​—Mengapakah anak-anak turut diusir bersama isteri yang berbangsa kafir? Jika anak-anak itu tidak diusir, kemungkinan besar para isteri yang berbangsa kafir akan kembali untuk mencari anak-anak mereka. Selain itu, anak-anak yang masih kecil biasanya memerlukan jagaan ibu.

24-30 JULAI

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | NEHEMIA 1-2

“Pada Saat Itu Juga Aku Berdoa”

w08 15/2 3 ¶5

Pastikan Yehuwa Sentiasa Di Hadapan Kita

5 Kadangkala, kita menghadapi situasi yang mendesak dan perlu mengucapkan doa yang singkat untuk mendapatkan bantuan Tuhan. Pernah sekali, Raja Artahsasta dari Persia melihat bahawa pengurus minumannya, Nehemia, kelihatan sedih. Maka raja pun bertanya, “Apakah permintaanmu?” Bible kata, “Pada saat itu juga [Nehemia] berdoa kepada Tuhan di syurga.” Walaupun doa Nehemia singkat dan diucapkan dalam hati, Tuhan telah menjawab doa tersebut. Hasilnya, Nehemia mendapat sokongan raja untuk membina semula tembok Yerusalem. (Baca Nehemia 2:1-8.) Sememangnya, doa singkat yang diucapkan dalam hati juga sangat berkesan.

be 178 ¶1

Gaya Percakapan yang Bersahaja dan Diucapkan dari Hati

Jika anda tiba-tiba diminta untuk menjelaskan kepercayaan anda, apakah yang dapat membantu anda bercakap dengan yakin? Anda boleh meniru Nehemia. Sebelum menjawab Raja Artahsasta, Nehemia telah berdoa dalam hati. (Neh. 2:4) Selepas itu, anda boleh fikirkan apa yang ingin anda katakan. Cubalah langkah-langkah ini: (1) Pilih satu atau dua isi yang ingin disertakan dalam penjelasan anda (misalnya, isi-isi boleh diambil daripada buku “Bertukar Fikiran” [Reasoning From the Scriptures]). (2) Tentukan ayat Bible yang akan anda gunakan untuk menyokong isi-isi itu. (3) Fikirkan bagaimana anda dapat menyampaikannya dengan sopan supaya orang itu sudi mendengar. Kemudian, sampaikanlah apa yang telah anda sediakan.

31 JULAI–6 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | NEHEMIA 3-4

“Sudikah Anda Buat Kerja yang Dipandang Remeh?”

w06 1/2 9 ¶9

Sorotan daripada Buku Nehemia

3:5, 27. Kita tidak patut berfikir bahawa kerja fizikal akan merendahkan martabat kita. Itulah perasaan “pembesar-pembesar” Tekoa terhadap kerja fizikal yang dilakukan untuk memajukan ibadat sejati. Sebaliknya, kita harus meniru semangat dan kerelaan rakyat Tekoa.

w04 1/8 18 ¶16

Pupuklah Pandangan Kristus

16 Semua orang Kristian yang tua mahupun muda harus memupuk pandangan seperti Kristus. Dalam sidang, ada pelbagai tugas yang perlu dilakukan. Janganlah berasa kecil hati jika anda diminta melakukan hal-hal yang mungkin nampaknya remeh. (1 Samuel 25:41; 2 Raja-Raja 3:11) Para ibu bapa, apabila anak-anak anda diberi tugas di Dewan Perjumpaan atau semasa perhimpunan dan konvensyen, adakah anda menggalakkan mereka untuk melakukan tugas itu dengan gembira? Adakah anak-anak melihat bahawa anda sudi melakukan tugas-tugas yang nampaknya remeh? Seorang saudara yang kini berkhidmat di ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa masih ingat teladan baik ibu bapanya. Dia kata, “Daripada cara mereka membersihkan Dewan Perjumpaan atau dewan konvensyen, saya boleh lihat mereka menganggapnya sebagai tugas yang penting. Mereka sering menawarkan diri untuk melakukan kerja yang membawa manfaat kepada sidang atau saudara saudari. Mereka sudi bantu walaupun kerja itu nampaknya remeh. Sikap ini telah membantu saya untuk menerima apa saja tugasan di Bethel dengan rela hati.”

Permata Rohani

w06 1/2 9 ¶1

Sorotan daripada Buku Nehemia

4:17, 18​—Bagaimanakah para lelaki membuat kerja pembinaan dengan menggunakan satu tangan sahaja? Bagi para pemikul beban, hal ini bukan suatu masalah. Mereka dapat meletakkan beban di atas kepala atau mengangkatnya pada bahu, dan “tangan yang lain membawa senjata.” Tetapi orang yang membina tembok, yang perlu menggunakan kedua-dua belah tangan, akan “mengikat sebilah pedang pada pinggang semasa bekerja.” Dengan itu, mereka dapat melindungi diri jika musuh menyerang.

7-13 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | NEHEMIA 5-7

“Nehemia Sedia Berkhidmat untuk Orang Lain”

w02 1/11 27 ¶3

Pejuang Ibadat Sejati—Dahulu dan Sekarang

Nehemia bukan hanya menggunakan waktu dan kemahirannya untuk ibadat sejati, tetapi dia juga sudi menggunakan harta bendanya demi Yehuwa. Dia menggunakan wangnya untuk menebus kembali saudara-saudaranya yang telah menjadi hamba. Dia juga memberikan pinjaman tanpa mengenakan faedah. Sebagai gabenor, dia berhak mendapat bayaran untuk kerjanya. Tetapi dia tidak pernah menuntut hal itu kerana dia tidak ingin “membebani” rakan sebangsanya. Sebaliknya, dia sering menjemput “150 orang Yahudi dan pembesar,” dan “para tetamu dari negeri-negeri lain” untuk makan bersamanya. Setiap hari, dia menyediakan “seekor lembu jantan, enam ekor biri-biri yang terbaik, dan burung-burung” bagi tetamunya. Setiap 10 hari pula, dia memberikan “pelbagai jenis wain yang berlimpah-limpah.” Nehemia telah menggunakan wang sendiri untuk membiayai semua ini.​—Nehemia 5:8, 10, 14-18.

w00 1/2 32

Yehuwa Akan Mengingati Anda

Dalam Bible, apabila perkataan “ingat” atau “tidak melupakan” digunakan berkenaan Tuhan, hal ini sering dikaitkan dengan tindakan yang positif. Misalnya, setelah bumi dibanjiri selama 150 hari, Bible kata bahawa “Tuhan tidak melupakan Nuh . . . Tuhan menyebabkan angin bertiup di bumi dan air mula surut.” (Kejadian 8:1) Berabad-abad kemudian, semasa Simson dibutakan dan dirantai oleh orang Filistin, dia berdoa, “Yehuwa, . . . tolonglah ingat akan aku. Tolonglah kuatkan aku untuk kali ini sahaja.” Yehuwa mengingati Simson dengan memberinya kekuatan luar biasa. Hasilnya, dia dapat melaksanakan hukuman atas musuh-musuh Tuhan. (Hakim-Hakim 16:28-30) Yehuwa mengingati Nehemia dengan memberkati usahanya dan memulihkan ibadat sejati di Yerusalem.

Permata Rohani

w07 1/7 30 ¶15

“Teruslah Kalahkan Kejahatan dengan Kebaikan”

15 Ketiga, musuh Nehemia menggunakan seorang pengkhianat yang bernama Semaya. Lelaki Israel yang tidak setia ini cuba membuat Nehemia melanggar Hukum Tuhan. Semaya berkata kepada Nehemia, “Marilah kita buat temu janji untuk berjumpa di rumah Tuhan yang benar. Kita akan masuk ke dalam rumah itu lalu menutup pintu-pintunya kerana ada orang yang akan datang untuk membunuh kamu.” Semaya memberitahu Nehemia bahawa dia akan dibunuh. Tetapi Nehemia dapat menyelamatkan nyawanya jika dia bersembunyi dalam Rumah Tuhan. Nehemia bukan seorang imam. Sanggupkah dia melanggar Hukum Tuhan dengan bersembunyi dalam Rumah Tuhan semata-mata untuk menyelamatkan nyawanya? Nehemia jawab, “Bolehkah seseorang seperti aku masuk ke dalam Rumah Tuhan dan terus hidup? Aku tidak akan pergi!” Mengapakah Nehemia tidak terpedaya dengan muslihat Semaya? Nehemia sedar bahawa meskipun Semaya ialah orang sebangsa dengannya, dia tahu “Semaya tidak diutus oleh Tuhan.” Lagipun, seorang nabi Tuhan yang sejati tidak akan menyuruhnya untuk melanggar Hukum Tuhan. Ya, Nehemia sekali lagi berjaya menggagalkan muslihat para musuhnya. Tidak lama selepas itu, Nehemia mengatakan, “Demikianlah tembok itu siap dibina pada hari ke-25 bulan Elul, iaitu dalam masa 52 hari.”​—Nehemia 6:10-15; Bilangan 1:51; 18:7.

14-20 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | NEHEMIA 8-9

“Sukacita daripada Yehuwa Akan Menguatkan Kamu”

w07 15/7 22 ¶9-10

Adakah Anda Akan Terus “Berjalan Menurut Bimbingan Kuasa Suci Tuhan”?

9 Yehuwa ialah “Tuhan yang gembira.” (1 Timotius 1:11; Mazmur 104:31) Anak Tuhan juga berasa gembira untuk melakukan kehendak-Nya. (Mazmur 40:8; Ibrani 10:7-9) Tambahan lagi, “sukacita daripada Yehuwa akan menguatkan [kita].”—Nehemia 8:10.

10 Apabila kita melakukan kehendak Yehuwa biarpun menghadapi cabaran, dukacita, atau tentangan, kita mendapat sukacita daripada Tuhan dan kepuasan hati yang besar. Selain itu, “pengetahuan tentang Tuhan” memberi kita sukacita yang melimpah. (Amsal 2:1-5) Hubungan baik dengan Tuhan yang berasaskan pengetahuan yang benar serta iman kepada-Nya dan korban tebusan Yesus juga membuat kita berasa gembira. (1 Yohanes 2:1, 2) Kita juga amat bersukacita kerana dapat menyertai persaudaraan Kristian sedunia. (Zefanya 3:9; Hagai 2:7) Harapan yang dibawa oleh Kerajaan Tuhan dan hak istimewa untuk menyebarkan berita baik merupakan satu lagi hal yang membuat kita bersukacita. (Matius 6:9, 10; 24:14) Bukan itu saja, kita juga mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya. (Yohanes 17:3) Sememangnya, harapan yang indah ini membuat kita benar-benar “bersukacita.”—Ulangan 16:15.

Permata Rohani

it-1 175

Bahasa Aram

Beberapa tahun selepas tawanan Yahudi di Babilon kembali ke Yerusalem, Ezra telah mengumpulkan mereka lalu membaca dan menghuraikan Hukum Tuhan kepada mereka. Nehemia 8:8 kata, “Mereka terus membaca Hukum Tuhan yang benar dengan suara yang kuat. Di samping itu, mereka juga menghuraikan dan menjelaskannya dengan teliti supaya rakyat dapat memahami apa yang sedang dibacakan.” Barangkali, Ezra telah menterjemahkan kata-kata Ibrani ke dalam bahasa Aram kerana itulah bahasa yang mungkin digunakan orang Yahudi semasa di Babilon. Selain itu, Ezra juga perlu menerangkan maksud dan tujuan hukum tersebut supaya orang Yahudi yang tahu bahasa Ibrani akan memahami dan menerapkan apa yang dibacakan.

21-27 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | NEHEMIA 10-11

“Mereka Sudi Membuat Pengorbanan demi Yehuwa”

w98 15/10 22 ¶13

Yerusalem yang Selaras dengan Makna Namanya

13 Pada zaman Nehemia, “perjanjian” yang dimeteraikan mempersiapkan umat Tuhan untuk pentahbisan tembok Yerusalem. Walaupun tembok kota dan 12 gerbang telah selesai dibina, masih ada satu lagi masalah yang perlu diuruskan. Bible kata, “Kota Yerusalem besar dan lapang, tetapi penduduknya tidak ramai.” (Nehemia 7:4) Untuk mengatasi masalah ini, orang Israel “membuang undi untuk menentukan siapa yang akan tinggal di Yerusalem . . . Satu keluarga daripada tiap-tiap 10 keluarga akan dipilih untuk tinggal di kota itu.” Rakyat memuji “mereka yang rela tinggal di Yerusalem” kerana kerelaan dan kerjasama yang mereka tunjukkan. (Nehemia 11:1, 2) Mereka ialah teladan baik bagi umat Tuhan hari ini. Saudara saudari yang memiliki situasi yang mengizinkan mereka berpindah ke kawasan yang memerlukan bantuan boleh mencontohi sikap baik orang Israel.

w86 s-22 22

Ibadat Sejati Meraih Kemenangan

Orang Israel yang berpindah ke Yerusalem mungkin perlu meninggalkan harta warisan dan mengalami kerugian tertentu. Selain itu, semasa di Yerusalem, mereka juga menghadapi pelbagai situasi yang bahaya. Oleh sebab itu, umat Tuhan memuji rakan seiman mereka yang rela berpindah dan mendoakan agar Yehuwa memberkati mereka.

Permata Rohani

w06 1/2 11 ¶1

Sorotan daripada Buku Nehemia

10:34​—Mengapakah orang Israel diminta membawa bekalan kayu ke Rumah Tuhan? Bekalan kayu ini bukanlah sebahagian daripada korban yang dituntut dalam Hukum Musa. Tetapi aturan ini dibuat kerana banyak kayu diperlukan untuk membakar korban di mazbah. Selain itu, tidak ada cukup orang Netanim (bukan berbangsa Israel) yang berkhidmat sebagai pekerja atau hamba di Rumah Tuhan pada masa itu. Maka, orang Israel diminta untuk membantu, dan undi dibuang untuk mengagihkan tugasan ini.

Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir

w11 15/2 15-16 ¶12-15

Perkenan Tuhan Membawa Kehidupan Kekal

12 Dalam suratnya kepada sidang di Roma, Rasul Paulus menulis, “Aku merayu kamu supaya mempersembahkan tubuh kamu sebagai korban yang hidup, suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan. Dengan ini, kamu menjalankan khidmat suci dengan menggunakan daya pemikiran kamu.” (Rm. 12:1) Untuk mendapat perkenan Tuhan, kita mesti memastikan tubuh kita tidak dicemari oleh hal-hal yang dibenci-Nya. Jika kita menggunakan tembakau, mengunyah pinang, atau menyalahgunakan alkohol dan dadah, korban kita akan menjadi sia-sia. (2 Kor. 7:1) Selain itu, Bible kata bahawa “sesiapa yang mengamalkan perbuatan seks yang tidak bermoral berdosa terhadap tubuhnya sendiri.” (1 Kor. 6:18) Maka, amatlah penting untuk menjauhi perbuatan yang tidak bermoral supaya Tuhan menerima korban yang kita berikan. Ya, untuk menggembirakan hati Tuhan, kita mesti ‘menjadi suci dalam segala tingkah laku kita.’—1 Ptr. 1:14-16.

13 Kita juga dapat memberikan korban dalam bentuk puji-pujian kepada Tuhan. Orang yang mengasihi Yehuwa akan berusaha memuliakan-Nya melalui percakapan mereka, tidak kira semasa di rumah ataupun di luar. (Baca Mazmur 34:1-3.) Sila baca Mazmur 148-150, dan lihat berapa kali kita digalakkan untuk memuji Yehuwa. Bible kata, “Sesungguhnya orang yang tulus hati patut memuji-Nya.” (Mzm. 33:1) Yesus Kristus menunjukkan teladan yang baik dalam hal ini. Dia memuji Tuhan melalui kerja penyebarannya.—Luk. 4:18, 43, 44.

14 Ya, semangat yang membara dalam kerja penyebaran membuktikan kasih kita kepada Yehuwa dan tekad kita untuk mendapat perkenan-Nya. Perhatikan kata-kata Nabi Hosea kepada orang Israel yang telah hilang perkenan Tuhan kerana mereka menyembah berhala. (Hos. 13:1-3) Hosea memberitahu mereka untuk merayu kepada Yehuwa, “Ampunkanlah dosa-dosa kami, dan terimalah perbuatan baik kami. Kami akan memberikan puji-pujian kepada-Mu sebagaimana kami mempersembahkan lembu jantan sebagai korban kepada-Mu.”—Hos. 14:1, 2.

15 Pada zaman Israel, lembu jantan ialah korban yang paling mahal yang dapat dipersembahkan kepada Yehuwa. Maka, puji-pujian yang diumpamakan seperti “lembu jantan” merujuk kepada kata-kata ikhlas yang diucapkan untuk memuliakan Tuhan. Apakah perasaan Yehuwa apabila kita mempersembahkan korban sedemikian? Dia berfirman, “Aku akan mengasihi mereka dari lubuk hati-Ku.” (Hos. 14:4) Yehuwa memperkenankan orang yang memberi korban itu. Dia akan mengampuni dosa mereka dan menjadi sahabat mereka.

28 OGOS–3 SEPTEMBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | NEHEMIA 12-13

“Tetap Setia kepada Yehuwa semasa Memilih Kawan”

it-1 108

Orang Ammon

Setelah Tobia disingkirkan dari Rumah Tuhan, Hukum Musa yang tercatat di Ulangan 23:3-6 telah dibacakan dan diterapkan oleh orang Israel. Menurut hukum itu, orang Ammon dan orang Moab tidak dibenarkan menyertai umat Tuhan yang benar. (Ne 13:1-3) Hal ini demikian kerana kira-kira 1,000 tahun yang lalu, orang Ammon dan orang Moab enggan menolong orang Israel yang sedang dalam perjalanan ke Tanah yang Dijanjikan. Hukum tersebut bermaksud bahawa orang Ammon dan orang Moab tidak dapat menjadi sebahagian daripada bangsa Israel secara sah dan menikmati semua hak istimewa yang diberikan kepada orang Israel. Namun, hukum itu tidak melarang individu daripada bangsa Ammon dan Moab untuk bergaul dengan umat Tuhan. Ada juga yang tinggal dalam kalangan orang Israel dan mendapat manfaat daripada berkat yang dicurahkan Tuhan ke atas umat-Nya. Contohnya, Zelek, salah seorang pahlawan Daud, dan juga Rut, seorang wanita Moab.​—Rut 1:4, 16-18.

w96 15/3 16 ¶6

Menangani Cabaran untuk Tetap Setia

6 Jika kita ingin tetap setia kepada Yehuwa, kita akan elak daripada bersahabat dengan orang yang merupakan musuh-Nya. Yakobus menulis, “Hai para penzina, tidakkah kamu tahu bahawa persahabatan dengan dunia bererti permusuhan dengan Tuhan? Oleh itu, sesiapa yang ingin menjadi sahabat dunia menjadikan dirinya musuh Tuhan.” (Yakobus 4:4) Sebaliknya, kita ingin mengekalkan kesetiaan kita dan menerapkan kata-kata Raja Daud: “Ya Yehuwa, aku membenci orang yang membenci-Mu; aku jijik terhadap orang yang melawan-Mu. Aku betul-betul membenci mereka; mereka sudah menjadi musuh ketatku.” (Mazmur 139:21, 22) Memandangkan kita tiada persamaan langsung dengan orang yang sengaja melakukan dosa, kita pasti tidak mahu menjalin apa-apa hubungan dengan mereka. Kita menunjukkan kita setia kepada Tuhan dengan tidak bergaul bersama mereka, tidak kira secara langsung mahupun melalui TV.

Permata Rohani

it-2 176

Muzik

Nyanyian di Rumah Tuhan merupakan khidmat yang sangat dititikberatkan. Terdapat banyak ayat yang menyebut tentang para penyanyi, dan Bible juga menyatakan bahawa “mereka dikecualikan daripada tugas lain” yang biasa dilakukan oleh orang Lewi. Aturan ini adalah supaya para penyanyi dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugasan mereka. (1Ta 9:33) Semasa menyenaraikan bilangan tawanan yang kembali ke Yerusalem, para penyanyi telah disebut secara khusus dan bukannya tergolong bersama orang Lewi lain. (Ez 2:40, 41) Bahkan Raja Artahsasta (Longimanus) dari Persia telah menetapkan peraturan khas bagi para penyanyi dan juga beberapa golongan lain. Mereka dikecualikan daripada membayar cukai. Cukai yang dimaksudkan termasuk cukai kepala, cukai barang, dan cukai yang dikenakan atas pengguna jalan. (Ez 7:24) Kemudian, raja juga memerintahkan agar “aturan dibuat untuk menjaga keperluan harian para penyanyi.” Walaupun catatan menyatakan bahawa perintah ini diberi oleh Raja Artahsasta, besar kemungkinan Ezra yang mengeluarkan arahan tersebut dengan kekuasaan yang diberikan kepadanya. (Ne 11:23; Ez 7:18-26) Atas sebab-sebab ini, para penyanyi sering disebut secara spesifik walaupun mereka sebahagian daripada orang Lewi.​—Ne 7:1; 13:10.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi