Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
© 2023 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
18-24 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ESTER 6-8
Permata Rohani
w06 1/3 11 ¶1
Sorotan daripada Buku Ester
7:4—Jika orang Yahudi dilenyapkan, mengapakah hal ini merupakan ‘malapetaka yang merugikan raja’? Ester menjelaskan kepada raja bahawa orang Yahudi boleh dijual sebagai hamba. Ini lebih menguntungkan daripada 10,000 talenta yang dijanjikan Haman untuk diberi kepada perbendaharaan raja. Jika rancangan jahat Haman berjaya, permaisuri juga akan dibunuh.
25 SEPTEMBER–1 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | ESTER 9-10
“Dia Menggunakan Kuasanya demi Umat Tuhan”
it-2 150
Mordekhai
Mordekhai telah menggantikan Haman sebagai perdana menteri. Selain itu, Raja Ahasweros telah memberinya cincin mohor diraja untuk memeterai perintah kerajaan. Raja Ahasweros turut memberi Permaisuri Ester semua harta milik Haman, lalu Ester melantik Mordekhai untuk mengurus segala harta itu. Selepas itu, Mordekhai menggunakan cincin mohor diraja untuk memeterai perintah baharu, yang mengizinkan orang Yahudi mempertahankan diri apabila diancam. Surat perintah itu merupakan berita yang menggembirakan! Orang Yahudi akan selamat daripada ancaman musuh. Bukan itu saja, banyak orang daripada Empayar Persia telah menyertai orang Yahudi. Pada hari ke-13 bulan Adar, tibalah masanya untuk melaksanakan perintah raja. Semua pegawai dan pembesar menyokong orang Yahudi kerana mereka ingin patuh kepada Mordekhai. Pertempuran ini berlanjutan selama dua hari di Susan. Akhirnya, lebih daripada 75,000 musuh orang Yahudi di Empayar Persia telah dibunuh, termasuk 10 orang anak lelaki Haman. (Es 8:1–9:18) Dengan kuasa yang dimiliki oleh Permaisuri Ester, Mordekhai menyuruh orang Yahudi merayakan “Perayaan Purim” pada hari ke-14 dan hari ke-15 bulan Adar pada setiap tahun. Mereka bersukacita dan berpesta ria, serta menghantar makanan kepada satu sama lain dan memberikan sedekah kepada orang miskin. Mereka menetapkan satu peraturan bagi diri mereka, keturunan mereka, dan semua orang yang menyertai mereka untuk menyambut perayaan ini. Sebagai orang yang memegang jawatan kedua tertinggi di bawah Raja Ahasweros, Mordekhai dihormati oleh semua orang Yahudi dan terus berjuang untuk kebaikan mereka.—Es 9:19-22, 27-32; 10:2, 3.
it-2 592
Purim
Tujuan. Sesetengah orang berpendapat bahawa Perayaan Purim pada hari ini lebih bertumpu kepada pesta ria dan perbuatan yang tidak terkawal. Tapi, ini bukanlah tujuan asal Perayaan Purim. Pada mulanya, perayaan ini diasaskan oleh Mordekhai dan Ester untuk memuliakan Tuhan Yehuwa dan memperingati cara Dia menyelamatkan orang Yahudi. Pada zaman Mordekhai dan Ester, Haman seorang lelaki daripada keturunan Amalek, ingin melenyapkan orang Yahudi. Memandangkan bangsa Amalek telah dikutuk oleh Yehuwa dan bakal dilenyapkan, Mordekhai mentaati perintah Tuhan dan enggan sujud kepada Haman. (Es 3:2, 5; Kel 17:14-16) Untuk melindungi orang Yahudi, Mordekhai dan Ester bergantung pada bantuan Yehuwa. (Es 4:14) Selain itu, Ester menunjukkan bahawa dia bersandar pada bantuan Tuhan dengan berpuasa sebelum menghadap raja. (Es 4:16) Akhirnya, Yehuwa telah menyelamatkan orang Yahudi daripada ancaman itu.
Permata Rohani
w06 1/3 11 ¶4
Sorotan daripada Buku Ester
9:10, 15, 16—Mengapakah orang Yahudi tidak merampas sebarang harta meskipun terdapat perintah yang mengizinkan mereka berbuat demikian? Mereka ingin menunjukkan bahawa tindakan mereka adalah untuk mempertahankan nyawa sendiri, dan bukannya untuk menjarah harta dan menjadi kaya.
9-15 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AYUB 4-5
“Lindungi Diri Anda daripada Maklumat Salah”
w05 15/9 26 ¶2
Lawanlah Fikiran yang Salah!
Elifas kata bahawa dia mendapat penglihatan daripada satu makhluk roh. Dia menjelaskan, “Suatu makhluk roh melintas di hadapanku, dan bulu romaku mula meremang. Suatu bayang-bayang muncul di hadapanku; lembaga itu berdiri di depanku, tetapi aku tidak mengenalnya. Suasananya sangat sunyi, lalu aku mendengar suara yang berkata.” (Ayub 4:15, 16, nota kaki) Adakah makhluk roh ini diutus oleh Yehuwa? Pasti tidak! Kata-kata Elifas yang bagaikan tikaman pedang jelas menunjukkan bahawa makhluk roh itu bukanlah malaikat Yehuwa. (Ayub 4:17, 18) Sebaliknya, itu ialah roh jahat. Lagipun jika makhluk roh itu ialah malaikat Yehuwa, sudah pasti Yehuwa tidak akan memarahi Elifas dan kawan-kawannya. (Ayub 42:7) Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa Elifas telah dipengaruhi oleh roh-roh jahat untuk mengucapkan hal-hal yang bertentangan dengan pandangan Tuhan.
w10 15/2 19 ¶5-6
Lawanlah Propaganda Syaitan
Syaitan menggunakan Elifas, salah seorang sahabat Ayub, untuk mempengaruhinya dan membuatnya fikir bahawa manusia lemah dan tidak berguna. Elifas kata, ‘Manusia berdosa bagaikan rumah tanah liat yang dibina di atas debu, dan yang mudah dihancurkan seperti rama-rama. Manusia hidup pada waktu pagi dan diremukkan pada waktu petang; mereka lenyap buat selama-lamanya tanpa disedari sesiapa pun.’—Ayb. 4:19, 20.
Memang, Bible kata bahawa manusia “seperti bekas tanah liat” yang mudah pecah. (2 Kor. 4:7) Kita lemah kerana kita mewarisi dosa dan ketidaksempurnaan. (Rm. 5:12) Walaupun begitu, kita sangat bernilai di mata Tuhan dan Dia ingin membantu kita. (Yes. 43:4) Jika kita bergantung pada diri sendiri, kita tidak dapat melawan serangan Syaitan. Dengan memohon kuasa suci daripada Yehuwa, kita mendapat “kuasa luar biasa” untuk menangani apa saja cabaran yang Syaitan lemparkan. (Luk. 11:13; 2 Kor. 4:7; Flp. 4:13) Maka, marilah kita menentang Syaitan dengan “iman yang teguh.” Yehuwa pasti akan meneguhkan dan menguatkan kita. (1 Ptr. 5:8-10) Jadi, kita tidak perlu takut akan Syaitan Si Iblis.
Permata Rohani
Tetap Teguh dan Menang dalam Perlumbaan yang Menuju Kehidupan
Kita dapat menguatkan satu sama lain apabila kita menjadi sebahagian daripada organisasi Yehuwa. Alangkah besar berkatnya kerana kita dapat menyertai persaudaraan Kristian sedunia yang pengasih!—1 Petrus 2:17.
Perhatikan contoh Ayub, seorang lelaki yang baik hati dan yang suka membantu orang lain. Mengenai Ayub, Elifas kata, “Kata-katamu telah menggalakkan orang yang tersandung, dan kamu telah meneguhkan orang yang lemah.” (Ayub 4:4) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Ayub? Kita mempunyai tanggungjawab untuk membantu saudara saudari kita tetap tabah dalam khidmat kepada Yehuwa. Kita dapat bertindak selaras dengan kata-kata Yesaya: “Kuatkanlah tangan yang lemah dan teguhkanlah lutut yang gementar.” (Yesaya 35:3) Dapatkah anda menggalakkan satu atau dua orang rakan seiman setiap kali anda berjumpa dengan mereka? (Ibrani 10:24, 25) Kata-kata pujian dan penghargaan atas kerja keras mereka dapat membantu mereka tetap teguh dalam perlumbaan yang menuju kehidupan.
16-22 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AYUB 6-7
“Apabila Kita Tidak Berdaya untuk Teruskan Hidup”
Sorotan daripada Buku Ayub
7:1; 14:14—Apakah maksud ungkapan hidup manusia “seperti kerja paksa” atau “hidup seorang buruh”? Apabila seseorang mati, dia seolah-olah diperhamba oleh maut, sehinggalah masanya dia dibangkitkan. Itulah sebabnya Ayub membandingkan hidup manusia dengan kerja paksa atau hidup seorang buruh.—Ayub 10:17.
23-29 OKTOBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AYUB 8-10
Permata Rohani
“Siapakah yang Mengetahui Fikiran Yehuwa?”
19 Apakah yang telah kita belajar tentang “fikiran Yehuwa”? Seperti Ayub, kita sangat kagum dan mengakui, “Semua itu hanyalah sekelumit daripada perbuatan-Nya yang menakjubkan, dan hanyalah bisikan yang sampai di telinga kita. Siapakah yang dapat menyelami keagungan Tuhan yang bagaikan guruh yang kuat?” (Ayb. 26:14) Memandangkan fikiran Yehuwa lebih unggul daripada fikiran kita, kita tidak patut menghakimi-Nya dengan standard kita. Ayub kata, “Aku tidak dapat melawan Tuhan atau mendakwa-Nya di mahkamah, kerana Dia bukan manusia seperti aku.” (Ayb. 9:32) Maka, kita perlu terus mendalami fikiran Yehuwa dengan mengkaji Firman-Nya.
20 Apakah yang patut kita buat jika kita tidak memahami sesuatu dalam Bible, terutamanya dalam soal fikiran Yehuwa? Jika kita sudah buat penyelidikan tapi masih tidak dapat jawapan yang jelas, kita harus terus mempercayai Yehuwa. Kita sedar bahawa kita tidak dapat memahami semua perbuatan Yehuwa. (Pkh. 11:5) Namun, dalam situasi sebegini, kita dapat membuktikan iman kita kepada Yehuwa. Kita setuju dengan kata-kata Rasul Paulus, “Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan! Tiada sesiapa pun yang dapat memahami penghakiman dan jalan-jalan Tuhan! ‘Siapakah yang mengetahui fikiran Yehuwa, atau siapakah yang boleh menjadi penasihat-Nya?’ Atau, ‘siapakah yang pernah memberi Tuhan sesuatu terlebih dahulu, sehingga Tuhan mesti membalasnya?’ Segala-galanya wujud kerana Dia, melalui Dia, dan untuk Dia. Semoga Tuhan dimuliakan buat selama-lamanya! Amin.”—Rm. 11:33-36.
30 OKTOBER–5 NOVEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AYUB 11-12
“Tiga Cara untuk Memperoleh Kebijaksanaan dan Mendapat Manfaatnya”
w09 15/4 6 ¶17
Ayub Menjunjung Tinggi Nama Yehuwa
17 Apakah yang membantu Ayub untuk tetap setia kepada Yehuwa? Jelaslah, Ayub sudah ada hubungan yang rapat dengan Yehuwa sebelum dia ditimpa kesusahan. Ayub mungkin tidak tahu bahawa Syaitan mencabar Yehuwa. Namun, Ayub bertekad untuk tetap setia. Dia berkata, “Sampai mati pun aku akan tetap setia kepada Tuhan!” (Ayb. 27:5) Bagaimanakah Ayub memupuk hubungan yang rapat dengan Yehuwa? Abraham, Ishak, dan Yakub ialah saudara-mara Ayub. Sudah pasti iman Ayub dikuatkan apabila mendengar cara Yehuwa memperlakukan mereka. Ayub juga telah belajar banyak hal tentang sifat-sifat Tuhan dengan memperhatikan ciptaan.—Baca Ayub 12:7-9, 13, 16.
it-1 931
Kebijaksanaan
Kebijaksanaan daripada Tuhan. Bible kata bahawa Yehuwa ialah “satu-satunya Tuhan yang bijaksana.” (Rm 16:27; Why 7:12) Oleh sebab Yehuwa ialah Pencipta dan “Tuhan yang kekal selama-lamanya” (Mz 90:1, 2), Dia tahu segala-galanya tentang alam semesta. Dia juga menetapkan kitaran-kitaran yang penting dan hukum fizik yang manusia gunakan untuk kerja penyelidikan dan reka cipta. Kita memerlukan semua hukum ini untuk menjalani kehidupan. (Ayb 38:34-38; Mz 104:24; Ams 3:19; Yer 10:12, 13) Piawaian moral Tuhan juga sangat penting untuk memberi manusia kestabilan, keupayaan untuk buat pertimbangan yang baik, dan berjaya dalam hidup. (Ul 32:4-6) Sememangnya, Yehuwa mengetahui dan memahami segala-galanya. (Yes 40:13, 14) Walaupun Yehuwa membenarkan hal-hal buruk berleluasa buat sementara waktu, Dia akan bertindak untuk membetulkannya pada masa depan. Kehendak Yehuwa pasti akan tercapai kerana Dia kata, ‘Aku pasti berjaya melakukan perkara yang Aku ingini.’—Yes 55:8-11; 46:9-11.
Permata Rohani
w08 1/8 11 ¶5
Berkomunikasi dengan Anak Remaja
▪ “Adakah saya memahami maksud di sebalik kata-katanya?” Ayub 12:11 kata, “Bukankah telinga yang menguji kata-kata, sebagaimana lidah mengecap makanan?” Sebagai ibu bapa, anda perlu “menguji kata-kata” anak anda. Anak remaja sering meluahkan perasaan mereka dengan kata-kata seperti, “Daddy selalu anggap saya macam budak kecil!” atau “Mama memang tidak mahu dengar apa yang saya cakap!” Janganlah cari kesalahan dalam kata-kata mereka dan hanya bertumpu kepada istilah “selalu” atau “memang.” Itu bukanlah maksud sebenar mereka. Sebaliknya apabila mereka cakap, “Daddy selalu anggap saya macam budak kecil!” mereka mungkin bermaksud, “Saya rasa kamu tidak percaya saya,” dan “Mama memang tidak mahu dengar apa yang saya cakap!” mungkin bermaksud, “Saya mahu beritahu kamu perasaan saya.” Jadi, cubalah memahami maksud di sebalik kata-kata mereka.