PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Rumah Tuhan Disucikan Sekali Lagi
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus menterbalikkan meja para penukar wang

      BAB 103

      Rumah Tuhan Disucikan Sekali Lagi

      MATIUS 21:12, 13, 18, 19 MARKUS 11:12-18 LUKAS 19:45-48 YOHANES 12:20-27

      • YESUS MENGUTUK POKOK ARA DAN MENYUCIKAN RUMAH TUHAN

      • YESUS PERLU MATI UNTUK MENYELAMATKAN NYAWA RAMAI ORANG

      Yesus dan murid-muridnya telah menghabiskan tiga malam di Betania. Pada awal pagi hari Isnin, 10 Nisan, mereka bertolak ke Yerusalem. Yesus lapar, maka dia menghampiri sebatang pokok ara.

      Meskipun sekarang ialah akhir bulan Mac, dan musim buah ara hanya akan bermula pada bulan Jun, Yesus berharap agar dia akan menjumpai buah ara kerana pokok itu sudah berdaun. Tetapi dia tidak menjumpai sebiji buah pun, maka dia berkata kepada pokok itu, “Mulai sekarang, tiada orang akan makan buah daripadamu lagi.” (Markus 11:14) Dengan serta-merta, pokok ara itu mula layu.

      Tidak lama kemudian, mereka tiba di Yerusalem. Yesus pergi ke Rumah Tuhan dan memperhatikan apa yang berlaku di sana. Kemudian dia melakukan sesuatu seperti yang pernah dilakukannya tiga tahun yang lalu semasa Perayaan Paska tahun 30 M. (Yohanes 2:14-16) Yesus mengusir “semua orang yang berjual beli di sana.” Dia juga “menterbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati.” (Markus 11:15) Dia bahkan tidak membenarkan sesiapa pun untuk menggunakan halaman Rumah Tuhan sebagai jalan pintas.

      Mengapakah Yesus mengusir para penukar wang dan penjual di Rumah Tuhan? Dia berkata, “Bukankah ada tertulis, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa bagi semua bangsa’? Tetapi kamu telah menjadikannya sarang perompak.” (Markus 11:17) Dia memanggil mereka “perompak” kerana mereka mengenakan harga yang sangat tinggi kepada orang yang ingin membeli binatang untuk dipersembahkan sebagai korban.

      Setelah para ketua imam, jurutulis hukum, dan pemimpin, mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Yesus, mereka lebih bertekad untuk membunuhnya. Tetapi mereka tidak berani berbuat demikian kerana orang ramai sentiasa mengikut Yesus.

      Orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi datang untuk menyambut Perayaan Paska. Semasa perayaan itu, ada beberapa orang Yunani datang kepada Filipus dan memberitahunya bahawa mereka mahu berjumpa dengan Yesus. (Filipus ialah nama orang Yunani, maka mungkin itulah sebabnya mereka datang kepadanya.) Filipus tidak tahu sama ada dia patut berbuat demikian atau tidak, maka dia pergi memberitahu Andreas. Kemudian mereka berdua pergi berjumpa dengan Yesus, yang nampaknya masih berada di Rumah Tuhan.

      Yesus tahu bahawa dia akan mati dalam masa beberapa hari lagi, maka sekarang bukanlah masanya untuk memuaskan rasa ingin tahu orang atau mengejar kemasyhuran. Jadi dia menceritakan satu perumpamaan kepada dua orang rasul itu, “Masanya sudah tiba bagi Anak Manusia dimuliakan. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Jika sebutir gandum tidak jatuh ke tanah dan mati, apa yang ada cuma sebutir gandum. Tetapi jika gandum itu mati, banyak buah akan terhasil.”​—Yohanes 12:23, 24.

      Sebutir gandum nampaknya tidak bernilai. Tetapi semasa gandum itu ditanam, gandum itu seolah-olah “mati,” lalu tunasnya akan bertumbuh dan menghasilkan banyak buah. Begitu juga, Yesus ialah seorang manusia yang sempurna. Jika dia setia kepada Tuhan sehingga mati, dia akan membuka jalan agar manusia dapat menikmati hidup abadi. Itulah sebabnya dia berkata, “Sesiapa yang mengasihi nyawanya akan kehilangan nyawanya, tetapi sesiapa yang membenci nyawanya di dunia ini akan menyelamatkan nyawanya dan mendapat kehidupan kekal.”​—Yohanes 12:25.

      Kemudian Yesus menyatakan berkat yang akan dinikmati oleh pengikutnya. Dia berkata, “Jika sesiapa mahu menjadi hambaku, hendaklah dia mengikut aku. Ke mana sahaja aku pergi, hambaku juga akan berada di sana. Jika sesiapa menjadi hambaku, Bapaku akan memberkatinya.” (Yohanes 12:26) Ya, mereka akan diberkati oleh Tuhan dan memerintah bersama Yesus dalam Kerajaan Tuhan!

      Yesus tahu bahawa dia akan diseksa dan dibunuh, maka dia berkata, “Sekarang aku sangat sedih dan apa yang patut aku katakan? Bapa, selamatkanlah aku daripada saat penderitaan ini.” Adakah Yesus enggan melakukan kehendak Tuhan? Tidak, kerana dia menyambung, “Untuk saat inilah aku datang ke bumi.” (Yohanes 12:27) Biarpun Yesus harus mengorbankan nyawanya, dia tetap sudi melakukan kehendak Tuhan.

      • Mengapakah Yesus mencari buah pada pokok ara itu meskipun musim buah ara belum tiba?

      • Mengapakah Yesus memanggil para penjual di Rumah Tuhan sebagai “perompak”?

      • Apakah persamaan antara Yesus dengan sebutir gandum? Apakah perasaan Yesus terhadap perkara yang bakal menimpanya?

  • Adakah Orang Yahudi Akan Beriman kepada Tuhan?
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus berkata, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu,” dan orang Yahudi mendengar suara Tuhan dari syurga

      BAB 104

      Adakah Orang Yahudi Akan Beriman kepada Tuhan?

      YOHANES 12:28-50

      • BANYAK ORANG MENDENGAR SUARA TUHAN

      • DASAR PENGHAKIMAN

      Pada hari Isnin, 10 Nisan, semasa Yesus berada di Rumah Tuhan, dia berkata bahawa dia akan mati. Dia risau nama baik Tuhan akan dicela, maka dia berkata, “Ya Bapa, muliakanlah nama-Mu.” Kemudian ada suara dari langit yang berkata, “Aku sudah memuliakannya dan akan memuliakannya lagi.”​—Yohanes 12:27, 28.

      Orang di situ hairan. Ada yang berfikir bahawa bunyi itu ialah bunyi guruh. Ada pula yang berkata, “Malaikat telah bercakap kepadanya.” (Yohanes 12:29) Sebenarnya itu ialah suara Yehuwa! Ini bukanlah kali pertama manusia mendengar Tuhan bercakap kepada Yesus.

      Tiga tahun setengah yang lalu, semasa Yesus dibaptis, Yohanes Pembaptis mendengar Tuhan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” Kemudian selepas Perayaan Paska tahun 32 M, iaitu semasa rupa Yesus berubah di depan Yakobus, Yohanes, dan Petrus, ketiga-tiga rasul itu mendengar Tuhan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya. Dengarkanlah dia.” (Matius 3:17; 17:5) Kali ini, Yehuwa bercakap kepada Yesus di depan khalayak ramai!

      Yesus berkata, “Suara ini kedengaran bukanlah untukku, tetapi untuk kamu.” (Yohanes 12:30) Hal ini membuktikan bahawa dia memang Anak Tuhan, iaitu Mesias yang dijanjikan.

      Yesus memberikan teladan baik kepada kita kerana dia setia kepada Tuhan sampai akhir. Kesetiaannya juga membuktikan bahawa Syaitan Si Iblis, iaitu pemerintah dunia ini, patut dimusnahkan. Dia berkata, “Dunia ini sedang dihakimi. Sekarang pemerintah dunia ini akan diusir.” Kemudian dia menyambung, “Semasa aku digantungkan, aku akan memimpin segala macam orang kepadaku.” (Yohanes 12:31, 32) Ya, kematian Yesus akan membantu banyak orang. Dia akan memimpin mereka ke haluan hidup abadi.

      Yesus berkata bahawa dia akan “digantungkan,” maka orang ramai bertanya kepadanya, “Kami mendengar bahawa menurut Hukum, Kristus akan kekal selama-lamanya. Maka, mengapakah Guru mengatakan bahawa Anak Manusia harus digantungkan? Siapakah Anak Manusia itu?” (Yohanes 12:34) Meskipun mereka telah diberi banyak bukti dan mendengar Tuhan berfirman dari syurga, ramai antara mereka masih tidak percaya bahawa Yesus ialah Anak Manusia dan Mesias yang dijanjikan.

      Yesus pernah berkata bahawa dia ialah “cahaya dunia.” (Yohanes 8:12; 9:5) Dia memberitahu orang ramai, ‘Cahaya masih akan bersama kamu untuk sebentar waktu. Berjalanlah ketika cahaya masih ada, supaya kegelapan tidak menguasai kamu. Berimanlah kepada cahaya sementara cahaya itu masih ada, supaya kamu dapat menjadi anak-anak cahaya.’ (Yohanes 12:35, 36) Kemudian Yesus beredar dari situ kerana saat kematiannya belum tiba. Dia akan dibunuh dan “digantungkan pada tiang” pada Paska 14 Nisan.​—Galatia 3:13.

      Kebanyakan orang Yahudi degil dan tidak mahu percaya bahawa Yesus ialah Penyelamat yang dijanjikan. Hal ini terjadi seperti yang dinubuatkan dalam Bible. Yesaya telah menubuatkan bahawa mata mereka tidak dapat melihat dan hati mereka tidak dapat mengerti, maka mereka tidak akan kembali dan disembuhkan.​—Yesaya 6:10; Yohanes 12:40.

      Nikodemus, Yusuf dari Arimatea, dan banyak penguasa beriman kepada Yesus. Tetapi adakah mereka akan mengakuinya secara terang-terangan? Adakah mereka akan berdiam diri kerana tidak mahu dihalau keluar dari rumah ibadat, atau kerana mereka “suka dimuliakan oleh manusia”?​—Yohanes 12:42, 43.

      Yesus berkata, “Sesiapa yang beriman kepadaku bukan sahaja beriman kepadaku, tetapi juga beriman kepada Dia yang mengutus aku. Sesiapa yang melihat aku juga melihat Dia yang mengutus aku.” Tuhan mengutus Yesus untuk mengajar orang tentang kebenaran. Kebenaran ini amat penting kerana Yesus berkata, “Sesiapa yang menolak aku dan enggan menerima kata-kataku akan dihakimi. Kata-kata akulah yang akan menghakiminya pada hari terakhir.”​—Yohanes 12:44, 45, 48.

      Sebagai kesimpulan, Yesus berkata, “Kata-kataku tidak berasal daripada diriku sendiri. Sebaliknya, Bapa yang mengutus aku telah memberikan perintah kepadaku tentang apa yang harus dikatakan dan apa yang harus disampaikan. Aku juga tahu bahawa perintah-Nya membawa kehidupan kekal.” (Yohanes 12:49, 50) Yesus tahu bahawa tidak lama lagi, dia akan menyerahkan nyawanya untuk menyelamatkan semua orang yang beriman kepadanya.​—Roma 5:8, 9.

      • Manusia pernah mendengar Tuhan bercakap kepada Yesus. Nyatakan tiga contoh.

      • Siapakah yang beriman kepada Yesus? Tetapi mengapakah mereka mungkin tidak mengakuinya secara terang-terangan?

      • “Pada hari terakhir,” orang akan dihakimi menurut apa?

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi