-
Pokok Ara dan Pengajaran tentang ImanYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 105
Pokok Ara dan Pengajaran tentang Iman
MATIUS 21:19-27 MARKUS 11:19-33 LUKAS 20:1-8
PENGAJARAN TENTANG IMAN DAN POKOK ARA YANG LAYU
KUASA YESUS DICABAR
Pada petang hari Isnin, Yesus meninggalkan Yerusalem dan kembali ke Betania, yang terletak di sebelah timur lereng Gunung Zaitun. Dia mungkin bermalam di rumah Lazarus, Maria, dan Marta.
Pada pagi keesokan harinya, 11 Nisan, Yesus dan murid-muridnya pergi ke Yerusalem sekali lagi. Inilah kali terakhir Yesus pergi ke Rumah Tuhan. Selepas itu, dia akan menyambut Perayaan Paska, mengasaskan sambutan Peringatan, dan dihadapkan ke mahkamah lalu dihukum mati.
Semasa dalam perjalanan, Petrus nampak pokok ara yang dikutuk oleh Yesus pada hari sebelumnya. Dia berkata, “Lihatlah! Pokok ara yang Rabbi kutuk itu sudah pun layu.”—Markus 11:21.
Mengapakah Yesus membuat pokok itu layu? Dia berkata, “Jika kamu beriman dan tidak ragu-ragu, kamu juga dapat melakukan apa yang telah aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, jika kamu berkata kepada gunung ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut,’ hal itu pun akan berlaku. Jika kamu beriman, semua perkara yang kamu minta dalam doa akan kamu terima.” (Matius 21:21, 22) Sebelum ini, dia juga pernah berkata bahawa jika mereka beriman, mereka dapat berkata kepada sebuah gunung, “Beralihlah dari sini ke sana,” lalu gunung itu akan beralih.—Matius 17:20.
Dengan membuat pokok itu layu, Yesus mengajar pengikutnya bahawa mereka perlu beriman kepada Tuhan. Dia berkata, “Apa sahaja yang kamu mohon dalam doa, berimanlah bahawa kamu akan menerimanya. Maka kamu pun akan menerimanya.” (Markus 11:24) Pengajaran ini amat penting kerana para rasul akan menghadapi cubaan yang besar tidak lama lagi. Tetapi terdapat satu lagi pengajaran yang dapat kita peroleh daripada pokok yang layu itu.
Bangsa Israel seperti pokok ara itu yang berdaun tetapi tidak menghasilkan buah. Mereka telah berjanji untuk menjadi umat Tuhan dan mematuhi Hukum-Nya, tetapi mereka tidak beriman dan tidak menghasilkan buah yang baik. Mereka bahkan menolak Anak Tuhan! Maka Yesus membuat pokok ara itu layu untuk menggambarkan apa yang bakal berlaku kepada bangsa yang tidak beriman itu.
Kemudian Yesus dan murid-muridnya tiba di Yerusalem. Seperti biasa, Yesus pergi ke Rumah Tuhan untuk mengajar orang. Para ketua imam dan pemimpin orang Yahudi ingat akan apa yang telah dilakukan oleh Yesus kepada penukar wang pada hari sebelumnya, maka mereka mencabarnya dengan berkata, “Dari manakah datangnya kuasamu? Siapakah yang memberi kamu kuasa untuk melakukan semua ini?”—Markus 11:28.
Yesus menjawab, “Aku juga akan tanya kamu satu soalan. Jika kamu menjawabnya, aku akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini. Siapakah yang memberi Yohanes kuasa untuk membaptis orang? Tuhan atau manusia? Jawablah soalanku.” Mereka mula berbincang sesama sendiri dan berkata, “Jika kita kata, ‘Tuhan,’ dia akan bertanya, ‘Jadi, mengapakah kamu tidak percaya kepadanya?’ Atau patutkah kita berkata, ‘Manusia’?” Namun, mereka takut berkata demikian kerana orang ramai menganggap Yohanes sebagai seorang nabi.—Markus 11:29-32.
Mereka tidak mahu menjawab soalan Yesus. Maka mereka berkata, “Kami tidak tahu.” Yesus pun berkata, “Kalau begitu, aku pun tidak akan memberitahu kamu siapa yang memberi aku kuasa untuk melakukan semua ini.”—Markus 11:33.
-
-
Dua Perumpamaan tentang Ladang AnggurYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 106
Dua Perumpamaan tentang Ladang Anggur
MATIUS 21:28-46 MARKUS 12:1-12 LUKAS 20:9-19
PERUMPAMAAN TENTANG DUA ORANG ANAK
PERUMPAMAAN TENTANG PELADANG YANG JAHAT
Yesus baru sahaja membungkam para ketua imam dan pemimpin orang Yahudi yang mencabar kuasanya. Sekarang dia menceritakan perumpamaan berikut untuk mendedahkan sifat sebenar mereka:
“Seorang lelaki mempunyai dua orang anak. Dia pergi kepada anak yang pertama dan berkata, ‘Nak, pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.’ Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu pergi,’ tetapi dia kemudiannya menyesal lalu pergi ke ladang anggur. Ayah itu pergi kepada anaknya yang kedua dan mengatakan hal yang sama. Anak itu menjawab, ‘Saya akan pergi, ayah,’ tetapi dia tidak pergi. Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu yang melakukan kehendak ayahnya?” (Matius 21:28-31) Memang jelas bahawa anak pertamalah yang telah melakukan kehendak bapanya.
Maka Yesus berkata, “Ketahuilah bahawa pemungut cukai dan pelacur akan masuk dalam Kerajaan Tuhan lebih dahulu daripada kamu.” Pemungut cukai dan pelacur tidak menyembah Tuhan. Tetapi seperti anak yang pertama itu, mereka kemudiannya bertaubat. Para pemimpin agama pula seperti anak yang kedua itu. Mereka berkata bahawa mereka menyembah Tuhan, tetapi sebenarnya mereka tidak berbuat demikian. Yesus berkata, “Yohanes [Pembaptis] datang untuk mengajar kamu jalan hidup yang diperkenankan Tuhan, tetapi kamu tidak percaya kepadanya. Sebaliknya pemungut cukai dan pelacur telah mempercayainya. Meskipun kamu melihat hal ini, kamu masih tidak insaf dan enggan mempercayainya.”—Matius 21:31, 32.
Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan yang kedua untuk menunjukkan bahawa para pemimpin agama bukan sahaja tidak menyembah Tuhan, mereka bahkan juga jahat. Dia berkata bahawa seorang lelaki menanam anggur dan mendirikan pagar di sekeliling ladangnya. Kemudian dia menyewakan ladang itu kepada beberapa orang peladang lalu berangkat ke luar negeri. Apabila musim anggur tiba, dia berkali-kali mengutus hamba-hambanya kepada para peladang itu untuk menerima sebahagian daripada hasil ladang anggur. Tetapi hamba-hamba itu ditangkap, dipukul, dihina, dan ada yang dibunuh.—Markus 12:1-5.
Perumpamaan itu mungkin mengingatkan para pendengar Yesus tentang kata-kata Yesaya yang berbunyi, “Israel ialah ladang anggur Yehuwa, ketua angkatan syurga; orang Yehuda ialah pokok anggur yang disukai-Nya. Dia mengharapkan mereka berlaku adil, tetapi mereka berlaku tidak adil.” (Yesaya 5:7) Dalam perumpamaan Yesus, Yehuwa ialah pemilik ladang. Dia telah “mendirikan pagar,” iaitu memberikan Hukum-Nya, untuk melindungi “ladang-Nya,” iaitu bangsa Israel. Dia telah mengutus nabi-nabi-Nya untuk mengajar bangsa itu dan membantu mereka menghasilkan buah yang baik.
Tetapi “para peladang” memukul, merejam, dan membunuh ‘hamba-hamba’ yang diutus oleh pemilik itu. Yesus berkata, ‘Akhirnya, pemilik itu mengutus anak lelakinya kepada mereka. Tetapi para peladang itu bercakap sesama sendiri, “Ini dia pewaris ladang anggur. Mari kita bunuh dia supaya kita mendapat harta yang bakal diwarisinya!” Maka mereka membunuhnya.’—Markus 12:6-8.
Yesus pun bertanya, “Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang anggur itu?” (Markus 12:9) Para pemimpin agama menjawab, ‘Oleh sebab mereka jahat, dia pasti akan membunuh mereka lalu menyewakan ladang anggurnya kepada peladang lain yang akan memberikan bahagiannya apabila musim anggur tiba.’—Matius 21:41.
Tanpa disedari, mereka menjatuhkan hukuman atas diri sendiri, kerana merekalah “para peladang” yang dimaksudkan itu. Mereka sepatutnya beriman kepada Anak Tuhan, iaitu Mesias, tetapi mereka tidak berbuat demikian. Maka Yesus berkata kepada mereka, “Belum pernahkah kamu membaca ayat suci ini yang menyatakan, ‘Batu yang dibuang oleh para pembina bangunan telah menjadi batu penjuru yang utama. Batu ini berasal daripada Yehuwa dan betapa indahnya batu ini di mata kita’?” (Markus 12:10, 11) Kemudian dia menyambung, “Inilah sebabnya aku berkata kepada kamu bahawa Kerajaan Tuhan akan diambil daripada kamu dan diserahkan kepada bangsa yang melakukan kehendak Tuhan.”—Matius 21:43.
Para jurutulis hukum dan ketua imam itu “sedar bahawa perumpamaan Yesus ditujukan kepada mereka.” (Lukas 20:19) Oleh itu, mereka lebih bertekad untuk membunuh Yesus, “pewaris ladang anggur” itu. Tetapi mereka takut kepada orang ramai yang percaya bahawa Yesus ialah seorang nabi. Maka mereka tidak membunuhnya pada masa itu.
-
-
Raja Menjemput Orang ke Majlis PerkahwinanYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 107
Raja Menjemput Orang ke Majlis Perkahwinan
PERUMPAMAAN TENTANG MAJLIS PERKAHWINAN
Seraya masa kematian Yesus semakin mendekat, dia terus menggunakan perumpamaan untuk mendedahkan sifat sebenar para ketua imam dan jurutulis hukum. Oleh itu, mereka ingin membunuhnya. (Lukas 20:19) Sekarang dia menceritakan satu lagi perumpamaan.
Dia berkata, “Kerajaan di syurga adalah seperti seorang raja yang mengadakan majlis perkahwinan untuk anak lelakinya. Raja itu mengutus hamba-hambanya untuk memanggil para jemputan, tetapi mereka enggan datang.” (Matius 22:2, 3) Yesus menyebut tentang “Kerajaan di syurga,” maka kita dapat menyimpulkan bahawa “raja” itu ialah Yehuwa. ‘Anak lelaki’ raja itu ialah anak Yehuwa, iaitu Yesus. “Para jemputan” pula ialah orang yang akan memerintah bersama Yesus di syurga.
Siapakah yang paling awal dijemput? Orang Yahudi, kerana merekalah yang paling awal mendengar tentang berita Kerajaan Tuhan. (Matius 10:6, 7; 15:24) Orang Yahudi diberi Hukum Musa pada tahun 1513 SM. Dengan demikian, mereka menjadi bangsa pertama yang membentuk “sebuah kerajaan imam” untuk Tuhan. (Keluaran 19:5-8) Tetapi bilakah mereka akan dijemput ke “majlis perkahwinan” itu? Jemputan itu diberikan pada tahun 29 M apabila Yesus mula menyebarkan berita tentang Kerajaan di syurga.
Apakah reaksi kebanyakan orang terhadap jemputan itu? Yesus berkata bahawa “mereka enggan datang.” Sebilangan besar pemimpin agama dan orang biasa enggan menerima Yesus sebagai Mesias dan Raja yang dilantik Tuhan.
Tetapi mereka diberi satu lagi peluang kerana Yesus berkata, “Sekali lagi raja mengutus hamba-hambanya yang lain. Raja berkata, ‘Beritahulah para jemputan, “Beta sudah menyediakan jamuan makan malam. Lembu jantan dan binatang-binatang beta yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan putera beta.”’ Tetapi mereka tidak mengambil peduli. Seorang pergi ke ladangnya; seorang lagi pergi menguruskan perniagaannya; yang lain pula menangkap hamba-hamba raja itu lalu memukul dan membunuh mereka.” (Matius 22:4-6) Hal ini berlaku semasa sidang Kristian ditubuhkan. Pada waktu itu, orang Yahudi masih berpeluang untuk memasuki Kerajaan Tuhan. Tetapi mereka menolaknya, dan ada yang bahkan memperlakukan “hamba-hamba raja” dengan buruk.—Kisah 4:13-18; 7:54, 58.
Oleh itu, Yesus berkata, “Raja menjadi marah lalu mengutus tenteranya untuk membunuh para pembunuh itu dan membakar kota mereka.” (Matius 22:7) Hal ini terjadi kepada orang Yahudi pada tahun 70 M apabila orang Roma memusnahkan “kota mereka,” iaitu Yerusalem.
Kemudian Yesus menunjukkan bahawa orang lain akan dijemput. Dia berkata, “Raja berkata kepada hamba-hambanya, ‘Majlis perkahwinan sudah tersedia, tetapi mereka yang dijemput tidak layak menghadirinya. Maka, pergilah ke jalan-jalan yang menuju ke luar kota dan jemputlah sesiapa sahaja yang kamu jumpa untuk datang ke majlis perkahwinan ini.’ Hamba-hamba itu menurut perintah raja lalu pergi ke jalan-jalan dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai, baik yang jahat mahupun yang baik. Maka dewan majlis perkahwinan itu dipenuhi dengan tetamu.”—Matius 22:8-10.
Pada kemudian hari, Petrus membantu orang asing, iaitu orang yang bukan berbangsa Yahudi atau orang yang bukan pemeluk agama Yahudi, untuk menjadi pengikut Kristus. Pada tahun 36 M, pegawai tentera Roma yang bernama Kornelius dan seisi rumahnya telah diberi kuasa suci Tuhan, maka mereka akan memerintah bersama Yesus dalam Kerajaan di syurga.—Kisah 10:1, 34-48.
Tetapi “raja” itu tidak akan mengalu-alukan semua orang yang datang ke majlis itu. Yesus berkata, “Semasa raja masuk untuk melihat para tetamunya, dia ternampak seorang lelaki yang pakaiannya tidak sesuai untuk majlis perkahwinan itu. Raja berkata kepadanya, ‘Mengapakah kamu berada di sini sedangkan pakaianmu tidak sesuai?’ Orang itu diam sahaja. Maka raja berkata kepada hamba-hambanya, ‘Ikatlah tangan dan kakinya lalu buanglah dia ke tempat yang gelap di luar. Di situ dia akan menangis dan menggertakkan gigi.’ Hal ini demikian kerana yang dijemput ramai tetapi yang dipilih sedikit.”—Matius 22:11-14.
Para pemimpin agama mungkin tidak memahami sepenuhnya kata-kata Yesus, tetapi mereka marah dan lebih bertekad untuk membunuhnya.
-
-
Yesus Menggagalkan Usaha MusuhnyaYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 108
Yesus Menggagalkan Usaha Musuhnya
MATIUS 22:15-40 MARKUS 12:13-34 LUKAS 20:20-40
MEMBERIKAN MILIK KAISAR KEPADA KAISAR
ADAKAH ORANG YANG DIBANGKITKAN AKAN BERKAHWIN?
HUKUM YANG TERPENTING
Musuh-musuh Yesus marah kerana dia baru sahaja mendedahkan kejahatan mereka. Sekarang orang Farisi berkomplot untuk memerangkapnya agar dia dihadapkan kepada gabenor Roma. Maka mereka mengupah pengikut mereka untuk berbuat demikian.—Lukas 6:7.
Pengikut mereka berkata, “Guru, kami tahu bahawa Guru sentiasa mengatakan dan mengajarkan apa yang betul. Guru tidak pilih kasih dan Guru mengajarkan jalan Tuhan berdasarkan kebenaran. Jadi, patutkah kita membayar cukai kepala kepada Kaisar?” (Lukas 20:21, 22) Yesus tidak terpedaya. Dia tahu bahawa mereka munafik dan licik. Jika dia menjawab, “Tidak patut,” dia akan dituduh memberontak terhadap kerajaan Roma. Tetapi jika dia menjawab, “Patut,” orang ramai mungkin akan menyangka bahawa dia menyokong kerajaan Roma. Jadi bagaimanakah dia akan menjawab?
Yesus berkata, “Hai orang yang bermuka dua, mengapakah kamu menguji aku? Tunjukkanlah duit syiling yang kamu gunakan untuk membayar cukai kepala.” Mereka memberikan satu denari kepadanya. Maka dia bertanya, “Muka dan gelaran siapakah ini?” Mereka menjawab, “Kaisar.” Kemudian Yesus berkata, “Jadi berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.”—Matius 22:18-21.
Para pengikut orang Farisi itu kagum dengan jawapannya. Selepas itu, para pemimpin orang Saduki pula datang untuk memerangkap Yesus.
Orang Saduki tidak percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan. Mereka menanya Yesus, “Guru, Musa berkata, ‘Jika seorang lelaki mati sebelum mempunyai anak, saudara kandungnya mesti berkahwin dengan balunya supaya dia mempunyai keturunan.’ Bersama kami ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin lalu mati tanpa mempunyai anak. Maka adiknya mengahwini isterinya. Hal yang sama berlaku kepada adik yang kedua, dan yang ketiga, sehingga adik yang ketujuh. Akhirnya, wanita itu pun mati. Memandangkan tujuh orang adik-beradik itu pernah berkahwin dengannya, siapakah antara mereka yang akan menjadi suaminya semasa pembangkitan nanti?”—Matius 22:24-28.
Yesus tahu bahawa mereka percaya kepada tulisan Musa, maka dia menjawab, “Kamu sudah silap kerana kamu tidak mengetahui Ayat-Ayat Suci ataupun kuasa Tuhan. Semasa pembangkitan orang mati, lelaki dan perempuan tidak akan berkahwin, tetapi menjadi seperti malaikat di syurga. Berkenaan dengan pembangkitan orang mati, belum pernahkah kamu membaca kisah yang ditulis oleh Musa tentang pokok kecil yang bernyala? Tuhan berfirman kepada Musa, ‘Aku Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’ Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati. Kamu silap sama sekali.” (Markus 12:24-27; Keluaran 3:1-6) Orang ramai kagum dengan jawapan itu.
Yesus telah membungkam orang Farisi dan orang Saduki, jadi sekarang mereka berpakat untuk memerangkapnya. Seorang jurutulis hukum bertanya kepadanya, “Guru, dalam Hukum Musa, hukum manakah yang paling penting?”—Matius 22:36.
Yesus menjawab, ‘Hukum terpenting ialah “Yehuwa ialah Tuhan kita dan Yehuwalah Tuhan yang esa. Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.” Yang kedua ialah “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.” Tidak ada hukum lain yang lebih penting daripada kedua-dua hukum ini.’—Markus 12:29-31.
Jurutulis hukum itu berkata, “Kata-kata Guru memang bagus dan berdasarkan kebenaran. ‘Tuhan itu Esa, dan tidak ada yang lain kecuali Dia.’ Manusia harus mengasihi-Nya dengan segenap hati, segenap pengertian, dan segenap kekuatan. Manusia juga harus mengasihi orang lain sepertimana mereka mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua hukum ini lebih bernilai daripada semua persembahan dan korban bakar.” Jurutulis hukum itu menjawab dengan bijak. Maka Yesus berkata, “Kamu tidak jauh daripada Kerajaan Tuhan.”—Markus 12:32-34.
Yesus mengajar di Rumah Tuhan selama tiga hari (9, 10, dan 11 Nisan). Ada orang menyambut baik ajaran Yesus. Tetapi ada pula yang membencinya, seperti para pemimpin agama yang kini tidak lagi berani untuk menanyakan apa-apa kepadanya.
-
-
Yesus Mendedahkan Kemunafikan PenentangnyaYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 109
Yesus Mendedahkan Kemunafikan Penentangnya
MATIUS 22:41–23:24 MARKUS 12:35-40 LUKAS 20:41-47
KRISTUS ANAK SIAPA?
YESUS MENDEDAHKAN KEMUNAFIKAN PENENTANGNYA
Yesus masih berada di Rumah Tuhan. Dia baru sahaja menggagalkan usaha para pemimpin agama untuk memerangkapnya. (Lukas 20:20) Kini tiba gilirannya untuk menyoal mereka. Dia bertanya, “Apakah pendapat kamu tentang Kristus? Dia itu anak siapa?” (Matius 22:42) Mereka tahu bahawa Mesias akan datang daripada keturunan Daud. Maka mereka menjawab, “Dia anak Daud.”—Matius 9:27; 12:23; Yohanes 7:42.
Yesus berkata, “Kalau begitu, mengapakah Daud yang diilhami kuasa suci Tuhan memanggil dia Tuan? Daud berkata, ‘Yehuwa berfirman kepada Tuanku, “Duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku meletakkan musuh-musuhmu di bawah kakimu.”’ Memandangkan Daud memanggil dia Tuan, bagaimana mungkin Kristus itu anak Daud?”—Matius 22:43-45.
Orang Farisi tidak dapat menjawab. Mereka berharap agar seorang keturunan Daud akan menjadi raja di bumi dan membebaskan mereka daripada jajahan Roma. Tetapi Yesus merujuk kepada kata-kata Daud di Mazmur 110:1, 2 untuk menunjukkan bahawa Mesias bukan sekadar seorang pemimpin manusia. Mesias juga akan duduk di sebelah kanan Tuhan dan menjadi raja di syurga.
Kemudian Yesus memberikan amaran kepada murid-muridnya dan orang ramai tentang jurutulis hukum dan orang Farisi yang telah “mengambil tempat duduk Musa” untuk mengajar orang tentang Hukum Tuhan. Dia berkata, “Buatlah semua yang disuruh oleh mereka. Tetapi janganlah tiru perbuatan mereka kerana mereka hanya tahu cakap tetapi tidak tahu buat.”—Matius 23:2, 3.
Yesus menyatakan perbuatan munafik mereka dengan berkata, ‘Lihatlah betapa besarnya bekas ayat suci yang dipakai oleh mereka sebagai perlindungan, dan betapa panjangnya rumbai jubah mereka!’ Sebilangan orang Yahudi memakai bekas-bekas kecil yang mengandungi petikan daripada Hukum Tuhan pada dahi atau lengan mereka. Selain itu, orang Israel dikehendaki untuk membuat rumbai pada jubah mereka. (Bilangan 15:38-40) Tetapi orang Farisi membesarkan bekas-bekas yang dipakai oleh mereka dan memanjangkan rumbai jubah mereka “untuk dilihat orang.”—Matius 23:5.
Pengikut Yesus mungkin akan terpengaruh dengan sikap orang Farisi. Maka dia menasihati mereka, “Janganlah kamu menerima gelaran Rabbi kerana kamu semua bersaudara dan Guru kamu hanya satu. Janganlah panggil sesiapa pun di bumi bapa kamu kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang ada di syurga. Janganlah terima gelaran pemimpin kerana kamu hanya mempunyai seorang Pemimpin, iaitu Kristus.” Jadi apakah sikap yang sepatutnya dipupuk oleh mereka? Yesus berkata, “Orang yang terbesar dalam kalangan kamu mesti melayani kamu. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”—Matius 23:8-12.
Seterusnya, Yesus mengutuk para jurutulis hukum dan orang Farisi yang munafik. Dia berkata, “Alangkah malangnya kamu, jurutulis hukum dan orang Farisi! Kamu orang yang bermuka dua! Kamu bukan sahaja tidak masuk dalam Kerajaan di syurga, malah kamu mengunci pintunya dan menghalang orang yang ingin memasukinya.”—Matius 23:13.
Orang Farisi tidak mementingkan hal-hal rohani. Contohnya, mereka berkata, “Jika seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, dia tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di Rumah Tuhan, dia mesti melaksanakan sumpahnya.” Mereka memang buta secara rohani kerana mereka lebih mementingkan emas di Rumah Tuhan daripada Rumah Tuhan. Mereka “tidak mempedulikan hal-hal yang lebih penting dalam Hukum, iaitu keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan.”—Matius 23:16, 23; Lukas 11:42.
Yesus memanggil mereka ‘pemimpin buta yang menapis agas di dalam minuman mereka, tetapi menelan unta.’ (Matius 23:24) Menurut Hukum Tuhan, agas dan unta dianggap najis dan tidak boleh dimakan. Orang Farisi dikatakan ‘menapis agas, tetapi menelan unta’ kerana mereka mematuhi hal-hal yang kecil dalam Hukum Tuhan, tetapi mengetepikan hal-hal yang lebih penting.—Imamat 11:4, 21-24.
-
-
Hari Terakhir Yesus di Rumah TuhanYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 110
Hari Terakhir Yesus di Rumah Tuhan
MATIUS 23:25–24:2 MARKUS 12:41–13:2 LUKAS 21:1-6
YESUS MENGUTUK PARA PEMIMPIN AGAMA
RUMAH TUHAN AKAN DIMUSNAHKAN
SUMBANGAN BALU MISKIN
Semasa Yesus berada di Rumah Tuhan buat kali terakhir, dia terus mendedahkan kemunafikan jurutulis hukum dan orang Farisi. Dia berkata, “Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan tetapi bahagian dalamnya penuh dengan ketamakan dan keinginan hati yang melampau. Hai orang Farisi yang buta, bersihkanlah dahulu bahagian dalam cawan dan pinggan, lalu bahagian luarnya juga akan menjadi bersih.” (Matius 23:25, 26) Orang Farisi terlalu berfokus kepada upacara keagamaan dan hal-hal luaran sehingga mengabaikan hal yang lebih penting, iaitu kesucian hati mereka.
Mereka juga munafik kerana meskipun mereka ialah “keturunan orang yang membunuh para nabi,” mereka mahu membina kubur dan menghiasi makam nabi. (Matius 23:31) Tetapi pada masa yang sama, mereka berusaha untuk membunuh Yesus.—Yohanes 5:18; 7:1, 25.
Apakah yang akan terjadi kepada mereka jika mereka tidak bertaubat? Yesus berkata, “Kamu ular dan keturunan ular yang berbisa. Bagaimanakah kamu dapat melarikan diri daripada dihakimi lalu dibuang dalam Gehena?” (Matius 23:33) “Gehena” merujuk kepada Lembah Hinom, iaitu tempat membakar sampah. Maka Yesus sedang menunjukkan bahawa mereka akan dibinasakan buat selama-lamanya.
Yesus akan mengutus para pengikutnya sebagai “nabi, orang bijak, dan guru” kepada para pemimpin agama itu, tetapi apakah reaksi mereka? Yesus berkata, “Beberapa orang antara mereka akan kamu bunuh dan gantung pada tiang. Ada yang akan kamu cambuk di rumah ibadat dan ada pula yang akan kamu aniaya dari kota ke kota. Dengan demikian, kamu akan bertanggungjawab atas penumpahan darah semua orang yang melakukan apa yang benar, yang dibunuh di bumi, daripada darah Habel sehingga darah Zakharia.” Yesus memberikan amaran berikut kepada mereka: “Semua dosa itu akan ditanggung oleh generasi ini.” (Matius 23:34-36) Ya, mereka dihukum pada tahun 70 M apabila tentera Roma memusnahkan Yerusalem dan membunuh ribuan orang Yahudi.
Semasa memikirkan situasi ini, Yesus berkata dengan sedih, “Yerusalem, Yerusalem, kamu membunuh para nabi dan merejam orang yang diutus kepada kamu. Sudah banyak kali aku ingin mengumpulkan anak-anak kamu sepertimana seekor ayam betina mengumpulkan anak-anaknya di bawah sayapnya! Tetapi kamu semua tidak mahu. Lihatlah, rumah ini akan terbiar dan diserahkan kepada kamu.” (Matius 23:37, 38) Mereka mungkin tertanya-tanya sama ada “rumah ini” merujuk kepada Rumah Tuhan di Yerusalem, yang nampaknya dilindungi oleh Tuhan.
Yesus menambah, “Mulai sekarang kamu tidak akan melihat aku lagi sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa!’” (Matius 23:39) Dia sedang memetik ayat di Mazmur 118:26 yang berbunyi, “Diberkatilah dia yang datang atas nama Yehuwa; kami memberkatimu dari Rumah Yehuwa.” Ya, kata-kata itu akan diucapkan tetapi bukan dari Rumah Tuhan di Yerusalem kerana rumah itu akan dimusnahkan.
Selepas itu, Yesus pergi ke tempat peti-peti sumbangan diletakkan. Di situ, dia nampak beberapa orang Yahudi dan orang kaya yang “memasukkan banyak wang.” Kemudian dia nampak seorang balu miskin ‘memasukkan dua keping mata wang yang sangat rendah nilainya.’ (Markus 12:41, 42) Yesus tahu bahawa Tuhan pasti sangat gembira dengan sumbangan balu itu.
Maka dia memanggil para pengikutnya dan berkata kepada mereka, “Apa yang dimasukkan oleh balu yang miskin ini lebih banyak daripada wang yang dimasukkan oleh semua orang ke dalam peti sumbangan.” Apakah maksudnya? Dia menjelaskan, “Semua orang lain memberikan persembahan daripada lebihan kekayaan mereka, tetapi wanita ini, walaupun dia sangat miskin, dia memberikan segala nafkah hidup yang ada padanya.” (Markus 12:43, 44) Ya, balu itu jauh berbeza daripada para pemimpin agama!
Semasa Yesus keluar dari Rumah Tuhan, salah seorang muridnya berkata, “Guru, lihatlah betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!” (Markus 13:1) Tembok Rumah Tuhan dibina daripada batu-batu yang sangat besar, maka bangunan itu kelihatan megah dan kukuh. Oleh itu, murid-murid Yesus pasti hairan apabila dia berkata, “Kamu nampak bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Batu-batu di sini pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain.”—Markus 13:2.
Selepas itu, Yesus dan para rasul berjalan melalui Lembah Kidron dan mendaki Gunung Zaitun. Kemudian Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes, datang kepadanya. Dari gunung itu, mereka melihat Rumah Tuhan yang tersergam indah.
-
-
Para Rasul Meminta TandaYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 111
Para Rasul Meminta Tanda
MATIUS 24:3-51 MARKUS 13:3-37 LUKAS 21:7-38
EMPAT ORANG PENGIKUT MEMINTA TANDA
NUBUAT-NUBUAT MENJADI KENYATAAN
KITA PERLU TERUS BERJAGA-JAGA
Hari Selasa, 11 Nisan, sudah hampir berakhir, begitu juga dengan kerja penyebaran Yesus di bumi. Pada siang hari, dia mengajar di Rumah Tuhan, dan banyak orang “datang untuk mendengarkannya.” Pada waktu malam pula, dia keluar dari sana dan tinggal di luar kota. (Lukas 21:37, 38) Kini Yesus duduk di atas Gunung Zaitun bersama empat orang rasulnya, iaitu Petrus, Andreas, Yakobus, dan Yohanes.
Yesus baru sahaja berkata bahawa batu-batu Rumah Tuhan pasti dirobohkan sehingga satu batu pun tidak akan tersusun di atas batu yang lain. Maka mereka datang kepada Yesus kerana ingin tahu apa yang akan berlaku kepada Rumah Tuhan. Sebelum itu, Yesus memberitahu mereka, “Pastikan bahawa kamu sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.” (Lukas 12:40) Dia juga menyebut tentang “hari Anak Manusia menampakkan diri.” (Lukas 17:30) Maka mereka ingin tahu sama ada perkara-perkara ini berkaitan dengan Rumah Tuhan atau tidak. Mereka bertanya, “Beritahulah kami bila hal-hal ini akan berlaku, dan apakah tanda bagi kehadiranmu dan penghujung sistem ini?”—Matius 24:3.
Mereka ingin tahu bila Rumah Tuhan akan dimusnahkan. Selain itu, mereka bertanya tentang kehadiran Anak Manusia, kerana mereka mungkin ingat akan perumpamaan Yesus tentang ‘seorang bangsawan yang pergi ke tempat jauh untuk menjadi raja, dan kemudian kembali.’ (Lukas 19:11, 12) Mereka juga ingin tahu apa yang akan berlaku pada “penghujung sistem ini.”
Yesus memberikan satu tanda kepada mereka. Tanda itu akan menunjukkan bila Yerusalem dan Rumah Tuhan akan dimusnahkan. Tanda itu juga akan membantu orang Kristian pada masa hadapan untuk mengetahui masa ‘kehadirannya’ dan “penghujung sistem ini.”
Seraya masa berlalu, para rasul melihat bagaimana nubuat Yesus itu menjadi kenyataan. Ya, banyak nubuat itu terjadi pada zaman mereka. Maka orang Kristian yang sentiasa berjaga-jaga tidak terkejut apabila Yerusalem dan Rumah Tuhan dimusnahkan pada tahun 70 M. Tetapi nubuat Yesus juga akan menjadi kenyataan pada masa depan. Pada waktu itu, apakah yang akan menunjukkan bahawa dia menjadi raja? Marilah kita lihat kata-kata Yesus yang seterusnya.
Yesus menubuatkan bahawa akan ada “peperangan di pelbagai tempat” dan “satu bangsa akan menyerang bangsa yang lain, dan satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain.” (Matius 24:6, 7) ‘Gempa bumi yang dahsyat akan berlaku, dan kebuluran dan wabak akan terjadi secara berturut-turut di merata tempat.’ (Lukas 21:11) Dia juga berkata bahawa para pengikutnya akan ‘ditangkap dan dianiaya.’ (Lukas 21:12) Nabi-nabi palsu akan muncul dan menyesatkan banyak orang. Kejahatan akan semakin bertambah, dan kasih kebanyakan orang akan mendingin. Selain itu, Yesus berkata bahawa “berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.”—Matius 24:14.
Nubuat Yesus menjadi kenyataan sebelum dan semasa Yerusalem dimusnahkan oleh orang Roma, tetapi adakah nubuat ini akan berlaku pada skala yang lebih besar pada masa depan? Adakah anda sedar bahawa nubuat Yesus sedang terjadi dewasa ini?
Tanda kehadiran Yesus merangkumi kemunculan “benda jijik yang membawa kemusnahan.” (Matius 24:15) Pada tahun 66 M, “benda jijik” ini muncul apabila tentera Roma membawa bendera dan lambang mereka untuk mengepung Yerusalem. (Lukas 21:20) “Benda jijik” ini dikatakan “berdiri di tempat yang suci” kerana orang Yahudi menganggap Yerusalem sebagai tempat yang suci.
Kemudian Yesus berkata, “Akan berlakunya kesengsaraan besar yang tidak pernah berlaku semenjak permulaan dunia sehingga sekarang, dan yang tidak akan berlaku lagi.” Pada tahun 70 M, tentera Roma memusnahkan Yerusalem. Kejadian ini digambarkan sebagai kesengsaraan besar kerana “kota suci” orang Yahudi, termasuk Rumah Tuhan, telah dibinasakan dan banyak orang terbunuh pada waktu itu. (Matius 4:5; 24:21) Mereka tidak pernah mengalami pembinasaan yang begitu teruk. Mereka tidak dapat beribadat di Rumah Tuhan lagi, seperti yang telah dilakukan oleh mereka selama berabad-abad sebelum ini. Apabila nubuat ini menjadi kenyataan dalam skala yang lebih besar pada masa depan, kita akan melihat kesengsaraan yang lebih besar.
PENGHUJUNG SISTEM INI
Yesus terus mengajar para rasul tentang tanda kehadirannya dan penghujung sistem ini. Dia memberitahu mereka bahawa “Kristus palsu dan nabi palsu” akan muncul dan mencuba menyesatkan orang, bahkan “umat Tuhan yang terpilih.” (Matius 24:24) Tetapi umat ini tidak akan disesatkan kerana mereka tahu bahawa kehadiran Kristus palsu dapat dilihat, manakala kehadiran Yesus tidak dapat dilihat.
Berkenaan kesengsaraan yang akan berlaku pada penghujung sistem ini, Yesus berkata, “Matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak akan bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa-kuasa di langit akan digoncang.” (Matius 24:29) Para rasul tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku, tetapi mereka tahu bahawa keadaan pada masa itu pasti amat luar biasa.
Yesus menggambarkan reaksi orang pada waktu itu dengan berkata, “Apabila orang menantikan apa yang bakal melanda seluruh bumi, mereka akan pengsan ketakutan kerana kuasa-kuasa di langit akan digoncangkan.” (Lukas 21:26) Ya, itulah detik paling menakutkan dalam sejarah manusia.
Tetapi perkara yang menggembirakan juga akan terjadi. Yesus berkata, ‘Anak Manusia akan datang dengan kuasa dan kemuliaan yang besar.’ (Matius 24:30) Sebelum ini, dia berkata bahawa “disebabkan umat yang terpilih,” Tuhan akan memendekkan tempoh masa kesengsaraan itu. (Matius 24:22) Maka apakah yang patut dilakukan oleh umat yang setia itu apabila mereka nampak hal-hal ini berlaku? Yesus berkata, “Apabila hal-hal ini mula berlaku, berdirilah dengan tegak dan angkatlah kepala kamu kerana pembebasan kamu sudah dekat.”—Lukas 21:28.
Tetapi bagaimanakah pengikut Yesus dewasa ini tahu bahawa akhir penghujung sistem sudah dekat? Yesus menceritakan perumpamaan tentang pokok ara. Dia berkata, “Sebaik sahaja dahan muda yang lembut mula mengeluarkan daun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. Demikian juga, apabila kamu melihat semua perkara ini, ketahuilah bahawa dia sudah berada di ambang pintu. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu bahawa generasi ini tidak akan lenyap sehingga semua perkara ini berlaku.”—Matius 24:32-34.
Apabila mereka melihat pelbagai aspek tanda itu menjadi kenyataan, mereka akan tahu bahawa akhir sudah dekat. Yesus menasihati mereka,
“Tiada seorang pun yang tahu hari atau waktunya, baik malaikat di syurga mahupun Anak. Hanya Bapa yang tahu. Sebagaimana keadaannya pada zaman Nuh, begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia. Sebelum Banjir melanda, orang makan dan minum, lelaki dan wanita berkahwin, sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak ambil peduli, sehingga Banjir melanda dan melenyapkan mereka semua. Begitulah keadaannya semasa kehadiran Anak Manusia.” (Matius 24:36-39) Ya, sebagaimana Banjir pada zaman Nuh telah meliputi seluruh bumi, kehadiran Anak Manusia juga akan mempengaruhi seluruh bumi.
Pasti empat orang rasul itu sedar bahawa mereka perlu sentiasa berjaga-jaga. Yesus berkata, “Perhatikanlah diri kamu agar hati kamu tidak sarat dengan makan berlebihan, minum berlebihan, dan kekhuatiran hidup, sehingga hari itu menimpa kamu dengan tiba-tiba seperti perangkap. Hari itu akan menimpa semua penduduk di seluruh muka bumi. Jadi, teruslah berjaga-jaga dan sentiasalah merayu kepada Tuhan agar kamu dapat diselamatkan daripada semua hal ini yang mesti berlaku dan dapat berdiri di hadapan Anak Manusia.”—Lukas 21:34-36.
Yesus sekali lagi menunjukkan bahawa apa yang dinubuatkannya akan terjadi pada skala yang lebih besar. Kejadian-kejadian itu tidak akan menimpa Yerusalem dan orang Yahudi sahaja, tetapi juga akan “menimpa semua penduduk di seluruh muka bumi.”
Dia berkata bahawa pengikutnya perlu terus berjaga-jaga dan sentiasa bersedia. Dia menegaskan hal ini dengan perumpamaan berikut: “Jika tuan rumah tahu pada jam berapa pencuri akan datang, dia akan terus berjaga sepanjang malam dan tidak membenarkan pencuri pecah masuk ke dalam rumahnya. Oleh itu, pastikan bahawa kamu bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada waktu yang tidak kamu jangkakan.”—Matius 24:43, 44.
Seterusnya Yesus memberi mereka sebab untuk bersukacita. Dia berkata bahawa apabila nubuatnya menjadi kenyataan, dia akan melantik “hamba” yang sentiasa berjaga-jaga dan bersiap sedia. Dia menjelaskan, “Siapakah sebenarnya hamba yang setia dan bijaksana, yang dilantik oleh tuannya untuk menjaga hamba-hamba lain dan untuk memberi mereka makanan pada masa yang sesuai? Alangkah bahagianya hamba itu jika tuannya datang dan mendapati bahawa dia sedang menjalankan tugasnya! Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Dia akan melantik hamba itu untuk mengurus segala hartanya.” Tetapi jika “hamba itu” menjadi jahat dan menindas hamba-hamba lain, tuannya akan “menjatuhkan hukuman yang berat sekali atasnya.”—Matius 24:45-51; bandingkan Lukas 12:45, 46.
Yesus tidak memaksudkan bahawa segelintir pengikutnya akan menjadi jahat. Dia sebenarnya ingin mengingatkan mereka supaya sentiasa berjaga-jaga dan bersiap sedia, seperti yang ditekankan dalam perumpamaan yang seterusnya.
-
-
Perumpamaan 10 Anak Dara dan Sikap Berjaga-jagaYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 112
Perumpamaan 10 Anak Dara dan Sikap Berjaga-jaga
PERUMPAMAAN YESUS TENTANG 10 ANAK DARA
Yesus telah menjawab soalan para rasul tentang tanda kehadirannya dan penghujung sistem ini. Sekarang dia menasihati mereka melalui satu perumpamaan. Kejadian yang digambarkan dalam perumpamaan ini akan menjadi kenyataan semasa kehadirannya.
Dia berkata, “Pada masa itu, Kerajaan di syurga adalah seperti 10 orang anak dara yang mengambil pelita mereka dan keluar untuk menyambut pengantin lelaki. Lima orang daripada mereka bodoh, dan lima orang lagi bijaksana.”—Matius 25:1, 2.
Yesus tidak memaksudkan bahawa separuh pengikutnya bodoh, dan separuh lagi bijaksana. Sebaliknya, dia sedang menunjukkan bahawa setiap pengikutnya mempunyai pilihan untuk bersikap waspada atau cuai. Dia yakin bahawa mereka semua dapat tetap setia dan menerima berkat daripada Bapanya.
Dalam perumpamaan itu, 10 orang anak dara keluar untuk menyambut pengantin lelaki. Anak-anak dara itu akan menerangi jalan yang dilalui oleh pengantin lelaki apabila dia datang ke rumahnya bersama isterinya. Tetapi apakah yang berlaku?
Yesus berkata, “Anak dara yang bodoh membawa pelita tetapi tidak membawa minyak tambahan, manakala anak dara yang bijaksana membawa pelita dan bekas berisi minyak. Memandangkan pengantin lelaki lambat datang, mereka semua mengantuk lalu tertidur.” (Matius 25:3-5) Pengantin lelaki itu lambat datang dan mereka terpaksa menunggu untuk waktu yang agak lama. Oleh itu, mereka semua tertidur. Hal ini mungkin mengingatkan para rasul tentang perumpamaan seorang bangsawan yang pergi ke tempat jauh untuk menjadi raja dan kemudian kembali.—Lukas 19:11-15.
Selepas itu, Yesus menggambarkan apa yang berlaku apabila pengantin lelaki itu tiba. Dia berkata, “Pada tengah malam, ada orang berseru, ‘Itu dia pengantin lelaki! Pergilah menyambutnya.’” (Matius 25:6) Apakah reaksi anak-anak dara itu? Adakah mereka berjaga-jaga dan bersedia?
Yesus berkata, “Semua anak dara itu bangun dan menyediakan pelita mereka. Anak dara yang bodoh berkata kepada anak dara yang bijaksana, ‘Berilah kami sedikit minyak kerana pelita kami hampir padam.’ Anak dara yang bijaksana menjawab, ‘Mungkin bekalan minyak kami tidak cukup untuk kita semua. Pergilah dan belilah minyak daripada mereka yang menjualnya.’”—Matius 25:7-9.
Lima orang anak dara itu bodoh kerana mereka tidak berjaga-jaga dan tidak bersedia untuk menyambut pengantin lelaki. Mereka tidak membawa bekalan minyak yang mencukupi dan perlu membelinya. Yesus berkata, “Semasa mereka bertolak untuk membeli minyak, pengantin lelaki sampai. Anak-anak dara yang sudah bersedia mengikutnya ke dalam rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan, lalu pintu ditutup. Kemudian, anak dara yang lain tiba lalu berkata, ‘Tuan, Tuan, bukalah pintu untuk kami!’ Pengantin lelaki menjawab, ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku tidak mengenal kamu.’” (Matius 25:10-12) Betapa sedihnya kesudahan mereka!
Para rasul faham bahawa pengantin lelaki itu merujuk kepada Yesus, kerana dia pernah menyamakan dirinya dengan seorang pengantin lelaki. (Lukas 5:34, 35) Anak dara yang bijaksana pula merujuk kepada siapa? Semasa Yesus bercakap tentang “kawanan kecil” yang akan mewarisi Kerajaan Tuhan, dia berkata, “Hendaklah kamu mengikat pinggang dan memastikan pelita kamu dinyalakan.” (Lukas 12:32, 35) Jadi para rasul dapat menyimpulkan bahawa anak dara itu merujuk kepada pengikutnya yang terurap seperti mereka. Oleh itu, apakah yang ingin disampaikan oleh Yesus menerusi perumpamaan ini?
Dia mengakhiri perumpamaannya dengan berkata, “Maka, teruslah berjaga-jaga, kerana kamu semua tidak tahu hari atau waktunya.”—Matius 25:13.
Jelaslah bahawa Yesus sedang menyuruh para pengikutnya yang setia untuk ‘terus berjaga-jaga’ dan menantikan kehadirannya. Seperti lima orang anak dara yang bijaksana itu, mereka perlu bersedia untuk kedatangannya. Jika tidak, mereka akan kehilangan harapan dan berkat yang telah dijanjikan kepada mereka.
-
-
Perumpamaan Talenta dan Sikap Rajin BerusahaYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 113
Perumpamaan Talenta dan Sikap Rajin Berusaha
PERUMPAMAAN YESUS TENTANG TALENTA
Yesus menceritakan satu lagi perumpamaan kepada empat orang rasulnya di Gunung Zaitun. Beberapa hari yang lalu, semasa di Yerikho, dia telah menceritakan perumpamaan tentang wang mina untuk menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan akan datang pada masa depan. Perumpamaan yang diceritakannya sekarang mempunyai beberapa ciri yang sama dengan perumpamaan wang mina itu, dan merupakan sebahagian daripada jawapannya kepada soalan tentang kehadirannya dan penghujung sistem ini. Perumpamaan ini menekankan pentingnya untuk menjalankan kerja penyebaran dengan rajin.
Yesus berkata, ‘Seorang lelaki akan berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya dan mengamanahkan hartanya kepada mereka.’ (Matius 25:14) Memandangkan Yesus pernah menyamakan dirinya dengan bangsawan yang ‘pergi ke tempat jauh untuk menjadi raja,’ para rasul tahu bahawa Yesus ialah “lelaki” dalam perumpamaan ini.—Lukas 19:12.
Sebelum lelaki itu berangkat, dia mengamanahkan hartanya kepada hamba-hambanya. Semasa Yesus menginjil di bumi selama tiga tahun setengah, dia berfokus kepada kerja menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan melatih para pengikutnya untuk berbuat demikian. Tidak lama lagi, dia akan meninggalkan bumi, dan dia yakin bahawa mereka akan terus melakukan kerja ini.—Matius 10:7; Lukas 10:1, 8, 9; bandingkan Yohanes 4:38; 14:12.
Bagaimanakah lelaki itu mengamanahkan hartanya? Yesus menjelaskan, “Berdasarkan kebolehan masing-masing, dia memberi seorang hamba lima talenta, seorang dua talenta, dan seorang lagi satu talenta.” (Matius 25:15) Apakah yang akan dilakukan oleh hamba-hamba itu dengan talenta yang diamanahkan kepada mereka? Adakah mereka akan bekerja keras dan menggandakan wang itu? Yesus berkata,
“Hamba yang menerima lima talenta itu segera pergi berniaga lalu mendapat lima talenta lagi. Begitu juga, hamba yang menerima dua talenta mendapat dua talenta lagi. Tetapi hamba yang menerima satu talenta sahaja pergi dan menggali lubang di tanah lalu menyembunyikan wang perak tuannya.” (Matius 25:16-18) Apakah yang akan berlaku apabila lelaki itu kembali?
“Setelah sekian lama,” kata Yesus, “tuan kepada hamba-hamba itu kembali untuk memeriksa apa yang telah dilakukan oleh mereka dengan wangnya.” (Matius 25:19) Dua orang hamba yang pertama berusaha “berdasarkan kebolehan masing-masing.” Mereka rajin, bekerja keras, dan menggandakan wang yang telah diamanahkan. (Pada zaman itu, seseorang harus bekerja selama kira-kira 20 tahun untuk mendapat upah satu talenta.) Lelaki itu memuji dua orang hambanya, “Bagus, hamba yang baik dan setia! Kamu menguruskan hal yang kecil dengan setia. Jadi, aku akan melantik kamu untuk menguruskan lebih banyak hal. Bersukacitalah bersama tuanmu.”—Matius 25:21.
Bagaimana pula dengan hamba yang menerima satu talenta? Hamba itu berkata kepada tuannya, “Hamba tahu tuan seorang yang amat tegas. Tuan menuai meskipun tidak menanam, dan memungut hasil meskipun tidak mengusahakannya. Jadi hamba berasa takut dan pergi menyembunyikan talenta tuan di dalam tanah. Lihat, inilah milik tuan.” (Matius 25:24, 25) Dia bahkan tidak memasukkan wang itu ke dalam bank supaya mendapat faedah. Ya, dia sememangnya merugikan tuannya.
Tuannya memanggilnya “hamba yang jahat dan malas.” Kemudian tuannya mengambil talentanya dan memberikan talenta itu kepada hamba yang rajin, lalu berkata, “Bagi setiap orang yang mempunyai sesuatu, dia akan diberi lebih banyak supaya dia memilikinya dengan melimpah. Tetapi bagi orang yang tiada apa-apa, bahkan apa yang dimilikinya juga akan diambil daripadanya.”—Matius 25:26, 29.
Ada banyak yang perlu difikirkan oleh para pengikut Yesus setelah mendengar perumpamaan ini. Mereka sedar bahawa Yesus telah mengamanahkan sesuatu yang amat berharga kepada mereka, iaitu kerja menjadikan orang muridnya. Yesus ingin mereka melakukan kerja ini dengan tekun dan berusaha “berdasarkan kebolehan masing-masing.” Dia tahu bahawa setiap orang akan membuahkan hasil yang berbeza. Meskipun demikian, Yesus tidak senang hati jika seseorang “malas” dan tidak berusaha dengan tekun.
Para rasul pasti bersukacita kerana Yesus memberikan jaminan berikut: “Bagi setiap orang yang mempunyai sesuatu, dia akan diberi lebih banyak supaya dia memilikinya dengan melimpah.”
-
-
Raja Yesus Memisahkan Bebiri daripada KambingYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 114
Raja Yesus Memisahkan Bebiri daripada Kambing
PERUMPAMAAN YESUS TENTANG BEBIRI DAN KAMBING
Yesus baru menceritakan perumpamaan tentang 10 anak dara dan wang talenta. Sekarang dia menceritakan perumpamaan tentang bebiri dan kambing untuk melengkapkan jawapannya bagi soalan tentang kehadirannya dan penghujung sistem ini.
Yesus berkata, “Apabila Anak Manusia datang dalam kemuliaannya dengan semua malaikat, dia akan duduk di atas takhtanya yang agung.” (Matius 25:31) “Anak Manusia” yang dimaksudkan dalam perumpamaan ini ialah Yesus kerana dia selalu menggunakan gelaran ini untuk merujuk kepada dirinya.—Matius 8:20; 9:6; 20:18, 28.
Bilakah peristiwa dalam perumpamaan ini akan menjadi kenyataan? Yesus pernah berkata bahawa “Anak Manusia datang di atas awan dengan kuasa dan kemuliaan yang besar” bersama malaikatnya “sejurus selepas kesengsaraan” berlaku. (Matius 24:29-31; Markus 13:26, 27; Lukas 21:27) Ya, peristiwa dalam perumpamaan ini akan menjadi kenyataan pada masa depan. Apakah yang akan dilakukannya pada waktu itu?
Yesus berkata, ‘Apabila Anak Manusia datang, semua bangsa akan dikumpulkan di hadapannya, dan dia akan memisahkan orang menjadi dua kumpulan, sepertimana seorang gembala memisahkan biri-biri daripada kambing. Dia akan meletakkan biri-biri di sebelah kanannya tetapi kambing di sebelah kirinya.’—Matius 25:31-33.
Berkenaan golongan bebiri, Yesus berkata, “Kemudian Raja akan berkata kepada mereka yang ada di sebelah kanannya, ‘Marilah, kamu yang telah diberkati oleh Bapaku. Warisilah Kerajaan Tuhan yang telah disediakan untuk kamu sejak dunia diasaskan.’” (Matius 25:34) Mengapakah raja itu memberkati mereka?
Raja itu menjelaskan, “Semasa aku lapar, kamu memberi aku makanan; aku dahaga dan kamu memberi aku minuman. Kamu tidak mengenal aku, tetapi kamu menyambut aku ke dalam rumahmu. Aku tidak berpakaian tetapi kamu memberi aku pakaian. Aku jatuh sakit dan kamu menjaga aku. Aku dipenjarakan dan kamu datang melawat aku.” Apabila golongan bebiri, iaitu “orang yang melakukan apa yang benar,” bertanya bila mereka berbuat demikian, raja itu menjawab, “Apa sahaja yang kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu lakukannya untukku.” (Matius 25:35, 36, 40, 46) Mereka tidak melakukan perbuatan baik itu di syurga kerana tiada orang yang sakit atau lapar di situ. Sebaliknya mereka telah berbuat demikian kepada saudara Kristus yang berada di bumi.
Berkenaan golongan kambing, Yesus berkata, “Kemudian [raja] akan berkata kepada mereka yang ada di sebelah kirinya, ‘Pergilah dari sini, hai orang yang terkutuk! Pergilah ke dalam api kekal yang disediakan untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya. Semasa aku lapar, kamu tidak memberi aku makanan; aku dahaga tetapi kamu tidak memberi aku minuman. Aku tidak kamu kenali, tetapi kamu tidak menyambut aku ke dalam rumahmu. Aku tidak berpakaian tetapi kamu tidak memberi aku pakaian. Aku jatuh sakit dan dipenjarakan tetapi kamu tidak menjaga aku.’” (Matius 25:41-43) Mereka memang patut dihukum kerana mereka tidak berbuat baik kepada saudara Kristus yang berada di bumi.
Daripada perumpamaan ini, para rasul tahu bahawa harapan kekal mereka bergantung pada penghakiman raja itu. Yesus memberitahu mereka, “[Raja] akan [berkata], ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Apa sahaja yang tidak kamu lakukan untuk salah seorang daripada saudaraku yang paling kecil, kamu tidak lakukannya untukku.’ Orang sebegini akan mati selama-lamanya, tetapi orang yang melakukan apa yang benar akan hidup selama-lamanya.”—Matius 25:45, 46.
Ya, jawapan Yesus pastinya mendorong para rasul untuk memeriksa sikap dan perbuatan mereka.
-