PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Mengajar Sikap Rendah Hati semasa Perayaan Paska
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus mencuci kaki para rasulnya untuk mengajar mereka tentang sikap rendah hati

      BAB 116

      Mengajar Sikap Rendah Hati semasa Perayaan Paska

      MATIUS 26:20 MARKUS 14:17 LUKAS 22:14-18 YOHANES 13:1-17

      • YESUS MENYAMBUT PASKA TERAKHIR BERSAMA PARA RASUL

      • DIA MENCUCI KAKI PARA RASUL

      Petrus dan Yohanes sudah berada di Yerusalem untuk membuat persediaan bagi jamuan Paska, manakala Yesus dan 10 orang rasul yang lain akan menyusul kemudian. Seraya matahari terbenam, Yesus dan para rasul itu menuruni lereng Gunung Zaitun.

      Tidak lama kemudian, mereka tiba di Yerusalem dan naik ke tingkat atas sebuah rumah. Semua persiapan untuk jamuan Paska sudah dibuat di situ. Yesus memulakan jamuan itu dengan berkata, “Aku teringin sekali makan jamuan Paska ini bersama kamu sebelum aku menderita.”​—Lukas 22:15.

      Beberapa tahun sebelum ini, perbuatan mengedarkan cawan yang berisi wain telah menjadi sebahagian daripada adat Perayaan Paska. Sekarang, setelah menerima sebuah cawan, Yesus mengucapkan syukur dan berkata, “Ambillah cawan ini dan edarkannya sesama kamu. Aku berkata kepada kamu: Mulai sekarang, aku tidak akan minum wain lagi sehingga Kerajaan Tuhan datang.” (Lukas 22:17, 18) Jelaslah bahawa dia akan mati tidak lama lagi.

      Semasa jamuan itu, Yesus berdiri dan meletakkan jubah luarnya ke tepi. Kemudian dia mengambil sehelai tuala dan menuangkan air ke dalam sebuah besen, lalu mula membasuh kaki murid-muridnya. Biasanya tuan rumah akan menyuruh hambanya untuk melakukan kerja ini. (Lukas 7:44) Tetapi pada masa itu, tiada tuan rumah, maka Yesus melakukannya. Meskipun para rasul dapat melakukannya, tiada seorang pun antara mereka yang berbuat demikian kerana mereka mungkin masih bertengkar tentang siapa yang lebih besar. Jadi mereka malu apabila Yesus mencuci kaki mereka.

      Apabila Yesus datang kepada Petrus, Petrus berkata, “Guru sama sekali tidak boleh membasuh kakiku.” Yesus menjawab, “Jika aku tidak membasuh kakimu, kamu bukan milikku.” Petrus pun berkata, “Kalau begitu Tuan, janganlah basuh kakiku sahaja. Basuhlah tangan dan kepalaku juga.” Jawapan Yesus yang seterusnya pasti mengejutkan Petrus. Yesus berkata, “Sesiapa yang sudah mandi hanya perlu membasuh kakinya kerana seluruh tubuhnya bersih. Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.”​—Yohanes 13:8-10.

      Setelah Yesus membasuh kaki kesemua 12 orang rasulnya, termasuk Yudas Iskariot, dia mengenakan jubah luarnya lalu duduk semula dan berkata, “Adakah kamu memahami apa yang sudah aku lakukan untuk kamu? Kamu memanggil aku ‘Guru’ dan ‘Tuan.’ Kata-kata kamu itu benar kerana aku memang Guru dan Tuan kamu. Jika aku sebagai Tuan dan Guru kamu sudah membasuh kaki kamu, kamu juga harus membasuh kaki satu sama lain. Oleh sebab aku sudah menetapkan teladan untuk kamu, kamu juga harus melakukan apa yang sudah aku lakukan untuk kamu. Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya, dan tidak ada utusan yang lebih besar daripada orang yang mengutusnya. Jika kamu mengetahui hal-hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya.”​—Yohanes 13:12-17.

      Betapa bernilainya pengajaran ini! Para pengikut Yesus tidak patut asyik mengejar kedudukan dan ingin dilayani orang. Sebaliknya mereka patut mencontohi Yesus. Hal ini tidak bererti bahawa mereka perlu membasuh kaki orang, tetapi mereka patut melayani orang dengan rendah hati dan tanpa berat sebelah.

      • Semasa jamuan Paska, apakah yang dikatakan oleh Yesus untuk menunjukkan bahawa dia akan mati tidak lama lagi?

      • Mengapakah Yesus mencuci kaki para rasul semasa jamuan Paska?

      • Dengan mencuci kaki rasulnya, apakah pengajaran yang ingin disampaikan oleh Yesus?

  • Perjamuan Malam Tuan
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus mengasaskan Perjamuan Malam Tuan bersama 11 orang rasulnya yang setia

      BAB 117

      Perjamuan Malam Tuan

      MATIUS 26:21-29 MARKUS 14:18-25 LUKAS 22:19-23 YOHANES 13:18-30

      • YUDAS DIKENAL PASTI SEBAGAI PENGKHIANAT

      • YESUS MENGASASKAN PERJAMUAN MALAM TUAN

      Nampaknya jamuan Paska sudah tamat. Sekarang Yesus memetik kata-kata Daud yang berbunyi, “Sahabat karibku yang aku percayai, yang makan bersama-samaku, telah mengangkat tumitnya untuk menentang aku.” Kemudian dia menjelaskan, “Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati aku.”​—Mazmur 41:9; Yohanes 13:18, 21.

      Para rasul, termasuk Yudas Iskariot, bertanya, “Tuan, adakah aku orangnya?” Petrus menyuruh Yohanes, yang duduk di sisi Yesus, untuk mencari tahu siapa yang dimaksudkannya. Maka Yohanes bersandar pada Yesus lalu bertanya, “Tuan, siapakah orang itu?”​—Matius 26:22; Yohanes 13:25.

      Yesus menjawab, “Orang yang aku beri roti yang aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.” Yesus pun mencelup roti ke dalam mangkuk lalu menghulurkannya kepada Yudas dan berkata, “Seperti yang tertulis, Anak Manusia memang akan mati. Tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak dilahirkan.” (Yohanes 13:26; Matius 26:24) Kemudian Syaitan memasuki Yudas. Kini lelaki yang jahat ini akan melakukan kehendak Si Iblis dan menjadi “[orang] yang akan dimusnahkan itu.”​—Yohanes 6:64, 70; 12:4; 17:12.

      Yesus memberitahu Yudas, “Cepatlah lakukan apa yang hendak kamu lakukan.” Oleh sebab Yudas yang menjaga peti wang, rasul-rasul lain menyangka bahawa Yesus menyuruhnya untuk “membeli barang yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin.” (Yohanes 13:27-30) Tetapi Yudas sebenarnya pergi untuk mengkhianati Yesus.

      Setelah Yudas beredar, Yesus mengasaskan jamuan yang baharu. Dia mengambil roti dan mengucapkan syukur lalu membahagikan roti itu sambil berkata, “Roti ini melambangkan tubuhku yang akan diserahkan untuk kamu. Teruslah melakukan hal ini untuk mengenang aku.” (Lukas 22:19) Roti itu diedarkan kepada setiap rasul dan mereka pun memakannya.

      Selepas itu, Yesus mengambil secawan wain dan mengucapkan syukur lalu memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, “Cawan ini melambangkan perjanjian baharu yang termeterai dengan darahku, yang akan dicurahkan untuk kamu.” (Lukas 22:20) Setiap rasul pun minum daripada cawan itu.

      Dengan itu, Yesus mengasaskan sambutan untuk memperingati kematiannya. Para pengikutnya harus merayakan sambutan ini pada 14 Nisan setiap tahun. Sambutan ini mengingatkan mereka tentang pengorbanan yang dibuat oleh Yesus dan Bapanya untuk membebaskan manusia daripada dosa dan kematian. Sambutan ini lebih penting daripada Perayaan Paska kerana sambutan ini menonjolkan bahawa kematian Yesus akan membawa pembebasan kekal kepada umat manusia.

      Yesus berkata bahawa darahnya “akan dicurahkan supaya dosa banyak orang diampunkan.” Hal ini bererti bahawa dosa para rasul dan pengikut Yesus yang setia akan diampunkan, dan mereka akan mewarisi Kerajaan Tuhan bersamanya.​—Matius 26:28, 29.

      • Apakah nubuat Bible yang dipetik oleh Yesus? Apakah penjelasan yang diberikannya berkenaan nubuat Bible itu?

      • Yesus menyuruh Yudas untuk melakukan apa? Tetapi apakah yang disangka oleh rasul-rasul yang lain?

      • Apakah sambutan baharu yang diasaskan oleh Yesus? Apakah tujuan sambutan itu?

  • Pertengkaran tentang Siapa yang Terbesar
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Para rasul bertengkar tentang siapa yang terbesar

      BAB 118

      Pertengkaran tentang Siapa yang Terbesar

      MATIUS 26:31-35 MARKUS 14:27-31 LUKAS 22:24-38 YOHANES 13:31-38

      • NASIHAT YESUS TENTANG KEDUDUKAN

      • PENYANGKALAN PETRUS DINUBUATKAN

      • KASIH IALAH TANDA PENGENAL PENGIKUT YESUS

      Yesus telah membasuh kaki para rasulnya untuk mengajar mereka tentang sikap rendah hati, kerana mereka masih mementingkan kedudukan. (Markus 9:33, 34; 10:35-37) Sekarang mereka menunjukkan kelemahan ini sekali lagi.

      ‘Pertengkaran besar tercetus antara para rasul tentang siapa yang terbesar.’ (Lukas 22:24) Sikap mereka pasti membuat Yesus sangat sedih.

      Tetapi Yesus tidak memarahi mereka. Sebaliknya dia berkata dengan penuh sabar, ‘Raja bangsa-bangsa lain mengawal rakyat mereka, dan orang yang berkuasa digelar Dermawan. Namun, janganlah kamu menjadi seperti mereka. Siapakah yang lebih besar, orang yang makan di meja atau orang yang melayaninya?’ Kemudian dia mengingatkan mereka bahawa selama ini, ‘dialah yang melayani mereka.’​—Lukas 22:25-27.

      Biarpun mereka tidak sempurna, mereka telah mengharungi banyak cabaran bersama Yesus. Maka dia berkata, “Sebagaimana Bapaku telah membuat perjanjian dengan aku untuk memberi aku sebuah kerajaan, aku juga membuat perjanjian dengan kamu.” (Lukas 22:29) Ya, mereka setia kepada Yesus. Oleh itu, dia berjanji bahawa mereka akan memerintah bersamanya.

      Meskipun demikian, mereka masih tidak sempurna. Yesus memberitahu mereka, “Syaitan telah mengatakan bahawa dia mahu menampi kamu semua seperti seseorang yang memisahkan gandum daripada sekamnya.” (Lukas 22:31) Dia juga berkata, “Malam ini, kamu semua akan tersandung kerana apa yang bakal menimpa aku. Hal ini demikian kerana ada tertulis, ‘Aku akan menyerang gembala, dan kawanan bebirinya akan berselerak ke merata tempat.’”​—Matius 26:31; Zakharia 13:7.

      Dengan yakin, Petrus menjawab, “Walaupun mereka semua tersandung kerana apa yang bakal menimpa Guru, aku sama sekali tidak akan tersandung!” (Matius 26:33) Yesus memberitahu Petrus bahawa pada malam itu, sebelum ayam jantan berkokok dua kali, Petrus akan menyangkalnya. Dia juga berkata, “Namun, aku telah merayu kepada Tuhan bagi pihakmu agar kamu tidak kehilangan iman. Sebaik sahaja kamu bertaubat, teguhkanlah iman saudara-saudaramu.” (Lukas 22:32) Tetapi Petrus berkeras, “Biarpun aku terpaksa mati bersamamu, aku tidak akan menafikan bahawa aku mengenalmu.” (Matius 26:35) Rasul-rasul yang lain juga mengatakan hal yang sama.

      Yesus berkata, “Aku akan bersama kamu hanya untuk seketika lagi. Kamu akan mencari aku, tetapi seperti yang pernah aku katakan kepada orang Yahudi, aku juga berkata kepada kamu sekarang, ‘Kamu tidak boleh datang ke tempat yang akan aku pergi.’” Kemudian dia menambah, “Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”​—Yohanes 13:33-35.

      Apabila Petrus mendengar bahawa Yesus akan bersama mereka hanya untuk seketika lagi, dia bertanya, “Tuan, ke manakah Tuan akan pergi?” Yesus menjawab, “Sekarang kamu tidak boleh mengikut aku ke tempat yang akan aku pergi.” Dengan hairan, Petrus bertanya, “Tuan, mengapakah aku tidak boleh mengikut Tuan sekarang? Aku rela mengorbankan nyawaku untuk Tuan.”​—Yohanes 13:36, 37.

      Kemudian Yesus merujuk kepada waktu apabila dia mengutus mereka untuk menginjil di Galilea. (Matius 10:5, 9, 10) Dia berkata, “Semasa kamu diutus tanpa membawa beg duit, beg makanan, dan kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?” Mereka menjawab, “Tidak!” Tetapi sekarang Yesus memberi mereka arahan yang baharu. Dia berkata, “Orang yang mempunyai beg duit atau beg makanan harus membawanya, dan orang yang tidak memiliki pedang harus menjual jubah luarnya untuk membeli pedang. Ketahuilah bahawa apa yang tertulis mengenai aku mesti terjadi: ‘Dia dipandang sebagai penjahat.’ Sebenarnya apa yang tertulis mengenai aku sedang berlaku.”​—Lukas 22:35-37.

      Yesus merujuk kepada masa apabila dia akan dipakukan pada tiang bersama dengan penjahat. Selepas itu, pengikutnya akan dianiaya dengan teruk. Tetapi para rasul berasa bahawa mereka sudah bersedia menghadapi cabaran itu, maka mereka berkata, “Tuan, lihatlah! Di sini ada dua bilah pedang.” Dia berkata, “Itu sudah cukup.” (Lukas 22:38) Yesus berkata demikian kerana tidak lama lagi, dia akan mengajar mereka satu lagi pengajaran yang penting.

      • Mengapakah para rasul bertengkar? Bagaimanakah Yesus menangani situasi itu?

      • Apakah yang dijanjikan oleh Yesus kepada para pengikutnya yang setia?

      • Apakah reaksi Yesus apabila Petrus berkata dengan yakin bahawa dia tidak akan menyangkal Yesus?

  • Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus berada di bilik tingkat atas bersama 11 orang rasul yang setia

      BAB 119

      Yesus​—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan

      YOHANES 14:1-31

      • YESUS PERGI UNTUK MENYEDIAKAN TEMPAT BAGI RASULNYA

      • DIA BERJANJI AKAN MEMBERI PENGIKUTNYA PENOLONG

      • BAPA LEBIH BESAR DARIPADA YESUS

      Yesus masih berada di bilik tingkat atas bersama para rasul, dan dia menggalakkan mereka, “Janganlah susah hati. Berimanlah kepada Tuhan dan berimanlah juga kepada aku.”​—Yohanes 13:36; 14:1.

      Yesus menyambung, ‘Ada banyak tempat kediaman di rumah Bapaku. Setelah aku pergi untuk menyediakan tempat bagi kamu, aku akan kembali dan membawa kamu ke rumahku.’ Yesus sedang memberitahu mereka bahawa dia akan pergi ke syurga, tetapi mereka tidak memahaminya. Tomas berkata, “Tuan, kami tidak tahu ke mana Tuan akan pergi. Jadi bagaimanakah kami mengetahui jalannya?”​—Yohanes 14:2-5.

      “Akulah jalan dan kebenaran dan kehidupan,” jawab Yesus. Jika seseorang ingin pergi ke tempat kediaman Bapa di syurga, orang itu haruslah beriman kepada Yesus, menerima ajarannya, dan meniru teladannya. Yesus berkata, “Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.”​—Yohanes 14:6.

      Filipus pun berkata, “Tuan, tunjukkanlah Bapa kepada kami. Itu sudah cukup bagi kami.” Nampaknya Filipus ingin mendapat penglihatan tentang Tuhan, seperti penglihatan yang diterima oleh Musa, Elia, dan Yesaya. Yesus berkata, “Sudah begitu lama aku bersama kamu semua. Tetapi Filipus, adakah kamu masih belum mengenal aku? Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” Yesus mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna. Maka sesiapa yang melihat Yesus seolah-olah sudah melihat Bapanya. Kemudian untuk menunjukkan bahawa Bapa lebih besar daripada Anak, Yesus berkata, “Apa yang aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada diriku sendiri.” (Yohanes 14:8-10) Ya, Yesus memuji Bapanya kerana semua ajarannya berasal daripada Bapanya.

      Para rasul nampak Yesus melakukan mukjizat dan menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Sekarang dia memberitahu mereka, “Sesiapa yang beriman kepada aku akan melakukan kerja yang aku lakukan. Sebenarnya, dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi.” (Yohanes 14:12) Hal ini bererti bahawa mereka akan menjalankan kerja menginjil buat masa yang lebih lama, secara lebih meluas, dan mencapai lebih banyak orang.

      Selepas Yesus pergi, mereka tidak akan bersendirian. Dia berkata, “Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta jika kamu memintanya atas namaku.” Dia juga berkata, “Aku akan memohon kepada Bapa dan Dia akan memberi kamu penolong lain yang akan menyertai kamu buat selama-lamanya, iaitu kuasa suci Tuhan yang menyingkapkan kebenaran.” (Yohanes 14:14, 16, 17) Ya, dia berjanji bahawa mereka akan menerima kuasa suci Tuhan, dan hal ini berlaku pada hari Perayaan Pentakosta.

      Kemudian Yesus berkata, “Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat aku lagi. Tetapi kamu akan melihat aku kerana aku hidup dan kamu pun akan hidup.” (Yohanes 14:19) Yesus akan menampakkan dirinya kepada mereka selepas dia dibangkitkan. Pada kemudian hari, dia juga akan membangkitkan mereka ke syurga sebagai makhluk roh.

      Yesus berkata, “Sesiapa yang menerima dan mematuhi perintahku ialah orang yang mengasihi aku. Sesiapa yang mengasihi aku dikasihi oleh Bapaku, dan aku juga akan mengasihinya dan memperlihatkan diriku dengan jelas kepadanya.” Maka Yudas (yang juga dipanggil Tadius) bertanya, “Tuan, apakah yang telah berlaku sehingga Tuan mahu memperlihatkan diri dengan jelas kepada kami, dan bukannya kepada dunia?” Yesus menjawab, ‘Sesiapa yang mengasihi aku akan mematuhi ajaranku. Bapaku akan mengasihinya. Sesiapa yang tidak mengasihi aku tidak mematuhi ajaranku.’ (Yohanes 14:21-24) Tidak seperti pengikutnya, dunia ini tidak menerima Yesus sebagai jalan, kebenaran, dan kehidupan.

      Yesus akan pergi, jadi bagaimanakah pengikutnya akan mengingat semua ajarannya? Dia berkata, “Penolong itu, iaitu kuasa suci Tuhan, yang akan diutus oleh Bapa atas namaku akan mengajar kamu segala-galanya, dan akan mengingatkan kamu segala perkara yang telah aku katakan kepada kamu.” Para rasul pasti berasa lega kerana mereka telah melihat betapa besarnya kuasa suci Tuhan. Yesus menambah, ‘Aku meninggalkan kedamaian untuk kamu, aku memberi kamu kedamaianku. Janganlah susah hati dan janganlah berasa takut.’ (Yohanes 14:26, 27) Ya, pengikut Yesus tidak perlu risau kerana Yehuwa akan membimbing dan melindungi mereka.

      Tidak lama lagi, mereka akan melihat bukti bahawa Tuhan melindungi umat-Nya. Yesus berkata, “Pemerintah dunia ini akan datang. Tetapi dia tidak berkuasa atas diriku.” (Yohanes 14:30) Si Iblis dapat memasuki Yudas dan mengawalnya, tetapi Yesus tidak mempunyai apa-apa kelemahan yang boleh diperalatkan oleh Si Iblis. Si Iblis juga tidak dapat menghalang pembangkitan Yesus. Mengapa? Yesus berkata, “Aku melakukan apa yang diperintahkan oleh Bapa.” Dia yakin bahawa Bapanya akan membangkitkannya.​—Yohanes 14:31.

      • Yesus akan pergi ke mana? Bagaimanakah Yesus menjawab soalan Tomas?

      • Filipus meminta Yesus untuk melakukan apa?

      • Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus apabila dia berkata bahawa para pengikutnya akan “melakukan hal-hal yang lebih besar lagi”?

      • Bapa lebih besar daripada Yesus. Hal ini meyakinkan Yesus tentang apa?

  • Menghasilkan Buah dan Menjadi Sahabat Yesus
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus bercakap dengan murid-muridnya seraya mereka meninggalkan bilik di tingkat atas

      BAB 120

      Menghasilkan Buah dan Menjadi Sahabat Yesus

      YOHANES 15:1-27

      • POKOK ANGGUR SEJATI DAN CARANG-CARANGNYA

      • CARA UNTUK TETAP BERADA DALAM KASIH YESUS

      Sekarang sudah larut malam. Yesus terus menggalakkan para rasulnya yang setia dengan menceritakan satu perumpamaan lagi.

      Dia berkata, “Akulah pokok anggur yang sejati, dan Bapaku ialah peladang anggur.” (Yohanes 15:1) Kata-katanya mungkin mengingatkan mereka tentang bangsa Israel yang dipanggil pokok anggur Yehuwa berabad-abad dahulu. (Yeremia 2:21; Hosea 10:1, 2) Namun bangsa itu akan ditinggalkan oleh Yehuwa. (Matius 23:37, 38) Sekarang, Yesus memperkenalkan sesuatu yang baharu. Dia berkata bahawa dia ialah pokok anggur Bapanya sejak dia diurapi dengan kuasa suci Tuhan pada tahun 29 M. Selain itu, Yesus menunjukkan bahawa perumpamaan pokok anggur itu turut merangkumi orang lain. Dia berkata,

      ‘Setiap carang padaku yang tidak berbuah akan dibuang oleh Bapaku, dan setiap carang yang berbuah akan dipangkas supaya menjadi bersih dan menghasilkan lebih banyak buah. Jika carang tidak tetap berada pada pokoknya, carang itu tidak dapat berbuah. Demikian juga, jika kamu tidak tetap bersatu dengan aku, kamu tidak dapat berbuah. Akulah pokok anggur dan kamu ialah carang-carangnya.’​—Yohanes 15:2-5.

      Yesus berjanji kepada para pengikutnya bahawa dia akan memberi mereka penolong. Hal itu berlaku 51 hari kemudian, iaitu apabila para rasul dan orang lain diberi kuasa suci Tuhan dan menjadi carang-carang pokok anggur itu. Semua “carang” harus tetap bersatu dengan Yesus. Mengapa?

      Yesus menjelaskan, “Jika seseorang tetap bersatu dengan aku, aku juga akan bersatu dengannya. Dengan demikian, dia akan menghasilkan banyak buah kerana kamu tidak dapat melakukan apa-apa tanpa aku.” Carang-carang ini, iaitu para pengikutnya yang setia, akan menghasilkan banyak buah. Ya, mereka akan meniru sifat-sifat Yesus, menginjil dengan giat, dan menjadikan orang murid Yesus. Yesus menambah, “Jika kamu tetap bersatu dengan aku dan menyimpan kata-kataku dalam hati kamu, mintalah apa sahaja yang kamu inginkan dan permintaan kamu akan dikabulkan.” Namun jika mereka tidak tetap bersatu dengan Yesus dan tidak berbuah, mereka akan “dicampak ke luar.”​—Yohanes 15:5-7.

      Kemudian Yesus menyebut tentang pentingnya mematuhi perintahnya untuk kali ketiga. (Yohanes 14:15, 21) Dia berkata, “Jika kamu mematuhi perintah-perintahku, kamu akan tetap berada dalam kasihku, sebagaimana aku telah mematuhi perintah-perintah Bapa dan tetap berada dalam kasih-Nya.” Namun, selain mengasihi Yehuwa dan Yesus, ada hal lain yang perlu dilakukan. Yesus berkata, “Kamu harus saling mengasihi, sebagaimana aku sudah mengasihi kamu. Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya. Kamu ialah sahabat-sahabatku jika kamu melakukan apa yang aku perintahkan.”​—Yohanes 15:10-14.

      Beberapa jam lagi, Yesus akan membuktikan kasihnya dengan menyerahkan nyawanya bagi orang yang beriman kepadanya. Teladannya harus mendorong para pengikutnya untuk menunjukkan kasih yang sama. Kasih sedemikian akan menjadi tanda pengenal murid Yesus yang sejati, seperti yang pernah dikatakannya: “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.”​—Yohanes 13:35.

      Yesus memanggil para rasul sebagai sahabatnya. Dia berkata, “Aku memanggil kamu sahabat-sahabatku kerana aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.” Memang penghormatan yang besar untuk menjadi sahabat karib Yesus dan mengetahui apa yang diajarkan oleh Bapanya! Namun, untuk tetap menjadi sahabatnya, mereka perlu “terus menghasilkan buah.” Dengan demikian, apa sahaja yang diminta oleh mereka daripada Bapa atas nama Yesus akan diberikan kepada mereka.​—Yohanes 15:15, 16.

      Kasih yang wujud antara para pengikutnya akan membantu mereka untuk menghadapi cabaran dengan tabah. Dia mengingatkan mereka, ‘Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci aku sebelum membenci kamu. Jika kamu sebahagian daripada dunia, dunia akan mengasihi kamu kerana kamu miliknya. Kamu bukan sebahagian daripada dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu.’​—Yohanes 15:18, 19.

      Yesus menambah, “Mereka akan melakukan semua ini terhadap kamu kerana namaku, dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus aku.” Sebenarnya semua mukjizat yang dilakukan oleh Yesus membuktikan kesalahan mereka yang membencinya. Dia berkata, “Seandainya mereka tidak melihat aku melakukan mukjizat yang tidak pernah dilakukan orang lain, mereka tidak berdosa. Tetapi sekarang mereka sudah melihat aku dan membenci aku serta Bapaku.” Ya, perbuatan mereka sudah dinubuatkan dalam Kitab Suci.​—Yohanes 15:21, 24, 25; Mazmur 35:19; 69:4.

      Yesus berjanji sekali lagi bahawa dia akan memberi murid-muridnya penolong, iaitu kuasa suci Tuhan, untuk menghasilkan buah. Ya, kuasa suci itu akan membolehkan mereka untuk “memberikan kesaksian.”​—Yohanes 15:27.

      • Siapakah yang digambarkan sebagai peladang, pokok anggur, dan carang-carang, dalam perumpamaan Yesus?

      • Sebutkan buah yang patut dihasilkan oleh carang-carang.

      • Bagaimanakah murid-murid Yesus dapat menjadi sahabatnya? Apakah yang akan membantu mereka untuk menghadapi tentangan dunia?

  • “Teguhkanlah Hati Kamu! Aku Sudah Menakluki Dunia”
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Para rasul runsing apabila Yesus memberikan amaran kepada mereka

      BAB 121

      “Teguhkanlah Hati Kamu! Aku Sudah Menakluki Dunia”

      YOHANES 16:1-33

      • SEKETIKA LAGI, PARA RASUL TIDAK AKAN MELIHAT YESUS

      • DUKACITA AKAN BERUBAH MENJADI SUKACITA

      Yesus dan para rasul bersedia untuk meninggalkan bilik tempat mereka mengadakan jamuan Paska. Tetapi Yesus berkata, “Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu tidak tersandung.” Apakah maksudnya? Dia menjelaskan, “Kamu akan dihalau dari rumah ibadat. Sebenarnya, akan tiba masanya apabila setiap orang yang membunuh kamu akan menyangka bahawa dia sedang menjalankan khidmat suci kepada Tuhan.”​—Yohanes 16:1, 2.

      Para rasul runsing setelah mendengar kata-kata Yesus. Meskipun dia pernah berkata bahawa dunia akan membenci mereka, dia tidak pernah berkata bahawa mereka akan dibunuh. Dia menyambung, “Aku tidak memberitahu kamu hal-hal ini sebelum ini, kerana aku masih bersama kamu.” (Yohanes 16:4) Tetapi sekarang dia memberikan amaran kepada mereka agar mereka tidak tersandung pada kemudian hari.

      Dia menambah, “Kini aku akan pergi kepada Dia yang mengutus aku. Tetapi tidak seorang pun daripada kamu yang bertanya, ‘Ke manakah Guru akan pergi?’” Sebelum ini, mereka telah bertanya ke mana dia akan pergi. (Yohanes 13:36; 14:5; 16:5) Tetapi sekarang, mereka runsing dan sedih. Maka mereka tidak bertanya tentang kemuliaan yang menantikan Yesus dan kesannya terhadap penyembah Tuhan yang sejati. Maka Yesus berkata, “Sekarang kamu bersedih hati kerana aku memberitahu kamu hal-hal ini.”​—Yohanes 16:6.

      Kemudian Yesus menjelaskan, “Aku pergi demi kebaikan kamu. Jika aku tidak pergi, penolong itu tidak akan datang kepada kamu. Tetapi jika aku pergi, aku akan mengutusnya kepada kamu.” (Yohanes 16:7) Para pengikut Yesus di serata bumi hanya akan menerima kuasa suci Tuhan selepas Yesus mati dan naik ke syurga.

      Kuasa suci Tuhan ‘akan menunjukkan bukti yang kukuh kepada dunia tentang dosa-dosanya, dan tentang siapa yang melakukan apa yang benar dan siapa yang akan dihukum oleh Tuhan.’ (Yohanes 16:8) Ya, kuasa suci Tuhan akan menunjukkan bahawa dunia ini tidak beriman kepada Anak Tuhan. Selain itu, apabila Yesus naik ke syurga, hal ini akan membuktikan bahawa dia melakukan apa yang benar, dan bahawa “pemerintah dunia ini,” iaitu Syaitan, patut dihukum.​—Yohanes 16:11.

      Yesus berkata, “Banyak lagi yang hendak aku katakan kepada kamu, tetapi kamu tidak dapat memahaminya buat masa ini.” Apabila dia mengutus kuasa suci Tuhan kepada mereka, mereka akan dibimbing untuk memahami “seluruh kebenaran” dan hidup selaras dengan kebenaran itu.​—Yohanes 16:12, 13.

      Kata-kata Yesus yang berikut membuat para rasul bingung: “Seketika lagi, kamu tidak akan melihatku, tetapi seketika kemudian kamu akan melihatku.” Mereka bertanya kepada satu sama lain apa yang dimaksudkan oleh Yesus. Maka Yesus menjelaskan, “Kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan berdukacita, tetapi dukacita itu akan berubah menjadi sukacita.” (Yohanes 16:16, 20) Apabila Yesus dibunuh pada keesokan hari, para pemimpin agama akan bersukacita, dan pengikut Yesus akan berdukacita. Tetapi dukacita mereka akan berubah menjadi sukacita apabila Yesus dibangkitkan, dan apabila mereka menerima kuasa suci Tuhan.

      Yesus membandingkan situasi para rasul dengan keadaan seorang wanita yang hendak bersalin. Setelah anaknya lahir, wanita itu bersukacita dan lupa akan kesakitan yang dialaminya. Maka Yesus menggalakkan para rasul dengan berkata, “Begitu juga, kamu berdukacita sekarang. Tetapi aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan penuh dengan sukacita, dan tiada sesiapa yang dapat merampas sukacita kamu.”​—Yohanes 16:21, 22.

      Para rasul tidak pernah meminta apa-apa pun atas nama Yesus, tetapi sekarang Yesus berkata, “Pada hari itu, kamu akan meminta kepada Bapa atas namaku.” Jika mereka berbuat demikian, Bapa akan mengabulkan permintaan mereka. Yesus berkata, ‘Bapa mengasihi kamu, kerana kamu mengasihi aku, yang datang sebagai wakil Tuhan.’​—Yohanes 16:26, 27.

      Kata-kata Yesus menggalakkan para rasul, maka mereka berkata, “Melalui hal ini kami percaya bahawa Guru berasal daripada Tuhan.” Yesus tahu bahawa iman mereka akan diuji tidak lama lagi. Dia berkata, “Lihatlah! Masanya akan tiba, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan lalu pulang ke rumah masing-masing. Kamu akan meninggalkan aku seorang diri.” Tetapi dia memberikan jaminan berikut: “Aku memberitahu kamu hal-hal ini supaya kamu menerima kedamaian melalui aku. Kamu akan menghadapi kesengsaraan di dunia ini, tetapi teguhkanlah hati kamu! Aku sudah menakluki dunia.” (Yohanes 16:30-33) Yesus sentiasa menyertai mereka. Dia yakin bahawa jika mereka setia melakukan kehendak Tuhan meskipun ditentang oleh Syaitan dan dunia ini, mereka juga akan berjaya menakluki dunia.

      • Apakah amaran yang membuat para rasul runsing?

      • Mengapakah mereka tidak menanyakan lebih banyak soalan kepada Yesus?

      • Apakah perbandingan yang digunakan oleh Yesus untuk menggambarkan bahawa dukacita mereka akan berubah menjadi sukacita?

  • Doa Terakhir Yesus di Bilik Tingkat Atas
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus menengadah ke langit dan berdoa di hadapan para rasul

      BAB 122

      Doa Terakhir Yesus di Bilik Tingkat Atas

      YOHANES 17:1-26

      • MENGENAL TUHAN DAN ANAKNYA

      • YEHUWA, YESUS, DAN PENGIKUT BERSATU

      Yesus amat mengasihi para rasul, dan dia mempersiapkan hati mereka untuk pemergiannya. Sekarang dia berdoa, ‘Ya Bapa, muliakanlah anak-Mu supaya anak-Mu boleh memuliakan-Mu. Engkau telah memberinya kuasa atas semua orang, supaya dia boleh memberikan kehidupan yang kekal kepada semua orang yang Engkau berikan kepadanya.’​—Yohanes 17:1, 2.

      Yesus sedar bahawa memuliakan Tuhan ialah perkara yang terpenting. Tetapi dia juga menyebut tentang kehidupan yang kekal. Memandangkan dia telah diberi “kuasa atas semua orang,” dia dapat menawarkan harapan kehidupan kekal kepada umat manusia. Namun, hanya orang yang ‘mengenal Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus’ akan mendapat harapan ini.​—Yohanes 17:3.

      Maka seseorang mesti mengenal Bapa dan Anak dengan baik dan memupuk hubungan yang erat dengan mereka. Dia mesti mempunyai pandangan yang sama dengan mereka dan berusaha meniru sifat-sifat baik mereka. Dia perlu memahami bahawa kemuliaan Tuhan adalah lebih penting daripada harapan hidup abadi. Berkenaan hal ini, Yesus berkata,

      ‘Aku sudah memuliakan-Mu di bumi dengan menyelesaikan kerja yang Engkau berikan kepadaku. Maka sekarang, biarlah aku dimuliakan di sisi-Mu dengan kemuliaan yang aku miliki di sisi-Mu sebelum dunia ada.’ (Yohanes 17:4, 5) Ya, setelah Yesus dibangkitkan, dia akan dimuliakan di syurga.

      Kemudian Yesus menyebut tentang apa yang telah dilakukannya di bumi. Dia berkata, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada orang dari dunia ini yang telah Engkau serahkan kepadaku. Mereka merupakan milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepadaku. Mereka mematuhi firman-Mu.” (Yohanes 17:6) Yesus bukan sekadar memberitahu orang tentang nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Dia juga mengajar mereka tentang sifat-sifat-Nya dan cara Dia memperlakukan manusia.

      Para rasul telah mengenal Yehuwa dan mengetahui peranan dan ajaran Anak-Nya. Dengan rendah hati, Yesus berkata, “Firman yang Engkau berikan kepadaku telah aku berikan kepada mereka dan diterima oleh mereka. Sesungguhnya mereka tahu bahawa aku datang sebagai wakil-Mu dan percaya bahawa Engkaulah yang mengutus aku.”​—Yohanes 17:8.

      Kemudian Yesus menyatakan perbezaan antara para pengikutnya dengan orang duniawi. Dia berkata, ‘Aku berdoa bukan untuk dunia, tetapi untuk mereka yang Engkau berikan kepadaku kerana mereka milik-Mu. Ya Bapa yang suci, demi nama-Mu sendiri yang telah Engkau berikan kepadaku, jagalah mereka supaya mereka menjadi satu, sepertimana kita juga satu. Aku sudah melindungi mereka dan tidak seorang pun antara mereka yang dimusnahkan kecuali dia yang akan dimusnahkan itu,’ iaitu Yudas Iskariot yang akan mengkhianati Yesus.​—Yohanes 17:9-12.

      Yesus terus berdoa, ‘Dunia membenci mereka. Aku tidak memohon Engkau untuk mengambil mereka keluar dari dunia, tetapi untuk melindungi mereka daripada Si Jahat. Mereka bukanlah sebahagian daripada dunia, sepertimana aku bukan sebahagian daripada dunia.’ (Yohanes 17:14-16) Meskipun pengikut Yesus hidup dalam dunia yang dikuasai Syaitan, mereka harus mengasingkan diri daripada dunia ini dan kejahatannya. Bagaimana?

      Mereka perlu menyucikan diri, menyembah Tuhan, dan hidup selaras dengan kebenaran yang tercatat dalam Kitab-Kitab Ibrani dan kebenaran yang diajarkan Yesus. Yesus berkata, “Sucikanlah mereka dengan kebenaran. Firman-Mu ialah kebenaran.” (Yohanes 17:17) Pada kemudian hari, sebilangan rasul akan menulis kitab-kitab yang diilhami Tuhan. Kitab-kitab ini juga akan menjadi sebahagian daripada “kebenaran,” yang dapat menyucikan orang.

      Tetapi ada juga orang lain yang akan menerima “kebenaran.” Oleh itu, Yesus berkata, “Aku berdoa bukan untuk mereka [para rasul] sahaja, tetapi untuk semua orang yang beriman kepada aku setelah mendengar ajaran mereka.” Yesus memohon agar “mereka semua menjadi satu.” Dia berkata, “Bapa, sepertimana Engkau bersatu dengan aku dan aku bersatu dengan Engkau, mereka juga bersatu dengan kita.” (Yohanes 17:20, 21) Hal ini bererti bahawa Yesus dan Bapanya mempunyai pandangan yang sama dalam segala hal. Yesus memohon agar pengikutnya juga akan menikmati perpaduan sedemikian.

      Yesus pernah memberitahu rasul-rasulnya bahawa dia akan pergi untuk menyediakan tempat bagi mereka di syurga. (Yohanes 14:2, 3) Sekarang dia merujuk kepada hal ini dalam doanya dengan berkata, “Ya Bapa, aku mahu agar orang yang Engkau berikan kepadaku bersama aku di tempat aku berada, supaya mereka dapat melihat kemuliaanku yang telah Engkau berikan kepadaku, kerana Engkau mengasihi aku sebelum dunia diasaskan.” (Yohanes 17:24, nota kaki) Hal ini bererti bahawa Tuhan sudah lama mengasihi Yesus, iaitu “sebelum dunia diasaskan.”

      Pada penghujung doanya, Yesus sekali lagi menyebut tentang nama Bapanya dan kasih Tuhan bagi para rasul dan bagi orang yang bakal menerima “kebenaran.” Dia berkata, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata kepada mereka dan aku akan terus berbuat demikian, supaya mereka akan menunjukkan kasih sepertimana Engkau menunjukkan kasih kepadaku dan supaya aku bersatu dengan mereka.”​—Yohanes 17:26.

      • Apakah erti mengenal Tuhan dan Anak-Nya?

      • Bagaimanakah Yesus membuat nama Tuhan nyata kepada orang?

      • Bagaimanakah Tuhan, Anak-Nya, dan semua penyembah Tuhan yang sejati bersatu?

  • Berdoa sewaktu Sangat Tertekan
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus berdoa di Taman Getsemani sementara Petrus, Yakobus, dan Yohanes tidur

      BAB 123

      Berdoa sewaktu Sangat Tertekan

      MATIUS 26:30, 36-46 MARKUS 14:26, 32-42 LUKAS 22:39-46 YOHANES 18:1

      • YESUS DI TAMAN GETSEMANI

      • PELUHNYA MENJADI SEPERTI DARAH

      Yesus selesai berdoa bersama para rasul. “Selepas mereka menyanyikan lagu pujian, mereka bertolak ke Gunung Zaitun.” (Markus 14:26) Mereka menuju ke arah timur, ke Taman Getsemani, yang selalu dikunjungi Yesus.

      Apabila mereka tiba di situ, Yesus memberitahu lapan orang rasulnya, “Duduklah di sini sementara aku pergi ke sana untuk berdoa.” Mereka mungkin menunggu dekat pintu masuk taman itu. Kemudian dia membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, ke dalam taman itu. Dia sangat gelisah, maka dia berkata, “Aku sedih sekali sehingga hendak mati rasanya. Teruslah berada di sini dan berjaga-jagalah bersamaku.”​—Matius 26:36-38.

      Dia pergi jauh sedikit daripada mereka lalu “bersujud di tanah dan mula berdoa.” Apakah yang didoakan oleh Yesus pada saat genting ini? Dia berkata, “Bapa, tiada sesuatu pun yang mustahil bagi-Mu. Jauhkanlah cawan ini daripadaku. Namun, janganlah turut kehendakku, tetapi turutlah kehendak-Mu.” (Markus 14:35, 36) Apakah yang dimaksudkannya? Adakah dia takut dan tidak mahu menjadi Penebus manusia? Tidak!

      Semasa di syurga, Yesus telah melihat bagaimana orang Roma menyeksa dan membunuh tawanan mereka. Sekarang setelah dia menjadi manusia, dia ada perasaan takut dan dapat merasai kesakitan. Dia juga sangat sedih kerana dia akan mati seperti seorang penjenayah dan hal itu mungkin mengaibkan nama Bapanya. Dalam beberapa jam lagi, dia akan digantungkan pada tiang seperti orang yang mengutuk Tuhan.

      Setelah berdoa sekian lama, Yesus kembali dan mendapati bahawa tiga orang rasul itu sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Tidak dapatkah kamu semua berjaga-jaga bersama aku selama satu jam? Teruslah berjaga-jaga dan berdoa supaya kamu semua tidak terjerat oleh godaan.” Yesus sedar bahawa mereka juga berasa tertekan dan letih, maka dia berkata, “Sememangnya, hati ingin membuat apa yang benar tetapi tubuh lemah.”​—Matius 26:40, 41.

      Kemudian dia pergi buat kali kedua dan meminta agar Tuhan menjauhkan “cawan ini” daripadanya. Semasa dia kembali, sekali lagi dia mendapati bahawa mereka bertiga sedang tidur biarpun mereka sepatutnya berdoa supaya mereka tidak terjerat oleh godaan. Jadi apabila Yesus menyoal mereka, mereka “tidak tahu apa yang harus dikatakan.” (Markus 14:40) Yesus pergi buat kali ketiga, lalu bersujud dan mula berdoa.

      Yesus sangat risau kerana dia akan mati seperti seorang penjenayah, dan hal ini akan mengaibkan nama Bapanya. Yehuwa mendengar doa Anak-Nya dan mengutus satu malaikat untuk menguatkannya. Biarpun demikian, Yesus “terus berdoa dengan lebih tekun.” Dia memikul tanggungjawab yang berat sekali kerana kehidupan abadinya dan kehidupan abadi semua manusia yang beriman bergantung padanya. Maka dia sangat tertekan sehingga “peluhnya menjadi seperti darah yang menitis ke tanah.”​—Lukas 22:44.

      Apabila dia kembali kepada rasul-rasulnya buat kali ketiga, sekali lagi dia mendapati bahawa mereka sedang tidur. Dia berkata, “Adakah kamu masih tidur dan berehat pada saat genting ini? Lihatlah! Masanya sudah dekat untuk Anak Manusia dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan pendosa. Bangunlah, mari kita pergi. Lihatlah! Pengkhianatku sudah dekat.”​—Matius 26:45, 46.

      PELUHNYA SEPERTI TITISAN DARAH

      Lukas tidak menjelaskan bagaimana peluh Yesus “menjadi seperti darah yang menitis.” (Lukas 22:44) Dia mungkin sedang menggambarkan peluh Yesus yang menitis seperti titisan darah. Tetapi Dr. William D. Edwards mengemukakan satu lagi penjelasan. Dia menulis bahawa peluh seseorang boleh bercampur darah, tetapi hal ini jarang berlaku. Jika orang itu sangat tertekan, saluran darahnya yang kecil mungkin akan pecah dan darah akan bercampur dengan peluhnya.​—The Journal of the American Medical Association (JAMA).

      • Selepas Yesus dan para rasul meninggalkan bilik di tingkat atas, mereka pergi ke mana?

      • Apakah yang dilakukan oleh Petrus, Yakobus, dan Yohanes, sewaktu Yesus berdoa?

      • Jelaskan mengapa peluh Yesus menjadi seperti titisan darah.

  • Kristus Dikhianati dan Ditangkap
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus menegur Petrus kerana dia mengerat telinga Malkhus; askar-askar bersedia untuk menangkap Yesus

      BAB 124

      Kristus Dikhianati dan Ditangkap

      MATIUS 26:47-56 MARKUS 14:43-52 LUKAS 22:47-53 YOHANES 18:2-12

      • YUDAS MENGKHIANATI YESUS DI TAMAN GETSEMANI

      • PETRUS MENGERAT TELINGA SEORANG LELAKI

      • YESUS DITANGKAP

      Sekarang sudah larut malam. Sebelum ini, para imam bersetuju untuk memberi Yudas 30 keping wang perak supaya dia mengkhianati Yesus. Maka sekarang Yudas membawa para ketua imam dan orang Farisi untuk mencari Yesus. Mereka juga disertai oleh askar-askar Roma dan seorang ketua pasukan tentera.

      Nampaknya Yudas terus pergi kepada para ketua imam setelah dia meninggalkan jamuan Paska. (Yohanes 13:27) Mereka mengumpulkan para pengawal dan askar-askar. Mula-mula, Yudas mungkin membawa mereka ke bilik tingkat atas tempat Yesus dan para rasul menyambut Perayaan Paska. Tetapi sekarang mereka pergi ke Taman Getsemani sambil membawa pelita, obor, dan senjata, untuk mencari Yesus.

      Memandangkan Yesus dan para rasul selalu singgah di taman itu, Yudas pergi ke situ. Tetapi sekarang sudah larut malam, dan taman itu ada banyak pokok zaitun. Jadi askar-askar itu mungkin tidak dapat mengenal Yesus. Maka Yudas berkata kepada mereka, “Sesiapa yang aku cium, dialah orang yang kamu cari. Tangkaplah dia dan bawalah dia dengan kawalan yang ketat.”​—Markus 14:44.

      Apabila Yudas dan orang yang bersamanya memasuki taman itu, dia nampak Yesus bersama para rasul yang lain. Dia terus menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Rabbi!” lalu menciumnya. Yesus berkata kepadanya, “Mengapakah kamu datang?” (Matius 26:49, 50) Yesus menjawab soalannya sendiri dengan berkata, “Yudas, adakah kamu mengkhianati Anak Manusia dengan ciuman?” (Lukas 22:48) Selepas itu, Yesus tidak mempedulikan Yudas lagi.

      Yesus melangkah ke depan dan bertanya, “Siapakah yang sedang kamu cari?” Mereka menjawab, “Yesus, orang Nasaret itu.” Dengan berani, Yesus berkata, “Akulah orang yang kamu cari.” (Yohanes 18:4, 5) Jawapan Yesus mengejutkan mereka, maka mereka rebah ke tanah.

      Yesus tidak mengambil peluang itu untuk melarikan diri, sebaliknya dia menanya mereka sekali lagi, “Siapakah yang sedang kamu cari?” Apabila mereka menjawab, “Yesus, orang Nasaret itu,” dia berkata dengan tenang, “Aku sudah memberitahu kamu bahawa akulah orang yang kamu cari. Jika akulah orang yang kamu cari, biarlah mereka pergi.” Biarpun menghadapi saat genting ini, Yesus tidak lupa akan kata-kata yang diucapkannya dahulu, “Aku tidak kehilangan seorang pun.” (Yohanes 6:39; 17:12) Yesus melindungi rasul-rasulnya yang setia dan tiada seorang pun yang akan dimusnahkan, “kecuali dia yang akan dimusnahkan itu,” iaitu Yudas. (Yohanes 18:7-9) Itulah sebabnya dia meminta mereka untuk melepaskan para rasulnya.

      Kemudian askar-askar itu berdiri dan menghampiri Yesus. Para rasul nampak apa yang berlaku dan berkata kepada Yesus, “Tuan, haruskah kami menyerang mereka dengan pedang?” (Lukas 22:49) Sebelum Yesus sempat menjawab, Petrus menghunus pedangnya dan menyerang Malkhus, seorang hamba imam agung, dan mengerat telinga kanannya.

      Yesus menyentuh telinga Malkhus dan menyembuhkannya. Kemudian dia berkata kepada Petrus dengan tegas, “Sarungkanlah pedangmu. Orang yang menggunakan pedang akan dibinasakan oleh pedang.” Yesus rela ditangkap. Mengapa? Dia berkata, “Bagaimanakah Ayat-Ayat Suci yang menyatakan bahawa perkara ini mesti berlaku dapat menjadi kenyataan?” (Matius 26:52, 54) Dia menyambung, “Bukankah aku harus minum daripada cawan yang diberikan oleh Bapa kepadaku?” (Yohanes 18:11) Ya, Yesus sanggup menyerahkan nyawanya untuk melakukan kehendak Tuhan.

      Yesus berkata kepada mereka, “Adakah kamu datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap aku seperti menangkap seorang perompak? Tiap-tiap hari aku duduk sambil mengajar di Rumah Tuhan. Namun, kamu tidak menangkap aku. Tetapi semua ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi menjadi kenyataan.”​—Matius 26:55, 56.

      Kemudian askar-askar, ketua pasukan tentera, dan para pengawal orang Yahudi, menangkap Yesus dan mengikatnya. Apabila para rasul nampak apa yang berlaku, mereka pun melarikan diri. Namun “ada seorang lelaki muda,” mungkin Markus, tinggal bersama orang ramai supaya dia dapat mengikut Yesus. (Markus 14:51) Tetapi apabila mereka mengecam mukanya dan mencuba menangkapnya, dia meninggalkan jubah linennya lalu melarikan diri.

      • Mengapakah Yudas mencari Yesus di Taman Getsemani?

      • Apakah yang dilakukan oleh Petrus untuk melindungi Yesus? Tetapi apakah reaksi Yesus?

      • Bagaimanakah Yesus menunjukkan bahawa dia ingin melakukan kehendak Tuhan?

      • Apabila para rasul meninggalkan Yesus, siapakah yang tetap berada di situ? Apakah yang berlaku seterusnya?

  • Yesus Dibawa kepada Hanas dan Kemudiannya kepada Kayafas
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Kayafas mengoyakkan jubah luarnya; Yesus ditampar, ditertawakan, dan dipukul

      BAB 125

      Yesus Dibawa kepada Hanas dan Kemudiannya kepada Kayafas

      MATIUS 26:57-68 MARKUS 14:53-65 LUKAS 22:54, 63-65 YOHANES 18:13, 14, 19-24

      • YESUS DIBAWA KEPADA HANAS, BEKAS IMAM AGUNG

      • MAJLIS ORANG YAHUDI MENGADAKAN PERBICARAAN YANG TIDAK ADIL

      Yesus diikat seperti seorang penjenayah dan dibawa kepada Hanas. Dahulu, iaitu apabila Yesus berusia 12 tahun, dia pernah membuat guru-guru agama di Rumah Tuhan kagum dengan pemahamannya. Pada waktu itu, Hanas ialah imam agung. (Lukas 2:42, 47) Tetapi sekarang menantunya, iaitu Kayafas, menjadi imam agung.

      Sementara Yesus disoal oleh Hanas, Kayafas mengumpulkan Majlis Orang Yahudi. Majlis itu terdiri daripada 71 orang, termasuk imam agung dan bekas-bekas imam agung.

      Hanas menyoal Yesus “tentang murid-muridnya dan tentang ajarannya.” Yesus menjawab, “Aku sentiasa bercakap di hadapan umum. Aku tidak pernah menyatakan sesuatu secara rahsia. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan Rumah Tuhan, iaitu tempat semua orang Yahudi berkumpul. Jadi, mengapakah kamu menyoal aku? Soallah mereka yang sudah mendengar kata-kataku. Mereka tahu apa yang aku katakan.”​—Yohanes 18:19-21.

      Salah seorang pengawal menampar muka Yesus lalu berkata, “Begitukah caranya kamu menjawab ketua imam?” Tetapi Yesus tahu bahawa dia tidak bersalah, maka dia menjawab, “Jika aku mengatakan sesuatu yang salah, beritahulah aku kesalahan itu. Tetapi jika apa yang aku katakan benar, mengapakah kamu memukul aku?” (Yohanes 18:22, 23) Kemudian Hanas menyuruh orang untuk membawa Yesus kepada menantunya Kayafas.

      Seluruh Majlis Orang Yahudi, iaitu imam agung, para pemimpin orang Yahudi, dan jurutulis hukum, sudah berkumpul di rumah Kayafas. Menurut Hukum Tuhan, mereka tidak sepatutnya mengadakan perbicaraan pada malam Perayaan Paska, tetapi mereka tidak ingin melepaskan peluang ini untuk mencapai tujuan jahat mereka.

      Perbicaraan ini memang tidak adil. Selepas Yesus membangkitkan Lazarus, mereka memutuskan bahawa Yesus patut mati. (Yohanes 11:47-53) Beberapa hari sebelum ini, mereka juga berkomplot untuk menangkap Yesus dan membunuhnya. (Matius 26:3, 4) Jadi sebelum perbicaraan ini bermula, mereka sudah pun memutuskan bahawa Yesus harus mati.

      Selain itu, mereka mencari saksi-saksi palsu untuk menuduh Yesus. Walaupun banyak saksi palsu tampil, kesaksian mereka saling bercanggah. Akhirnya dua orang datang dan berkata, “Kami pernah mendengar dia berkata, ‘Aku akan merobohkan Rumah Tuhan ini yang dibuat dengan tangan manusia, dan dalam masa tiga hari, aku akan membina Rumah Tuhan yang tidak dibuat dengan tangan manusia.’” (Markus 14:58) Tetapi dalam hal ini pun kesaksian mereka saling bercanggah.

      Kayafas menanya Yesus, “Mengapakah kamu tidak menjawab? Tidakkah kamu mendengar tuduhan yang dilontarkan terhadap kamu?” (Markus 14:60) Memandangkan Yesus berdiam diri, Kayafas menukar taktiknya.

      Kayafas tahu bahawa orang Yahudi tidak suka jika seseorang mendakwa bahawa dia ialah Anak Tuhan. Sebelum ini, apabila Yesus memanggil Tuhan sebagai Bapanya, orang Yahudi mahu membunuhnya kerana mereka mendakwa bahawa dia “menyamakan dirinya dengan Tuhan.” (Yohanes 5:17, 18; 10:31-39) Maka dengan licik, Kayafas berkata kepada Yesus, “Bersumpahlah demi Tuhan yang hidup dan beritahulah kami sama ada kamu ialah Kristus, iaitu Anak Tuhan, atau tidak!” (Matius 26:63) Yesus pernah mengakui bahawa dia ialah Anak Tuhan. (Yohanes 3:18; 5:25; 11:4) Jika dia tidak berbuat demikian sekarang, hal ini akan membuktikan bahawa dia bukanlah Anak Tuhan dan Kristus. Maka Yesus menjawab, “Ya, dan kamu semua akan melihat Anak Manusia datang atas awan di langit dan duduk di sebelah kanan Dia Yang Berkuasa.”​—Markus 14:62.

      Kayafas pun mengoyakkan jubah luarnya lalu berkata, “Dia telah menghina Tuhan! Adakah kita memerlukan saksi lagi? Kamu semua sudah mendengar kata-katanya yang menghina Tuhan. Apakah pendapat kamu?” Seluruh Majlis Orang Yahudi menjawab, “Dia patut mati.”​—Matius 26:65, 66.

      Kemudian mereka mentertawakan Yesus dan menumbuknya. Ada juga yang meludahinya dan menampar mukanya. Setelah mereka menutup mukanya dan menamparnya, mereka berkata, “Wahai nabi, beritahulah kami siapa yang memukulmu.” (Lukas 22:64) Ya, mereka mengadakan perbicaraan haram dan menghina Anak Tuhan!

      • Yesus dibawa ke mana terlebih dahulu? Apakah yang berlaku kepadanya di situ?

      • Kemudian Yesus dibawa ke mana? Bagaimanakah Kayafas dan Majlis Orang Yahudi “membuktikan” bahawa Yesus patut dihukum mati?

      • Bagaimanakah mereka memperlakukan Yesus semasa perbicaraan itu?

  • Petrus Menyangkal Yesus di Rumah Kayafas
    Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
    • Yesus memandang Petrus yang baru sahaja menyangkalnya; seekor ayam jantan berkokok

      BAB 126

      Petrus Menyangkal Yesus di Rumah Kayafas

      MATIUS 26:69-75 MARKUS 14:66-72 LUKAS 22:54-62 YOHANES 18:15-18, 25-27

      • PETRUS MENYANGKAL YESUS

      Apabila Yesus ditangkap di Taman Getsemani, para rasul lari dan meninggalkannya kerana mereka takut. Tetapi dua orang antara mereka, iaitu Petrus dan Yohanes, berpatah balik. (Yohanes 18:15; 19:35; 21:24) Mereka nampak Yesus dibawa kepada Hanas. Kemudian apabila Hanas menghantar Yesus kepada Imam Agung Kayafas, Petrus dan Yohanes mengikut dari jauh. Meskipun mereka takut bahawa mereka akan dibunuh, mereka ingin mengetahui apa yang akan berlaku kepada Yesus.

      Yohanes dikenali oleh imam agung, jadi dia dibenarkan masuk ke halaman rumah Kayafas. Petrus pula menunggu di luar pintu sehingga Yohanes keluar untuk bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, dan membawanya masuk.

      Cuaca malam itu sejuk, maka ada orang menyalakan unggun api di halaman rumah. Petrus duduk bersama mereka untuk memanaskan badan sambil menantikan keputusan perbicaraan Yesus. (Matius 26:58) Nyala unggun api membolehkan hamba perempuan itu melihat wajah Petrus dengan lebih jelas, maka dia menanya Petrus, “Bukankah kamu juga salah seorang murid lelaki itu?” (Yohanes 18:17) Orang lain di situ juga dapat mengecam wajah Petrus dan berkata bahawa dia ialah pengikut Yesus.​—Matius 26:69, 71-73; Markus 14:70.

      Petrus menjadi cemas dan berundur dari situ. Dia menafikan bahawa dia ada bersama Yesus. Dia juga berkata, “Aku tidak kenal dia dan tidak faham apa maksud kamu.” (Markus 14:67, 68) Dia bahkan bersumpah bahawa dia tidak mengenal Yesus, dan berkata bahawa jika dia berbohong, Tuhan akan menghukumnya.​—Matius 26:74.

      Sementara itu, perbicaraan Yesus sedang berlangsung di bahagian rumah Kayafas yang nampaknya terletak berdekatan halaman itu. Maka Petrus dan orang lain yang menunggu di situ dapat melihat saksi-saksi yang dibawa masuk untuk memberikan keterangan.

      Orang di situ tahu bahawa Petrus berbohong kerana loghatnya. Tambahan lagi, salah seorang lelaki di situ ialah sanak saudara Malkhus, yang telinganya dikerat oleh Petrus. Lelaki itu berkata, “Bukankah kamu yang aku nampak di taman itu bersamanya?” Apabila Petrus menafikan hal itu buat kali ketiga, seekor ayam jantan berkokok, tepat seperti yang dinubuatkan.​—Yohanes 13:38; 18:26, 27.

      Pada waktu itu, Yesus nampaknya sedang berada di beranda berdekatan halaman itu. Dia berpaling dan memandang Petrus, lalu Petrus teringat kata-kata Yesus beberapa jam sebelum ini di bilik tingkat atas. Bayangkanlah betapa sedihnya Petrus apabila dia sedar apa yang telah dilakukannya! Dia keluar dan menangis tersedu-sedu.​—Lukas 22:61, 62.

      Mengapakah Petrus menyangkal Yesus? Bukankah dia sangat yakin bahawa imannya teguh dan bahawa dia tidak akan meninggalkan Yesus? Sekarang kebenaran diputarbelitkan dan Yesus dituduh sebagai seorang penjenayah. Petrus sepatutnya mempertahankan Yesus, tetapi sebaliknya dia telah mengkhianati Tuannya, yang dapat “membawa kehidupan kekal.”​—Yohanes 6:68.

      Pengalaman Petrus mengajar kita bahawa orang yang beriman dan setia pun mungkin akan terjatuh jika dia tidak bersedia untuk menghadapi cubaan dan godaan yang tidak diduga. Semoga kita semua mengambil iktibar daripada kesilapan Petrus!

      • Bagaimanakah Petrus dan Yohanes dapat memasuki halaman rumah Kayafas?

      • Semasa Petrus dan Yohanes berada di halaman, apakah yang berlaku di dalam rumah itu?

      • Petrus bersumpah tentang apa?

      • Apakah pengajaran penting yang dapat kita peroleh daripada pengalaman Petrus?

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi