-
Yesus Dihidupkan Semula!Yesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 134
Yesus Dihidupkan Semula!
MATIUS 28:3-15 MARKUS 16:5-8 LUKAS 24:4-12 YOHANES 20:2-18
YESUS DIBANGKITKAN
APA YANG BERLAKU DI MAKAM YESUS
DIA MENAMPAKKAN DIRI KEPADA PARA WANITA
Para wanita yang datang ke makam Yesus terkejut kerana makam itu kosong! Maria Magdalena berlari untuk mencari Petrus dan Yohanes. (Yohanes 20:2) Wanita-wanita lain pula nampak satu malaikat di makam itu. Semasa mereka masuk ke dalam makam, mereka nampak satu lagi malaikat “yang berjubah putih.”—Markus 16:5.
Salah satu malaikat memberitahu mereka, “Janganlah takut. Aku tahu bahawa kamu sedang mencari Yesus yang dihukum bunuh pada tiang. Dia tidak ada di sini. Seperti yang dikatakannya, dia sudah dibangkitkan. Marilah dan lihatlah tempat mayatnya diletakkan. Selepas itu, cepatlah pergi dan beritahulah murid-muridnya bahawa dia sudah dibangkitkan daripada kematian. Sekarang dia dalam perjalanan ke Galilea.” (Matius 28:5-7) Jadi dengan ‘hairan dan takut,’ para wanita itu berlari kepada murid-murid Yesus dan melaporkan hal itu kepada mereka.—Markus 16:8.
Sementara itu, Maria menjumpai Petrus dan Yohanes. Dia berkata kepada mereka, “Tuan sudah dikeluarkan dari makam, dan kami tidak mengetahui tempat dia diletakkan.” (Yohanes 20:2) Petrus dan Yohanes pun lari ke makam itu. Yohanes berlari lebih cepat dan sampai dahulu di makam. Dia menjenguk ke dalam dan melihat kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam makam.
Apabila Petrus sampai di situ, dia terus masuk ke dalam makam. Dia nampak kain linen dan kain yang digunakan untuk membalut kepala Yesus. Kemudian Yohanes juga masuk, dan melihat semuanya lalu mempercayai kata-kata Maria. Meskipun Yesus pernah berkata bahawa dia mesti dibangkitkan, mereka berdua masih belum memahaminya. (Matius 16:21) Jadi mereka pulang dengan gelisah. Maria pula kembali ke makam itu.
Sementara itu, wanita-wanita lain berlari untuk memberitahukan hal itu kepada murid-murid Yesus. Semasa dalam perjalanan, Yesus berjumpa dengan mereka dan berkata, “Salam sejahtera!” Mereka “sujud di depan kakinya.” Yesus berkata, “Janganlah takut! Pergilah dan beritahukanlah hal ini kepada saudara-saudaraku. Suruhlah mereka pergi ke Galilea dan di sana mereka akan melihat aku.”—Matius 28:9, 10.
Sebelum itu, apabila gempa bumi berlaku dan para malaikat muncul, askar-askar di makam “begitu takut dan gementar sehingga menjadi seperti orang mati.” Kemudian mereka masuk ke dalam kota untuk “melaporkan segala yang berlaku kepada ketua-ketua imam.” Setelah para imam berbincang dengan pemimpin orang Yahudi, mereka memberikan rasuah kepada askar-askar itu lalu menyuruh mereka berbohong dengan berkata, “Semasa kami tidur pada waktu malam, murid-muridnya datang dan mencuri mayatnya.”—Matius 28:4, 11, 13.
Askar-askar Roma akan dihukum mati jika mereka tertidur semasa menjalankan tugas. Maka para imam itu berkata, “Janganlah bimbang jika gabenor mendengar hal ini. Kami akan menjelaskan hal itu kepadanya.” (Matius 28:14) Maka askar-askar tersebut mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh. Dengan demikian, cerita palsu tentang mayat Yesus dicuri oleh murid-muridnya tersebar luas dalam kalangan orang Yahudi.
Maria masih menangis di luar makam. Dia menjenguk ke dalam makam dan melihat dua malaikat yang berpakaian putih duduk di tempat mayat Yesus diletakkan sebelum ini, satu di sebelah kepala dan satu di sebelah kaki. Malaikat-malaikat itu bertanya, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis?” Dia menjawab, “Mayat Tuanku sudah diambil, dan aku tidak mengetahui tempat dia diletakkan.” Kemudian dia berpaling dan nampak seorang lelaki berdiri di situ. Lelaki itu berkata, “Hai wanita, mengapakah kamu menangis? Siapakah yang kamu cari?” Maria menyangka lelaki itu ialah tukang kebun, maka dia berkata, “Tuan, jika tuan sudah mengambil mayatnya, beritahulah aku tempat mayatnya diletakkan, supaya aku boleh mengambilnya.”—Yohanes 20:13-15.
Apabila lelaki itu memanggilnya, “Maria!” barulah dia tahu bahawa lelaki itu ialah Yesus, kerana dia mengenal cara Yesus bercakap kepadanya. Dengan gembira, dia segera menjawab, “Rabboni!” (yang bererti, “Guru!”) dan memegang Yesus kerana dia takut Yesus akan meninggalkannya dan naik ke syurga. Yesus berkata, “Jangan berpaut padaku, kerana aku belum lagi pergi kepada Bapa. Pergilah kepada saudara-saudaraku dan beritahulah mereka, ‘Aku akan pergi kepada Bapaku yang juga Bapa kamu, kepada Tuhanku yang juga Tuhan kamu.’”—Yohanes 20:16, 17.
Maria berlari kepada para rasul dan murid-murid Yesus yang lain. Dia memberitahu mereka, “Aku sudah melihat Tuan!” dan menyampaikan kata-kata Yesus kepada mereka. (Yohanes 20:18) Tetapi mereka enggan mempercayai kata-kata Maria dan wanita-wanita lain kerana mereka berasa bahawa para wanita itu sedang “menceritakan hal yang bukan-bukan.”—Lukas 24:11.
-
-
Yesus Menampakkan Diri kepada Banyak OrangYesus—Jalan, Kebenaran, dan Kehidupan
-
-
BAB 135
Yesus Menampakkan Diri kepada Banyak Orang
LUKAS 24:13-49 YOHANES 20:19-29
YESUS MENAMPAKKAN DIRI DI JALAN KE EMAUS
DIA MENJELASKAN AYAT-AYAT SUCI KEPADA PENGIKUTNYA
TOMAS AKHIRNYA PERCAYA
Pada hari Ahad, 16 Nisan, para pengikut Yesus masih sangat sedih. Mereka tidak memahami mengapa makam Yesus kosong. (Matius 28:9, 10; Lukas 24:11) Pada hari itu juga, Kleopas dan seorang lagi pengikut Yesus pergi ke Emaus, yang terletak kira-kira 11 kilometer dari Yerusalem.
Semasa mereka sedang berbual, seorang lelaki menyertai mereka dan bertanya, “Apakah yang sedang kamu pertikaikan dalam perjalanan kamu?” Kleopas menjawab, “Bukankah kamu tinggal di Yerusalem? Jadi mengapakah kamu sahaja yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku di situ akhir-akhir ini?” Lelaki itu berkata, “Apakah peristiwa yang kamu maksudkan?”—Lukas 24:17-19.
Mereka berkata, ‘Peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengan Yesus, orang Nasaret itu. Kami berharap bahawa dialah orang yang akan membebaskan Israel.’—Lukas 24:19-21.
Kemudian Kleopas dan rakannya menceritakan apa yang berlaku pada hari itu. Mereka berkata bahawa beberapa orang wanita telah pergi ke makam Yesus dan mendapati makam itu kosong. Malaikat Tuhan telah memberitahu para wanita itu bahawa Yesus telah dibangkitkan. Mereka juga berkata bahawa beberapa orang telah pergi ke makam itu dan “mendapati bahawa keadaannya memang seperti yang dikatakan oleh wanita-wanita itu.”—Lukas 24:24.
Kleopas dan rakannya tidak memahami hal-hal yang telah berlaku. Maka lelaki itu berkata, “Hai kamu yang tidak berakal dan lambat mempercayai semua yang dikatakan oleh para nabi, bukankah Kristus perlu mengalami penderitaan itu agar dimuliakan?” (Lukas 24:25, 26) Kemudian lelaki itu menjelaskan kepada mereka Ayat-Ayat Suci yang berkaitan dengan Kristus.
Akhirnya mereka tiba berdekatan Emaus. Mereka ingin mendengar lebih banyak tentang Kristus, maka mereka mendesak lelaki itu, “Tinggallah bersama kami kerana hari sudah petang.” Lelaki itu pun tinggal bersama mereka. Semasa mereka makan, lelaki itu mengambil roti, mengucapkan syukur, membahagikan roti itu, lalu mengedarkannya kepada mereka. Barulah mereka sedar bahawa lelaki itu ialah Yesus, tetapi dia lenyap daripada pandangan mereka. (Lukas 24:29-31) Sekarang mereka percaya bahawa Yesus sudah dibangkitkan!
Dengan teruja, mereka berkata kepada satu sama lain, “Tidakkah hati kita berkobar-kobar semasa dia bercakap dan menerangkan Ayat-Ayat Suci kepada kita semasa kita dalam perjalanan?” (Lukas 24:32) Mereka segera balik ke Yerusalem untuk mencari para rasul dan pengikut Yesus yang lain. Tetapi sebelum mereka sempat menceritakan apa yang berlaku, orang lain berkata, “Tuan Yesus benar-benar sudah dibangkitkan dan dia telah menampakkan diri kepada Simon!” (Lukas 24:34) Kemudian mereka berdua juga menceritakan bagaimana Yesus menampakkan dirinya kepada mereka.
Pengikut Yesus telah berkumpul di sebuah bilik dan mengunci pintu kerana mereka takut kepada orang Yahudi. Tetapi Yesus tiba-tiba muncul dalam kalangan mereka dan berkata, “Salam sejahtera.” Mereka takut kerana “menyangka bahawa mereka nampak makhluk roh.”—Lukas 24:36, 37; Matius 14:25-27.
Maka Yesus menunjukkan tangan dan kakinya kepada mereka lalu berkata, “Mengapakah kamu takut? Mengapakah hati kamu ragu-ragu? Inilah aku! Lihatlah tangan dan kakiku dan sentuhlah aku. Makhluk roh tidak mempunyai daging dan tulang sebagaimana yang kamu lihat pada diriku.” (Lukas 24:36-39) Mereka hairan dan gembira, tetapi mereka masih tidak dapat percaya.
Oleh itu, untuk meyakinkan mereka bahawa dia benar-benar wujud, Yesus bertanya, “Adakah kamu mempunyai makanan di sini?” Mereka memberinya sepotong ikan. Dia mengambil ikan itu dan memakannya. Kemudian dia berkata, “Semasa aku masih bersama kamu [sebelum aku mati], aku pernah mengatakan bahawa semua perkara yang tertulis tentang aku dalam Hukum Musa, Ajaran Para Nabi, dan Mazmur mesti berlaku.”—Lukas 24:41-44.
Yesus telah membantu Kleopas dan rakannya untuk memahami Ayat-Ayat Suci, dan sekarang dia juga membantu semua orang yang berkumpul di situ. Dia berkata, “Ada tertulis bahawa Kristus akan menderita lalu dibangkitkan daripada kematian pada hari ketiga, dan atas dasar namanya, perkhabaran akan disebarkan kepada semua bangsa bermula dari Yerusalem, agar manusia bertaubat daripada dosa lalu diampuni. Kamu harus menjadi saksi untuk semua perkara ini.”—Lukas 24:46-48.
Tomas tidak hadir pada waktu itu. Oleh itu, apabila mereka memberitahunya, “Kami sudah melihat Tuan!” dia berkata, “Selagi aku tidak melihat kesan paku pada tangannya dan menyentuh kesan paku itu dengan jariku, serta menyentuh rusuknya dengan tanganku, aku tidak akan percaya.”—Yohanes 20:25.
Lapan hari kemudian, pengikut Yesus berkumpul lagi di dalam rumah, dan Tomas juga bersama mereka. Walaupun pintu sudah dikunci, Yesus muncul di tengah-tengah mereka lalu berkata, “Salam sejahtera.” Kemudian dia berkata kepada Tomas, “Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tanganku. Hulurkanlah tanganmu dan sentuhlah rusukku. Jangan ragu-ragu lagi, tetapi percayalah.” Tomas pun berkata, “Tuanku dan Tuhanku!” (Yohanes 20:26-28) Ya, sekarang Tomas percaya bahawa Yesus sudah dibangkitkan dan menjadi makhluk roh yang mewakili Tuhan Yehuwa.
Kemudian Yesus berkata, “Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat.”—Yohanes 20:29.
-