PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • bt bab 7 ms. 58-66
  • Mengisytiharkan “Berita Baik tentang Yesus”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Mengisytiharkan “Berita Baik tentang Yesus”
  • ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • “Murid-Murid yang Tercerai-Berai” (Kis. 8:4-8)
  • “Berikanlah Kebolehan Ini kepadaku Juga” (Kis. 8:9-25)
  • “Adakah Tuan Memahami Apa yang Tuan Baca?” (Kis. 8:26-40)
  • Tahukah Anda?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2024
  • Berbual Secara Santai
    Kasihi Orang—Jadikanlah Mereka Pengikut Yesus
  • “Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
bt bab 7 ms. 58-66

BAB 7

Mengisytiharkan “Berita Baik tentang Yesus”

Filipus menjadi teladan sebagai seorang penginjil

Berdasarkan Kisah 8:4-40

1, 2. Bagaimanakah usaha untuk menghentikan kerja menginjil membawa hasil yang tidak dijangkakan pada abad pertama?

SERANGAN kejam yang meningkat secara mendadak telah bermula, dan Saulus “berusaha untuk membinasakan” sidang. Ungkapan ini dalam bahasa asal membawa erti perbuatan yang sangat kejam. (Kis. 8:3) Para pengikut Yesus melarikan diri, dan ada yang mungkin berfikir bahawa matlamat Saulus untuk menghapuskan orang Kristian akan tercapai. Namun, sesuatu yang tidak dijangkakan telah berlaku. Apakah itu?

2 Murid-murid Yesus yang tercerai-berai mula “mengisytiharkan berita baik tentang firman Tuhan” ke tempat yang mereka pergi. (Kis. 8:4) Bayangkan, penganiayaan bukan hanya gagal menghalang umat Tuhan daripada menginjil, tetapi telah menyebabkan berita baik disebarkan! Para penentang yang mencerai-beraikan murid-murid Yesus secara tidak langsung telah menyebabkan kerja penyebaran tersebar luas. Seperti yang kita akan lihat, sesuatu yang hampir sama berlaku pada zaman moden.

“Murid-Murid yang Tercerai-Berai” (Kis. 8:4-8)

3. (a) Siapakah Filipus? (b) Mengapakah banyak orang Samaria belum mendengar berita baik? Namun, apakah yang dinubuatkan Yesus tentang mereka?

3 Antara “murid-murid yang tercerai-berai” ialah Filipus.a (Kis. 8:4; lihat kotak “Filipus​—‘Seorang Penginjil.’”) Dia telah pergi ke Samaria. Banyak orang di kota itu belum mendengar berita baik kerana sebelum ini Yesus telah memberikan arahan kepada para rasulnya: “Janganlah pergi kepada bangsa-bangsa lain atau ke kota orang Samaria. Tetapi pergilah kepada orang Israel sahaja yang bagaikan biri-biri yang sesat.” (Mat. 10:5, 6) Namun Yesus tahu seraya masa berlalu, orang Samaria akan menerima kesaksian yang menyeluruh. Hal ini kerana sebelum Yesus kembali ke syurga, dia berkata, “Kamu akan menjadi saksi-saksiku di Yerusalem, di seluruh Yudea, di Samaria, dan sampai ke hujung bumi.”​—Kis. 1:8.

4. Apakah reaksi orang Samaria terhadap mesej yang dibawa oleh Filipus, dan apakah faktor yang mungkin menyumbang kepada reaksi mereka?

4 Filipus mendapati bahawa kawasan Samaria “sudah menguning dan siap untuk dituai.” (Yoh. 4:35) Mesejnya menyegarkan orang yang tinggal di situ. Mengapa? Orang Yahudi tidak akan berurusan dengan orang Samaria dan banyak antara mereka tidak menyukai orang Samaria. Tetapi, orang Samaria mendapati bahawa mesej berita baik menawarkan harapan kepada semua tanpa mengira latar belakang. Berita baik sangat berbeza dengan ajaran daripada orang Farisi yang bersikap prasangka. Filipus menginjil dengan bersemangat dan tanpa berat sebelah kepada orang Samaria, dan dia menunjukkan bahawa dia tidak terpengaruh oleh sikap prasangka. Maka, tidak hairanlah banyak orang “menumpukan sepenuh perhatian” kepada apa yang dikatakan oleh Filipus.​—Kis. 8:6.

5-7. Berikan contoh bagaimana orang Kristian yang tercerai-berai menyebabkan berita baik tersebar luas.

5 Seperti abad pertama, penganiayaan gagal menghentikan kerja penyebaran umat Tuhan dewasa ini. Berulang kali orang Kristian terpaksa meninggalkan tempat mereka, sama ada dimasukkan ke penjara atau berpindah ke negara lain. Namun, hal ini telah membantu menyebarkan berita Kerajaan kepada orang di kawasan baharu. Contohnya semasa Perang Dunia Kedua, Saksi-Saksi Yehuwa telah memberikan kesaksian yang luar biasa di kem konsentrasi Nazi. Seorang Yahudi yang berjumpa dengan Saksi-Saksi di sana berkata, “Ketabahan Saksi-Saksi Yehuwa yang dipenjarakan meyakinkan saya bahawa iman mereka berdasarkan Firman Tuhan, dan saya sendiri menjadi seorang Saksi.”

6 Ada juga penentang yang telah mendapat kesaksian lalu menerima kebenaran. Contohnya, seorang Saksi yang bernama Franz Desch dipindahkan ke kem konsentrasi Gusen di Austria. Di sana, dia mengajarkan Bible kepada salah seorang pegawai. Bayangkan betapa bersukacitanya mereka apabila bertahun-tahun kemudian, mereka berjumpa di konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa, dan kedua-duanya ialah penginjil berita baik!

7 Hal yang serupa berlaku apabila penganiayaan menyebabkan orang Kristian melarikan diri ke negara lain. Contohnya pada tahun 1970-an, Saksi-Saksi di Malawi terpaksa melarikan diri ke Mozambique dan mereka dapat menginjil kepada orang di sana. Belakangan apabila tentangan timbul di Mozambique, kerja penyebaran masih dijalankan. Francisco Coana berkata, “Ada antara kami memang ditahan dan dipenjarakan beberapa kali kerana kami menginjil. Namun banyak orang telah menerima berita Kerajaan, maka kami yakin Tuhan sedang menolong kami, sepertimana Dia membantu orang Kristian abad pertama.”

8. Bagaimanakah perubahan politik dan ekonomi mempengaruhi kerja penyebaran?

8 Sudah tentu, penganiayaan bukanlah satu-satunya sebab peningkatan orang Kristian di pelbagai tempat. Puluhan tahun belakangan ini, perubahan politik dan ekonomi telah membuka peluang agar berita Kerajaan disebarkan kepada orang daripada pelbagai bahasa dan negara. Sesetengah tempat mengalami peperangan atau kemiskinan, maka orang dari situ melarikan diri ke tempat yang lebih stabil dan mula belajar Bible di tempat baharu. Selain itu, jumlah pelarian yang semakin meningkat telah membuka peluang untuk menginjil kepada orang yang bertutur dalam bahasa asing. Adakah anda berusaha untuk menginjil kepada orang daripada “semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa”?​—Why. 7:9.

“Berikanlah Kebolehan Ini kepadaku Juga” (Kis. 8:9-25)

Simon, yang dahulunya seorang ahli sihir, mendekati seorang rasul sambil membawa kantung wang. Rasul itu meletakkan tangannya di atas bahu seorang lelaki Kristian. Di belakang, seorang lagi lelaki Kristian menyembuhkan seorang gadis yang lumpuh, dan orang yang melihat hal itu berasa gembira.

“Apabila Simon melihat bahawa kuasa suci Tuhan diberikan semasa rasul-rasul meletakkan tangan mereka ke atas seseorang, dia menawarkan wang kepada mereka.”​—Kisah 8:18

9. Siapakah Simon, dan apakah yang membuatnya tertarik kepada Filipus?

9 Filipus melakukan banyak mukjizat di Samaria. Contohnya, dia menyembuhkan orang yang kurang upaya dan bahkan mengusir roh-roh jahat. (Kis. 8:6-8) Terdapat seorang lelaki yang sangat kagum dengan kurniaan Filipus itu. Dia ialah Simon, seorang ahli sihir yang amat dihormati ramai sehingga mereka berkata, “Lelaki ini menerima kuasa yang besar daripada Tuhan.” Tetapi, apabila Simon menyaksikan mukjizat yang dilakukan oleh Filipus, Simon dapat melihat sendiri kuasa sebenar Tuhan. Selepas itu, Simon menjadi seorang pengikut Kristus. (Kis. 8:9-13) Namun, niat hati Simon bakal diuji. Bagaimana?

10. (a) Apakah yang dilakukan oleh Petrus dan Yohanes di Samaria? (b) Apakah yang dilakukan oleh Simon apabila melihat murid-murid baharu menerima kuasa suci Tuhan?

10 Apabila para rasul sedar kemajuan yang berlaku di Samaria, mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana. (Lihat kotak “Petrus Menggunakan ‘Kunci-Kunci Kerajaan.’”) Setibanya di sana, dua rasul ini meletakkan tangan ke atas murid baharu di situ, dan mereka pun menerima kuasa suci Tuhan.b Semasa Simon melihat hal ini, dia terpesona lalu berkata, “Berikanlah kebolehan ini kepadaku juga, supaya orang lain menerima kuasa suci Tuhan apabila aku meletakkan tanganku ke atas mereka.” Simon bahkan menawarkan wang dan berharap untuk membeli kurniaan Tuhan ini!​—Kis. 8:14-19.

11. Apakah nasihat tegas yang diberikan oleh Petrus kepada Simon, dan apakah reaksinya?

11 Petrus memberikan jawapan yang tegas kepada Simon. Dia berkata, “Binasalah kamu bersama-sama wang perakmu! Kamu menyangka bahawa kamu boleh menggunakan wang untuk membeli kurniaan Tuhan yang diberikan secara percuma. Kamu tiada bahagian dalam hal ini, kerana hatimu tidak tulus di mata Tuhan.” Kemudian, Petrus menggesa Simon untuk bertaubat dan berdoa untuk pengampunan. Petrus berkata, “Hendaklah kamu merayu kepada Yehuwa, mudah-mudahan Dia akan mengampunkan niat jahat dalam hatimu.” Simon bukanlah orang yang jahat. Dia mahu melakukan apa yang betul, tetapi buat seketika dia memiliki pandangan yang salah. Jadi dia memohon para rasul, “Tolonglah merayu kepada Yehuwa bagiku, supaya apa yang kamu katakan itu tidak menimpa aku.”​—Kis. 8:20-24.

12. Seberapa kerapkah amalan menjual beli kedudukan dalam gereja Kristian?

12 Sebenarnya dalam beberapa bahasa, perkataan untuk amalan menjual beli kedudukan, terutamanya yang berkaitan dengan agama, wujud kerana kisah Simon ini. Sejarah membuktikan bahawa gereja Kristian yang murtad banyak terlibat dalam amalan ini. Menurut edisi kesembilan The Encyclopædia Britannica (1878), “Sebuah kajian mengenai sejarah pemilihan Paus meyakinkan para penyelidik bahawa pemilihan tersebut tidak pernah bebas daripada amalan menjual beli kedudukan. Sering kali, amalan ini dilakukan secara terang-terangan dan tanpa rasa malu.”

13. Bagaimanakah orang Kristian menghindari amalan menjual beli kedudukan?

13 Orang Kristian harus menjauhi amalan berdosa yang melibatkan menjual beli kedudukan atau peluang khidmat di sidang. Contohnya, mereka tidak patut cuba mendapatkan layanan istimewa dengan memberikan hadiah atau pujian yang keterlaluan kepada orang yang nampaknya dapat memberikan peluang khidmat di sidang. Orang yang dianggap dapat memberikan peluang sebegitu juga harus berjaga-jaga agar tidak bersikap pilih kasih terhadap orang yang kaya. Jika seseorang melakukan hal-hal tersebut, dia sedang menjual beli kedudukan. Sememangnya, semua hamba Tuhan harus berkelakuan seperti “orang yang berkedudukan rendah” dan menunggu agar kuasa suci Tuhan melantik mereka untuk memikul peluang khidmat tertentu. (Luk. 9:48) Orang yang mencari “kemuliaan sendiri” tidak boleh menjadi sebahagian daripada organisasi Tuhan.​—Ams. 25:27.

PETRUS MENGGUNAKAN “KUNCI-KUNCI KERAJAAN”

Yesus memberitahu Petrus, “Aku akan memberimu kunci-kunci Kerajaan di syurga.” (Mat. 16:19) Apakah yang dimaksudkan oleh Yesus? “Kunci-kunci” itu menunjukkan bahawa Petrus akan membuka pintu pengetahuan dan peluang kepada kumpulan-kumpulan yang berbeza agar mereka dapat masuk dalam Kerajaan Mesias. Bilakah Petrus menggunakan kunci-kunci itu?

  • Petrus menggunakan kunci pertama pada Pentakosta 33 M apabila dia menggesa orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi untuk bertaubat dan dibaptis. Sekitar 3,000 orang berbuat demikian dan berpeluang untuk mewarisi Kerajaan Tuhan.​—Kis. 2:1-41.

  • Kunci kedua digunakan tidak lama selepas kematian Stefanus. Pada masa itu, Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas orang Samaria yang baru dibaptis yang kemudiannya menerima kuasa suci Tuhan.​—Kis. 8:14-17.

  • Petrus menggunakan kunci ketiga pada tahun 36 M. Pada tahun itu, peluang untuk mewarisi Kerajaan di syurga terbuka kepada orang bukan Yahudi yang tidak bersunat. Peristiwa ini berlaku apabila Petrus memberikan kesaksian kepada Kornelius, orang pertama daripada orang bukan Yahudi yang tidak bersunat yang menjadi pengikut Kristus.​—Kis. 10:1-48.

“Adakah Tuan Memahami Apa yang Tuan Baca?” (Kis. 8:26-40)

14, 15. (a) Siapakah “sida-sida dari Etiopia” itu, dan bagaimanakah Filipus menjumpainya? (b) Apakah reaksi lelaki Etiopia itu terhadap mesej Filipus, dan mengapakah pembaptisannya bukanlah tindakan yang terburu-buru? (Lihat nota kaki.)

14 Kini malaikat Yehuwa menyuruh Filipus untuk pergi ke jalan yang menghubungkan Yerusalem dengan Gaza. Filipus mungkin tertanya-tanya mengapa dia harus pergi ke sana. Tetapi tidak lama kemudian, dia tahu sebabnya kerana di sana dia berjumpa dengan sida-sida dari Etiopia yang sedang “membaca kitab Nabi Yesaya dengan suara yang lantang.” (Lihat kotak “‘Sida-Sida’ dalam Erti Apa?”) Kuasa suci Yehuwa mendorong Filipus untuk menghampiri kereta kuda lelaki itu. Sambil berlari di sebelah kereta kuda itu, Filipus bertanya, “Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?” Lelaki Etiopia itu menjawab, “Bagaimana mungkin aku memahaminya jika tiada orang yang mengajar aku?”​—Kis. 8:26-31.

15 Jadi, lelaki Etiopia itu menjemput Filipus untuk naik ke kereta kudanya. Bayangkan perbincangan yang menarik antara mereka berdua! Banyak orang sudah lama tertanya-tanya tentang identiti “bebiri” atau “hamba” dalam nubuat Yesaya. (Yes. 53:1-12) Namun dalam perjalanan mereka, Filipus menjelaskan kepadanya bahawa Yesus Kristus telah memenuhi nubuat itu. Kemudian seperti orang yang dibaptis pada Pentakosta 33 M, lelaki Etiopia itu yang merupakan pemeluk agama Yahudi segera tahu apa yang harus dilakukannya. Dia berkata kepada Filipus, “Lihat, di sini ada air! Apakah yang menghalang aku daripada dibaptis?” Dengan segera, Filipus membaptis lelaki Etiopia itu!c (Lihat kotak “Dibaptis ‘di Tempat yang Banyak Air.’”) Kemudian, Filipus dipimpin oleh kuasa suci Tuhan ke tugasan baharu di Asdod. Di sana, dia terus menyebarkan berita baik.​—Kis. 8:32-40.

“SIDA-SIDA” DALAM ERTI APA?

Ungkapan Yunani eu·nouʹkhos, yang diterjemahkan sebagai “sida-sida,” boleh merujuk kepada seorang lelaki yang kehilangan kebolehan untuk menghasilkan zuriat atau seorang pegawai istana yang berpangkat tinggi. Pegawai istana yang berkhidmat di bahagian kediaman wanita mungkin telah dikembiri. Tetapi, itu bukanlah syarat untuk pegawai yang lain seperti pengurus minuman raja atau pengurus perbendaharaan. Sida-sida Etiopia yang dibaptis oleh Filipus nampaknya memegang jawatan sebegitu kerana dia bertanggungjawab mengurus harta istana. Sebenarnya, dia ialah menteri kewangan.

Lelaki Etiopia itu juga seorang pemeluk agama Yahudi, iaitu seorang bukan Yahudi yang menyembah Yehuwa. Sebenarnya, dia baru sahaja beribadat di Yerusalem. (Kis. 8:27) Oleh itu, kita dapat menyimpulkan bahawa lelaki ini bukanlah seorang sida-sida yang dikembiri, kerana Hukum Musa melarang orang sebegitu menjadi sebahagian daripada bangsa Israel.​—Ul. 23:1.

DIBAPTIS ‘DI TEMPAT YANG BANYAK AIR’

Bagaimanakah pembaptisan orang Kristian dilakukan? Sesetengah orang percaya bahawa sekadar menuangkan air atau merenjis air di kepala sudah cukup. Namun, sida-sida dari Etiopia itu dibaptis ‘di tempat yang banyak air.’ Bible menyatakan, “Filipus dan sida-sida itu turun ke dalam air.” (Kis. 8:36, 38) Jika menuangkan atau merenjis air sudah cukup, sida-sida itu sudah pasti tidak perlu memerintahkan agar kereta kudanya dihentikan di tempat yang banyak air. Air yang sedikit, seperti yang terdapat dalam kirbat kulit, pasti sudah cukup. Kemungkinan besar, dia bahkan memiliki botol sebegitu sebab dia sedang melalui ‘jalan yang terletak di padang gurun.’​—Kis. 8:26.

Menurut A Greek-English Lexicon, oleh Liddell dan Scott, perkataan Yunani ba·ptiʹzo, yang diterjemahkan sebagai “baptis,” bererti “membenamkan atau mencelup.” Kisah Bible mengenai pembaptisan selaras dengan definisi ini. Yohanes 3:23 berkata bahawa Yohanes “membaptis orang di Ainon, tempat yang berhampiran dengan Salim, kerana tempat itu mempunyai banyak air.” Selain itu, semasa Yesus dibaptis, Bible berkata, “Sebaik sahaja Yesus keluar dari air, dia nampak langit terbuka.” (Mrk. 1:9, 10) Maka, semasa orang Kristian sejati dibaptis, mereka harus dibenamkan dengan sepenuhnya ke dalam air.

16, 17. Bagaimanakah para malaikat terlibat dalam kerja penyebaran hari ini?

16 Orang Kristian hari ini berpeluang untuk mengambil bahagian dalam kerja yang dilakukan oleh Filipus. Biasanya, mereka dapat mengongsi berita tentang Kerajaan Tuhan secara tidak formal, contohnya semasa membuat perjalanan. Dalam kebanyakan situasi, apabila mereka berjumpa dengan orang yang menunjukkan minat, itu bukanlah suatu kebetulan. Hal ini tidak menghairankan kerana Bible menunjukkan bahawa para malaikat sedang membimbing kerja penyebaran agar mesej Bible dapat disebarkan kepada “setiap bangsa, suku, bahasa, dan kaum.” (Why. 14:6) Bimbingan para malaikat dalam kerja penyebaran adalah tepat seperti yang dinubuatkan oleh Yesus. Dalam perumpamaannya tentang gandum dan lalang, Yesus berkata bahawa pada musim menuai, iaitu penghujung sistem dunia ini, “penuai ialah para malaikat.” Dia berkata bahawa para malaikat akan “mengumpulkan mereka yang menyebabkan orang lain tersandung dan mereka yang mengamalkan perbuatan jahat. Semua orang ini akan dikeluarkan daripada Kerajaan Tuhan.” (Mat. 13:37-41) Pada masa yang sama, para malaikat akan mengumpulkan orang yang ingin dipimpin oleh Yehuwa ke dalam organisasi-Nya. Ini termasuk orang yang memiliki harapan untuk memerintah dalam Kerajaan Tuhan dan kemudian “kumpulan besar manusia” yang merupakan “biri-biri lain.”​—Why. 7:9; Yoh. 6:44, 65; 10:16.

17 Kita dapat lihat bukti bahawa hal ini sedang berlaku. Dalam kerja penyebaran, ada kalanya kita berjumpa dengan orang yang berkata bahawa mereka telah berdoa untuk memohon bantuan Tuhan. Fikirkan pengalaman ini: Dua orang penyiar sedang menginjil bersama seorang anak kecil. Apabila mereka ingin berhenti menginjil pada pagi itu, anak itu sangat bersemangat untuk pergi ke rumah yang seterusnya. Dia bahkan pergi seorang diri dan mengetuk pintu rumah itu! Apabila seorang wanita muda membuka pintu, dua Saksi itu menghampirinya dan bercakap dengannya. Mereka terkejut kerana wanita itu menjelaskan bahawa dia baru berdoa agar seseorang datang untuk membantunya memahami Bible. Maka, pembelajaran Bible pun dimulakan!

Sepasang suami isteri sedang menginjil. Mereka menekan loceng pintu seorang wanita yang sedang berdoa di dalam rumah.

“Ya Tuhan, tidak kira siapa pun Engkau, bantulah saya”

18. Mengapakah kita tidak patut memandang remeh kerja penyebaran kita?

18 Sebagai ahli sidang Kristian, anda mempunyai penghormatan untuk bekerja bersama malaikat dalam kerja penyebaran yang dilakukan dalam skala yang besar hari ini. Janganlah meremehkan peluang ini. Dengan terus mencurahkan usaha untuk mengongsi “berita baik tentang Yesus,” anda akan meraih sukacita yang besar.​—Kis. 8:35.

FILIPUS—“SEORANG PENGINJIL”

Semasa pengikut Kristus tercerai-berai akibat penganiayaan, Filipus pergi ke Samaria. Nampaknya, dia bekerja rapat dengan badan pimpinan pada abad pertama, kerana “apabila para rasul di Yerusalem mendengar bahawa penduduk Samaria telah menerima firman Tuhan, mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana.” Hasilnya, pengikut Kristus yang baharu di situ telah menerima kurniaan kuasa suci Tuhan.​—Kis. 8:14-17.

Filipus duduk di kereta kuda bersama sida-sida dari Etiopia.

Selepas peristiwa yang dicatatkan di Kisah bab 8, Filipus hanya disebutkan sekali lagi dalam buku itu. Sekitar 20 tahun selepas Filipus memulakan kerja penyebaran, Rasul Paulus dan rakan-rakannya sedang pergi ke Yerusalem pada penghujung perjalanan mubaligh Paulus yang ketiga. Mereka berlabuh di Ptolemais. Lukas menceritakan, “Keesokan harinya kami bertolak dan tiba di Kaisarea. Di situ, kami masuk ke dalam rumah Filipus dan tinggal bersamanya. Dia seorang penginjil dan merupakan salah seorang daripada tujuh orang lelaki yang dipilih oleh para rasul di Yerusalem. Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin, dan mereka dapat bernubuat.”​—Kis. 21:8, 9.

Nampaknya, Filipus menetap di kawasan penyebaran yang ditugaskan kepadanya dan membina rumah tangga di sana. Lukas menggelar Filipus sebagai “seorang penginjil.” Hal ini sangat menarik kerana Ayat-Ayat Suci menggunakan ungkapan ini untuk menggambarkan mereka yang meninggalkan kampung halaman untuk pergi menginjil di kawasan yang belum pernah dikunjungi. Jelaslah, semangat Filipus tetap membara. Dia juga memiliki empat orang anak perempuan yang dapat bernubuat. Hal ini membuktikan bahawa Filipus mengajar keluarganya untuk mengasihi Yehuwa dan berkhidmat kepada-Nya.

a Dia bukanlah Rasul Filipus. Sebaliknya, dia ialah Filipus yang diceritakan dalam Bab 5 buku ini. Dia dilantik untuk membahagikan makanan kepada balu-balu yang bertutur dalam bahasa Yunani dan Ibrani di Yerusalem.​—Kis. 6:1-6.

b Nampaknya pada masa itu, murid-murid baharu biasanya diurapi atau menerima kuasa suci Tuhan semasa mereka dibaptis. Ini membolehkan mereka menerima harapan untuk memerintah sebagai raja dan imam bersama Yesus di syurga. (2 Kor. 1:21, 22; Why. 5:9, 10; 20:6) Namun dalam kisah ini, murid baharu tidak diurapi semasa dibaptis. Mereka mendapat kuasa suci Tuhan dan menerima kurniaan Tuhan hanya selepas Petrus dan Yohanes meletakkan tangan ke atas mereka.

c Keputusan ini bukanlah tindakan yang terburu-buru. Oleh sebab dia merupakan seorang pemeluk agama Yahudi, dia memang memiliki pengetahuan tentang Ayat-Ayat Suci, termasuk nubuat tentang Mesias. Kini dia ada maklumat tentang peranan Yesus dalam tujuan Tuhan, jadi dia dapat terus dibaptis.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi