PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • bt bab 22 ms. 197-204
  • “Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”
  • ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Berlayar Melintasi “Pulau Siprus” (Kis. 21:1-3)
  • ‘Kami Mencari dan Menjumpai Murid-Murid’ (Kis. 21:4-9)
  • “Aku Sudah Bersedia . . . untuk Mati” (Kis. 21:10-14)
  • “Saudara-Saudara Menyambut Kami dengan Gembira” (Kis. 21:15-17)
  • Jadilah Berani kerana Yehuwa ialah Penolongmu!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
  • “Aku Bersih daripada Darah Semua Orang”
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • “Memberikan Kesaksian yang Menyeluruh”
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
  • ‘Dengarlah Aku Membela Diri’
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
bt bab 22 ms. 197-204

BAB 22

“Biarlah Kehendak Yehuwa Terjadi”

Paulus bertekad untuk melakukan kehendak Tuhan dan pergi ke Yerusalem

Berdasarkan Kisah 21:1-17

1-4. Mengapakah Paulus pergi ke Yerusalem, dan apakah yang menantikannya di sana?

SEMUA orang berasa sedih apabila Paulus dan Lukas meninggalkan Miletus. Paulus dan Lukas pasti sangat berat hati untuk meninggalkan para penatua dari Efesus yang dikasihi mereka! Dua mubaligh itu berdiri di atas kapal berserta bekalan-bekalan yang diperlukan mereka sepanjang perjalanan itu. Mereka juga membawa sumbangan untuk orang Kristian di Yudea dan ingin memastikan bahawa sumbangan itu diserahkan.

2 Angin sepoi-sepoi meniup kapal, lalu mereka mula berlayar dan meninggalkan pelabuhan yang riuh-rendah itu. Dua mubaligh ini berserta tujuh rakan perjalanan mereka menatap wajah saudara-saudara yang sedih itu. (Kis. 20:4, 14, 15) Mereka terus melambaikan tangan sehingga sahabat-sahabat mereka tidak lagi kelihatan.

3 Selama lebih kurang tiga tahun, Paulus telah bekerja rapat dengan para penatua di Efesus. Namun sekarang, atas bimbingan kuasa suci Tuhan, dia mengadakan perjalanan ke Yerusalem. Paulus sedikit sebanyak tahu tentang apa yang akan berlaku kepadanya. Sebelum ini, dia berkata kepada para penatua itu, “Walaupun aku tidak tahu apa yang akan berlaku kepadaku di Yerusalem, aku akan pergi ke situ kerana didorong oleh kuasa suci Tuhan. Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, kuasa suci Tuhan berulang kali memberi aku amaran bahawa aku bakal dipenjarakan dan mengalami kesengsaraan.” (Kis. 20:22, 23) Meskipun berdepan dengan bahaya, Paulus berasa “didorong oleh kuasa suci Tuhan.” Maksudnya, dia merasakan kewajipan untuk pergi ke Yerusalem, dan dia rela untuk mengikut arahan itu. Paulus menghargai nyawanya, tetapi melakukan kehendak Tuhan adalah yang terpenting baginya.

4 Adakah anda juga berasa begitu? Semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita berikrar bahawa melakukan kehendak-Nya adalah yang terpenting dalam hidup kita. Maka, kita dapat meraih manfaat dengan membincangkan teladan Rasul Paulus yang setia.

Berlayar Melintasi “Pulau Siprus” (Kis. 21:1-3)

5. Laluan manakah yang digunakan oleh Paulus dan rakan-rakannya untuk pergi ke Tirus?

5 Kapal yang dinaiki oleh Paulus dan rakan-rakannya belayar mengikut tiupan angin sehingga mereka dapat “berlayar terus” dan tiba di Kos pada hari yang sama. (Kis. 21:1) Nampaknya, kapal itu berlabuh untuk satu malam di sana sebelum berlayar ke Rodes dan Patara. Di Patara, yang terletak di persisiran pantai selatan Asia Kecil, saudara-saudara ini menaiki kapal kargo yang besar. Kapal itu membawa mereka terus ke Tirus di Fenisia. Semasa dalam perjalanan, mereka melihat “Pulau Siprus di sebelah kiri.” (Kis. 21:3) Mengapakah Lukas, penulis buku Kisah, mencatatkan perincian ini?

6. (a) Mengapakah Paulus mungkin berasa digalakkan semasa melihat Siprus? (b) Apabila anda merenungkan cara Yehuwa telah memberkati dan membantu anda, apakah yang dapat anda simpulkan?

6 Barangkali, Paulus sedang menunjuk ke arah pulau tersebut dan menceritakan pengalamannya di sana. Semasa perjalanan mubalighnya yang pertama kira-kira sembilan tahun yang lalu, dia berserta Barnabas dan Markus telah berjumpa dengan ahli sihir bernama Elimas yang menentang kerja penyebaran mereka. (Kis. 13:4-12) Maka, apabila Paulus nampak pulau itu dan merenungkan apa yang pernah berlaku, dia mungkin digalakkan dan dikuatkan untuk menghadapi apa yang bakal menimpanya. Kita juga meraih manfaat dengan merenungkan bagaimana Tuhan telah memberkati kita dan membantu kita untuk menghadapi cabaran. Perenungan sebegini dapat mendorong kita untuk membuat kesimpulan yang sama seperti Daud yang menulis, “Orang yang melakukan apa yang benar mengalami banyak kesusahan, tetapi Yehuwa menyelamatkannya daripada semua itu.”​—Mzm. 34:19.

‘Kami Mencari dan Menjumpai Murid-Murid’ (Kis. 21:4-9)

7. Apakah yang dilakukan Paulus dan rakan-rakannya apabila tiba di Tirus?

7 Paulus sedar betapa pentingnya pergaulan Kristian dan dia ingin sekali bersama dengan rakan seimannya. Setibanya di Tirus, Lukas menulis, ‘Kami mencari murid-murid dan menjumpai mereka.’ (Kis. 21:4) Setelah mengetahui bahawa terdapat rakan seiman yang tinggal di Tirus, Paulus dan rakan-rakannya mencari mereka dan barangkali tinggal bersama mereka. Salah satu berkat terbesar yang kita nikmati kerana menyembah Yehuwa ialah kita dapat mencari rakan seiman yang sudi mengalu-alukan kita, tidak kira di mana kita berada. Ya, orang yang mengasihi Tuhan dan mengamalkan ibadat sejati mempunyai kawan di serata dunia.

8. Apakah maksud Kisah 21:4?

8 Semasa menggambarkan apa yang berlaku selama tujuh hari mereka tinggal di Tirus, Lukas mencatatkan sesuatu yang pada mulanya mungkin membingungkan. Dia menulis, “Di bawah pimpinan kuasa suci Tuhan, [para saudara di Tirus] berulang kali memberitahu Paulus supaya tidak menjejakkan kaki di Yerusalem.” (Kis. 21:4) Adakah Yehuwa mengubah fikiran-Nya? Adakah Dia sekarang menyuruh Paulus untuk tidak pergi ke Yerusalem? Tidak. Kuasa suci Tuhan menunjukkan bahawa Paulus akan dilayan dengan buruk di Yerusalem dan bukan menyuruhnya menjauhi kota itu. Nampaknya, menerusi kuasa suci Tuhan, para saudara di Tirus dengan tepat menyimpulkan bahawa Paulus akan menghadapi masalah di Yerusalem. Sudah tentu, mereka risau tentang Paulus dan ingin melindunginya daripada bahaya. Maka tidaklah menghairankan bahawa mereka menggesanya untuk tidak pergi ke kota itu. Meskipun demikian, Paulus bertekad untuk melakukan kehendak Yehuwa, dan dia meneruskan perjalanannya ke Yerusalem.​—Kis. 21:12.

9, 10. (a) Semasa mendengar kerisauan saudara-saudara di Tirus, apakah situasi serupa yang mungkin difikirkan Paulus? (b) Apakah fikiran yang dimiliki oleh banyak orang hari ini? Mengapakah fikiran sebegitu bercanggahan dengan kata-kata Yesus?

9 Paulus mungkin terfikir tentang Yesus semasa mendengar kerisauan saudara-saudara itu. Yesus juga menghadapi bantahan serupa semasa dia memberitahu murid-muridnya bahawa dia akan pergi ke Yerusalem, menderita, lalu dibunuh. Petrus yang terikut-ikut dengan perasaan berkata kepada Yesus, “Tuan, janganlah cakap begitu. Perkara sebegini tidak akan sekali-kali menimpamu.” Yesus menjawab, “Jauhkanlah dirimu daripadaku, Syaitan! Kamu ialah batu sandungan bagiku, kerana fikiranmu ialah fikiran manusia, bukan fikiran Tuhan.” (Mat. 16:21-23) Ya, Yesus bertekad untuk menunjukkan sikap rela berkorban dengan mengikut haluan yang ditetapkan Tuhan baginya. Itulah juga perasaan Paulus. Saudara-saudara di Tirus sama seperti Petrus yang mempunyai niat yang baik, tetapi mereka tidak memahami kehendak Tuhan.

Semasa menginjil, seorang saudara melihat jamnya dengan perasaan tidak sabar. Rakan menginjilnya sedang memandangnya.

Mengikut Yesus memerlukan semangat rela berkorban

10 Hari ini, banyak orang memilih haluan yang paling mudah biarpun pilihan itu bukanlah yang terbaik. Secara umumnya, orang cenderung memilih agama yang senang bagi mereka dan yang tidak mempunyai banyak syarat. Sebaliknya, Yesus mengajarkan cara berfikir yang jauh berbeza. Dia memberitahu para pengikutnya, “Jika sesiapa ingin mengikutku, hendaklah dia menolak kepentingan sendiri, memikul tiang seksaannya, dan terus mengikut aku.” (Mat. 16:24) Mengikut Yesus ialah haluan yang bijak dan benar, namun haluan ini tidaklah mudah.

11. Bagaimanakah murid-murid di Tirus menunjukkan kasih dan sokongan kepada Paulus?

11 Tibalah masanya bagi Paulus, Lukas, dan rakan-rakan yang lain untuk meneruskan perjalanan mereka. Apa yang berlaku semasa mereka meninggalkan tempat itu sangat menyentuh hati. Saudara-saudara di Tirus sangat mengasihi Paulus dan memberikan sokongan yang padu kepada kerja penyebarannya. Banyak lelaki, wanita, dan kanak-kanak menemani Paulus dan rakan-rakannya ke pantai. Mereka semua berlutut dan berdoa lalu mengucapkan selamat tinggal. Kemudian Paulus, Lukas, dan rakan-rakan yang lain menaiki sebuah kapal dan meneruskan perjalanan ke Ptolemais. Mereka berjumpa dengan rakan seiman di situ dan tinggal dengan mereka selama sehari.​—Kis. 21:5-7.

12, 13. (a) Apakah yang menunjukkan bahawa Filipus berkhidmat dengan setia? (b) Bagaimanakah Filipus menjadi teladan bagi para bapa Kristian hari ini?

12 Seterusnya, Lukas menyatakan bahawa Paulus dan rakan-rakannya pergi ke Kaisarea. Setibanya di sana, mereka “masuk ke dalam rumah Filipus dan tinggal bersamanya. Dia seorang penginjil.”a (Kis. 21:8) Mereka tentu berasa gembira dapat berjumpa dengan Filipus. Sekitar 20 tahun yang lalu di Yerusalem, Filipus dilantik oleh para rasul untuk membantu dalam pengagihan makanan kepada sidang Kristian yang baru ditubuhkan. Filipus juga telah lama menginjil dengan bersemangat. Semasa pengikut Kristus tercerai-berai akibat penganiayaan, Filipus pergi ke Samaria dan mula menginjil. Kemudian, dia menginjil kepada sida-sida dari Etiopia dan membaptisnya. (Kis. 6:2-6; 8:4-13, 26-38) Ya, dia menjalankan khidmatnya dengan setia!

13 Semangat Filipus dalam kerja penyebaran tetap membara. Kini, dia menetap di Kaisarea dan masih sibuk melakukan kerja penyebaran. Tidak hairanlah Lukas memanggil Filipus sebagai “seorang penginjil.” Filipus juga mempunyai empat orang anak perempuan yang dapat bernubuat.b Nampaknya, mereka meniru jejak ayah mereka. (Kis. 21:9) Filipus tentu telah mencurahkan banyak usaha untuk membina kerohanian keluarganya. Hari ini, para bapa Kristian juga patut meniru Filipus dengan menetapkan teladan dalam melakukan kerja penyebaran dan membantu anak-anak mengasihi kerja menginjil.

14. Apakah hasil yang diraih apabila Paulus melawat rakan seimannya? Apakah peluang yang sama terbuka hari ini?

14 Semasa Paulus melawat dari satu kawasan ke kawasan yang lain, dia mencari rakan seimannya dan meluangkan masa bersama mereka. Sudah tentu, saudara saudari tempatan ingin menunjukkan kemurahan hati kepada mubaligh ini dan rakan-rakannya. Lawatan seperti itu pasti membantu mereka untuk saling “menggalakkan.” (Rm. 1:11, 12) Peluang yang sama juga terbuka hari ini. Kita meraih manfaat yang besar jika kita membuka rumah kita untuk penyelia litar dan isteri mereka biarpun rumah kita sederhana sahaja.​—Rm. 12:13.

KAISAREA​—IBU KOTA YUDEA, WILAYAH ROMA

Dalam jangka masa yang diliputi buku Kisah, Kaisarea merupakan ibu kota Yudea, iaitu sebuah wilayah Roma. Di situlah gabenor memerintah dan terletaknya ibu pejabat pasukan ketenteraan. Herodes yang Agung telah membina kota itu dan menamakannya sempena Kaisar Agustus. Kota itu mempunyai semua ciri kota Yunani kafir pada zaman itu, iaitu sebuah kuil yang dikhaskan untuk Kaisar Agustus dan pelbagai jenis teater. Kebanyakan penduduknya ialah orang bukan Yahudi.

Kaisarea merupakan sebuah kota pelabuhan yang berkubu. Kompleks pelabuhan ini dipanggil Sebastos (Agustus dalam bahasa Yunani) dan mempunyai tembok penahan ombak yang besar di pantai untuk melindungi kapal. Matlamat Herodes adalah agar kota pelabuhan yang baharu ini menandingi Aleksandria sebagai pusat perdagangan di bahagian timur Mediterranean. Walaupun kota ini tidak menjadi masyhur seperti Aleksandria, kota ini menjadi terkenal di dunia kerana kedudukannya yang strategik di laluan-laluan perdagangan yang utama.

Filipus telah menginjil di Kaisarea dan nampaknya mendirikan rumah tangga di situ. (Kis. 8:40; 21:8, 9) Di kota inilah pegawai Roma bernama Kornelius, yang berpangkat centurion, tinggal dan menjadi pengikut Yesus.​—Kis. 10:1.

Rasul Paulus telah melawat Kaisarea beberapa kali. Tidak lama selepas menjadi pengikut Kristus dan apabila musuh ingin membunuhnya, para murid bergegas membawa Paulus sejauh 90 km dari Yerusalem ke Kaisarea supaya dapat menghantarnya ke Tarsus melalui kapal. Paulus juga singgah di pelabuhan Kaisarea semasa pergi ke Yerusalem pada penghujung perjalanan mubaligh yang kedua dan ketiga. (Kis. 9:28-30; 18:21, 22; 21:7, 8) Selain itu, dia pernah ditahan di istana Herodes di Kaisarea selama dua tahun. Di sana, Paulus dapat bercakap dengan Feliks, Festus, serta Agripa, dan akhirnya dia berlayar ke Roma.​—Kis. 23:33-35; 24:27–25:4; 27:1.

BOLEHKAH WANITA MENGAJAR?

Apakah peranan wanita dalam sidang Kristian abad pertama? Bolehkah wanita mengajar?

Yesus memerintahkan para pengikutnya untuk menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan menjadikan orang muridnya. (Mat. 28:19, 20; Kis. 1:8) Tugas sebagai penginjil diberikan kepada semua orang Kristian, tidak kira lelaki, wanita, anak lelaki, atau anak perempuan. Hal ini dapat dilihat melalui nubuat yang tercatat di Yoel 2:28, 29. Rasul Petrus menunjukkan bahawa nubuat ini telah menjadi kenyataan pada Pentakosta 33 M. Dia berkata, “Tuhan berfirman, ‘Pada hari-hari terakhir, Aku akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas segala macam orang, lalu anak lelaki dan anak perempuan kamu akan bernubuat. . . . Pada hari itu, Aku juga akan mencurahkan sebahagian daripada kuasa suci-Ku ke atas hamba lelaki dan hamba perempuan-Ku, lalu mereka akan bernubuat.’” (Kis. 2:17, 18) Seperti yang kita ketahui, Filipus mempunyai empat orang anak perempuan yang dapat bernubuat.​—Kis. 21:8, 9.

Namun, Firman Tuhan menyatakan bahawa hanya lelaki boleh dilantik sebagai penyelia Kristian dan pembantu sidang. Merekalah yang ditugaskan untuk mengajar di sidang. (1 Tim. 3:1-13; Tit. 1:5-9) Paulus bahkan menyatakan, “Aku tidak mengizinkan seorang wanita untuk mengajar atau berkuasa atas seorang lelaki. Dia harus tetap berdiam diri.”​—1 Tim. 2:12.

“Aku Sudah Bersedia . . . untuk Mati” (Kis. 21:10-14)

15, 16. Apakah mesej yang dibawa oleh Agabus? Apakah kesan mesej itu terhadap orang yang mendengarnya?

15 Semasa Paulus tinggal dengan Filipus, seorang lagi tetamu yang dihormati datang, iaitu Agabus. Orang yang berkumpul di rumah Filipus tahu bahawa Agabus ialah seorang nabi. Dia pernah bernubuat tentang kebuluran teruk yang berlaku semasa pemerintahan Klaudius. (Kis. 11:27, 28) Mereka mungkin tertanya-tanya, “Kenapa Agabus datang? Apa mesej yang dia bawa?” Mereka memerhatikan Agabus dengan teliti seraya dia mengambil tali pinggang Paulus, iaitu sehelai kain panjang yang diikat pada pinggang dan digunakan untuk menyimpan wang atau barang-barang lain. Kemudian, Agabus mengikat kaki dan tangannya sendiri dengan tali pinggang itu, lalu menyampaikan mesej yang serius. Menurutnya, “Kuasa suci Tuhan berkata, ‘Orang yang memiliki tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem, dan mereka akan menyerahkannya ke dalam tangan orang bangsa asing.’”​—Kis. 21:11.

16 Nubuat itu mengesahkan bahawa Paulus akan pergi ke Yerusalem. Nubuat itu juga menunjukkan bahawa kerja penyebarannya kepada orang Yahudi akan menyebabkannya diserahkan “ke dalam tangan orang bangsa asing.” Hal ini memberikan kesan yang mendalam terhadap orang yang berkumpul di rumah Filipus. Lukas menulis, “Apabila kami mendengar kata-katanya, kami dan semua orang di situ merayu Paulus supaya tidak pergi ke Yerusalem. Tetapi Paulus berkata, ‘Mengapakah kamu semua menangis dan mencuba melemahkan azamku? Percayalah, aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat, tetapi juga untuk mati di Yerusalem demi nama Tuan Yesus.’”​—Kis. 21:12, 13.

17, 18. Bagaimanakah Paulus menunjukkan bahawa dia bertekad untuk melakukan kehendak Tuhan? Apakah reaksi saudara-saudara itu?

17 Bayangkan keadaan di situ. Para saudara, termasuk Lukas, merayu agar Paulus tidak meneruskan rancangannya. Ada juga yang menangis. Paulus tersentuh dengan kasih dan keprihatinan mereka. Maka, dia dengan lembut berkata bahawa mereka sedang ‘mencuba melemahkan azamnya,’ atau menurut sesetengah terjemahan, mereka ‘menyedihkan hatinya.’ Meskipun demikian, sepertimana tekadnya tidak goyah semasa dia berjumpa dengan para saudara di Tirus, dia juga tidak akan membiarkan rayuan atau tangisan mereka mempengaruhinya. Sebaliknya, dia menjelaskan sebabnya dia perlu meneruskan perjalanan itu. Sememangnya, Paulus menunjukkan keberanian dan tekad yang teguh! Seperti Yesus, Paulus berpegang pada keputusannya untuk pergi ke Yerusalem. (Ibr. 12:2) Paulus bukannya sengaja ingin dibunuh demi imannya, namun jika hal itu berlaku, dia akan menganggapnya sebagai suatu penghormatan untuk mati sebagai seorang pengikut Kristus Yesus.

18 Apakah reaksi para saudara itu? Mereka menunjukkan hormat kepada Paulus. Mereka berkata, “Oleh sebab Paulus enggan mendengarkan kami, kami tidak memaksanya lagi lalu berkata, ‘Biarlah kehendak Yehuwa terjadi.’” (Kis. 21:14) Mereka yang memujuk Paulus untuk tidak pergi ke Yerusalem berhenti memaksa Paulus untuk mengikut keinginan mereka. Mereka mendengar dan menerima keputusannya. Mereka juga menyedari dan menerima kehendak Yehuwa meskipun hal itu susah bagi mereka. Paulus telah memulakan haluan yang akhirnya akan menyebabkannya dibunuh. Maka, lebih mudah bagi Paulus untuk menempuh haluan itu jika orang yang mengasihinya tidak cuba untuk melemahkan semangatnya.

19. Apakah pengajaran penting yang kita peroleh daripada keadaan yang dihadapi oleh Paulus?

19 Kita peroleh pengajaran yang penting daripada apa yang dihadapi Paulus: Kita tidak mahu melemahkan semangat mereka yang rela membuat pengorbanan untuk berkhidmat kepada Tuhan. Kita boleh menerapkan pengajaran ini dalam pelbagai situasi dan bukan hanya dalam soal hidup dan mati. Misalnya, banyak ibu bapa Kristian berasa susah apabila melihat anak mereka meninggalkan rumah untuk berkhidmat kepada Yehuwa di tempat yang jauh. Meskipun demikian, mereka bertekad untuk tidak melemahkan semangat anak-anak. Phyllis, yang tinggal di England, mengingat semula perasaannya semasa satu-satunya anak perempuannya menceburi khidmat mubaligh di Afrika. Phyllis berkata, “Masa itu perasaan saya bercampur baur. Saya susah untuk terima bahawa dia akan pergi ke tempat yang jauh. Saya sedih, tetapi juga bangga. Saya banyak berdoa tentang hal ini. Tetapi itu ialah keputusannya, dan saya tidak akan cuba mengubahnya. Lagipun, saya selalu mengajarnya untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan! Dia telah berkhidmat di negara lain selama 30 tahun, dan saya bersyukur kepada Yehuwa setiap hari kerana dia tetap setia.” Betapa baiknya jika kita menggalakkan saudara saudari yang sudi membuat pengorbanan!

Kolaj: Ibu bapa dan pasangan mubaligh. 1. Ibu bapa itu gembira semasa membuat panggilan telefon. 2. Pasangan itu gembira terima panggilan telefon di kawasan penyebaran bahasa asing mereka.

Sungguh baik untuk menggalakkan rakan seiman yang rela berkorban

“Saudara-Saudara Menyambut Kami dengan Gembira” (Kis. 21:15-17)

20, 21. Apakah yang menunjukkan bahawa Paulus ingin bersama dengan rakan seimannya, dan mengapa?

20 Persediaan sudah dibuat dan Paulus meneruskan perjalanannya. Dia ditemani oleh para saudara yang menyokongnya dengan sepenuh hati. Di sepanjang perjalanan ke Yerusalem, Paulus dan rakan-rakannya mencari saudara saudari untuk bergaul bersama-sama. Di Tirus, mereka bertemu dengan para pengikut Kristus dan meluangkan masa selama tujuh hari. Di Ptolemais, mereka melawat rakan seiman dan tinggal selama sehari. Di Kaisarea, mereka tinggal selama beberapa hari di rumah Filipus. Kemudian, sesetengah murid dari Kaisarea mengikut Paulus dan rakan-rakannya ke Yerusalem. Setibanya di sana, mereka menumpang di rumah Manason, salah seorang murid Yesus masa awal. Lukas melaporkan bahawa saudara-saudara di Yerusalem “menyambut kami dengan gembira.”​—Kis. 21:17.

21 Jelaslah, Paulus mahu bersama dengan rakan seimannya. Seperti kita hari ini, Paulus mendapat galakan daripada saudara saudarinya. Sudah pasti, galakan itu menguatkan Paulus untuk berhadapan dengan para penentang yang bengis dan yang berusaha untuk membunuhnya.

a Lihat kotak “Kaisarea—Ibu Kota Yudea, Wilayah Roma.”

b Lihat kotak “Bolehkah Wanita Mengajar?”

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi