PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w13 15/8 ms. 10-14
  • Jangan Sekali-kali Marah dan ‘Menyalahkan Yehuwa’

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Jangan Sekali-kali Marah dan ‘Menyalahkan Yehuwa’
  • Menara Pengawal—2013
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • APAKAH YANG MUNGKIN MEMBUAT KITA MARAH DAN ‘MENYALAHKAN YEHUWA’?
  • ELAKKAN DARIPADA MARAH DAN ‘MENYALAHKAN YEHUWA’
  • HARGAILAH HUBUNGAN ANDA DENGAN YEHUWA
  • Yehuwa Menghargai Anda!
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2021
  • Adakah Anda Percaya bahawa Tindakan Yehuwa Selalu Betul?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2022
  • Siapakah Tuhan?
    Apakah yang Diajarkan Bible?
  • Percayalah kepada Yehuwa dan Buatlah Apa yang Baik
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
Menara Pengawal—2013
w13 15/8 ms. 10-14

Jangan Sekali-kali Marah dan ‘Menyalahkan Yehuwa’

‘Ada orang merosakkan hidup kerana kebodohan sendiri, lalu menyalahkan Yehuwa pula.’—AMS. 19:3, ABB.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Apakah yang mungkin membuat kita marah dan ‘menyalahkan Yehuwa’?

  • Nyatakan lima faktor yang dapat membantu kita agar tidak menjadi marah dan menyalahkan Yehuwa.

  • Apakah yang patut kita ingat semasa dilanda kesusahan?

1, 2. Mengapakah kita tidak patut menyalahkan Yehuwa atas masalah-masalah kita? Jelaskan.

BAYANGKAN anda menikmati perkahwinan yang bahagia selama bertahun-tahun. Pada suatu hari, anda pulang ke rumah dan mendapati bahawa rumah anda tunggang terbalik. Perabot anda musnah, pinggan mangkuk hancur berkecai, dan langsir terkoyak-koyak. Rumah anda bagai dilanda bencana. Anda mungkin tertanya-tanya, “Siapa yang membuat semua ini?” Adakah anda akan menyalahkan isteri anda? Tentu tidak kerana anda tahu bahawa isteri yang tersayang tidak akan berbuat demikian.

2 Hari ini, bumi kita penuh dengan pencemaran, keganasan, dan perbuatan yang tidak bermoral. Sebagai pelajar Bible, kita tahu bahawa Yehuwa bukanlah penyebab semua masalah ini. Dia menciptakan bumi agar kita dapat tinggal di sebuah firdaus yang indah. (Kej. 2:8, 15) Yehuwa ialah kasih. (1 Yoh. 4:8) Bible memberitahu kita bahawa Syaitan ialah “penguasa dunia ini.” Dialah punca sebenar masalah dunia kita.—Yoh. 14:30; 2 Kor. 4:4.

3. Mengapakah kita boleh memiliki pandangan yang salah?

3 Namun, kita tidak boleh menyalahkan Syaitan atas semua masalah kita. Mengapa? Kerana sesetengah masalah disebabkan oleh kesilapan sendiri. (Baca Ulangan 32:4-6.) Meskipun kita menerima hakikat ini, kita masih boleh mempunyai pandangan yang salah kerana ketidaksempurnaan sendiri. (Ams. 14:12) Hal ini berbahaya kerana apabila dilanda masalah, kita boleh menjadi sangat marah lalu menyalahkan Yehuwa, dan bukannya diri sendiri atau Syaitan.—Ams. 19:3.

4, 5. Bagaimanakah seorang Kristian boleh menjadi marah dan ‘menyalahkan Yehuwa’?

4 Kita mungkin marah kepada Yehuwa, tetapi tindakan ini sia-sia sahaja. (Yes. 41:11) Kita bukannya dapat mengalahkan Yehuwa. Seorang penyajak pernah berkata, “Lengan kamu terlalu pendek untuk bertinju dengan Tuhan.” Kita mungkin tidak berani menyuarakan rasa marah kita kepada Yehuwa. Tetapi Amsal 19:3 (ABB) berkata, ‘Ada orang merosakkan hidup kerana kebodohan sendiri, lalu menyalahkan Yehuwa pula.’ Tanpa disedari, seseorang boleh menjadi marah dan menyalahkan Tuhan dalam hatinya. Akibatnya, dia mungkin tidak bergaul dengan sidang dan berhenti menyembah Yehuwa.

5 Apakah yang mungkin membuat kita marah dan ‘menyalahkan Yehuwa’? Bagaimanakah kita dapat menjauhi jerat ini? Kita patut mengetahui jawapan kepada soalan-soalan ini agar hubungan kita dengan Tuhan Yehuwa tidak terjejas.

APAKAH YANG MUNGKIN MEMBUAT KITA MARAH DAN ‘MENYALAHKAN YEHUWA’?

6, 7. Mengapakah orang Israel pada zaman Musa mula bersungut tentang Yehuwa?

6 Apakah yang mungkin menyebabkan penyembah Yehuwa yang setia mula bersungut terhadap-Nya? Marilah kita bincangkan lima faktor dan mengkaji beberapa contoh Bible. Dengan ini, kita dapat memahami bagaimana beberapa orang pada zaman Bible terjatuh ke dalam jerat ini.—1 Kor. 10:11, 12.

Jangan mendengar kata-kata negatif yang membawa padah (Lihat perenggan 7)

7 Kata-kata negatif orang lain boleh mempengaruhi kita. (Baca Ulangan 1:26-28.) Yehuwa baru sahaja membebaskan orang Israel dari Mesir. Dia telah mendatangkan sepuluh tulah ke atas Mesir lalu membinasakan Firaun bersama askar-askarnya di Laut Merah. (Kel. 12:29-32, 51; 14:29-31; Mzm. 136:15) Umat Tuhan bersedia memasuki Tanah yang Dijanjikan. Tetapi pada saat genting itu, orang Israel mula bersungut terhadap Yehuwa. Mengapakah iman mereka lemah? Kerana mereka takut setelah mendengar laporan buruk yang dibawa oleh sepuluh pengintip. (Bil. 14:1-4) Akibatnya, mereka tidak dapat memasuki “tanah yang subur itu.” (Ul. 1:34, 35) Adakah kita membiarkan kata-kata negatif orang lain melemahkan iman kita dan menyebabkan kita bersungut tentang cara Yehuwa membimbing umat-Nya?

8. Apakah yang menyebabkan orang Yehuda pada zaman Yesaya mula menyalahkan Yehuwa atas masalah mereka?

8 Penderitaan dan kesusahan boleh membuat kita tawar hati. (Baca Yesaya 8:21, 22.) Pada zaman Yesaya, orang Yehuda menderita kerana mereka dikelilingi musuh. Ramai yang lapar kerana kekurangan makanan. Lebih teruk lagi, mereka kebuluran secara rohani. (Am. 8:11) Mereka tidak meminta bantuan Yehuwa, sebaliknya ‘mengutuk raja dan Tuhan mereka.’ Ya, orang Yehuda menyalahkan Yehuwa atas masalah mereka. Jika kita ditimpa tragedi atau masalah, adakah kita akan berkata dalam hati, “Di manakah Yehuwa sewaktu saya memerlukan-Nya?”

9. Mengapakah orang Israel pada zaman Yehezkiel mempunyai pandangan yang salah?

9 Kita tidak mengetahui semua fakta. Orang Israel pada zaman Yehezkiel tidak mengetahui semua fakta, jadi mereka berpendapat bahawa ‘perbuatan Tuhan tidak adil.’ (Yeh. 18:29) Mereka seolah-olah menetapkan piawaian sendiri dan menghakimi Yehuwa berdasarkan pemahaman mereka yang terhad. Jika kita tidak memahami dengan sepenuhnya catatan Bible atau peristiwa yang berlaku dalam hidup, adakah kita akan berpendapat bahawa ‘perbuatan Tuhan tidak adil’?—Ayb. 35:1, 2.

10. Bagaimanakah seseorang mungkin terikut-ikut dengan contoh buruk Adam?

10 Kita menyalahkan orang lain atas dosa dan kesilapan sendiri. Pada permulaan sejarah manusia, Adam menyalahkan Tuhan atas dosanya sendiri. (Kej. 3:12) Adam sengaja melanggar hukum Tuhan walaupun dia mengetahui akibatnya. Selepas itu, dia menyalahkan Yehuwa pula dengan mendakwa bahawa Yehuwa memberinya isteri yang jahat. Sejak itu, ramai telah mengikut jejak Adam dan menyalahkan Yehuwa atas dosa sendiri. Jadi, kita patut menanya diri, “Adakah saya terlalu marah dan kecewa atas dosa sendiri sehingga berfikir bahawa piawaian Yehuwa terlalu ketat?”

11. Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada Yunus?

11 Kita terlalu mementingkan diri. Nabi Yunus tidak berpuas hati dengan keputusan Yehuwa untuk mengampuni penduduk Niniwe. (Yun. 4:1-3) Mengapa? Dia risau bahawa dia akan dimalukan jika berita pembinasaan yang disampaikannya tidak digenapi. Nampaknya, Yunus lebih mementingkan reputasinya daripada menunjukkan belas kasihan kepada orang Niniwe yang bertaubat. Adakah anda juga berasa sedemikian semasa menyebarkan berita tentang hari Yehuwa yang semakin dekat? Anda mungkin telah berbuat demikian selama puluhan tahun. Tetapi apabila orang lain mengkritik anda kerana menyampaikan mesej Bible, adakah anda akan hilang sabar terhadap Yehuwa?—2 Ptr. 3:3, 4, 9.

ELAKKAN DARIPADA MARAH DAN ‘MENYALAHKAN YEHUWA’

12, 13. Apakah yang patut kita lakukan jika kita meragui tindakan Yehuwa?

12 Apakah yang boleh kita lakukan jika kita meragui tindakan Yehuwa? Ingatlah bahawa perasaan sedemikian tidak bijak. Amsal 19:3 mengingatkan kita bahawa seseorang mungkin menyalahkan Yehuwa atas masalah yang timbul akibat kesilapan sendiri. Jadi, marilah kita bincangkan lima faktor yang dapat membantu kita agar tidak menjadi marah dan menyalahkan Yehuwa.

13 Jangan mengabaikan hubungan anda dengan Yehuwa. Dengan memupuk hubungan yang akrab dengan Tuhan, kita dapat mengawal kecenderungan untuk marah dan menyalahkan-Nya. (Baca Amsal 3:5, 6.) Kita perlu yakin pada Yehuwa. Dan tidak patut berfikir bahawa kita lebih pandai daripada Tuhan atau terlalu mementingkan diri. (Ams. 3:7; Pkh. 7:16) Dengan ini, kita tidak akan menyalahkan Yehuwa apabila dilanda masalah.

14, 15. Apakah yang dapat membantu kita agar tidak terpengaruh dengan kata-kata negatif orang lain?

14 Jangan membiarkan kata-kata negatif mempengaruhi anda. Orang Israel pada zaman Musa mempunyai banyak sebab untuk yakin bahawa Yehuwa akan membantu mereka memasuki Tanah yang Dijanjikan. (Mzm. 78:43-53) Tetapi apabila mereka mendengar laporan buruk daripada sepuluh orang pengintip, mereka “lupa akan kuasa-Nya yang besar.” (Mzm. 78:42) Dengan merenungkan hal-hal menakjubkan yang dilakukan oleh Yehuwa demi kita, persahabatan kita dengan-Nya akan lebih kukuh. Maka, kita tidak akan membiarkan kata-kata negatif orang lain merenggangkan hubungan kita dengan Yehuwa.—Mzm. 77:12, 13.

15 Hubungan kita dengan Yehuwa juga akan menjadi renggang jika kita mempunyai perasaan negatif terhadap rakan seiman. (1 Yoh. 4:20) Apabila Harun dilantik sebagai imam agung, orang Israel merungut tentang hal ini. Di mata Yehuwa, mereka sedang merungut tentang-Nya. (Bil. 17:10) Begitu juga, jika kita mula merungut tentang saudara yang dilantik oleh Yehuwa untuk memimpin organisasi-Nya di bumi, kita sebenarnya sedang merungut tentang Yehuwa.—Ibr. 13:7, 17.

16, 17. Mengapakah kita tidak patut menyalahkan Yehuwa atas masalah kita?

16 Ingatlah bahawa Yehuwa bukan penyebab masalah kita. Meskipun orang Israel pada zaman Yesaya memberontak terhadap Yehuwa, Dia masih ingin membantu mereka. (Yes. 1:16-19) Tidak kira apa jua masalah yang dihadapi, kita boleh berasa lega kerana Yehuwa prihatin dan ingin membantu. (1 Ptr. 5:7) Dia berjanji akan memberikan kekuatan yang kita perlukan untuk terus bertabah.—1 Kor. 10:13.

17 Jika kita ditimpa ketidakadilan, seperti Ayub yang setia, kita patut ingat bahawa Yehuwa bukanlah penyebabnya. Yehuwa membenci ketidakadilan dan mencintai keadilbenaran. (Mzm. 33:5) Kita patut bersetuju dengan Elihu, sahabat Ayub, yang berkata bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa tidak sekali-kali akan melakukan hal yang salah atau tidak adil. (Ayb. 34:10) Yehuwa memberi kita “setiap pemberian yang baik dan sempurna.” Dia bukanlah penyebab masalah kita.—Yak. 1:13, 17.

18, 19. Mengapakah kita tidak patut meragui Yehuwa? Jelaskan.

18 Jangan sekali-kali meragui Yehuwa. Tuhan itu sempurna, dan fikiran-Nya jauh lebih tinggi daripada fikiran kita. (Yes. 55:8, 9) Jadi kita patut rendah hati dan mengakui bahawa pemahaman kita terhad. (Rm. 9:20) Selalunya kita tidak mengetahui semua fakta. Anda pasti bersetuju dengan amsal ini: “Orang yang pertama berucap di mahkamah selalu nampaknya benar, tetapi kenyataannya akan diuji setelah perkaranya diperiksa.”—Ams. 18:17, ABB.

19 Contohnya, kita mungkin tidak memahami atau meragui tindakan sahabat karib kita. Adakah kita akan segera menuduhnya? Tidak. Sebaliknya, kita akan berfikir bahawa kita mungkin tidak mengetahui semua fakta. Jika kita boleh mempercayai seorang sahabat yang tidak sempurna, kita juga patut mempercayai Bapa yang di syurga kerana fikiran-Nya jauh lebih tinggi!

20, 21. Mengapakah kita tidak patut menyalahkan Yehuwa atas masalah kita?

20 Ingatlah punca sebenar masalah kita. Kita patut menerima hakikat bahawa sesetengah masalah disebabkan oleh kesilapan kita sendiri. (Gal. 6:7) Jangan menyalahkan Yehuwa. Mengapa? Pertimbangkan contoh ini: Sebuah kereta mungkin dapat dipandu pada kelajuan tertentu. Tetapi jika kemalangan berlaku kerana pemandu kereta melebihi had laju semasa melalui selekoh tajam, patutkah pengeluar kereta dipersalahkan? Tidak! Begitu juga, Yehuwa telah memberi kita kebebasan untuk memilih. Dia juga memberi kita garis panduan untuk membuat keputusan yang bijak. Jadi mengapa pula kita menyalahkan Pencipta atas kesilapan kita sendiri?

21 Sememangnya, bukan semua masalah kita disebabkan oleh kesilapan sendiri. Malang tidak berbau dan boleh menimpa kita “dengan tidak disangka-sangka.” (Pkh. 9:12) Selain itu, jangan lupa bahawa Syaitan Si Iblis ialah dalang utama. (1 Yoh. 5:19; Why. 12:9) Dialah musuh kita, bukan Yehuwa!—1 Ptr. 5:8.

HARGAILAH HUBUNGAN ANDA DENGAN YEHUWA

Yosua dan Kaleb diberkati kerana mereka mempercayai Yehuwa (Lihat perenggan 22)

22, 23. Apakah yang patut kita ingat jika kita tawar hati kerana masalah sendiri?

22 Sewaktu anda dilanda kesusahan dan masalah, ingatlah contoh Yosua dan Kaleb. Tidak seperti sepuluh pengintip yang lain, mereka berdua memberikan laporan yang baik. (Bil. 14:6-9) Mereka beriman pada Yehuwa. Biarpun begitu, mereka masih perlu mengembara di padang gurun bersama bangsa Israel selama 40 tahun. Adakah Yosua dan Kaleb menjadi marah dan kecewa lalu merungut bahawa hal ini tidak adil? Tidak. Mereka mempercayai Yehuwa. Adakah Yehuwa memberkati mereka? Ya! Mereka berdua akhirnya memasuki Tanah yang Dijanjikan, manakala kebanyakan orang Israel mati di padang gurun. (Bil. 14:30) Kita juga akan diberkati Yehuwa “jika kita tidak berhenti-henti” melakukan kehendak-Nya.—Gal. 6:9; Ibr. 6:10.

23 Jika anda tawar hati kerana masalah sendiri, ketidaksempurnaan orang lain, atau kesilapan sendiri, apakah yang patut anda lakukan? Ingatlah sifat-sifat Yehuwa yang menakjubkan. Bayangkan harapan yang dikurniakan Yehuwa. Tanyalah diri, “Bagaimanakah keadaan hidup saya jika saya tidak mengenali Yehuwa?” Tetaplah berada di sisi Yehuwa, serta jangan sekali-kali marah dan menyalahkan-Nya!

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi