PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • Yehuwa “Menyatakan Segala Rahsia”
    Menara Pengawal—2012 | 15 Jun
    • Yehuwa “Menyatakan Segala Rahsia”

      “Sesungguhnya Tuhanmu agung antara semua dewa . . . dan Dia menyatakan segala rahsia.”​—DAN. 2:47.

      APAKAH JAWAPAN ANDA?

      Apakah yang disingkapkan oleh Yehuwa mengenai masa depan?

      Apakah yang dilambangkan oleh enam kepala binatang buas yang dibincangkan dalam rencana ini?

      Apakah kaitan antara binatang buas dan patung yang dimimpikan Nebukadnezar?

      1, 2. Apakah yang telah disingkapkan oleh Yehuwa? Mengapakah dia berbuat demikian?

      KERAJAAN-KERAJAAN manakah yang akan memerintah bumi semasa Kerajaan Tuhan memusnahkan semua kerajaan manusia? Yehuwa yang “menyatakan segala rahsia” memberitahu kita jawapannya. Dia membantu kita mengenal pasti kerajaan-kerajaan tersebut melalui nubuat yang ditulis oleh nabi Daniel dan rasul Yohanes.

      2 Yehuwa menyingkapkan kepada mereka beberapa penglihatan yang melibatkan binatang-binatang simbolik. Dia juga memberitahu Daniel maksud di sebalik mimpi mengenai sebuah patung logam yang besar. Yehuwa memastikan penglihatan itu dicatat dalam Bible untuk faedah kita. (Rm. 15:4) Dia berbuat demikian supaya kita bertambah yakin bahawa Kerajaan Tuhan akan memusnahkan semua kerajaan manusia tidak lama lagi.​—Dan. 2:44.

      3. Apakah yang perlu kita faham sebelum kita boleh memahami nubuat-nubuat lain? Mengapa?

      3 Semua penglihatan Daniel dan Yohanes membantu kita mengenal pasti lapan orang raja, atau kerajaan manusia, mengikut susunan kemunculan mereka di pentas dunia. Namun, kita dapat memahami nubuat-nubuat itu hanya jika kita memahami nubuat Bible yang pertama. Mengapa? Penggenapan nubuat yang pertama itu mempunyai kaitan dengan tema Bible. Nubuat itulah yang menjadi tunjang kepada semua nubuat yang lain.

      BENIH ULAR DAN BINATANG BUAS

      4. Siapakah yang membentuk benih perempuan, dan apakah yang akan dilakukan oleh benih itu?

      4 Tidak lama selepas pemberontakan di Taman Eden, Yehuwa berjanji bahawa seorang “perempuan” akan menghasilkan ‘keturunan,’ atau benih, yang akhirnya akan “meremukkan kepala” Syaitan.a (Baca Kejadian 3:15.) Yehuwa menyingkapkan bahawa benih ini merupakan keturunan Abraham dan Raja Daud, dan juga berasal dari suku Yehuda di Israel. (Kej. 22:15-18; 49:10; Mzm. 89:4, 5; Luk. 1:30-33) Bahagian utama benih itu ialah Yesus Kristus. (Gal. 3:16) Bahagian sekunder pula ialah orang Kristian terurap. (Gal. 3:26-29) Yesus dan kaum terurap membentuk Kerajaan Tuhan yang akan menghancurkan Syaitan.​—Luk. 12:32; Rm. 16:20.

      5, 6. (a) Penglihatan Daniel dan Yohanes menyebut tentang berapa kuasa besar? (b) Apakah yang diwakili oleh kepala-kepala binatang buas?

      5 Nubuat pertama di Taman Eden menyatakan bahawa Syaitan juga akan menghasilkan benih sendiri. Benihnya akan membenci benih perempuan. Siapakah benih ular ini? Semua orang yang meniru Syaitan, membenci Tuhan, dan menentang umat-Nya. Selama ini, kuasa-kuasa politik atau kerajaan-kerajaan digunakan oleh Syaitan sebagai benihnya. (Luk. 4:5, 6) Tetapi dalam penglihatan Daniel dan Yohanes, hanya lapan kuasa besar disebut. Mengapa? Kerana penglihatan yang diberikan hanya melibatkan kerajaan-kerajaan yang mempengaruhi umat Tuhan, sama ada bangsa Israel kuno atau sidang Kristian terurap.

      6 Pada akhir abad pertama, Yesus memberi Yohanes beberapa penglihatan yang luar biasa. (Why. 1:1) Dalam satu penglihatan, Yohanes nampak Syaitan, yang dilambangkan oleh naga yang berdiri di pantai. (Baca Wahyu 12:18–13:2.) Yohanes juga nampak seekor binatang aneh yang keluar dari laut. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan mendapat kuasa yang besar daripada Iblis. Kemudian Yohanes nampak seekor binatang berwarna merah yang juga mempunyai tujuh kepala. Binatang ini merupakan imej binatang aneh yang disebut di Wahyu 13:1. Satu malaikat memberitahu Yohanes bahawa tujuh kepala binatang yang berwarna merah itu mewakili “tujuh orang raja,” atau kerajaan. (Why. 13:14, 15; 17:3, 9, 10) Pada masa Yohanes menulis tentang perkara itu, lima orang antara mereka sudah tiada, seorang lagi masih memerintah, dan seorang lagi “belum datang.” Siapakah raja-raja ini? Mari kita kupas siapa yang diwakili oleh setiap kepala binatang buas yang disebut dalam buku Wahyu. Kita juga akan melihat bagaimana nubuat Daniel memberikan maklumat lanjut tentang beberapa kuasa dunia ini berabad-abad sebelum mereka muncul.

      MESIR DAN ASYUR​—KEPALA YANG PERTAMA DAN KEDUA

      7. Apakah yang dilambangkan oleh kepala pertama, dan mengapa?

      7 Kepala pertama binatang itu melambangkan Mesir. Mengapa? Kerana Mesir merupakan kuasa dunia pertama yang membenci umat Tuhan. Benih perempuan akan datang melalui keturunan Abraham. Tetapi apabila keturunan Abraham menjadi ramai di Mesir, orang Mesir mula menindas mereka. Syaitan ingin mencegah kelahiran benih ini lalu mendorong Firaun untuk membunuh semua bayi lelaki orang Israel. Tetapi Yehuwa menyelamatkan umat-Nya dengan membebaskan mereka dari Mesir. (Kel. 1:15-20; 14:13) Kemudian Dia membawa mereka ke Tanah yang Dijanjikan.

      8. Apakah yang dilambangkan oleh kepala kedua? Apakah yang ingin dilakukannya?

      8 Kepala kedua binatang itu melambangkan Asyur. Kerajaan yang berkuasa ini juga mencuba membanteras umat Tuhan. Walaupun Yehuwa telah menggunakan Asyur untuk menghukum sepuluh suku bangsa Israel yang memberontak dan menyembah berhala, serangan Asyur ke atas Yerusalem bertentangan dengan tujuan-Nya. Syaitan tahu bahawa benih yang dijanjikan akan datang melalui keturunan raja Yerusalem. Oleh itu Syaitan mungkin menggunakan Asyur untuk melenyapkan keturunan Daud. Maka, Yehuwa mengutus malaikat-Nya untuk memusnahkan tentera Asyur.​—2 Raj. 19:32-35; Yes. 10:5, 6, 12-15.

      BABILON​—KEPALA YANG KETIGA

      9, 10. (a) Yehuwa membenarkan orang Babilon membuat apa? (b) Apakah yang perlu berlaku supaya nubuat tentang Mesias digenapi?

      9 Dalam penglihatan Yohanes, kepala ketiga binatang itu melambangkan kerajaan Babilon. Yehuwa telah memberitahu orang Israel yang mengingkari-Nya bahawa Dia akan membenarkan orang Babilon untuk menakluki dan menawan mereka. (2 Raj. 20:16-18) Selepas Tuhan mengizinkan hal itu berlaku, buat suatu jangka masa yang panjang, bangsa Israel tidak mempunyai raja di ‘takhta yang telah ditetapkan oleh-Nya.’ (1 Taw. 29:23) Yehuwa menubuatkan bahawa keadaan ini akan berterusan sehingga seorang raja yang baru muncul daripada keturunan Raja Daud.​—Yes. 11:1.

      10 Satu nubuat menunjukkan bahawa Rumah Tuhan di Yerusalem masih digunakan sebagai pusat ibadat orang Yahudi apabila Mesias, atau Individu Yang Terurap datang. (Dan. 9:24-27) Sebelum orang Israel menjadi tawanan di Babilon, Tuhan juga menubuatkan bahawa Mesias akan dilahirkan di Betlehem. (Mi. 5:1) Orang Yahudi harus dibebaskan, kembali ke tanah air, dan membina semula Rumah Tuhan supaya nubuat-nubuat ini digenapi. Tetapi, orang Babilon biasanya tidak membebaskan tawanan mereka. Jadi apakah yang berlaku? Yehuwa memberikan jawapannya kepada para nabi.​—Am. 3:7.

      11. Bagaimanakah buku Daniel dan buku Wahyu menggambarkan kuasa dunia Babilon? (Lihat nota kaki.)

      11 Nabi Daniel merupakan antara tawanan yang dibawa ke Babilon. (Dan. 1:1-6) Menerusi Daniel, Yehuwa menunjukkan kuasa-kuasa dunia yang akan muncul selepas kejatuhan Babilon. Yehuwa menyingkapkan rahsia ini dengan menggunakan beberapa lambang. Contohnya Yehuwa memberi Raja Babilon, iaitu Nebukadnezar, sebuah mimpi tentang patung besar yang diperbuat daripada pelbagai logam. (Baca Daniel 2:1, 19, 31-38.) Yehuwa menyingkapkan kepada Daniel bahawa kepala emas patung itu melambangkan Empayar Babilon.b Dada dan lengan perak patung itu melambangkan kuasa dunia yang seterusnya. Apakah kuasa dunia yang dimaksudkan? Bagaimanakah kuasa dunia itu akan melayan umat Tuhan?

      MEDIA PERSIA​—KEPALA YANG KEEMPAT

      12, 13. (a) Apakah yang disingkapkan oleh Yehuwa mengenai kejatuhan Babilon? (b) Mengapakah kepala keempat binatang buas itu tepat menggambarkan Media Persia?

      12 Lebih daripada seabad sebelum zaman Daniel, Yehuwa memberitahu Yesaya cara Babilon akan ditawan dan nama pemerintah yang akan menawannya. Pemerintah itu ialah Kores dari Persia. (Yes. 44:28–45:2) Daniel juga mendapat dua penglihatan mengenai kuasa dunia Media Persia. Dalam satu penglihatan, seekor beruang yang melambangkan kuasa ini disuruh, “Makanlah daging sebanyak yang kausuka!” (Dan. 7:5) Dalam penglihatan yang lain pula, gabungan kuasa Media dan Persia dilambangkan oleh domba jantan yang bertanduk dua.​—Dan. 8:3, 20.

      13 Yehuwa telah menggunakan kuasa Media Persia untuk menggulingkan Babilon lalu membawa orang Israel balik ke tanah air mereka. (2 Taw. 36:22, 23) Walau bagaimanapun, Media Persia kemudiannya hampir-hampir melenyapkan umat Tuhan. Buku Ester mencatatkan rancangan perdana menteri Persia, iaitu Haman. Dia berkomplot untuk membunuh semua orang Yahudi di kerajaan Persia. Namun, Yehuwa telah menyelamatkan orang Yahudi sekali lagi daripada benih Syaitan. (Est. 1:1-3; 3:8, 9; 8:3, 9-14) Maka kepala keempat binatang buas itu tepat menggambarkan Media Persia.

      YUNANI​—KEPALA YANG KELIMA

      14, 15. Apakah butiran yang disingkapkan oleh Yehuwa mengenai Empayar Yunani?

      14 Kepala kelima binatang buas mewakili kuasa Yunani. Pinggang dan pinggul gangsa patung besar dalam mimpi Raja Nebukadnezar juga melambangkan kuasa ini. Selain itu, Daniel mendapat dua penglihatan lain tentang kuasa dunia ini dan pemerintahnya yang terkenal.

      15 Dalam satu penglihatan, kuasa Yunani yang menakluki dunia dengan pantas dilambangkan oleh seekor harimau bintang yang bersayap empat. (Dan. 7:6) Dalam penglihatan lain pula, Daniel menceritakan bahawa seekor kambing jantan dengan sebuah tanduk yang menonjol merempuh lalu membunuh seekor domba jantan bertanduk dua. Yehuwa memberitahu Daniel bahawa domba jantan itu melambangkan Media Persia. Kambing itu melambangkan kuasa Yunani dan tanduknya melambangkan salah seorang raja Yunani. Kemudian Daniel menyatakan bahawa tanduk ini akan patah dan digantikan oleh empat tanduk kecil. Semua yang dinubuatkan terbukti benar kira-kira dua abad kemudian. Iskandar Agung, raja Yunani yang terkenal, telah menyerang Media Persia. Namun “tanduk yang menonjol” ini patah semasa Iskandar Agung mati pada usia 32 tahun. Empat orang panglimanya kemudian membahagikan Empayar Yunani sesama sendiri.​—Baca Daniel 8:20-22.

      16. Apakah yang telah dilakukan oleh Antiochus IV?

      16 Selepas menakluki Persia, kuasa Yunani memerintah umat Tuhan. Pada masa itu, orang Yahudi sudah kembali ke Tanah yang Dijanjikan dan mereka telah membina semula Rumah Tuhan di Yerusalem. Mereka masih merupakan umat yang dipilih Tuhan, dan Rumah Tuhan masih merupakan pusat ibadat sejati. Namun, pada abad kedua SM, kepala kelima binatang buas, iaitu kuasa Yunani telah menyerang umat Tuhan. Antiochus IV, salah seorang pewaris kerajaan Iskandar Agung, menempatkan sebuah mazbah dewa palsu di Rumah Tuhan. Dia juga menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka yang menganut agama Yahudi. Bukankah benih Syaitan ini menunjukkan kebenciannya terhadap umat Tuhan? Tetapi tidak lama kemudian kuasa Yunani telah digantikan. Kuasa manakah yang menjadi kepala keenam binatang buas?

      ROMA​—KEPALA KEENAM YANG ‘DAHSYAT DAN MENGERIKAN’

      17. Bagaimanakah kepala keenam binatang buas memainkan peranan penting dalam penggenapan Kejadian 3:15?

      17 Semasa Yohanes mendapat penglihatan mengenai binatang buas berkepala tujuh, Roma merupakan kuasa dunia. (Why. 17:10) Kepala keenam ini memainkan peranan yang besar dalam penggenapan nubuat di Kejadian 3:15. Syaitan menggunakan kuasa Roma untuk “mematuk tumit” benih. Bagaimana? Kerajaan Roma telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Yesus setelah dia dituduh menghasut. (Mat. 27:26) Tetapi “luka” itu kemudiannya sembuh apabila Yehuwa membangkitkan Yesus.

      18. (a) Apakah bangsa baru yang dipilih Tuhan, dan mengapa? (b) Selepas Yesus mati dan dibangkitkan, bagaimanakah benih Syaitan terus bermusuhan dengan benih perempuan?

      18 Pemimpin agama Israel berkomplot dengan Roma untuk membunuh Yesus. Kebanyakan rakyat Israel juga menolak Yesus. Maka, Yehuwa tidak lagi menerima orang Israel sebagai umat-Nya. (Mat. 23:38; Kis. 2:22, 23) Dia memilih sebuah bangsa yang baru, iaitu Israel milik Tuhan. (Gal. 3:26-29; 6:16) Bangsa ini merupakan sidang Kristian terurap yang terdiri daripada orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. (Ef. 2:11-18) Selepas Yesus mati dan dibangkitkan, benih Syaitan terus bermusuhan dengan benih perempuan. Roma berkali-kali mencuba menghapuskan sidang orang Kristian yang merupakan bahagian sekunder benih.c

      19. (a) Apakah penjelasan Daniel tentang kuasa dunia yang keenam? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana pada muka surat 14?

      19 Paha dan betis besi patung besar dalam mimpi Nebukadnezar melambangkan kerajaan Roma. (Dan. 2:33) Tetapi Daniel juga mendapat penglihatan lain yang menerangkan dengan lebih lanjut tentang Empayar Roma serta kuasa dunia yang muncul daripada Roma. (Baca Daniel 7:7, 8.) Selama berabad-abad, Roma merupakan kuasa yang “sangat kuat, dahsyat, dan mengerikan.” Namun Daniel diberitahu bahawa “sepuluh buah tanduk” akan muncul daripada Empayar Roma dan kemudian sebuah tanduk yang kecil akan muncul dan menjadi kuasa besar. Sepuluh buah tanduk dan tanduk yang kecil itu melambangkan apa? Apakah kaitan antara tanduk kecil itu dengan patung yang dimimpikan Nebukadnezar? Rencana pada muka surat 14 akan menjelaskannya.

      [Nota kaki]

      a Perempuan ini melambangkan organisasi Yehuwa di syurga yang bagaikan isteri-Nya. Organisasi ini terdiri daripada makhluk-makhluk roh.​—Yes. 54:1; Gal. 4:26; Why. 12:1, 2.

      b Kepala patung yang disebut dalam buku Daniel dan kepala ketiga binatang buas yang disebut dalam buku Wahyu melambangkan kerajaan Babilon. Sila lihat carta pada muka 12-13.

      c Walaupun Roma telah membinasakan Yerusalem pada tahun 70 M, peristiwa itu tidak menggenapi nubuat di Kejadian 3:15. Pada masa itu, orang Israel bukan lagi bangsa pilihan Tuhan.

  • Yehuwa Menyingkapkan Apa yang “Segera Harus Berlaku”
    Menara Pengawal—2012 | 15 Jun
    • Yehuwa Menyingkapkan Apa yang “Segera Harus Berlaku”

      ‘Tuhan memberitahukannya kepada Kristus, dan Kristus menunjukkan apa yang segera harus berlaku itu kepada hamba-hamba Tuhan.’​—WHY. 1:1.

      APAKAH JAWAPAN ANDA?

      Bahagian manakah pada patung besar yang melambangkan kuasa dunia Inggeris Amerika?

      Menurut Yohanes, apakah hubungan antara kuasa dunia Inggeris Amerika dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu?

      Bagaimanakah Daniel dan Yohanes menggambarkan pemusnahan kerajaan manusia?

      1, 2. (a) Nubuat di buku Wahyu dan Daniel membolehkan kita memahami apa? (b) Apakah yang dilambangkan oleh enam kepala binatang buas?

      NUBUAT di buku Wahyu dan Daniel membantu kita memahami banyak peristiwa yang sedang dan akan berlaku. Apakah yang boleh kita pelajari dengan membandingkan penglihatan Yohanes mengenai binatang buas, penglihatan Daniel mengenai binatang mengerikan yang bertanduk sepuluh, dan penjelasan Daniel tentang patung besar? Dan apakah yang patut kita lakukan selepas memahami nubuat-nubuat ini?

      2 Mari kita tumpukan perhatian pada penglihatan Yohanes mengenai binatang buas. (Why., bab 13) Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelum ini, enam kepala binatang buas itu melambangkan Mesir, Asyur, Babilon, Media Persia, Yunani, dan Roma. Semua kuasa ini membenci benih perempuan. (Kej. 3:15) Berabad-abad selepas Yohanes mencatatkan penglihatannya, Roma masih berkuasa. Tetapi kepala ketujuh akan menggantikan Roma. Kepala ketujuh ini merujuk kepada kuasa mana? Bagaimanakah kuasa ini akan memperlakukan benih perempuan?

      KEBANGKITAN KUASA INGGERIS DAN AMERIKA

      3. Apakah yang dilambangkan oleh binatang yang mengerikan dan sepuluh tanduknya?

      3 Kita boleh mengenal pasti kepala ketujuh binatang buas dalam buku Wahyu bab 13 dengan membandingkannya dengan binatang bertanduk sepuluh yang mengerikan dalam penglihatan Daniel.a (Baca Daniel 7:7, 8, 23, 24.) Binatang yang dilihat Daniel melambangkan Empayar Roma. (Lihat carta pada muka 12-13.) Pada abad kelima M, Empayar Roma mula berpecah belah. Sepuluh tanduk pada kepala binatang itu melambangkan semua kerajaan yang muncul daripada empayar tersebut.

      4, 5. (a) Apakah yang dilakukan oleh tanduk yang kecil? (b) Kepala ketujuh binatang buas merujuk kepada kuasa mana?

      4 Empat tanduk, atau kerajaan muncul daripada binatang yang mengerikan itu. Tiga daripada tanduk itu disingkirkan oleh sebuah “tanduk yang kecil.” Hal ini digenapi apabila Inggeris, bekas kota pertahanan Empayar Roma, menjadi kuat. Pada abad ke-17, pengaruh Inggeris masih tidak besar. Tiga negara lain yang dulunya di bawah Empayar Roma, iaitu Sepanyol, Belanda, dan Perancis jauh lebih kuat. Kuasa Inggeris telah menyingkirkan mereka satu demi satu, dan melemahkan kedudukan mereka. Pada pertengahan abad ke-18, Inggeris menjadi semakin berkuasa. Namun, kuasa ini belum lagi menjadi kepala ketujuh binatang buas.

      5 Tidak lama kemudian, tanah jajahan Inggeris di Amerika Utara telah mencapai kemerdekaan dan membentuk Amerika Syarikat. Namun, Amerika Syarikat terus bertambah kuat kerana masih dilindungi tentera laut Inggeris. Apabila hari Tuan bermula pada tahun 1914, kuasa Inggeris merupakan empayar yang paling besar, dan Amerika pula menjadi negara perindustrian yang terbesar.b Semasa Perang Dunia I, Amerika telah bersepakat dengan Inggeris. Maka muncullah gabungan kuasa Inggeris Amerika sebagai kepala ketujuh binatang buas. Bagaimanakah kuasa ini melayan benih perempuan?

      6. Apakah yang dilakukan oleh kepala ketujuh itu terhadap umat Tuhan?

      6 Selepas permulaan hari Tuan, kepala ketujuh itu menyerang saudara-saudara terurap Kristus yang masih berada di bumi. (Mat. 25:40) Yesus menunjukkan bahawa golongan terurap di bumi akan aktif semasa kehadirannya. (Mat. 24:45-47; Gal. 3:26-29) Kuasa Inggeris Amerika telah menindas golongan terurap ini. (Why. 13:3, 7) Semasa Perang Dunia I, kuasa ini telah menganiaya umat Tuhan, mengharamkan bahan bacaan mereka, dan memenjarakan wakil golongan hamba. Kepala ketujuh ini hampir berjaya menghentikan kerja penyebaran. Yehuwa telah menyingkapkan peristiwa-peristiwa ini kepada Yohanes, dan memberitahunya bahawa bahagian sekunder benih wanita akan bangkit semula dan bergiat dalam aktiviti rohani. (Why. 11:3, 7-11) Apa yang dikatakan oleh Yehuwa benar-benar telah berlaku.

      KUASA DUNIA INGGERIS AMERIKA, KAKI BESI DAN TANAH LIAT

      7. Apakah yang boleh kita pelajari tentang kepala ketujuh binatang buas daripada kaki patung besar?

      7 Apakah yang boleh kita pelajari tentang kepala ketujuh binatang buas dan kaki patung besar? Kuasa Inggeris, dan kemudiannya kuasa Amerika, merupakan cabang Empayar Roma. Kuasa-kuasa ini digambarkan oleh campuran besi dan tanah liat pada kaki patung besar itu. (Baca Daniel 2:41-42.) Penjelasan ini menunjukkan bahawa semasa kuasa Inggeris Amerika muncul sebagai kepala ketujuh, kekuatan kuasa dunia ini seperti “besi bercampur tanah liat.” Sepertimana besi bercampur tanah liat lebih lemah daripada besi tulen, kuasa Inggeris Amerika juga lebih lemah daripada kuasa dunia sebelumnya, iaitu Roma. Bagaimanakah hal ini berlaku?

      8, 9. (a) Bagaimanakah kuasa dunia ketujuh membuktikan kuasanya yang seperti besi? (b) Apakah yang dilambangkan oleh tanah liat dalam kaki patung besar itu?

      8 Ada masanya, kepala ketujuh ini memperlihatkan ciri-ciri besi, contohnya dengan memenangi Perang Dunia I dan Perang Dunia II.c Selepas itu, kuasa Inggeris Amerika masih menunjukkan kekuatan yang bagaikan besi. Namun sejak kemunculannya, besi sudah pun bercampur dengan tanah liat.

      9 Penyembah Yehuwa telah lama ingin memahami apa yang dilambangkan oleh kaki patung besar itu. Daniel 2:41 menunjukkan bahawa kaki besi yang bercampur tanah liat mewakili sebuah kerajaan sahaja. Tanah liat melambangkan “keturunan manusia” atau rakyat biasa. (Baca Daniel 2:43.d) Dalam lingkungan kuasa Inggeris Amerika, orang telah bangkit untuk melawannya menerusi perjuangan hak-hak sivil, kesatuan sekerja, dan gerakan kemerdekaan. Selain itu, fahaman politik yang bertentangan dan pilihan raya yang sengit menyebabkan para pemimpin sukar melaksanakan dasar-dasar mereka. Semua faktor ini menjejaskan kekuatan Inggeris Amerika. Oleh itu, kekuatannya tidak setanding kuasa Roma yang bagaikan besi. Ya, apa yang dinubuatkan Daniel memang benar, “Sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah.”​—Dan. 2:42; 2 Tim. 3:1-3.

      10, 11. (a) Apakah yang akan berlaku kepada kaki patung? (b) Apakah yang boleh kita simpulkan tentang bilangan jari kaki patung itu?

      10 Pada abad ke-21, Inggeris dan Amerika terus bersepakat dalam hal ehwal dunia. Nubuat-nubuat mengenai binatang buas dan patung besar menunjukkan bahawa Inggeris Amerika tidak akan digantikan oleh kuasa dunia yang lain. Kuasa dunia Inggeris Amerika mungkin lebih lemah daripada Empayar Roma, namun kuasa ini tidak akan terlerai begitu sahaja.

      11 Adakah bilangan jari kaki pada patung besar melambangkan sesuatu? Nampaknya tidak. Dalam penglihatan lain, Daniel menyebutkan beberapa angka yang penting, misalnya bilangan tanduk atas kepala binatang. Tetapi semasa menggambarkan patung besar, Daniel tidak menyebut tentang bilangan jari kaki. Bilangan jari kaki, seperti bilangan lengan, tangan, jari tangan, paha, atau kaki patung, tidak melambangkan apa-apa. Namun, Daniel menyatakan bahawa jari kaki itu merupakan besi bercampur tanah liat. Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa Inggeris Amerika ialah kuasa dunia yang memerintah apabila “batu” yang mewakili Kerajaan Tuhan menimpa kaki patung itu.​—Dan. 2:45.

      INGGERIS AMERIKA DAN BINATANG BUAS BERTANDUK DUA

      12, 13. Apakah yang dilambangkan oleh binatang buas bertanduk dua? Apakah yang dilakukannya?

      12 Walaupun kuasa Inggeris Amerika bagaikan besi bercampur tanah liat, penglihatan Yohanes menunjukkan bahawa kuasa ini akan terus memainkan peranan yang penting sepanjang hari-hari terakhir. Bagaimanakah kita tahu hal ini? Yohanes mendapat penglihatan mengenai binatang buas bertanduk dua yang suaranya seperti suara naga. Apakah yang dilambangkan oleh binatang aneh ini? Dua tanduknya melambangkan kuasa gabungan. Binatang ini melambangkan kuasa Inggeris Amerika yang memainkan peranan berbeza.​—Baca Wahyu 13:11-15.

      13 Binatang buas bertanduk dua ini ‘menyuruh orang membuat’ sebuah patung binatang buas. Yohanes menulis bahawa patung binatang buas ini akan muncul, hilang, dan bangkit semula. Binatang ini mewakili sebuah organisasi yang disokong oleh kuasa Inggeris Amerika. Organisasi ini bertujuan menyatukan semua kerajaan di bumi.e Semasa Perang Dunia I, organisasi ini dikenali sebagai Liga Bangsa-Bangsa. Semasa Perang Dunia II bermula, organisasi ini hilang dari pentas dunia. Pada masa itu, hamba-hamba Yehuwa telah pun mengisytiharkan bahawa organisasi itu akan bangkit semula. Tepat seperti yang telah dinubuatkan dalam buku Wahyu, patung binatang buas ini bangkit semula sebagai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.​—Why. 17:8.

      14. Mengapakah patung binatang buas merupakan “raja kelapan”?

      14 Yohanes menggambarkan patung binatang buas itu sebagai “raja kelapan.” Apakah maksudnya? Binatang buas yang pertama tidak mempunyai lapan kepala. Raja kelapan ini sebenarnya patung sahaja. Kuasanya datang daripada negara-negara yang menganggotainya, terutamanya kuasa dunia Inggeris Amerika. (Why. 17:10, 11) Tetapi patung binatang buas ini diberi kuasa sebagai raja untuk menjalankan tugas tertentu. Raja kelapan ini bakal mencetuskan peristiwa yang akan mengubah sejarah manusia.

      PATUNG BINATANG BUAS MEMBAHAM PELACUR

      15, 16. Apakah yang dilambangkan oleh pelacur dalam buku Wahyu? Apakah yang berlaku kepada para penyokongnya?

      15 Menurut Yohanes, seorang pelacur duduk di atas binatang buas berwarna merah, yang juga merupakan patung binatang buas. Pelacur ini dinamakan “Babel yang besar.” (Why. 17:1-6) Pelacur ini sebenarnya melambangkan semua agama palsu, terutamanya gereja-gereja Kristian. Agama palsu menyokong patung binatang buas itu dan mencuba mengawalnya.

      16 Semasa hari Tuan, “sungai-sungai,” iaitu orang ramai yang menyokong Babel yang besar, menjadi kering. (Why. 16:12; 17:15) Contohnya, semasa patung binatang buas ini mula muncul, gereja-gereja Kristian mempunyai pengaruh yang besar di negara-negara Barat. Namun hari ini, pihak gereja dan ketua-ketua gereja tidak lagi dihormati dan disokong oleh orang ramai. Ramai yang berfikir bahawa agamalah yang menyebabkan atau menyumbang kepada masalah di dunia. Suara-suara golongan terpelajar di Barat yang menuntut agar agama disingkirkan daripada masyarakat semakin lantang kedengaran.

      17. Apakah yang bakal berlaku kepada agama palsu, dan mengapa?

      17 Agama palsu tidak akan lenyap begitu sahaja. Pelacur itu masih berpengaruh dan cuba berusaha menguasai para pemerintah dunia. Namun Yehuwa akan menggerakkan hati mereka untuk bertindak. (Baca Wahyu 17:16, 17.) Tidak lama lagi Yehuwa akan menyebabkan unsur politik dunia Syaitan, yang diwakili oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menyerang agama palsu. Kuasa agama palsu akan lenyap dan kekayaannya akan hilang. Beberapa dekad dahulu, orang mungkin berfikir bahawa perkara ini mustahil. Meskipun pelacur itu masih duduk di atas binatang buas berwarna merah itu, kedudukannya bagaikan telur di hujung tanduk yang akan jatuh dan hancur berkecai secara tiba-tiba.​—Why. 18:7, 8, 15-19.

      BINATANG-BINATANG ITU DIBINASAKAN

      18. (a) Binatang buas akan melakukan apa? Apakah kesudahannya? (b) Kerajaan manakah yang akan dibinasakan seperti yang tercatat di Daniel 2:44? (Lihat kotak di muka 17.)

      18 Selepas agama palsu dimusnahkan, binatang buas, iaitu kuasa-kuasa politik di bumi, akan menyerang Kerajaan Tuhan. Memandangkan Kerajaan Tuhan terletak di syurga, mereka akan melepaskan geram pada hamba Tuhan di bumi. Maka, tercetuslah perang antara mereka dengan Tuhan. (Why. 16:13-16; 17:12-14) Daniel menceritakan apa yang akan berlaku semasa pertempuran terakhir ini. (Baca Daniel 2:44.) Binatang buas yang disebut di Wahyu 13:1, patung binatang itu, dan binatang buas bertanduk dua, akan dibinasakan.

      19. Apakah keyakinan kita, dan apa yang harus kita lakukan sekarang?

      19 Kepala ketujuh sedang memerintah sekarang. Tiada kepala lain yang akan muncul pada binatang buas. Kuasa Inggeris Amerika merupakan kuasa dunia semasa agama palsu dimusnahkan. Nubuat-nubuat Daniel dan Yohanes telah digenapi dengan tepat sekali. Maka kita boleh yakin bahawa agama palsu akan lenyap dan Armagedon akan datang. Tuhan telah menyingkapkan semua hal ini kepada kita. Adakah kita akan mendengar amaran dalam Firman Tuhan? (2 Ptr. 1:19) Sekaranglah masanya untuk berpihak kepada Yehuwa dan menyokong Kerajaan-Nya.​—Why. 14:6, 7.

      [Nota kaki]

      a Dalam Bible, angka sepuluh sering kali mewakili sebuah kumpulan yang lengkap. Dalam konteks ini, angka sepuluh merujuk kepada semua kerajaan yang muncul dari Empayar Roma.

      b Walaupun Inggeris dan Amerika telah wujud sejak abad ke-18, penglihatan Yohanes mengenai kuasa dunia ketujuh digenapi pada hari Tuan. (Why. 1:10) Hanya semasa Perang Dunia I, kedua-dua kuasa ini bergabung untuk menjadi kepala ketujuh binatang buas.

      c Daniel menubuatkan bahawa kuasa dunia ini ‘akan menyebabkan pembinasaan yang mengerikan.’ (Dan. 8:24) Contohnya, Amerika Syarikat telah menggugurkan dua butir bom atom pada musuhnya yang menyebabkan kemusnahan yang dahsyat.

      d Daniel 2:43 (NW): “Tuanku nampak besi yang bercampur tanah liat. Begitu juga, mereka akan bercampur dengan keturunan manusia. Namun, kedua-duanya tidak dapat sebati, sebagaimana besi tidak dapat sebati dengan tanah liat.”

      e Lihat buku “Wahyu—Kemuncaknya” (Revelation—Its Grand Climax at Hand!), muka 240, 241, 253.

      [Kotak pada muka surat 17]

      “SEMUA KERAJAAN INI” MELAMBANGKAN APA?

      Nubuat di Daniel 2:44 (NW) menyatakan bahawa Kerajaan Tuhan akan memusnahkan “semua kerajaan ini.” Nubuat itu hanya merujuk kepada kerajaan-kerajaan yang diwakili oleh patung besar.

      Bagaimana pula dengan kerajaan yang lain di dunia? Nubuat di Wahyu menyatakan bahawa “semua raja di seluruh dunia” akan berkumpul untuk menentang Yehuwa pada ‘hari Tuhan Yang Maha Kuasa.’ (Why. 16:14; 19:19-21) Maka, kerajaan-kerajaan yang dilambangkan oleh patung besar itu dan semua kerajaan di dunia akan dibinasakan.

  • Lapan Raja Disingkapkan
    Menara Pengawal—2012 | 15 Jun
    • Lapan Raja Disingkapkan

      Nubuat dalam buku Daniel dan Wahyu membantu kita mengenal pasti lapan raja, atau kerajaan manusia, mengikut susunan kemunculan mereka di pentas dunia. Nubuat pertama dalam Bible merupakan kunci untuk memahami nubuat-nubuat ini.

      Selama ini, kuasa-kuasa politik atau kerajaan-kerajaan digunakan oleh Syaitan sebagai benihnya. (Luk. 4:5, 6) Tetapi dalam penglihatan Daniel dan Yohanes, hanya lapan kuasa dunia disebut. Mengapa? Kerana penglihatan yang diberikan hanya melibatkan kerajaan yang mempengaruhi umat Tuhan, iaitu bangsa Israel kuno atau sidang Kristian terurap.

      [Gambar pada muka surat 12, 13]

      (Sila lihat bahan bacaan untuk keterangan lengkap)

      NUBUAT-NUBUAT NUBUAT-NUBUAT

      BUKU DANIEL BUKU WAHYU

      1. Mesir

      2. Asyur

      3. Babilon

      4. Media

      Persia

      5. Yunani

      6. Roma

      7. Inggeris dan

      Amerikaa

      8. Liga Bangsa-Bangsa dan

      Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatub

      UMAT TUHAN

      2000 SM

      Abraham

      1500

      Bangsa Israel

      1000

      Daniel 500

      SM/M

      Yohanes

      Israel milik Tuhan 500

      1000

      1500

      2000 M

      [Nota Kaki]

      a Pada hari-hari terakhir, kedua-dua raja ini wujud. Lihat muka 19.

      b Pada hari-hari terakhir, kedua-dua raja ini wujud. Lihat muka 19.

      [Gambar]

      Patung besar (Dan. 2:31-45)

      Empat binatang dari laut (Dan. 7:3-8, 17, 25)

      Domba jantan dan kambing jantan (Dan., bab 8)

      Binatang buas berkepala tujuh (Why. 13:1-10, 16-18)

      Binatang bertanduk dua menggalakkan kewujudan patung binatang buas (Why. 13:11-15)

      [Sumber]

      Photo credits: Egypt and Rome: Photograph taken by courtesy of the British Museum; Medo-Persia: Musée du Louvre, Paris

Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
Log Keluar
Log Masuk
  • Melayu
  • Kongsi
  • Pilihan
  • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
  • Syarat Penggunaan
  • Polisi Privasi
  • Seting Privasi
  • JW.ORG
  • Log Masuk
Kongsi