-
“Raja Utara” pada Akhir ZamanMenara Pengawal (Pembelajaran)—2020 | Mei
-
-
RENCANA PEMBELAJARAN 19
“Raja Utara” pada Akhir Zaman
“Pada akhir zaman, raja selatan dan dia [raja utara] akan saling berlawan.”—DAN. 11:40.
LAGU 150 Carilah Tuhan agar Diselamatkan
PENGENALANa
1. Nubuat Bible membolehkan kita mengetahui apa?
APAKAH yang akan berlaku kepada umat Yehuwa tidak lama lagi? Kita tidak perlu meneka, kerana nubuat Bible adalah seperti jendela masa depan yang membolehkan kita mengetahui peristiwa besar yang bakal mempengaruhi kita. Dalam Daniel bab 11, terdapat satu nubuat tentang apa yang akan dilakukan oleh kuasa-kuasa besar dunia. Nubuat itu menggambarkan dua orang raja yang saling berlawan, iaitu raja utara dan raja selatan. Sebahagian besar nubuat itu sudah berlaku, maka kita yakin bahawa bahagian yang selebihnya pun akan menjadi kenyataan.
2. Seperti yang dinyatakan di Kejadian 3:15 dan Wahyu 11:7 dan 12:17, apakah yang mesti kita ingat semasa mengkaji nubuat Daniel?
2 Untuk memahami nubuat dalam Daniel bab 11, kita perlu ingat akan dua perkara. Pertama, nubuat itu hanya merujuk kepada raja atau kerajaan yang mempengaruhi umat Tuhan secara langsung.b Sebenarnya, bilangan umat Tuhan sedikit sahaja berbanding penduduk dunia, jadi mengapakah mereka sering menjadi sasaran kerajaan-kerajaan itu? Kerana Syaitan dan seluruh dunianya mempunyai satu tujuan utama, iaitu melenyapkan orang yang berkhidmat kepada Yehuwa dan Yesus. (Baca Kejadian 3:15 dan Wahyu 11:7; 12:17.) Perkara kedua yang perlu kita ingat ialah nubuat Daniel haruslah selaras dengan nubuat lain dalam Bible. Oleh itu, untuk memahami nubuat Daniel dengan tepat, kita mesti membandingkannya dengan ayat-ayat Bible yang lain.
3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini dan rencana berikutnya?
3 Setelah mengetahui hal-hal itu, marilah kita mengkaji Daniel 11:25-39, dan melihat siapa yang menjadi raja utara dan raja selatan dari tahun 1870 hingga 1991. Kemudian, kita akan melihat sebabnya kita perlu mengubah pemahaman kita mengenai sebahagian daripada nubuat ini. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan Daniel 11:40–12:1, dan kita akan memahami dengan lebih jelas apa yang berlaku dari tahun 1991 hingga perang Armagedon. Semasa mengkaji dua rencana ini, anda juga boleh melihat carta “Dua Raja yang Saling Berlawan pada Akhir Zaman.” Sekarang, mari kita melihat terlebih dahulu siapa dua raja dalam nubuat ini.
MENGENAL PASTI IDENTITI RAJA UTARA DAN RAJA SELATAN
4. Apakah tiga perkara yang dapat membantu kita mengenal pasti identiti raja utara dan raja selatan?
4 Pada mulanya, gelaran “raja utara” dan “raja selatan” merujuk kepada kerajaan-kerajaan yang terletak di sebelah utara dan selatan negeri Israel. Bagaimanakah kita tahu? Malaikat yang menyampaikan nubuat itu kepada Daniel berkata, “Aku datang untuk membantu kamu memahami apa yang akan menimpa bangsamu [umat Tuhan] pada kemudian hari.” (Dan. 10:14) Sebelum Pentakosta 33 M, umat Tuhan ialah bangsa Israel, tetapi selepas itu, Yehuwa menunjukkan dengan jelas bahawa umat-Nya ialah murid-murid Yesus yang setia. Oleh itu, sebahagian besar nubuat dalam Daniel bab 11 adalah tentang murid-murid Kristus, bukan orang Israel. (Kis. 2:1-4; Rm. 9:6-8; Gal. 6:15, 16) Biarpun identiti raja utara dan raja selatan berubah dengan peredaran masa, terdapat tiga perkara yang tidak berubah: Pertama, mereka mempengaruhi umat Tuhan secara langsung. Kedua, cara mereka melayan umat Tuhan menunjukkan bahawa mereka membenci Tuhan yang benar, iaitu Yehuwa. Ketiga, terdapat persaingan kuasa antara dua raja tersebut.
5. Dapatkah kita mengenal pasti identiti raja utara dan raja selatan dari tahun 100 hingga 1870 M? Jelaskan.
5 Tidak lama selepas tahun 100 M, semakin banyak orang Kristian palsu memasuki sidang Kristian sejati. Mereka menyebarkan ajaran kafir dan menyembunyikan kebenaran Bible. Dari masa itu hingga sekitar tahun 1870, Tuhan tidak mempunyai organisasi di bumi. Orang Kristian palsu tumbuh subur seperti lalang, sehingga orang Kristian sejati susah dikenal pasti. (Mat. 13:36-43) Mengapakah kita perlu memahami hal ini? Dari tahun 100 hingga 1870 M, Tuhan tidak mempunyai organisasi di bumi yang dapat diserang. Oleh itu, nubuat tentang raja utara dan raja selatan tidak merujuk kepada mana-mana pemerintah atau kerajaan yang berkuasa sepanjang waktu itu.c Namun, dua raja itu akan muncul selepas tahun 1870. Bagaimanakah kita tahu?
6. Bilakah umat Tuhan mula berkumpul? Jelaskan.
6 Pada tahun 1870, umat Tuhan mula berkumpul. Pada tahun itu, Charles T. Russell dan rakan-rakannya memulakan kelas pembelajaran Bible. Mereka bertindak sebagai utusan yang dinubuatkan, yang membuka jalan bagi Kerajaan Mesias yang bakal ditubuhkan. (Mal. 3:1) Sekali lagi, terdapat sekumpulan orang yang menjadi umat Tuhan di bumi. Adakah mana-mana kuasa dunia pada zaman itu yang akan mempengaruhi mereka? Mari kita lihat.
SIAPAKAH RAJA SELATAN?
7. Sehingga Perang Dunia Pertama, siapakah raja selatan?
7 Menjelang tahun 1870, Britain mempunyai pasukan tentera yang paling kuat dan telah menjadi empayar yang paling besar di bumi. Dalam nubuat Daniel, empayar itu digambarkan sebagai tanduk kecil yang mengalahkan tiga tanduk lain, iaitu Perancis, Sepanyol, dan Belanda. (Dan. 7:7, 8) Maka, Britain telah menjadi raja selatan sehingga Perang Dunia Pertama. Dalam tempoh masa itu, Amerika Syarikat telah menjadi kuasa ekonomi yang besar dan bekerjasama dengan erat dengan Britain.
8. Sepanjang hari-hari terakhir, siapakah yang menjadi raja selatan?
8 Semasa Perang Dunia Pertama, Amerika Syarikat dan Britain bekerjasama, lalu membentuk Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Sepanjang hari-hari terakhir, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika telah menjadi raja selatan.d Seperti yang dinubuatkan Daniel, raja ini mengumpulkan “sebuah angkatan yang amat besar dan kuat.” (Dan. 11:25) Namun, siapakah yang menjadi raja utara?
SIAPAKAH RAJA UTARA?
9. Bilakah raja utara muncul, dan bagaimanakah nubuat di Daniel 11:25 menjadi kenyataan?
9 Pada tahun 1871, iaitu setahun selepas Russell dan rakan-rakannya memulakan kelas pembelajaran Bible, raja utara telah muncul. Pada tahun itu, Otto von Bismarck telah menyatukan beberapa wilayah, lalu terbentuklah Empayar Jerman. Raja Wilhelm I dari Prusia telah menjadi maharaja Jerman yang pertama, dan dia melantik Otto von Bismarck sebagai perdana menterinya.e Dalam puluhan tahun berikutnya, Jerman mula menjajah negara-negara di Afrika dan Lautan Pasifik, dan ingin menjadi lebih berpengaruh daripada Britain. (Baca Daniel 11:25.) Empayar Jerman telah menubuhkan pasukan tentera yang kuat dan angkatan tentera laut yang kedua terbesar di dunia, lalu menyerang musuh-musuhnya semasa Perang Dunia Pertama.
10. Bagaimanakah Daniel 11:25b, 26 menjadi kenyataan?
10 Seterusnya, Daniel menubuatkan apa yang akan terjadi kepada Empayar Jerman dan angkatan tenteranya. Dia menyatakan bahawa raja utara “tidak akan bertahan.” Mengapa? “Kerana mereka berkomplot untuk menentangnya. Orang yang menikmati makanan sedap di mejanya akan menyebabkan kejatuhannya.” (Dan. 11:25b, 26a) Pada zaman Daniel, orang yang ‘diberi makanan raja’ termasuk para pegawai yang “berkhidmat untuk raja.” (Dan. 1:5) Maka, “orang yang menikmati makanan sedap” di meja raja utara merujuk kepada pegawai-pegawai tinggi Empayar Jerman, termasuk para panglima dan penasihat tentera. Merekalah yang akan menyebabkan kejatuhan maharaja.f Daniel bukan sahaja menubuatkan kejatuhan Empayar Jerman, tetapi juga menyebut tentang kesudahan perang antara raja utara dengan raja selatan. Dia berkata, “Angkatan tenteranya [raja utara] akan dibinasakan, dan ramai orang akan dibunuh.” (Dan. 11:26b) Itulah yang terjadi semasa Perang Dunia Pertama. Angkatan tentera Jerman telah “dibinasakan” dan ramai orang telah “dibunuh.” Sehingga masa itu, itulah perang yang paling dahsyat dalam sejarah manusia.
11. Apakah yang dilakukan raja utara dan raja selatan?
11 Daniel 11:27, 28 menggambarkan apa yang berlaku sebelum Perang Dunia Pertama. Raja utara dan raja selatan akan “duduk di meja yang sama dan menipu satu sama lain.” Itulah yang terjadi antara Jerman dengan Britain. Mereka memberitahu satu sama lain bahawa mereka menginginkan kedamaian, tetapi pernyataan mereka terbukti palsu semasa perang tercetus pada tahun 1914. Nubuat Daniel juga menyatakan bahawa raja utara akan mengumpulkan “banyak harta benda.” Adakah nubuat itu berlaku? Ya, puluhan tahun sebelum tahun 1914, Jerman telah menjadi kuasa ekonomi yang kedua terbesar di dunia. Kemudian, seperti yang dinubuatkan di Daniel 11:29, 30a, Jerman telah menyerang raja selatan tetapi dikalahkan.
DUA RAJA MENYERANG UMAT TUHAN
12. Semasa Perang Dunia Pertama, apakah yang dilakukan oleh raja utara dan raja selatan?
12 Sejak tahun 1914, persaingan antara dua raja itu bertambah sengit dan mereka semakin menganiaya umat Tuhan. Misalnya, semasa Perang Dunia Pertama, kerajaan Jerman dan kerajaan British telah menganiaya umat Tuhan yang enggan menyertai perang. Selain itu, seperti yang dinubuatkan di Wahyu 11:7-10, kerajaan Amerika Syarikat telah memenjarakan saudara-saudara yang mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran.
13. Sekitar tahun 1930-an dan semasa Perang Dunia Kedua, apakah yang dilakukan oleh raja utara?
13 Sejak tahun 1933, khasnya semasa Perang Dunia Kedua, raja utara menyerang umat Tuhan dengan kejam. Apabila pihak Nazi mengambil alih pucuk pemerintahan Jerman, Hitler dan pengikut-pengikutnya telah mengharamkan kegiatan umat Tuhan. Raja utara telah membunuh kira-kira 1,500 orang penyembah Yehuwa dan menghantar beribu-ribu lagi ke kem konsentrasi. Dengan mengharamkan kerja penyebaran, raja utara telah “menajiskan tempat suci” dan “merampas korban harian” yang diberikan oleh umat Tuhan, seperti yang dinubuatkan oleh Daniel. (Dan. 11:30b, 31a) Hitler bahkan bersumpah untuk melenyapkan umat Tuhan di Jerman.
RAJA UTARA YANG BAHARU
14. Siapakah yang menjadi raja utara selepas Perang Dunia Kedua? Jelaskan.
14 Selepas perang dunia yang kedua, Kesatuan Soviet menjadi raja utara. Kerajaan komunis ini mula memerintah banyak kawasan yang dahulunya dijajah oleh Jerman. Seperti kerajaan Nazi yang kejam, Kesatuan Soviet menindas sesiapa sahaja yang lebih mementingkan ibadat kepada Tuhan daripada kesetiaan kepada negara.
15. Apakah yang dilakukan oleh raja utara selepas Perang Dunia Kedua berakhir?
15 Tidak lama selepas Perang Dunia Kedua berakhir, raja utara, iaitu Kesatuan Soviet dan sekutu-sekutunya, telah menyerang umat Tuhan. Seperti yang dinubuatkan di Wahyu 12:15-17, Syaitan telah menggunakan raja utara untuk melancarkan serangan yang bagaikan aliran sungai terhadap umat Tuhan. Raja itu telah menyebabkan kerja penyebaran diharamkan dan beribu-ribu orang penyembah Yehuwa dibuang negeri. Sepanjang hari-hari terakhir, raja utara terus menyerang umat Tuhan, tetapi dia tidak berjaya menghentikan kegiatan mereka.g
16. Bagaimanakah Kesatuan Soviet memenuhi nubuat di Daniel 11:37-39?
16 Baca Daniel 11:37-39. Seperti yang dinubuatkan, raja utara langsung tidak menunjukkan hormat terhadap “Tuhan yang disembah oleh nenek moyangnya.” Bagaimana? Kesatuan Soviet ingin melenyapkan agama, maka kerajaan itu cuba melemahkan pengaruh pertubuhan agama yang sudah wujud sejak dahulu lagi. Untuk mencapai matlamat itu, sejak tahun 1918, kerajaan Soviet telah membuat aturan agar murid-murid di sekolah diajar bahawa Tuhan tidak wujud. Dalam nubuat Daniel, raja utara juga “memuliakan tuhan segala kubu.” Bagaimana? Kesatuan Soviet telah membelanjakan banyak wang untuk menguatkan pasukan tenteranya dan menghasilkan beribu-ribu senjata nuklear. Akhirnya, raja utara dan raja selatan memiliki senjata api yang cukup kuat untuk membunuh berbilion-bilion orang!
DUA RAJA YANG BERMUSUHAN BEKERJASAMA
17. Apakah itu “benda jijik yang membawa kemusnahan”?
17 Raja utara dan raja selatan sentiasa bermusuhan, tetapi mereka pernah bekerjasama untuk “mendirikan benda jijik yang membawa kemusnahan.” (Dan. 11:31) “Benda jijik” itu ialah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
18. Mengapakah PBB digambarkan sebagai “benda jijik yang membawa kemusnahan”?
18 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu digambarkan sebagai benda yang menjijikkan kerana pertubuhan itu mendakwa bahawa PBB dapat membawa kedamaian sedunia, padahal hanya Kerajaan Tuhan yang dapat berbuat demikian. Nubuat Daniel juga menyatakan bahawa PBB akan “membawa kemusnahan” kerana pertubuhan itu akan menyerang dan memusnahkan semua agama palsu.—Lihat carta “Dua Raja yang Saling Berlawan pada Akhir Zaman.”
MENGAPAKAH SEJARAH INI PENTING?
19-20. (a) Mengapakah sejarah ini penting? (b) Apakah soalan yang akan kita jawab dalam rencana seterusnya?
19 Sejarah ini penting kerana maklumat ini membuktikan bahawa dari tahun 1870 hingga 1991, nubuat Daniel tentang raja utara dan raja selatan sudah menjadi kenyataan. Oleh itu kita dapat yakin bahawa bahagian nubuat yang selebihnya pun akan menjadi kenyataan.
20 Kesatuan Soviet telah dibubarkan pada tahun 1991. Jadi, siapakah yang menjadi raja utara selepas itu? Rencana berikutnya akan menjawab soalan tersebut.
LAGU 128 Bertahan hingga Akhir
a Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa nubuat Daniel tentang “raja utara” dan “raja selatan” sedang menjadi kenyataan. Mengapakah kita begitu pasti akan hal ini? Mengapakah kita perlu memahami nubuat ini secara terperinci?
b Kerajaan-kerajaan ini memerintah kawasan yang mempunyai banyak penyembah Yehuwa, atau pernah menyerang umat Tuhan.
c Oleh itu, gelaran “raja utara” tidak lagi sesuai untuk merujuk kepada Maharaja Aurelian dari Roma (270-275 M), dan gelaran “raja selatan” tidak lagi sesuai untuk merujuk kepada Ratu Zenobia dari Syria (267-272 M). Pemahaman baharu ini menggantikan maklumat yang diterbitkan dalam buku “Nubuat Daniel” (Pay Attention to Daniel’s Prophecy!) bab 13 dan 14.
d Lihat kotak “Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika dalam Nubuat Bible.”
e Pada tahun 1890, Maharaja (Kaiser) Wilhelm II telah melucutkan kuasa Bismarck.
f Terdapat banyak cara mereka menyebabkan kejatuhan maharaja. Antaranya, mereka tidak lagi menyokong maharaja, membocorkan maklumat tentang perang kepada pihak lain, dan memaksa maharaja untuk turun takhta.
g Seperti yang dinyatakan di Daniel 11:34, orang Kristian yang hidup di bawah pemerintahan raja utara mendapat sedikit kelegaan dari masa ke masa, contohnya apabila Kesatuan Soviet dibubarkan pada tahun 1991.
-
-
Siapakah “Raja Utara” pada Zaman Ini?Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020 | Mei
-
-
RENCANA PEMBELAJARAN 20
Siapakah “Raja Utara” pada Zaman Ini?
“Penghujungnya akan tiba, dan tiada sesiapa pun yang akan membantunya.”—DAN. 11:45.
LAGU 95 Cahaya Rohani Kian Terang
PENGENALANa
1-2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
TERDAPAT bukti yang amat jelas bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir sistem dunia ini. Tidak lama lagi, Yehuwa dan Yesus Kristus akan membinasakan semua kerajaan yang menentang Kerajaan Tuhan. Namun sebelum itu, raja utara dan raja selatan akan terus bersaing dan terus menindas umat Tuhan.
2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan nubuat di Daniel 11:40–12:1. Kita akan mengenal pasti identiti raja utara sekarang dan melihat sebabnya kita dapat menghadapi cabaran pada masa depan dengan yakin.
RAJA UTARA YANG BAHARU
3-4. Siapakah raja utara pada zaman ini? Jelaskan.
3 Selepas Kesatuan Soviet dibubarkan pada tahun 1991, umat Tuhan di negara-negara di bawah pemerintahannya mendapat “sedikit bantuan,” atau kebebasan buat suatu jangka masa. (Dan. 11:34) Mereka dapat menginjil dengan bebas, dan tidak lama kemudian, bilangan penyiar di negara-negara bekas Kesatuan Soviet meningkat menjadi beratus-ratus ribu orang. Kemudian, Rusia dan sekutu-sekutunya menjadi raja utara. Bagaimanakah kita tahu? Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, raja utara atau raja selatan mesti mempunyai tiga ciri berikut: (1) Mereka akan mempengaruhi umat Tuhan secara langsung, (2) mereka menunjukkan melalui perbuatan mereka bahawa mereka membenci Yehuwa dan umat-Nya, dan (3) mereka akan bersaing.
4 Perhatikan sebab-sebabnya kita dapat berkata bahawa raja utara pada zaman ini ialah Rusia dan sekutu-sekutunya. (1) Mereka mempengaruhi umat Tuhan secara langsung. Mereka mengharamkan kerja penyebaran dan menganiaya beratus-ratus ribu orang saudara saudari di negara mereka. (2) Perbuatan mereka menunjukkan bahawa mereka membenci Yehuwa dan umat-Nya. (3) Mereka bersaing dengan raja selatan, iaitu Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Mari kita lihat hal-hal ini dengan lebih lanjut.
RAJA UTARA DAN RAJA SELATAN TERUS BERSAING
5. Apakah jangka masa yang diliputi di Daniel 11:40-43, dan apakah yang berlaku sepanjang masa itu?
5 Baca Daniel 11:40-43. Nubuat ini menggambarkan persaingan yang berlaku antara raja utara dengan raja selatan sepanjang akhir zaman. Seperti yang dinubuatkan Daniel, raja selatan dan raja utara akan “saling berlawan,” atau “saling menolak.”—Dan. 11:40; nota kaki.
6. Bagaimanakah dua raja itu saling berlawan?
6 Raja utara dan raja selatan terus bersaing untuk menjadi kuasa terbesar di dunia. Contohnya, fikirkan apa yang berlaku selepas Perang Dunia Kedua. Apabila raja utara, iaitu Kesatuan Soviet dan sekutu-sekutunya, menguasai sebahagian besar Eropah, raja selatan pun terdorong untuk membentuk perikatan tentera antarabangsa yang dikenali sebagai NATO. Sampai sekarang, raja utara dan raja selatan saling berlumba untuk membentuk angkatan tentera yang paling kuat. Mereka juga bersaing dengan menyokong musuh satu sama lain dalam perang di Afrika, Asia, dan Amerika Latin. Baru-baru ini, Rusia dan sekutu-sekutunya menjadi sangat berpengaruh di pentas dunia. Mereka juga melawan raja selatan dengan menggunakan perang siber. Dua raja itu saling menuduh menggunakan program komputer untuk merosakkan sistem ekonomi dan sistem politik satu sama lain. Raja utara juga terus menyerang umat Tuhan seperti yang dinubuatkan oleh Daniel.—Dan. 11:41.
RAJA UTARA MEMASUKI “TANAH YANG INDAH”
7. “Tanah yang Indah” merujuk kepada apa?
7 Menurut Daniel 11:41, raja utara akan memasuki “Tanah yang Indah.” Di manakah tanah itu? Pada zaman Bible, negeri Israel dianggap “tanah yang tercantik antara semua tanah.” (Yeh. 20:6) Namun sebab utama negeri Israel dianggap indah adalah kerana di situlah ibadat sejati dijalankan. Namun demikian, sejak Pentakosta 33 M, “Tanah yang Indah” tidak lagi merujuk kepada lokasi atau tempat tertentu kerana umat Yehuwa berada di serata dunia. Sebaliknya “Tanah yang Indah” merujuk kepada haluan hidup dan ibadat umat Yehuwa, yang merangkumi kegiatan seperti perjumpaan dan kerja penyebaran.
8. Bagaimanakah raja utara memasuki “Tanah yang Indah”?
8 Sepanjang hari-hari terakhir, raja utara telah memasuki “Tanah yang Indah” berulang kali. Contohnya, semasa Perang Dunia Kedua, ketika Nazi Jerman merupakan raja utara, raja itu telah memasuki “Tanah yang Indah” dengan menganiaya dan membunuh umat Tuhan. Selepas Perang Dunia Kedua, apabila Kesatuan Soviet menjadi raja utara, raja itu juga memasuki “Tanah yang Indah” dengan menganiaya umat Tuhan dan mengusir mereka ke negeri lain.
9. Beberapa tahun belakangan ini, bagaimanakah Rusia dan sekutu-sekutunya memasuki “Tanah yang Indah”?
9 Beberapa tahun belakangan ini, Rusia dan sekutu-sekutunya juga memasuki “Tanah yang Indah.” Bagaimana? Pada tahun 2017, kerajaan Rusia mengharamkan kerja umat Yehuwa di Rusia dan memenjarakan beberapa orang saudara saudari kita. Kerajaan itu juga mengharamkan bahan bacaan kita, termasuk Bible Terjemahan Dunia Baharu, dan merampas pejabat cawangan, Dewan Perjumpaan, dan Dewan Perhimpunan kita di Rusia. Selepas kerajaan Rusia mengambil tindakan sedemikian, pada tahun 2018, Badan Pimpinan menyatakan bahawa Rusia dan sekutu-sekutunya ialah raja utara. Meskipun umat Yehuwa dianiaya dengan teruk, mereka enggan menyokong sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan manusia atau membawa perubahan politik. Sebaliknya, umat Tuhan mengikut nasihat Bible untuk berdoa bagi “semua yang berkedudukan tinggi,” khususnya apabila mereka akan membuat keputusan yang mempengaruhi kebebasan beribadat.—1 Tim. 2:1, 2.
ADAKAH RAJA UTARA AKAN MENGALAHKAN RAJA SELATAN?
10. Adakah raja utara akan mengalahkan raja selatan? Jelaskan.
10 Sebahagian besar nubuat di Daniel 11:40-45 adalah tentang raja utara. Adakah hal ini bermaksud raja utara akan mengalahkan raja selatan? Tidak. Raja selatan masih akan wujud semasa Yehuwa dan Yesus memusnahkan semua kerajaan manusia dalam perang Armagedon. (Why. 19:20) Mengapakah kita begitu pasti akan hal ini? Mari kita perhatikan nubuat dalam buku Daniel dan buku Wahyu.
Semasa Armagedon, Kerajaan Tuhan, yang digambarkan oleh batu besar, akan mengakhiri pemerintahan manusia, yang digambarkan oleh patung besar (Lihat perenggan 11)
11. Apakah yang kita pelajari daripada Daniel 2:43-45? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
11 Baca Daniel 2:43-45. Dalam sebuah penglihatan, Daniel nampak sebuah patung besar yang diperbuat daripada pelbagai jenis logam. Bahagian-bahagian patung itu melambangkan kerajaan-kerajaan manusia yang mempengaruhi umat Tuhan. Bahagian kaki patung itu, yang diperbuat daripada besi bercampur tanah liat, melambangkan kerajaan manusia yang terakhir, iaitu Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Maksudnya, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerikalah yang sedang memerintah apabila Kerajaan Tuhan memusnahkan semua kerajaan manusia.
12. Apakah yang dilambangkan oleh kepala ketujuh binatang buas itu? Mengapakah maklumat ini penting?
12 Rasul Yohanes juga diberi penglihatan tentang kuasa-kuasa dunia yang mempengaruhi umat Yehuwa. Kuasa-kuasa itu digambarkan sebagai seekor binatang buas berkepala tujuh. Kepala yang ketujuh melambangkan Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Maklumat ini penting kerana Bible tidak menyatakan bahawa ada kepala lain yang muncul selepas kepala yang ketujuh. Maksudnya kepala ketujuh ini sedang memerintah apabila Kristus dan para malaikat datang untuk memusnahkannya dan binatang buas itu.b—Why. 13:1, 2; 17:13, 14.
APAKAH YANG AKAN DILAKUKAN OLEH RAJA UTARA TIDAK LAMA LAGI?
13-14. Siapakah “Gog dari tanah Magog”? Mengapakah Gog ingin menyerang umat Tuhan?
13 Melalui sebuah nubuat yang dicatatkan oleh Yehezkiel, kita dapat mengetahui apa yang mungkin terjadi sebelum raja utara dan raja selatan dibinasakan. Jika kita menganggap bahawa nubuat di Yehezkiel 38:10-23; Daniel 2:43-45; 11:44–12:1; dan Wahyu 16:13-16, 21, menggambarkan tempoh masa dan peristiwa yang sama, kita dapat menjangkakan perkembangan yang berikut.
14 Tidak lama selepas kesengsaraan besar bermula, “Gog dari tanah Magog” akan menyerang umat Tuhan. (Yeh. 38:2) Siapakah “Gog dari tanah Magog”? Gelaran ini merujuk kepada “raja-raja di seluruh bumi” yang bersekutu untuk menyerang umat Tuhan. (Why. 16:13, 14; 19:19) Mengapakah mereka melancarkan serangan? Mengenai masa ini, Rasul Yohanes bernubuat bahawa hujan batu yang dahsyat akan menimpa musuh-musuh Tuhan. Hujan batu itu mungkin melambangkan mesej penghakiman yang berat yang disampaikan oleh umat Yehuwa. Barangkali mesej inilah yang membuat Gog dari Magog naik marah dan ingin melenyapkan umat Tuhan.—Why. 16:21.
15-16. (a) Daniel 11:44, 45 mungkin menggambarkan peristiwa apa? (b) Apakah yang akan berlaku kepada raja utara dan bangsa-bangsa lain yang bersekutu untuk membentuk Gog dari Magog?
15 Nampaknya Daniel 11:44, 45 juga menggambarkan mesej penghakiman yang berat dan serangan terakhir daripada musuh Tuhan. (Baca.) Dalam ayat-ayat ini, Daniel berkata bahawa “laporan dari timur dan utara” akan membuat raja utara gelisah, dan dia akan pergi dengan “penuh kemarahan” untuk “menghapuskan banyak orang,” yang mungkin merujuk kepada umat Yehuwa.c Barangkali Daniel sedang menggambarkan serangan terakhir yang akan dilancarkan oleh musuh ke atas umat Tuhan.
16 Apabila raja utara dan kerajaan-kerajaan lain menyerang umat Tuhan, mereka akan membangkitkan kemurkaan Tuhan Yang Maha Kuasa, lalu perang Armagedon akan bermula. (Why. 16:14, 16) Dalam perang itu, raja utara akan dilenyapkan dan “tiada sesiapa pun yang akan membantunya.” (Dan. 11:45) Bangsa-bangsa lain yang bersekutu untuk membentuk Gog dari Magog juga akan dibinasakan dalam perang itu.
Semasa perang Armagedon, Yesus Kristus dan angkatan tentera di syurga akan membinasakan dunia jahat Syaitan dan menyelamatkan umat Tuhan (Lihat perenggan 17)
17. Siapakah “pemimpin agung” Mikhael yang disebut di Daniel 12:1? Apakah yang dilakukannya sekarang, dan apakah yang akan dilakukannya pada masa depan?
17 Ayat seterusnya dalam catatan Daniel memberikan maklumat lanjut tentang bagaimana raja utara dan sekutu-sekutunya akan dibinasakan, dan bagaimana kita akan diselamatkan. (Baca Daniel 12:1.) Mikhael ialah nama lain bagi Raja kita, iaitu Yesus Kristus. Sejak dia menjadi raja di syurga pada tahun 1914, dia “bertindak bagi pihak” umat Tuhan. Tidak lama lagi, dia akan “bangkit” untuk membinasakan semua musuhnya semasa perang Armagedon. Perang ini merupakan peristiwa terakhir bagi “masa kesusahan” yang disebut oleh Daniel, dan peristiwa terakhir bagi “kesengsaraan besar” yang disebut oleh Yohanes.—Why. 6:2; 7:14.
ADAKAH NAMA ANDA AKAN “TERTULIS DALAM KITAB”?
18. Mengapakah kita dapat menantikan masa depan dengan yakin?
18 Kita dapat menantikan masa depan dengan yakin kerana Daniel dan Yohanes menyatakan bahawa orang yang berkhidmat kepada Yehuwa dan Yesus akan diselamatkan semasa kesengsaraan besar. Daniel menyatakan bahawa nama mereka akan “tertulis dalam kitab.” (Dan. 12:1) Jadi apakah yang harus kita lakukan agar nama kita tertulis dalam kitab itu? Kita mesti menunjukkan dengan jelas bahawa kita beriman kepada Yesus, iaitu Anak Bebiri Tuhan. (Yoh. 1:29) Kita perlu membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis. (1 Ptr. 3:21) Selain itu, kita mesti menyokong Kerajaan Tuhan dengan melakukan apa yang kita mampu untuk mengajar orang lain tentang Yehuwa.
19. Apakah yang harus kita lakukan sekarang, dan mengapa?
19 Sekaranglah masanya untuk menguatkan keyakinan kita terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya. Sekaranglah masanya untuk menyokong Kerajaan Tuhan. Dengan berbuat demikian, kita akan diselamatkan semasa Kerajaan Tuhan membinasakan raja utara dan raja selatan.
LAGU 149 Lagu Kemenangan
a Siapakah “raja utara” pada zaman ini, dan bagaimanakah dia akan dimusnahkan? Jawapan kepada soalan-soalan ini akan menguatkan iman kita dan membantu kita bersedia menghadapi cubaan yang akan menimpa kita tidak lama lagi.
b Untuk maklumat terperinci mengenai penjelasan Daniel 2:36-45 dan Wahyu 13:1, 2, sila lihat Menara Pengawal terbitan 15 Jun 2012, muka surat 7-19.
c Untuk maklumat lanjut, sila lihat Menara Pengawal terbitan 15 Mei 2015, muka surat 29-30.
-
-
Dua Raja yang Saling Berlawan pada Akhir ZamanMenara Pengawal (Pembelajaran)—2020 | Mei
-
-
Dua Raja yang Saling Berlawan pada Akhir Zaman
Nubuat-nubuat dalam carta ini menggambarkan peristiwa yang berlaku pada masa yang sama. Semua nubuat itu membuktikan bahawa kita sedang hidup pada “akhir zaman.”—Dan. 12:4.
Ayat Bible Why. 11:7; 12:13, 17; 13:1-8, 12
Nubuat “Binatang buas” menguasai dunia selama ribuan tahun. Pada akhir zaman, kepalanya yang ketujuh dicederakan. Selepas kepala itu sembuh, “seluruh penduduk bumi” mengikut binatang buas tersebut. Syaitan menggunakan binatang itu untuk “melawan saki-baki keturunan wanita itu.”
Nubuat Menjadi Kenyataan Selepas Banjir, kerajaan manusia yang menentang Yehuwa mula muncul. Semasa Perang Dunia I, pengaruh Britain menjadi lemah. Kuasa Britain pulih apabila Britain bekerjasama dengan Amerika Syarikat. Khasnya pada akhir zaman, Syaitan menggunakan seluruh sistem politik dunia untuk menindas umat Tuhan.
Ayat Bible Dan. 11:25-45
Nubuat Persaingan antara raja utara dengan raja selatan.
Nubuat Menjadi Kenyataan Jerman bersaing dengan Inggeris dan Amerika. Pada tahun 1945, Kesatuan Soviet dan sekutu-sekutunya menjadi raja utara. Pada tahun 1991, Kesatuan Soviet dibubarkan. Kemudian, Rusia dan sekutu-sekutunya menjadi raja utara.
Ayat Bible Yes. 61:1; Mal. 3:1; Luk. 4:18
Nubuat Yehuwa menghantar ‘utusan-Nya’ untuk “membuka jalan” bagi Kerajaan Mesias. Utusan itu “mengisytiharkan berita baik kepada orang yang rendah hati.”
Nubuat Menjadi Kenyataan Sejak tahun 1870, C. T. Russell dan rakan-rakannya berusaha menjelaskan kebenaran Bible. Sepanjang tahun 1880-an, mereka menegaskan bahawa umat Tuhan perlu menginjil. Mereka menerbitkan rencana seperti “1,000 Orang Penginjil Diperlukan” dan “Diurapi untuk Menginjil.”
Ayat Bible Mat. 13:24-30, 36-43
Nubuat Musuh menanam lalang di ladang gandum. Lalang itu bertumbuh sehingga gandum tidak dapat dilihat. Semasa musim menuai, lalang dipisahkan daripada gandum.
Nubuat Menjadi Kenyataan Mulai tahun 1870, perbezaan antara orang Kristian sejati dengan orang Kristian palsu menjadi semakin ketara. Pada akhir zaman, orang Kristian sejati dikumpulkan dan dipisahkan daripada orang Kristian palsu.
Ayat Bible Dan. 2:31-33, 41-43
Nubuat Kaki sebuah patung besar. Kaki itu diperbuat daripada besi bercampur tanah liat.
Nubuat Menjadi Kenyataan Tanah liat melambangkan orang di bawah pemerintahan Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika, yang suka menentang dan memberontak terhadap kerajaan. Perbuatan mereka melemahkan kuasa kerajaan-kerajaan ini sehingga menjadi tidak sekuat besi.
Ayat Bible Mat. 13:30; 24:14, 45; 28:19, 20
Nubuat “Gandum” dikumpulkan ke dalam “jelapang,” dan “hamba yang setia dan bijaksana” dilantik untuk menjaga “hamba-hamba lain.” “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan” mula “disebarkan ke seluruh bumi.”
Nubuat Menjadi Kenyataan Pada tahun 1919, hamba yang setia dilantik untuk memimpin umat Tuhan. Sejak tahun itu, Pelajar Bible menggandakan usaha mereka dalam kerja penyebaran. Kini, Saksi-Saksi Yehuwa menginjil di lebih daripada 200 negara dan kawasan, dan mereka menghasilkan bahan terbitan Bible dalam lebih daripada 1,000 bahasa.
Ayat Bible Dan. 12:11; Why. 13:11, 14, 15
Nubuat Binatang buas bertanduk dua mengetuai usaha membina “sebuah patung menurut gambaran binatang buas” yang berkepala tujuh dan “memberikan nafas hidup kepada patung” itu.
Nubuat Menjadi Kenyataan Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika menubuhkan Liga Bangsa-Bangsa. Negara-negara lain juga menganggotai pertubuhan ini. Raja utara juga menyertai Liga Bangsa-Bangsa, tetapi hanya dari tahun 1926 hingga 1933. Orang ramai percaya bahawa Liga Bangsa-Bangsa (dan PBB yang muncul selepasnya) dapat membawa kedamaian sedunia, padahal hanya Kerajaan Tuhan yang dapat melakukannya.
Ayat Bible Dan. 8:23, 24
Nubuat Seorang raja yang berwajah garang “membawa kemusnahan yang mengerikan.”
Nubuat Menjadi Kenyataan Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika telah menyebabkan kemusnahan yang besar. Contohnya, semasa Perang Dunia II, Amerika Syarikat telah menjatuhkan dua butir bom atom di sebuah negara yang memusuhi Britain dan Amerika.
Ayat Bible Dan. 11:31; Why. 17:3, 7-11
Nubuat Binatang buas “berwarna merah marak” yang mempunyai 10 tanduk, naik dari jurang yang dalam. Binatang itu ialah raja kelapan. Buku Daniel menggambarkan raja kelapan sebagai “benda jijik yang membawa kemusnahan.”
Nubuat Menjadi Kenyataan Liga Bangsa-Bangsa menjadi tidak aktif semasa Perang Dunia II. Selepas perang, PBB ditubuhkan. Orang ramai percaya bahawa PBB (dan Liga Bangsa-Bangsa yang wujud sebelumnya) dapat membawa kedamaian sedunia, padahal hanya Kerajaan Tuhan yang dapat melakukannya. PBB akan menyerang agama.
Ayat Bible 1 Tes. 5:3; Why. 17:16
Nubuat Bangsa-bangsa berkata, “Semuanya damai dan selamat!” “Sepuluh tanduk” dan “binatang buas” menyerang dan membinasakan “pelacur.” Selepas itu, bangsa-bangsa dibinasakan.
Nubuat Menjadi Kenyataan Bangsa-bangsa mendakwa bahawa mereka berjaya membawa kedamaian dan keselamatan. Kemudian, bangsa-bangsa yang menyokong PBB membinasakan pertubuhan agama palsu. Peristiwa ini menandakan permulaan kesengsaraan besar. Kesengsaraan besar berakhir semasa seluruh dunia Syaitan dibinasakan dalam perang Armagedon.
Ayat Bible Yeh. 38:11, 14-17; Mat. 24:31
Nubuat Gog menyerang umat Tuhan. Kemudian para malaikat mengumpulkan ‘umat Tuhan yang terpilih.’
Nubuat Menjadi Kenyataan Raja utara dan kerajaan-kerajaan lain menyerang umat Tuhan. Selepas serangan itu bermula, kaum terurap yang masih di bumi dikumpulkan ke syurga.
Ayat Bible Yeh. 38:18-23; Dan. 2:34, 35, 44, 45; Why. 6:2; 16:14, 16; 17:14; 19:20
Nubuat Penunggang kuda putih ‘menakluki dan mengalahkan’ Gog dan tenteranya. “Binatang buas” dibuang ke dalam “tasik yang bernyala-nyala,” dan patung besar dihancurkan.
Nubuat Menjadi Kenyataan Yesus, iaitu Raja Kerajaan Tuhan, akan bertindak untuk menyelamatkan umat Tuhan. Dia dan 144,000 orang Kristian terurap serta para malaikat akan membinasakan bangsa-bangsa yang menyerang umat Tuhan. Seluruh sistem politik Syaitan akan dilenyapkan.
-