PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • od bab 16 ms. 162-168
  • Persaudaraan yang Bersatu

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Persaudaraan yang Bersatu
  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • MENGUBAH FIKIRAN
  • MEMELIHARA PERPADUAN KITA
  • MENGAMBIL BERAT TERHADAP SATU SAMA LAIN
  • DIKHASKAN UNTUK MELAKUKAN KEHENDAK YEHUWA
  • “Kasihilah Sesama Saudara Seiman”
    Kerja Teokratik Kita—2013
  • “Tuhan Tidak Berat Sebelah”
    ‘Berikan Kesaksian yang Menyeluruh tentang Kerajaan Tuhan’
Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
od bab 16 ms. 162-168

BAB 16

Persaudaraan yang Bersatu

SELAMA kira-kira 1,500 tahun, orang Israel ialah umat yang menyandang nama Yehuwa. Kemudian, Yehuwa “memperhatikan bangsa-bangsa lain untuk memilih orang daripada kalangan mereka supaya menjadi umat yang menyandang nama-Nya.” (Kis. 15:14) Umat yang menyandang nama Yehuwa akan menjadi saksi-saksi-Nya, dan mereka akan bersatu dari segi fikiran dan perbuatan, tidak kira di mana mereka tinggal. Umat ini dapat dikumpulkan kerana Yesus telah memberikan arahan berikut kepada para pengikutnya: “Pergilah kepada semua bangsa dan jadikanlah mereka pengikutku. Baptislah mereka atas nama Bapa, Anak, dan kuasa suci Tuhan. Ajarlah mereka mentaati segala yang telah aku perintahkan kepada kamu.”​—Mat. 28:19, 20.

Anda menyertai persaudaraan Kristian sedunia yang tetap bersatu walaupun dianggotai orang daripada pelbagai kaum, bangsa, dan taraf hidup

2 Setelah membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis, anda menjadi murid Yesus Kristus dan menyertai sebuah persaudaraan Kristian sedunia, yang bersatu padu walaupun dianggotai orang daripada pelbagai kaum, bangsa, dan taraf hidup. (Mzm. 133:1) Oleh itu, anda mengasihi dan menghormati saudara saudari di sidang. Dahulunya, anda mungkin berasa susah untuk bergaul dengan mereka kerana perbezaan kaum, bangsa, atau tahap pendidikan. Namun sekarang, kasih persaudaraan telah membolehkan anda menikmati hubungan yang sangat erat dengan mereka. Hubungan itu jauh lebih kukuh daripada mana-mana hubungan yang wujud antara orang yang mempunyai kedudukan yang sama, menganuti agama yang sama, atau berasal daripada keluarga yang sama.​—Mrk. 10:29, 30; Kol. 3:14; 1 Ptr. 1:22.

MENGUBAH FIKIRAN

3 Jika kita berasa susah untuk mengatasi prasangka yang disebabkan perbezaan kaum, politik, kedudukan, dan sebagainya, fikirkan contoh orang Kristian berbangsa Yahudi pada abad pertama. Mereka juga perlu membuang sikap prasangka yang dimiliki kebanyakan orang Yahudi terhadap bangsa-bangsa lain. Sebelum Petrus diutus ke rumah Kornelius, seorang pegawai tentera Roma, Yehuwa telah membantunya agar bersedia menerima tugasan tersebut.​—Kis., bab 10.

4 Dalam suatu penglihatan, Petrus disuruh menyembelih dan memakan binatang yang dianggap najis oleh orang Yahudi. Apabila Petrus enggan berbuat demikian, ada suara dari syurga yang memberitahunya, “Jangan lagi anggap najis apa yang sudah disucikan oleh Tuhan.” (Kis. 10:15) Dengan cara ini, Tuhan membantu Petrus mengubah fikirannya supaya dia dapat menjalankan tugas yang bakal diterimanya, iaitu untuk melawat Kornelius, seorang lelaki daripada bangsa lain. Petrus telah mematuhi arahan Yehuwa, dan dia memberitahu semua orang yang berkumpul di rumah Kornelius, “Kamu tahu benar bahawa orang Yahudi yang melawat atau bergaul dengan orang daripada bangsa lain melanggar hukum. Tetapi Tuhan sudah menunjukkan bahawa aku tidak boleh menganggap sesiapa pun kotor atau najis. Oleh itu, aku tidak keberatan untuk datang ketika dipanggil.” (Kis. 10:28, 29) Selepas itu, Petrus melihat bukti bahawa Yehuwa menerima Kornelius dan keluarganya.

5 Saulus dari Tarsus merupakan seorang Farisi yang berpendidikan tinggi, tetapi dia kemudiannya perlu merendahkan diri dan bergaul dengan orang yang dahulunya dipandang rendah olehnya. Dia bahkan rela mengikut arahan daripada mereka. (Kis. 4:13; Gal. 1:13-20; Flp. 3:4-11) Sudah pasti Sergius Paulus, Dionisius, Damaris, Filemon, Onesimus, dan orang lain yang menerima berita baik dan menjadi murid Yesus Kristus juga perlu mengubah cara pemikiran mereka.​—Kis. 13:6-12; 17:22, 33, 34; Flm. 8-20.

MEMELIHARA PERPADUAN KITA

6 Kasih yang ditunjukkan oleh saudara saudari dalam sidang tentu telah mendorong anda untuk menghampiri Yehuwa dan organisasi-Nya. Anda telah melihat dengan jelas tanda pengenal murid-murid Kristus yang sejati, yang disebut oleh Yesus semasa dia berkata, “Aku memberi kamu satu perintah baharu: Kamu harus saling mengasihi. Sebagaimana aku sudah mengasihi kamu, kamu juga harus saling mengasihi. Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yoh. 13:34, 35) Penghargaan anda untuk Yehuwa dan organisasi-Nya telah bertambah apabila anda sedar bahawa kasih ini bukan sahaja ditunjukkan dalam sidang, tetapi juga dimiliki saudara saudari di seluruh dunia. Anda sendiri merasai bahawa nubuat Bible sudah menjadi kenyataan, iaitu pada hari-hari terakhir, orang akan berkumpul untuk menyembah Yehuwa dengan damai dan bersatu.​—Mi. 4:1-5.

7 Hari ini, terdapat banyak perkara yang mengakibatkan perpecahan. Oleh itu, ramai orang berasa bahawa adalah mustahil untuk menyatukan orang “daripada semua bangsa, suku, kaum, dan bahasa.” (Why. 7:9) Sebagai contoh, fikirkan perbezaan antara orang yang sudah biasa dengan teknologi moden dengan orang yang berpegang pada tradisi kuno. Selain itu, orang daripada bangsa dan kaum yang sama sering berkelahi kerana agama. Kini, semangat kebangsaan juga semakin dititikberatkan, dan orang semakin berpecah belah kerana soal politik. Tambahan lagi, terdapat jurang perbezaan antara orang miskin dengan orang kaya, dan ada banyak hal lain yang menyebabkan perpecahan. Oleh itu, jika orang daripada pelbagai bangsa, bahasa, kedudukan, dan latar, dapat bersatu padu dan saling mengasihi, hal itu memang satu mukjizat yang hanya dapat dilakukan oleh Tuhan Yang Maha Kuasa.​—Za. 4:6.

8 Namun, perpaduan sebegitu benar-benar wujud. Semasa anda membaktikan diri dan dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, anda sudah pun merasakan perpaduan itu dan mendapat manfaat daripadanya. Maka anda juga bertanggungjawab memelihara perpaduan itu. Bagaimanakah anda dapat berbuat demikian? Ikutlah nasihat Paulus di Galatia 6:10: “Selagi kita berpeluang, marilah kita berbuat baik kepada semua orang, terutamanya kepada saudara saudari kita yang seiman.” Selain itu, kita perlu mematuhi nasihat berikut: “Janganlah suka bertengkar atau bersikap sombong. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri kamu sendiri. Jagalah kepentingan orang lain, dan bukan hanya kepentingan diri kamu sendiri.” (Flp. 2:3, 4) Apabila kita melatih diri untuk memandang saudara saudari sebagaimana Yehuwa memandang mereka, dan bukannya berdasarkan penampilan mereka, kita akan menikmati hubungan yang damai dan bahagia dengan mereka.​—Ef. 4:23, 24.

MENGAMBIL BERAT TERHADAP SATU SAMA LAIN

9 Seperti yang dijelaskan dalam perumpamaan Paulus, ahli sidang tidak berpecah belah tetapi saling memperhatikan. (1 Kor. 12:14-26) Ada rakan seiman yang mungkin tinggal di tempat yang jauh, tetapi kita masih mengambil berat terhadap mereka. Jika ada saudara saudari yang dianiaya, kita semua sangat susah hati. Jika ada rakan seiman yang kekurangan barang keperluan atau menjadi mangsa bencana atau peperangan, kita semua akan berusaha untuk memberikan bantuan secara rohani dan kebendaan.​—2 Kor. 1:8-11.

10 Kita semua harus berdoa bagi saudara saudari kita setiap hari. Ada yang menghadapi godaan untuk berbuat salah, dan ada juga yang sedang menderita. Sesetengah cabaran mereka diketahui ramai, tetapi ada juga cabaran lain yang tidak diketahui ramai, contohnya tentangan daripada rakan sekerja atau ahli keluarga yang tidak seiman. (Mat. 10:35, 36; 1 Tes. 2:14) Kita prihatin tentang hal-hal sebegini kerana mereka juga sebahagian daripada persaudaraan sedunia kita. (1 Ptr. 5:9) Janganlah lupa berdoa bagi rakan seiman yang bekerja keras untuk Yehuwa, mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran dan sidang, dan mereka yang bertanggungjawab menyelia kerja sedunia. Kita mungkin tidak dapat membantu mereka secara peribadi, tetapi apabila kita berdoa bagi mereka, hal itu menunjukkan bahawa kita mengasihi dan mengambil berat terhadap mereka.​—Ef. 1:16; 1 Tes. 1:2, 3; 5:25.

11 Keadaan dunia pada hari-hari terakhir memang huru-hara. Maka umat Yehuwa mesti bersedia membantu satu sama lain. Ada kalanya, selepas bencana alam seperti gempa bumi dan banjir, mereka mengaturkan supaya ramai orang datang untuk membantu mangsa bencana, dan mereka mengirim banyak barang keperluan. Orang Kristian abad pertama merupakan teladan yang baik dalam hal ini. Contohnya, orang Kristian di Antiokhia mengikut nasihat Yesus dan mengirim bantuan dengan murah hati kepada saudara saudari di Yudea. (Kis. 11:27-30; 20:35) Rasul Paulus juga pernah menggalakkan orang di Korintus agar menyokong aturan untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan. (2 Kor. 9:1-15) Pada zaman sekarang, semasa rakan seiman kita dilanda bencana dan memerlukan bantuan, organisasi Tuhan dan orang Kristian secara peribadi akan segera bertindak untuk menghulurkan bantuan.

DIKHASKAN UNTUK MELAKUKAN KEHENDAK YEHUWA

12 Persaudaraan sedunia kita yang bersatu padu telah diorganisasikan untuk melakukan kehendak Yehuwa. Kini, kehendak-Nya adalah supaya berita baik tentang Kerajaan Tuhan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. (Mat. 24:14) Semasa kita melakukan kerja penyebaran, Yehuwa juga menghendaki kita untuk berkelakuan selaras dengan piawaian moral-Nya yang tinggi. (1 Ptr. 1:14-16) Kita harus rela mematuhi arahan dan bekerjasama untuk menyebarkan berita baik dengan lebih meluas. (Ef. 5:21) Pada saat yang genting ini, kita patut mengutamakan Kerajaan Tuhan dan bukannya kepentingan diri. (Mat. 6:33) Jika kita ingat akan hal itu dan berganding bahu untuk menyebarkan berita baik, kita akan meraih sukacita dan kepuasan sekarang, dan menikmati berkat yang berkekalan pada masa depan.

13 Antara semua manusia di bumi, Saksi-Saksi Yehuwa telah dikhaskan sebagai umat yang suci, yang berkhidmat kepada Tuhan dengan bersemangat. (Tit. 2:14) Kita berbeza daripada orang lain kerana kita menyembah Yehuwa. Kita bukan sahaja berganding bahu dengan rakan seiman di seluruh bumi, tetapi juga menuturkan bahasa kebenaran yang sama dan hidup selaras dengan kebenaran yang kita sebarkan. Hal ini telah dinubuatkan oleh Yehuwa menerusi Nabi Zefanya, “Aku akan mengajar bangsa-bangsa untuk menuturkan bahasa yang murni, agar mereka semua menyeru nama Aku, Yehuwa, dan berganding bahu untuk berkhidmat kepada-Ku.”​—Zef. 3:9.

14 Yehuwa telah mengilhami Zefanya untuk menggambarkan persaudaraan sedunia yang menjadi kenyataan pada hari ini: “Mereka tidak akan berdusta atau menggunakan lidah untuk memperdaya orang. Mereka akan makan lalu berbaring, dan tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka takut.” (Zef. 3:13) Setelah memahami kebenaran dalam Bible, kita mengubah fikiran kita dan menyelaraskan kehidupan kita menurut piawaian Yehuwa. Hasilnya, kita dapat bersatu padu dan bekerjasama untuk melaksanakan hal-hal yang dianggap mustahil dari sudut pandangan manusia. Ya, dalam kalangan penduduk bumi, kita memang sekumpulan orang yang istimewa. Kita ialah umat Tuhan yang berusaha memuliakan-Nya di serata dunia.​—Mi. 2:12.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi