RENCANA PEMBELAJARAN 32
Kaum Muda—Teruslah Buat Kemajuan selepas Dibaptis
“Kita harus bercakap benar dan menunjukkan kasih, supaya kita menjadi matang dalam segala hal.”—EF. 4:15.
LAGU 56 Sebatikan Kebenaran dengan Hidupmu
PENGENALANa
1. Sebelum dibaptis, apakah kemajuan rohani yang telah dibuat oleh banyak kaum muda?
RIBUAN orang muda dibaptis setiap tahun. Sudahkah anda mengambil langkah ini? Jika ya, saudara saudari dalam sidang tumpang gembira untuk anda, dan Yehuwa juga sangat gembira. (Ams. 27:11) Fikirkan sejenak kemajuan rohani yang telah anda buat sebelum dibaptis. Anda mungkin telah mengkaji Bible dengan tekun selama bertahun-tahun. Selepas mengkaji Bible, anda yakin bahawa Bible ialah Firman Tuhan. Bukan itu sahaja, anda juga mengenali dan mengasihi Pengarang Bible. Kasih anda kepada Yehuwa semakin bertambah sehingga mendorong anda untuk membaktikan diri dan dibaptis. Itu memang usaha yang sungguh baik!
2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
2 Sebelum dibaptis, iman anda pasti pernah diuji dalam pelbagai cara. Tetapi apabila anda semakin dewasa, anda akan menghadapi cabaran baharu. Syaitan akan cuba untuk melemahkan kasih anda kepada Yehuwa dan membuat anda berhenti menyembah-Nya. (Ef. 4:14) Jangan biar Syaitan berjaya! Apakah yang dapat membantu anda tetap setia kepada Yehuwa dan menunaikan ikrar pembaktian anda? Anda perlu “berusaha bersungguh-sungguh” untuk terus membuat kemajuan rohani dan menjadi orang Kristian yang matang. (Ibr. 6:1) Bagaimanakah anda dapat berbuat demikian? Rencana ini akan membincangkan caranya.
BAGAIMANAKAH ANDA DAPAT TERUS MEMBUAT KEMAJUAN ROHANI?
3. Apakah yang harus dilakukan oleh semua orang Kristian selepas dibaptis?
3 Selepas dibaptis, kita semua perlu mengikut nasihat yang diberikan oleh Rasul Paulus kepada rakan seimannya di Efesus. Dia menggalakkan mereka untuk menjadi orang Kristian “yang matang.” (Ef. 4:13) Dalam kata lain, mereka perlu terus membuat kemajuan. Paulus menyamakan pertumbuhan rohani dengan pertumbuhan seorang anak. Ibu bapa sangat gembira apabila anak mereka dilahirkan. Tetapi anak itu tidak boleh terus menjadi bayi dan “berperangai seperti kanak-kanak” untuk selama-lamanya. (1 Kor. 13:11) Begitu juga dengan orang Kristian. Selepas dibaptis, kita mesti terus membuat kemajuan rohani. Mari kita lihat beberapa cara untuk berbuat demikian.
4. Apakah sifat yang dapat membantu anda membuat kemajuan rohani? Jelaskan. (Filipi 1:9)
4 Memperdalam kasih anda kepada Yehuwa. Biarpun anda sudah sangat mengasihi Yehuwa, kasih itu dapat terus bertambah. Bagaimana? Rasul Paulus menjelaskan satu cara di Filipi 1:9. (Baca.) Paulus berdoa agar kasih orang Kristian di Filipi “semakin bertambah.” Untuk memperdalam kasih kita kepada Yehuwa, kita perlu “pengetahuan yang tepat dan daya pertimbangan yang baik.” Apabila kita semakin mengenali Yehuwa, kita akan semakin mengasihi dan menghargai keperibadian-Nya dan cara Dia bertindak. Keinginan kita untuk menyenangkan hati Yehuwa akan menjadi semakin kuat, dan kita tidak mahu melakukan apa-apa yang mengecewakan-Nya. Kita akan bekerja keras untuk mengetahui kehendak-Nya dan hidup selaras dengannya.
5-6. Apakah satu lagi cara untuk memperdalam kasih kita kepada Yehuwa? Jelaskan.
5 Jika kita lebih mengenali Yesus, kita akan lebih mengasihi Yehuwa, kerana Yesus mencerminkan keperibadian Bapanya dengan sempurna. (Ibr. 1:3) Cara yang terbaik untuk mengenali Yesus adalah dengan mengkaji buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Jadi, jika anda belum lagi memupuk tabiat membaca Bible setiap hari, cubalah memulakannya sekarang. Semasa membaca kisah Yesus, perhatikan sifat-sifatnya. Misalnya, Yesus mudah dihampiri. Dia menyayangi kanak-kanak dan memeluk mereka. (Mrk. 10:13-16) Dia juga membuat murid-muridnya berasa selesa untuk meluahkan pendapat mereka. (Mat. 16:22) Yesus mencerminkan sifat Bapanya. Jadi Yehuwa pun sangat mudah didekati. Oleh itu, kita dapat berdoa kepada-Nya dan mencurahkan segala isi hati kita tanpa rasa takut. Kita yakin bahawa Dia mengasihi kita dan mengambil berat terhadap kita.—1 Ptr. 5:7.
6 Yesus juga seorang yang berbelas kasihan. Rasul Matius menulis, “Apabila dia melihat orang ramai, dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala.” (Mat. 9:36) Bagaimana pula dengan Yehuwa? Yesus berkata, “Bapaku yang di syurga tidak ingin seorang pun daripada muridku yang bagaikan anak kecil sesat.” (Mat. 18:14) Tidakkah gambaran itu menyentuh hati kita? Apabila kita semakin mengenali Yesus, kasih kita kepada Yehuwa juga akan semakin bertambah.
7. Bagaimanakah pergaulan dengan orang Kristian yang matang dapat membantu anda?
7 Jika anda bergaul dengan saudara saudari yang matang di dalam sidang, anda dapat belajar untuk lebih mengasihi Yehuwa dan membuat kemajuan rohani. Anda pasti nampak mereka sangat bersukacita dan tidak pernah menyesali keputusan untuk menyembah Yehuwa. Jadi, mintalah mereka untuk menceritakan pengalaman mereka semasa berkhidmat kepada Yehuwa. Sebelum membuat keputusan yang penting, mintalah nasihat mereka kerana Bible kata, “Dengan adanya banyak penasihat, orang akan berjaya.”—Ams. 11:14.
Apakah persediaan yang dapat anda lakukan untuk mengatasi keraguan yang mungkin timbul semasa teori evolusi diajarkan di sekolah? (Lihat perenggan 8-9)
8. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda mempunyai keraguan tentang ajaran Bible?
8 Atasi keraguan anda. Seperti yang disebut di perenggan 2, Syaitan ingin menghalang anda daripada membuat kemajuan rohani. Satu cara dia berbuat demikian adalah dengan membuat anda meragui sesetengah ajaran Bible. Sebagai contoh, anda mungkin diajar teori evolusi. Semasa kecil, topik ini mungkin tidak pernah terlintas dalam fikiran anda. Tetapi sekarang anda diajar teori itu di sekolah, dan kata-kata guru anda mungkin kedengaran logik dan meyakinkan. Namun mereka mungkin tidak pernah mengkaji bukti bahawa Pencipta memang wujud. Amsal 18:17 menyatakan, “Orang yang pertama mengemukakan suatu perkara selalu nampaknya benar, tetapi kebenaran akan diketahui setelah pihak yang lain datang dan memeriksa perkaranya.” Jadi daripada menerima bulat-bulat apa yang anda dengar di sekolah, kajilah dengan teliti kebenaran dalam Bible. Buatlah penyelidikan dengan menggunakan bahan bacaan kita, dan bercakaplah kepada saudara saudari yang dahulunya mempercayai teori evolusi. Tanyalah mereka mengapa mereka sekarang percaya bahawa Pencipta yang pengasih memang wujud. Perbualan sebegini dapat membantu anda mengatasi keraguan anda dan percaya bahawa Tuhan wujud.
9. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Melissa?
9 Seorang saudari yang bernama Melissa telah meraih manfaat setelah mengkaji topik tentang penciptaan.b Dia berkata, “Di sekolah, cara cikgu mengajar teori evolusi sangat meyakinkan. Pada mulanya, saya ragu-ragu untuk mengkaji topik tentang penciptaan kerana saya takut kepercayaan saya akan dibuktikan salah. Tetapi saya tahu Yehuwa tidak mahu kita mempercayai sesuatu secara membabi buta. Jadi saya mengkaji buku Is There a Creator Who Cares About You? dan brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? dan Asal Usul Kehidupan—Lima Soalan yang Patut Difikirkan. Selepas itu, keraguan saya hilang sama sekali. Saya menyesal kerana tidak melakukannya awal-awal lagi.”
10-11. Apakah yang dapat membantu anda tetap bersih dari segi moral? (1 Tesalonika 4:3, 4)
10 Jauhi perbuatan yang salah. Semasa remaja, keinginan seks anda mungkin menjadi sangat kuat, dan anda mungkin menghadapi tekanan untuk melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. Syaitan mahu anda menuruti nafsu anda. Jadi apakah yang dapat membantu anda tetap bersih secara moral? (Baca 1 Tesalonika 4:3, 4.) Semasa berdoa, beritahulah Yehuwa perasaan anda dengan jujur dan mintalah kekuatan untuk menjauhi perbuatan yang salah. (Mat. 6:13) Ingatlah, Yehuwa mahu membantu anda dan bukannya menghukum anda. (Mzm. 103:13, 14) Firman Tuhan juga dapat membantu anda. Melissa yang disebut tadi pernah bergelut dengan pemikiran yang salah. Dia berkata, “Dengan membaca Bible setiap hari, saya dibantu untuk terus melawan pemikiran yang salah. Saya diingatkan bahawa saya milik Yehuwa dan saya mahu menyembah-Nya.”—Mzm. 119:9.
11 Selain itu, janganlah menangani masalah anda seorang diri. Sebaliknya, beritahulah ibu bapa anda tentang cabaran anda. Anda mungkin berasa segan untuk bercakap tentang masalah peribadi, tetapi hal ini sangat penting. Melissa berkata, “Saya berdoa meminta keberanian dan memberitahu bapa saya tentang masalah saya. Selepas itu, saya rasa sangat lega. Saya tahu Yehuwa bangga dengan saya.”
12. Bagaimanakah anda dapat membuat keputusan yang bijak?
12 Membuat keputusan berdasarkan prinsip Bible. Apabila anda semakin dewasa, anda akan diberi lebih banyak kebebasan. Tetapi anda tidak mempunyai banyak pengalaman hidup. Jadi bagaimanakah anda dapat mengelak daripada membuat kesilapan yang dapat menjejaskan hubungan anda dengan Yehuwa? (Ams. 22:3) Seorang saudari yang bernama Kari menjelaskan apa yang membantunya membuat keputusan yang bijak. Dia sedar bahawa orang Kristian yang matang tidak memerlukan peraturan untuk setiap situasi. Dia berkata, “Daripada hanya berfikir tentang apa yang boleh dan tidak boleh saya buat, saya perlu memahami prinsip Bible.” Jadi semasa membaca Bible, tanyalah diri, “Apakah yang saya belajar tentang pandangan Yehuwa daripada kisah ini? Adakah kisah ini mempunyai prinsip yang dapat membantu saya membuat keputusan yang bijak? Jika ada, apakah manfaat yang akan saya raih dengan menerapkannya?” (Mzm. 19:7; Yes. 48:17, 18) Dengan membaca Bible dan mengikut prinsipnya, anda akan berasa lebih senang untuk membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa. Seraya anda terus membuat kemajuan rohani, anda akan mendapati bahawa anda sebenarnya tidak memerlukan peraturan untuk setiap situasi, kerana anda sudah memahami pandangan Yehuwa.
Bagaimanakah saudari muda ini memilih sahabat yang baik? (Lihat perenggan 13)
13. Bagaimanakah kawan yang baik dapat membantu anda? (Amsal 13:20)
13 Pilih sahabat yang mengasihi Yehuwa. Seperti yang disebut sebelum ini, kawan-kawan kita dapat mempengaruhi pertumbuhan rohani kita. (Baca Amsal 13:20.) Mari kita lihat contoh seorang saudari yang bernama Sara. Dia mula hilang sukacita, tetapi sahabat yang baik telah membantunya bersukacita semula. Dia berkata, “Seorang saudari muda meluangkan masa dengan saya setiap minggu untuk membuat persiapan bagi Menara Pengawal. Seorang lagi kawan membantu saya untuk mempersiapkan komen bagi perjumpaan. Kawan-kawan ini muncul dalam hidup saya pada masa yang tepat. Mereka telah membantu saya untuk memandang serius pembelajaran peribadi dan doa. Hasilnya, hubungan saya dengan Yehuwa menjadi semakin kuat, dan kini saya lebih bersukacita.”
14. Bagaimanakah Julien mencari sahabat yang baik?
14 Apakah yang dapat anda lakukan untuk mencari sahabat yang baik? Julien, seorang penatua di Bethel, berkata, “Semasa saya muda, saya mencari sahabat yang baik semasa menyertai kerja penyebaran. Kawan-kawan ini sangat rajin menginjil, dan saya dapat melihat bahawa mereka sangat menikmati kerja penyebaran. Oleh itu, saya bermatlamat untuk menyertai khidmat sepenuh masa. Saya juga sedar bahawa jika saya hanya bergaul dengan orang yang sebaya dengan saya, saya tidak akan mendapat banyak kawan yang baik. Semasa saya berkhidmat di Bethel, teladan baik kawan-kawan di sana telah membantu saya untuk memilih hiburan dengan bijak, dan hal itu membuat saya lebih akrab dengan Yehuwa.”
15. Apakah amaran yang diberikan oleh Paulus kepada Timotius tentang pergaulan? (2 Timotius 2:20-22)
15 Bagaimana pula jika anda mendapati ada orang di sidang yang bukan pergaulan baik? Paulus tahu bahawa sesetengah individu dalam sidang Kristian abad pertama tidak berfikiran rohani. Maka, dia memberikan amaran kepada Timotius untuk menjauhi mereka. (Baca 2 Timotius 2:20-22.) Ingatlah, kita telah bekerja keras untuk memupuk persahabatan yang baik dengan Yehuwa. Jadi kita tidak mahu mengizinkan sesiapa pun untuk melemahkan ikatan persahabatan kita dengan-Nya.—Mzm. 26:4.
BAGAIMANAKAH MATLAMAT ROHANI MEMBANTU ANDA MEMBUAT KEMAJUAN?
16. Apakah matlamat yang dapat anda tetapkan?
16 Tetapkan matlamat yang bermanfaat. Pilihlah matlamat yang dapat menguatkan iman dan kerohanian anda. (Ef. 3:16) Misalnya, anda boleh memperbaiki tabiat pembelajaran peribadi dan pembacaan Bible anda. (Mzm. 1:2, 3) Atau anda boleh meningkatkan mutu dan kekerapan doa anda. Selain itu, anda mungkin ingin menunjukkan kawalan diri dengan lebih baik dalam soal hiburan dan penggunaan masa. (Ef. 5:15, 16) Apabila Yehuwa melihat anda berusaha keras untuk membuat kemajuan, Dia akan sangat gembira.
Apakah matlamat yang ditetapkan oleh saudari muda ini? (Lihat perenggan 17)
17. Apakah manfaat yang dapat anda raih dengan membantu orang lain?
17 Dengan membantu orang lain, anda dapat menjadi orang Kristian yang lebih matang. Yesus berkata, “Lebih berbahagia memberi daripada menerima.” (Kis. 20:35) Anda akan meraih banyak manfaat jika anda menggunakan masa dan tenaga anda untuk membantu orang lain. Sebagai contoh, tetapkanlah matlamat untuk membantu saudara saudari yang lanjut usia atau yang kurang upaya. Mungkin anda boleh membantu mereka untuk membeli-belah atau mengajar mereka untuk menggunakan alat elektronik. Jika anda seorang saudara, tetapkanlah matlamat untuk menjadi pembantu sidang supaya anda dapat membantu saudara saudari anda. (Flp. 2:4) Anda juga boleh menunjukkan kasih kepada orang di luar sidang dengan menginjil kepada mereka. (Mat. 9:36, 37) Jika dapat, bermatlamatlah untuk menceburi khidmat sepenuh masa.
18. Bagaimanakah khidmat sepenuh masa dapat membantu anda membuat kemajuan?
18 Khidmat sepenuh masa dapat membuka peluang bagi anda untuk membuat kemajuan rohani. Jika anda berkhidmat sebagai perintis, anda mungkin berpeluang untuk menghadiri Sekolah Latihan Penginjil, berkhidmat di Bethel, atau menyertai projek pembinaan. Seorang perintis muda yang bernama Kaitlyn berkata, “Oleh sebab saya dapat meluangkan masa bersama saudara saudari yang lebih matang semasa menginjil, mereka telah membantu saya membuat kemajuan rohani selepas saya dibaptis. Teladan baik mereka mendorong saya untuk memperdalam pengetahuan Bible saya dan meningkatkan kemahiran mengajar.”
19. Jika anda terus membuat kemajuan rohani, apakah berkat yang dapat anda nikmati?
19 Seraya anda terus membuat kemajuan rohani, anda akan menikmati banyak berkat. (1 Yoh. 2:17) Contohnya, anda tidak akan membazirkan masa muda anda untuk mengejar matlamat yang sia-sia. Anda juga akan menghindari kesan buruk akibat membuat keputusan yang tidak bijak. Sebaliknya, anda akan menikmati kejayaan dan kebahagiaan yang sejati. (Ams. 16:3) Teladan baik anda akan menggalakkan rakan seiman anda, tidak kira yang muda mahupun yang tua. (1 Tim. 4:12) Yang paling penting, anda akan menikmati kedamaian dan kepuasan kerana menyenangkan hati Yehuwa dan mempunyai hubungan yang akrab dengan-Nya.—Ams. 23:15, 16.
LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu
a Semua penyembah Yehuwa pasti sangat gembira semasa melihat orang muda dibaptis. Sudah tentu selepas dibaptis, mereka perlu terus membuat kemajuan rohani. Rencana ini akan membantu semua orang dalam sidang untuk mengetahui bagaimana orang muda yang baru dibaptis dapat terus membuat kemajuan sehingga menjadi orang Kristian yang matang.
b Sesetengah nama telah diubah.