PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • od bab 10 ms. 105-115
  • Cara-Cara untuk Meluaskan Khidmat Anda

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Cara-Cara untuk Meluaskan Khidmat Anda
  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • MENJADI PENYIAR
  • BERKHIDMAT DI TEMPAT YANG LEBIH MEMERLUKAN BANTUAN
  • MENGINJIL DALAM BAHASA LAIN
  • KHIDMAT PERINTIS
  • MUBALIGH
  • KERJA LITAR
  • SEKOLAH-SEKOLAH TEOKRATIK
  • KHIDMAT BETHEL
  • KERJA PEMBINAAN
  • APAKAH MATLAMAT ROHANI ANDA?
  • Hargailah Pekhidmat Sepenuh Masa
    Menara Pengawal—2014
  • Penyelia yang Menggembala Kawanan
    Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Sekolah Teokratik—Bukti akan Kasih Yehuwa
    Menara Pengawal—2012
  • Melatih Penyebar Kerajaan Tuhan
    Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
od bab 10 ms. 105-115

BAB 10

Cara-Cara untuk Meluaskan Khidmat Anda

SEBELUM mengutus murid-muridnya untuk menginjil, Yesus memberitahu mereka, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit.” Memandangkan terdapat banyak kerja yang perlu disiapkan, Yesus menambah, “Rayulah Pemilik tuaian supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.” (Mat. 9:37, 38) Yesus memberitahu murid-muridnya cara untuk menginjil, dan kata-katanya menunjukkan bahawa kerja ini harus dilaksanakan dengan segera. Dia berkata, “Anak Manusia akan tiba sebelum kamu selesai mengunjungi semua kota dan pekan di Israel.”​—Mat. 10:23.

2 Seperti Yesus dan murid-muridnya, orang Kristian hari ini mempunyai banyak kerja. Sebenarnya, kerja kita jauh lebih banyak daripada mereka, kerana kawasan penyebaran kita merangkumi berbilion-bilion orang di seluruh bumi, dan kita perlu memberitahu mereka berita baik tentang Kerajaan Tuhan sebelum akhir tiba. (Mrk. 13:10) Bilangan kita kecil sahaja berbanding penduduk bumi, dan kita sudah kesuntukan masa! Meskipun begitu, kita yakin bahawa Yehuwa pasti membantu kita. Berita baik akan dikhabarkan ke seluruh bumi, dan akhir pasti datang pada masa yang ditetapkan oleh Yehuwa. Adakah kita akan mengutamakan Kerajaan Tuhan dalam kehidupan kita, supaya kita dapat melaksanakan kerja penyebaran dengan sepenuhnya? Apakah beberapa matlamat rohani yang dapat kita tetapkan untuk berbuat demikian?

3 Yesus menjelaskan apa yang dikehendaki Yehuwa daripada hamba-hamba-Nya yang sudah membaktikan diri, “Kamu mesti mengasihi Yehuwa, Tuhanmu, dengan segenap hati, dengan segenap jiwa, dengan segenap akal, dan dengan segenap kekuatan.” (Mrk. 12:30) Tuhan mahu kita berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh jiwa. Apabila kita berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya, kita membuktikan bahawa kita sangat mengasihi-Nya dan membaktikan diri kepada-Nya dengan ikhlas. (2 Tim. 2:15) Sekarang, mari kita lihat cara-cara untuk berkhidmat kepada Tuhan. Fikirkan matlamat rohani yang dapat anda usahakan menurut keadaan dan kebolehan anda.

MENJADI PENYIAR

4 Semua orang yang menerima kebenaran diberi penghormatan untuk menyebarkan berita baik. Itulah kerja utama yang diamanahkan oleh Yesus kepada murid-muridnya. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Sebaik sahaja mendengar berita baik, murid-murid Yesus biasanya akan memberitahu orang lain tentangnya. Itulah yang dilakukan oleh Andreas, Filipus, Kornelius, dan orang lain. (Yoh. 1:40, 41, 43-45; Kis. 10:1, 2, 24; 16:14, 15, 25-34) Maksudnya, mereka yang belum dibaptis pun boleh mengongsi berita baik dengan orang lain! Setelah seseorang memenuhi syarat sebagai penyiar yang belum dibaptis, dia boleh menyertai kerja penyebaran dari rumah ke rumah. Dia juga boleh menggunakan cara-cara lain untuk melakukan aktiviti penyebaran, menurut keadaan dan kebolehannya.

5 Selepas seorang penyiar dibaptis, dia pasti ingin melakukan apa yang terdaya untuk membantu orang mempelajari berita baik. Tidak kira lelaki ataupun wanita, kita semua diberi penghormatan untuk menginjil. Kita bersyukur kerana dapat menyokong Kerajaan Tuhan, biarpun sumbangan kita mungkin kecil sahaja. Penyiar yang dapat meluaskan khidmatnya memang akan bahagia.

BERKHIDMAT DI TEMPAT YANG LEBIH MEMERLUKAN BANTUAN

6 Barangkali, kawasan penyebaran sidang anda sering dikunjungi, dan ramai orang sudah mendengar berita baik. Jika begitu, anda mungkin ingin meluaskan khidmat anda dengan berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. (Kis. 16:9) Jika anda seorang penatua atau pembantu sidang, mungkin ada sidang lain yang memerlukan bantuan anda. Sekiranya anda ingin membantu sidang lain dalam litar yang sama, penyelia litar dapat memberi anda cadangan yang sesuai. Jika anda ingin berkhidmat di negeri lain pula, pejabat cawangan dapat memberi anda maklumat yang berguna.

7 Inginkah anda berkhidmat di luar negara? Jika anda berpindah, hal itu akan membawa kesan yang besar kepada diri anda dan orang yang berpindah bersama anda. Maka, fikirkanlah hal itu masak-masak, dan bincangkannya dengan penatua di sidang anda. (Luk. 14:28) Namun, jika anda tidak merancang untuk tinggal lama di situ, mungkin adalah lebih baik jika anda berkhidmat di negara anda.

8 Di sesetengah tempat, penatua tempatan masih baru dalam kebenaran berbanding penatua dari tempat lain yang berpindah ke situ. Jadi, mereka biasanya membiarkan penatua yang lebih berpengalaman mengambil pimpinan dalam sidang. Jika anda seorang penatua yang bercadang untuk berpindah ke tempat sebegini, ingatlah bahawa tujuan anda bukan untuk menggantikan penatua tempatan, tetapi untuk berkhidmat bersama mereka. Galakkanlah mereka agar berusaha memikul pelbagai tanggungjawab di sidang. (1 Tim. 3:1) Bersabarlah jika sesetengah perkara tidak diurus mengikut cara yang biasanya dilakukan di negara asal anda. Gunakanlah pengalaman anda sebagai penatua untuk membantu mereka. Dengan demikian, jika anda perlu pulang ke negara asal suatu hari nanti, mereka sudah dilatih dengan baik untuk menjaga sidang.

9 Sebelum pejabat cawangan dapat memberitahu anda sidang-sidang yang memerlukan bantuan, Jawatankuasa Sidang anda perlu menyediakan surat pengesyoran terlebih dahulu. Surat ini harus disediakan tidak kira anda ialah seorang penatua, pembantu sidang, perintis, atau penyiar. Jika anda bercadang untuk berkhidmat di sesebuah negara, Jawatankuasa Sidang akan mengirim surat pengesyoran itu bersama surat pertanyaan anda kepada pejabat cawangan di negara tersebut.

MENGINJIL DALAM BAHASA LAIN

10 Untuk meluaskan khidmat anda, anda mungkin ingin mempelajari bahasa lain, termasuk bahasa isyarat. Jika anda mahu berbuat demikian, berjumpalah dengan penatua dan penyelia litar. Mereka dapat memberi anda cadangan dan galakan. Di bawah arahan pejabat cawangan, sesetengah litar mengadakan kelas bahasa untuk melatih para penyiar dan perintis supaya mereka dapat menginjil dalam bahasa lain.

KHIDMAT PERINTIS

11 Semua penyiar harus mengetahui syarat-syarat untuk menjadi perintis sokongan, perintis biasa, perintis khas, dan pekhidmat sepenuh masa yang lain. Untuk menjadi perintis, seseorang mesti sudah dibaptis dan merupakan teladan baik, dan keadaannya harus membolehkannya mencapai jumlah masa yang ditetapkan untuk menginjil. Permohonan untuk menjadi perintis sokongan dan perintis biasa diluluskan oleh Jawatankuasa Sidang, manakala perintis khas dilantik oleh pejabat cawangan.

12 Perintis sokongan boleh berkhidmat sekurang-kurangnya sebulan, beberapa bulan secara berturut-turut, atau untuk jangka masa yang lebih lama, menurut keadaan mereka. Ramai penyiar menjadi perintis sokongan pada waktu yang istimewa, contohnya pada musim Peringatan atau bulan kunjungan penyelia litar. Penyiar terbaptis yang bekerja atau yang bersekolah mungkin memilih untuk menjadi perintis sokongan pada musim cuti. Ada penyiar yang menjadi perintis sokongan pada bulan Mac dan April serta pada bulan kunjungan penyelia litar, kerana jumlah jam bagi perintis sokongan dikurangkan pada bulan-bulan tersebut. Tidak kira apa keadaan anda, jika anda hidup bermoral, bebas daripada tabiat buruk, dapat memenuhi jumlah masa yang ditentukan, dan mampu berkhidmat sebagai perintis sokongan untuk sekurang-kurangnya satu bulan, para penatua akan mempertimbangkan permohonan anda.

13 Untuk menjadi perintis biasa, anda mesti dapat memenuhi jumlah jam yang ditetapkan bagi setahun. Sebagai perintis biasa, anda harus bekerjasama dengan sidang. Perintis yang bersemangat merupakan berkat kepada sidang. Mereka membangkitkan semangat saudara saudari untuk menginjil, dan bahkan menggalakkan penyiar lain untuk menjadi perintis. Sebelum memohon untuk menjadi perintis biasa, anda mesti sudah dibaptis sekurang-kurangnya enam bulan dan merupakan teladan yang baik.

14 Perintis khas biasanya dipilih daripada kalangan perintis biasa yang mahir melakukan kerja penyebaran. Mereka haruslah dapat berkhidmat di mana-mana sahaja yang dipilih oleh pejabat cawangan. Sering kali, mereka akan ditugaskan ke kawasan terpencil untuk mencari orang yang berminat dan menubuhkan sidang baharu. Ada kalanya, mereka ditugaskan ke sidang yang memerlukan bantuan untuk meliputi kawasan penyebaran. Sesetengah perintis khas yang merupakan penatua telah ditugaskan untuk membantu sidang-sidang yang kecil, biarpun sidang itu tidak memerlukan bantuan dalam kawasan penyebaran. Perintis khas diberi elaun untuk memenuhi keperluan asas. Ada juga perintis yang dilantik sebagai perintis khas sementara.

MUBALIGH

15 Para mubaligh dilantik oleh Jawatankuasa Penyebaran bagi Badan Pimpinan dan ditugaskan ke sesebuah negara. Jawatankuasa Cawangan negara itu kemudiannya akan menugaskan mereka ke kawasan yang berpenduduk padat. Para mubaligh dapat memantapkan dan menyokong kerja penyebaran dan sidang. Mubaligh biasanya merupakan lulusan Sekolah Latihan Penginjil. Mereka diberi tempat tinggal dan elaun untuk keperluan asas.

KERJA LITAR

16 Sebelum seorang saudara dilantik sebagai penyelia litar oleh Badan Pimpinan, dia akan berkhidmat sebagai pengganti penyelia litar terlebih dahulu untuk dilatih dan menimba pengalaman. Saudara-saudara sedemikian harus mencintai kerja penyebaran dan mengasihi rakan seiman. Mereka merintis dengan bersemangat, rajin mengkaji Bible, dan mahir mengajar dan memberikan ceramah. Mereka memperlihatkan buah kuasa suci Tuhan, bersikap seimbang, munasabah, dan mempunyai daya pertimbangan yang baik. Jika saudara itu sudah berkahwin, isterinya haruslah seorang perintis yang mahir dalam kerja penyebaran. Saudari itu patut merupakan teladan yang baik dari segi kelakuan dan hubungan dengan orang lain. Sebagai seorang isteri, dia tunduk kepada suaminya. Dia tidak akan bercakap bagi pihak suaminya dan tidak suka menguasai perbualan. Penyelia litar dan isterinya sangat sibuk, maka mereka yang ingin menyertai kerja ini mesti mempunyai kesihatan yang baik. Perintis tidak memohon untuk menyertai kerja litar. Sebaliknya, mereka akan memberitahu penyelia litar tentang hasrat mereka, dan dia akan memberi mereka cadangan yang sesuai.

SEKOLAH-SEKOLAH TEOKRATIK

17 Sekolah Latihan Penginjil: Kini, lebih ramai penginjil diperlukan untuk menginjil di kawasan yang jarang dikunjungi dan untuk menyokong sidang. Maka, saudara saudari yang bujang atau suami isteri boleh memohon untuk menerima latihan khas di Sekolah Latihan Penginjil. Para lulusan akan ditugaskan sebagai perintis biasa ke kawasan yang lebih memerlukan bantuan di negara mereka sendiri. Namun mereka yang dapat melakukan lebih banyak tugas mungkin diberi tanggungjawab lain, sama ada di negara mereka sendiri atau di luar negara. Sebilangan daripada mereka mungkin ditugaskan sebagai perintis khas yang tetap atau sementara. Perintis yang berminat mengikuti sekolah ini boleh menghadiri perjumpaan di konvensyen serantau untuk mengetahui syarat-syaratnya.

18 Sekolah Latihan Gilead: Saudara saudari yang bujang dan suami isteri yang dipilih untuk menghadiri sekolah ini merupakan pekhidmat khas sepenuh masa yang dapat berbahasa Inggeris. Mereka mempunyai potensi untuk memantapkan kerja penyebaran dan kerja di pejabat cawangan. Mereka menunjukkan bahawa mereka suka membantu rakan seiman, dan mereka dapat membantu orang lain dengan baik hati untuk memahami dan mengikut arahan daripada Bible dan organisasi Tuhan. Jawatankuasa Cawangan tempatan akan menjemput saudara saudari yang berpotensi untuk mengisi permohonan. Para lulusan akan ditugaskan untuk berkhidmat di bawah arahan pejabat cawangan di negara asal mereka atau di negara lain.

KHIDMAT BETHEL

19 Khidmat Bethel merupakan satu penghormatan istimewa. Nama Bethel, yang bermaksud “Rumah Tuhan,” memang sesuai dengan kegiatan yang dilakukan di situ. Saudara saudari di Bethel melakukan kerja yang penting untuk menghasilkan, menterjemahkan, dan mengedarkan bahan bacaan Bible. Khidmat mereka sangat dihargai oleh Badan Pimpinan, yang mengawasi dan memberikan arahan kepada sidang-sidang di serata dunia. Sesetengah ahli Bethel ditugaskan sebagai penterjemah di kawasan lain. Mereka akan tinggal dan bekerja di situ untuk menterjemahkan bahan bacaan ke dalam bahasa tempatan. Aturan ini membolehkan para penterjemah mendengar bagaimana bahasa itu digunakan setiap hari, dan melihat sama ada hasil terjemahan mereka dapat difahami atau tidak.

20 Sebahagian besar kerja di Bethel memerlukan banyak tenaga. Oleh itu, mereka yang dipanggil ke Bethel biasanya merupakan saudara terbaptis yang muda, sihat, dan kuat. Jika pejabat cawangan yang menjaga negara anda mempunyai keperluan, dan jika anda ingin berkhidmat di Bethel, anda boleh bertanya kepada penatua di sidang anda tentang syarat-syaratnya.

KERJA PEMBINAAN

21 Kerja membina bangunan untuk kegunaan organisasi Tuhan merupakan khidmat suci, seperti kerja membina Rumah Tuhan pada zaman Salomo. (1 Raj. 8:13-18) Ramai saudara saudari menyokong kerja ini dengan penuh semangat. Mereka rela menggunakan masa, tenaga, dan harta mereka untuk kerja ini.

22 Dapatkah anda menghulurkan bantuan? Jika anda sudah dibaptis dan rela membantu, saudara-saudara yang menyelia kerja pembinaan di kawasan anda sangat menghargai bantuan anda. Jika anda tidak mempunyai banyak kemahiran, mereka sanggup melatih anda. Beritahulah penatua di sidang bahawa anda dapat membantu. Sesetengah penyiar terbaptis yang memenuhi syarat bahkan dapat membantu organisasi Tuhan melakukan kerja pembinaan di negara lain.

23 Terdapat banyak peluang untuk menyertai kerja pembinaan. Jika seorang penyiar terbaptis merupakan teladan baik dan mempunyai kemahiran tertentu serta dapat membantu dalam projek yang berdekatan dengan rumahnya, dia boleh berkhidmat sebagai pekerja sukarela Rekaan dan Pembinaan Tempatan. Jika dia dapat membantu dalam projek di tempat yang lebih jauh antara dua minggu hingga tiga bulan, dia akan dilantik oleh pejabat cawangan sebagai pekerja sukarela pembinaan. Saudara saudari yang dilantik untuk berkhidmat secara berterusan pula dipanggil pembantu pembinaan. Pembantu pembinaan yang ditugaskan ke negara lain dikenali sebagai pembantu pembinaan di luar negara. Setiap projek diketuai oleh Kumpulan Pembinaan, yang terdiri daripada pembantu pembinaan dan pekerja sukarela pembinaan. Mereka akan dibantu oleh pekerja sukarela Rekaan dan Pembinaan Tempatan, dan saudara saudari dalam sidang-sidang yang terlibat dalam projek. Kumpulan Pembinaan akan berpindah dari satu projek ke projek seterusnya dalam kawasan pejabat cawangan.

APAKAH MATLAMAT ROHANI ANDA?

24 Jika anda sudah membaktikan diri kepada Yehuwa, anda pasti ingin berkhidmat kepada Yehuwa buat selama-lamanya. Namun, apakah matlamat rohani anda? Jika anda mempunyai matlamat rohani, hal itu akan membantu anda supaya menggunakan masa, tenaga, dan harta anda dengan bijak. (1 Kor. 9:26) Matlamat rohani akan membantu anda bertumbuh secara rohani, berfokus kepada hal-hal yang lebih penting, dan mempunyai lebih banyak peluang untuk berkhidmat kepada Tuhan.​—Flp. 1:10; 1 Tim. 4:15, 16.

25 Rasul Paulus merupakan teladan baik untuk kita kerana dia berusaha keras untuk berkhidmat kepada Yehuwa. (1 Kor. 11:1) Dia tahu bahawa Yehuwa telah memberinya banyak peluang untuk berkhidmat. Dalam suratnya kepada saudara saudari di Korintus, Paulus menulis, “Ada pintu besar yang telah dibuka untukku dan aku mempunyai banyak peluang untuk menjalankan kerja penyebaran.” Hari ini, kita juga mempunyai banyak peluang untuk berkhidmat kepada Yehuwa bersama sidang, khususnya dalam kerja penyebaran. Tetapi seperti Paulus, kita akan menghadapi banyak tentangan semasa memasuki “pintu besar” itu. (1 Kor. 16:9) Paulus rela mendisiplinkan diri. Dia berkata, “Aku memukuli tubuhku dan mengawalnya seperti hamba.” (1 Kor. 9:24-27) Adakah kita memiliki sikap yang sama?

Jika anda mempunyai matlamat rohani, anda dapat menggunakan masa, tenaga, dan harta anda dengan bijak

26 Kita semua digalakkan agar berusaha mencapai matlamat rohani mengikut keadaan masing-masing. Ramai orang dapat menceburi khidmat sepenuh masa hari ini kerana mereka sudah menetapkan matlamat rohani sejak muda lagi. Bahkan semasa kecil, ibu bapa dan orang lain sudah menggalakkan mereka untuk berbuat demikian. Hasilnya, mereka menikmati kehidupan yang sangat bermakna semasa berkhidmat kepada Yehuwa, dan mereka langsung tidak menyesalinya. (Ams. 10:22) Kita juga dapat menetapkan matlamat untuk menyertai kerja penyebaran setiap minggu, memulakan dan mengadakan pembelajaran Bible, atau menggunakan lebih banyak masa untuk membuat persiapan bagi perjumpaan. Yang terpenting, kita melaksanakan kerja penyebaran dengan sepenuhnya dan tidak berputus asa. Dengan berbuat demikian, kita akan memuliakan Yehuwa dan mencapai matlamat kita yang terbesar, iaitu menyembah-Nya buat selama-lamanya.​—Luk. 13:24; 1 Tim. 4:7b, 8.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi