PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w17 Ogos ms. 27-29
  • Kasih—Sifat yang Bernilai

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Kasih—Sifat yang Bernilai
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • APAKAH ERTI KASIH?
  • KASIH YANG DITUNJUKKAN OLEH YEHUWA DAN YESUS
  • “HENDAKLAH HIDUP KAMU SENTIASA DISERTAI KASIH”
  • CARA MEMUPUK KASIH
  • MANFAAT MENUNJUKKAN KASIH
  • “KASIH MENGUATKAN SESEORANG”
  • “Hendaklah Hidup Kamu Sentiasa Disertai Kasih”
    Hampirilah Yehuwa
  • Jangan Biar Kasih Anda Mendingin
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
  • ‘Kasihilah Yehuwa Tuhanmu’
    Menara Pengawal—2014
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
w17 Ogos ms. 27-29

Kasih​—Sifat yang Bernilai

  • KASIH

  • SUKACITA

  • KEDAMAIAN

  • KESABARAN

  • KEBAIKAN HATI

  • KEBAIKAN

  • IMAN

  • KELEMAHLEMBUTAN

  • KAWALAN DIRI

YEHUWA mengilhami Paulus untuk menulis tentang sembilan sifat yang hanya dapat diperlihatkan jika seseorang mempunyai daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Kesemua sifat ini membentuk “buah daya aktif Tuhan”a dan merupakan ciri utama “keperibadian baru.” (Kol. 3:10) Sebagaimana pokok yang dijaga dengan baik akan berbuah, seseorang yang dibimbing oleh daya aktif Tuhan akan menunjukkan sifat-sifat ini.​—Mzm. 1:1-3.

Aspek pertama buah daya aktif yang disebut oleh Paulus ialah kasih. Seberapa pentingkah sifat ini? Paulus berkata bahawa tanpa kasih, usahanya “sia-sia sahaja.” (1 Kor. 13:2) Jadi apakah erti kasih? Bagaimanakah kita memupuk kasih dan menunjukkannya setiap hari?

APAKAH ERTI KASIH?

Meskipun tidak mudah untuk menjelaskan erti kasih, Bible menggambarkan keperibadian seseorang yang pengasih. Misalnya, dia “sabar dan baik hati,” “bersukacita atas perkara yang benar,” dan “menanggung segala beban, mempercayai segala sesuatu, tidak hilang harapan, dan menghadapi segala sesuatu dengan tabah.” Dia juga setia, prihatin, mempunyai perasaan sayang yang mendalam terhadap orang lain, dan “tidak mementingkan diri.” Itulah kasih sejati yang ingin kita tunjukkan. Sebaliknya orang yang tidak pengasih bersifat cemburu, angkuh, biadab, mementingkan diri, menaruh dendam, dan enggan mengampuni orang.​—1 Kor. 13:4-8.

KASIH YANG DITUNJUKKAN OLEH YEHUWA DAN YESUS

“Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8) Semua tindakan dan kata-kata-Nya menunjukkan hal ini. Apakah ungkapan kasih-Nya yang terunggul? Yohanes berkata, “Inilah caranya kasih Tuhan menjadi nyata dalam diri kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia supaya melaluinya kita memperoleh kehidupan. Inilah kasih yang dimaksudkan: Tuhan mengutus Anak-Nya sebagai korban pendamaian untuk dosa kita, bukan kerana kita telah mengasihi Tuhan, tetapi kerana Dia mengasihi kita.” (1 Yoh. 4:9, 10) Kerana Tuhan pengasih, Dia mengutus Yesus ke bumi agar dosa kita diampunkan dan agar kita mempunyai harapan kehidupan kekal.

Yesus menunjukkan kasih terhadap manusia dengan rela melakukan kehendak Tuhan. Paulus menulis, “[Yesus] berkata, ‘Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.’ . . . Melalui ‘kehendak’ itu, kita telah disucikan melalui tubuh Yesus Kristus yang dipersembahkan sekali untuk selama-lamanya.” (Ibr. 10:9, 10) Tiada manusia yang pernah menunjukkan kasih yang begitu mulia. Yesus berkata, “Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya.” (Yoh. 15:13) Dapatkah manusia yang tidak sempurna meniru kasih yang ditunjukkan oleh Yehuwa dan Yesus? Ya! Marilah kita belajar cara melakukannya.

“HENDAKLAH HIDUP KAMU SENTIASA DISERTAI KASIH”

Paulus menggalakkan kita, “Ikutlah teladan Tuhan sebagai anak-anak yang dikasihi-Nya. Hendaklah hidup kamu sentiasa disertai kasih, sepertimana Kristus mengasihi kita dan menyerahkan dirinya bagi kita.” (Ef. 5:1, 2) Jika ‘hidup kita sentiasa disertai kasih,’ kita akan menunjukkan sifat ini dalam setiap aspek kehidupan kita. Yohanes menulis, “Pastikanlah bahawa kasih kamu bukan sekadar ucapan di bibir, sebaliknya hendaklah kasih kamu tulus dan dibuktikan melalui perbuatan.” (1 Yoh. 3:18) Contohnya, apabila kita mengasihi Tuhan dan orang, kita akan tergerak untuk mengongsi “berita baik tentang Kerajaan Tuhan.” (Mat. 24:14; Luk. 10:27) Kita juga menunjukkan kasih dengan bersifat sabar, baik hati, dan suka mengampuni. Bible menasihati kita, “Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.”​—Kol. 3:13.

Kasih sejati bukan bermaksud kita tidak patut menasihati atau membetulkan kesalahan orang. Misalnya, untuk menenangkan perasaan anak, sesetengah ibu bapa menurut segala kemahuan anak mereka. Tetapi ibu bapa yang benar-benar mengasihi anak akan bersikap tegas jika perlu. Tuhan juga “mendisiplinkan orang yang dikasihi-Nya.” (Ibr. 12:6) Maka orang yang pengasih akan memberikan disiplin jika perlu. (Ams. 3:11, 12) Sudah pasti, kita berdosa dan kadangkala gagal menunjukkan kasih. Maka marilah kita pertimbangkan tiga cara untuk memperlihatkan kasih dengan lebih baik.

CARA MEMUPUK KASIH

Pertama, minta bantuan daya aktif Tuhan. Yesus menjelaskan bahawa Yehuwa “memberikan daya aktif-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.” (Luk. 11:13) Jika kita memohon daya aktif dan membiarkannya membantu kita, kita akan menjadi orang yang lebih pengasih. (Gal. 5:16) Jika anda seorang penatua, anda boleh meminta daya aktif Tuhan untuk membantu anda menunjukkan kasih semasa memberikan nasihat Bible. Jika anda ada anak, anda boleh meminta daya aktif Tuhan untuk membantu anda mendisiplinkan anak berdasarkan kasih, bukan dengan perasaan marah.

Kedua, fikirkan cara Yesus menunjukkan kasih sewaktu dihina. (1 Ptr. 2:21, 23) Teladan Yesus dapat membantu kita terutamanya jika kita tersinggung atau dilayan secara tidak adil. Kita boleh menanya diri, “Apakah yang akan dilakukan oleh Yesus?” Soalan ini telah membantu Saudari Leigh untuk bertindak dalam cara yang betul. Dia berkata, “Rakan kerja saya pernah menghantar e-mel kepada rakan kerja yang lain untuk mengkritik saya dan kerja saya. Saya begitu sakit hati. Tapi saya fikir, ‘Bagaimana saya dapat mencontohi Yesus dalam situasi ini?’ Selepas berfikir tentang teladan Yesus, saya memilih untuk tidak ambil hati. Kemudian saya mendapat tahu bahawa rakan kerja itu menghadapi masalah kesihatan yang serius dan berasa sangat tertekan. Saya fikir dia mungkin tidak berniat untuk bercakap buruk tentang saya. Saya dapat menunjukkan kasih kepada rakan itu setelah merenungkan contoh baik Yesus.” Ya, jika kita meniru Yesus, kita akan selalu bertindak berdasarkan kasih.

Ketiga, pupuk semangat rela berkorban. Sebagai pengikut Kristus yang sejati, kita rela berkorban kerana kita mempunyai kasih. (Yoh. 13:34, 35) Bible menggalakkan kita untuk ‘memiliki fikiran dan sikap Yesus.’ Dia “melepaskan segala-gala yang dimilikinya” dan turun ke bumi demi manusia. Dia bahkan “menunjukkan kepatuhan sampai mati.” (Flp. 2:5-8) Jika kita berusaha meniru kasih dan semangat rela berkorban Yesus, kita akan tergerak untuk mengutamakan kepentingan orang lain. Apakah manfaatnya jika kita memupuk kasih?

MANFAAT MENUNJUKKAN KASIH

Kita meraih banyak manfaat jika kita menunjukkan kasih. Lihatlah dua contoh berikut:

Saksi-Saksi Yehuwa dari pelbagai bangsa dan lapisan umur bergaul di Dewan Perjumpaan

Apakah manfaatnya jika kita memupuk kasih?

  • PERSAUDARAAN SEDUNIA: Kerana kita saling mengasihi, kita tahu bahawa saudara saudari akan menyambut kita dengan ramah tidak kira ke mana sahaja kita pergi. Kita dikasihi oleh “semua saudara seiman di dunia.” (1 Ptr. 5:9) Betapa besarnya berkat ini! Kita hanya dapat menemui kasih sebegini dalam kalangan umat Tuhan.

  • KEDAMAIAN: Kita dapat “hidup damai” jika kita “bersabar terhadap satu sama lain.” (Ef. 4:2, 3) Meskipun dunia ini berpecah belah, kita dapat menikmati kedamaian semasa di perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. (Mzm. 119:165; Yes. 54:13) Jika kita berusaha untuk berdamai dengan orang, kita menunjukkan bahawa kita betul-betul mengasihi mereka. Hal ini menyenangkan hati Bapa kita yang di syurga.​—Mzm. 133:1-3; Mat. 5:9.

“KASIH MENGUATKAN SESEORANG”

Paulus menulis, “Kasih menguatkan seseorang.” (1 Kor. 8:1) Bagaimana? Paulus menjelaskan caranya di 1 Korintus 13, yang juga dikenali sebagai “Mazmur Kasih.” Dia menulis bahawa kasih “melakukan apa yang berfaedah bagi orang lain.” (1 Kor. 10:24; 13:5) Selain itu, orang yang menunjukkan kasih bersikap sabar, bertimbang rasa, baik hati, dan memikirkan kepentingan orang lain. Maka kasih menguatkan ikatan keluarga dan menyatupadukan sidang.​—Kol. 3:14.

Kasih yang terpenting ialah kasih kita terhadap Tuhan. Kasih ini menyatupadukan orang daripada pelbagai latar belakang, bangsa, dan bahasa, agar mereka ‘berganding bahu untuk berkhidmat kepada Yehuwa.’ (Zef. 3:9, NW) Marilah kita bertekad untuk menunjukkan kasih setiap hari!

a Rencana ini ialah rencana pertama dalam siri rencana yang akan membincangkan setiap aspek buah daya aktif Tuhan.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi